Anda di halaman 1dari 7

..Ringkasan Peringkat-peringkat Salikin Menuju Allah s.w.

t
‫الوجيز في بيان‬
‫مراتب السالكين الى رب العالمين‬
Sebuah Ringkasan
Pada Menjelaskan Peringkat-peringkat Salikin
Menuju Allah Rabbul 'Alamin

Murid:

Seseorang yang ingin berjalan di atas perjalanan menuju Allah s.w.t. dengan mengambil seorang
mursyid yang kamil (sempurna) untuk membimbingnya menuju Allah s.w.t.. Golongan ini juga
dikenali sebagai salik iaitu: orang yang berjalan menuju Allah s.w.t..

Ada dua peringkat murid iaitu:

1)      Murid li ajli Al-Jannah


2)      Murid li liLlah

1) Murid li ajli al-jannah

Adapun murid li ajli Al-Jannah bermaksud, seseorang murid yang memulakan perjalanannya menuju
Allah s.w.t. di bawah tarbiah seorang mursyid yang kamil, dengan niat kerana ingin mendapat syurga
Allah s.w.t. dan terselamat daripada nereka.

Ini merupakan peringkat permulaan bagi seorang salik (orang yang berjalan menuju Allah
s.w.t.). Ada empat jenis murid li ajli al-jannah ini iaitu:

1.1: Khodim
1.2: Abid
1.3: Faqir
1.4: Zahid

1.1: Khodim (orang yang berkhidmat)

Murid pada jenis ini akan diberi tarbiah oleh seorang mursyid yang kamil untuk berkhidmat
kepada ikhwan (sesama murid yang lain) dan mursyid tersebut. Ini suatu peringkat terawal dan
terpenting bagi seorang salik, dalam membentuk persediaan seseorang untuk seterusnya
berkhidmat kepada umat Islam seluruhnya, dan menjadikan seluruh kehidupannya untuk berkhidmat
di jalan Allah s.w.t., kerana Allah s.w.t..

Khidmat ini juga membentuk sifat tawadhuk dalam diri seseorang murid, yang mana, sifat
tersebut amat penting bagi seseorang murid, untuk terus mengambil manfaat daripada sesebuah
tarbiah.

Telah tersebut dalam banyak hadith-hadith dan dalam lembaran sirah para sahabat r.a., di
mana, mereka sentiasa berkhidmat kepada Rasulullah s.a.w. dan kepada sesama mereka.
1.2: 'Abid (Orang yang Banyak Beribadah)

Ada juga dalam kalangan murid yang seterusnya mencapai tahap abid', di mana dia sentiasa
memperbanyakkan amal ibadah kerana sudah merasai kelazatan ibadah itu sendiri. Pada tahap ini,
seseorang murid akan terhibur dalam melaksanakan ibadah-ibadah sunat setelah ibadah-ibadah
fardhu, sentiasa memperbanyakkan zikir-zikir, sentiasa mengikuti majlis-majlis zikir dan majlis-majlis
selawat, gemar melazimi bacaan-bacaan qasidah dan sebagainya.

Pada peringkat ini, mursyid yang kamil yang membimbing murid tersebut akan membantu
murid tersebut dalam memotivasikannya sekiranya murid tersebut dihinggapi hal-hal seperti malal
(kebosanan), futur (putus asa) dan sebagainya.

Pada ketika ini juga, mursyid akan sentiasa memberi galakan kepada murid tersebut untuk
memperbanyakkan amalan-amalan sunat agar murid tersebut dapat mendekatkan diri kepada Allah
s.w.t. dengan nawafil (ibadah-ibadah yang sunat) setelah ibadah-ibadah fardhu (seperti yang
disarankan dalam hadith riwayat Imam Al-Bukhari).

1.3: Faqir (Tidak Memiliki Harta)

Ada juga dalam kalangan murid yang memilih untuk menjalani hidup dalam kefaqiran, sesuai
dengan jalan hidup Saidina Rasulullah s.a.w. yang memilih untuk menjalani kehidupan dalam bentuk
yang tersebut.

Mereka hidup ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Dalam tarbiah,
seseorang murid selalunya menjalani kehidupan sebegini dalam usaha untuk membasmi perasaan
cinta dunia daripada dirinya. Tetapi, manhaj tarbiah kebanyakkan para sufi zaman ini tidak lagi
melalui peringkat ini, kerana kemaslahatan murid-murid zaman ini juga.

