Anda di halaman 1dari 5

ULASAN FORUM “ITUKAH AKU”

Satu forum ilmu iaitu Forum Perdana Hal Ehwal Islam telah diadakan di
Universiti Pendidikan Sultan Idris bersempena Pesta Konvokesyen bertempat di Padang
UPSI iaitu pada 19 Mac 2009 bersamaan dengan 22 Rabi'ul Awal 1430 H bermula jam
9.00 malam. Penceramah yang dijemput bagi membahaskan isu yang menarik ini
adalah tiga orang ahli panel yang cukup hebat iaitu Dato' Haji Zakaria bin Haji Jaffar,
Ustaz Harith Fadzilah bin Abdul Halim, Ustaz Fathul Bari bin Mat Jahya. Dato’ Haji
Zakaria bin Haji Jaafar merupakan seorang Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga merangkap sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya
SPRM Malaysia. Beliau juga berasal dari Kelantan dan mempunyai pengalaman dalam
kerjaya beliau selama lebih daripada 20 tahun. Penceramah kedua yang dijemput iaitu
Ustaz Harith Fadzilah b.Abd Halim merupakan Ketua Penolong Pegawai Bahagian
Dakwah Jabatan Agama Islam Perak. Beliau berasal dari Kuala Kangsar dan kini
menetap di Ipoh serta mendapat pendidikan di Universiti Al-Azhar. Penceramah yang
ketiga iaitu Ustaz Fathul Bari bin Mat Jahya merupakan seorang graduan sarjana dari
Universiti Islam Madinah dan Jordan. Beliau berasal dari Kedah dan kini menetap di
Perlis. Beliau kini dalam proses menyiapkan thesis PHD dan juga memegang jawatan
sebagai Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Al-Qalam Negeri Perlis. Manakala
moderator yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan majlis ilmu ini merupakan
seorang pensyarah UPSI sendiri iaitu Ustaz Anhar Opir. Majlis ini dianjurkan oleh SSPR
UPSI dengan kerjasama Sekretariat Pesta Konvokesyen UPSI.

Permulaan majlis adalah dimulakan oleh moderator yang menjelaskan mengenai


pemilihan tajuk kupasan iaitu “Itukah Aku”. Pemilihan tajuk ini adalah bagi melihat
siapakah diri seseorang itu sama ada dia adalah seorang yang berakhlak, mempunyai
moral dan juga seorang yang berintegriti. “Itukah Aku” merupakan sebuah tajuk yang
membahaskan soal rasuah yang menjadi penyakit dalam kalangan masyarakat. Ulasan
tajuk yang cuba dihuraikan oleh ketiga-tiga ahli panel ini adalah dengan melihat
pandangan daripada sudut undang-undang Malaysia dan juga pandangan Islam
berhubung isu yang sentiasa menjadi kebimbangan dalam masyarakat.

Persoalan pertama dikemukakan kepada ahli panel pertama iaitu Dato’Haji


Zakaria bin Hj Jaafar yang diminta untuk menjelaskan kepada penonton dan pendengar

1
berhubung definisi rasuah dengan melihat kepada skop undang-undang negara,
kelakuan yang dikatakan sebagai rasuah dan juga hukuman yang dikenakan kepada
pesalah yang didapati bersalah melakukan rasuah. Beliau memberi jawapan balas
kepada persoalan ini dengan menyatakan bahawa definisi rasuah jika mengikut undang-
undang adalah tidak dinyatakan secara terus. Perkataan yang digunakan dalam
undang-undang adalah perkataan seperti suapan serta kesalahan-kesalahan rasuah.
Namun, beliau berpendapat bahawa rasuah merupakan suatu perbuatan jenayah yang
jijik, keji dan hina yang tidak sepatutnya ada dalam kalangan masyarakat. Perbuatan
rasuah ini dianggap sebagai satu perbuatan haram yang memberi kesan bukan sahaja
kepada pelaku malah juga kepada keluarga, masyarakat dan organisasi yang terlibat.

Dato’ Haji Zakaria juga menyatakan bahawa terdapat tiga jenis kesalahan rasuah
yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Antaranya ialah individu atau pihak yang
memberi dan menerima suapan. Suapan yang diberikan adalah sama ada berbentuk
harta, jawatan dan kedudukan. Pihak yang kedua pula ialah tuntutan palsu atau
memalsukan dokumen. Pihak yang terakhir pula adalah penyalahgunaan jawatan bagi
jawatan awam. Pihak yang ketiga ini hanya tertakluk kepada penjawat-penjawat awam
sahaja. Bagi kesalahan rasuah dinyatakan oleh beliau bahawa hukuman yang
dikenakan kepada pesalah adalah penjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali
jumlah rasuah yang diterima atau RM 10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Moderator seterusnya mengajukan soalan kepada ahli panel yang kedua


berhubung rasuah dalam Islam dengan merujuk kepada hadis Nabi Muhammad S.A.W
yang menyatakan bahawa “Orang yang memberi dan menerima rasuah adalah dalam
api neraka”. Persoalan yang dikemukakan oleh moderator adalah pandangan Islam
berhubung rasuah yang menjadi satu penyakit dalam manusia dan masyarakat. Ahli
panel kedua menjelaskan persoalan ini dengan menyatakan bahawa amalan ini sudah
dilaksanakan sejak zaman ketamadunan Rom lagi iaitu rakyat pada ketika itu ditaburkan
dengan pelbagai hadiah bertujuan untuk memancing undi dan dianggap sebagai amalan
tertua yang dilakukan sejak abad keenam sebelum Masihi. Ahli panel kedua juga turut
menyatakan bahawa definisi rasuah mengikut tafsiran Akta Pencegahan Rasuah 1961
pindaan 1971 yang menyatakan bahawa menerima atau memberi apa-apa suapan
sebagai dorongan, upah atau galakan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu
perbuatan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan seperti urusan pinjaman bank yang

2
meminta komisen atau wang ketika memproses urusan pinjaman tersebut. Beliau juga
menyatakan pendapat Dato’ Hj Mohd Nasir yang merupakan bekas Menteri Besar
Kelantan yang menyatakan bahawa rasuah adalah penyalahgunaan kuasa bagi
mendapatkan faedah. Penggunaan kuasa di sini adalah melihat kepada kepentingan
perut dan di bawah perut. Dengan melihat kepada skop Islam, Islam sangat
memandang hina kepada perbuatan ini kerana jika dilihat kepada hadis riwayat Imam
Al-Tarmizi menyatakan bahawa penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan dalam
api neraka. Hal ini kerana Islam sangat mementingkan keadilan dan Islam sangat
menitikberatkan sumber pendapatan yang menjadi darah daging seseorang sama ada
halal atau sebaliknya. Dalam Islam dinyatakan dengan jelas bahawa tiap-tiap darah
daging yang datang dari sumber yang haram, layak baginya untuk dimamah api neraka.
Hal ini kerana sumber yang haram ini bukan sahaja memberi kesan kepada pelaku
tetapi juga kepada ahli keluarga, anak-anak malah generasi yang akan datang.

Beliau memberikan contoh sahabat Rasulullah iaitu Sayidina Abu Bakar yang
memuntahkan kembali susu yang diminum apabila didapati susu yang diberi adalah
diperoleh daripada sumber yang haram kerana terlalu takutkan kepada hukuman Allah
S.W.T. Jelas ditunjukkan di sini bahawa orang Islam ketika itu amat menjaga sumber
yang menjadi darah daging mereka. Beliau juga turut mencadangkan kepada pendengar
langkah-langkah yang perlu diambil oleh seseorang bagi mengelakkan rasuah.
Antaranya ialah dengan berpandukan kepada Al-Quran. Selain itu seseorang
seharusnya meningkatkan kekuatan dalaman seseorang dan juga meningkatkan tahap
keimanan, ketakwaan serta keyakinan seseorang dengan menerapkan dalam diri
seseorang bahawa Allah sentiasa memerhati perbuatan yang dilakukan.

