Anda di halaman 1dari 9

Pengenalan

Secara umumnya, seni adalah berkaitan dengan hal-hal mengenai keindahan atau estetika yang
merangkumi aspek-aspek jasmani dan rohani individu dan juga masyarakat. Seni disifatkan sebagai
suatu kegiatan atau proses penciptaan yang memerlukan kemahiran serta pengetahuan yang nyata
(Martin, 1986 : 12). Hauser dalam tulisannya, berpendapat bahawa seni adalah komunikasi (1959).
Dari perspektif pendidikan dapatlah dikaitkan bahawa bidang-bidang pendidikan juga memerlukan
estetika seni untuk diketengahkan bagi memudahkan penyampaian sesuatu maksud agar lebih
menarik dan mudah difahami. Maka dengan itu lahirlah apa yang dikatakan Seni Dalam Pendidikan.

Seni Dalam Pendidikan (SDP) adalah bidang yang menumpukan kepada seni visual, seni muzik dan
seni pergerakan tanpa merujuk kepada bidang seni lain seperti seni sastera, seni teater, seni
fotografi atau seni mempertahankan diri. Seni Dalam Pendidikan diperkembangkan dalam diri murid
untuk menajamkan lagi instuisi, persepsi, imaginasi dan konsepsi mereka. Murid diberi peluang
menggunakan pancaindera mereka untuk meningkatkan kreativiti, sensitiviti serta daya imaginasi
dalam pembelajaran mereka. Selain itu Seni Dalam Pendidikan juga berperanan untuk
mengembangkan daya persepsi, estetika dan kreativiti mereka sesuai dengan matlamat untuk
melahirkan individu yang berjiwa kreatif, inovatif dan mempunyai nilai jati diri yang tinggi.

Ramai tokoh-tokoh ilmuwan yang memberi pandangan menyokong bahawa Seni Dalam Pendidikan
akan memberi manafaat dari segi jangkamasa panjang dalam membangunkan sahsiah dan jati diri
individu.

Teori Konstruktivisme menyatakan bahawa kanak-kanak yang diajar melalui pembelajaran secara
meneroka, bereksperimen dan mengolah bahan atau objek akan dapat mengekspresikan idea secara
bebas dan kreatif, kerana adanya unsur-unsur seni dalam pendidikan dalam pembelajaran mereka.
Herman (1991), di dalam “Quadrant Concept” menyatakan bahawa seni dapat membantu pemikiran
rasional dan intiutif seseorang individu.

Howard Gardner (1953), menyatakan , sekiranya hanya satu sahaja kaedah atau pendekatan yang
digunakan didalam sesuatu pengajaran, hanya murid-murid tertentu sahaja yang boleh
mendapatkan bahan yang disampaikan. Ini disebabkan murid mempunyai kebolehan menaakul dan
menanggap dalam keadaan yang berbeza. Pendekatan yang berintegrasi dengan pelbagai jenis
kecerdasan memudahkan penerimaan murid kepada yang lebih kreatif.

A Kesan-Kesan Positif Seni Dalam Pendidikan

Berdasarkan pandangan daripada tokoh-tokoh yang tersebut di atas tadi dapatlah dibuat kesimpulan
bahawa Seni Dalam Pendidikan mempunyai kepentingan dalam bidang pendidikan. Antara kebaikan
atau kesan-kesan positif yang dapag diperolehi dalam penggunaan Seni Dalam Pendidikan ialah :-

A. i Proses pengajaran akan menjadi lebih seronok. Ini disebabkan pengintegrasian tiga mata
pelajaran seni akan dapat menarik minat murid. Menurut Russel (1968), matlamat guru sekolah
rendah dalam pengajaran dan pembelajaran ialah untuk membentuk kanak-kanak dengan
kemahiran memerhati, sensitif terhadap pergerakan, bunyi, bentuk, tekstura dan irama. Murid-
murid akan mengambil bahagian dalam pembelajaran yang melibatkan berbagai-bagai kemahiran
yang disediakan oleh guru. Di samping itu juga mereka dapat melahirkan idea dan kreativiti mereka
dengan bebas.