Tetapi, murid-murid yang sememangnya membesar dalam kefaqiran, maka mereka inilah yang
akan terus dibimbing oleh mursyid agar lebih menghayati makna sebuah kehidupan secara lebih luas.
Ini kerana, kekayaan sebenar adalah kekayaan jiwa, seperti sabda Nabi s.a.w..

1.4: Zahid (Orang yang Zuhud)

Peringkat tertinggi dalam jenis murid li ajli al-jannah ini adalah golongan zuhhad (orang-orang
zuhud), yang mana, mereka mengosongkan hati mereka daripada kecintaan kepada dunia samada
mereka memiliki dunia di tangan mereka ataupun tidak.

Zuhud itu sendiri dalam pandangan kaum sufi adalah, suatu sifat membuang kecintaan
terhadap dunia daripada hati, bukan membuang dunia daripada tangan (iaitu: bukan menolak usaha
untuk mencari harta keduniaan secara mutlak). Boleh jadi sahaja, seseorang itu miskin, tetapi hatinya
penuh kecintaan kepada dunia, maka dia juga bukan seorang yang zuhud seperti yang dimaksudkan
oleh kaum sufi.

Pada peringkat ini, seseorang mursyid atau murobbi akan membimbing murid tersebut dalam
usaha untuk melepaskan hatinya daripada kecintaan kepada dunia. Faktor membawa kepada zuhud
ini adalah, di mana murid tersebut lebih menutamakan nikmat dan kesenangan yang dijanjikan di
syurga berbanding di dunia yang sementara ini.

Murid liLlah
Murid jenis kedua adalah murid yang berjalan menuju Allah s.w.t. di bawah bimbingan
seorang mursyid yang kamil, hanya semata-mata mengharapkan Allah s.w.t., keredhaan dan kasih
sayangNya. Murid jenis kedua ini lebih tinggi martabatnya daripada murid jenis pertama yang hanya
sekadar mengharapkan syurga Allah s.w.t..

Murid peringkat kedua ini ada dua jenis iaitu:

2.1: Malamatiyyah
2.2. Mutasawwifah

2.1: Malamatiyyah

Malamatiyyah adalah orang yang sentiasa menyembunyikan kebaikan dan ketaatannya kerana
ingin menjaga niat dan keikhlasannya dalam beramal, kerana yang dia harapkan hanyalah Allah s.w.t..
Dia tidak akan melakukan sesuatu kecuali dia dapati ada ikhlas dalam dirinya terhadap ketaatan
tersebut. Jadi, dia sentiasa berusaha untuk menutup pintu-pintu riyak dengan menyembunyikan
amalan-amalannya sebaik mungkin, demi menjaga keikhlasannya kepada Allah s.w.t.. Menjadi
kemuncak kegembiraannya adalah apabila sesuatu amalan tersebut berjaya dilakukan secara
bersembunyi tanpa di ketahui oleh makhluk yang lain.

Ini adalah peringkat pertengahan dalam perjalanan seseorang salik menuju Allah s.w.t.,
kerana sudah sampai tahap permulaan ikhlas kepada Allah s.w.t.. Dia sudah merasai kelazatan iman,
menghayati cinta dan keredhaan Allah s.w.t. dalam dirinya serta tidak lagi tergantung hatinya kepada
selain Allah s.w.t..

2.2: Mutasawwifah

Mutasawwifah adalah orang yang sudah menguasai lapangan ilmu tasawwuf, sudah mewarisi
zauq-zauq (perasaan) daripada mursyidnya yang kamil, sudah mulai mengenal Allah s.w.t. melalui
af'al-af'alNya, ataupun sifat-sifatNya, dan sudahpun memiliki pengalaman yang luas dalam
pentarbiahan. Yang dia mahukan dalam segenap hidup mahupun matinya hanyalah ALLAH s.w.t..
Mereka sudah diberi futuhat oleh Allah s.w.t. untuk memahami pelbagai hakikat-hakikatNya.

