Anda di halaman 1dari 8

Ramai Guru Sakit Jiwa

NAMA: EVELYN CHONG HONG WOOI


Ramai Guru Sakit Jiwa

Dunia pendidikan semakin mencabar pada hari ini, pelbagai isu yang
berkaitan dengan guru dan keguruan sering dibincang melalui media
massa. Melalui pelbagai isu guru dan keguruan yang saya dapati daripada
Internet, saya telah memilih satu artikel dari Kosmo yang merupakan laman web
rasmi yang bertajuk Ramai guru sakit jiwa. Isu keguruan tersebut telah menarik
perhatian saya, kerana isu tersebut memberi impak yang besar kepada
profesion saya sebagai seorang guru pada masa akan datang.
Saya mesti mendapat pemahaman yang lebih baik tentang isu
tersebut dan mendapatkan inspirasi daripadanya untuk menjadi seorang guru
yang berprofesional dalam bidang keguruan.
Daripada artikel yang saya bacakan, dikatakan profesion perguruan telah
terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan mental sehingga boleh
membawa kepada penyakit mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan
melampau dan kemurungan. Dengan pemahaman saya mengenai tekanan
emosi,tanda-tanda awal tekanan mental akan bermula dengan kemurungan.
Kemudian guru akan mula hilang tumpuan mengajar, dia akan berasa bosan
dengan berdepan dengan guru dan murid, dia memilih untuk menjadi pendiam,
jika berlarutan guru tersebut tidak mampu lagi untuk mengajar dan melakukan
aktiviti harian. Guru yang mengalami tekanan juga kemungkinan besar akan
bertindak dengan cara yang tidak dapat diterima akal seperti memukul dan
menengking pelajar. Tindakan seperti itu boleh menjejaskan profesionalisme
mereka sebagai seorang pendidik. Guru seharusnya perlu mengetahui cara
terbaik untuk menguruskan tekanan yang dihadapi terutamanya pada zaman
yang mencabar ini. Tindakan yang tidak betul akan memungkinkan rekod bersih
mereka tercalar ditambah pula dengan pelbagai tindakan disiplin akan dikenakan
kepada mereka sebagai satu bentuk hukuman.
Sebelum berbincang dengan mendalam mengenai isu tekanan emosi yang
dihadapi oleh para guru, marilah kita memahami apakah itu tekanan? Perkataan
tekanan mula diperkenalkan dalam dunia perubatan oleh Hans Selye pada tahun
1949. Smither (1994), menyatakan bahawa tekanan adalah satu tindakbalas
fisiologikal dan psikologikal ke atas permintaan terhadap seseorang. Ini
bermaksud, apabila individu telah mendapat permintaan ataupun diberi harapan
oleh seseorang maka adalah menjadi tanggungjawab individu tersebut untuk
memastikan permintaan dan harapan tersebut tercapai. Dari perspektif yang
lain, apabila harapan dan permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi sepenuhnya
atas sesuatu sebab atau masalah, individu terbabit akan mula berasa tertekan.
Apakah punca-punca yang menyebabkan ramai guru mengalami tekanan
emosi? Punca pertama adalah kerana bebanan kerja yang terlalu banyak
dikenakan kepada guru. Isu bebanan tugas guru bukan perkara baru, malah

