Anda di halaman 1dari 19

PENGENALAN

Pada dasarnya unsur-unsur kebudayaaan seperti tarian, alat muzik,


permainan tradisional dan lagu-lagu asli merupakan sebahagian daripada warisan
kesenian bangsa Melayu. Kewujudan pelbagai unsur seni tanpa disedari bukan
sahaja telah memperkenalkan identiti bangsa bahkan negeri yang memilikinya.

Dondang Sayang dan negeri Melaka merupakan dua gabungan yang cukup
sinonim ibarat aur dan tebing/isi dan kuku di mana apabila kita menyebut tentang
Dondang Sayang sudah pastilah kita akan teringat tentang negeri Melaka. Oleh itu,
tidak mustahillah sekiranya dikatakan bahawa Dondang Sayang merupakan salah satu
khazanah budaya yang mencerminkan masyarakat negeri Melaka secara tidak langsung.

Umumnya, istilah Dondang Sayang berasal daripada gabungan dua perkataan


iaitu ‘Dondang’ dan juga ‘Sayang’. Perkataan dondang boleh diinterpretasikan sebagai
nyanyian atau lagu yang menghiburkan hati. Secara konseptualnya, istilah dondang juga
mempunyai pengertian yang hampir sama dengan istilah ‘dindang’ atau ‘dendang’. Hal
ini berikutan kerana dendang membawa maksud nyayian untuk bersuka-suka manakala
berdendang pula bermaksud bernyanyi dan berlagu.

Manakala perkataan sayang dalam istilah Dondang Sayang pula bermaksud


kasih. Namun begitu, dalam konteks Dondang Sayang, perkataan sayang cenderung
merujuk kepada pelakuan iaitu melakukan perbuatan yang lembut dan penuh mesra.
Oleh itu, tidak mustahillah sekiranya pemantun-penyanyi yang menyanyikan serta
mendendangkan lagu Dondang Sayang boleh diibaratkan seperti orang yang sedang
bersayang-sayang dan berkasih-kasih bersesuaian dengan rentak muzik yang dialunkan
oleh pemuzik.

Contohnya, di negeri Melaka, sekiranya terdapat seseorang atau kumpulan yang


sedang duduk bersenang-senang hati dan bersukaria seperti bersiul-siul atau
bernyanyian-nyanyian kecil mengalunkan lagu, situasi ini dikenali sebagai “sedang
berdendang sayang”. Pada dasarnya, situasi sedang berdendang sayang ini bukan sahaja
dapat diperhatikan pada individu-individu diperingkat muda malahan turut dapat dilihat
diperingkat tua. Pada peringkat tua, kebiasaannya, individu-individu tersebut akan
bersiul atau menyanyi lagu Dondang Sayang selepas mereka penat bekerja, semasa
bersendirian sambil melayan perasaan dan mengenang masa muda atau ketika meraut
rotan di anjung rumah atau hujung serambi.

Oleh itu, secara keseluruhannya Dondang Sayang boleh didefinisikan sebagai


lagu kasih atau nyanyian kasih. Berdasarkan pengertian tersebut, jelas menunjukkan
bahawa Dondang Sayang merupakan suatu seni yang bersifat lembut, indah serta
mempunyai kesan yang mendalam bertepatan dengan maksud Dondang Sayang itu
sendiri. Dalam konteks keindahan dan kelembutan seni Dondang Sayang terbukti jika
dilihat daripada beberapa aspek seperti rentak muzik, lagu dan intonasi yang beralun-
alun seolah-olah tidak boleh diceraikan atau dipisahkan sama sekali. Justeru, tidak
hairanlah sekiranya nyanyian Dondang Sayang mampu melahirkan seterusnya
membangkitkan suasana yang damai, segar serta membuai perasaan harmoni hasil
cetusan daripada penyampaian pemantun-penyanyi yang lazimnya dialun suarakan
menggunakan dua tekanan suara yang berbeza dan berlawanan oleh dua pihak iaitu
lelaki dan perempuan.

Tambahan lagi seni kata Dondang Sayang digubah serta diilhamkan dalam
bentuk pantun tanpa disedari turut menyerlahkan keindahan nyanyian Dondang Sayang.
Pada dasarnya, penyampaian lagu Dondang Sayang dalam bentuk pantun sebenarnya
bertujuan untuk melindungi pengucapan sekiranya keterlaluan. Justeru kelembutan yang
ditonjolkan dalam nyanyian Dondang Sayang sekaligus tanpa disedari telah
mencerminkan peribadi orang Melayi yang secara semulajadinya kaya dengan sifat-sifat
ketimuran seperti lemah-lembut, budi bahasa dan sopan-santun.
ASAL USUL DONDANG SAYANG

Seni Dondang Sayang merupakan salah satu khazanah budaya yang menjadi
sebahagian daripada warisan budaya Melayu di mana seni Dondang Sayang merupakan
lagu klasik yang diwarisi secara turun-temurun sejak dari dahulu lagi. Namun begitu,
asal usul terciptanya seni Dondang Sayang itu pada dasarnya masih menjadi tanda tanya
berikutan pencipta serta pengubah asal lagu Dondang Sayang masih belum diketahui
mahupun dikenalpasti sehingga ke hari ini.

Walaubagaimana pun, terdapat tiga fakta pendapat yang telah dikemukakan


berhubung dengan sejarah awal kewujudan Dondang Sayang yang diklasifikasikan
sebagai hampir tepat serta boleh diterima akan kebenarannya. Hal ini berikutan fakta
pendapat-pendapat yang dikemukakan adalah berlandaskan kepada beberapa aspek
seperti bentuk, struktur dan unsur Dondang Sayang itu sendiri yang kemudiannya
dihubungkaitkan dengan faktor-faktor sekeliling seperti alam, manusia dan
kepentingan-kepentingan yang wujud dalam seni Dondang Sayang bagi menyokong
pendapat masing-masing.