Mutasawwifah adalah murid mutaqoddim (murid yang hampir dengan sheikh) yang mana,
para khalifah seseorang mursyid selalunya adalah dari kalangan mereka. Hanya mereka yang sudah
sampai kepada peringkat ini yang selalunya akan mengganti tempat seseorang mursyid dalam
memberi tarbiah kepada para ahbab, ketika ketiadaan sheikh tersebut. Dia sudah mempunyai
keserasian kehendak dengan mursyidnya khususnya dalam melibatkan urusan dakwahnya. Inilah
peringkat terakhir murid dan peringkat awal bagi seseorang yang sampai kepada Allah s.w.t..

Washil (Orang yang Sampai kepada Allah s.w.t. dengan AnugerahNya)

Washil ialah seseorang yang telah sampai kepada Allah s.w.t. dengan bantuan dan
kemurahanNya. Makna sampai kepada Allah s.w.t. adalah, seseorang mengenal Allah s.w.t. dengan
sebenar-benar kenal, yang mana, makrifat tersebut tidak ada penghujungnya kerana tiada
penghujung bagi hakikatNya. Setiap orang mengenal Allah s.w.t. sekadar yang diizinkan oleh Allah
s.w.t., dan tiada siapa yang dapat menjangkaui keseluruhan hakikat Allah s.w.t..

Adapun maksud mengenal Allah s.w.t. dengan sebenar-benar kenal adalah, seseorang itu
mengenal Allah s.w.t. dengan tahaqquq (perealisasian) terhadap apa yang difahami tentang Allah
s.w.t. dalam bentuk penghayatan, iaitu dengan kehadiran hati yang berpanjangan kepada Allah
s.w.t., dan menyaksikan (musyahadah) Allah s.w.t. dengan mata hatinya (bashirah). Adapun wahsil ini
ada dua jenis iaitu:

1)      Mursyid Kamil/ Sheikh/ Waris Muhammadi/Murobbi/ Sufi/ Wali

Mursyid atau Sheikh adalah seseorang yang sudah melepasi perjalanan menuju Allah s.w.t. (sair ila
Allah) dan sudah berada di kemuncak perjalanan pada Allah s.w.t. (as sair fi Llah) di mana, dia sudah
fana' makhluk dan basyariah, dan sudah baqo' denganNya (kekal dalam musyahadah Allah s.w.t.).

Para mursyid adalah golongan yang telah tenggelam (istighroq) dalam lautan tauhid, sehingga
menyaksikan wujud Allah s.w.t. tanpa kaifiat dan tanpa tamsil, tasybih dan tanpa bentuk, kerana
penyaksian (musyahadah) ini adalah pada mata hati (bashiroh). Mereka telah sampai pada hal tamkin
(mantap) dalam merai dua thorof (sudut) iaitu sudut musyahadahnya (yang melihat tiada wujud
hakiki kecuali Allah s.w.t.) dan sudut kewujudannya da seluruh makhluk denganNya (dalam
kekuasaanNya). Dengan merai sudut musyahadahnya, maka dia sentiasa tahaquq (merealisasikan)
dan menjaga hak-hak ketuhanan Allah s.w.t. dan beradab di hadrahNya. Adapun dengan meraikan
sudut menyaksikan seluruh makhluk denganNya, maka dia terus melakukan kehambaan dan
ketaatan kepadaNya.

Mereka diberi izin oleh mursyid-mursyid mereka yang kamil, akan izin-izin untuk memberi
tarbiah, irsyad (bimbingan kerohanian), menyebarkan aurad (zikir-zikir sesuatu madarasah tarbiah)
dan memberi bai'ah kepada para murid yang baru ingin memulakan perjalan menuju Allah s.w.t..

Tugas mereka adalah untuk memimpin ahbab sheikhnya terdahulu atau mencari ahbab-ahbab
baru dalam memperkembangkan lagi manhaj tarbiah dan dakwah madrasah tarbiah mereka demi
berkhidmat kepada umat Islam.

Mereka juga terkenal dengan waris muhammadi kerana mereka adalah pewaris-pewaris
Rasulullah s.a.w. secara zahir mahupun batin (ilmu zauqi), sesuai dengan hadith Nabi s.a.w. yang
berbunyi: "Ulama' pewaris nabi". Mereka mewarisi tugas Rasulullah s.a.w. dalam memberi tarbiah
kepada umat Islam dan menyucikan jiwa mereka (tazkiyah an-nafs) daripada belenggu syahwat dan
hasutan syaitan serta kecintaan kepada dunia.

