Anda di halaman 1dari 11

Isi Kandungan

Pengenalan 2

Kupasan Pantun Dalam Masyarakat 3

Pantun Dalam Mendidik dan Memberikan Nilai Baik 6

Kesimpulan 10

Rujukan 11

1
Pengenalan
Sastera rakyat merupakan sebuah karya kreatif disampaikan oleh masyarakat
Melayu zaman dahulu khususnya golongan desa dan petani untuk dijadikan sebagai
hiburan dan juga pendidikan kepada masyarakat setempat. Terdapat segelintir
masyarakat zaman kini yang menganggap sastera rakyat adalah sesuatu yang asing
dandianggap khayalan semata-mata. Cerita rakyat merupakan sebahagian daripada
kesusasteraan Melayu lama yang bersifat lisan yang disebarkan melalui mulut ke mulut
oleh penglipur lara dan diperturunkan daripada satu generasi kesatu generasi serta
memiliki nilai - nilai pengajaran yang boleh dipelajari oleh segenap lapisan masyarakat
dan bukan bersifat hiburan semata-mata.
Masyarakat Melayu amat mementingkan keharmonian ketika berkomunikasi antara
satu sama lain. Pada satu ketika dahulu, pantun menjadi bahasa basahan yang digunakan
sebagai alat komunikasi yang bertujuan menjaga air muka pendengar atau orang yang
dilawan bercakap. Melalui pantun, masyarakat Melayu berkias mengenai sesuatu secara halus
dan teliti agar setiap perkara yang ingin disampaikan akan diterima dengan baik oleh
seseorang.
Kehebatan dan ketepatan pantun sebagai satu alat kritik sosial yang digunakan oleh
masyarakat Melayu menunjukkan bahawa masyarakat Melayu mempunyai daya pemikiran
yang begitu halus dan kreatif. Seperti mana Laksamana Hang Tuah pernah berkata “tak
Melayu hilang di dunia”, pantun juga harus dipelihara agar terus hidup dan diamalkan dalam
kehidupan masyarakat Melayu hari ini. Abdul Halim Ali (2006), Pantun dikarang untuk
menyampaikan kritikan dan sindiran terhadap sesuatu kepincangan yang berlaku dalam
masyarakat. Kritikan dan sindiran ini amat tajam dan disampaikan secara berlapik dan
berkias, sesetengahnya dalam nada bergurau. Ramai sarjana Melayu membuat kajian dan
pembincangan tentang pantun, di antaranya Muhammad Haji Salleh, Md, Salleh Yaapar,
Tajul Kelantan, Darus Ahmad, Harun Mat Piah, Zainal Abidin Bakar, Jamilah Haji Ahmad,
Samad Ahmad, Zakaria Hitam, Asmad, Ghazali Dunia dan Yahya Ismail. Sementara dalam
kalangan sarjana Barat pula terdiri daripada R.O. Winstedt, H. Overbeck, A. Hamilton, M. G.
Emies, C. Hooykaas, L. Phillip Thomas, R. J. Wilkinson, C. Hugh Holman dan Rene Daillie .
Bahasa merupakan alat pengucapan perhubungan atau komunikasi yang terpenting
dalam kehidupan manusia untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Tanpa bahasa manusia
tidak dapat berhubung dan merealisasikan perkara yang ingin disampaikan antaranya
memberi nasihat. Justeru itu bahasa perlu dipelajari dan dikuasai bagi memenuhi keperluan
sosial dalam kehidupan seharian. Di samping itu tujuan utama komunikasi adalah untuk

2
menyampaikan maksud atau maklumat. Oleh itu adalah penting bagi pendengar untuk
menginterpretasi maksud yang disampaikan oleh penutar agar komunikasi menjadi lebih
berkesan dan berjaya. Kesalahpahaman pasti berlaku sekiranya makna yang diinterpretasikan
oleh pendengar menyimpang dari maksud asal yang ingin disampaikan. Hal demikian kerana
bahasa sebagai sistem makna tidak menyerlahkan keseluruhan makna menerusi komunikasi
kerana ada makna yang terselindung yang memerlukan pemikiran yang kritis dan persepsi
yang mendalam untuk mengesannya.
Begitu jugalah dengan pantun sebagai suatu bentuk seni berbahasa yang kreatif
sememangnya memperlihatkan kepelbagaian maksud yang tersirat di sebalik kata-kata yang
tersurat. Hal ini perlu diamati menerusi pantun yang dicipta dengan pembawaan pelbagai
simbol, kiasan, ibarat dan seumpamanya. Akal budi orang Melayu menjadikan mereka
berbudi bahasa dan setiap tutur kata dipenuhi dengan ungkapan kias-mengias yang juga
dikenali bahasa kiasan.

