Anda di halaman 1dari 6

SEJARAH PANTUN PANTUN adalah genre kesusasteraan tradisional Melayu yang berkembang di seluruh dunia khususnya di Nusantara sejak

ratusan tahun lampau. Pantun adalah simbol artistik masyarakat Nusantara dan ia adalah lambang kebijaksanaan berfikir. Pantun sering dijadikan sebagai alat komunikasi. Pantun bersifat ringkas, romantik dan mampu mengetengahkan aspirasi masyarakat dengan lebih jelas. Ia begitu sinonim dengan pemikiran dan kebudayaan masyarakat nusantara dan Malaysia.

Di Nusantara, pantun wujud dalam 39 dialek Melayu dan 25 bukan dialek. Pantun juga didapati turut berkembang di selatan Burma, Kepulauan Cocos, Sri Lanka, Kemboja, Vietnam serta Afrika Selatan (kerana pengaruh imigran dari Indonesia dan Malaysia).

Pantun di Malaysia dan Indonesia telah ditulis sekitar empat abad lalu. Malah, ia mungkin berusia lebih tua daripada itu seperti tertulis dalam Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu.Menyedari kepentingan pantun dalam memartabatkan budaya Melayu, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia pernah mengadakan Seminar Pantun 2006 di Auditorium Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur . Seminar itu bertujuan mengetengahkan bakat-bakat baru di kalangan sektor korporat di samping memastikan generasi akan datang mengenali pantun sebagai seni tradisional Melayu yang unik.

Menurut Ketua Bahagian Kesusasteraan Tradisional Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada waktu itu, iaitu Rogayah A. Hamid, pantun merupakan satu-satunya hak milik kekal bangsa Melayu yang tidak tercemar dalam pertembungan masyarakat dunia. Oleh itu, kata beliau, usaha mengekalkan semula pantun terutama pada majlis-majlis tertentu haruslah dipelihara supaya kesenian itu dapat dikembalikan dalam kehidupan Melayu sarwajagat.

Menurut Rogayah, sejak zaman berzaman keindahan pantun memainkan peranan penting sebagai bahan hiburan bergurau senda dan juga meluahkan perasaan yang tersirat. Contohnya:

Jeling-jeling paku, Paku masak lemak; Siapa jeling aku Aku cakap pada emak.

Contoh itu, katanya, melambangkan orang Melayu mempunyai kebijaksanaan yang tinggi dalam mengeksploitasi dan memanipulasi hal percintaan dan kasih sayang.Malah, kata Rogayah, kebijaksanaan orang Melayu menjadikan pantun sebagai alat komunikasi dalam beberapa upacara penting seperti upacara merisik, meminang dan adat istiadat perkahwinan, pembuka bicara dalam adat istiadat diraja juga telah memberi gambaran orang Melayu sebagai satu bangsa yang unik.

Selain digunakan untuk berkomunikasi dalam beberapa adat istiadat, pantun juga dijadikan sebagai lirik dalam lagu-lagu Melayu lama seperti lagu Melayu asli, keroncong, dondang sayang, zapin, ghazal, canggung, beduan, seloka rakyat, bongai, belotah, barongan, tumbuk kalang, gendang Sarawak dan sebagainya.

Contohnya: Tuai padi antara masak, Esok jangan layu-layuan; Intai kami antara nampak, Esok jangan rindu-rinduan.

Sehubungan itu, Rogayah berkata, secara jelas pantun dapat memperlihatkan kesopanan Melayu kerana percakapan dalam pantun sentiasa beralas, suka berkias ibarat kerana sikap tolak ansur yang tinggi dan merendah diri. Pencemaran pantun berlaku kerana pemantun kerap kali tersilap dalam menyebut ataupun tidak dapat membezakan antara pantun dengan syair.Menurut beliau, kesilapan pantun boleh terjadi apabila terlebih atau terkurang suku kata, pembayang tidak betul, tidak sama rima, rima akhir macam syair, baris pantun yang tergantung dan silap teknik dalam menulis.

Sementara itu, penulis dan penyelidik pantun tradisional Melayu, Dr. Harun Mat Piah dalam kertas kerja Sejarah Pantun dan Keindahannya berkata, sejarah dan perkembangan pantun Melayu amat jelas membuktikan pantun adalah milik bangsa dan tamadun Melayu.

Menurut beliau pemahaman terhadap pantun Melayu sewajarnya mengambil kira beberapa aspek sastera dan budaya Melayu sendiri termasuk ciri-ciri keunikan bahasa, aspek estetika dan etikanya, nilai dan pemikiran, jati diri dan pandangan dunia.

