Anda di halaman 1dari 8

PENGENALAN Pantun ialah ragam puisi yang hidup di kalangan rakyat dan bersifat kemelayuan.

Pantun telah sedia hidup dalam masyarakat Melayu lama sebelum orang-orang Melayu tahu menulis dan membaca. Orang-orang Melayu menciptakan pantun untuk melahirkan berbagaibagai bentuk perasaan dalam bentuk satu seni yang indah. Mereka menggunakan pantun untuk berkasih-kasihan, memberi nasihat, bersuka-suka dan berjenaka, menyindir, dan untuk menyatakan rasa kesedihan.

Rangkap-rangkap pantun yang ringkas dan mudah, mungkin sudah berligar-ligar dalam bentuk kias-ibarat, usik-mengusik, uji-menguji di kalangan masyarakat pra-moden, pra-tulisan, sama seperti perumpamaan, bidalan dan rumus-rumus bahasa bersirat yang lain. Pantun adalah hak masyarakat umum, tidak sesiapa yang memilikinya, tetapi semua ahli masyarakat tahu yang manakah pantun yang baik dan yang mana tidak. Keindahan pantun hanya dapat dirasakan bila didengar dan diucapkan.

Kata pantun asalnya dari bahasa Sanskrit yang membawa erti: bicara, aturan yang sah; manakala dalam bahasa Jawa dengan erti yang lebih umum, pantun merupakan sebahagian dari peribahasa. Dalam buku-buku sastera lama Melayu pantun diertikan dengan seperti. umpama, mithalnya dalam Hikayat Hang Tuah disebut Tuan sepantun kilat cermin.

KEINDAHAN BENTUK DAN ISI PANTUN Bahasa memainkan peranan penting dalam menyampaikan sesuatu hasrat dan bahasa yang baik akan dapat difahami maksud sama ada bahasa yang tersurat dan tersirat. Pantun sangat kaya dengan nilai-nilai keindahan bahasa jika dikaji dan dihayati. Bahasa dalam pantun juga terdapat dua maksud antaranya maksud tersurat dan juga tersirat. Kebiasaannya

pada pembayang pantun banyak menggunakan bahasa tersurat manakala dalam maksud atau makna ia menggunakan bahasa yang tersirat. Makan sirih berpinang tidak, Pinang ada di bawah tangga; Makan sirih mengenyang tidak, Tapi tanda budi dan bahasa. (Warisan Puisi Melayu, KL. DBP 1978).

Tanpa bahasa yang baik, sesebuah pantun tidak dapat berfungsi dengan lancar serta tidak dapat menyampaikan sesuatu maksud. Pemantun atau pengarang pantun biasanya mengambil imej alam, kehidupan dan persekitaran semasa bagi pembayang. Manakala isinya atau maksudnya juga mempunyai kaitan dengan pembayang tersebut. Bahasa dalam pantun juga meliputi tumbuhan, binatang, alam fizikal dan cakerawala, manusia, peristiwa, agama, objek konkrit, warna dan seluruh kehidupan masa lalu dan masa kini. Hal ini terdapat dalam pembayang pantun yang mengambil simbol untuk menyampaikan mesej dan nilai-nilai tertentu. Melalui karya sastera, simbol merupakan salah satu unsur bahasa yang penting. Pantun Melayu dapat dikesan banyak menggunakan simbol yang dipakai bagi menyampaikan mesej dan nilai-nilai tertentu. Bahasa dalam pantun Melayu dapat dikesan simbolnya melalui Pantun Adat dan Resam, Pantun Agama dan Kepercayaan. Pantun Budi, Pantun Jenaka, Pantun Teka-Teki, Pantun Kepahlawanan, Pantun Nasihat dan Pendidikan, Pantun Peribahasa dan Perbilangan, Pantun Kiasan dan Ibarat, Pantun Perantauan dan Pantun Percintaan. Zaba (1965:218) ada menyatakan tentang puisi khususnya pantun yang menekankan kepada kecantikan, keindahan bahasa, metafora, pemikiran, pendidikan, pengajaran dan sebagainya. Pantun sebagai puisi yang diungkap akan mengindahkan lagi bahasa ucapan yang digunakan

untuk berbagai-bagai-bagai situasi; daripada memberi ucapan secara berseloroh hingga kepada majlis yang lebih serius seperti pertunangan dan perkahwinan dalam masyarakat Melayu. Menurut pengkaji pantun Francois Rene Daillie (2002) menyimpulkan bahawa pantun Melayu itu suatu intisari kehidupan dan alam yang diibaratkan sebagai sebutiran pasir. Di dalamnya tersirat segala elemen kehidupan manusia Melayu termasuklah tentang tanah, rumah, kebun, sawah padi, sungai, laut, hutan, tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, binatang, burung, ikan, dan pelbagai perkara kecil yang digunakan dalam kehidupan seharian. Menurutnya, ia menyatakan juga tentang adat resam, kebijaksanaan, pelbagai bentuk kepercayaan dan perasaan, cinta kepada jejaka idaman, wanita dan Tuhan. Walau bagaimanapun, pantun bukanlah hak milik mutlak bangsa Melayu sahaja tetapi dikongsi bersama oleh hampir setiap etnik di alam Melayu ini. Jelaslah, bahasa dalam pantun Melayu mempunyai keistimewaan yang dipilih oleh pengarangnya dengan teliti, melalui pemerhatian yang lama dan rapi. Garapan bahasa yang digunakan juga membabitkan simbol tertentu bagi menjelaskan bahasa yang ingin disampaikan kepada pendengar. Bagi kepentingan budi dalam kehidupan masyarakat Melayu sangat jelas digambarkan melalui pantun di bawah: Di sana padi di sini padi, Itulah nama sawah dan bendang; Di sana budi di sini budi, Barulah sempurna bernama orang. (Abdul Samad Ahmad (penyusun) Pantun Bunga Rampai, t. th :59).

Pandangan tokoh Budayawan Tenas Effendy (2007:3) mengatakan pembayang pantun di Indonesia lazim disebut sampiran. Pantun pada hakikatnya menjadi bahagian yang tidak dipisahkan dari isi pantun. Sebahagian orang mengatakan bahawa kata pembayang dapat diertikan sebagai bayang-bayang atau bayangan pantun, yang menunjukkan persebatian yang kekal antara pembayang dan isi pantun. Demikian juga dengan kata sampiran yang dapat ditafsirkan sebagai sarung atau tempat menyimpan isi sebagai cerminan perpaduan isi dan sampirannya. Keindahan bahasa dalam pantun sejak dahulu sangat menitikberatkan unsur pemilihan kata dan bahasa yang disampaikan. Terdapat juga sejumlah kecil pantun menggunakan citra dan simbol alam sebagai pembayang dan juga maksud yang membayangkan perlambangan atau kiasan sebagai membuktikan khazanah keindahan pemikiran Melayu yang luas itu. Dalam hal ini, R.J. Wilkinson dan R.O.Winstedt (1957) pernah menyarankan bahawa untuk memahami perasaan orang Melayu, seharusnya difahami pantunnya. Mereka berpendapat, bahawa satu daripada perkara yang penting yang boleh membawa seseorang itu berjaya memahami dan menyelami pengetahuan, perasaan, bahasa dan aliran fikiran orang Melayu sendiri ialah melalui pantun-pantunnya. Malahan seseorang itu tidak dapat menduga aliran fikiran orang-orang Melayu kalau tidak memahami pantunnya. Hakikatnya, keindahan bahasa amat penting dalam serangkap pantun untuk menyampaikan fikiran, hasrat dan rasa hati. Bahasa yang tidak indah dan tidak tepat yang digunakan dalam pembayang dan isi pantun akan menyebabkan sesebuah pantun itu tidak seimbang keindahan bahasanya. Perhatikan pantun berikutnya:

Tenang-tenang air di laut, Sampan kolek mudik ke tanjung; Hati terkenang mulut menyebut, Budi sedikit rasa nak junjung. Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga; Hancur badan dikandung tanah, Budi yang baik dikenang juga.

(Petikan Teks Sehijau Warna Daun, Pantun Budi 2000:4, DBP.) Budi dan bahasa sangat berkait rapat dalam setiap tindakan dan perlakuan. Bahasa yang baik akan memancarkan budi bahasa yang baik. Justeru, dikatakan hutang emas boleh di bayar; hutang budi dibawa mati. Begitulah juga dengan orang berbudi disanjung mulia; ke mana pergi tiada terbuang. Begitulah rapatnya kaitan antara budi dan bahasa. Budi yang baik akan sentiasa diiringi dengan bahasa yang baik juga, yang melambangkan perasaan dan fikiran orang Melayu tentang budi dan bahasa. Orang Melayu sentiasa bersifat budiman, mengenang budi, berbudi bahasa, menabur budi dan sentiasa ingin berbudi. Hal ini sangat jelas dalam kebanyakan pantun-pantun Melayu dahulu. Hakikatnya, bahasa yang indah sangat penting dalam penciptaan pantun-pantun Melayu. Tanpa bahasa yang indah, pantun yang dikarang atau dibacakan tidak terasa keindahannya. Oleh itu, para pencipta pantun dan pemantun zaman lampau sangat bijaksana memilih kata-kata tentang penggunaan bahasa yang berkaitan dengan alam, kehidupan, adat istiadatdan budaya masyarakat Melayu. Melalui pemerhatian yang teliti, penelitian yang rapi serta pengalaman baharullah sesebuah pantun itu dicipta dengan fikiran yang bijaksana.

Kajian dan penyelidikan para sarjana mendapati, salah satu cara menyampaikan buah fikiran, teguran dan sindiran adalah melalui pantun. Orang Melayu dahulu gemar menyampaikan sesuatu persoalan secara tidak langsung, melalui bahasa kiasan bagi menjaga hati orang lain agar tidak tersinggung dan terasa dengan kata-kata secara langsung. KEINDAHAN FONOLOGI PANTUN (ASPEK BUNYI) Secara ringkas bunyi dapat dibahagikan kepada bunyi penggalan dan bunyi supra penggalan. Bunyi penggalan melibatkan bunyi vokal dan konsonan. Dalam pantun bunyi vakal memainkan peranan penting kerana ia mempunyai unsur gema dan kenyaringan. Bunyi vokal dalam pantun dapat dikaitan dengan rima, sama ada di awal, di tengah atau di hujung baris. Kalau tidak kelapa puan, Tidak juga kelapa bali; Kalau tidak kerana tuan, Tidak hamba datang kemari. Dalam contoh pantun di atas dapat dilihat rima awal, tengah dan hujung bertingkah dengan bunyi yang sama membentuk satu alunan yang sekata dalam sebutan. INDAHNYA RIMA PANTUN Keindahan pantun muncul pada rimanya yang boleh didapati pada bahagian hadapan, tengah dan akhir baris pada setiap rangkap pantun. Asam jawa pokok di hutan, Dibawa orang tanam di desa; Ada nyawa ada harapan, Tidak kumahu berputus asa.

Kamus Puisi terbitan DBP 2005 mencatatkan rima sebagai Skema atau susunan bunyi dalam baris-baris puisi. Rima akhir baris adalah susunan bunyi tertentu yang terdapat di akhir tiaptiap baris dalam serangkap puisi. Rima disebut juga mempunyai persamaan bunyi di hujung baris. Baris susunan rima tersebut ditandakan dengan susunan huruf. Contohnya rima pantun a/b/a/b. Rima akhir jugalah yang menjadi satu daripada dasar untuk menentukan bentuk terikat sesebuah puisi. Rima menjadikan pantun amat sedap didengar kerana rima membawa irama dan rentak pada pantun. Rima memberikan keindahan pada bentuk dan bahasa pantun.

KESIMPULAN Pantun merupakan sejenis puisi yang menjadi perlambangan hidup masyakat Melayu. Melalui pantun diketengahkan corak kehidupan orang melayu yang kaya peraturan hidup yang beradap dan bersopan. Perlambangan yang digunakan didalam pantun melambangkan kehalusan dan kesenian yang indah. Sebagaimana yang telah kita maklum bahasa dalam pantun amat indah dan menarik disusun bertingkah dengan bunyi yang sama. Keindahan itu ditambah lagi dengan pemilihan perkataan yang bersesuaian bagi menunjukan maksud yang hendak disampaikan. Pemilihan suku kata tiap perkataan juga membuatkan pantun menjadi indah. Persamaan bilangan suku kata menjadikan pantun lebih indah. Pantun adalah satu karya yang harus dibanggakan oleh setiap lapisan masyarakan kerana keindahan dan keunikannya yang tersendiri. Melalui pantun dapat digambarkan nilai dan budaya yang ada dalam seauatu masyarkat.

Rujukan http://jusohmajid.blogspot.com/2011/07/keindahan-bahasa-dalam-pantun.html ANNAS HAJI AHMAD ( http://amnaj.wordpress.com) http://melayu.com/sembang2 http://amnaj.wordpress.com DR AMINUDIN MANSOR (http://dpmp238.blogspot.com) Warisan Puisi Melayu, KL. DBP 1978 Kumpulan Pantun Melayu, DBP, 1983 Abdul Samad Ahmad (penyusun) Pantun Bunga Rampai, t. th :59 Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) http://dpmp238.blogspot.com Anak Waris http://resam-melayu.com Siti Zaleha M. Hashi- Rima Pantun (Pelita Bahasa, April 2012) Siti Zaleha M. Hashim,- Rima (Pelita Bahasa, Jun 2012) Pantun Melayu - ANNAS HAJI AHMAD http://www.slideshare.net/robishahdin1/bentuk-pantun

Anda mungkin juga menyukai