Anda di halaman 1dari 21

ISU SOSIAL DALAM NOVEL ALUN HIDUP MENERUSI TEORI SOSIOLOGI

Disediakan Oleh
WAN MOHAMMAD FAIQ IBTISAM BIN WAN ALI
Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama)
Jabatan Bahasa dan Kemanusiaan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia
chan_faiq@yahoo.com

Makalah ini menumpukan penganalisisan karya yang


bersifat kemasyarakatan yang melihat kehidupan manusia
dan lingkungan isu sosial. Analisis bersasaskan teks novel
yang berjudul Alun Hidup karya Khadijah Hashim
menerusi teori sosiologi. Pendekatan ini adalah kaedah
yang digunakan bagi melihat pengaruh masyarakat, isu
sosial dan nilai terhadap kehidupan masyarakat dalam
novel Alun Hidup. Hasil telitian mendapati isu sosial
masyarakat dan pengaruh nilai kemasyarakatan terpancar di
dalam novel ini. Novel ini mampu membentuk suatu
pegangan masyarakat yang ingin berjuang kepada
kehidupan yang berjaya dalam melalui liku-liku keperitan
hidup. Kajian menumpukan juga kepada aspek sosiologi
yang melibatkan hubungan penulis, masyarakat dan
kesusasteraan itu sendiri.
Kata kunci: teori sosiologi, isu sosial, nilai kemasyarakatan.

PENGENALAN
Perkembangan yang dinamik dalam dunia sastera kini memperlihatkan kehadiran penulis
daripada pelbagai bidang. Penulis yang tersedia ada dan juga kehadiran penulis baru telah
menambah rencah dan warna-warni dalam karya kreatif. Penulis mempunyai sumbangan
yang tertentu dalam masyarakat kerana setiap manusia mempunyai peranan dan
tanggungjawab masing-masing terhadap masyarakat. Realiti kehidupan manusia dan
alam persekitaran penulis yang diadun bersama pengalaman merupakan luahan penulis
dalam menghasilkan sesebuah karya melalui daya kreativiti dan imaginasinya.
Hasil karya tidak tercipta dalam kekosongan, ini bermakna sastera bukan hasil
seseorang penulis sahaja tetapi apa yang lebih penting ialah hakikatnya penulis juga
terikat dengan ruang dan waktu serta bertanggung jawab terhadap masyarakatnya
(Scott,1972). Menurut Sugihasti (2002), penulis berusaha untuk memahami lingkungan
sosialnya dan mengkaji tindak balas dengan alam persekitarannya. Kelompok pembaca
juga berusaha untuk memahami dan menyatakan makna yang dimaksudkan oleh penulis
melalui karya.
Kehidupan masyarakat yang pelbagai bentuk dan ragam menjadi ilham penulis
untuk berkarya. Karya yang dicipta merupakan fenomena sosial yang menggambarkan
kehidupan dalam sesebuah masyarakat. Pelbagai teori dan pendekatan yang diterapkan
banyak memberi manfaat kepada para pengkaji yang mahu melakukan penyelidikan
berkaitan sosial masyarakatnya. Teori sosiologi dilihat sebagai pendekatan yang mampu
mengkaji dan melihat aspek kemasyarakatan dalam sesebuah karya.

TEORI SOSIOLOGI
Sosiologi merupakan salah satu bidang sains sosial. Walaupun sosiologi bersumberkan
bidang sains sosial, namun ia tetap mempunyai hubungkait dengan kesusasteraan.
Sosiologi melibatkan pelbagai perkara yang melibatkan latar sosial masyarakat baik di
dalam teks mahupun di luar teks. Aspek-aspek yang menjadi teras kemanusiaan dan
kemasyarakatan seperti ekonomi, politik, budaya dan etika sosial akan turut dilihat
sebagai unsur-unsur penting yang mempengaruhi penulisan sesebuah karya.
Teori sosiologi atau pendekatan kemasyarakatan merupakan teori bercorak
kontekstual atau ekstrinsik. Teori ini membicarakan aspek luaran teks seperti sudut latar
belakang pengarang, meneliti hubungan, peranan dan fungsi sastera terhadap masyarakat.
Menurut Mana Sikana dalam Koleksi Teori Sastera, teori sosiologi menilai sastera
dengan meneliti aspek sosial atau kemasyarakatannya dan menganalisis hubungan teks
dengan isu politik, ekonomi, budaya dan aspek-aspek lainnya yang membangunkan
sesebuah masyarakat. Teks juga dilihat sebagai kesan pengaruh masyarakat terhadap
kehidupan manusia. Masyarakat membentuk sistem dan pelbagai kelaziman yang
kemudian turut membentuk ideologi dan fahaman yang diikuti oleh sesebuah komuniti,
masyarakat dan negara.
Pendekatan sosiologi tidak dapat lari dari turut membicarakan tentang pengkarya.
Aspek sosiologi pengkarya akan diteliti sama. Sebelum memasuki perbicaraan intrinsik
karya, riwayat hidup pengarang termasuk tempat lahir, sosialisasi, pendidikan, alam
sekitar, status sosial, nilai-nilai kehidupan dan sebagainya hendaklah ditinjau dahulu
(Mana Sikana, 1983:110) Menggunakan teori sosiologi dalam kritikan kesusasteraan,