Ciri-ciri seorang mursyid yang kamil adalah:

Pertama: Mengetahui ilmu-ilmu fardu 'ain atau ilmu-ilmu agama (alim dalam ilmu syariat).

Kedua: Mengenal Allah s.w.t., sifat-sifatNya dan nama-namaNya bersesuaian dengan aqidah mazhab
ahlus-sunnah wal jamaah.

Ketiga: Berpengalaman dalam tarbiah (pernah mengambil tarbiah dari seorang mursyid yang kamil),
mengetahui seluk-beluk nafsu, tipu dayanya serta cara-cara untuk mentarbiahnya.

Keempat: Mendapat izin irsyad (membimbing dalam bab kerohanian) untuk mentarbiah daripada
mursyid beliau yang sebelumnya, di mana mursyid tersebut juga mempunyai izin irsyad yang
bersambung silsilah izin irsyad tersebut kepada Rasulullah s.a.w..

2)      Wali Mastur/ Majzub


Mereka juga adalah orang-orang yang sudah mengenal Allah s.w.t. dengan sebenar-benar kenal,
tenggelam dalam lautan tauhid dan musyahadah Allah s.w.t. dengan mata hatinya. Cuma, mereka
tidak diberi izin untuk memberi tarbiah dan irsyad oleh mursyid mereka yang terdahulu, kerana
mereka ini adalah suatu kelompok yang dikhususkan oleh Allah s.w.t. untuk menumpukan kehidupan
mereka hanya kepada Allah s.w.t. (ahli tajrid) di samping turut memberi nasihat-nasihat umum
kepada sesama muslim.

Mereka adalah wali-wali Allah s.w.t. yang tersembunyi di sebalik pakaian orang-orang awam,
sehingga tidak mampu dikenali oleh orang lain kecuali orang tersebut juga merupakan wali yang
sepertinya.

Ada juga dalam kalangan mereka yang tenggelam dan terus fana' (lebur) dalam lautan tauhid
(bahru at-tauhid), sehingga mereka tidak lagi menyedari kewujudan diri mereka di samping
musyahadah mereka kepada Allah s.w.t.. Mereka adalah golongan yang mutalawwin (berubah-ubah),
bukan mutamakkin (mantap atau kukuh) hatinya dalam musyahadah dengan baqo' biLlah (kekal
musyahadah dengan bantuan Allah s.w.t.).

Ilmu Tasawwuf: Riwayah dan Diroyah

Seseorang yang ingin mempelajari ilmu tasawwuf, atau melalui jalan para sufi, hendaklah memahami
bahawasanya, ilmu tasawwuf itu bukan suatu ilmu yang dapat dipelajari semata-mata melalui buku-
buku tasawwuf dan sebagainya, tetapi ianya perlu dipelajari secara talaqqi daripada seorang mursyid
yang kamil, yang mewarisi tasawwuf secara riwayah dan diroyah.

Ini kerana, ilmu tasawwuf pada hakikatnya, bukan untuk dipelajari sekadar untuk
mendapatkan makumat, tetapi ilmu tasawwuf itu dipelajari untuk direalisasikan ke dalam diri melalui
proses tarbiah di bawah bimbingan seorang mursyid yang kamil.

Sheikhuna (guru kami) Sheikh Yusuf Al-Hasani berkata: "Sesiapa yang mahukan maklumat
(tentang tasawwuf) semata-mata, maka silakanlah carinya dalam buku-buku tasawwuf. Tetapi,
sesiapa yang mahukan Allah s.w.t., maka kami mengalu-alukan kedatangannya."

Tasawwuf itu dipelajari agar seterusnya dapat diterjemahkan dalam kehidupan kerana ianya
merupakan ilmu perjalanan menuju Allah s.w.t.. Tiada manfaat bagi orang yang belajar seluk-beluk
perjalanan menuju Allah s.w.t tetapi tidak mahu melaluinya. Tiada manfaat bagi orang yang cuba
memahami sifat-sifat Allah s.w.t. tanpa berusaha untuk mengenaliNya dengan jalan tarbiah tersebut.

