Anda di halaman 1dari 2

ISLAM MEMBINA KELUARGA PENYAYANG

Manusia ialah makhluk Allah yang paling mulia di muka bumi ini. Allah mencipta
manusia untuk memakmurkan dunia dan beribadat kepadanya. Asas ciptaan manusia
adalah daripada roh dan jasad. Jiwa manusia perlu kepada agama untuk memenuhi
keperluan rohani .Perasaan beragama juga perlu untuk memenuhi kebahagiaan hidupnya.
Sekiranya perasaan ini hilang,maka terumbang-ambinglah manusia itu tanpa tujuan dan
matlamat hidup.

Hidup manusia bukan setakat di dunia sahaja. Mereka akan dibangkit semula di
akhirat untuk mendapat pembalasan daripada Allah S.W.T tentang amalan mereka di
dunia ini. Pembalasan itu adalah setimpal dengan kelakuan mereka semasa hidup. Ini
kerana Islam telah menetapkan peraturan dan undang-undang yang perlu diikuti oleh
manusia untuk menjadi panduan hidup mereka. Peraturan dan syariat Islam adalah
ciptaan Allah yang hanya disampaikan kepada manusia melalui para Rasul dan Nabi.
Manakala Nabi Muhammad s.a.w. pula sebagai nabi yang terakhir untuk seluruh umat
manusia di dunia hingga hari kiamat. Membina keluarga yang bahagia dan penyayang
mestilah mengikut ajaran dan panduan yang digariskan oleh agama. Islam memberi
petunjuk kepada manusia bagaimana cara membaiki keadaan hidupnya, mengenal hak dan
kewajipan dalam pergaulan, bahkan dalam segala pekerjaan supaya manusia berbahagia
dan untung di dunia dan akhirat.

Islam mendidik manusia supaya hidup berkesopanan. Bercakap benar, berlaku jujur,
malu berbuat dosa, memenuhi tanggungjawab, memelihara amanah, berlaku adil adalah
antara contoh sikap yang baik dan berguna. lni kerana ketenteraman hidup berjalan
atas dasar-dasar yang disenaraikan tadi. Manakala perbuatan bercakap dusta, berbuat
curang, berlaku kianat, rendah budi, zalim dan melakukan kekejaman adalah antara
sifat yang boleh merosakkan pergaulan dan memutuskan perhubungan. Pembentukan
keluarga dalam Islam bermula dengan ikatan perkahwinan antara lelaki dan perempuan
secara sah mengikut hukum Islam itu sendiri. Apabila rumah tangga itu dibina dengan
sempurna dan sah, maka ia mendapat keredhaan dan berkat dari Allah S.W.T. Banyak
rumah tangga yang dibina tanpa mengikut landasan agama menemui kehancuran dan
kegagalan seperti kahwin lari tanpa restu keluarga atau pasangan yang cetek
pengetahuan tentang agama.

Untuk memupuk keharmonian hidup berumahtangga, setiap suami isteri hendaklah


mematuhi dasar-dasar hukum yang digariskan oleh Islam agar terhindarlah perkara-
perkara yang tidak diingini. Islam telah mengingatkan bahawa isteri adalah amanah
daripada Allah dan hendaklah dijaga dengan sebaik-baiknya. Bagi pihak isteri pula,
Allah telah menegaskan bahawa mereka wajib mentaati suami mereka pada jalan Allah
dan haram bau Syurga sekiranya mereka menderhaka terhadap suami selagi si suami
patuh dan taat kepada landasan hukum Islam.

Hubungan yang baik antara anak dan ibu bapa akan membawa ke arah keluarga yang
bahagia. Islam telah memberikan perhatian yang penting ke atas dua pihak berkenaan.
Agama mewajibkan anak-anak mentaati kedua orang tuanya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Syurga di bawah tapak kaki ibu".