sudah berlarutan sejak sekian lama hingga Menteri Pelajaran telah berganti pun,
rungutan itu masih kedengaran. Bebanan kerja sebagai guru semakin kompleks
kerana selain mengajar, mereka juga terpaksa menyediakan soalan-soalan
peperiksaan dari semasa ke semasa, mengisi buku kedatangan, buku disiplin dan
ringkasan mengajar, borang kesihatan dan rekod kemajuan murid, menjadi guru
bimbingan kelab dan persatuan, serta mengendalikan persiapan hari sukan.
Merujuk kepada artikel tersebut, Zaimah Mishan, 42, yang pernah
mengalami sakit jiwa. Beliau katakan dia pernah bekerja tujuh hari seminggu,
dari pagi hinggalah petang sampaikan tiada masa untuk suami dan anak-anak.
Masa untuk bekerja di sekolah lebih banyak berbanding bersama dengan
keluarganya. Dari hari Isnin hingga Jumaat, beliau perlu mengajar seperti biasa,
kadang-kadang beliau diminta menggantikan guru lain mengajar subjek bukan
alirannya. Pada hari Sabtu pula, ada kegiatan kokurikulum yang mana semua
guru perlu terlibat dan hari Ahad pula beliau selaku guru JQAF diwajibkan terlibat
dalam Kem Bestari Solat. Masa yang ada untuk berehat ialah waktu malam, itu
pun beliau terpaksa bawa pulang buku latihan murid-murid untuk ditanda.
Dinampak guru mempunyai bebanan kerja yang banyak sampai tidak ada masa
untuk menenangkan emosi,sekiranya guru terbabit tidak bersedia dari segi
fizikal dan mental, maka sudah pastinya tekanan yang datang dalam bentuk
permintaan ini tidak mampu dihadapi dengan sempurna yang akhirnya akan
menyebabkan individu tersebut tertekan.
Dengan pengetahuan saya, masalah tersebut bukan sahaja berlaku pada
Zaimah sahaja, saya percaya bahawa ramai guru menghadapi masalah yang
sama. Semasa internship saya, saya sering mendengar guru-guru di
sekolahmengadu bahawa mereka mengalami kekurangan masa, guru terpaksa
melaksanakan pelbagai tugasan yang berkaitan dengan akademik, pentadbiran
dan kokurikulum menyebabkan masa mereka lebih banyak dihabiskan di tempat
kerja berbanding di rumah. Mereka bukan sahaja bergelut untuk menyiapkan
tugasan masing-masing di sekolah mengikut jadual yang ditetapkan malahan
perlu memastikan tugas-tugas di rumah dan tugas-tugas sosial juga berjalan
lancar terutamanya bagi yang sudah berkeluarga ataupun yang terlibat dalam
aktiviti sosial.
Selain daripada bebanan kerja yang banyak seperti sibuk dengan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran, aktiviti persatuan, panitia, kelab, rumah sukan,
kursus dan gerak kerja luar sekolah yang menyebabkan guru berasa tertekan,
guru-guru juga perlu berdepan dengan tekanan lain. Punca kedua yang
menyebabkan guru mengalami tekanan emosi adalah guru yang terpaksa
berdepan dengan kerenah pengetua, kerani, rakan sekerja, ibu bapa dan juga
pelajar juga akan menyebabkan guru berasa tertekan. Menurut kajian Pratt
(1978) menyokong dapatan kajian Borg, Riding dan Fazlon (1991). Kyriacou
(1978), Rudd dan Wiseman (1962) yang melaporkan bahawa tekanan kerja yang
dialami dalam kerjaya perguruan disebabkan oleh beberapa faktor. Antara faktor
tersebut ialah hubungan antara kakitangan di sekolah dan tidak ada kerjasama
dari murid-murid dan ibu bapa yang agresif.
Konflik yang berlaku di tempat kerja akan memberi kesan kepada
perhubungan peribadi seseorang di mana ianya akan menyebabkan seseorang