Pendapat pertama menyatakan seni Dondang Sayang dipercayai mula bertapak


pada akhir tahun kurun ke-15 Masihi ketika zaman kegemilangan Kerajaan Melayu
Melaka. Pendapat yang dikemukan merupakan andaian yang telah dibuat berdasarkan
kepada dua sebab utama iaitu kepentingan runtunan kemahuan manusia serta peranan
Kerajaan Melayu Melaka pada ketika itu. Pada akhir tahun ke-15 Masihi, negeri Melaka
merupakan sebuah kerajaan Melayu yang maju serta pesat di mana Melaka bukan sahaja
mempunyai jumlah penduduk yang ramai malahan pada masa yang sama turut
mempunyai perhubungan luar yang luas meliputi perhubungan diplomatik, perhubungan
dagang dan perhubungan peribadi. Lantaran wujudnya perhubungan luar, maka negeri
Melaka bukan sahaja selalu dikunjungi oleh pemerintah dan pedagang dari luar tetapi
pada masa yang sama Sultan Melaka juga sering melakukan kunjungan ke negeri-negeri
lain. Perhubungan luar yang wujud tanpa disedari telah melahirkan unsur-unsur seni
bercorak hiburan iaitu Dondang Sayang yang bertindak sebagai halwa telinga dan
santapan mata yang menyenangkan. Hal ini terbukti apabila para pedagang yang
singgah ke pelabuhan negeri Melaka sebagai pusat tumpuan sering menyanyikan
rangkaian lagu seperti :

Bandar Melaka, pisang jarum


air Bukit China

Bendahara Seri Maharaja.

Bukan itu sahaja, bukti kemunculan serta kewujudan seni Dondang Sayang pada
zaman Kesultanan Melayu Melaka pada akhir kurun ke-15 Masihi turut disokong
menerusi penciptaan beberapa rangkap pantun yang tersisip dalam buku-buku lama
tentang negeri Melaka seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Di antara
pantun-pantun yang menyokong akan bukti kewujudan Dondang Sayang di Melaka
pada tahun tersebut ialah sebagaimana yang terkandung dalam Hikayat Hang Tuah iaitu
:

Hang Jebat Hang Kasturi,

Budak-budak raja Melaka,

Jika hendak jangan dicuri,

Mari kita bertentang mata.

Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Dondang Sayang berasal dari Pulau
Sebang, Tampin, Melaka yang wujud sekitar akhir tahun 1400 Masihi hingga tahun
1510 Masihi hasil daripada tinjauan keterangan berdasarkan andaian. Seni Dondang
sayang dikatakan wujud ekoran daripada lawatan Datuk Temenggung ke Pulau Sebang,
Tampin Melaka. Oleh itu, seni Dondang Sayang dipercayai diciptakan khas sebagai
tanda mengalu-alukan seterusnya menghargai kedatangan Datuk Temenggung
memandangkan lawatan tersebut merupakan salah satu lawatan pembesar negeri ke luar
daripada pusat pemerintahan negeri Melaka. Justeru itu, pelbagai persiapan yang telah
dijalankan bagi memastikan bahawa sambutan adalah meriah. Maka seni Dondang
Sayang dipercayai tercipta hasil daripada penciptaan alat-alat muzik berbentuk paluan
daripada pokok laka seperti rebana dan gendang bertujuan untuk mengiringi nyanyian
oleh penduduk kampung. Walau bagaimanapun, bentuk lagu yang dipersembahkan
adalah bercorak lagu-lagu yang lahir dari khayalan yang mempunyai struktur lagu yang
tidak tetap sama sekali sekadar untuk menjadikan majlis sambutan itu meriah semata-
mata.
Pendapat ketiga pula berbeza jika dibandingkan dengan dua pendapat yang
terdahulu yang pada dasarnya menyatakan bahawa Dondang Sayang berasal daripada
negeri Melaka. Hal ini kerana pendapat ketiga pula menyatakan bahawa Dondang
Sayang tercipta ekoran daripada kedatangan Portugis ke Melaka pada sekitar tahun
1500 Masihi. Pengaruh Portugis yang dibawa masuk oleh bangsa Eropah ke Melaka
dipercayai telah melahirkan seni Dondang Sayang berdasarkan kepada dua faktor utama
iaitu kegemaran bersuka-suka dan berhibur mesra merupakan hobi orang-orang Portugis
yang kemudiannya diperkenalkan kepada orang-orang tempatan dan alat muzik biola
yang dibawa masuk oleh orang Eropah ke Melaka.

Tidak dapat dinafikan wujudnya kebenaran bahawa Portugis yang


memperkenalkan Dondang Sayang. Ini kerana sebelum Portugis menjajah Melaka,
orang-orang Portugis telah datang terlebih dahulu untuk berdagang di Melaka. Oleh itu,
dalam memastikan barang dagangannya mendapat sambutan serta tidak berlakunya
sebarang kekacauan sepanjang mereka singgah untuk berniaga, justeru orang Portugis
telah memperkenalkan kegemaran bersuka-suka dan berhibur mesra yang mana pada
dasarnya merupakan hobi orang-orang Portugis. Kebijaksanaan orang Portugis dalam
menggunakan ruang serta peluang yang ada dengan sebaik mungkin menyebabkan
penduduk tempatan berminat dengan kegemaran bersuka-suka yang bukan sahaja
melekakan bahkan mengkhayalkan penduduk-penduduk tempatan. Kegemaran yang
diperkenalkan oleh orang Portugis tanpa disedari telah menyebabkan mereka terselamat
daripada sikap benci penduduk-penduduk tempatan terhadap orang luar.

