Anda di halaman 1dari 7

Berita Harian

Nasional
17/07/2010

3 Cara Percepat Kes Seludup Manusia

KUALA LUMPUR: Kelewatan proses penghakiman dikenal pasti punca banyak kes pemerdagangan
manusia di negara ini belum dapat diselesaikan, sekali gus menyukarkan usaha membendung jenayah
itu yang berleluasa kini.

Difahamkan, daripada keseluruhan 308 kes dilaporkan sejak 28 Februari 2008, hanya 27 kes berjaya
diselesaikan setakat ini manakala selebihnya masih di peringkat perbicaraan, termasuk proses
pertuduhan.

Justeru, tiga kaedah diperkenalkan kerajaan bagi mengatasi pemasalahan berkenaan termasuk
mengklasifikasikan kes berkenaan di bawah kategori J-Code bagi memastikan prosidingnya diberi
keutamaan mahkamah.

Kaedah itu turut membabitkan penggunaan mahkamah khas dan mahkamah malam bagi proses
pertuduhan serta bicara kes berkaitannya seperti dilakukan bagi pelbagai kes jenayah serius di seluruh
negara se-belum ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam, berkata kaedah
berkenaan sebahagian laluan pantas untuk memastikan kelancaran proses penghakiman kes
perdagangan manusia di negara ini.

“Dari segi penguatkuasaan membabitkan Polis Diraja Malaysia, Kastam, Imigresen dan Maritim
Malaysia (APMM), kita memang tiada masalah, begitu juga proses pendakwaan oleh Jabatan Peguam
Negara.

“Cuma, proses penghakiman ada masalah, lambat jatuh hukum. Inilah antara kelemahan yang dikenal
pasti sehingga banyak kes belum selesai,” katanya. Bagaimanapun, beliau yakin tiga kaedah itu mampu
meningkatkan penyelesaian kes, sekali gus menaik taraf kedudukan negara dalam Laporan Senarai
Pemerhatian Pemerdagangan Manusia (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).

“Malaysia baru dinaik taraf ke Tier 2 daripada Tier 3 TIP hasil kesungguhan memerangi kegiatan ini.
Justeru, tidak mustahil kita boleh mencapai Tier 1 jika ada usaha dari semua pihak,” katanya.

“Kita memandang serius kegiatan ini sehingga mewujudkan Pelan Tindakan Nasional (NAP) di bawah
Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO). Lebih 3,000 pegawai dilatih sejak dua tahun lalu, masing-
masing dalam bidang penguatkuasaan, pendakwaan dan penghakiman, khusus bagi mengendalikan
landskap baru jenayah ini,” katanya.

Mahmood berkata, Malaysia turut bekerjasama dengan International Organization of Imigrant (IOI),
Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan Amnesty International,
selain berkongsi kepakaran dengan AS, Australia, United Kingdom dan Belanda dalam membendung
kegiatan itu.

“Rekod IOI menunjukkan kira-kira 1 bilion manusia bergerak di seluruh dunia dalam sehari, namun
sukar dipastikan jumlah sebenar mereka yang diperdagangkan untuk pelbagai tujuan tidak baik, sama
ada dieksploitasi sebagai buruh atau aktiviti pelacuran, terutama membabitkan wanita dan kanak-
kanak.

“Isu ini menjadi serius apabila sindiket antarabangsa terbabit, yang cuba mengaut keuntungan dengan
menjadikan manusia sebagai bahan dagangan. Namun, dalam hal ini, yang kita mahu tangkap bukan
mangsa tetapi anggota sindiket atau dalang utamanya,” katanya.
Utusan Malaysia
Rencana
01/10/2009

Dilema perdagangan manusia


Mohd. Naíem Ajis

AKTIVITI perdagangan manusia merupakan antara jenayah tertua. Ia juga dianggap sebagai suatu
industri universal dan tidak tertakluk kepada satu-satu negara untuk beroperasi.

Laporan Perdagangan Manusia (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat menganggarkan, kegiatan
perdagangan manusia di negara itu melibatkan keuntungan antara AS$1 bilion hingga AS$3 bilion
(RM3.5 bilion hingga RM10.5 bilion) setahun.

Dianggarkan sekitar 600,000 hingga 800,000 orang menjadi mangsa sindiket perdagangan manusia
dengan sekitar 14,500 hingga 17, 500 daripadanya diperdagangkan di AS setahun.

Sementara itu, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Khusus Membanteras Dadah dan Jenayah
(UNODC) menganggap perdagangan manusia sebagai industri jenayah yang menjana keuntungan
sekitar AS$5 bilion hingga AS$9 bilion (RM17.5 bilion hingga RM31.5 bilion) setahun.

Isu perdagangan manusia kini menjadi antara fenomena yang mengancam banyak negara. AS telah
menggubal undang-undang perdagangan manusia iaitu Akta Perlindungan Mangsa Penyeludupan dan
Keganasan 2000.

Akta itu telah memperluaskan konsep perdagangan manusia dan mengenakan hukuman berat ke atas
mereka yang terlibat.

Malaysia juga telah meluluskan Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (ATIP) bagi menangani isu
tersebut. Kewujudan akta ini telah memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mendakwa dan
mengenakan hukuman dengan peruntukan penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM500,000.

Sejajar dengan pengenalan akta tersebut, kerajaan turut menubuhkan Majlis Antipemerdagangan Orang
(MAO) yang berfungsi untuk menyelaraskan dasar dan melaksanakan ATIP.

Walaupun Laporan Antipemerdagangan Orang 2007 (TIP) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat
meletakkan Malaysia sebagai antara 16 negara berprestasi buruk dalam menangani isu ini, kewujudan
ATIP dan MAO akan membuktikan komitmen negara dalam usaha membanteras fenomena ini.

Persidangan Serantau Mengenai Penyeludupan, Perdagangan Manusia dan Jenayah Antara Negara di
Bali pada Februari 2002 telah menunjukkan komitmen bersepadu antara negara-negara Asia Pasifik.

Persidangan itu sepakat untuk membentuk kerjasama terutama dalam aspek perkongsian maklumat,
kepakaran dan undang-undang yang seragam bagi memastikan aktiviti tersebut dapat dibendung di
peringkat akar umbi.

Mereka juga menganggap penyeludupan dan perdagangan manusia bukan sahaja melanggar hak
sesebuah negara malah ia menimbulkan pelbagai masalah selain menjejaskan hubungan diplomatik
antara negara.

Namun begitu, dalam memperkatakan mengenai isu ini, ramai yang masih keliru di antara konsep
penyeludupan dan perdagangan orang.
Menurut UN Convention Transnational Organised Crime (2000), penyeludupan ialah apabila seseorang
memasuki sesebuah negara secara haram dengan melakukan pembayaran dalam bentuk wang atau
faedah lain kepada pihak-pihak tertentu.

Sementara itu, Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 pula mendefinisikan perdagangan
orang sebagai perekrutan, pengangkutan, pemindahan, pelindungan, penyediaan atau penerimaan
seseorang bagi maksud eksploitasi.

Bagi pengertian eksploitasi pula Seksyen 2 telah mendefinisikan ia sebagai segala bentuk eksploitasi
sama ada seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau amalan yang menyerupai perhambaan,
pengabdian atau aktiviti yang menyalahi undang-undang atau pemindahan organ manusia.

Daripada definisi di atas, terdapat beberapa perbezaan ketara antara perdagangan dan penyeludupan
manusia.

Hubungan antara penyeludup dan orang yang diseludup akan berakhir apabila seseorang itu dihantar ke
destinasi yang dikehendaki oleh mangsa dan unsur pengeksploitasian tidak perlu dibuktikan sebagai
sabitan kepada kesalahan tersebut.

Apa yang pasti penyeludupan orang akan melibatkan rentas sempadan sesebuah negara secara haram.

Kesanggupan mangsa untuk membayar sejumlah wang menunjukkan bahawa migrasi mereka adalah
benar-benar terdesak dan mereka menjangka mendapat keuntungan berlipat kali ganda di negara
destinasi.

Pada 1993, seramai 300 imigran dari China telah diseludup ke New York dengan menggunakan kapal
Golden Venture. Setiap mereka membayar sebanyak AS$30,000 hingga AS$40,000 kepada ejen
penyeludupan.

Kebanyakan mereka telah berjaya mengaut keuntungan sehingga mampu membina rumah besar dan
mewah di negara asal.

Perdagangan orang pula tidak semestinya mereka yang terlibat perlu merentas sempadan sesebuah
negara tetapi ia juga boleh berlaku secara domestik. Contohnya dalam isu kerja paksa.

Ia tidak semestinya melibatkan pekerja asing sahaja tetapi boleh diambil kira nasib pekerja tempatan
yang dieksploitasi oleh majikan.

Status kemasukan mangsa perdagangan orang boleh berlaku sama ada secara sah atau tidak. Tetapi
bagi aktiviti penyeludupan statusnya sudah tentu tidak sah. Apa yang penting dalam isu perdagangan
orang ialah wujudnya unsur-unsur eksploitasi dan paksaan terhadap mangsa.

Oleh itu, jika dilihat dalam kes Siti Hajar Sadli, pembantu rumah Indonesia yang dikatakan telah didera
oleh majikan bukan sahaja boleh menggunakan peruntukan dalam Kanun Acara Jenayah (KAJ) tetapi
juga peruntukan dalam Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (ATIP).