pengkritik perlu mendalami ilmu sosiologi. Pengkritik perlu mahir dalam aspek-aspek
sosiologi yang berkait dengan teks dan pengkarya di samping mampu menghubungkan
sosiologi itu dengan kesusasteraan.
Teori sosiologi menegaskan bahawa hasil sastera mempunyai hubungan yang
rapat dengan masyarakat, terutama masyarakat pembaca. Di antara satu dengan yang lain,
saling memerlukan dan bekerjasama. Dalam konteks hubungan sastera dengan
masyarakat jika dilihat dari sudut sosiologi adalah lebih intim dan kompleks seperti
antara teori dan praktis. Ini membuktikan pengaruh masyarakat terhadap sesebuah karya
sastera itu amat kuat. Masyarakat mempunyai pengaruh terhadap penciptaan dan nilai
sastera.
Walaupun kehidupan masyarakat dijadikan bahan untuk berkarya, namun bahan
tersebut telah dipilih dan disaring derta diberi tanggapan sendiri oleh penulis. Semasa
berkarya, mereka juga masih terikat dengan ruang dan waktu. Oleh itu, seseorang penulis
perlu bertanggungjawab untuk menyampaikan mesej sama ada dalam bentuk peringatan,
nasihat atau panduan kepada pembaca. Pemikiran perlu berhubung dengan persoalan
masyarakat dan kemasyarakatan terungkap dalam aspek sosiobudaya, sosiopolitik dan
sosioekonomi.
Menurut Mana Sikana (1986:106-107) pula, terdapat dua konsep pendekatan
sosiologi. Pertama adalah melihat karya sastera sebagai cerminan sejarah, terutama
mengenai sejarah perkembanagn ekonomi, teknologi dan perhubungan kelas. Tegasnya
pendekatan ini melihat konfrantasi dan pertikaian yang berlaku dalam masyarakat sebagai
sumber inspirasi penulis dan tugas mereka ialah mencerminkan atau menggambarkan
peristiwa yang terjadi, di samping aspek perwatakan turut di rakamkan. Watak-watak

perlu mengammbarkan sifat individu, personal dan berperibadi seperti yang telah
ditentukan dalam masyarakat.
Sebuah karya sastera tidak akan menjadi agung dan bermutu tinggi sekiranya
menjelajahi masyarakat serta kehidupan manusia sedalam-dalamnya. Keterlibatan penulis
selalunya akan menolong penciptaan sesebuah karya yang lebih serius, kerana teori ini
amat mengambil kira latar pengarangnya. Pencipta tidak boleh terasing daripada
masyarakatnya. Mereka mestilah hidup bersama. Hal ini memperlihatkan bahawa karya
sastera dalam apa jua bentuk mempunyai pertalian yang rapat dengan masyarakatnya.

BIODATA PENULIS
Nama sebenar penulis novel Alun Hidup ialah Khadijah binti Hashim yang lahir pada 20
April tahun 1942 di Batu Pahat Johor. Beliau menerima pendidikan awalnya di Johor dan
kemudian buat beberapa waktu menjadi seorang guru agama. Selepas itu beliau
berkhidmat di Utusan Melayu kerana minatnya terhadap kerjaya wartawan kemudiannya
berpindah ke Berita Harian.
Jumlah penulis wanita amat sedikit bilangannya dan penulis-penulis wanita amat
mudah diingati. Antaranya Zurinah Hassan, Adibah Amin, Fatimah Busu, Salmah
Mohsintermasuk juga Khadijah Hashim. Khadijah Hashim merupakan salah seorang
penulis daripada penulis wanita yang paling aktif menghasilkan berbagai bentuk sastera
kreatif. Beliau juga pernah mencipta beberapa buah drama radio sebelum menceburi
bidang penulisan cerpen dan novel.
Beliau lebih dikenali sebagai penulis novel dan telah menghasilkan 19 novel.
Novel Badai Semalam merupakan novel sulungnya yang terbit pada tahun 1968, diikuti

oleh Jalan Ke Kubur pada tahun 1969, Pelangi Pagi (1971) dan Di Tengah Kabus (1980).
Sejak 1968, Khadijah Berjaya menerbitkan novel demi novel termasuk novel yang dikaji
dalam kajian ini iaitu novel Alun Hidup.
Sebagai penulis cerpen pula, Khadijah lebih menekankan persoalan mengenai
keluarga. Khadijah memperlihatkan sikapnya terhadap keharmonian dan kedamaian
hidup di desa dan membenci kekalutan hidup. Dalam kebanyakan cerpen Khadijah,
meskipun menggambarkan susasana biasa tentang keluarga, namun masih terasa tujuan
penulis yang menghendakkan pembacanya berfikiran jauh dan dalam terhadap amanat
yang cuba disampaikan. Di sinilah terlihatnya keistimewaan Khadijah Hashim dalam
bercerita. Kelihatan sederhana tetapi penuh bermakna.
Novel pertama dan paling terkenal hasil karyanya iaitu novel Badai Semalam
(1968) yang digunakan sebagai buku teks di Singapore dan Malaysia. Novel ini telah
diterjemah ke bahasa Inggeris, Storms of Yesterday, oleh Mahani Abdul Hamid pada
1991 danbahasa Sepanyol, "Tormentos del ayer", oleh Alberto Balanza dan Yahia pada
2010. Badai Semalam diterbitkan beberapa kali dan terkini adalah pada 2006 oleh
Alaf21 dalam siri novel nostalgik. Versi Inggeris turut diterbitkan semula pada 2009 oleh
Institut Terjemahan Negara Malaysia di bawah Siri Penulisan Malaysia (Malaysian
Literature Series).
Novel Merpati Putih Terbang Lagi memenangi hadiah sagu hati dalam peraduan
menulis sepuluh tahun kemerdekaan Malaysia. Novel ini turut diterjemahkan ke bahasa
Jepun oleh Tatsun Hoshino. Novel Exiled telah dicalonkan bagi Anugerah Penulisan
Dublin IMPAC Antarabangsa ("International IMPAC Dublin Literary Award") pada 1997.
Novel Langkah Pertamanya telah memenangi Anugerah Buku Kanak-kanak Mobil-

MABOPA pada tahun 1995. Khadijah merupakan penerima Anugerah Penulis Asia
Tenggara pada 1999 dan menamatkan Program Penulisan Antarabangsa di Universiti
Iowa pada tahun 1994. Siri buku kanak-kanaknya, Siri Lagenda, Siri Aura dan Fauna
dan Siri Teladan dari Rimba telah diterjemah ke dalam bahasa Inggeris oleh Institut
Terjemahan Negara Malaysia (2009).
Daripada sumbangan yang diberikan oleh penulis wanita yang pemalu ini, kita
melihat bahawa beliau mempunyai potensi besar untuk memberikan karya yang lebih
baik dan indah dari apa yang pernah diberikan. Khadijah Hashi merupakan tokoh yang
agung dalam bidang penulisan dan juga sebagai seorang penulis wanita yang matang.