Selain itu, faktor yang menyatakan alat muzik biola dibawa masuk ke Melaka
dari Eropah turut menyumbang kebenaran yang Dondang Sayang lahir hasil daripada
pengaruh Portugis. Hal ini berikutan kerana orang Portugis merupakan satu bangsa yang
berjiwa seni iaitu menggemari seni muzik dan nyanyian. Pada masa yang sama, bangsa
Portugis dipercayai memiliki daya kreatif seni jika dibandingkan dengan bangsa Eropah
yang lain seperti bangsa Inggeris dan Belanda. Justeru tidak mustahil sekiranya bangsa
Portugis dikatakan bangsa yang bertanggungjawab membawa masuk alat muzik biola
ke Melaka. Kemasukkan alat muzik biola tidak dapat disangkal bahawa seni Dondang
Sayang telah diperkemaskan dengan lebih sempurna di mana bentuk asalnya yang tidak
teratur dan menentu disusun dengan menggunakan melodi biola.
Namun begitu, terdapat beberapa kepincangan yang boleh dilihat sebelum
bersetuju untuk menyatakan bahawa orang Portugis yang mencipta seterusnya
memperkenalkan Dondang Sayang ini. Ini terbukti terutamanya jika diteliti dari aspek
sifat semulajadi bangsa Eropah itu sendiri seperti iklim negeri asal dan bentuk lagu
klasik Barat. Pada dasarnya kedudukan Negara Portugal yang terletak dalam lingkungan
kawasan sederhana dunia telah mempengaruhi dengan gaya hidup masyarakatnya yang
kebiasaannya sentiasa bergerak cergas dan pantas.

Situasi ini sama sekali menyangkal bahawa bangsa Portugis yang


bertanggungjawab untuk mencipta Dondang Sayang yang bersifat lemah-lembut serta
melintuk-liuk sedangkan bangsa Portugis terkenal dengan sifat semulajadinya yang
sentiasa bertenaga, ligat dan aktif. Bukan itu sahaja, bentuk lagu klasik Barat yang
cenderung bersifat melankolik langsung tidak mencerminkan bahawa seni Dondang
Sayang merupakan hak milik kepunyaan bangsa Eropah sama sekali memandangkan
lagu Dondang Sayang bersifat lembut.

Walau bagaimanapun, tidak dapat disangkal bahawa terdapat lagu lama yang
diwarisi oleh orang-orang Portugis yang menetap di Melaka mempunyai persamaan
dengan beberapa buah lagu klasik milik orang Melayu. Persamaan kedua-dua buah lagu
boleh dilihat dengan jelas khususnya dari segi rentak dan nyanyiannya. Contohnya, dua
buah lagu lama Melayu iaitu ‘Serampang Laut’ dan ‘Serampang Pantai’ dikatakan
mempunyai persamaan dengan sebuah lagu lama orang Portugus yang dikenali sebagai
Branyo. Lagu Branyo merupakan lagu yang berentak joget sama seperti lagu Serampang
Pantai dan Serampang Laut.

Secara keseluruhannya, seni Dondang Sayang boleh dikatakan lahir melalui


gabungan serta adunan dua buah negara iaitu Barat dan Timur berdasarkan kepada
unsur-unsur yang wujud dalam seni Dondang Sayang itu sendiri. Walau bagaimanapun,
kebenaran tentang dari mana asal usul Dondang Sayang masih belum menemui
jawapannya memandangkan ketiadaan bukti-bukti yang kukuh seperti pengasas serta
pencipta sebenar lagu Dondang Sayang. Oleh itu, terdapat tiga pendapat yang telah
dikemukakan berdasarkan kepada andaian setelah kajian serta tinjauan keterangan
dijalankan dengan mengambil kira beberapa aspek penting seperti unsur, bentuk dan
struktur Dondang Sayang serta perkaitannya dengan faktor sekeliling.
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, pantun boleh diinterpretasikan sebagai
puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap. Selain
itu, pantun juga boleh didefinisikan sebagai puisi atau karangan berangkap kepunyaan
bangsa Melayu yang diwarisi turun-temurun. Pernyataan yang menyatakan bahawa
pantun merupakan hak milik serta warisan turun-temurun orang Melayu turut disokong
oleh beberapa orang tokoh sarjana dari Timur dan juga Barat. Antara tokoh yang
menyokong bahawa pantun merupakan warisan orang Melayu ialah Zuber Usman,
seorang pengarang terkenal Indonesia, dalam bukunya KESUSASTERAAN LAMA
INDONESIA telah menekankan bahawa :

“Pantun ialah puisi Melayu lama, sebab dia boleh terus kekal bentuknya kerana
diciptakan oleh masyarakat lama yang kukuh dan padu. Masyarakat lama itu
mempunyai persatuan yang lebih rapat, lebih padu tidak pecah-belah berderai-
derai seperti masyarakat moden.”

Pendapat yang dikemukan oleh Zuber Usman turut disokong oleh ramai pengarang
terkenal Indonesia yang lain. Selain itu, menurut Harun Aminurrashid dalam bukunya
KAJIAN PUISI MELAYU pula menyatakan bahawa :

“Memang pantun menjadi puisi Melayu yang sangat terkenal di Tanah Melayu dan
kepada persuratan Melayu serta kepada masyarakat Melayu. Boleh dikatakan tiap-tiap
anak Melayu dari kanak-kanaknya hingga kepada orang tua-nya, dari orang
kebanyakan hinggalah kepada orang-orang besarnya semua tahukan pantun dan boleh
berpantun.”

Pemilikan puisi pantun sebagai hak orang Melayu turut diperakui oleh seorang
Sarjana Barat iaitu R.O. Winstedt berdasarkan kajian beliau tentang kesusasteraan
Melayu. Beliau telah menegaskan dalam bukunya PANTUN MELAYU bahawa :

“Orang asing yang belum mengenal pantun, boleh dikatakan orang itu belum mengenal
rohani dan jalan fikiran orang Melayu yang sebenar.”

Secara keseluruhannya, tidak dapat dinafikan bahawa pantun serta seni Dondang
Sayang mempunyai perkaitan yang sangat kuat di mana kedua-duanya saling lengkap-
melengkapi antara satu sama lain. Pantun sebagai unsur yang terpenting dalam seni
Dondang Sayang turut diperakui oleh seorang pengarang Indonesia iaitu Harun
Aminurrashid dalam bukunya yang bertajuk KAJIAN PUISI MELAYU. Dalam buku
tersebut, beliau telah menegaskan bahawa :

“ Dalam buku-buku Melayu, pengarang-pengarang Melayu selalu menyelitkan


pantun untuk menjadi perhiasan karangannya. Cuba lihat buku-buku Sejarah Melayu
dan Hikayat Abdullah yang telah terkarang berabad lamanya ada terdapat pantun di
dalamnya. Begitu juga dalam majlis-majlis jamuan yang diadakan oleh masyarakat
Melayu selalu kita dengar pantun menjadi perhiasan ucapan yang dihamburkan dalam
majlis itu. Hampir tiap-tiap nyanyian Melayu, senikatanya berbentuk puisi pantun,
terutamanya dalam nyanyian Dondang Sayang.”
CIRI-CIRI DONDANG SAYANG

3.1 Kumpulan Pemuzik

Dalam konteks seni Dondang Sayang, jumlah ahli dalam sebuah kumpulan
pemuzik adalah tidak tetap sebaliknya bergantung kepada bilangan alat muzik yang
digunakan. Pada asasnya, kumpulan pemuzik Dondang Sayang boleh ditubuhkan
dengan hanya terdiri daripada empat orang ahli pemuzik sahaja iaitu seorang penggesek
biola, dua orang pemukul rebana dan seorang pemalu gong atau tetawak.

Namun begitu kebiasaannya, dalam sebuah kumpulan pemuzik Dondang Sayang


akan mempunyai lebih daripada empat orang ahli pemuzik. Jumlah ahlinya yang ramai
adalah bertujuan membolehkan pemuzik yang kepenatan bertukar ganti antara satu sama
lain. Contohnya, sesuatu persembahan Dondang Sayang akan mengambil tempoh
masa yang agak lama, oleh itu, proses pertukaran pemain akan sering berlaku khususnya
kepada pemain-pemain alat palu seperti rebana dan gong atau tetawak.

kumpulan pemuzik Dondang Sayang diketuai oleh seorang ketua yang


bertanggungjawab untuk memastikan setiap ahli kumpulan sentiasa bekerjasama,
sepakat serta komited dengan tugas masing-masing bagi mengelakkan berlakunya
sebarang masalah yang dipercayai mampu menguggat kredibiliti mereka sebagai sebuah
kumpulan pemuzik Dondang Sayang. Umumnya, kumpulan pemuzik Dondang Sayang
sering diketuai oleh pemain biolanya. Meskipun begitu, tidak mustahil sekiranya
kumpulan pemuzik Dondang Sayang ini diketuai oleh pemain alat-alat muzik yang lain
ataupun diketuai oleh pemantun-penyanyi itu sendiri bergantung kepada suara majoriti
ahli yang memilih siapa yang layak untuk mengetuai atau memimpin mereka.

3.2 Peralatan Muzik

Dari aspek peralatan muzik, lazimnya peralatan muzik yang asas yang akan
digunakan untuk mengiringi sebuah persembahan Dondang Sayang terdiri daripada
sebuah biola, dua buah rebana serta sebuah gong atau sebuah tetawak. Walau
bagaimanapun, bukanlah kesemua alat muzik yang digunakan untuk mengiringi seni
persembahan Dondang Sayang merupakan alat muzik tradisional (tempatan). Alat
muzik tradisional yang digunakan hanyalah rebana, gong dan tetawak. Manakala alat
muzik lain seperti biola dan tabur pula dipercayai merupakan alat muzik yang dibawa
masuk oleh negara Barat ke Kepulauan Melayu.
Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, persembahan Dondang Sayang hanya
diiringi dengan paluan gendang dan juga rebana berikutan ketiadaan alat-alat melodi
pada ketika itu. Namun begitu, kegemilangan negeri Melaka serta fungsinya sebagai
pelabuhan entrepot telah menyebabkan orang-orang Barat mula membawa masuk
seterusnya memperkenalkan alat-alat melodi seperti biola yang tanpa disedari akhirnya
biola telah menjadi alat muzik yang paling penting untuk memelodikan lagu Dondang
Sayang. Oleh itu, tidak mustahillah sekiranya dikatakan bahawa biola merupakan nadi
kepada Dondang Sayang memandangkan tanpa biola maka pincanglah persembahan
Dondang Sayang sama sekali.

Hal ini terbukti di mana antara banyak-banyak alat muzik melodi, hanya biola
sahaja yang paling sesuai digunakan dalam seni Dondang Sayang. Contohnya menerusi
gesekan biola, keaslian lagu Dondang Sayang yang dimelodikan lebih menyerlah kerana
gesekan biola mempunyai ketepatan bunyi yang gemersik yang bukan sahaja mampu
untuk menimbulkan dan membangkitkan kesegaran lagu Dondang Sayang bahkan pada
masa yang sama berupaya untuk menghidupkan persembahan sehinggakan penonton
berasa ghairah, teruja serta seronok untuk terus menikmati persembahan tersebut.

Selain itu ketiadaan alat muzik lain sama ada alat muzik melodi mahupun alat
muzik paluan yang mampu untuk mengatasi biola dalam memelodikan lagu Dondang
Sayang dengan sempurna menyebabkan biola dilihat sebagai alat muzik yang istimewa
di mana biola dan Dondang Sayang merupakan dua unsur yang bukan sahaja tidak dapat
dipisahkan malah saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Buktinya, dengan
hanya menggesekan alat melodi biola bukan sahaja dipercayai sudah berupaya untuk
membentuk dan menghasilkan lagu Dondang Sayang yang cukup sempurna tetapi pada
masa yang sama juga mampu untuk menyerlahkan persembahan jika dibandingkan
dengan alat-alat muzik yang lain yang turut sama digunakan dalam persembahan
Dondang Sayang seperti rebana, gong dan tetawak.

Kegagalan alat-alat muzik lain sama ada yang dipetik, ditiup dan dipalu bukan
sahaja dipercayai tidak mampu untuk menjiwai lagu Dondang Sayang sebaliknya turut
menampakkan unsur-unsur kehambaran seolah-olah persembahan Dondang Sayang
telah hilang keasliannya serta nilai seninya. Walau bagaimanapun, secara
keseluruhannya, tidak dapat dinafikan bahawa alat-alat muzik lain seperti rebana, gong
dan tetawak masih tetap diperlukan berdasarkan kepada keperluan serta kemampuannya
untuk mengiringi gesekkan biola bagi menjadikan persembahan Dondang Sayang lebih
menarik.

3.3 Persembahan

Setiap peralatan muzik yang digunakan dalam Dondang Sayang sama ada biola,
rebana, tetawak atau gong adalah saling bergantungan antara satu sama lain kerana
kesemua alat muzik yang digunakan masing-masing mempunyai pernan serta fungsinya
yang tersendiri. Dalam sebuah persembahan Dondang Sayang, lazimnya persembahan
akan dimulakan dengan gesekan biola bagi melahirkan melodi lagunya seterusnya
sebagai tanda menyulungi alunan pembukaan lagunya. Gesekan biola kemudiannya
diikuti pula dengan paluan rebana bertujuan untuk menyusun serta memulakan rentak
disamping paluan gong atau tetawak pula adalah bertujuan untuk meningkah rentak
tersebut.

3.4 Tema Pantun

Dalam nyanyian Dondang Sayang, tidak terdapatnya penekanan mahupun


pengkhususan terhadap satu tema sahaja. Tema pantun bagi nyanyian Dondang Sayang
adalah bergantung kepada pernyataan-pernyataan yang terkandung dalam isi
maksudnya. Antara tema pantun yang terdapat dalam nyanyian Dondang Sayang ialah
kasih, budi, kias-ibarat, jenaka, burung, ayam, harimau, pokok, gajah, sejarah, laut dan
sebagainya.

Kebiasaannya, pemilihan tema atau tajuk pantun akan dibuat oleh pemantun-
penyanyi yang memulakan nyanyian. Apabila pemantun-penyanyi lelaki telah
mengemukakan sesuatu tema, maka secara automatiknya, pemantun-penyanyi wanita
akan menjawab berdasarkan kepada tema pantun tersebut. Contohnya, jika pemantun-
penyanyi memulakan persembahan Dondang Sayang dengan pantun kasih maka pantun
kasih jugalah yang akan dibalaskan. Oleh itu, pada dasarnya, pemantun-penyanyi
mempunyai peluang iaitu bebas untuk memilih tema yang akan didendangkan
dipersembahan Dondang Sayang. Contoh pantun budi yang dinyanyikan pada
permulaan persembahan Dondang Sayang ialah :
Tukar baju tukar seluar,

Turun ke sawah menanam padi,

Saya seorang dagang di luar,

Cuba-cuba menabur budi.

Walau bagaimanapun, penukaran tema pantun disaat persembahan Dondang


Sayang dijalankan merupakan perkara yang biasa. Namun begitu, penukaran tema
dibuat dengan cara hormat di mana pemantun-penyanyi sama ada lelaki atau wanita
terlebih dahulu meminta persetujuan antara satu sama lain sebelum penukaran tema
pantun dibuat bagi mengelakkan berlakunya perbalahan

3.5 Tempat

Pada dasarnya persembahan Dondang Sayang bukanlah suatu bentuk


persembahan yang bersifat formal yang mana persembahan Dondang Sayang tidak
memerlukan sama sekali tempat serta masa yang khusus mahupun majlis-majlis
tertentu. Sebaliknya Dondang Sayang boleh dipersembahkan pada bila-bila masa tanpa
mengira tempat serta jenis majlis. Hal ini bertepatan dengan tujuan sebenar Dondang
Sayang diperkenalkan iaitu untuk menghiburkan orang ramai seterusnya memeriahkan
sesuatu majlis.

Dondang Sayang juga turut diklasifikasikan sebagai seni persembahan yang


bersifat fleksibel kerana boleh dipersembahkan di mana-mana sahaja sama ada di
halaman rumah, di atas rumah, di dalam balai serta di majlis-majlis terbuka. Namun
begitu, lokasi yang sering dijadikan pilihan yang sesuai untuk mengadakan
persembahan Dondang Sayang ialah rumah. Persembahan Dondang Sayang ini boleh
diadakan di mana-mana bahagian rumah seperti di ruang dapur dan anjung rumah.
Walau bagaimanapun ruang rumah yang sering menjadi pilihan utama untuk diadakan
persembahan Dondang Sayang ialah di serambi dan sengkuap. Persembahan Dondang
Sayang cenderung untuk diadakan sama ada di serambi, anjung rumah dan sengkuap
memandangkan pada zaman dahulu hanya ahli-ahli kumpulan pemuzik serta pemantun-
penyanyi lelaki sahaja yang dapat ditonton oleh orang ramai. Manakala pemantun-
penyanyi wanita pula sekadar dapat didengari suaranya sahaja.

Pada dasarnya, pemantun-penyanyi iaitu lelaki dan wanita yang terlibat dalam
persembahan Dondang sama ada secara langsung atau tidak langsung sebenarnya tidak
saling mengenali antara satu sama lain. Meskipun begitu, kerancakkan sesi berbalas
pantun tanpa disedari tetap wujud iaitu proses tanya-menaya serta jawab-berjawab
antara kedua-dua belah pihak. Menerusi proses jualbeli pantun akhirnya pemantun-
penyanyi lelaki dan wanita yang pada mulanya tidak mengenali akan saling berkenalan
seterusnya akan mengenali antara satu sama lain.

3.6 Pakaian

Pada dasarnya, pakaian mencerminkan bangsa yang mewarisi bidang seni


tersebut lantaran akan wujudnya penyesuaian antara pewaris dan bentuk persembahan
seni dan kebudayaan. Justeru itu, pakaian yang cenderung digunakan dalam
persembahan Dondang Sayang oleh kebanyakkan ahli kumpulan pemuzik dan juga
pemantun-penyanyi ialah pakaian tradisi orang-orang Melayu Melaka.

Pemakaian pakaian tradisi dalam persembahan Dondang Sayang bukan sahaja


disifatkan sebagai pakaian yang sopan dan lengkap bahkan sedap mata memandang
memandangkan pakaian tradisi ini adalah bersesuian untuk semua tempat, majlis serta
suasana. Pemakaian pakaian tradisi juga dalam seni persembahan Dondang Sayang
sekaligus memberikan gambaran yang tepat tentang ciri-ciri peribadi orang Melayu itu
sendiri yang lemah-lembut, berperkerti tinggi serta kaya dengan nilai-nilai ketimuran.

Dalam konteks seni persembahan Dondang Sayang, pakaian yang sering dipakai
oleh orang lelaki terdiri daripada baju Melayu leher Teluk Belanga, seluar Melayu sama
ada potongan pantelun atau potongan Cina, kain samping, songkok dan juga capal
sebagai alas kaki iaitu kasut. Manakala pakaian yang sering dipakai oleh wanita pula
ialah baju kurung leher Teluk Belanga atau baju kebaya, kain sarung iaitu sama ada kain
batik sarung atau kain batik lepas, selendang dan juga kasut seret sebagai alas kaki iaitu
kasut. Lazimnya, orang-orang yang terlibat dalam persembahan Dondang Sayang lebih
gemar untuk mengenakan pakaian tradisi memandangkan pemakaian pakaian tradisi
tidak menghalang sama sekali pemantun-penyanyi serta ahli pemuzik untuk bergerak
bebas.
Meskipun ketiadaan pemilihan serta penetapan yang khusus berhubung dengan
aspek pakaian dalam seni persembahan Dondang Sayang, namun kekemasan pakaian
adalah diutamakan bergantung kepada keadaan majlisnya.

3.7 Rentak lagu

Secara umumnya, jenis lagu yang didendangkan oleh pemantun-penyanyi serta


kumpulan pemuzik Dondang Sayang adalah bersifat universal. Ini bermaksud bahawa
jenis lagu yang didendangkan atau dimainkan oleh kumpulan pemuzik Dondang Sayang
bukanlah terhad kepada satu jenis lagu sahaja tetapi pada masa yang sama pemantun-
penyanyi serta kumpulan pemuzik Dondang Sayang mempunyai bakat serta kemahiran
dalam mempersembahkan pelbagai jenis lagu seperti lagu joget, lagu asli dan lagu
nasib. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa pemantun-penyanyi dan kumpulan
pemuzik merupakan dua gabungan yang unik serta istimewa kerana berupaya serta
berkemampuan dalam memenuhi kehendak dan juga selera para pendengar dan
penggemar yang menggemari seni persembahan Dondang Sayang.

Bukan itu sahaja, bakat serta kemampuan kumpulan pemuzik Dondang Sayang
boleh dilihat menerusi kebolehan mereka dalam mempersembahkan lagu-lagu yang
terdiri daripada pelbagai rentak terutamanya rentak-rentak yang terdapat dalam lagu
Melayu seperti inang, zapin, masri dan ghazal. Pada dasarnya, rentak lagu Dondang
Sayang adalah bercorak rentak lagu Melayu asli. Namun begitu, kepelbagaian rentak
muzik dalam lagu-lagu Melayu serta kesediaan dan kesesuaian rentak-rentak ini tanpa
disedari telah memberikan nafas baru kepada seni Dondang Sayang di mana rentak-
rentak seperti zapin, ghazal dan inang ini telah dipadankan serta diserap masuk ke
dalam lagu Dondang Sayang.

Umumnya, lagu Dondang Sayang bukan sahaja boleh dipadankan serta


disesuaikan dengan rentak lagu Melayu sahaja tetapi pada masa yang sama lagu
Dondang Sayang boleh dipadankan dengan rentak lagu yang berasal daripada negara
Barat seperti rentak mambo. Walau bagaimanapun, lagu Dondang Sayang yang
berentak mambo dikatakan mempunyai rentak lagu yang lebih moden jika dibandingkan
rentak asal lagu Dondang Sayang itu sendiri. Sebagai contohnya, penyerapan masuk
rentak muzik daripada negara Barat ke dalam lagu Dondang Sayang iaitu rentak mambo
telah menghasilkan Dondang Sayang yang berentak lebih moden yang dikenali sebagai
“Dondang Sayang Mambo” sekitar tahun 50-an. Penggabungjalinan pelbagai rentak
lagu ke dalam seni Dondang Sayang tidak dapat dinafikan bukan sahaja telah memberi
nafas baru bahkan turut mendapat tempat dihati pendengar serta peminat lagu Dondang
Sayang. Pada masa yang sama kepelbagaian rentak muzik dalam lagu Dondang Sayang
juga dipercayai telah berjaya mengubah suasana persembahan supaya bersifat lebih
segar, meriah dan tidak membosankan.

3.8 Proses Penyampaian Lagu Dondang Sayang

Lazimnya persembahan akan dimulakan dengan pantun-pantun yang bersifat


merendahkan diri. Pada ketika ini, pemantun-penyanyi masing-masing merasakan
dirinya serba kekurangan iaitu tidak tahu apa-apa seolah-olah mereka belum pernah atau
baru kali pertama masuk gelanggang, mahu mencuba nasib dan
sebagainya.Memandangkan kebiasaannya pemantun-penyanyi lelaki merupakan pihak
yang datang bertandang maka secara automatiknya pihak pemantun-penyanyi lelaki
yang akan memulakan nyanyian pantun terlebih dahulu.

Dalam persembahan Dondang Sayang, pantun-pantun yang dinyanyikan


dipercayai berlaku dalam bentuk yang spontan iaitu lahir hasil daripada cetusan idea dan
ilham pemantun-penyanyi secara serta-merta. Nyanyian pantun ini berlaku secara dua
hala dalam bentuk berbalas-balas pantun antara satu pihak dengan pihak yang lain
melibatkan pihak lelaki dan juga pihak wanita. Kebolehan serta bakat pemantun-
penyanyi dalam menyanyikan pantun soal dan pantun jawab seolah-olah bersahaja dan
bukaannya secara paksaan telah menjadikan persembahan Dondang Sayang menjadi
lebih menarik serta meriah.

Menerusi kebolehan serta bakat berbalas pantun yang dimiliki oleh pemantun-
penyanyi, tidak dapat dinafikan sama sekali bahawa mereka yang terlibat terdiri
daripada orang-orang yang mempunyai bakat semulajadi, handal serta bijak dalam
berpantun. Situasi ini dapat dilihat menerusi cara mereka menyampaikan dan
menyanyikan lagu

Walaupun proses jualbeli pantun berlaku secara bersambung-sambung, namun


kedua-dua pihak sama ada penjual pantun dan pembeli pantun haruslah terlebih dahulu
memahami maksud pantun yang dijual sebelum membeli atau membalas pantun
tersebut. Ini bertujuan untuk menggelakkan pemantun-penyanyi sama sekali membeli
pantun yang dijual dengan membalas pantun yang tidak kena maksudnya. Kesilapan
pemantun-penyanyi dalam memahami pantun yang dijual akan mengakibatkan
pemantun-penyanyi tersebut akan menerima pantun balasan yang bersifat seperti
memukul teruk.

Kepelbagaian gaya, bentuk serta lenggok yang berbeza hasil daripada kebolehan
seorang pemantun-penyanyi akan menimbulkan berbagai-bagai rencam bentuk
nyanyian. Meskipun begitu, kepelbagaian jenis gaya nyanyian yang wujud dipercayai
tidak sama sekali mampu untuk menguggat keistimewaan dan keunggulan seni
Dondang Sayang. Sebagai contoh, di Melaka terdpat berbagai-bagai gaya nyanyian
Dondang Sayang seperti mengikut terus kehendak lagunya seperti alunan melodi,
menggantung lagunya dengan menyingkatkan sebutan perkataan dalam pantun,
perkataan ketiga baris pertama pantun dipanjangkan sebutannya, perkataan keempat
baris pertama dipanjangkan sebutannya, meleret-leretkan nyanyian maksud pantun dan
berbagai-bagai lagi.

Ketatatertiban dalam persembahan Dondang Sayang turut dapat diperhatikan


tatkala pemantun-penyanyi yang bukan terdiri daripada golongan pemain atau pemuzik
yang sedia ada atau berasal dari luar kawasan tetapi berhajat ingin tumpang menyanyi
bersama-sama terlebih dahulu akan berpantun dengan pantun-pantun yang berbunyi
memohon izin sebagai tanda meminta kebenaran untuk tumpang bermain.
SAMBUTAN MASYARAKAT

Hingga kini umum menganggap bahawa oleh kerana lagu Dondang Sayang
berasal di Melaka maka pastilah kebanyakan daripada orang Melaka pandai atau tahu
menyanyi lagu tersebut. Sebenarnya terlalu sedikit bilangan orang Melaka yang tahu
menyanyikan lagu Dondang Sayang. Bukan mudah menyanyikan lagu ini. Ia tidak
boleh ditiru-tiru atau dipelajari melalui pendengaran seperti mempelajari lagu-lagu lain.
Lagu Dondang Sayang mesti dipelajari dengan sungguh-sungguh kerana ia mempunyai
bentuk dan cara yang tertentu untuk menyanyikannya. Bagaimanapun lagu ini bukan
sahaja diminati oleh orang Melayu bahkan diminta juga golongan masyarakat bukan
Melayu iaitu masyarakat Cina Peranakan yang dikenali dengan panggilan Baba dan
Nyonya dan juga masyarakat Serani atau yang dikenali sebagai orang Portugis.

