Anda di halaman 1dari 8

Tajuk 2: Huraikan aspek keindahan bentuk dan isi dalam pantun Melayu atau peribahasa Melayu.

PENDAHULUAN Puisi dapat didefinisikan berdasarkan Kamus Dewan Edisi Ketiga (1998:1063) sebagai karangan yang berbentuk (syair,pantun dan selainnya).Puisi lama seperti pantun merupakan warisan leluhur bangsa yang segar sepanjang zaman, yang lahir dari daya kreatif, berdasarkan pemikiran dan pengalaman orang tua-tua pada zaman dahulu. Pantun menggambarkan kehalusan budi dan keperihatinan masyarakat pada zaman dahulu terhadap alam dan ruang lingkup budaya masyarakat Melayu lama yang berkisar tentang dalam diri seperti persoalan kesedihan, hiba, sayu, kasih dan benci. Selain itu juga melebar kepada soalsoal sindiran dan kiasan juga cinta tanah air, pelayaran ekonomi dan hubungan diplomatik. KEINDAHAN BENTUK DAN ISI DALAM PANTUN MELAYU Pada umumnya, keindahan bentuk dan isi pantun memiliki ciri-ciri dan hukum kepuitisan yang tersendiri seperti berikut: 1. Memiliki rangkap-rangkap yang berasingan. 2. Setiap rangkap terdiri daripada baris-baris atau kerat-kerat, misalnya pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat, pantun sepuluh kerat, pantun dua belas kerat dan pantun enam belas kerat. 3. Jumlah suku kata dalam setiap baris antara lapan hingga sepuluh. 4. Setiap rangkap ada bahagian pembayang dan bahagian maksud. Sebagai contoh, dalam sebuah quartrain terdapat dua kuplet; satu kuplet pembayang dan satu lagi kuplet maksud. 5. Skima rimanya ialah a-b-a-b.

6. Setiap rangkap pantun ada stanza pantun memiliki kesatuan fikiran yang lengkap dan sempurna. 7. Memiliki lambing-lambang yang sesuai dengan norma dan nilai masyarakat setempat. 8. Terdapat hubungan makna antara pembayang atau sampiran dengan bahagian maksud. Ciri terakhir di atas telah menjadi bahan polemik yang panjang antara para pengkaji pantun. Ada yang mengatakan terdapat hubungan antara sampiran dengan maksud, dan ada pula yang menyangkal pendapat ini. Sedangkan ada pula yang mengambil jalan tengah dengan mengatakan di antara pantun-pantun itu jelas memperlihatkan hubungan. Hanya sebahagian daripadanya yang kurang jelas, bahkan ada yang tidak berhubungan langsung.Umpamanya seperti contoh pantun di bawah: Pucuk pauh berulam pauh, Petang-petang kacau inti; Sayang saya berkasih jauh, Petang-petang hancur hati. Berdasarkan pantun di atas, beberapa aspek dapat dihuraikan. Misalnya pantun tidak hanya terbatas kepada pengalaman dan perasaan sahaja, namun dapat menyimpulkan hujah dan persoalan dalam empat baris yang direka.Oleh sebab sifat dan bentuk pantun ini kecil dan padat, oleh itu tiada penceritaan panjang lebar yang dapat dibawakan. Keindahan bentuk dan isi yang dapat dikesan di sini ialah tentang cebisan kisah hidup manusia, wawasan dan bayangan perasaan yang diluahkan yang telah dipadatkan, disusun rapi dalam ruang yang kecil dengan diksi yang tepat yang tiada pembaziran dalam pemilihan diksi untuk mencipta pantun.

Pantun memiliki variasi bentuk dan jenis. Biasanya jenis pantun atau tema dapat dibahagikan mengikut isinya seperti pantun nasihat, pantun budi, pantun kepahlawanan, pantun jenaka, pantun perantau, pantun kiasan, pantun teka-teki, pantun agama, pantun kasih sayang dan pantun berkait. Masyarakat Melayu lama terikat kukuh di dalam satu ikatan lama, iaitu adat. Adat dikatakan dapat mengatur masyarakat agar selalu bersikap penuh sopan santun. Jika ada sesuatu yang ingin diluahkan, mereka tidak akan menyuarakannya secara terbuka. Sebab, perbuatan yang demikian dianggap melanggar adat atau tidak bersopan. Jadi, dalam hubungan untuk menyampaikan sesuatu, misalnya nasihat, kebijaksanaan, pengajaran, atau isi hati dan perasaan jiwa, mereka terpaksa mencari media yang paling baik seperti pantun. Apabila khalayak membaca dan menghayati pantun, seringkali akan timbul perasaan takjub, terpesona mengenai pemikiran dan kepenuhan perasaan yang disampaikan melalui baris-baris yang padat tetapi halus dan lembut alirannya. Tidak ketinggalan juga di sebalik pengisian pantun yang kaya dengan nilai-nilai kepintaran, terdapat juga unsur-unsur humor, erotik, wit, lelucon, jenaka, sindiran, ironi yang kesemuanya dibina dari dandanan, imej, baris, makna yang rapi disusun menjadi cantik dan bermakna. Setiap perkataan menanggung beban bunyi, konotasi,rima, kesedapan, kesegaran dan pemikiran. Pada umumnya, pantun merupakan bentuk puisi yang mendapat kedudukan yang istimewa dan meluas di dalam kehidupan harian dan seni budaya di kalangan masyarakat Melayu lama. Pantun bukan sahaja digunakan dalam pergaulan, malah digunakan juga dalam setiap peristiwa seperti acara permainan,hiburan majlis keramaian, adat-istiadat atau upacara. Sebagai contoh, dalam istiadat perkahwinan, pantun sering diselitkan, misalnya ketika pihak lelaki tiba di rumah pihak perempuan, mereka berbalas madah dengan menggunakan pantun: Pihak perempuan:

Katung-katung berisi manik, Manik berisi hampa padi; Sama yang datang silakan naik, Inilah air pembasuh kaki. Pihak lelaki: Dari jauh ke permatang, Tetak tangan papan kemudi; Dari jauh kami datang, Mendengar tuan yang baik budi. Seseorang yang sedang berdukacita atau bermuram durja dapat dilihat dari luahan puisi berikut: Merpati terbang ke jalan, Ikan belanak makan dikerang; Bonda mati bapa berjalan, Melarat anak tinggal seorang. (Puisi Melayu Tradisi, 1991:9) Kalangan remaja sering dilamun perasaan cinta yang meluahkan perasaan hati mereka menggunakan pantun kasih sayang seperti: Nasi lemak buah bidara, Sayang selasih saya lurutkan; Buang emak buang saudara,

Sebab kasih saya turutkan. (Puisi Melayu Tradisi, 1991:15)

Masyarakat Melayu lama terkenal dengan sifat sopan-santun, dan tidak suka berterusterang. Sekiranya mereka ingin melamar seorang gadis, pihak lelaki akan berkias dalam bentuk puisi. Meskipun isinya disampaikan secara samar-samar, tetapi pihak yang dilamar dapat menangkap maksudnya. Hal semacam ini masih ada yang mengamalkan hingga sekarang meskipun semakin haus ditelan zaman. Dalam sebuah cerita lama, Si Umbut Muda, ketika ibu Si Umbut pergi meminang Puteri Gelang Banyak, keduanya berbalas pantun seperti berikut: Ibu Si Umbut: Benar di sini surat nahu, Kalam tersisip atau kasau; Benar di sini burung mau, Hati berahi hendak mencekau. Ibu Gelang: Beringin di atas gunung, Uratnya berkelok-kelok; Kalau ingin kakak burung, Carilah getah nan elok. Pantun juga sering digunakan sebagai alat untuk menyampaikan nasihat dan pengajaran secara tidak formal, yang selalunya berunsurkan bibit-bibit psikologi yang agak lembut. Luahan yang ingin disampaikan dapat difahami daripada ayat-ayat yang ringkas, tetapi memiliki pengertian yang luas sekali. Penyusunan sesuatu pantun itu dapat dilihat dari segi penciptanya melahirkan rima dengan baris-baris maksud pantun tersebut. Ini kerana,

keindahan bentuk pantun adalah bergantung pada rima tengah dan rima akhir seeperti contoh ini. Orang Daik memacu kuda, Kuda dipacu deras sekali; Buat baik berpada-pada, Buat jahat jangan sekali. (Lukisan Zaman, 1993:8) Ketua-ketua raja duduk, Jangan ditimpa papan; Diketahui ganja itu mabuk, Apakah sebab maka dimakan. (Sejarah Melayu, 1977:210) Walaupun pantun di atas amat ringkas, tetapi pengertiannya begitu mendalam, dan isinya dapat pula menjadi pegangan untuk kebaikan masyarakat seluruhnya. Pantun jenis peribahasa juga mudah dikenali iaitu melalui penyampaian isinya menggunakan peribahasa yang begitu jelas bentuk serta susunannya. Bagi pantun kias dan ibarat pula, sesuai dengan namanya, maka setiap isi yang disampaikan bersifat kiasan, ibarat atau perbandingan seperti contoh ini. Sangkut terendak dekat beranda, Orang Papua anyam tak sudah; Jika tiada ada berita, Masakan tempua bersarang rendah.

(Puisi Melayu Tradisi, 1991:11) Keindahan bentuk dan isi pantun yang bertemakan agama terarah kepada penjanaan sahsiah, akhlak, nilai-nilai murni dan kewajipan menunaikan tuntutan agama. Di sini dapat menjelaskan bahawa jiwa nurani manusia Melayu sentiasa berinteraksi sehingga berdaya menghasilkan pemikiran yang kreatif serta manfaat untuk bangsanya yang lebih fungsional dalam membina sahsiah Melayu seperti contoh ini. Daun tetap di atas dulang, Anak udang mati dituba; Dalam kitab ada terlarang, Perbuatan haram jangan dicuba. (Lukisan Zaman, 1993:11) KESIMPULAN Masyarakat moden kini tidak harus mengetepikan sama sekali kehadiran puisi-puisi tradisional seperti pantun ini yang masih banyak belum diteliti. Bahasanya yang ringkas, padat dan bernas sering membalut pengertian yang tersirat, yang perlu dihuraikan dengan suatu pentafsiran yang tepat menerusi keindahan serta kehalusan yang tersembunyi (ambiguiti) sebagai ikatan puisi lama.

1.http://journalarticle.ukm.my/6395/1/IMAN1_6.pdf dipetik pada 30/09/13 11:25PM

2. 1 PENGGUNAAN PUISI KLASIK (PANTUN) DALAM BAHASA ... pustaka.upsi.edu.my/mom/cm/content/.../view.jsp?key... DIPETIK PADA 01/10/13 12:40AM (TESIS 111 M.SURAT)
3.http://studentsrepo.um.edu.my/2446/4/BAB_1.pdf ( TESIS UM 28 M.SURAT) DIPETIK PADA 1/10/13 12:50AM

4. http://e-journal.um.edu.my/filebank/published_article/2498/841.pdf 1:05AM (JURNAL UM 12 M.SURAT)

DIPETIK 1/10/13

5. http://resam-melayu.com/2010/01/pantun-melayu.html dipetik 3/11/2013 10:05 pm (1-8m.surat) 6. Artikel http://pantun.usm.my/makalah.asp dipetik 3/11/13 10:50pm (9-15msurat )

Anda mungkin juga menyukai