Sebagai contoh, semasa mengajar sesuatu pengajaran yang pertama iaitu lagu ‘burung’, kanak-kanak
akan membuat pergerakan seperti burung semasa menyanyi lagu tersebut. Dalam melakukan aktiviti
tersebut, kita akan dapat melihat berbagai gaya yang dipersembahkan oleh murid, samada seperti
terbang, berjalan, melompat, makan atau sebagainya. Seterusnya kanak-kanak disuruh
menghasilkan gambar atau mewarnakan gambar burung. Semasa pembelajaran ini kanak-kanak
akan dapat membina konsep kendiri dalam kumpulan rakan sebaya.

A. ii Membantu perkembangan intelek, sahsiah dan sosial murid-murid.


John Dewey (1919), menyatakan ,pendidikan adalah satu proses untuk mengembangkan kecerdasan
manusia, sekolah seharusnya memberi kanak-kanak kebebasan untuk perkembangan fizikal, emosi
dan intelektual iaitu kebebasan untuk melatih kecerdasan melalui seni. Seni yang dimaksudkan
adalah seni visual, seni muzik dan seni pergerakan.

Keberkesanan fungsi mata pelajaran seni visual, seni muzik dan seni pergerakan boleh
diperhebatkan dengan menjadikannya sebagai medium untuk pengajaran secara penerokaan,
pengembangan kreativiti, proses-proses berfikir secara kritis dan kreatif dalam penyelesaian masalah
dan merangsang pembinaan keyakinan diri dan imej kendiri yang utuh. Dengan adanya proses
pembelajaran Seni Dalam Pendidikan murid akan lebih mudah untuk menerima kemahiran
pembelajaran yang diajar oleh guru selari dengan perkembangan diri mereka seperti rajah 1 di
bawah. Dalam kaedah pengajaran inkuiri penemuan murid-murid diberi peluang meneroka dan
mencari sendiri jawapan kepada permasalahan. Peluang inilah yang digunakan oleh murid-murid
untuk melahirkan idea dan mendorong mereka menggunakan keupayaan akal dan fizikal untuk
menyelesaikan masalah. Secara langsung emosi mereka menjadi berkembang dan begitu juga
dengan sosial bila murid-murid ini berinteraksi sesama rakan sebaya dan guru.

Rajah 1: Model Wholistik


Perkembangan Kanak-kanak

Falsafah perkembangan Dewey menekankan bahawa perkembangan emosi, jasmani dan sosial
seseorang individu melalui aktiviti-aktiviti bermain dan meneroka sendiri di peringkat sekolah
rendah merupakan pengalaman semula jadi yang banyak membantu kanak-kanak dalam
pembelajaran mata pelajaran-pembelajaran lain di sekolah.

A. iii Menjadikan guru lebih bermotivasi dan kreatif dalam merancang pengajarannya.
Dengan adanya SDP dalam kurikulum sekolah rendah, pengajaran dan pembelajaran akan lebih
menyeronokkan dan penglibatan murid juga adalah baik maka guru-guru akan lebih bersemangat
dan kreatif untuk merancang persediaan untuk pengajaran mereka di mana pengajaran yang
dirancang akan lebih mencabar serta mengutamakan perkembangan intelek, emosi, psikomotor dan
kematangan murid. Sekaligus ini menjadi motivasi dan perangsang kepada guru untuk lebih banyak
meneroka kemahiran-kemahiran baru yang sesuai dengan pencapai murid-muridnya. Hasil daripada
persekitaran pembelajaran yang baik, guru juga akan dapat meningkat profesionalisma dalam
kerjaya mereka. Usaha untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang cemerlang, berilmu dan mantap
dari segi sahsiah pada tahun 2020 pasti akan berhasil.