Kupasan Pantun dalam Tauladan Masyarakat


Masyarakat Melayu mempunyai kreativiti dalam pelbagai hasil seni. Hal ini termasuk
seni berbahasa yang digunakan untuk menyalurkan pemikiran melalui baitbait pantun.
Masyarakat Melayu tradisi memperlihatkan kehalusan budi melalui penggunaan bahasanya.
Oleh itu, pemikiran atau amanat yang hendak disampaikan tidak dilakukan secara berterus
terang, tetapi dalam bentuk bahasa yang halus dan berkesan. Elemen bahasa ini kadangkala
memerlukan penjelasan, penelitian bagi memahaminya kerana setengahnya pula terlalu kabur
dan peribadi sifatnya.

Budaya berpantun sebenarnya budaya orang Melayu; hubung kait suatu pencernaan
alam, genjala alam, hubungan manusia dan sejarah malahan hampir semua bentuk kegiatan
yang dilakukan oleh masyarakat Melayu tradisional ada dalam pantun. Pertalian sejarah,
budaya dan kesenian orang Melayu. “Sebagai hasil kreatif manusia Melayu yang terawal,
pantun merupakan khazanah silam yang amat bernilai sasteranya tetapi juga nilai
dokumentarinya.
Pantun membawa bersama-samanya seluruh perawakan; perwatakan tamadun Melayu
silam, termasuk pemikiran, pandang alam, adab, adat dan segala rencah budaya leluhur yang
halus dan tinggi” (Abdul Halim Ali (2006).
Keindahan sebuah karya pantun tradisional terletak melalui bahasa yang digunakan.
Lantaran itu sastera ini cukup rapat hubungannya dengan bahasa yang disampaikan.

3
Sesungguhnya bahasa menjadi alat perantaraan bagi menyampaikan amanat atau mesej dalam
karya sastera tidak kecuali pantun. Pastinya melalui bahasa, sesebuah hasil sastera itu dapat
disampaikan dan disebar. Keindahan bahasa, isi dan tujuannya dapat dirasai melalui
penggunaan bahasanya walaupun bahasa yang disampaikan secara ekonomik tetapi padat.
berisi dan bernas. Bahasa dalam pantun ialah sebagai alat komunikasi yang digunakan bagi
memindahkan pengalaman jiwa, iaitu pemikiran orang Melayu tradisi yang melihat melalui
rasa hati dari segenap kehidupan harian. Bahasa dalam pantun bukan sahaja mengutamakan
kefahaman tetapi juga penyusunan kata-kata yang tepat agar dapat dihayati oleh masyarakat.
Bahasa yang tersusun indah dengan penggunaan kata yang terpilih dan berirama, dibentuk
dengan beberapa tujuan, misalnya bagi menyampaikan sesuatu fikiran untuk kebaikan
manusia sejagat. Justeru itu, pantun Melayu padat dengan nilai estetika, dihiasi pula pelbagai
gaya yang merupakan identiti budaya berbahasa masyarakat Melayu lama.
Pantun Melayu seperti juga peribahasa, perpatih, pepatah, kiasan, perbilangan,
perlambangan, sindiran, imejan merupakan gaya persembahan yang baik yang
memperlihatkan penggunaan suku kata seperti awalan, sisipan atau akhiran, tegasnya
pembayang dan maksud di baris akhir. Pantun juga menggunakan bahasa yang disesuaikan
dengan teknik penghasilan penciptaan dengan memilih kata-kata yang tepat dan bermakna
sehingga tidak dapat diubah ganti dengan perkataan yang lain. Masyarakat Melayu tradisi
walau dalam keadaan buta huruf dan serba kekurangan, mereka dapat menghasilkan karya
sastera yang tinggi mutu dan nilainya beracuan budaya bangsa yang tinggi tamadunnya.
Pengolahan pantun yang tinggi mutunya, memerlukan kebijaksanaan untuk mencari rima
akhir dan menjaga susunan kata-kata, memilih lambang-lambang yang sesuai dan kata-kata
yang tepat bagi menjelaskan gagasan dan pemikiran di samping dapat memberi kesan yang
hendak disampaikan agar tepat pada sasarannya. Ketelitian dan daya pengolahan pantun
sebagai suatu bentuk seni yang tinggi nilainya dalam masyarakat Melayu lama menjadi
khazanah bangsa, karya agung yang perlu dijaga dan diketengahkan.