Pantun adalah satu cabang kesusasteraan melayu yang paling tua di negara kita ini. Pantun melayu telah ada dalam masyarakat orang melayu sejak zaman berzaman dahulu dan sudah menjadi sastera rakyat berabad lamanya. Mengikut sejarah pantun telah ada di dalam masyarakat bangsa melayu sebelum adanya Negara Temasik dan sebelum adanya kerajaan melayu melaka yang telah jatuh ketangan Portugis pada tahun 1511 dahulu. Pantun mula-mula dicipta oleh orang melayu untuk menyampaikan perasaan hatinya yang terharu dimasa dia sedih kerana duduk berdagang di perantauan, mengenangkan untung nasib yang malang dan dimasa bersuka ria.

Pantun juga ialah puisi tradisional Melayu turun-temurun yang tertua di dalam Budaya Melayu. la adalah akar budi dan daya rasa yang selalu membijaksanakan fikiran dan memperindah perasaan. Boleh dikatakan semua suku bangsa di Alam Melayu mempunyai bentuk pantunnya sendiri dalam dialek atau bahasa ibunda masing-masing. Pantun berbanding dengan syair. gurindam, seloka, rubai, ghazal dan sebagainya mempunyai kedudukan tersendiri sebagai alat untuk menyatakan hajat -pembayang niat, bunga istiadat, pembuka kata, penamat bicara, pengucapan rindu dagang merantau.

Anak-anak Melayu dahulu pandai berpantun. Justeru itu pantun digunakan dalam kehidupan budaya Melayu. Inilah peninggalan pusaka nenek moyang mewariskan

kepada kita dari pujangga tak bernama, khazanah yang memperkayakan perbendaharaan sastera kita. Pantun telah wujud sejak zaman berzaman, tetapi telah berkembang semenjak kerajaan-kerajaan Melayu ditubuhkan seperti Kerajaan Melayu Champa dan Srivijaya dalam abad ke-7 dan kemuncak Empayar Melayu Melaka pada abad ke-15 dan 16. Pantun merupakan puisi yang begitu diminati oleh orang-orang Melayu hinggalah ke hari ini.

Dengan mempelajari pantun Melayu. kita dapat mengenali masyarakat Melayu yang melahirkan pantun. Sistem kekeluargaan yang terikat erat dengan adat dan peraturan terpancar dalam bentuk puisi pantun yang kukuh sifatnya sentiasa dijaga dan dipelihara. Jika berubah dari sifat dan bentuk asasinya ia tidak lagi dinamakan pantun.

Rangkap-rangkap pantun yang ringkas dan mudah, mungkin sudah berligar-ligar dalam bentuk kias-ibarat, usik-mengusik, uji-menguji di kalangan masyarakat pramoden, pra-tulisan, sama seperti perumpamaan, bidalan dan rumus-rumus bahasa bersirat yang lain.

Walaubagaimanapun, pada kurun ke 14, bentuk pantun yang sudah mantap muncul dalam Hikayat Raja Pasai, karya Melayu tertulis yang dianggap terawal. Namun satu fakta yang tidak dapat disangkalkan ialah kemungkinannya lama sebelum itu, pantun mungkin sudah tersebar luas secara lisan di dunia Melayu.

Ia menghiasi dunia seni Melayu melalui keindahan bahasa dan keelokan isinya dan menghibur petani dan nelayan sebagai lirik untuk dendang rakyat atau lagu kerja.

Secara pragmatiknya, pantun mungkin mula dipopularkan sebagai lirik lagu. Mengikut teori Fischer (1961) tentang asal-usul seni, puisi yang terawal adalah muncul dari keperluan untuk membangkitkan semangat kolektif bagi memudahkan dan meringankan sesuatu kerja.

Keperluan kepada bentuk-bentuk puisi yang mudah dihafal, tekanan oleh kesepontanan penciptaan mungkin melahirkan ungkapan-ungkapan bersukat dan berima seperti pantun, yang kemudiannya dilagukan untuk mengendur situasi tegang semasa bekerja.

Bentuk pantun yang unik, sifatnya yang profan, bahasanya yang bebas dari pantang-larang, mungkin menjadikannya mudah dicipta dan kewujudannya yang lebih akrab dengan masyarakat bawahan, memudahkannya tersebar dengan selesa di kalangan masyarakat.

Anda mungkin juga menyukai