SINOPSIS NOVEL ALUN HIDUP


Novel Alun Hidup hasil karya Khadijah Hashim bertemakan kehidupan manusia yang
penuh cabaran. Novel ini mengisahkan mengenai kehidupan Awang dan Milah sekeluarga
yang ingin berhijrah dari Kesang ke Sungai Berembang untuk berdikari mencari
kehidupan yang lebih baik dan selesa. Awang yang dulunya menumpang hidup
sekeluarga bersama ibu mertuanya. Dia bekerja sebagai nelayan untuk menyara keluarga.
Awang sedar bahawa sudah sampai masanya untuk berhijrah dan hidup sendiri. Dia malu
kerana asyik menumpang tinggal dengan ibu mertuanya. Awang nekad untuk berhijrah ke
Sungai Berembang dan menjadi seorang petani.
Hasrat Awang untuk berpindah keluar dari rumah itu ditentang oleh ibu mertuanya
kerana ibun mertuanya tidak mahu berpisah dengan anak dan cucunya. Pelbagai
tentangan yang diterima oleh Awang tetapi dia tidak menghiraukannya. Awang tetap juga
ingin berdikari sebagai seorang petani di Sungai Berembang. Isterinya Milah berat hati
7

untuk meninggalkan tempat asalnya dan ibunya yang tercinta tetapi perlu juga ikut kerana
taat dan kasih kepada suami. Awang sedar bahawa penghijrahannya in akan mendapat
pelbagai cabaran dan dugaan untuk memulakan hidup baru. Banyak liku-liku yang
ditempuhi untuk menjadi petani di Sungai Berembang. Walau bagaimanapun, Awang
banyak di tolong oleh Abang Malim dan Kak Joyah. Permulaannya Awang menumpang
di tanah Abang Malim sementara dapat membina rumah baru di tanahnya sendiri.
Pelbagai suka duka Awang lalui bersama keluarganya yang tersayang. Isterinya
Milah bersama anak-anaknya Asmah, Zaitun, Yusuf, Adam dan Husin bersama-sama
berusaha untuk mencipta kesenangan hidup di Sungai Berembang. Awang yang kuat
berusaha sedaya upaya menjadi seorang petani dan sesekali berlayar dan menceburi
dalam bidang perniagaan. Orang-orang kampong Sungai Berembang turut membantu
Awang sekeluarga walaupun ada juga ada yang mencela. Begitu banyak keperitan, suka
dan duka awang sekeluarga menempuh cabaran untuk menyara hidup di dalam kehidupan
yang penuh pancaroba. Terpampang detik-detik kesusahan dan kesayuan Awang
sekeluarga dalam menepuhi ranjau perjalanan dan liku-liku untuk mendapat kesenagan
dalam hidup. Begitulah Alun Hidup seorang manusia.

ISU SOSIAL DALAM NOVEL ALUN DARI SUDUT TEORI SOSIOLOGI


8

i) Pengaruh Latar Belakang Sosial Pengarang Terhadap Novel Alun Hidup


Kehidupan penulis yang berasal daripada masyarakat kampung yang sederhana di Sungai
Tongkang mempengaruhi setiap penciptaan karyanya. Khadijah banyak menulis karya
berkaitan dengan kemasyarakatan dan mempengaruhi dalam menghasilkan karya Alun
Hidup. Alun Hidup yang memaparkan masyarakat kampung yang tinggal berdekatan
dengan sungai untuk berkebun dan sungai pula yang dijadikan sebagai sumber mencari
rezeki. Awang yang dulunya menumpang ibu mertuanya yang tinggal dilaut berpindah ke
Sungai Berembang untuk membina kehidupan baru disana. Rancangan untuk berpindah
ditentang oleh ibu mertuanya.
Awang menarik nafas panjang sambil menyedut udara malam yang
nyaman mengingatkan kata-kata ibu mentua. Tetapi matanya tegak ke
hadapan. Tangannya kejap memegang tali layar menjaga kemudi
melayan angin. Hatinya sudah bulat untuk menetap di Sungai
Berembang yang bertanah subur. Meninggalkan kampung halaman
bukan kerana merajuk, tetapi ingin mencuba penghidupan baru. Ingin
memiliki sebidang tanah untuk dijadikan tapak tempat berteduh.
Hampir empat belas tahun tinggal bersama ibu mentua sudah dirasa
pahit manisnya.
(Novel Alun Hidup: 2)

Khadijah Hashim merupakan pernah manjadi guru agama. Hal ini menyebabkan novel
Alun Hidup mempamerkan masyarakat yang beragama Islam dan hidup berlandaskan
kepada agama. Kampung Sungai Berembang mempunyai surau untuk penduduk solat
berjemaah. Haji Syawal selaku ketua kampung dan juga imam di sana.
Sebelah rumah haji Syawal tu rumah siapa? tanya Milah. Itu surau,
abang dah pernah sembahyang di surau itu sekali.
(Novel Alun Hidup: 12)