Pantun adalah salah satu cabang puisi Melayu tradisional yang masih popular hingga
ke hari ini. Ia tersebar luas melalui pelbagai media seperti lirik lagu, majlis-majlis dan
pelbagai upacara, misalnya majlis perkahwinan. Malah pantun juga berkembang mekar di
laman internet (ada pantun net) dan berbalas pantun dari seluruh dunia. erdapat kekreatifan
baru dunia pantun dalam bentuk bercetak, lisan (radio), visual (televisyen) dan dunia siber
termasuk di internet dan yang tersebar melalui khidmat pesanan ringkas atau sms di seluruh
dunia.

4
Melalui pantun terpancar budaya masyarakat Melayu tradisional yang tidak
mengkritik secara berterus terang tetapi secara halus. Kata-kata yang digunakan dalam pantun
adalah lambanglambang yang mengandungi makna yang tersirat. Seperti kebanyakan karya
Melayu tradisi, kita tidak mengetahui siapakah pengarang sebenar. Namun daripada pantun
yang kita warisi, terbukti bahawa pengarang pantun adalah pemikir yang amat tajam
pemerhatiannya terhadap alam dan masyarakat di sekeliling. Mereka peka terhadap segala
yang berlaku lalu menyampaikan teguran dan kritikan untuk membawa kebaikan. Pengarang
pantun menggunakan perbandingan dan tamsilan seperti perumpamaan, metafora, simile dan
personifikasi yang kaya dengan imej alam. Imej-imej alam ini perlu ditafsir untuk
mengetahui maksud sebenar pantun (A. Halim Ali, Mana Sikana & Mohd Rosli Saludin
(2011)).
Pantun adalah pengucapan lisan oleh masyarakat Melayu sejak zaman berzaman lagi.
Malah tidak keterlaluan jika dikatakan hampir keseluruhan aspek kehidupan masyarakat
Melayu. terungkap melalui pantun. Terdapat pantun-pantun yang memperlihatkan aspek
pendidikan kepada seorang kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa sendiri. Luasnya ruang
cakup yang diliputi oleh pantun menyebabkan kajian-kajian yang dilakukan ke atasnya
terlihat belum sampai ke penghujungnya.

Umpamanya lihatlah contoh di bawah :


Pucuk pauh berulam pauh,
Petang-petang kacau inti,
Sayang saya berkasih jauh,
Petang-petang hancur hati.
Berasaskan pantun di atas, beberapa aspek dapat dirungkaikan. Misalnya pantun tidak hanya
terbatas kepada perasaan dan pengalaman, tetapi juga dapat menyimpulkan hujah dan
persoalan dalam empat baris yang direka. Oleh sebab sifat dan bentuk pantun ini kecil dan
padat, maka penceritaan yang panjang lebar tidak mungkin dibawakannya. Marohaini Yusof
(2001), Apa yang dapat dikesan ialah cebisan kisah hidup manusia, wawasan, bayangan
perasaan. peristiwa yang dipadatkan dan kesan yang cepat. Justeru, penggunaan alam yang
luas telah dimampatkan, dikentalkan, kenyataan hidup dan peristiwa yang panjang dipadatkan
supaya dapat disusun rapi dalam ruang yang kecil dengan diksi yang tepat. Sedar atau tidak,
tidak ada pembaziran dalam memilih diksi untuk mencipta pantun. Binaan seperti ini disebut
sebagai minimal art yakni mengungkapkan dunia yang kompleks lagi sulit dalam ruang