Oleh yang demikian, secara ilmiahnya, ilmu tasawwuf itu ada dua bahagian iaitu:

1)      Riwayah
2)      Diroyah

1)      Riwayah

Riwayah adalah berkaitan dengan talqin zikir (La ilaha illaLah) dari seorang mursyid kepada muridnya,
dengan silsilah talqin yang bersambung kepada Saidina Ali r.a. yang mengambil talqin tersebut dari
Rasulullah s.a.w.. Begitu juga dengan zikir-zikir yang mathur daripada Rasulullah s.a.w., yang diwarisi
melalui rantaian silsilah zikir tersebut.

Ia selalunya berkaitan mengambil riwayat zikir secara bersanad sehingga sampai kepada
Rasulullah s.a.w., dan juga sampai kepada para sahabat r.a., tabi'in, para penghulu tarikat (seperti
Hizbul Bahr oleh Imam Abu Al-Hasan As-Syazuli) dan sebagainya. Dalam silsilah tersebut
mengandungi keberkatan para masyaikh yang terkandung dalam rantai silsilah tersebut bahkan
keberkatan Saidina Rasulullah s.a.w. yang menjadi penghulu bagi silsilah zikir tersebut. Dalam rantai
tersebut juga memberi pahala kepada para masyaikh yang terkandung dalam rantai silsilah tersebut
seperti yang dimaksudkan dalam hadith: "Sesiapa yang mengadakan sesuatu amalan yang baik, maka
baginya pahala terhadap amalannya, dan baginya juga pahala mereka yang mengikutinya sehingga hari
Kiamat" (Hadith riwayat Muslim).

Ada orang yang meriwayatkan zikir ini secara umum (seperti meriwayatkan selawat-selawat
dan zikir-ziki mathur (dari Rasulullah s.a.w.), hizb an-nawawi, ratib al-haddad, hizbul bahr, dalail
khairat dan sebagainya) sedangkan talqin zikir pula diambil secara khusus daripada seorang mursyid
yang bersambung silsilah talqin tersebut daripada Saidina Hasan Al-Basri r.a. yang mengambilnya
daripada Saidina Ali r.a. yang mengambilnya daripada Saidina Wa Maulana Rasulullah s.a.w..

2)      Diroyah

Dalam ilmu tasawwuf, diroyah daripada ilmu tasawwuf adalah berkenaan dengan perasaan hati
(zauq), akhlak-akhlak terpuji melalui contoh-contoh teladan, yang mana ianya diwarisi dari seseorang
guru yang mewarisinya daripada gurunya terdahulu, sehingga bersambung silsilah warisan tersebut
kepada para sahabat r.a. yang mewarisinya daripada Rasulullah s.a.w..

Diroyah dalam erti kata lain, dalam ilmu tasawwuf adalah, tarbiah daripada seorang guru
mursyid kepada muridnya, yang mana silsilah tarbiah tersebut bersambung kepada Rasulullah s.a.w.
yang mentarbiah para sahabat Baginda r.a..

Rasulullah s.a.w. bukan sekadar menyampaikan pesanan dan nasihat serta mengajarkan zikir-
zikir kepada para sahabat r.a. semata-mata, bahkan Baginda s.a.w. juga mentarbiah para sahabat
dengan memperbaiki akhlak mereka secara individu, menunjukkan contoh akhlak yang terpuji
sebagai qudwah kepada mereka, dan memindahkan kefahaman-kefahaman zauqi kepada para
sahabat r.a. dengan proses mujahadah tersebut.

Rasulullah s.a.w. adalah suatu simbol akhlak yang terpuji buat para sahabat bagi
merealisasikan akhlak tersebut dalam hidup mereka. Rasulullah s.a.w. adalah doktor yang sentiasa
tidak jemu memperhatikan penyakit-penyakit hati mereka lalu memberi penawarnya dengan izin
Allah s.w.t.. Rasulullah s.a.w. adalah simbol kemanisan iman yang menghayati segenap makna iman
lalu diterjemahkan dalam kehidupan dengan akhlak-akhlak hati yang tinggi, seperti redha kepada
Allah s.w.t.dan sebagainya.

Seterusnya, para sahabat r.a. yang agung mewarisi manhaj tarbiah Nabawi tersebut lalu
menyebarkannya dengan mentarbiah para tabi'in sehingga warisan manhaj tarbiah itu terus diwarisi
sehingga hari ini, oleh mursyid-mursyid yang kamil, dalam sebuah madrasah yang dikenali setelah itu
sebagai, madrasah sufiyah.

