Anda di halaman 1dari 2

Ucapan Tuan pengetua (Arshad Jambu)

Masa depan sesebuah negara itu dapat diramal hanya dengan melihat
golongan muda yang bermastautin di negara tersebut . Assalamualaikum dan
selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, panel-panel
jemputan dan pelajar-pelajar sekalian. Memandangkan tajuk forum yang akan
berlangsung sebentar sahaja lagi akan menyentuh berkaitan isu remaja, adalah
baiknya saya menceritakan terlebih dahulu serba sedikit mengenai remaja itu
sendiri. Ucapan yang akan saya sampaikan ini berkisar tentang Remaja Pemangkin
Negara. Walaupun hanya dibarisi tiga perkataan, tetapi ayat tersebut mampu
membawa impak yang besar kepada keluarga, masyarakat serta negara samada
positif ataupun negatif.
Hadirin sekalian,
Terungkapnya pembuka bicara daripada bibir saya sebentar sahaja tadi
bukan hanya sekadar kiasan, tidak pula sebagai hiasan namun ia merupakan
sebuah hipotesis yang dibuat berdasarkan penyelidikan yang rapi serta
pemerhatian yang teliti. Jelas terbukti bahawa remaja pada masa kini
mencerminkan masa depan sesebuah negara. Hal ini demikian kerana, golongan
separa matang ini merupakan benih-benih yang bakal bercambah dan mengambil
alih tampuk pemerintahan negara. Jika mereka dijaga dan dibesarkan dengan baik,
maka cerahlah masa depan negara tersebut. Anak-anak itu ibarat kain putih, kitalah
yang akan mencorakkannya samada putih ataupun hitam kain itu. Sekiranya
mereka diabaikan dan tidak mendapat pendidikan yang optimum maka hancur
berkecailah masa depan negara tersebut.
Seterusnya, jika kita amati dan perhalusi keadaan terkini di negara kita, boleh
dikatakan bahawa masa depan negara kita belum lagi terjamin malah umpama,
telur di hujung tanduk kerana majoriti daripada golongan remaja di negara kita
banyak terlibat dengan gejala sosial. Hal ini tidak dapat disangkal lagi apabila
hampir sahaja setiap hari berita tentang remaja yang terjerumus dengan gejala
negatif seperi pergaulan bebas, vandalisme, gangsterisme, serta mencuri
terpampang di dada-dada akhbar tempatan.Jika hal ini berterusan dan dibiarkan
begitu sahaja, maka negara kita akan mengalami kemunduran yang drastik serta
konsisten. Hal ini bukan sahaja menjejaskan kemajuan negara malah tidak mustahil
usaha para prajurit yang telah memperjuangkan kemerdekaan negara akan
terbuang begitu sahaja jika tanah air yang tercinta ini kembali berada dalam
cengkaman penjajah durjana.
Oleh yang demikian, perancangan yang pragmatik serta inisiatif yang efektif
haruslah dirancang dan diimplimentasikan dengan kadar segera agar permasalahan
ini dapat dicegah sesuai dengan pepatah Melayu yang mengatakan, mencegah
lebih baik daripada merawat.Antara usaha yang wajar diambil oleh pihak seperti
Kementerian Pelajaran Negara adalah dengan memberikan pendedahan serta
pendidikan kepada remaja tentang kepentingan diri mereka terhadap masa depan
negara sejak di bangku sekolah lagi.Pada tempoh ini, remaja lebih mudah untuk

dibentuk dan diasuh bagi menjadi modal insan yang berkualiti kerana mereka masih
belum pandai untuk melawan dan hanya akan mengiyakan setiap butir kata yang
disemai dalam diri mereka. Hal ini sesuai dengan pepatah yang mengatakan,
melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Selain itu, ibu bapa juga seharusnya memainkan peranan untuk memastikan
anak-anak mereka membesar untuk menjadi orang yang berguna terhadap negara.
Dalam konteks tumbesaran anak-anak, bukan sahaja tumbesaran fizikal yang harus
difokuskan, malah tumbesaran emosi serta kematangan minda mereka juga harus
dititikberatkan. Ibu bapa haruslah memberikan lebih perhatian terhadap
perkembangan emosi dan minda cahaya mata mereka untuk memastikan anak
mereka dapat membezakan antara kaca dan permata sekaligus mencegah diri
mereka daripada hanyut dibawa badai kemusnahan gejala sosial yang kian
meruncing. Teknik-teknik seperti pendedahan secara berperingkat hendaklah
diamalkan agar nilai murni dapat disemai secara progresif serta dapat
meninggalkan impak yang positif dalam diri anak-anak.
Natijahnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa remaja merupakan aset
terpenting Negara kerana merekalah insan-insan yang akan menentukan jatuh
bangunnya sesebuah Negara itu pada masa akan datang. Sebagai remaja, anda
perlu sedar akan tanggungjawab sebesar gunung yang sudah terpikul di bahu anda.
Justeru itu, saya menyeru kepada remaja-remaja di depan saya, mulakanlah
langkah anda daripada sekarang ke arah masa depan yang lebih cerah dan binalah
empayar kejayaan anda.
Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada hari ini, izinkan saya untuk
mendeklamasikan sebuah pantun yang berbunyi,

Bunga mawar bunga melati,


Bunga dipetik untuk sang puteri,
Remaja bestari modal insan yang terpuji,
Menjamin masa depan negara yang hakiki.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai