Anda di halaman 1dari 3

Gotong royong kenduri kahwin dulu sekarang berbeza

Oleh SUBKY ABDUL LATIF

MENJADI satu kebiasaan bagi tetamu ke jamuan perkahwinan mengulurkan hadiah sampul surat berisi
wang kepada tuan rumah mengikut keikhlasan dan keupayaan tetamu. Jika tetamu itu ditakdirkan
lumayan, maka besarlah isi sampul surat itu dan jika tidak membawa sampul suratpun tidak mengapa,
yang pentingnya ialah tetamu hadir meraikan majlis perkahwinan. Jangan sampai tidak hadir kerana tidak
ada sampul surat.

Memberi hadiah kepada pasangan pengantin atau kepada ibu bapa yang mengadakan kenduri sambutan
perkahwinan itu bukan satu kemestian atau paksaan, tetapi ia adalah satu kebiasaan dalam mana-mana
masyarakat sekalipun. Dalam konteks orang Melayu secara tradisinya, kenduri kahwin diadakan secara
gotong royong oleh masyarakat sejiran dan sekampung malah oleh saudara masing-masing.

Malah sesama keluarga terdekat dalam masyarakat tradisi yang rata-rata kerja sendiri biasanya
memulakan gotong royong berminggu-minggu sebelumnya. Terutama kaum wanita. Mereka telah
menyiapkan segala keperluan sebuah rumah pengatin dengan hiasa bilik pengantin, menjahit dan
menenun pakaian, hiasan rumah seperti menjahit langsir, langit-langit dan sebagainya.

Bagi jiran-jiran terdekat umapamanya seminggu dua sebelum kenduri sibuk menyediakan rempah ratus
resepi jamuan. Gotong royong itu sangat ketara apabila satu majlis perkahwinan diadakan tiga hari tiga
malam atau bagi keluarga berada sampai tujuh hari tujuh malam. Sudah tentu kerja amal itu demi
memeriahkan majlis perkahwinan tetapi yang pentingnya ialah gotong royong itu adalah untuk membantu
meringankan beban tuan rumah. Demikianlah muafakat orang Melayu yang rata-rata kaum tani.
Masyarakat desa merasa aib jika ada antara masyarakat desa mengadakan majlis perkahwinan secara
kenduri ringan - minum teh misalnya.

Merasa aib

Saya masih ingat betapa terharunya masyarakat desa apabila satu percubaan mengubah istiadat kenduri
besar-besaran kepada satu jamuan sederhana secara jamuan teh. Keluarga itu bukan orang susah.
Tetapi pengantin laki-laki adalah seorang yang ingin membuat perubahan, tidak mahu berbelanja besar
kerana perkahwinan, memadai dengan mengadakan majlis jamuan ringan. Antara masyarakat kota di
barat selalu mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana seperti jamuan teh untuk rakan-rakan
terdekat seratus atau dua ratus orang. Maka kenduri perkahwinan itu adalah jamuan teh dan kuih-kuih
dalam bentuk serba sederhana.

Pada hal keluarga itu pernah mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran sebelum itu. Seisi
kampung turun bergotong royong menjayakan kendurinya. Mereka bukan sekadar datang membuat
kerja, malah mereka membawa beberapa ekor ayam bagi satu keluarga dan ada yang datang membawa
secupak atau dua cupak beras. Isunya bukan kerana tuan rumah tidak berupaya, tetapi masyarakat yang
sepakat itu mahu setiap anggotanya aman dan muafakat.

Setelah kenduri selesai, orang-orang kampung datang menemui tuan rumah menyatakan sedih mereka
pergi kenduri yang demikian kerana ia dikira mengaibkan masyarakat desa itu dan seolah-olah
masyarakat di situ membiarkan keluarga itu kenduri dalam bentuk itu. Sungutan mereka, jika tiada
keupayaan, mereka akan lakukan seperti sebelumnya beramai-ramai datang membantu membawa ayam
seekor seorang dan beras secupak seorang. Tuan rumah sediakan rempah ratus dan persiapan rumah
saja. Demikian prihatinnya masyarakat Melayu terhadap urusan masyarakat mereka.

Masyarakat yang sepakat


Dalam zaman yang berubah dan urbanisasi yang merentas hingga jauh ke desa, menyebabkan sukar
untuk mengadakan gotong royong seperti dulu. Kepesatan industri dan urbanisasi kadang kala
menyebabkan orang yang hendak mengangkat hidangan dan membasuh pinggan kotorpun tidak cukup.
Semua orang bekerja dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk bergotong royong menjayakan majlis
perkahwinan seperti dulu.

