Anda di halaman 1dari 5

Syair

Puisi Melayu yang berbentuk syair banyak terdapat dalam perkumpulan sastera Melayu lama. Syair
adalah satu bentuk yang amat disukai dikalangan masyarakat Islam. Mungkin kerana bentuk syair itu
bersemarak dalam masyarakat Melayu dengan datangnya Islam ke alam Melayu kita ini.

Perkataan syair berasal dari bahasa Arab, tetapi bentuknya dalam bahasa Arab adalah lain dari
bentuk dan sifat syair yang kita jumpai dalam bahasa Melayu. Bentuk syair yang berkembang di alam
Melayu berbeza dari bentuk syair Arab asli. Mengikut pendapat Zaaba, perkataan syair itu asalnya
dari perkataan arab syir membawa maksud perasaan dan pengenalan dengan jalan pancaindera,
kerana karangan syair selalunya membangkitkan berbagai-bagai perasaan dan pengalaman yang
terasa menerusi gambaran yang indah.

Dalam pengertian orang-orang Melayu, syair ialah karangan berangkap yang terdiri dari rangkapan
empat baris dengan persamaan bunyi pada hujung tiap-tiap barisnya. Syair juga selain dari
merupakan sebuah cerita atau kisah, adalah dihiasi dengan kata-kata yang indah dan kerapkali
dengan perkataan-perkataan Arab yang sukar difahami.

Orang-orang Melayu memang gemar akan bentuk syair kerana sesetengah daripada syair-syair itu
dikenali oleh ahli-ahli masyarakat dan ditulis pula dalam huruf jawi. Selain dari buku-buku hikayat
atau sastera, !ebih-lebih lagi Penglipur Lara, ada versi-versinya dalam bentuk syair saperti syair
Bayan Budiman, Syair Ken Tambuhan, dan Syair Panji Semirang. Batu Bersurat dari Minye Tudjo.

Syair yang tertua sekali yang diketahui ialah yang tertulis pada sebuah batu nisan bertarikh T.M.
1380 (14 Dzul-Hijjah 781 A.H.) yang dijumpai di Minye Tudjo di Aceh, di antara Sungai Pasai dengan
Sungai Jambu Air. Syair ini tertulis pada sekeping batu dalam percampuran bahasa Melayu/Sumatra
Kuno, Sanskrit dan Arab.

Dalam Hikayat Raja-Raja Pasai terdapat karangan berangkap yang lebih bercorak gurindam,
manakala dalam Sejarah Melayu terdapat sebutan syair dalam peminangan Tuan Puteri Gunung
Ledang. Dalam buku itu ada disebut, Ada yang saperti orang bersyair. Ada yang saperti orang
berbait. Dari kesan-kesan diatas nyatalah syair dikenal dialam Melayu serempak dengan
kedatangan ugama Islam dan tersebar dengan perkembangan agama itu.

Bentuk syair berkembang dalam zaman kerajaan Melayu Melaka dan juga setelah Acheh menjadi
pusat tumpuan sasterawan2 dan pusat pengajian Islam (1525 1645 T.M.). Dalam zaman

kecemerlangan kerajaan Acheh, terdapat seorang sasterawan agama iaitu Hamzah Fansuri yang
mengarang syair-syair ibarat saperti Syair Dagang, Syair Si Burong Pingai, Syair Perahu yang banyak
dipengaruhi oleh perkataan-perkataan Arab.

Dalam daftar Werndly T.M. 1736 tidak terdapat buku-buku syair walaupun hasil-hasil Hamzah
Fansuri telah ada dalam kurun masihi keenam belas. Dalam kurun masehi kedelapan belas, terdapat
Syair Spellman atau Syair Perang Makasar. Perkembangan syair tidak hanya berbatas di Tanah
Melayu tetapi merebak keseluruh alam Melayu, di Sumatra dan Jawa, juga di Kalimantan dan Brunai.

Sifat, Isi dan Jenis Syair

Sebahagian besar dari sastera Melayu lama terdapat dalam bentuk syair. Bahasa puisi saperti syair
ini disukai oleh masyarakat lama kerana cerita dalam bentuk puisi adalah lebih menarik dan merdu
selain senang masyarakat memahaminya. Juga bentuk syair menggunakan bahasa yang terikat pada
irama yang menyebabkan ia senang diikuti.

Walaupun syair terdiri dari rangkap-rangkap empat baris, sesuatu rangkap syair tidak dapat berdiri
sendiri. Tiap rangkap syair hanya berupa bahagian kecil dari keseluruhan cerita atau kesah tertentu.
Ada kalanya kerana kepentingan iramanya, sesuatu baris itu ditambah tanpa membawa makna
tertentu.

Biasanya bilangan perkataan dalam tiap-tiap baris syair terdiri dari empat perkataan, dan di antara
delapan hingga dua belas sukukata. Hujung tiap-tiap baris dalam serangkap syair sama sajaknya
dengan bunyi hujung lain-lain baris dalam rangkap itu dan berbentuk a, a, a, a, atau ada kalanya b, b,
b, b. Ada kalanya untuk kepentingan persamaan bunyi perkataan, saperti kan, -Iah, nya dan lagi
dimasukkan ke dalam rangkap syair tanpa membawa sesuatu makna. Bentuk syair dapat digunakan
untuk menyampaikan berbagai kisah hidup, baik yang berupa hikayat maupun untuk mengatakan
percintaan, mengandungi mesej moral dan falsafah, atau untuk menyindir.

Segala sifat kelakuan manusia dapat diperkatakan dalam bentuk syair. Suatu perkara yang amat
umum dalam syair Melayu ialah sifat rawan hati, kesedihan, cucuran airmata yang terdapat hampir
dalam semua syair Melayu. Adakah sifat rawan hati ini merupakan satu kebiasaan dalam jiwa orang,
Melayu, atau adakah pertaliannya yang rapat dengan sifat lemah lembutnya, belumpun dapat
dipastikan.