berasa tertekan. Tambah pula, kualiti persekitaran sosial di tempat kerja juga
akan membawa kepada tekanan. Daripada pengalaman saya yang mengajar di
sekolah sewaktu internship, saya mendapati ramai guru suka bergosip di bilik
guru. Kelakuan buruk ini akan menyebabkan guru yang menjadi buah mulut
orang lain berasa malu, kecewa dan muram, guru tersebut yang tidak dapat
berfikir secara terbuka lama-kemudian akan mengalami tekanan emosi dan ini
mengakibatkan guru tersebut tidak ada semangat untuk mengajar. Menurut kes
Noreha daripada artikel tersebut, guru tersebut mengalami tekanan emosi dan
hendak mengambil cuti untuk berjumpa doktor. Tetapi rakan sejawatan banyak
memberi tekanan kepadanya, yang menyesakkan fikirannya ialah cutinya sering
menjadi buah mulut orang. Ada yang mendakwa Noreha sengaja menjadikan
tekanan yang dialaminya sebagai alasan untuk bercuti..
Selain itu, guru perlu berhadapan dengan perangai pelajar dan kerenah ibu
bapa yang agresif yang akan menyebabkan guru mengalami tekanan
emosi.Masalah disiplin pelajar di sekolah pada hari ini berada pada paras yang
agak serius, guru tidak terlepas daripada berhadapan dengan perlakuan dan
sikap segelintir pelajar yang kadang kala menyakitkan hati. Antara contoh
perlakuan pelajar yang membangkitkan kemarahan guru termasuklah datang
lewat ke kelas, membuat bising ketika sesi pengajaran dan pembelajaran
bermula, tidak hadir ke sekolah tanpa alasan munasabah, bersikap biadap
dengan guru dan sebagainya. Guru yang mengajar kerap kali berhadapan
dengan situasi sebegini dan adalah menyedihkan apabila masalah ini masih lagi
belum mampu diselesaikan sepenuhnya. Akhirnya guru mengambil keputusan
yang agak drastik dan berasaskan emosi untuk menyelesaikan masalah yang
berkaitan dengan disiplin pelajar. Emosi guru yang tidak stabil mengakibatkan
tindakan guru menjadi tidak waras telah melanggar etika dan tatatertib seorang
pendidik. Sebagai contoh, 200 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan
Bawang Assan di Sarawak telah dihukum dengan cara berendam di dalam
sebuah kolam yang kotor oleh Warden Asrama mereka disebabkan masalah
disiplin (Utusan Malaysia, 2007).
Guru bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan para pelajar yang
bermasalah tetapi juga berhadapan dengan ibu-bapa pelajar yang memberi
harapan yang amat tinggi kepada para guru untuk menjadikan anak-anak
mereka cemerlang dalam pelajaran. Apabila ada anak yang gagal, sesetengah
ibu bapa terus menuding jari kepada guru sedangkan kejayaan para pelajar tidak
hanya bergantung kepada pengajaran di sekolah. Hal ini dapat dibuktikan
menerusi kajian yang telah dijalankan oleh Unit Kaunseling Jabatan Psikologi,
Jabatan Pekhidmatan Awam (JPA) pada tahun 2006 yang mendapati bahawa 83%
daripada guru telah mengalami tekanan akibat harapan tinggi yang diletakkan
oleh ibu-bapa pelajar yang mengharapkan guru-guru di sekolah boleh membantu
untuk menjadikan anak-anak mereka sebagai pelajar yang cemerlang dalam
akademik. Akibat daripada harapan yang terlampau tinggi, kebanyakan guru
terpaksa menghabiskan banyak masa mereka di sekolah untuk mengadakan
kelas-kelas tambahan di luar waktu persekolahan bagi memastikan harapan ibubapa dipenuhi (Berita Minggu, 2007).
Menurut Burke (1988), keadaan fizikal seperti bunyi bising, keadaan
tempat kerja yang sempit dan terlalu ramai orang berada di tempat kerja

ataupun kekurangan ruang untuk privasi boleh dihubungkan dengan tekanan.


Melalui beberapa kali pengalaman mengajar di beberapa sekolah cina, saya
mendapati bahawa tempat kerja guru adalah sangat sempit, tempat duduk guru
sering dikelilingi dengan pelbagai buku, tempat duduk antara guru dengan guru
lain adalah terdekat kerana ruang bilik guru adalah kecil. Disebabkan itu, guru
akan berasa amat tertekan dengan ruang yang begitu sempit sampailah tidak
boleh bernafas, guru tidak ada ruang yang secukupnya untuk memberi tumpuan
ke atas tugasnya.
Keadaan ini menjadi semakin serius yang mampu melanda negara kita
jikalau pihak menteri pelajaran tidak memberi perhatian dan mengadakan
sebarang perubahan ke atas isu tersebut. Menurut Pakar Perunding Kanan
Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Nor Zuraida Zainal,
setiap tahun dianggarkan 22,000 pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan
wad psikiatri hospital berkenaan. Kira-kira 10 peratus daripada mereka terdiri
daripada golongan guru. Dinampak kesan daripada tekanan emosi yang dialami
oleh para guru adalah begitu dibimbangkan.
Semua bentuk kerja merupakan sumber utama yang menyumbang kepada
bebanan tugas. Ini mungkin disebabkan kerja yang diberikan kepada guru adalah
tidak sesuai ataupun terlampau banyak sehingga menimbulkan beban kepada
guru yang terbabit. Bebanan tugas yang melampau dalam sesuatu bidang
pekerjaan yang dihadapi oleh pekerja-pekerja sesebuah organisasi mampu
memberi kesan yang negatif bukan sahaja terhadap pekerja yang terlibat tetapi
juga kepada organisasi itu sendiri (Sanders, 1992). Walaupun seseorang guru itu
memang berbakat dan cekap dalam mengajar, dalam masa yang sama bebanan
kerja yang melampaui batas akan menyebabkan tekanan emosi dan prestasi
kerjanya menurun dengan mendadak akibat kepenatan fizikal dan mental.
Pada pendapat saya, sekiranya guru gagal mempelajari cara-cara untuk
menangani tekanan, maka mereka boleh dianggap sebagai gagal di dalam
kerjaya mereka kerana mereka tidak mampu untuk menjalankan tugas serta
tanggungjawab mereka dengan berkesan. Hal ini dinyatakan sendiri oleh
Overland (2004), bahawa tekanan akan memberi kesan kepada prestasi
pengajaran guru, di mana pelajar yang belajar dengan guru yang mengalami
tekanan akan mengalami masalah prestasi pembelajaran yang bukan
disebabkan oleh salah pelajar itu sendiri. Menurut Girdano (1979), individu tidak
mungkin dapat berfungsi dengan berkesan dan produktif jika ia dalam keadaan
tertekan. Perasaan tertekan menjadikan seseorang itu tidak rasional, cemas,
tegang, tidak dapat memusatkan perhatian kepada kerja dan gagal menikmati
rasa gembira atau puas hati terhadap kerja yang dilakukan. Hal-hal ini akan
menghalang guru tersebut untuk mewujudkan sifat peribadi yang positif, apa
lagi sifat toleransi dan kasih sayang.Merujuk kepada artikel yang saya bacakan,
kesan negatif yang akan didapati daripada tekanan emosi adalah guru yang
tertekan berisiko empat kali ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit kritikal
seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.
Selain itu, apabila terlalu banyak masa ditumpukan di tempat kerja, maka
tugas-tugas di rumah dan di luar rumah tidak berjalan dengan lancar akibat
kekangan tadi. Jaafar Muhammad (2003), menyatakan kebanyakan individu