Anak-anak harus menumpahkan kasih sayang kepada kedua ibu bapa sekalipun ibu bapa
kafir dan ingkar terhadap Allah, namun mereka berhak mendapat penghormatan daripada
anak-anak mereka. Ini kerana daripada mereka berdualah lahirnya anak-anak ke dunia
ini. Anak-anak harus mentaati ibu bapa mereka yang beragama Islam dalam urusan
hidup yang tidak bertentangan dengan Islam. Islam melarang keras kita mencela atau
memarahi mereka dengan bahasa yang kasar. Kita haruslah menasihati mereka dengan
baik dan sopan.
Betapa berat soal anak-anak menghormati ibu bapa, berat lagi tanggung jawab ibu
bapa mendidik anak-anak mereka ke jalan diredai Allah S.W.T. Ibu bapa wajib
memberikan pendidikan yang betul kepada anak-anak mereka. Tanpa bekalan ilmu untuk
dunia dan akhirat, anak-anak akan hidup terumbang-ambing. Kecuaian ibu bapa
memberikan pendidikan agama yang sepatutnya, maka timbulah gejala sosial kepada
anak-anak seperti budaya lepak, bohsia yang melanda negara kita sekarang ini. lbu
bapa merupakan model kepada anak-anak. Oleh itu ibu bapa perlulah berkelakuan yang
sopan dan mulia. Tingkah laku mereka mudah menjadi perhatian dan ikutan anak-anak.
Dampingilah anak-anak dengan memberikan kasih-sayang yang sempurna. Luangkan masa
untuk berbincang tentang masalah mereka. Anak-anak perlu diberikan kasih sayang dan
perhatian. Sekiranya diabaikan tanggung jawab ini, jiwa anak-anak akan merasa
kekosongan dan mereka tidak diperlukan oleh ibu bapanya. Mereka akan mencari
sesuatu yang dapat memenuhi jiwa mereka di luar rumah. Akibatnya ramai yang
tercebur ke kancah maksiat dan dadah, maka porak perandalah keluarga tersebut.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;


"Hak anak atas bapanya, supaya membaikkan akhlaknya dan membaikkan namanya ".

Kewajipan ibu bapa ialah membentuk peribadi anaknya selaras dengan tuntutan Allah
S.W.T. Ini akan membahagikan hidup mereka di dunia dan akhirat. Apabila jiwa anak-
anak telah ditanam dengan taqwa dan keimanan Islam, maka kasih sayang dan hormat
menghormati wujud dalam keluarga tersebut. Ibu bapa wajib memberikan ilmu dunia dan
akhirat kepada anak-anak mereka. Anak-anak yang berilmu dan beriman akan sentiasa
mengingati ibu bapa mereka apabila mereka telah tua atau pun telah meninggal dunia.

Sabda Rasuluilah s.a.w yang bermaksud;


"Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara
sahaja iaitu sedekah yang berkekalan, ilmu yang boleh dimanfaatkan dengannya dan
doa daripada anak-anak yang soleh".

Islam juga menganjurkan supaya kita mempunyai hubungan yang baik sesama individu.

Sabda Rasullullah yang bermaksud;


"Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia
mencintai dirinya sendiri. "

Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud;


"Yang paling baik di antara kamu ialah yang baik pergaulannya terhadap
keluarganya".

Anak-anak perlulah dididik dengan pergaulan yang baik sesama mereka. lbu bapa
mestilah berlaku adil dalam melayani kerenah anak-anak mereka supaya terhindar
perasaan dengki, iri hati dan dendam. A nak-anak yang lebih kecil hendaklah
rnenghormati abang yang lebih tua. Manakala abang mestilah bertolak ansur dengan
adik-adik mereka. Apabila sikap ini dapat ditanam dalam diri anak-anak, tiadalah
permusuhan dan perbalahan dalam keluarga dan mereka saling sayang dan menyayangi
antara satu dengan lain. Aman tenteram dan berbahagialah keluarga tersebut Islam
amat mengambil berat dalam membentuk keluarga yang penyayang. Hidup dalam bahagia
dan aman sentiasa serta saling tolong menolong antara satu sama lain. Islam telah
menggariskan panduan untuk menunjuk ke arah tersebut. Oleh itu membina keluarga
yang penyayang dan harmoni maka kita mestilah mengikuti landasan agama.

Wallahua'lam

© Copyrights All Rigths Reserved Ahmad Kamil bin Zailani bin Bauk bin Abd Rahman ® - 1999
kamilz@melayu.net

Anda mungkin juga menyukai