Mereka ini mewarisi silsilah zikir-zikir daripada Rasulullah s.a.w., mewarisi tarbiah yang pernah
disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat, melalui silsilah tarbiah yang meraka ambil
daripada guru-guru mursyid mereka terdahulu.

Mereka bukan sekadar mewarisi hadith-hadith Nabi s.a.w. secara riwayat, tetapi juga
mewarisi kefahaman-kefahaman yang tinggi daripada hadith-hadith tersebut melalui jalan tarbiah,
mujahadah dan bimbingan daripada para mursyid mereka yang juga turut melalui jalan yang sama,
sepertimana jalan yang pernah dilalui oleh para sahabat r.a., yang mendapat bimbingan daripada
Rasulullah s.a.w..

Ahli riwayat semata-mata, yang meriwayatkan kisah-kisah para sufi khususnya, yang
meriwayatkan ungkapan-ungkapan mereka semata-mata, namun tidak mewarisi kefahaman dan
zauq (perasaan) kerohanian mereka, melalui proses mujahadah melawan hawa nafsu dan proses
tarbiah, akan menyebabkan samada mereka menghukum ke atas para sufi melalui kefahaman salah
mereka terhadap ungkapan para sufi, atau ada yang akan salah faham lalu mengikut kesesatan
kefahamannya yang salah terhadap ungkapan para sufi tersebut.

Ilmu tasawwuf adalah ilmu praktikal, bukan ilmu berbahas. Para ulama' sufi menyusun ilmu
tersebut daripada sejumlah hadith-hadith Nabi s.a.w. berkenaan dengan akhlak dan tarbiah Nabi
s.a.w., untuk seterusnya diamalkan oleh para murid yang ingin sampai kepada Allah s.w.t. dan
inginkan keredhaanNya.

Jalan untuk menterjemahkan ilmu tasawwuf ke dalam kehidupan adalah dengan melalui
proses tarbiah dan bimbingan seseorang mursyid yang kamil, agar segala teori berkenaan akhlak-
akhlak mulia dapat direalisasikan dalam dirinya. Nabi s.a.w. adalah murobbi teragung yang turut
mentarbiah para sahabat r.a. dan seterusnya para tabi'in pula mengambil tarbiah daripada para
sahabat r.a. dan begitulah kesinambungan silsilah tarbiah sehingga hari ini, terutamanya melalui
madrasah sufiyah.

Tarbiah, suhbah (bersahabat dengan seseorang guru mursyid), mulazamah (sentiasa bersama-
sama dengan mursyid), khidmat (berkhidmat kepada para guru dan para ikhwan) dalam ilmu
tasawwuf adalah diroyah sedangkan riwayat-riwayat zikir, bai'ah tabarruk, talqin zikir tabarruk
(sekadar mengambil berkat), menghadiri majlis-majlis zikir secara umum dan sebagainya hanyalah
sekadar riwayah dalam ilmu tasawwuf.

Orang yang ingin sampai (wushul) kepada Allah s.w.t. perlu mengambil ilmu tasawwuf
(akhlak, tarbiah atau tazkiyah an-nufus) secara riwayah dan diroyah sekaligus, dengan mengambil
seorang mursyid yang kamil sebagai pembimbing khusus baginya dalam perjalanan menuju Allah
s.w.t., kerana pada suhbah (bersahabat dengan mursyid) dan khidmah (berkhidmat kepada para guru
dan ahbab) inilah rahsia kejayaan pembentukan jiwa mulia para sahabat r.a. yang dahulunya suram
dengan noda jahiliyyah.

Di sinilah letaknya kepentingan mendapat bimbingan daripada seseorang mursyid yang kamil,
iaitu dalam rangka ingin mempermudahkan jalan untuk sampai kepada Allah s.w.t.. Semoga Allah
s.w.t. menjadikan kita dalam kalangan orang-orang yang menujuNya dengan menyampaikan kita
kepada orang-orang yang boleh membawa kita kepadaNya dengan bantuanNya.

Apa yang baik itu dari Allah s.w.t. dan apa yang buruk itu dari kelemahan diri penulis itu
sendiri. Semoga Allah s.w.t. mengampuni segala dosa dan kesalahan penulis yang serba jahil lagi hina
ini.

Wallahu a'lam…

Al-Faqir ila Rahmati Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Ar-Razi

Anda mungkin juga menyukai