5
wacana yang kecil dipadankan pula dengan jumlah perkataan yang minima. Pemilihan harus
rapi, padat, teliti, sinkat tetapi indah. Di sinilah terletaknya keunggulan pencipta pantun. Pada
hemat saya, pencipta pantun dapat diibaratkan seorang pengukir yang hebat, justeru pantun
yang kekal dan segar sepanjang zaman adalah muncul dari pengalaman yang lama terjana dan
bakat yang besar pula anugerah dariNYA. Apabila khalayak membaca dan menghayati
pantun, sering kali akan timbul rasa takjub mengenai pemikiran dan kepenuhan perasaan
yang disampaikan melalui baris-baris yang padat tetapi halus dan lembut alirannya. Tidak
ketinggalan juga di sebalik pengisian pantun yang kaya dengan nilai-nilai kepintaran, terdapat
juga unsur-unsur humor, erotik, wit, lelucon, jenaka, kelolo, sindiran, ironi yang kesemuanya
dibina dari dandanan, imej, baris, makna yang rapi disusun menjadi cantik dan bermakna.
Setiap perkataan menanggung beban bunyi, konotasi, rima, kesedapan, kesegaran dan
pemikiran.

Sebagai hasil kreatif manusia Melayu yang terawal, pantun merupakan khazanah silam yang
amat bernilai, bukan sahaja dari segi nilai sasteranya tetapi juga nilai dokumentarinya. Pantun
membawa bersama-samanya seluruh perawakan; perwatakan tamadun Melayu silam –
termasuk pemikiran, pandang alam, adab, adat dan segala rencah budaya leluhur yang halus
dan tinggi. Seluruh rencah warisan inilah yang menjadi dasar untuk pembentukan tamadun
dan budaya hari ini – mengarah manusia kini untuk menertibkan seluruh kehidupannya,
memantapkan identiti dirinya terutama di tengahtengah budaya kosmopolitan dan arus
globalisasi.
Pantun Dalam Mendidik dan Memberikan Nilai Baik
Pengkaryaan pantun menurut kepada pematuhan kepada hukum-hukum penciptaan
yang tegar, konvensional, baik dari sudut bentuk, struktur dan bahasa. Pantun seperti teks
lisan yang lain adalah diikat oleh kaedah penciptaan yang ketat dan ini menjadi prasyarat dan
estetikanya. Penciptaannya dengan demikian menuntut kepada sikap berdisiplin, bukan
sewenang-wenang atau sambil lewa. Pengkarya berhadapan dengan proses pengarang yang
menuntutnya supaya mematut rima (hujung, tengah), mencipta ritma (jeda, aliterasi, asonansi,
perulangan) mengawal dan menyusun baris, menyukat suku kata, memilih pembayang,
merenung idea, memastikan kaitan antara idea dengan metafora. Proses kreatif yang begini
tegar ini, dapat membina disiplin diri – ketekunan, kesungguhan, ketertiban, yang dapat
memperkasa peribadi. Penguasaan konvensi pantun pula dapat menanam kegemaran kepada
pusaka tradisi, hatta menghormati nilai pribumi, membuka kesedaran pada jati diri, akar
budaya tradisi yang dapat mengukuhkan peribadi daripada pencemaran budaya luar. Pantun

6
dengan demikian bukan sahaja silam ke masa kini, tapi juga membudayakan bangsa melalui
proses apresiasi dan kepengarangannya.

Pantun dicipta dalam konteks budaya tradisional yang amat mementingkan kesopanan
berbahasa dan ketertiban berkomunikasi (lihat Noriah Taslim 2003). Penggunaan pantun
(seperti penggunaan bentuk bahasa tamsilan yang lain) dalam komunikasi dapat mengelak
kelancangan bicara atau keceloparan menyampaikan hajat atau maksud yang boleh merentak
perasaan, memasukkan muka, lantas menimbulkan antagonisme dalam masyarakat. Terutama
yang perlu dikawal ialah komunikasi emosi atau hasrat yang terlalu peribadi dan intim.
Luahan yang langsung polos, sewenang-wenang, akan dianggap kasar, tidak beradab. Dalam
situasi begini – merisik, meminang mencumbu kasih, menyampaikan cinta dan rindu, malah
menegur kesilapan dan menunjukkan kelemahan, pantun.