bekerja selama 45 jam dalam masa seminggu. Baki masa yang selebihnya pula
sepatutnya digunakan untuk mengukuhkan perhubungan sosial dengan
masyarakat setempat, ini termasuklah berkomunikasi, menyelesaikan masalah
dan melakukan aktiviti bersama ahli keluarga, jiran tetangga, rakan-rakan
mahupun ahli-ahli bagi persatuan ataupun kelab yang disertai mereka. Sekiranya
guru tidak mempunyai masa yang cukup untuk dihabiskan bersama masyarakat
setempat, mereka akan membawa masalah-masalah di luar pejabat ke sekolah
untuk diselesaikan. Perkara ini seterusnya akan menggangu pula komitmen
mereka terhadap tugas-tugas di sekolah.
Diakui terdapat segelintir dari guru terlibat dalam gejala ponteng
disebabkan sebab-sebab tertentu. Menurut Randolfi (1996), salah satu daripada
kesan tekanan yang terlalu tinggi dalam kalangan pekerja boleh mengakibatkan
pelbagai kesan seperti psikologi, fizikal, tingkahlaku dan organisasi di mana
salah-satu daripada kesan organisasi ialah ianya membawa kepada
ketidakhadiran pekerja. Disebabkan kerjaya guru yang mencabar sudah pastinya
mereka akan berhadapan dengan pelbagai jenis tekanan sepanjang berada di
sekolah. Akibat daripada tekanan yang dihadapi, tidak mustahil bagi seseorang
guru bertindak untuk ponteng kerja seiring dengan kenyataan Randolfi.
Kemungkinan guru bertindak demikian supaya mereka berada jauh dari sekolah
dan segala tekanannya untuk mendapatkan ketenangan jiwa.
Ini turut disokong oleh Ho (1997), yang mengatakan tekanan di dalam
organisasi semakin merisaukan pengamal pengurusan kerana memberi kesan
terhadap keberkesanan perjalanan sesebuah organisasi. Saya berpendapat
bahawa punca utama guru bertindak tidak menghadirkan diri ke sekolah adalah
disebabkan masalah psikologi akibat tekanan kerja. Ketidakhadiran guru boleh
membawa masalah yang serius kepada sekolah lebih-lebih lagi apabila ianya
berlaku secara kerap. Segala aktiviti sekolah akan tergendala kerana mereka
yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas tersebut tidak mampu
untuk menyelesaikannya mengikut perancangan yang telah dibuat. Kegagalan
guru menyiapkan tugasan mereka mengikut jadual akan turut menggangu
kelancaran tugasan guru lain dalam organisasi. Bagi jangka masa panjang,
sekolah akan menjadi semakin lemah kerana tidak mempunyai kekuatan untuk
membangun serta bersaing angkara sumber manusianya yang kerap ponteng
kerja.
Di sekolah, jikalau guru-gurunya sering mengamalkan perlakuan negatif
ini. Ketiadaan guru ketika khidmat mereka ditagih akan menjadikan pelajar
hilang punca kerana kebergantungan mereka terhadap guru untuk mendapatkan
ilmu. Prestasi pelajar dalam peperiksaan juga akan menurun apabila guru gagal
untuk menghabiskan silibus pengajaran seperti yang terkandung dalam
rancangan pengajaran mereka. Aktiviti-aktiviti kokurikulum juga tidak akan
berjalan dengan lancar tanpa kehadiran guru untuk memberi khidmat nasihat
dan panduan berguna kepada persatuan dan kelab. Pentadbiran sekolah juga
turut bergerak perlahan kerana tidak mendapat kerjasama penuh daripada guru
yang bertindak menghilangkan diri dalam memastikan segala laporan, kertas
kerja dan data pelajar dihantar tepat pada waktunya untuk memudahkan pihak
sekolah membuat perancangan tahunan.