B Penghubungkaitan Pelbagai Bidang dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Penghubungkaitan membawa maksud menghubungkaitkan pelbagai bidang kemahiran dan


pengetahuan dari beberapa mata pelajaran dalam ssesuatu pengajaran dan pembelajaran. Dengan
adanya penghubungkaitan tersebut pembelajaran akan dapat membantu percambahan pemikiran
murid dengan mengaitkan isi pengajaran guru dengan kehidupan seharian mereka. Pengajaran dan
pembelajaran yang ada penghubungkaitan ini akan menghasilkan pembelajaran yang lebih efektif.
Tujuan penghubungkaitan dalam pengajaran dan pembelajaran adalah untuk meningkatkan lagi
tahap kefahaman belajar murid-murid. Selain itu ia juga boleh membina serta melatih minda murid-
murid untuk menjadi lebih aktif dan kreatif sekaligus dapat membantu pencapaian objektif
pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran yang diajar.

Sebagai contoh, guru yang mengajar Pendidikan Seni Visual bertajuk ‘Haiwan’. Sebelum murid-murid
membuat aktiviti menggambar atau aktiviti membuat rekaan dan corak yang berkaitan dengan
haiwan, guru terlebih dulu mencungkil pengetahuan sedia ada murid dengan bersoaljawab beberapa
soalan yang mudah dan ringkas. Antara aktviti yang boleh dijalankan ialah menamakan
haiwan,mengajuk bunyi haiwan, menyatakan cara pergerakan haiwan, mengelaskan kumpulan
haiwan dan sebagainya. Di sini elemen Sains dan seni pergerakan telah dihubungkaitkan. Untuk
mengaitkan dengan bahasa dan muzik, guru meminta murid menyanyi mana-mana lagu yang ada
kaitan dengan haiwan. Selain itu murid juga disuruh berpantun atau membaca puisi berkenaan
haiwan. Untuk mengaitkannya dengan mata pelajaran Matematik, guru mengemukakan soalan-
soalan yang berkaitan dengan penyelesaian masalah (problem solving) yang ada kaitan dengan
kehidupan seharian murid-murid. Contohnya, “Di dalam bakul itu ada sepuluh ekor ikan, dua ekor
telah dilarikan kucing. Berapa ekor ikankah yang masih tinggal?’

Rajah 2 : Contoh Penghubungkaitan Mata pelajaran dalam Pelajaran Pendidikan Seni Visual.

Dengan adanya penghubungkait tersebut murid-murid akan belajar beberapa kemahiran dalam
sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran. Selain daripada dapat memantapkan perkembangan
sosial, emosi dan intelek murid-murid, pengajaran berintegrasi seperti yang tersebut di atas dapat
juga meningkatkan tahap perkembangan kognitif, psikomotor dan afektif mereka.
Untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran penghubungkaitan (penggabungjalinan) ini lebih
berkesan, guru-guru memainkan peranan yang paling penting selain kesedian murid-murid sendiri.

B. i Peranan Guru dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran ini antaranya adalah:-

i) Merancang persediaan mengajar yang dapat menarik minat murid. Antara perkara-perkara yang
perlu di ambil perhatian dalam penyediaan rancangan pengajaran ini ialah berkenaan dengan topik,
objektif pengajaran, isi pelajaran cara penyampaian isi serta penilaian yang diguna untuk menguji
murid. Dalam penyediaan isi pelajaran guru perlulah menyediakan aktiviti-aktiviti yang dapat
merangsang pemikiran murid-murid dan aktiviti tersebut perlu penglibatan semua tanpa mengambil
kira tahap kebolehan mereka.
ii) Merancang dan memilih sumber bahan pengajaran dan pembelajaran serta bahan bantu
mengajar. Sumber bahan-bahan yang dipilih perlulah mesra pelajar iaitu mudah digunakan oleh
mereka. Bahan tersebut sudah semestinya menarik. Antara bahan yang boleh digunakan ialah bahan
elektronik seperti komputer, televisyen, radio, internet dan sebagainya. Bahan bukan elektronik
yang juga boleh digunakan seperti carta bergambar dan sebagainya. Guru perlu menyediakan bahan
yang bersesuaian dengan tajuk yang hendak di ajar.
iii) Guru sebagai pemotivasi dan fasilitator murid-murid. Guru haruslah memberi motivasi dan
keyakinan kepada murid-murid untuk melahirkan idea dalam pembelajaran mereka supaya dapat
membentuk sikap positif dalam perkembangan diri serta mempunyai nilai-nilai murni dalam hidup.
Selain itu juga adalah fasilitator atau pemudahcara semasa pembelajaran berjalan. Di mana guru
membimbing serta memberi tunjuk ajar jika diperlukan oleh murid-muridnya. Dengan itu guru
perlulah meningkatkan diri mereka dengan ilmu dan mempelbagaikan teknik-teknik penyampaian
serta membuat kajian tentang pencapaian murid-murid dari semasa ke semasa.
iv) Pengurusan Kelas . Peranan guru di sini ialah membahagikan pelajar mengikut tahap pencapaian
akademik mereka. Dengan pembahagian ini ianya akan memudahkan guru menyediakan aktiviti
yang bersesuaian dengan tahap akademik murid-muridnya. Selain itu guru juga perlu memastikan
suasana pembelajaran yang teratur. Perkara lain yang perlu diambil perhatian ialah:-
- kelas atau bilik yang selesa
- peredaran udara dan cahaya yang sesuai
- kelengkapan perabot, bahan dan peralatan yang mencukupi

