Anda di halaman 1dari 3

Mereka Yang Tidak Disoal di Alam Barzakh

Tarikh kemaskini : 19 November, 2015 | Disediakan oleh : Fairuz Hj. Noordin Jumlah
Hits : 395

Fairuz Hj. Noordin


Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Nukilan dan beberapa
rancangan yang lain.

Social links:

RASULULLAH SAW sentiasa berpesan kubur itu adalah rumah pertama yang akan didiami,
rumah yang didiami ketika di dunia bukanlah rumah yang sebenar. Ada golongan manusia
yang dikurniakan satu kerahmatan oleh Allah SWT kepada mereka, apabila suasana di alam
kubur itu di dalam keadaan yang menakutkan, tiba-tiba mereka terlepas daripada pertanyaan
oleh malaikat Mungkar & Nakir. Golongan pertama yang beroleh kelebihan itu ialah mereka
yang berjaga-jaga terhadap musuh. Riwayat daripada Salman, Rasulullah SAW bersabda:
Orang yang hidupnya berjaga-jaga terhadap musuh di barisan hadapan (perbatasan) iaitu
mereka yang berjuang di jalan Allah (askar-askar). Mereka yang berjaga sepanjang malam
itu, orang ini lebih baik daripada dia berpuasa sebulan. Pekerjaan sebagai polis, pegawai
keselamatan, tentera dan lain-lain yang menjaga keselamatan orang lain daripada pihak
musuh atau bahaya dengan niat kerana Allah, amat beruntung kerana berpeluang untuk
beroleh keistimewaan ini. Rasulullah juga berkata, jika mereka ini meninggal dunia, segala
amalan-amalan dan pahalanya akan datang padanya, dan Allah akan memberinya rezeki
terselamat daripada fitnah kubur.
Golongan kedua yang akan terselamat di dalam kubur ialah orang yang mati syahid di jalan
Allah. Menurut Rasulullah mereka yang mati syahid ini ada enam keistimewaan yang
dikurniakan Allah kepadanya iaitu dosanya diampuni bermula daripada saat darahnya
menitis ke bumi. Orang yang mati syahid ketika berjuang di jalan Allah ialah syahid dunia
dan akhirat. Kini kita berpeluang untuk beroleh syahid akhirat iaitu bagi mereka yang mati di
dalam perjalanan untuk menuntut ilmu, ibu-ibu yang mati ketika dalam proses melahirkan,
mereka yang mati lemas di dalam air atau mereka yang mati ketika sedang mencari rezeki
yang halal. Keistimewaan kedua yang dikurniakan kepada mereka yang mati syahid ialah
diperlihatkan kepadanya tempatnya disyurga. Seterusnya mereka akan diselamatkan daripada
1

azab kubur, terselamat daripada gelombang yang dahsyat ketika tiba hari kiamat, diberi
mahkota kehormatan daripada batu yang paling baik di dunia serta isinya dan dikahwinkan
dengan 72 bidadari serta dapat memberi syafaat kepada 70 orang di kalangan ahli
keluarganya yang berada di dalam neraka untuk dimasukkan ke dalam syurga.
Menyambung perkongsian berkaitan golongan yang tidak akan disoal ketika berada di alam
kubur, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani menerusi slot Mauizati di IKIMfm pada setiap
Khamis, 5.15 petang, menurut Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Siapa sahaja
yang meninggal dunia di dalam keadaan sakit tenat, bererti dia meninggal di dalam keadaan
mati syahid. Dia akan terselamat daripada fitnah kubur serta dibawakan rezeki daripada
syurga pada pagi dan petang. Imam Qurtubi menyifatkan hadis ini bersifat umum, tetapi ia
kemudian dikhususkan kepada mereka meninggal dunia akibat sakit tenat yang di akibat
penyakit di dalam perut (seperti kanser) (Riwayat Ibn Majah & Al-Baihaqi).
Golongan keempat pula ialah mereka yang meninggal dunia di dalam keadaan dirinya sudah
membaca surah Al-Mulk. Ibn Abbas RA menceritakan ada seorang sahabat Rasulullah SAW
yang sedang berjalan, tiba-tiba dia melihat tanah yang lapang dan mendirikan khemah di situ.
Rupa-rupanya khemahnya itu terletak di atas tanah kubur. Ketika berada di situ, dia
terdengar seseorang sedang membaca surah Al-Mulk sehingga khatam. Lalu dia bertanya
kepada Rasulullah tentang peristiwa yang telah dialaminya. Baginda menjawab: Itulah surah
yang menghalang dan menyelamatkan dia daripada azab kubur. Barang siapa yang membaca
surah Al-Mulk setiap malam, maka ia akan membela orang yang membacanya daripada siksa
kubur (Riwayat Imam Tarmizi). Ada riwayat yang menyatakan bukan hanya surah Al-Mulk
yang wajar dijadikan amalan, begitu juga dengan surah Al-Kahfi dan surah Al-Baqarah.
Kemudian antara golongan lain yang terselamat alam kubur ialah mereka yang rajin
mengamalkan bacaan daripada surah As-Sajdah. Melalui riwayat Siwar Ibn Saad, Abu Ishaq
yang diterima daripada al-Barraq, sesiapa yang membaca alif lam mim dan taba rakallazi
biya dihil mulk di dalam surah as-Sajdah sebelum tidur, dia akan terselamat daripada azab
kubur dan terlindung daripada dua penguji kubur (Mungkar & Nakir).
Golongan keenam ialah mereka yang meninggal dunia pada malam Jumaat atau hari Jumaat.
Ibn Umar menuturkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada seorang muslim yang
meninggal pada hari Jumaat ataupun malam Jumaat, melainkan Allah akan melindunginya
daripada fitnah kubur padanya. Secara lebih lanjut, Al Hakim juga menuturkan, sesiapa
sahaja yang meninggal pada hari Jumaat akan tersingkap tabir yang menutupi apa yang
menjadi miliknya di sisi Allah, kerana pada hari Jumaat neraka Jahannam tidak dinyalakan
untuk orang mukmin. Semua pintu neraka ditutup kepada orang muslim dan para penguasa di
neraka tidak bekerja sebagaimana pada hari-hari lain. Jika Allah mencabut nyawa seorang
hamba yang taat mengabdikan diri pada hari Jumaat, yang demikian itu merupakan tanda
kebahagiaan dan kebaikan tempat kembali pada dirinya.
Golongan ketujuh yang terselamat di alam kubur ialah para siddiqun atau siddiqin iaitu para
sahabat Rasulullah dan mereka yang benar-benar beriman kepada ajaran agama walaupun
tidak pernah bertemu dengan Baginda. Al-Hakim menegaskan bahawa para siddiqin tidak
akan disoal di dalam kubur kerana di dalam doa yang dijadikan amalan membuktikan orang
yang telah diberi nikmat oleh Allah dikalangan nabi, para siddiqin, para syuhada dan mereka
yang salih. Mudah-mudahan kita tergolong di antara ketujuh-tujuh kalangan mereka yang
terselamat di alam kubur kelak.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi
19 November 2015

Anda mungkin juga menyukai