Boleh dikatakan, sebab tekanan yang melanda guru pada hari ini berlaku
kerana kurangnya pengetahuan guru di dalam kaedah-kaedah untuk berhadapan
dan menangani tekanan yang berlaku di sekolah. Kekurangan pengetahuan
tentang kaedah-kaedah mengurus tekanan telah membawa guru-guru ini berada
dalam keadaan yang serba-salah kerana tidak mengetahui kaedah apakah yang
paling sesuai untuk digunakan bagi meredakan perasaan tertekan. Apabila
masalah ini dibiarkan berterusan tanpa sebarang jalan penyelesaian diambil
maka para guru akan mula terfikir untuk melakukan pekerjaan lain yang tidak
lagi relevan dengan kerjaya mereka kerana merasakan jawatan sebagai seorang
guru adalah memeningkan kepala dan tidak menyeronokkan langsung. Ini
selaras dengan saranan Jesus bahawa guru yang tidak bersedia untuk
berhadapan dengan tekanan akan bertindak meninggalkan kerjaya sebagai
seorang guru dan melakukan kerja-kerja lain yang tidak berkaitan dengan dunia
pendidikan (dipetik dari Jesus & Conboy, 2001).
Menurut penulis yang sama juga, telah mengatakan bahawa dalam kajian
yang telah dijalankan di Portugal, lebih daripada 50% daripada guru yang
menjawab borang soal selidik mengakui mereka mahu mencari kerja lain akibat
tekanan yang berlebihan di sekolah. Oleh sebab itu, adalah penting untuk guru
mengetahui dan mempraktikkan kaedah-kaedah menangani tekanan dengan
berkesan bagi mengelakkan tekanan tersebut menjadi semakin besar yang
akhirnya akan memberi kesan yang negatif terhadap guru tersebut.
Menurut Erkutlu dan Chafra (2006), tekanan yang terlampau tinggi boleh
mengakibatkan pekerja meletakkan jawatan dan ini akan memberi kesan dari
segi peningkatan kos untuk melatih pekerja baru dan dalam masa yang sama
cuba mengekalkan kualiti kerja para pekerja sedia ada. Sesungguhnya apabila
kebanyakan daripada guru telah mengambil keputusan untuk bersara lebih awal
dari jangka masa yang sepatutnya, ianya bukanlah satu perkara yang luar biasa
pada hari ini. Pelbagai masalah dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh insan
yang bergelar guru pada masa kini, daripada disiplin pelajar yang semakin teruk
sehinggalah kepada dasar pendidikan yang terlalu kerap diubah oleh pihak
kementerian.
Untuk mengatasi masalah guru yang mengalami tekanan emosi, pihak
sekolah boleh mengadakan satu program motivasi untuk mempertingkatkan
motivasi. Menurut Jesus dan Conboy (2001), mengatakan bahawa program
motivasi yang tersusun mampu untuk membantu para guru menjalankan tugas
mereka dengan penuh keyakinan dan kepuasan. Ianya bermaksud, programprogram motivasi ini mampu untuk membina semula semangat para guru yang
hilang disebabkan kemelut tekanan. Jesus dan Conboy (2000) juga mengatakan,
program pendidikan guru telah menunjukkan keberkesanan di dalam
meningkatkan kembali motivasi para guru. Hal ini telah membuktikan bahawa
program motivasi yang baik mampu memberi kesan yang positif kepada guru di
dalam meneruskan kerjaya mereka dalam bidang pendidikan.
Menurut kajian Kyriacou (1978) yang menunjukkan kepentingan
sokongan sosial dalam menangani tekanan di kalangan guru-guru. Untuk
menyelesaikan masalah tersebut, pihak pengurusan sekolah perlu memahami
dan membantu guru berkenaan dengan mengurangkan waktu dan kelas

mengajar serta memberi kelonggaran untuk menjalani terapi dan kaunseling.