B. ii Peranan Murid

Selain guru, murid-murid juga mempunyai peranan mereka sendiri untuk memastikan pelaksanaan
pengajaran penghubungkaitan ini berjaya. Mereka digalakkan melibatkan diri dengan sepenuhnya
dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah samada secara formal atau tidak formal.
Dengan melibatkan diri secara aktif secara tidak langsung akan dapat mempertingkatkan kemahiran
belajar mereka dan mereka juga dapat membuat penilaian kendiri tentang kelebihan dan kelemahan
diri sendiri. Murid-murid juga digalakkan untuk meneroka sendiri sesuatu kemahiran yang baru
dengan sentiasa merujuk kepada guru sekiranya menghadapi masalah pembelajaran.

C. Pendekatan Bertema

Pendekatan bertema bermaksud pengajaran yang disusun atau dirancang mengikut sesuatu konsep
atau tema. Ianya merangkumi koleksi bahan, aktiviti, isi pelajaran serta teknik penyampaian.
Pendekatan bertema memberi peluang kepada guru untuk menghubungkait mata pelajaran yang
diajar dengan mata pelajaran lain. Penggabungjalinan beberapa mata pelajaran dalam sesuatu
pengajaran ini memberi peluang kepada murid-murid untuk meneroka, mengalami dan mencari
peluang mengekspresikan sesuatu tema yang telah dirancangkan. Dalam pemilihan dan penentuan
tema banyak perkara yang guru perlu ketahui agar pengajaran dan pembelajaran yang dirancang
berkesan. Antara perkara tersebut ialah:-
 tema yang dipilih hendaklah berasaskan kemahiran, pengalaman serta pengetahuan sedia ada
murid
 tema yang dipilih berfokus kepada sesuatu isu. Contohnya isu-isu semasa.
 sumber-sumber pengajaran dan bahan bantu mengajar mudah didapati dalam tema yang dipilih
 guru perlu mempunyai banyak pengetahuan dalam tema yang dipilih.
 guru perlu memastikan tema pengajaran tersebut mempunyai pemeringkatan aktiviti dari yang
mudah kepada yang lebih mencabar.

Pendekatan bertema juga dapat memberi keyakinan kepada murid-murid untuk mengikuti
pengajaran dan pembelajaran dengan adanya pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Ini disebabkan
tema yang dipilih mempunyai beberapa kemahiran seperti kemahiran bertutur, membaca, menulis,
asas matematik, berfikir, menyanyi dan mengekspresi bakat (melukis).

C. i Terdapat banyak tema yang boleh digunakan oleh guru. Tema-tema tersebut boleh dikategorikan
dalam tiga jenis tema iaitu:-

A Tema persekitaran
B Tema Masyarakat
C Tema Komunikasi

Berikut merupakan satu contoh pengajaran yang menggunakan pendekatan bertema. Tema yang
digunakan ialah tema persekitaran.

