Anda di halaman 1dari 19

PANTUN

Terbang burung dari selatan, Dipuput ingin sangga bayu; Bukalah surat dari lipatan, Lihatlah pantun bahasa Melayu.

Pantun merupakan wacana puisi Melayu tradisional yang terkenal di Nusantara serta mempunyai keunikannya yang tersendiri. Pantun juga dikatakan karangan asal orang Melayu serta etos yang telah wujud sejak zaman dahulu.

Pantun sebagai hasil kreatif manusia Melayu terawal.


Dikatakan juga pantun sebagai khazanah silam yang amat bernilai, melambangkan genius manusia Melayu yang tinggi nilai sasteranya.

Pantun turut mempunyai nilai dokumentari yang tiada tolok tandingannya.

Pantun merupakan salah satu genre asli kesusasteraan menjadi wahana bagi pengucapan dalam berbagai jurusan aktiviti kehidupan masyarakat.
Pantun juga dijadikan wadah ekspresi bagi kehidupan yang lebih tinggi yakni moral dan agama, aspek-aspek yang lebih kompleks lalu membawa kepada pemikran kosmologi serta kosmogoni yang lebih bersifat abstrak berbanding dengan kehidupan seharian.

Istimewanya pantun dapat merakam cara hidup dan aktiviti kehidupan dibayangkan dengan mengeksploitasi unsur-unsur alam yang melatari serta melingkungi persekitaran setempat. Pantun juga dianggap rencah dan leluhur bangsa yang segar sepanjang zaman. Kajian yang sedang dijalankan oleh Professor Diraja Ungku Aziz. Beliau berpendapat sejak 800 tahun yang lampau pantun Melayu sudah wujud sebelum wujudnya William Shakespear.

Sementelahan itu, beliau berkata bahawa orang orang Melayu pada ketika itu sudah menghafal pantun-pantun ini kerana ketika itu minda mereka tidak berkeladak dengan perkara-perkara lain.

Jelas Ungku Aziz lagi, mereka tidak perlu datang mesyuarat atau bermain golf {Mingguan Malaysia, Jun 2011}. Sama ada lelaki atau perempuan mereka sangat pandai mengubah pantun, justeru pantun muncul sebagai genre puisi Melayu yang lahir daripada daya cipta masyarakat Melayu sepenuhnya. Pantun diungkapkan dengan bahasa yang halus dan sopan agar menarik perhatian pendengar. Pantun diperdengarkan dalam bentuk pertandingan bagi menarik minat generasi muda agar menghargai serta mengekalkan hasil karya masyarakat Melayu.

Pengertian pantun
Harun Mat Piah (1989), telah memberikan definisi pantun berdasarkan aspek dalaman dan aspek luaran atau struktur visualnya. Aspek dalaman pantun meliputi unsur estetik dan isi (tema dan persoalan). Unsur estetik pantun dapat dilihat berdasarkan dua aspek.Pertama, yang berkaitan dengan penggunaan lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu. Kedua, berdasarkan hubungan makna antara pasangan pembayang-pembayang dengan pasangan maksud sama ada secara konkrit atau abstrak. Menurut Zaba, pantun itulah kaedah rangkapan yang tertua dan memang asal kepunyaan Melayu betul. Semenjak orang Melayu belum tahu surat-menyurat dahulupun mereka telah pandai berpantun dan biasa berbalas-balas pantun sesama sendiri.

Drs.Liaw Yook Fang pula menyatakan, Pantun pada mulanya adalah senandung atau puisi rakyat yang dinyanyikan. Dalam bahasa Melayu, pantun bererti quatrain, iaitu sajak yang berbaris empat, dengan rima akhir abab. Secara ringkas, pantun dapat didefinisikan sebagai sejenis puisi lama yang terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap (Kamus Dewan: 813)

Sejarah pantun
adalah genre kesusasteraan tradisional Melayu yang berkembang di seluruh dunia khususnya di Nusantara sejak ratusan tahun lampau. Pantun adalah simbol artistik masyarakat Nusantara dan merupakan lambang kebijaksanaan berfikir. Pantun sering dijadikan sebagai alat komunikasi. Pantun bersifat ringkas, romantik dan mampu mengetengahkan aspirasi masyarakat dengan lebih jelas. Pantun begitu sinonim dengan pemikiran dan kebudayaan masyarakat Nusantara dan Malaysia. Di Nusantara, pantun wujud dalam 39 dialek Melayu dan 25 bukan dialek. Pantun juga didapati turut berkembang di selatan Burma,Kepulauan Cocos, Sri Lanka,Kemboja, Vietnam serta Afrika Selatan(kerana pengaruh imigran dari Indonesia dan Malaysia). Pantun di Malaysia dan Indonesia telah ditulis sekitar empat abad lalu. Malah, pantun mungkin berusia lebih tua daripada itu seperti tertulis dalam Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu.

Za'ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu menjelaskan, "Perkataan pantun itu pada mulanya dipakai orang dengan makna seperti atau umpama." Ada pendapat mengatakan perkataan pantun adalah daripada bahasa Minangkabau iaitu panuntun yang bermaksud pembimbing atau penasihat yang berasaskan sastera lisan dalam pengucapan pepatah dan petitih yang popular dalam masyarakat tersebut. Sehingga hari ini, pantun sering digunakan dalam upacara peminangan dan perkahwinan atau sebagai pembuka atau penutup bicara dalam majlis-majlis rasmi.Umumnya terdapat dua jenis pantun iaitu pantun berkait dan pantun tidak berkait. Bilangan baris dalam setiap rangkap pantun dikenali sebagai kerat. Lima bentuk utama pantun ialah pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun dua belas kerat.

BENTUK PANTUN
Syarat pantun: Serangkap atau sebait pantun mempunyai empat kerat atau empat baris. Dua baris pembayang atau sampiran dan dua baris maksud. Pembayangnya dipilih daripada segala keindahan alam. Sebolehbolehnya eloklah berkait antara baris pertama dengan baris kedua. Kalau boleh, dua baris maksudnya juga seolah-olah dicerminkan oleh pembayangnya. Maknanya, kalau pembayangnya indah, segar dan cantik, maka maksudnya juga membawakan kisah-kisah suka, gembira dan bahagia. Dan kiranya pembayangnya daripada katakata yang melambangkan kekecewaan, maka sewajarnya juga membawa pengertian demikian. Begitulah seterusnya. Setiap baris dipertetapkan mempunyai 8 hingga 12 suku kata. Salah kiranya jumlah suku kata tersebut terkurang atau terlebih daripada apa yang dipersyaratkan itu.

Bagi pantun rima hujung abab. Seboleh-bolehnya elakkan daripada mencipta rima pantun yang bunyi aaaa. Itulah keistimewaan pantun yang kental dengan sebutan hujungnya yang berselang- seli abab. Perkataan tengah di baris pertama sama bunyinya dengan perkataan tengah di baris ketiga. Begitulah juga dengan perkataan tengah baris kedua sama bunyinya dengan perkataan tengah pada baris keempat. Manakala bunyi hujung baris pertama sama dengan bunyi hujung baris ketiga. Demikianlah juga bunyi hujung baris kedua sama dengan bunyi hujung baris keempat. Teknik menulisnya ialah permulaan baris pertama setentang dengan permulaan baris ketiga. Manakala permulaan baris permulaan baris kedua diketengahkan sedikit dan setentang pula dengan permulaan baris keempat. Tanda bacaan di hujung baris pertama dan ketiga dikomakan. Manakala di hujung baris kedua disemikolankan dan hujung baris keempat dinoktahkan.

Secara ringkasnya, pertama empat baris sebait. Kedua, dua baris pembayang dan dua baris maksud. Ketiga, setiap baris 8 hingga 12 sukukata. Keempat, rima tengah dan rima hujungnya abab. Kelima, tanda bacaan di hujung baris ialah koma, semikolan serta noktah.
Contoh pantun yang mengikut syaratnya: Sirih dagang tumbuh di batu, buluh hutan buatkan galah; Kasih sayang tak boleh tentu, jodoh pertemuan di tangan Allah.

Bentuknya pula: Berbagai bentuk pantun yang kita dapati. Perdananya, pantun dua kerat yang dikenali dengan sebutan Pantun Kilat. Pantun dua kerat mempunyai dua baris sahaja.Baris pertama sebagai pembayang dan baris kedua sebagai maksud. Kadangkala pantun jenis ini dijadikan sebagai teka-teki, yakni baris pertamanya seolah-olah soalan, manakala baris keduanya sebagai jawapan. Perlu ingat, nada bunyi setiap perkataan yang bersetentang antara dua baris tersebut bunyinya sama.
Pagi petang siang malam; Hati terang senang faham sudah gaharu cendana pula; sudah tahu bertanya pula.

Sekundernya ialah Pantun Empat Kerat. Jenis inilah yang paling banyak dipergunakan orang. Pantun empat kerat atau digelar juga sebagai berbentuk Quitren ini tidak perlu dipersamakan semua rima untuk setiap perkataan, tidak persis pantun kilat. Pantunnya sudah memadai dengan persamaan rima pada bunyi di tengah dan bunyi di hujungnya sahaja. Kadang-kadang pemantun cuma mengutamakan persamaan bunyi berselang seli di hujungnya sahaja.
Buah pulasan buah memuyu, gugur ke tanah tengah kawasan; Tinggi kiasan orang Melayu, dalam khazanah pantun warisan.
Pulau pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga; Hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga.

Bentuk pantun yang ketiga ialah Pantun Talibun, yakni setiap rangkap atau setiap bait mempunyai enam atau lapan baris atau kerat.
Apa diharap padi seberang, entah berderai entah tidak, entah dimakan pipit melayang; Apa diharap kekasih orang, entah bercerai entahkan tidak, entah makin bertambah sayang.

Harimau akar sedang membaham, di tepi kolah pinggiran jurang, tempat menjala anak nakhoda, sambil bermain gelak ketawa; Orang besar berselisih faham, lepas berbalah terus berperang, rosak segala harta benda, rakyat marhaen terkorban jiwa.

Bentuk seterusnya ialah jenis Pantun Berkait. Pantun berkait jenis empat kerat serangkap. Antara serangkap dengan serangkap pantun itu berkait-kait pembayang dan maksud pasangan masing-masing. Cara kaitan dan penyambungan di antara rangkapan pantun itu ialah: pembayang kedua padapantun pertama dijadikan pula pembayang pertama untuk pantun kedua, lalu diikuti pula oleh pasangannya, yakni maksud kedua daripada pantun pertama menjadi maksud pertama buat pantun kedua. Begitulah seterusnya penyambungan perkaitan antara pantun kedua dengan pantun ketiga, pantun ketiga dengan pantun keempat dan seterusnya. Biasanya pantun berkait membawa sesuatu cerita yang berangkai, tidak putus atau terasing temanya seperti maksud pantun-pantun tunggal. Bawa ragi pergi ke Dungun, hendak mengikut orang Turki; pagi-pagi sudahpun bangun, pergi ke laut mencari rezeki.
Hendak mengikut orang Turki, menjual martabak tidak bergula; Pergi ke laut mencari rezeki, melawan ombak sedang menggila.

Menjual martabak tidak bergula, tapi bersulam daging berinti; Melawan ombak sedang menggila, timbul tenggelam mencemas hati. Tapi bersulam daging berinti, elok digubah campur mentega; Timbul tenggelam mencemas hati, tetap tabah diharung juga.

Bentuk pantun seterusnya, Pantun Samarima yakni rimanya sama untuk semua perkataan yang sejajar atau sepasang dengannya.
Buah langsat kuning langsat, keduduk tidak berguna lagi; Sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. Simpul berpangkah bunga sejambak, warna teratai lukis berseri; Unggul apakah kasihnya ombak, sehingga pantai terhakis diri.

JENIS PANTUN
Pantun kanak-kanak Pantun untuk kanak-kanak ini ada yang berupa teka-teki, berjenaka dan untuk bermain-main serta selalu bertemakan keseronokan, kesedihan yang berupa merajuk malah banyak pula untuk bergurau senda. Bentuknya pula ada yang berupa pantun kilat dan banyak sekali yang empat kerat. Cuma pantun ini ada yang tidak dititikberatkan pada syarat-syarat yang telah saya terangkan persis tidak tertakluk kepada syarat 8 hingga 12 suku kata. Boyan takuk belanga tiarap; tak ada rokok curi sekerap. Hendak gugur gugurlah nangka, jangan terkena si ranting pauh; Hendak tidur tidurlah mata, jangan terkenang orang yang jauh.

Pantun Muda-Mudi Pantun jenis ini banyak kerana golongan remaja yang amat sensitif dan selalu menghayati pantun. Antara temanya ialah kasih sayang, merayu, kecewa, sedih dan seumpamanya. Tenang-tenang air di laut, sampan kolek modek ke tanjung; Hati terkenang mulut menyebut, budi yang baik rasa nak junjung. Buat apa ada tenggala, kalau tidak ada petak; Buat apa anak dara, tanak nasi pun tak masak.

Pantun Orang Tua-tua. Pantun orang tua-tua memang melambangkan keperibadian bangsa Melayu dengan adat resam yang sudah menjadi tradisi zaman berzaman. Pantun orang tua-tua juga membawa tema keagamaan, nasihat, serta panduan hidup untuk seluruh masyarakatnya berwaspada, menjadikan teladan serta sempadan yang berguna. Ikan berenang di dalam lubuk, Ikan belida dadanya panjang; Adat pinang pulang ke tampuk, adat sirih pulang ke gagang. Halia ini tanam-tanaman, ke barat juga akan tumbuhnya; Dunia in pinjam-pinjaman, akhirat juga akan sungguhnya.

Anda mungkin juga menyukai