Kesalahan perdagangan orang tidak melibatkan unsur-unsur sukarela antara mangsa dengan orang yang
memperdagangkan.

Ia juga tidak melibatkan sebarang bentuk ganjaran atau caj perkhidmatan seperti aktiviti penyeludupan.

Untuk tujuan pendakwaan dan sabitan, mangsa perlu dibuktikan telah dipaksa dan dieksploitasi. Unsur-
unsur paksaan dan pengeksploitasian boleh wujud sama ada sebelum, semasa atau selepas proses
perdagangan orang itu berlaku.

Dengan itu, adalah sukar pihak berkuasa untuk bertindak pada peringkat awal kerana ia perlu
menentukan mangsa telah dieksploitasi atau sebaliknya.
Bagaimanapun, tidak dinafikan aktiviti penyeludupan boleh menjadi proses awalan kepada aktiviti
perdagangan manusia. Ini kerana selalunya kesalahan penyeludupan orang mempunyai potensi untuk
menjadi sebahagian aktiviti perdagangan manusia.

Justeru itu, apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan dalam menangani isu ini ialah komitmen jitu dan
pelaksanaan strategik supaya ia tidak menjadi "tin kosong" dalam meningkatkan kecekapan sistem
penyampaian kerajaan.

Pelaksanaan perlu dilengkapi dan disokong dengan aspek perundangan yang tersusun, kakitangan yang
komited dan kewangan yang mantap.

Ini kerana tanpa elemen-elemen tersebut adalah sukar untuk kerajaan mencapai sasaran yang telah
ditetapkan dalam pelan induk mengenai antiperdagangan orang.

Apa yang pasti mangsa-mangsa perlu diberikan perlindungan sebaik mungkin tanpa mengira agama,
gender, bangsa dan negara asal.

Di samping itu, setiap negara juga perlu menandatangani memorandum perjanjian di bawah PBB
supaya kos pemulihan dan penguatkuasaan boleh ditanggung bersama jika salah seorang - mangsa atau
penjenayah - melibatkan rakyat mereka.

Perjanjian itu akan membuatkan semua negara lebih serius untuk menangani isu ini.

Oleh itu, aktiviti ini boleh disekat sejak dari negara sumber lagi dan mengurangkan beban kepada
negara destinasi serta menggalakkan migrasi secara sah.

Sumber utama : Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Antarabangsa, UUM


Utusan Malaysia
08/07/2010
Jenayah

Banteras Habis-Habisan Pelacur Sekolah

MELAKA 7 Julai - Kerajaan negeri meminta polis, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan pihak
berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini menggiatkan usaha membanteras kegiatan perdagangan manusia
khususnya sindiket pelacuran melibatkan pelajar sekolah menengah.

Sambil memuji tindakan cekap polis negeri menumpaskan sindiket pelacuran membabitkan pelajar
sekolah menengah di dua hotel bajet di bandar raya ini kelmarin, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali
Rustam berkata, usaha itu perlu dipertingkatkan.

"Saya ucapkan tahniah kepada polis Melaka kerana berjaya menumpaskan satu sindiket pelacuran yang
menggunakan pelajar sekolah menengah. Kejayaan ini sepatutnya dialu-alukan atas kerja gigih polis
untuk membanteras bukan sahaja kegiatan pelacuran tetapi juga jenayah.

"Sejak dulu lagi saya telah meminta agar semua pihak yang berkaitan dengan penguat kuasa undang-
undang menggempur sebarang tempat yang dijadikan sarang maksiat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan
Air, Datuk Peter Chin Fah Kui melakukan lawatan kerja ke negeri ini dan melawat Kilang Maruwa
Malaysia di Zon Perindustrian Bebas Batu Berendam di sini hari ini.

Mohd. Ali mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai kejayaan polis negeri
menumpaskan satu sindiket pelacuran melibatkan pelajar sekolah menengah di dua hotel bajet di
bandar raya ini yang dipercayai beroperasi sejak Mei lalu.

Tiga pelajar sebuah sekolah menengah di sini yang mendakwa telah diperdaya berjaya diselamatkan
manakala seorang ibu ayam bersama dua pembantunya diberkas.

Dalam dua serbuan yang dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D11) Ibu
Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di hotel bajet dan sebuah rumah di Duyung di sini, polis menemui
tiga pelajar yang mengaku dipaksa menjual tubuh dengan bayaran antara RM60 hingga RM80 untuk
sekali hubungan seks.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali kesal dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab kerana
sanggup menggunakan pelajar sekolah menengah untuk kegiatan pelacuran.