Mata pelajaran : Bahasa Malaysia


Kelas : Tahun 4
Tema : Pengangkutan
Persekitaran : Persekitaran Teknologi

Di dalam pengajaran ini isi-isi pelajarannya dapat dikaitkan dengan mata pelajaran lain seperti Sains,
Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Muzik, Pendidikan Pergerakan dan Kesihatan dan Kajian
Tempatan dan Matematik. Di dalam pengajaran dan pembelajaran ini murid-murid akan di dedahkan
dengan beberapa perkara penting seperti :-
- sejarah teknologi pengangkutan;
- kepentingan pengangkutan kepada manusia
- kesan-kesan teknologi pengangkutan terhadap alam sekitar, kesihatan manusia, haiwan dan
tumbuhan
- bentuk-bentuk pengangkutan
- pergerakan kenderaan
- perkaitan antara laju dan jarak menggunakan kenderaan

Tema persekitaran teknologi dipilih kerana ia telah membawa kemajuan dan pembangunan kepada
manusia . Teknologi juga melahirkan dunia tanpa sempadan dan telah memperkenalkan konsep
globalisasi. Teknologi yang hebat dan hebat mampu menarik minat dan memotivasikan murid-murid
untuk melibatkan diri dengan aktif dalam aktiviti-aktivi pengajaran yang berjalan. Murid juga akan
dapat meneroka pergerakan kreatif, imej, bunyi serta meluahkan perasaan mereka secara bebas.

C.ii Pengintegrasian Matapelajaran

Dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) penegasan yang berkesan amatlah dititik
beratkan bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran berjaya dan mencapai objektifnya
terutama sekali kepada murid-murid. Bagi memastikan hasrat kerajaan dan matlamat Falsafah
Pendidikan Negara tercapai beberapa kaedah pengajaran digunakan dalam pengajaran dan
pembelajaran antaranya ialah konsep integrasi. Ianya meliputi semua bidang kemahiran ke arah
penguasan ilmu pengetahuan, kemahiran bahasa dan pemupukan nilai-nilai murni untuk melahirkan
modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi. Kerana keseimbangan ini
adalah asas kepada keharmonian negara. Antara aspek pengintegrasian yang boleh digunakan dalam
pengajaran dan pembelajaran ialah

(a) Penggabungjalinan
Ia adalah proses menyepadukan (penggunaan) pelbagai bidang kemahiran bagi menjadikan suatu
pelajaran itu integratif dan menyeluruh. Melalui strategi penggabungjalinan ini berbagai-bagai
kemahiran dalam sesuatu matapelajaran disampaikan secara menyeluruh dan bersepadu dengan
mengaitkannya dengan satu mata pelajaran atau beberapa mata pelajaran. Penggunaan strategi ini
dapat memberi peluang murid-murid menguasai beberapa kemahiran yang berkaitan dengan isi
pelajaran yang diajar. Ia juga boleh mengelakkan kebosanan dan menimbulkan suasana
pembelajaran yang lebih menarik. Untuk menjadikan proses penggabungjalinan ini lebih berkesan,
murid-murid hendaklah terlebih dahulu menguasai kemahiran asas iaitu kemahiran mendengar,
bertutur, mengira, membaca dan menulis secara mekanis. Tujuan menguasai kemahiran asas ini
ialah untuk menarik perhatian guru untuk memberi kefahaman dan penerangan yang lebih
bermakna kepada murid.

(b) Penyerapan
Dalam konteks KBSR, penyerapan bermaksud sebagai proses menyatupadukan isi pengetahuan
daripada mata pelajaran untuk dijadikan isi pelajaran bagi sesuatu mata pelajaran yang diajar.
Contohnya bahan atau kandungan isipelajaran daripada mata pelajaran lain seperti Matematik, Seni
Pergerakan, Sains, Pendidikan Muzik, Seni Visual atau Kajian Tempatan yang digunakan sebagai isi
kandungan dalam pelajaran Bahasa Malaysia. Penyerapan pengajaran dilaksanakan melalui pelbagai
aktiviti dan gerak kerja yang dijalankan oleh murid di sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran
berjalan.