Selain itu, seseorang guru perlu belajar cara untuk mengatakan tidak
mahu dalam professional, guru boleh menolak tanggungjawab tambahan jika
tidak berkemampuan melaksanakannya untuk mengelakkan tekanan. Amalan
kehidupan yang harmonis boleh mengurangkan kegeraman dan tekanan hidup.
Pengalaman sikap bertoleransi, sabar dan ceria dalam pergaulan seharian
mampu mengelakkan pertelingkahan. Guru boleh cuba mengelakkan kakitangan
sekolah yang menyebabkan stress kepadanya. Guru boleh mengurangkan masa
berhubungan dengan guru yang menghadapi stress dan suka bergosip.
Sebaliknya, menjalinkan hubungan yang erat dengan guru yang sentiasa
berfikiran positif dan sanggup memberi bantuan kepada orang lain yang
menghadapi masalah. Dalam keadaan stress, guru juga boleh berkongsi
pandangannya dengan rakan dan ahli keluarga yang boleh dipercayai.
Namun begitu, masalah tekanan mental juga boleh diatasi melalui amalan
gaya hidup yang sihat. Salah satu cara adalah membuat senaman yang
melibatkan pernafasan seperti tai chi dan yoga boleh membangkitkan rasa
tenang dan mengurangkan hormon stres. Bagi guru yang tiada masa untuk
mengamalkan senaman, cuba luangkan 5 minit saja sehari untuk tarik nafas
dalam-dalam perlahan-lahan dan lepaskan semula nafas perlahan-lahan. Teknik
yoga dapat mengaktifkan gerak balas pengenduran tuuh badan, jika dilakukan
secara berkala, ia dapat menguruangkan tahap stress harian dan situasi ini
merupakan suatu suntikan perasaan kegembiraan dan ketenangan. Bagi
sesetengah orang, perkataan senaman merupakan sesuatu yang formal dan
memenatkan sehingga menyebabkan kita menghindarinya. Sebaliknya, cuba
fikirkan senaman sebagai aktiviti fizikal atau pergerakan yang menyeronokkan
seperti bermain bersukan dan berkebun. Guru boleh melibatkan anak-anak dan
suami supaya aktiviti fizikal menjadi lebih bermakna di samping menggalakkan
ahli keluarga bersenam.
Tambahan pula, saya berpendapat bahawa cara yang amat berkesan bagi
guru untuk mengurangkan stres adalah melibatkan diri dalam kumpulan
perbincangan atau forum. Terdapat banyak forum guru di internet dimana guru
bukan sahaja boleh meluahkan perasaan maka boleh mendapatkan maklumat
atau nasihat daripada guru yang berpengalaman yang pernah mengalami
masalah yang serupa. Bagi guru yang tidak suka meluahkan emosi kepada orang
lain, menulis jurnal dalam blog sendiri juga merupakan satu laluan untuk
melepaskan emosi atau tekanan yang terpendam dalam hati.
Yang paling penting sekali adalah pengurusan masa secara teratur dan
pembahagian kerja pula dapat mengurangkan beban kerja. Guru jangan
melaksanakan terlalu banyak tugas pada masa yang sama dalam tempoh yang
singkat. Guru perlu mengutamakan tugas-tugas yang penting dan rancangkan
apa yang boleh dicapai dalam tempoh yang ditetapkan.
Pada kesimpulannya, tekanan mental yang optimum akan memajukan
seseorang guru dalam kerjayanya tetapi tekanan mental yang terlampau akan
membebankan dirinya. Mengikut Waxler (2009), guru seharusnya berfikir secara
positif dan satu cara terbaik adalah menyebutkan pemikiran yang positif setiap

hari. Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, tekanan


mental tidak akan memudaratkan seseorang guru sekiranya ditangani dengan
hati yang tenang dan relaks, guru perlu meyukai apa yang dilakukan olehnya
dan percaya kerjaya mendidik akan membawa kepuasan yang tinggi kepadanya.
Artikel dari laman web rasmi:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?
y=2009&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Anda mungkin juga menyukai