Contoh:
Pantun yang meluahkan rasa secara terkawal dan sopan:
Limau purut lebat di pangkal,
Sayang selasih condong uratnya;
Angin ribut dapat ditangkal,
Hati kasih apa ubatnya?
Atau menegur dan menasihati melalui tamsilan:
Kalau tuan pergi menebang,
Jangan lupa membawa tajak,
Jangan menurut resmi kiambang,
Pucuknya menghijau akar tak jejak

Kerelevanan pantun sudah lama terbukti cuma dalam kalangan masyarakat kurang
sensitif dan memandang pantun hanya untuk penyeri majlis, lihat sajalah bagaimana pantun
digunakan untuk hanya memeriahkan majlis, menimbulkan gelak tawa, menenangkan
suasana mesyuarat atau menghiburkan khalayak dalam pelbagai acara umpamanya majlis
persandingan, persidangan, malam puisi dan pelbagai acara seni.
Penggunaan bahasa yang indah dan tinggi mutunya amat ketara dalam pantun
Melayu. Bahasa yang digunakan memberikan erti yang tepat dan jelas untuk ditanggapi
mengikut tujuan atau kehendak tertentu. Oleh sebab itu, pantun menjadi alat komunikasi yang
sangat istimewa kerana bahasanya yang tepat dan mempunyai mesej untuk mendidik

7
masyarakat. Keistimewaan bahasa dalam pantun menunjukkan kebijaksanaan orang Melayu
mendidik masyarakat supaya beradat dan beradab. Dalam hal ini, pantun yang istimewa
kelihatan indah bahasanya dapat pula dijadikan sebagai bahan rujukan dan sumber pelbagai
ilmu. Paling ketara ada ilmu tentang alam semesta yang sering dijadikan pembayang pantun.

Justeru, sebagai rencah dan leluhur bangsa Melayu, pengisian pantun amat kaya dan
sarat dengan nilai nilai murni/ moral. Setiap satu nilai ini mencerminkan jiwa raga manusia
Melayu, umpamanya baik hati, berdikari, berhemah, hormat, kasih sayang, keadilan,
kejujuran, kerajinan, kebersihan, kesyukuran, kerjasama, kejiranan, belas kasihan,
bertimbang rasa, bermaaf-maafan, murah hati, berbudi pekerti, bersopan dan ramah mesra.
Inilah kayu ukur jati diri, pembawaan diri, untung nasib dan kadar diri dalam kalangan orang
Melayu dulu, kini dan selamanya namun sedikit-demi sedikit semakin tercemar dan dihakis
kerana kepercayaan dan keyakinan orang Melayu sendiri terhadap seni sastera dan budaya
semakin tipis, maka tipislah persona orang Melayu itu sendiri.

Contoh pantun di bawah mungkin dapat mengkonkritkan idea keindahan dan keelokan
pantun:
Jika terbang, terbanglah bangau,
Ikan senang beralih lubuk;
Jika kering, keringlah danau,
Senang belatuk tumpang duduk.
Jika kulurut padiku ini,
Jikalau kulurut pecah batangnya;
Jikalau kuturut hatiku ini,
Jikalau kuturut padah datangnya

Mencipta pantun dengan demikian akan menajamkan kepekaan terhadap keindahan


(luaran) dan keelokan (dalaman), mendidik kehalusan rasa, memperkaya pengalaman emosi
hatta meningkatkan penghayatan estetik baik pada lapis deria mahupun intelek, dan
perkara-perkara ini meningkatkan kehalusan budaya insan. Mencipta pantun memerlukan
penguasaan ilmu dan pengetahuan yang amat luas. Unsur bahasa yang digunakan dalam
pantun seperti perlambangan, perbandingan, pertentangan, penegasan dan sindiran amat
penting dalam menyampaikan perasaan seperti kesedihan, keindahan mahukan kegembiraan

8
yang tersembunyi. Hal ini jika diamati dan dilihat melalui penyusunan dan pemilihan
kata-kata sesebuah pantun mempunyai hubung kait antara pembayang dan maksud pantun
yang diucapkan. Unsur ini sangat penting dalam membentuk hasil seni yang tinggi nilainya
dan secara langsung memberi impaknya tersendiri terhadap masyarakat. Bahasa yang
digunakan paling imajinatif dan kreatif, keadaan ini yang memastikan bahawa masyarakat
Melayu tradisi berupaya memanipulasikan unsur bahasa dengan pelbagai gaya bagi
menyampaikan buah fikiran, perasaan yang baik dan berkesan.

Melalui pantun terpancar budaya masyarakat Melayu tradisional yang tidak


mengkritik secara langsung atau berterus terang tetapi secara halus dan berhemah. Seperti
kebanyakan sastera tradisional, pengarang tidak dikenali namun pengarang pantun adalah
mereka yang boleh dikategorikan sebagai pemikir yang amat tajam pemerhatiannya terhadap
alam dan masyarakat sekeliling. Kepekaan pengarang terhadap alam sekitar, perilaku dan
tingkah laku bagi manusia menterjemahkan tentang kritikan untuk membawa kebaikan.
Kebanyakan pengarang pantun juga menggunakan keindahan bahasa seperti perbandingan,
tamsilan seperti perumpamaan, metafora, simile dan personifikasi yang kaya dengan imej
alam.
Keunggulan pantun dalam masyarakat Melayu menjadi wadah yang amat penting
dalam menyampaikan pelbagai rencah hidup yang ditempuhi oleh masyarakat Melayu ketika
itu. Pantun menjadi alat hubungan manusia dengan alam dan melahirkan manusia yang
bernama ‘Melayu’ menjadi bangsa yang mempunyai nilai budaya, berbudi bahasa, dan sudah
terbukti meletakkan ke mercu tamadun yang tinggi.

9
Kesimpulan
Penulisan sastera adalah penting sebagai wadah untuk merealisasi perubahan yang
digerakkan oleh peranan sastera dan karyanya, penghasilan pantun berkait rapat dengan
kesedaran tauhid penyair dan usaha penyair menggunakan pkarya sebagai medium dakwah
ke arah penyempurnaan tauhid diri dan masyarakat pembaca dan ini ditegakkan melalui
pengucapan yang indah dan puitis. Bahasa yang baik tidak hanya diukur dari segi ketepatan
tatabahasanya atau nilai estetik kesasteraannya, tetapi juga dari segi kemampuannya
mengungkapkan semangat pengagungan Tuhan, di samping menjadi wahana pesan-pesan
kebaikan.Penggunaan gaya bahasa dalam penulisan kreatif banyak mendatangkan kesan dan
sisi positif. Keindahan gaya bahasa dalam karya seharusnya diberi perhatian oleh semua
pihak kerana tanpa sesuatu gaya dalam sesebuah penulisan ianya akan terlihat kosong dan
suram. Perubahan dan kesedaran ini menjadi amanah yang dipertanggungjawabkan kepada
penulis. Tugas pengarang dan mengarang merupakan amanah berat yang harus dipikul oleh
setiap manusia yang bergelar penulis sebagai sumbangan yang bermanfaat untuk
pembentukan pemetaan kesusasteraan Melayu tanahair sepanjang zaman
\

Rujukan
Abdul Halim Ali (2006). Mendekati puisi Melayu tradisional. Tanjung Malim: Profesional
Baharu.

10
A. Halim Ali, Mana Sikana & Mohd Rosli Saludin (2011). Prosiding Sastera Membina
Peradaban Bangsa. Budiman Malaysia.
Barker, C. 2004. Cultural Studies: Theory and Practice. London: SAGE Publications.
Marohaini Yusof (2001). Penyelidikan Kualitatif: pengalaman kerja lapangan Kajian. Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Wilkinson, R. J. & Winstedt, R. (1961). Pantun Melayu (cetakan keempat). Singapura:
Malaya Publishing House Limited. Call No: RCLOS 8

11

Anda mungkin juga menyukai