Walaupun penulis dikatakan mempunyai latar belakang agama. Masyarakat dan watak
yang ditonjolkan mempunyai perwatakan agama, namun terdapat kelemahan pada
perwatakan yang masih lagi mempercayai perkara kurafat. Bertentangan dengan penulis

yang mempunyai latar belakang agama. Masyarakat dalam novel Alun Hidup sepatutnya
dilihat sebagai masyarakat yang patuh pada ajaran agama, namun longgar dengan adanya
adegan kurafat seperti Kak Joyah yang menggunakan tepung tawar untuk menghalau jin
daripada rumah yang baru diduduki oleh Awang.
Kak joyah sudah jauh ke hadapan.peranannya ialah hendak menepung
tawar rumah itu sebelum dimasuki orang baru.Buang hantu syaitan,
kata Pawang Busu.
(Novel Alun Hidup: 43)
Apabila sampai di halaman rumah, masing-masing menunggu Joyah
selesai menyempurnakan acara tepung tawar di sekeliling rumah.
Tepung tawar yang cair seperti tepung menggoreng pisang itu direnjisrenjis dengan menggunakan daun ribu-ribu dan daun sepulih. Akhirnya
daun itu diletakkan di penjuru rumah.
(Novel Alun Hidup: 43)

Dilihat Awang yang juga mempercayai kepada perkara kurafat walaupun diceritakan
bahawa Awang mempunyai pegangan agama. Dalam novel ini, Awang mengambil batu
daripada perut buaya yang dipercayai buntat untuk mendatangkan rezki yang banyak.
Sedangkan kepercayaan agama Islam yang meletakkan rezeki itu hanya datang daripada
Allah jika kita berusaha.
buat main-main saja, Abang Delip, jawab Awang tersipu-sipu. Tetapi
di dalam hatinya sudah terpaku malah yakin bahawa batu itu akan jadi
tangkal, mana tahu! Fikirnya penuh harap. Lagipun bikan senang
hendak dapat batu dari perut buaya. Batu sungai pun siapa pun boleh
pungut.
(Novel Alun Hidup: 69)
Milah menurut saja apa kata suami. Hatinya riang tidak terkira kerana
sudah dapat buntat buaya.Ini tentu petanda baik, alamat murah rezeki,
detiknya.
(Novel Alun Hidup: 70)

ii) Isu Sosial Dalam Karya


Isu sosial dalam novel Alun Hidup dilihat melalui situasi sesebuah masyarakat yang
dipaparkan dalam mengambarkan sesuatu masyarakat. Hal ini juga diterangkan keadaan
masyarakat yang mengalami perubahan sosial dan segala anjakan masyarakat
termasuklah pengorbanan dan perjuangan untuk melahirkan masyarakat yang berjaya.
Pada permulaan novel Alun Hidup yang berkisar tentang masyarakat yang hidup di laut
10

iaitu Awang yang menumpang ibu mertuanya dalam menjalani kehidupan seharian.
Awang tidak sanggup untuk hidup menumpang dan terperuk dalam situasi sebegitu
kerana sudah berkeluarga dan ingin hidup berdikari. Awang dianggap sebagai individu
dalam masyarakat yang ingin berubah dan berjuang untuk kejayaan dalam keluarganya.
Awang mengambil risiko berpindah ke Sungai Berembang dan ingin memulakan hidup
sebagai petani kerana dia melihat masyarakat di Sungai Berembang hidup selesa dengan
hasil berkebun. Hal ini diceritakan dalam novel ini melalui petikan berikut:
Awang menarik nafas panjang sambil menyedut udara malam yang
nyaman mengingatkan kata-kata ibu mentua. Tetapi matanya tegak ke
hadapan. Tangannya kejap memegang tali layar menjaga kemudi
melayan angin. Hatinya sudah bulat untuk menetap di Sungai
Berembang yang bertanah subur. Meninggalkan kampung halaman
bukan kerana merajuk, tetapi ingin mencuba penghidupan baru. Ingin
memiliki sebidang tanah untuk dijadikan tapak tempat berteduh.
Hampir empat belas tahun tinggal bersama ibu mentua sudah dirasa
pahit manisnya.
(Novel Alun Hidup: 2)
Sungai Berembanglah kampung baruku anak-beranak, detiknya riang.
Kemudian memandang ke arah Milah yang duduk di bawah kajang
menjaga anak-anak yang nyeyak tidur. Awang tidak mahu menganggu
Milah yang sedih kerana berpisah dengan ibu dan kaum keluarga.
Milah membantah pada mulanya, tetapi dapat diyakinkan oleh Awang
bahawa untuk masa depan anak-anak dia mesti cuba hidup sendiri,
bukang bernaung di bawah ketiak ibu aoalagi memikirkan keluarga
empat orang adik-beradiknya yang tinggal sama di rumah itu semakin
membesar.
(Novel Alun Hidup: 4)

Petikan tersebut jelas menunjukkan kepada masyarakat yang ingin berubah kehidupannya
mejadi lebih baik. Awang berusaha dan memberanikan diri menanggung risiko berpindah
ke Sungai Berembang untuk menjalani kehidupan yang lebih baik walaupun dia tahu
pelbagai cabaran yang akan menimpanya kelak.
Seterusnya, isu sosial masyarakat dibangkitkan dalam novel ini berkait rapat
dengan kesusahan dan kepayahan dalam menjalani kehidupan untuk berubah kepada
kehidupan yang lebih baik. Novel ini melukiskan begitu banyak usaha dan pengorbanan
yang perlu dilakukan untuk menjalani kehidupan dalam kemiskinan. Awang digambarkan
11

bersusah payah mengerjakan kebun miliknya supaya mendapat hasil seperti Abang
Malim dan jiran-jiran yang lain yang sudah hidup senang dengan hasil kebun masingmasing. Kegigihan Awang ditonjolkan dalam petikan tersebut:
Kita tebang yang ini dulu, kemudian yang tengah. Akhir sekali, yang
itu, Abang Malim mengarahkan. Awang mengikut saja. Kapak bermata
tajam selebar tapak kaki sudah dicapai lalu dihayunkan dengan kalimah
Bismillah.
(Novel Alun Hidup: 74)
Kalau dah kejap, turun. Kita mula menebang, kata Abang Malimyang
sudah bersedia dengan kapak di tangan. Setelah menakuk batang leban
yang ketiga ini separih dalamnya, abang amlim punberhenti untuk
merokok. Asap rokok daun itu sekurang-kurangnya menghalau
nyamuk,agas yang menghurung mukanya. Dia mengelap muka yang
terasa rimas dan panas dengan kain ikat kepala. Baju sudah basah dek
peluh. Muka Awang sudah merah padam. Dia duduk di tunggul melepas
lelah sementara menunggu arahan seterusnya.
(Novel Alun Hidup: 77)

Petikan ini memaparkan kesungguhan dan kegigihan Awang untuk berkebun. Semangat
yang kental untuk awal kerjanya membersihkan hutan bersama Abang Malim untuk
dijadikan tapak kebun nanti. Selain itu, Awang juga mnunjukkakn kegigihan dan usaha
untuk menyara keluarga dengan mencari pendapatan yang lain. Awang yang masih
mengerjakan kebunnya tetap juga ingin ikut belayar ke Singapura untuk mendapatkan
duit lebih dan mendapatkan keperluan untuk sekeluarga. Awang juga keluar belayar untuk
mencari modal berniaga sementara menunggu kelapanya berbuah untuk mcncari duit
lebih bagi menampung kehidupan sekeluarga. Masyarakat Sungai Berembang dikatakan
tidak hidup dengan hasil berkebun sahaja tetapi juga hasil daripada belayar menjual
kelapa kering di Singapura. Contohnya di dalam petikan berikut:
Kata Endut dan Kemat, untung lagi ambil upah belayar ke Singapura
membawa kelapa kering Tauke Guan di Sungai Labu. Kata Kemat
sepuluh atau dua belas hari paling lewat sudah balik. Dapat upah boleh
beli beras, mancis, tepung dan kain pelikat sehelai dua.
(Novel Alun Hidup: 4)

Petikan berikut mengenai Awang yang turut mengikut Endut dan Kemat belayar ke
Singapura untuk mendapat pendapatan yang lebih.
12

Apa pun ramalan Milah, Awang tetap pergi mengikut Kemat Belayar ke
Singapura malam itu. Milah sibuk membungkuskan bekal apa yang
ada.
(Novel Alun Hidup: 170)
Milah tidak dapat menahan Awang daripada berkawan rapat dengan
Kemat dan Endut. Mereka adalah rakan belayar yang rapat. Kalau tidak
berlayar mana nak cari duit untuk membeli beras.
(Novel Alun Hidup: 175)

Di samping itu, novel Alun Hidup juga membincangkan mengenai falsafah dan budaya
kemasyarakatan yang menggambarkan masyarakat di Sungai Berembang yang hidup
saling tolong menolong dan bekerjasama antara satu sama lain. Kesusahan yang menimpa
ahli masyarakat akan terus dibantu oleh ahlinya. Diceritakan dalm novel ini bahawa
masyarakat Kampung Sungai Berembang bekerjasama membantu Awang mendirikan
rumah baharu. Hal ini dipaparkan dalam petikan berikut:
Selapas sembahyang jumaat minggu lepas sudah diberitahu bahawa
hari khamis ini Awang akan berpindah ke hulu dan minta sekalian ahli
jemaah datang bergotong-royong mendirikan rumah.
(Novel Alun Hidup: 320)

Selain itu, dalam novel ini juga menunjukkan sesuatu peristiwa atau kesusahan yang
menimpa ahli masyarakat akan dimaklumkan kepada ketua kampung yang merupakan
ahli yang tertinggi dalam masyarakat Kampung Sungai Berembang. Awang yang ingin
berpindah ke Sungai Berembang juga meminta izi daripada Haji Syawal yang merupakan
ketua kampung di situ. Awang berjumpa dengan Haji Syawal sebagai tanda hormat
kepada ketua yang merupakan ahli tertinggi dalam masyarakat. Kata Abang Malim:
Adat hidup di kampung, mestilah tahu siapa ketua, siapa imamnya,
cetus Abang Malim tenang, setenang air Sungai Berembang.
Hidup sekampung ni macam aur dengan tebing. Erat. Rapat.
Bersatu.berpakat, tambahnya.
(Novel Alun Hidup: 23)

Permasalahan yang menimpa kepada penduduk masyarakat juga didahulukan kepada


ketua dalam ahli masyarakat kerana tanggungjawab seorang ketua untuk berbakti kepada
ahli masyarakat. Dikisahkan dalam novel mengenai Pak Ngah Kasah yang dibaham

13

buaya turut diadu kepada Haji Syawal kerana beliau merupakan ketua kampung dan juga
mahir dalam perubatan Islam. Hal ini digarap dalam petikan berikut:
Awang sama bangun ke tangga. Di kala itu nampak Munip berlari-lari
mendapatkan Haji Syawal yang sudah pun turun tangga.
Ada apa , Munip?
Pak Ngah Kasah dibaham buaya.
Buaya?
Di mana dia? Abang Malim Terkejut sama.
(Novel Alun Hidup: 31)
Dengan kalimah Bismillah, Haji Syawal memulakankerja membuka
balutan yang basah dengan darah itu. Pak Ngah Kasah mengerang kecil
menahan sakit. Dengan berhati-hati Haji Syawal membuangkan balutan
itu hinggalah ke balutan yang akhir
(Novel Alun Hidup: 35)

