Anda di halaman 1dari 2

Minda pelajar sukses

"Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah keadaan
diri mereka sendiri." (Surah Al-Ra'd, ayat 13)

Pada pertengahan tahun baru-baru ini, saya telah mengelolakan satu slot motivasi untuk
pelajar-pelajar di sekolah saya yang akan menduduki peperiksaan UPSR bagi tahun 2010.
Terdapat beberapa perkara penting yang saya telah berikan sebagai santapan persediaan
dalam perjuangan sebelum menduduki peperiksaan tersebut. Jika kita bertanya, siapakah
yang sanggup untuk menduduki peperiksaan-peperiksaan penting seperti UPSR, PMR,
SPM, STPM dan sebagainya untuk kali kedua? Jika mereka menyedari hakikat perjalanan
MASA yang tidak dapat diputarkan kembali walaupun sedetik, nescaya mereka akan
menjawab "tidak sanggup untuk mengulanginya untuk kali kedua"... Jadi, persediaan yang
rapi dalam perjuangan ini sangat penting agar setiap pelajar tidak mengalami kegagalan
pada kali pertama melakukannya seperti kata pepatah inggeris: "Do the right thing at the
first time". 

Pada slot tersebut, mula-mula sekali saya menekankan mengenai pembinaan matlamat
dalam meneruskan kehidupan di masa hadapan iaitu impian atau cita-cita. Cita-cita amat
penting untuk setiap diri individu kerana bermula dari cita-citalah seseorang itu dapat
merancang misi dan visi hidupnya. Setelah ada perancangan, seterusnya perlaksanaan
akan dilakukan untuk mendapatkan hasilnya. Seseorang yang mempunyai perancangan
hidup seumpama dia memiliki sebuah kebun yang ditanam benih yang betul dan benih
tersebut mengeluarkan hasil yang dia inginkan. Contohnya jika seseorang itu hendak
mandapat hasil buah rambutan, maka benih yang ditanam perlulah benih pokok rambutan.
Jika seseorang itu tidak mempunyai perancangan hidup, hidupnya seperti dia mempunyai
sebuah kebun besar tetapi hanya ditumbuhi oleh semak-samun kerana semak-samun tidak
memerlukan benih untuk ditanam.

Ciri-ciri persediaan untuk menghadapi peperiksaan.

Terdapat banyak ciri-ciri persediaan yang boleh dipraktikkan oleh pelajar sebelum
menghadapi peperiksaan. Saya hanya sempat berkongsi empat ciri-ciri sahaja dengan
pelajar ketika slot tersebut tetapi keempat-empat tersebut sudah memadai dan jika ada lagi
tambahan maka itu lebih baik.

1. Tidak terburu-buru menjawab soalan.


Salah satu kesilapan yang dilakukan oleh pelajar ialah mereka cuai ketika 
menjawab soalan. Ada pelajar yang terus menjawab soalan tanpa membaca dahulu semua 
soalan dari muka surat pertama hingga muka akhir sebelum menjawab soalan-soalan 
tersebut. Jadi, pelajar yang dapat menjawab dengan baik ialah mereka yang sentiasa 
berhati-hati dan merancang masa dengan baik agar dapat menyiapkan jawapan dalam 
masa yang ditetapkan.

2. Kerap membuat latihan.


Cuba kita bayangkan ketika kita baru pertama kali pergi ke sesuatu tempat. Tentu 
sukar untuk mengetahui arah, jarak dan masa untuk sampai ke destinasi tersebut. 
Tetapi jika sudah berulang-kali pergi ke tempat tersebut, kita akan menjadi lebih 
mahir malahan boleh memberi tunjuk arah kepada orang lain tanpa kita membawa orang 
itu ke tempat tersebut. Begitulah perumpamaan dalam belajar, jika seseorang 
pelajar itu kerap membuat latihan maka tahap kemahiran manjawab dan kefahaman akan 
semakin meningkat.

3. Kreatif.
Jika kita diberikan sebatang pen, apakah yang kita akan nampak daripada pen 
tersebut? Jika kita hanya berfikir secara biasa, kita akan nampak sebatang pen dan 
mengatakan pen tersebut digunakan untuk menulis. Tetapi, jika kita berfikir di 
luar kotak pemikiran, kita akan nampak pen tersebutlah yang dapat menjadikan 
seseorang itu daripada buta huruf kepada seseorang yang hebat. Kita akan nampak 
wujudnya cendiakawan-cendiakawan, sekolah-sekolah, universiti-universiti, 
bangunan-bangunan pencakar langit dan sebagainya. Oleh itu, seseorang pelajar 
perlu kreatif dalam dalam aspek menjawab soalan. Di samping itu pelajar juga 
kreatif dalam teknik-teknik mengingat formula-formula dan fakta-fakta agar dapat 
menjawab soalan peperiksaan dengan mudah.

4. Usaha lebih.
Saya teringat nasihat seorang pensyarah ketika saya mengambil subjek perakaunan 
perniagaan semasa di universiti dahulu. Beliau mengatakan: "Jika hendak mendapat A 
kena usaha A++". Beliau bermaksud seseorang itu perlu berusaha lebih untuk 
mendapat keputusan yang cemerlang kerana usah mengharap keputusan A dalam 
peperiksaan jika usaha hanya sekadar boleh mendapat B atau C sahaja. Usaha lebih 
yang dimaksudkan ialah seseorang pelajar itu perlu bersifat proaktif seperti 
mancari rujukan-rujukan tambahan selain buku teks yang dibekalkan di sekolah. 
Selain itu, pelajar juga perlu mencari latihan-latihan tambahan selain latihan 
yang diberikan oleh guru.

Anda mungkin juga menyukai