Anda di halaman 1dari 3

PETIKAN 7 [P7]

Rasyid
: Selamat pagi, encik. Saya Rasyid. Saya ingin menemu ramah, encik. Bolehkah ?
Encik Lan : Selamat pagi, Rasyid. Boleh. Saya akan membantu setakat yang saya mampu.
Rasyid
: Encik, sebenarnya bagaimana encik mengasuh kedua-dua anak kembar encik Faizul
dan Faizal hingga berjaya menjadi doktor ?
Encik Lan : Oh ! Saya pun tidak tahu bagaimana hendak menceritakannya. Hanya saya kira
Tuhan merestui kami sekeluarga.
Rasyid
: Boleh saya tahu bagaimana anak-anak encik ini belajar ?
Encik Lan : Kalau fasal belajar, mereka memang sungguh berusaha. Hampir sepanjang waktu
mereka asyik dengan buku sahaja. Kalau menonton televisyen itu jarang sekali.
Kerap kali kalau menonton pun, mereka menonton siaran berita sahaja.
Rasyid
: Di mana mereka bersekolah ?
Encik Lan : Kesemuanya bersekolah di Sekoleh Kebangsaan Seri Tualang. Kemudian,
bersekolah menengah di Sek. Men. Seri Tualang, Temerloh. Semuanya mendapat
pangkat satu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Semasa itulah mereka mendapat
tawaran belajar di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Nah! Sekarang mereka sudah
lulus dan menjadi doktor.
Rasyid
: Apakah perasaan encik sekarang ?
Encik Lan : Sudah tentu gembira sekali. Kami sekeluarga bersyukur di atas kejayaan gemilang
itu.
Rasyid
: Baiklah encik.Ssaya berterima kasih kerana sudi melapangkan masa untuk
ditemubual.
Encik Lan : Sama-sama.
______________________________________________________________________________
PETIKAN 8 [P8]
Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Guru Besar, para hakim yang arif lagi bijaksana, guruguru seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Selamat pagi dan salam sejahtera. Tajuk
syarahan saya pada pagi ini ialah "Langkah-langkah untuk Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar".
Hadirin sekalian,
Antara langkah-langkah untuk mengatasi pencemaran alam sekitar ialah menguatkuasakan
undang-undang dan peraturan alam sekitar yang telah diperuntukkan. Pihak berkuasa mestilah
mengenakan tindakan yang tegas dan berat terhadap pencemar alam sekitar supaya mereka serik
untuk melakukan perbuatan itu lagi.
Selain itu, kempen penjagaan alam sekitar haruslah dipergiatkan. Kempen ini boleh disiarkan
melalui media massa seperti surat khabar, televisyen dan radio. Kempen-kempen ini akan
menyedarkan orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
Hadirin sekalian,
Masyarakat mestilah diberikan kesedaran secara berterusan akan tanggungjawab menjaga
alam sekitar. Aktiviti seperti ceramah dan gotong-royong dapat membantu orang ramai menjadi
lebih bertanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar.
Di samping itu, masyarakat juga perlulah bersikap perihatin dan bertanggungjawab. Jika
mendapati ada pihak yang mencemarkan alam sekitar, mereka perlulah melaporkan kepada pihak
berkuasa supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil.
Hadirin sekalian,
Tanggunjawab menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama. Alam sekitar yang
terpelihara atau dijaga dengan baik akan menjadikan hidup kita lebih selesa dan sihat.
Sekian, terima kasih. :

PETIKAN 9 [P9]
PAHANG, 16 November-Hasif Zakwan bin Mohd Hamidi, 12 tahun, telah terpilih sebagai
Pelajar Cemerlang Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur bagi Tahun 2015. Penghargaan ini
telah disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Dato` Adnan bin Yaacob.
Penyampaian anugerah ini berlangsung di Dewan Besar Muazham Shah, Kuantan, Pahang
bersempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia. Hasif Zakwan bin Mohd Hamidi ialah murid
Tahun 6, Sekolah Kebangsaan Kebangsaan Seri Tualang, Temerloh, 2015. Beliau telah
memperolehi 5A dalam peperiksaan UPSR yang lalu dan merupakan seorang yang rajin belajar
serta sering mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelbagai bidang yang diceburinya.
Hasif Zakwan bin Mohd Hamidi merupakan seorang murid yang cergas dalam bidang sukan.
Beliau telah mewakili negari Pahang dalam Pasukan Bola Sepak Sekolah Rendah, 2015. Beliau
juga telah menjadi johan dalam acara lompat jauh dan lompat tinggi di peringkat negeri Pahang.
Di sekolah, Hasif Zakwan bin Mohd Hamidi ialah Ketua Pengawas dan Ketua Pasukan
Pengakap. Beliau juga memegang jawatan penting dalam beberapa persatuan di sekolahnya
seperti Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu, Setiausaha Persatuan Bahasa Inggeris dan
Bendahari Persatuan Metamatik.
Beliau menyatakan perasaan gembira dan bersyukur atas anugerah ini. Beliau menasihatkan
kepada rakan-rakan yang ingin berjaya agar membuat sesuatu itu dengan penuh komitmen, tidak
mudah putus asa dan tekun. Beliau mengucapkan terima kasih kepada ibu-bapa, guru-guru dan
rakan-rakan atas dorongan dan semangat yang diberikan.

PETIKAN 10 [P10]
Laporan Lawatan Sambil Belajar Ke Kilang Sabun
Pada 23 Januari 2016, Kelab Sains Sekolah Kebangsaan Merapoh telah mengadakan
lawatan sambil belajar ke sebuah kilang sabun di Kuala Lumpur. 30 orang ahli persatuan dan 3
orang guru pengiring terlibat dalam rombongan tersebut.
Tujuan lawatan ini adalah untuk mendedahkan para pelajar tentang proses membuat
sabun. Justeru, akan menambahkan ilmu pengetahuan serta memupuk semangat
keusahawanan para pelajar. Peserta bertolak pada pukul 8.00 pagi dengan menaiki bas yang
disewa khas. Mereka sampai ke kilang sabun itu pada pukul 9.30 pagi. Ketibaan mereka disambut
oleh beberapa orang pegawai kilang. Kemudian, satu taklimat ringkas tentang kilang tersebut
disampaikan oleh salah seorang pegawai kilang tersebut.
Para peserta dibawa ke beberapa bahagian memproses sabun. Sebahagian besar kerja
memproses sabun ini dilakukan oleh mesin yang berteknologi tinggi. Pekerja-pekerja di kilang
tersebut memakai pakaian seragam yang berwarna hijau dan sarung tangan ketika bekerja.
Pada pukul 11.00 pagi, para peserta dibawa ke bahagian pembungkusan sabun. Di situ
terdapat pelbagai jenama sabun seperti Lux, Protex dan Okchid dibungkus dengan mesin yang
canggih. Kemudian Pada pukul 12.30 tengah hari, semua peserta diberi sedikit jamuan ringan di
kantin kilang tersebut.
Para peserta bertolak balik pada pukul 2.00 petang. Para peserta dilihat sangat seronok
menyertai rombongan ini kerana mendapat banyak pengetahuan serta dapat melihat sendiri caracara membuat sabun.
Laporan disediakan oleh,
[ISMAIL BIN ADAM]
Setiausaha,

25 MAC 2016.

Kelab Sains, SK Merapoh.


PETIKAN 11 [P11]
RABU, 16 MEI 2015
7.30 pagi
Semua guru dan murid berkumpul di dewan sekolah untuk meraikan majlis sambutan Hari Guru 2015. Lagu
Negaraku, lagu negeri dan lagu rasmi sekolah dinyanyikan sebelum bacaan Ikrar oleh Mohd Rafiq bin Sabaruddin,
selaku Ketua Pengawas. Kemudian, bacaan doa dibacakan oleh Ustaz Azril.
7.40 pagi
Acara dimulakan dengan ucapan GPK 1 iaitu Pn. Hajah Puspa Dewi, sebelum beliau membacakan perutusan
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Kemudian Tuan Guru Besar, En. Awang Satip bin Md. Salleh menyampaikan
ucapan dan seterusnya membacakan perutusan Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
10.40 pagi
Acara persembahan diadakan di dewan sekolah. Beberapa orang murid dan guru mengambil bahagian dalam acara
nyanyian dan lakonan. Setiap persembahan mendapat tepukan gemuruh daripada semua murid.
12.40 tengahari
Murid yang berminat beratur untuk menyampaikan hadiah masing-masing kepada guru-guru mereka. Kemudian,
semua murid beratur untuk bersalaman dengan para guru secara bergilir-gilir.
1.10 tengahari
Semua murid dibenarkan balik . Para guru diraikan pula dalam satu jamuan makan tengah hari sempena Hari Guru.
______________________________________________________________________________________________

PETIKAN 12 [P12]
Peribahasa "Bagai Aur Dengan Tebing" bermaksud tolong-menolong di antara satu sama lain.
Seumpama serumpun aur di tebing. Aur menumpang pada tebing untuk mendapatkan air,
manakala tebing pula memerlukan aur supaya tebing tidak mudah terhakis.
Setiap orang memerlukan orang lain dalam kehidupannya. Oleh itu, manusia harus hidup
bekerjasama dan saling bantu-membantu seperti aur dengan tebing. Hidup begini dikatakan
sepakat dan menjadikan sesuatu kerja itu lebih mudah dan cepat disiapkan.
Semangat kerjasama dan gotong-royong sudah lama diamalkan oleh masyarakat luar bandar
dalam segala lapangan kehidupan. Sebagai contoh, mereka bercucuk tanam dan menuai hasil
tanaman mereka secara bergotong-royong. Begitu juga jika ada majlis perkahwinan, lazimnya
orang kampung akan bergotong-royong untuk menjayakan majlis tersebut. Bahkan sesetengah
tempat, orang kampung membina masjid secara bergotong-royong.
Peribahasa ini juga ada persamaan maksud dengan peribahasa berat sama dipikul, ringan
sama dijinjing, dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama digigit.
Kesimpulannya, peribahasa ini amat baik untuk diteladani bersama terutama oleh masyarakat
di bandar serta generasi muda kerana semangat bekerjasama ini semakin kurang diamalkan oleh
mereka.

Anda mungkin juga menyukai