"Apa perasan mereka jika anak mereka pula dipaksa menjadi pelacur," katanya.
Utusan Malaysia
28/11/2009
Sabah & Sarawak

Sindiket perdagang wanita tumpas


Junaidi Ladjana
utusansabah@utusan.com.my

KOTA KINABALU 27 Nov. – Polis menumpaskan satu sindiket pemerdagangan manusia selepas
menahan tiga lelaki rakyat tempatan dan seorang wanita asing dalam satu serbuan di sebuah rumah
papan dua tingkat di pekan Tawau, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner II Zainal Abidin Kasim berkata,
kejayaan itu juga membolehkan polis menyelamatkan tujuh wanita rakyat asing yang cuba
diperdagangkan oleh sindiket berkenaan.

Katanya, kesemua empat suspek ditahan itu berusia antara 21 dan 30 tahun manakala wanita-wanita
yang diselamatkan berusia dalam lingkungan 19 hingga 24 tahun.

“Kejayaan itu bermula dengan penahanan sebuah kereta Proton Wira ketika sedang membawa mangsa-
mangsa, dipercayai untuk menjalankan perkhidmatan seks.

“Susulan itu, Cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) negeri telah
melakukan serbuan di sebuah rumah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 12, Akta Antipemerdagangan
Orang 2007 dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda.

“Semua mangsa yang berjaya diselamatkan kini diletakkan sementara di bawah Perintah Perlindungan
Interim (IPO),” katanya lagi.

Sementara itu, Zainal berkata, bagi tempoh 11 bulan tahun pertama tahun ini sebanyak enam kes
melibatkan perdagangan manusia direkodkan oleh polis negeri ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu sebanyak 26 mangsa, semuanya wanita rakyat asing berjaya
diselamatkan.

“Daerah Kota Kinabalu dan Tawau mencatatkan sebanyak dua kes masing-masing melibatkan 18
wanita warga asing.

“Bagi daerah Beluran dan Labuan, masing-masing mencatatkan sebanyak satu kes, melibatkan lapan
wanita rakyat asing berjaya di selamatkan,” katanya.
Utusan Malaysia
23/09/2009
Jenayah

Wanita Warga Malaysia Ditahan

NEW DELHI 22 Sept. - Seorang wanita rakyat tempatan yang merupakan orang paling dikehendaki
polis di sini kerana kegiatan antarabangsa perdagangan manusia ditangkap di Lapangan Terbang
Kolkata malam Ahad.

Joyti Rana, 40, yang dipercayai dalang kegiatan perdagangan itu yang kebanyakan menyediakan
remaja perempuan ke negara Asia Tenggara, ketika ditangkap dalam perjalanan ke Kolkata dari
Malaysia melalui Bangkok dengan menaiki pesawat Air India Express.

''Sejak dua hingga tiga bulan lepas, dia ke Malaysia dua kali. Semasa ditangkap, dia datang ke Kolkata
dari Malaysia. Terdapat notis untuk mengesan wanita ini yang dikeluarkan oleh polis Delhi dan kita
tahan dia.

''Kita sedang siasat jika dia membekalkan tenaga buruh bawah 21 tahun dan mendagangkan
perempuan. Polis Delhi akan ke sini Selasa untuk menjalankan siasatan lanjut.

''Ketika ini, dia di bawah jagaan pihak kehakiman Kolkata dan perbicaraan terhadapnya pada 19
Oktober,'' menurut Superintendan Polis Daerah Parganas Utara-24 di Barat Bengal, Rahul Srivastav
ketika dihubungi.

Wanita itu dengan rakannya, Nisha Sharma @ Meherunnisa, dari Delhi Barat ditahan kerana
mengeluarkan pasport India palsu di lapangan terbang tersebut pada hari Ahad kira-kira pukul 9
malam.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Delhi Barat, Sharad Aggarwal memberitahu media bahawa
polis menerima aduan daripada seorang lelaki pada awal bulan ini bahawa Rana mengenakan mangsa
itu kira-kira RM10,000 untuk menghantar beliau ke Greece melalui Turki bagi mendapatkan pekerjaan.

Bagaimanapun apabila mangsa itu tiba di Malaysia, Rana meninggalkannya dan melarikan diri dengan
wang tersebut.

"Kita hantar satu pasukan ke Nawada (negeri Bihar) dan kita diberitahu bahawa dia di Asia Tenggara,''
kata Aggarwal.

Akhbar Times of India melaporkan bahawa seorang pegawai jenayah kanan Delhi, berkata; ''Kita ada
maklumat bahawa tertuduh mengeluarkan visa palsu untuk negara-negara seperti Turki dan Malaysia,
dan dia telah menghantar 250 orang termasuk beberapa remaja ke beberapa negara.'' - BERNAMA

Anda mungkin juga menyukai