Bagi tema “Pengangkutan” yang dipilih terdapat beberapa aktiviti integrasi mata pelajaran lain yang
boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran antaranya ialah dengan menayangkan jenis-
jenis pengangkutan yang terdapat di negara kita serta beberapa penerangan tentang pengangkutan
tersebut. Selepas itu murid diminta melakukan beberapa aktiviti.

Pergerakan : (a) cara memandu kereta atau kapal terbang


(b) menunggang motosikal
(c) mengayuh perahu

Seni Visual : (a) membuat model kenderaan


(b) mewarna gambar

Pendidikan Muzik : (a) membunyikan bunyi kenderaan


(b) menyanyikan lagu yang ada kaitan dengan kenderaan.

Selain daripada itu murid-murid juga diminta untuk membandingkan saiz kenderaan (Matematik),
menyatakan kebaikan dan keburukan yang terdapat dalam perkembangan pengangkutan (Sains),
dan menerang secara ringkas tentang sejarah pengangkutan (Kajian Tempatan)

Di dalam aktiviti pengintegrasian ini kemahiran utama yang diajar kepada murid-murid ialah
kemahiran:
Lisan - menyoal untuk mendapatkan maklumat
- bercerita secara ringkas tentang kenderaan/pengangkutan
Bacaan - membaca petikan yang disediakan
- mencari maklumat yang terdapat dalam multimedia
Tulisan - menulis maklumat
- menjawab soalan

C. iii : Bagaimana aktiviti ini boleh membantu murid dalam pembelajaran?

Adalah menjadi tanggungjawab guru untuk memastikan murid-muridnya dapat mengikuti dan
seterusnya dapat menerima isi pengajaran yang disampaikan dengan semaksima mungkin. Maka
dengan itu aktiviti yang dirancangkan dalam pembelajaran murid menjurus kepada sesuatu yang
boleh mencabar tahap kebolehan mereka. Aktiviti seperti pergerakan dilakukan supaya kanak-kanak
akan mendapat lebih kefahaman tentang asas-asas pergerakan seperti penggunaan ruang, masa,
imbangan berat badan dan daya. Semasa melakukan aktiviti tersebut kanak-kanak akan dapat
memperkembangkan konsep pembentukan kendiri dari segi emosi sosial, fizikal, rohani dan nilai-
nilai murni. Dengan adanya aktiviti ini perkembangan psikomotor murid menjadi lebih meningkat
dan sekaligus membantu mereka menggunakan kesemua deria yang ada pada mereka untuk
memudahkan penerimaan ilmu pengetahuan.

Untuk aktiviti yang berkaitan dengan Seni Visual, murid-murid membuat model kenderaan dan
mewarna hasil kerja mereka. Aktiviti ini dapat mengembangkan daya imaginasi murid-murid dan
penajaman daya intuisi mereka. Murid-murid juga dapat berinteraksi dengan bebas sesama rakan
sebaya. Mereka mencari pengetahuan dan memanipulasi benda-benda menjadi sesuatu yang boleh
dijadikan alat permainan mereka. Murid-murid juga akan dapat mewujudkan suasana yang dinamik
dan interaktif dalam proses pembelajaran meraka. Dalam aktiviti nyanyian guru dapat membimbing
murid kemahiran lisan mereka. Ia juga dapat membantu murid meluahkan perasaan berlandaskan
pengetahuan dan pengalaman verbal dan bukan verbal samada berbentuk pergerakan, imej visual,
prop, bunyi dan muzik berasaskan tema yang diberi. Ini menjadikan murid-murid lebih berkeyakinan
dan pembelajaran lebih menyeronokkan.
Dapatlah disimpulkan bahawa aktiviti-aktiviti integrasi dalam pengajaran adalah sebagai pengukuhan
kepada kemahiran yang diperolehi daripada mata pelajaran lain dapat membantu penguasaan
kemahiran fokus yang dikehendaki dalam objektif pengajaran dan pembelajaran dan menggalakkan
pertumbuhan dan perkembangan individu secara seimbang, harmonis dan bersepadu.