Jenis Syair

Berdasarkan pokok centanya, syair boleh dibahagikan kedalam empat jenis, iaitu:

1. Syair Romantik (a) yang berpokokkan cerita Jawa Panji, (b) yang tidak berpokokkan Jawa.
2. Syair Sejarah (atau Syair Tawarikh)
3. Syair Ibarat (yang membawa kiasan dan sindiran)
4. Syair Keagamaan (yang bercorak keagamaan, dan membicarakan soal moral)

Syair Romantik yang berpokokkan cerita Jawa Panji

Syair, romantik yang berpokokkan cerita Jawa kebanyakannya berpusat di atas cerita Panji atau
disador dari cerita Panji. Syair ini ialah saperti Syair Ken Tambuhan yang amat terkenal dikalangan
orang Jawa dan juga seluruh alam Melayu. Syair lain yang dimasukkan ke dalam golongan ini ialah
Syair Lelakon Misa Kumintar, Syair Panji Semirang, Syair Damar Wulan dan ada lagi syair-syair cerita
wayang yang lain.

Syair Romantik yang berpokokkan Jawai.

Syair romantik yang tidak berpokokkan kapada cerita-cerita Panji dan amat disukai umumialah Syair
Bidasari, Syair Yatim Mustafa, Syair Selendang Delima (atau Seri Bunian), Syair Abdul Muluk, Syair
Sultan Yahaya (atau Saudagar Budiman), Syair Siti Zuhrah, Syair Tajul Muluk, dan Syair Harith
Fazillah.

Syair-syair ini banyak memperlihatkan pengaruh India dan Parsi. Banyak daripada syair-syair ini
menceritakan kisah pengembaraan anak raja atau raja, raja diusir dari negeri, watak geruda, nenek
kebayan, penyeksaan dan penderitaan, dan penyamaran sebagai lelaki sebelum wataknya mendapat
kebahagiaan. Banyak pula di antara syair-syair, ini mempunyai pelbagai versi.

Syair Sejarah

Syair-syair sejarah atau tawarikh tidak berapa banyak bilangannya dan ada dua tiga daripadanya
yang dianggap penting. Isinya pada umumnya ialah mengenai peristiwa sejarah, tetapi tidaklah

sebegitu penting baik dari segi sejarah maupun dari segi sastera. Salah satu daripada syair sejarah
yang terpenting ialah Syair Emop, yang mengisahkan seorang Gabenor-Jeneral Belanda, Van Inhoff.
Syair ini juga dikenali dengan nama syair Kompeni Wolanda Berperang Dengan Cina mengenai
peristiwa di Betawi pada tahun 1740 M.

Sebuah lagi syair sejarah yang lebih tua dan ditulis secara objektif ialah Syair Perang Makasar. Syair
ini mencatitkan peperangan antara Makasar dengan Syarikat East India Belanda dalam pertengahan
abad ketujuh belas. Syair sejarah yang lain ialah Syair Perang Mentingha, Syair Perang Banjar Masin,
Syair Perang Aceh, Syair Sultan Mahmud dan Syair Singapura DiMakan Api (karangan Abdullah
Munsyi).

Syair Ibarat

Syair Ibarat ialah syair yang digubah dalam bentuk kiasan dan digunakan watak-watak binatang,
tetapi tujuan sebenarnya ialah untuk manusia. Binatang-binatang dalam syair-syair ini dilukis dengan
sifat-sifat manusia dan berupa sejenis sastera yang aneh. Contoh-contoh daripada syair-syair ini
ialah saperti Syair Kumbang dan Melati, Syair Nuri (mengesahkan cintanya kapada bunga cempaka),
Syair Nyamok dan Lalat, Syair Burung Pungguk dan Syair Ikan Terubuk Berahikan Puyu Dalam Lubok,
Syair-syair Ibarat ini mengandungi maksud yang dalam.

Syair Keagamaan

Syair-syair yang bercorak keagamaan sering juga disebut syair-syair didaktik dengan maksud hendak

memberi moral atau mengajar. Syair-syair ini juga mengandungi renungan yang dalam dan benar
dan memberi nasihat yang berfaedah. Contoh syair jenis ini ialah seperti Syair Burung, Syair Bayan
Budiman, Syair Haji, Syair Makrifat Asallat, Syair Hari Kiamat, dan Syair adzab dalam Neraka.

Syair ini dan berpuluh yang lain lagi, membicarakan soal-soal agama dengan tujuan menyampaikan
nasihat. Sebahagian besar daripada syair agama yang lebih mustahak dari syair-syair di atas ialah
syair-syair karangan seorang ahli tasauf atau mistik terkenal, Hamzah Fansuri. Antara syair Hamzah,
terdapat: Syair Burung Pingai, Syair Perahu, Syair Dagang, dan Syair Sidang Fakir.

Walaupun karya Fansuri penuh dengan perkataan Arab, tetapi hasil karyanya merupakan satu
kejayaan dalam sastera Melayu lama. Sebahagian besar syair-syair Hamzah mengibaratkan
kehidupan manusia dalam perjalanannya menghadapi Tuhan. Syairnya juga menunjukkan pengaruh
Parsi yang dalam. Dalam perjalanannya berbagai rintangan dan bahaya dialaminya.

Karangan, Hamzah ditentang hebat oleh seorang ulama yang berfaham kolot iaitu Syeikh Nuruddin
Al-Raniri, akhirnya banyak daripada hasil Hamzah Fansuri telah dibakar.

Anda mungkin juga menyukai