Beberapa orang penyanyi lagu Dondang Sayang yang terkemuka di Melaka


pada masa ini adalah terdiri daripada golongan tua. Hampir tidak ada golongan
muda yang meminati lagu ini. Kurangnya minat golongan muda menyanyikan lagu
Dondang Sayang, bukan sahaja kerana sukarnya menyanyikan lagu tersebut, tetapi
aspek yang lainnya adalah kerana mereka tidak pandai berpantun.

Seorang penyanyi yang baik suaranya boleh menyanyikan lagu Dondang


Sayang jika disediakan pantun terlebih dahulu. Yang menjadi kesulitan kepada si
penyanyi adalah jika dia perlu menjawab pantun orang yang menjadi lawannya
menyanyi. Masa untuk menjawab pantun orang lain dalam Dondang Sayang agak
singkat ,hanya orang yang cekap mencipta pantun sahaja yang dapat mencipta dengan
sempurna.

Hingga kini masih belum ada ahli-ahli sejarah budaya atau ahli-ahli kesenian
kita yang telah membuat kajian tentang asal usul lagu Dondang Sayang secara
mendalam. Bagaimanapun ada juga pendapat-pendapat ringkas yang menyatakan lagu
tersebut berasal dari daerah Riau, Indonesia. Beberapa tulisan mengenainya lebih
menekankan kepada aspek pantun yang dinyanyikan dalam lagu ini, kurang atau tidak
langsung memperkatakan tentang asal usul lagu Dondang Sayang.
KESIMPULAN

Dengan itu jelaslah bahawa Dondang Sayang adalah seni tradisi negeri Melaka,
bukan ciptaan atau pengaruh daripada seni lagu Portugis. Namun demikian dapat pula
diyakinkan lagu ini sudah mula berkembang di zaman pemerintahan Portugis di
Melaka.

Suatu hakikat yang harus diakui bahawa seni lagu Dondang Sayang lebih
diperkemas lagi dengan adanya alat muzik dari Barat iaitu biola. Alat-alat muzik
tradisional yang digunakan ialah rebana, gendang dan gong. Dengan demikian dapatlah
dibuat kesimpulan bahawa lagu Dondang Sayang serta dengan alat-alat muziknya
adalah hasil daripada ciptaan ahli-ahli seni lagu di Melaka. Ini bererti lagu ini telah
wujud dalam kesenian Melayu di Malaysia sejak abad yang ke 15 Masihi.

Sejak wujudnya, lagu ini terus berkembang dari utara hingga ke selatan
Selat Melaka. Yang dimaksudkan kawasan budaya atau dunia Melayu ialah di
Sumatera dan Riau, Indonesia. Demikianlah kesan-kesan sejarah tentang lagu
Dondang Sayang yang dapat diteroka oleh ahli-ahli seni lagu di Malaysia.

Pengaruh alam setempat menimbulkan beberapa ciri perbezaan yang


menambahkan lagi gaya dan corak atau langgam orang menyanyikan lagu ini.
Itulah sebabnya timbul kumpulan atau kelompok-kelompok ahli-ahli Dondang
Sayang yang terkenal hingga melahirkan nama-nama seperti Dondang Sayang
Melaka, Dondang Sayang Tanjung Surat, Dondang Sayang Temasik dan Dondang
Sayang Baba dan Nyonya. Perbezaannya bukan pada dasar dan bentuk lagu
ataupun alat muzik tetapi pada cara persembahan nyanyian.

Jikalau didengar pada cara menyanyi akan dapat dirasakan kelainannya


yang nyata. Nyanyian Dondang Sayang Tanjung Surat dan Temasik, sebutan patah
lagunya pada suara pertengahan, dan kadang-kadang tinggi, diikuti oleh nyanyian
baris dua maksud pantun. Sedangkan bagi Dondang Sayang Melaka sebutan itu
rendah dan berakhir dengan kelembutan suara yang lunak dan beralun.
Keistimewaan dan keutamaan menyanyikan lagu Dondang Sayang ialah
nyanyian pantunnya. Tanpa dinyanyikan dengan pantun lagu ini kurang meninggalkan
kesan kerana belum lengkap sebagai suatu persembahan lagu. Bagi orang-orang yang
ahli dalam nyanyian lagu ini secara bersendirian akan menyanyikan secara perlahan
atau dalam hatinya apabila mendengarkan lagu Dondang Sayang dimainkan. Di sinilah
letaknya keistimewaan atau bentuk yang tersendiri lagu Dondang Sayang. Inti pada
lagu ini ialah pantun yang dinyanyikan.

Demikianlah kepelbagaian corak atau gaya orang menyanyikan lagu


Dondang Sayang mengikut pendapat orang-orang yang ahli dalam seni lagu
tersebut. Bagaimanapun pada dasarnya pantun dan suara serta gaya menyanyi
menentukan nilai atau mutu nyanyian Dondang Sayang. Jikalau tidak demikian
akan terasalah kepincangan pada pendengaran dan citarasa seninya.

Anda mungkin juga menyukai