C. IV Penggunaan Bahan Dalam Proses Pengajaran

Pemilihan bahan pengajaran juga adalah sebahagian dari tugas guru dalam merancang
pengajarannya. Penggunaan bahan bantu mengajar mengajar adalah sangat penting kerana ianya
dapat membantu murid lebih memahami dan apa yang mereka fahami itu akan kekal dalam ingatan
mereka. Secara umum, bahan bermakna apa sahaja yang digunakan dalam pengajaran dan
pembelajaran antaranya termasuklah pengetahuan dan nilai-nilai murni. Bahan juga boleh
dikategorikan sebagai media pendidikan. Kesemua alat dan bahan, jika digunakan dalam situasi
pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan akan dapat merangsang dan mewujudkan iklim
pembelajaran yang kondusif dan berkesan. Ia juga penting sebagai media komunikasi, sumber
pengalaman dan unsure yang boleh mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran. Bahan-bahan
yang digunakan dalam pengajaran ini ialah:-

Bil Bahan Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran


1 Bahan elektronik
- komputer, tayangan klip
video, Internet
Penerangan semasa set induksi.
Mencari maklumat
2 Bahan bukan elektronik
- carta gambar
- lembaran kerja
- teka silangkata
- surat khabar lama
Mencari maklumat tentang pengangkutan
Aktiviti pengayaan
Aktiviti melukis dan mewarna gambar

3 Bahan maujud
- kereta, motosikal dan basikal

Membina ayat dan kemahiran membaca dan menulis.

Rajah 3 : Bahan pengajaran dan pembelajaran

Dalam pengajaran bertema yang dicadangkan ini bahan pengajaran yang digunakan ialah klip video
yang ditayangkan menggunakan komputer dan LCD. Maklumat-maklumat pengajaran disampaikan
melalui tayangan berkenaan keadaan sebenar serta peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan
pengangkutan di negara kita. Tujuannya ialah supaya murid-murid mendapat maklumat yang lebih
jelas jika diterangkan dengan contoh-contoh yang memerlukan bahan audio dan visual. Contohnya;

1) menerangkan jenis-jenis pengangkutan (air, udara dan darat)


2) menunjuk dan membezakan kepantasan pergerakkan kenderaan
3) menerangkan bunyi kenderaan
4) menerangkan bentuk-bentuk kenderaan

Penerangan guru dengan diiringi bahan-bahan tersebut dapat memperkembangkan corak pemikiran
murid serta membantu mereka memahami sesuatu dengan jelas. Internet juga digunakan sebagai
pendedahan dunia IT kepada murid. Guru membimbing murid meneroka alam maya untuk mencari
maklumat. Peluang ini akan dapat menimbulkan rasa ingin tahu murid

Penggunaan bahan-bahan pengajaran seperti yang terdapat dalam Rajah 3 di atas dapat membantu
murid meneroka dan mengaitkan pengetahuan dengan pengalaman dan pembelajaran dari mata
pelajaran lain seperti Sains dan kajian Tempatan. Di samping itu ia juga dapat memupuk nilai-nilai
murni dan pemikiran positif murid-murid.

Rujukan:

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2001). Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Seni Visual 2000.
Kuala Lumpur.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (1992). Pengurusan Bilik Darjah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka

Omar Zakaria, Shaifol Bahary dan Hassan Ahmad. (2006). HBEF2303 Teknologi Maklumat dalam
Pendidikan. Kuala Lumpur: UNITEM Sdn. Bhd.

Salmah Ayob. (1993). Aktiviti-aktiviti Pergerakan Kreatif Panduan Pengajar. Petaling Jaya: Flo
Enterprise Sdn. Bhd.

Salmah Ayob. (1996). Strategi, Teknik dan Perancangan Pendidikan Pergerakan. Petaling Jaya: Flo
Enterprise Sdn. Bhd.

Zulkifli Yaakop, Mohd Jamal Ismail. (2007). HBEF1403 Seni Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur:
UNITEM Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai