Anda di halaman 1dari 3

Singa Tetap Singa

Sang Raja Rimba telah mengarahkan semua rakyat dan pemimpin-pemimpin binatang berhimpun di
depannya. Ada yang datang menjalar, ada yang merayap, ada yang terbang, dan ada yang melompat.
Tiba-tiba rimba raya itu jadi gegak-gempita dan segala pokok serta semak samun bergoyang
bergegar.
Ketahuilah semua ketua binatang, aku hendak mewakilkan kepimpinan aku kepada salah
seorang daripada kamu. Aku hanya ingin jadi penasihat. Tetapi ingat! Segala kata putus tetap kekal
di tangan aku, kata Sang Singa yang Nampak menggerunkan itu. Ada apa-apa pertanyaan?
sambungnya.
Semua terdiam dalam kehairanan. Tak pernah ada di dalam sejarah mana-mana ketua,
terutama bangsa singa, yang mahu melepaskan kuasanya atau mewakilkan pihak lain untuk menjadi
ketua.
Tiba-tiba seekor kucing memberanikan dirinya untuk bertanya, Bagaimanakah kami yang
kecil-kecil ini boleh menjadi pemimpin menggantikan Sang Raja Rimba?
Aku akan ajarkan ilmu-ilmunya. Yang penting buat permulaannya, engkau harus minat untuk
menjadi ketua. Ingat, kali ini siapa yang akan mengambil alih akan juga menjadi pemimpin kepada
manusia, terang Sang Singa.
Lagi semua yang hadir menjadi semakin bingung terutama babi-babi dan cacing-cacing yang
bodoh itu.
Kenapa manusia mahu dipimpin oleh binatang? Tanya kucing dengan jujur.
Manusia sudah tidak percaya lagi kepada orang. Mereka sudah tak Nampak perbezaan
antara pimpinan sebangsanya dengan pimpinan kita. Demikian raja singa itu cukup bermurah hati
untuk melayan segala pertanyaan.
Jangan buang masa lagi. Aku akan memilih salah seekor daripada kamu bangsa yang terbang,
atau bangsa yang berjalan empat kaki, bangsa yang berenang, atau bangsa yang menjalar. Seminggu
lagi calon-calon yang mewakili kelompok-kelompok kamu datang menghadap aku dan terangkan
kenapa aku harus melantik salah seorang daripada kamu. Demikian singa menyudahkan keterangan
dan arahannya.
Setelah cukup seminggu datanglah punai mewakili burung, kucing mewakili binatang kaki
empat, buaya mewakili haiwan di air, dan cacing mewakili benda hidup yang menjalar. Masing-masing
berlumba untuk menunjukkan kebolehan dan meyakinkan raja singa tersebut.
Maka berkatalah punai, Yang Mulia, saya telah berkempen ke merata tempat dan ramai yang
bersetuju saya jadi ketua. Saya telah menggalakkan makhluk supaya hidup jujur, aman damai, dan
buat kerja-kerja yang dibenarkan saja.

Hah! Kejujuran bukanlah sifat yang penting untuk mengetuai binatang, apa lagi manusia.
Sudahlah, engkau tak layak, dengus singa tanpa banyak alasan. Mendengar perkataan aman damai
pun ia berasa tidak selesa.
Tibalah giliran kucing. Saya juga telah menemui pelbagai jenis orang dan haiwan. Walaupun
saya tidak boleh melompat jauh dan taring tidak sehebat tuan, mereka percaya kepada saya kerana
saya bersih dan mudah diajak berunding.
Ah! Itu hanya sebahagian saja daripada nilai-nilai kepimpinan. Tidak cukup, jawab Sang Raja
Rimba. Ia berasa seolah-olah diperli apabila kucing mengatakan mudah diajak berunding,
Buaya yang dari mula memang yakin terpilih kerana badannya yang besar dan berduri-duri itu
menjadi semakin optimis. Pesaing yang tinggal hanya cacing yang tak masuk kira itu fikirnya.
Saya telah menjelajah teluk dan tanjung untuk mendapatkan fikiran daripada benda-benda
hidup di air dan di darat. Nampaknya semua yakin dengan kebolehan saya hidup di sungai dan di
darat. Bagaimana pendapat tuan? Tanya sang Rangkak, buaya,
Ya! Memang kualiti dan kebolehan untuk hidup dalam dua alam itu adalah antara sifat-sifat
seorang pemimpin. Tetapi engkau ini gelojoh sedikit, tak dapat membezakan antara bangkai dan
bukan bangkai. Sapu semua, jawab singa.
Si Cacing tidak menyangka bahawa sekalian binatang yang lebih besar daripadanya tertolak
awal-awal lagi. Ia tidak pernah membayangkan akan berpeluang untuk mengajukan kesnya. Dengan
penuh yakin dan tenang ia berhujah.
Saya memang mengetahui bahawa untuk menjadi pemimpin memerlukan sifat-sifat yang
istimewa. Lain daripada yang lain. Bukan kejujuran, bukan kebersihan, dan bukan kegagahan tetapi
kehalusan yang mendalam. Saya bukan sahaja boleh masuk ke dalam lubang tanah untuk mengetahui
apa yang ada di dalam bumi, tetapi boleh masuk ke dalam badan manusia untuk mengetahui isi
perutnya. Tidakkah ini yang paling mustahak untuk menguasai manusia, ungags, dan haiwan iaitu
sesudah kita mengetahui perasaan dan fikirannya? ujar cacing dengan panjang lebar.
Sang Singa mulai berasa tidak sabra mendengar ucapan yang bertele-tele itu. Apa lagi ianya
diucapkan oleh cacing yang susah untuk dilihatnya kerana melekap di celah-celah rumput itu. Eh!
Cacing kerawit, aku tahu asal usulmu yang keluar bersama-sama tahi manusia. Engkau ini bercakap
sahaja pandai, tetapi susah orang hendak tahu di mana kepala, di mana ekor. Sama saja hujung dan
pangkal. Raja Singa meninggikan suara terhadap sic acing yang memang bersama-sama suku
sakatnya selalu membuat buntut singa gatal dan merenyam di atas kerusi takhtanya. Cacing-cacing
ini selalu mengganggunya dan sulit baginya untuk menanggalkannya. Betul-betul parasite yang degil.
Akhirnya, Sang Raja Rimba membuat keputusan muktamad, tak ada siapa yang layak
menggantikannya.Sebenarnya, ia Cuma hendak menguji apakah ada sesiapa yang mengidam untuk
mengambil tempatnya.
Kamu sekalian punai, kucing, buaya dan cacing kalau mahu menjadi pemimpin yang besar
harus pertama sekali, kuat seperti aku. Itulah kekuasaan. Harus ada kuku dan taring yang tajam.
Itulah kewibawaan. Dengan dua sifat itu, barulah kamu boleh memerintah.

Dengan Kuliah singa yang ringkas itu, sekalian haiwan yang berkaki empat, bersayap,
berinsang, bertulang belakang, atau yang tak bertulang belakang menjadi maklum dan lebih
mengetahui apakah sifat-sifat yang harus ada pada pemimpin binatang itu. Masing-masing
kemudiannya pulang ke sarang, ke kubang, atau ke lubuk. Singa tetap singa dan cacing tetap cacing
juga.

Anda mungkin juga menyukai