Pekerja pejabat baik sektor awam maupun swasta tidak boleh meninggalkan kerja. Malah mereka
terpaksa minta cuti untuk menghadiri perkahwinan keluarga terdekat. Nasib sudah cukup baik jika boleh
hadir pada hari kenduri. Sebaliknya seolah-olah mustahil untuk bergotong royong beberapa hari dan jauh
sekali beberapa minggu. Perkembangan menggalakkan gotong royong memasang bangsal, memasak
dan menguruskan hidangan dan membasuh pinggan hampir ketinggalan. Bukan gotong royong
dilupakan, tetapi kemajuan pembangunan menghalang gotong royong seperti itu.

Ini menyebabkan orang beralih kepada menempah makanan dari syarikat katering dan berjamu secara
layan diri. Baik di kota dan di desa gaya kenduri sudah serupa. Perkembangan ini menyebabkan
perbelanjaan kenduri bertambah. Beban bertambah besar disebabkan semua kena belanja dan kena
upah. Rata-rata kahwin zaman ini seolah-olah mendera pengantin lelaki. Memang belanja hantaran
meningkat. Kadang-kadang ia tinggi kerana alasan status, tetapi ada yang menggunakan hantaran itu
sebagai sebahagian dari saraan kenduri.

Memang tuan rumah terpaksa menyediakan perbelanjaan besar baik dulu mahupun sekarang. Tetapi
beban tenaga dan kebendaan itu boleh dikurangkan jika sikap gotong royong diteruskan. Gotong royong
masih releven tetapi dalam bentuk yang berbeza. Di sinilah munasabah masyarakat seluruhnya menjadi
tetamu di majlis perkahwinan bergotong royong meringankan tanggungjawab tuan rumah dengan
bersama-sama datang membawa sampul surat yang berisi wang.

Gotong royong tenaga dan masa diganti dengan gotong royong meringankan perbelanjaan tuan rumah.
Sumbanagan wang mengikut keupayaan dan nilai mata wang semasa boleh mengatasi keperluan tuan
rumah. Dia boleh menggunakan wang itu untuk mengupah orang cuci pinggan, mengangkut hidangan
dan lain-lain. Apabila jamuan disediakan oleh syarikat katering, tidak lagi dimasak secara gotong royong,
maka katering ikut kepala menjadi tanggungan berganda.

Ia terpaksa dibayar dan dihadapi. Itulah harga satu kemajuan. Maka bagi meringankan perbelanjaan
masing-masing ialah tetamu meraikan kenduri dengan bersalam dengan tuan rumah. Tuan rumah jangan
berasa malu dan tetamu jangan memikirkan ia satu paksaan sebagai adat-adat yang terpaksa
ditinggalkan, ia adalah satu tanggungjawab masyarakat setempat dan tanggungjawab sahabat handai
tuan rumah. Memang ada setengah tuan rumah yang mungkin lumayan, tidak memerlukan tetamu
bersalam bersama sumbangan, memadai bersalam kosong, tetapi ia boleh diterima sebagai satu
halangan orang ramai untuk meneruskan gotong royong dalam bentuk yang sudah berubah.

Adalah biasa sekarang pasangan suami isteri menyediakan dua sampul surat dan sumbangan wang
dibahagi dua. Kalau RM10 - suami RM5 dan isteri RM5. Suami bersalam dengan suami dan isteri
bersalam dengan isteri. Harga makan tidak sampai RM5 seorang tetapi yang penting ialah tetamu dapat
meneruskan semangat gotong royong meringankan tanggungjawab tuan rumah supaya mereka nanti
tidak menanggung hutang dan sebagainya.

Sumbangan wang

Kalau gotong royong tradisional dulu disertai olah jiran dan anggota masyarakat yang terdekat, tetapi
semangat gotong royong terdekat ini dapat disertai oleh lebih ramai orang sesuai dengan kemajuan yang
tidak mengenal sempadan. Memang sebelum ini tetamu datang dengan hadiah yang berbagai rupa.
Hadiah-hadiah itu lazimnya adalah untuk keperluan penganting baru. Ia dapat memenuhi sebahagian dari
keperluan rumah tangga mereka.
Tetapi hadiah itu tidak dapat dirancang dan kadang kala tidak memenuhi keperluan. Kadang-kadang
terdapat hadiah dari satu jenis tetapi banyak. Ia terpaksa dibahagi kepada orang lain. Bagi memastikan
setiap pemberian itu benar-benar meringankan tuan rumah termasuk pengantin, maka pemberian yang
terbaik ialah dengan bersalam dan tuan rumah dan pengantin tahu apa yang mereka perlu. Gotong
royong wang memenuhi keperluan itu.

Anda mungkin juga menyukai