Isu sosial kemasyarakatan dilihat juga berdasarkan kepada masyarakat melayu yang
masih percaya kepada pantang larang yang diwarisi sejak turun temurun. Adat dan
pantang larang merupakan kebiasaan dalam masyarakat melayu. Adat dan pantang larang
ini merupakan teguran kepada tabiat atau perkara yang tidak baik untuk dilakukan. Oleh
itu, masyarakat mencipta perkara ini disebabkan kepada kebiasaan berlakunya kejadian
disebabkan perkara-perkara yang tidak baik. Milah merupakan ahli dalam masyarakat
yang mempercayai lagi adat dan pantang larang dalam kehidupan. Pantang larang ini
diikuti oleh anak-anaknya yang telah masak dengan pantang-larang yang diajar oleh
Milah. Teguran Milah yang menyebut kepada pantang larang masayarakat melayu pada
masa itu menjadi pegangan dalam hidupnya dan anak-anak. Tegur Milah kepada anaknya
di dalam novel ini:
Asmah mahu meragut buah berembang yang bergayut di tepi sungai,
tetapi dilarang oleh Milah.
Jangan! Jangan dulu. Kita baru di sini. Jangan buat peranagi tak
tentu, tegah Milah yang masih kuat dengan pantang larang.
(Novel Alun Hidup: 10)
Siapa cakap? tengking Milah yang tidak berkenan anak dara suntinya
bercakap tentang orang lain.
Kak cempaka kata,Kak Mah pun tahu.
Zainab menggosok paha yang lebam. Asmah mengetap bibir geram.
Aku pula yang dikaitnya! Asmah cemas.
jangan masuk campur hal orang tua-tua, tak baik, tegah Milah,
seperti memberi amaran.

14

(Novel Alun Hidup: 139)

Milah yang menjaga pantang larang menegur setiap perkara yang dilarang apabila dibuat
oleh anaknya. Perkataan tak baik merupakan suatu sumpahan atau kata keramat yang
memberikan amaran yang tidak baik menjadi pegangan dalam diri anak-anaknya. Hal ini
menyebabkan Milah juga terikut akan pantang larang yang diajarkan oleh Milah. Kata
Asmah dalam menegur soal pantang larang:
Jangan menyanyi di dapur, nanti dapat laki orang tua! Tegur Asmah
apabila mendengar cempaka menyanyi.
Cempaka serta- merta berhenti menyanyi lalu bertanya, siapa kata?
Suaranya cemas dan Asmah dengan Zainab ketawa terkekeh-kekeh
seperti amat geli hati.
Mak kata, sahut Asmah.
(Novel Alun Hidup: 53)

iii) Aspek Nilai Dalam Karya


Teori sosiologi menelti aspek nilai, iaitu teks yang dihasilkan dinilai dalam konteks
sosialnya. Dalam novel ini, nilai ketabahan dalam masyarakat dibentuk melalui
penceritaan kegigihan Awang sebagai watak utama berjuang untuk membela nasib
keluarga di Sungai Berembang. Ketabahan diri Awang diceritakan di setiap genap
penceritaan dari awalnya sehingga akhir novel ini. Kata Awang:
Aku bekerja keras siang malam itu semata-mata hendak melihat anaknak hidup senang. Bukan macam aku merempat sebatang kara. Kebun
di hulu itu akan aku luaskan. Bukan setakat itu saja. Kalau boleh setiap
orang anak kita ada tanah untuk tapak rumah masing-masing, kata
Awang, penuh azam.
(Novel Alun Hidup: 255)

Namun, ketabahan hati seorang ibu yang menerima ketiadaan anaknya. Milah redha
kepada Allah di atas pinjaman sementara anaknya Husin yang meninggal dunia akibat
demam panas. Ketabahan dilihat daripada rasa syukurnya kerana masih memilik suami
yang bertanggungjawab dan anak-anaknya yang lain. Sedutan di dalam novel seperti
berikut:
Milah termanggu pilu. Hatinya ngilu bagai dihiris sembilu. Dan air
mata tidak dapat dibendung lagi. Di kala dia menoleh ke belakang
dilihat Asmah dan Zainab terpaku memerhatikannya dengan wajah
sedih dan bingung. Dipeluknya anak-anak itu seerat seperti tidak mahu

15

berpisah. Asmah masih ada, detiknya. Zainab masih sihat, Yusuf,


Adam. Tidak bersyukurkah aku? soalnya seperti mencari kekuatan
baru. Sekali lagi dia melempa pandang ke halaman. Awang dan anakanak menjirus batas-batas terung yang baru ditanam. Milah mengesat
air mata dan turun ke halaman. Pada saat itu dia ingin sekali bersama
mereka.
(Novel Alun Hidup: 339)

Nilai kasih sayang dalam masyarakat di tonjolkan melalui kasih sayang kepada anggota
masyarakat, sayang akan tempat tinggal dan kasih sayang ibu kepada anak. Dipaparkan
dalam cerita Zainab yang sudah sayang untuk meninggalkan tempat baru dan
tanamannya. Kasihnya Milah pada Kak Joyah yang selalu menolongnya dan akhirnya
terpaksa berpindah ke tempat lain juga kasih sayang ibu kepada anaknya.
Seterusnya, nilai keagamaan yang ditonjolkan dalam masyarakat Sungai
Berembang. Masyarakat Sungai Berembang dilihat sebagai anggota masyarakat yang
beragama dan menerapkan nilai-nilai keislaman dalam kehidupan. Mereka berkumpul
untuk mendengar ceramah agama dan setiap perkara yang ingin dilakukan pada hari-hari
yang istimewa dalam Islam supaya pekerjaan mendapat keberkatan.
Bila pula pindah?
Cadangnya esok, sebelum matahari tegak, kata Awang.
Esok Jumaat. Sangat baik berpindah pada pagi Jumaat yang mulia.
Mudah-mudahan selamat kau anak beranak.
(Novel Alun Hidup: 29)
Beberapa orang lelaki sudah ada menunggu Pak Kiai Kudus tiba dari
rumah Haji Syawal. Malam semalam dia membaca kitab di surau dekat
rumah Haji Syawal. Petang ini diundang ke rumah Abang Malim pula.
Begitulah orang alim dari seberang ini disambut oleh ahli kampung
sehingga seminggu lamanya kemudian baru beredar ke kampung
sebelah.
(Novel Alun Hidup: 105)

Dilihat pula dari sudut perubahan kepada kehidupan beragama. Milah yang dulunya
hidup di Kesang begitu leka dan melupakan suruhan Allah. Apabila berpindah ke Sungai
Berembang yang dekelilingi oleh masyarakat yang kuat beragama dan orang alim, Milah
berubah dan lebih bagus dalam menunaikan solat. Berikut seperti dalam petikan:
Tertegun Milah mendegarnya sambil berfikir-fikir. Betul aku sudah
bekerja kuat membuat kebun, tetapi belunlah semewah abang Malim,
cukuplah makan anak-beranak lebih-lebih lagi setelah Awang berniaga.
Tetapi bekal di akhirat itu rasanya sikit sangat, sembahyangku ambil

16

sempat saja. Dulu waktu di Kesang lagi dahsyat, tidak pernah kenal
tikar sembahyang. Sekarang setelah diajar, tahu juga mendirikan
sembahyang, syukurlah, detiknya.
(Novel Alun Hidup: 261)

iv) Aspek Kesan Dan Pengaruh Karya Terhadap Masyarakat


Teori sosiologi sangat memberikan penekanan dalam aspek kesan dan pengaruh.
Sesebuah karya yang dibaca seharusnya memberi kesan kepada pembaca. Aspek
pengaruh berbeza dengan kesannya. Terdapat perbezaan antara kesan dan pengaruh.
Kesan menekankan reaksi atau implikasi karya terhadap pembacanya. Pengaruh juga
melihat aspek implikasi dan reaksi, tetapi tidak sahaja kepada pembaca malah kepada
kesusasteraan itu sendiri.
Kesan novel Alun Hidup kepada pembaca iaitu Alun Hidup menerapkan sikap
ketabahan dan kegigihan sesebuah masyarakat berjuang dalam meneruskan hidup. Dari
awal hingga akhirnya diceritakan kesungguhan dan keperitan hidup Awang sekeluarga
membela nasib keluarga. Selain itu, Alun Hidup juga menerapkan dan menceritakan
masyarakat yang hidup di dalam komuniti bersama. Kesusahan yang menimpa ahli
masyarakat akan dibantu sesama mereka. Kesenangan yang dimiliki juga dikongsi
bersama. Petikan menujukkan kerjasama yang ditunkkan dalam masyarakat Sungai
Berembang yang bersama-sama ingin membunuh buaya yang menyerang Pak Ngah
Kasah dan juga gotong royong mendirikan rumah Awang:
Semua ahli Kampung Sungai Berembang dan kampung berdekatan
yang berjemaah pada hari itu bersetuju hendak membunuh buaya yang
mencakup jari Pak Ngah Kasah.
(Novel Alun Hidup: 58)
Selapas sembahyang jumaat minggu lepas sudah diberitahu bahawa
hari khamis ini Awang akan berpindah ke hulu dan minta sekalian ahli
jemaah datang bergotong-royong mendirikan rumah.
(Novel Alun Hidup: 320)

17

Seterusnya ialah kesan kepada masyarakat yang menunjukkan kepentingan pendidikan


dalam ahli masyarakat. Masyarakat Sungai Berembang tidak mempunyai ahli masyarakat
yang mempunyai latar belakang pendidikan kecuali pendidikan agama. Sungai
Berembang tidak memilik sekolah untuk anak-anak warga Kampung Sungai Berembang.
Kepentingan pendidikan diterap dalam kisah Awang yang ingin berpindah ke Sungai
Labu kerana ingin menyekolahkan anak-anak lelakinya. Diceritakan dalam petikan
berikut:
Mereka duduk di tangga dengan papan batu yang dibawa sama dari
Kesang. Umur sepuluh tahun baru masuk ke sekolah maka sempatlah
belajar tiga tahun untuk mengenal huruf dan mengira. Yusuf yang
berumur sepuluh tahun itu sempat belajar beberapa bulan saja dan tidak
dapat bersekolah semula kerana Sungai Berembang tidak ada sekolah.

(Novel Alun Hidup: 94)


Cepat kita pindah ke hulu lebihlah baik. di hulu sekat dengan jalan
simen. Di hulu dekat dengan sekolah di Kampung Sungai Labu. Anakanak yang tiga orang itu mesti sekolah, kata Awang, seperti
mengingatkan Milah supaya tabah dan kerja keras untuk mengumpul
wang membeli papan dan zink.
(Novel Alun
Hidup: 266)
Aku tidak mahu anak-anakku buta huruf seperti kita. Aku tidak mahu
anak-anak Cuma setakat tahu mengaji dan mengira sampai sepuluh.

(Novel Alun Hidup: 266)

Namun begitu, pendidikan pada waktu dan di Sungai Berembang tidak seperti mana pada
masyarakat lain. Kesan yang mencacatkan apabila perempuan tidak perlu disekolahkan
dan dipinggirkan daripada pendidikan pada ketika itu di Sungai Bembang. Di tempat lain
telah ada pendidikan bagi anak-anak perempuan. Seperti dalam petikan:
Di Singapura, Milah, anak-anak perempuan pun pergi sekolah,
jelasnya. Milah diam mendengarnya, tetapi dalam hati merungut.
Mentang-mentanglah dia selalu ke Singapura, kita yang di tepi hutan
ini hendak dibandingkan dengan orang bandar besar!
(Novel Alun Hidup: 266)

18

Anak-anak perempuan hanya diberi pendidikan agama dan belajar untuk menguruskan
rumahtangga dan menunggu untuk dipinang oleh mana-mana lelaki. Seperti dalam
petikan berikut:
Ah, anak perempuan buat apa disekolahkan! Sampai umur akan
dipinang orang dan tinggal di ceruk dapur juga, kata Kak Joyah.
Benar juga itu, fikir Milah. Tidak lama lagi dia akan mempunyai anak
dara seperti Cempaka dipinang orang. Anak itu perlu tahu mengaji,
menjahit dan memasak.
(Novel Alun Hidup: 95)

Pengaruh novel ini diteliti dari sudut nilai keagamaan. Penceritaan mengenai
masyarakat yang hidup dalam keagamaan yang utuh iaitu masyarakat yang
beragama Islam. Diterapkan dalam novel setiap kehidupan yang mengikut normanorma agama. Diselitkan dengan pesanan-pesanan agama secara terangan.
Oleh itu, novel Alun Hidup sempat menyelitkan mesej-mesej agama
dimana Awang yang menasihati Milah supaya hidup tidak hanya mengejar dunia
tetapi juga akhirat. Kata Awang:
Kita hidup ni bukan setakat hendak senang di dunia. Siang malam cari
duit saja, tapi kita hendak senang di akhirat nanti. Awang selalu
bersyarah balik apa yang didengarnya di surau.
(Novel Alun Hidup: 261)

Begitu juga pesan Kak Joyah kepada Milah semasa ketiadaan Awang di rumah. Milah
dipaksa untuk balik di Kesang tanpa kebenaran. Kak Joyah menegas Milah berbuat
demikian dengan nasihat-nasihat agama. Seperti di dalam petikan berikut:
Berdosa meninggalkan rumah semasa suami tidak ada, kata Kak
Joyah yang sedikit sebanyak tahu hukum agama kerana rajin
mendengar tuk guru membaca kitab.
125

Juga mengenai nasihat agama yang diterangkan oleh Pak Kiai Kudus di dalam novel
sewaktu memberi ceramah agama:
Ibadat itu bukanlah khas kepada sembahyang lima waktu sahaja.
Bekerja mencari nafkah anak isteri dikira ibadat juga. Balasan daripada
Allah ialah pahala. Tetapi yang penting mestilah ikhlas, tidak menipu
orang. Allah menyuruh umatnya mencari rezeki di muka bumi ini, di
laut atau di hutan asalkan jangan lupa mentaati hukum Allah, nasihat
Pak Kiai Kudus dengan suara besar parau.
(Novel Alun Hidup: 109)

19

KESIMPULAN
Sosiologi adalah suatu telaah yang objektif dan ilmiah tentang manusia dalam masyarakat
dan tentang sosial dan proses sosial itu tumbuh dan berkembang. Pendekatan ini bertolak
daripada pandangan bahawa sastera merupakan pencerminan kehidupan suatu
masyarakat. Dalam analasis novel yang dilakukan oleh penulis dengan pendekatan
sosiologi lebih menitik beratkan terhadap perkara-perkara sosial yang terdapat dalam
novel ini. Dari sudut teori sosiologi, Khadijah Hashim mencipta Alun Hidup dengan
memaparkan gaya hidup masyarakat dalam novel ini yang menggambarkan pelbagai
permasalahan dan keadaan masyarakat yang menepati dengan keadaan masyarakat hidup
pada masa itu. Penulis begitu teliti menceritakan keadaan semasa masyarakat berkaitan
dengan kepercayaan, suasana, perasaan dan sebagainya menepati dengan alam melayu
pada masa itu.
Akhir kata, penelitian novel ini dari sudut teori sosiologi sedikit sebanyak
memberi kesan kepada pembaca yang mengamati setiap yang berlaku di dalam novel ini.
Semoga apa yang dibaca dapat diamati dan dijadikan sebagai bahan dan pengajaran
dalam hidup untuk menjalani kehidupan yang sebenar bagi melalui cabaran hidup pada
waktu ini dan dalam masa yang akan datang. Semoga novel Alun Hidup menjadi suatu
pegangan masyarakat untuk menjalani penghidupan dan perubahan kepada masyarakat
yang lebih berjaya.

RUJUKAN

20

Abdul Halim Ali, 2011. Pengantar Teori & Krtitikan satera Barat dan Malaysia:
Persatuan
Penulis Budiman Malaysia.
Arbaie Sujud, Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi, 2006. Sastera Melyu Suatu
Pengantar.
Kuala Lumpur: Tinta Press Sdn Bhd.
Khadijah Hashim, 2012. Alun Hidup. Selangor: K Publishing Sdn. Bhd
Mana Sikana, 1983. Aliran dalam Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Mana Sikana, 1986. kritikan Sastera : Pendekatan dan Kaedah, Petaling Jaya: Penerbit
Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Mana Sikana, 2013. Koleksi Teori Sastera. Selangor: Pustaka Karya.
RUJUKAN LAMAN SESAWANG
http://www.mykarya.net/2012/11/biodata-khadijah-hashim.html
http://teorisastera.blogspot.com/2010/05/pendekatqan-sosiologi.html
http://www.slideshare.net/momeetry/dr-nik-sem-6
http://mimbarkata.blogspot.com/2013/02/perkembangan-kritikan-sasteramalaysia_28.html

21

Anda mungkin juga menyukai