Persoalan yang seterusnya dikemukakan kepada ahli panel yang ketiga iaitu
dengan meminta pandangan beliau berhubung hadis Rasulullah iaitu menyatakan
bahawa hasil yang diperoleh yang merupakan hasil gaji dianggap sebagai satu
pengkhianatan. Menurut Ustaz Fathul Bari mentakrifkan bahawa rasuah adalah sesuatu
yang diberi untuk membatalkan sesuatu kebenaran. Amalan rasuah ini bukan sahaja
dimulakan dalam kalangan manusia malah sejak wujudnya Nabi Adam iaitu godaan
syaitan yang menyebabkan Nabi Adam terkeluar dari syurga akibat makan buah yang
dilarang oleh Allah akibat inginkan kecintaan yang lebih dari Allah. Beliau juga
menyatakan bahawa fitnah terbahagi kepada dua iaitu As-Syahwat yang merupakan

3
satu tawaran sesuatu yang dipengaruhi hawa nafsu yang tinggi seperti jawatan, harta
dan wanita. Manakala yang kedua adalah berbentuk As-Syubuhat yang menyatakan
bahawa sesuatu yang disalahertikan. Sebagai contoh hadiah yang diberi tidak
dipastikan sama ada berbentuk ikhlas atau satu bentuk rasuah. Pelbagai hadis dalam
Islam yang menyatakan bahawa perbuatan rasuah adalah diharamkan seperti yang
dinyatakan dalam hadis-hadis bersifat umum. Malah terdapat hadis-hadis yang
menyatakan mengenai rasuah tanpa menyatakan hukuman kepada pemberi rasuah
perkara sedekah yang dibangkitkan oleh sahabat nabi yang menjadi kemarahan nabi
tetapi tidak dinyatakan hukumannya. Malah ketamakan orang Yahudi dalam
memastikan mendapat hasil kebun yang lebih berbanding Muslimin dengan cara
merasuah sahabat Nabi. Jelas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad amat menentang
amalan rasuah dalam kalangan masyarakat. Malah para sahabat Nabi amat menjaga
perlakuan mereka sehingga menyebabkan mereka begitu takut untuk melakukan
tindakan yang dianggap sebagai rasuah.

Pusingan kedua dimulakan dengan persoalan suasana rasuah di Malaysia


dengan melihat kepada statistik tanpa mengira lapisan masyarakat. Ahli panel
menyatakan bahawa peningkatan rasuah dalam kalangan masyarakat setiap tahun
meningkat dengan jumlah dari 11,000 lebih pada tahun 2006 sehingga mencapai 15,000
orang pada tahun 2008. Siasatan yang dilakukan oleh SPRM mendapat kerjasama
daripada masyarakat Malaysia namun nilai maklumat berhubung rasuah tidak difahami
dengan jelas. Oleh itu pelbagai usaha perlu diambil bagi memastikan semua pihak
mendapat maklumat mengenai rasuah dengan jelas. Antaranya ialah mendidik dengan
cara melakukan forum, ceramah serta menggunakan khidmat ahli masyarakat yang
sering berhadapan dengan masyarakat bagi menyedarkan mereka bahayanya rasuah.
Malah pihak media massa juga sangat berperanan dalam memastikan maklumat rasuah
dapat disampaikan dengan jelas kerana dengan hanya bergantung pada SPRM adalah
tidak mencukupi akibat kekurangan anggotanya dalam menyampaikan maklumat
kepada seluruh warga Malaysia.

Seterusnya ahli panel yang kedua menjawab persoalan berhubung dengan


peranan dan fungsi yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guru dalam mendidik anak-
anak masyarakat berhubung dengan rasuah. Mengikut pendapat yang dikemukakan
oleh ahli panel kedua, menyatakan bahawa pendidikan perlu dimulakan daripada

4
keluarga sendiri dengan menguatkan akidah, kepercayaan dalam kalangan anak-anak.
Malah pendidikan dimulai sedari kecil lagi seperti melakukan solat. Ahli panel juga turut
menyatakan bahawa faktor yang mendorong kepada perlakuan ini adalah disebabkan
oleh kelemahan peribadi, kelemahan kepimpinan organisasi dam juga dari sudut sosial
iaitu pemberian hadiah dianggap sebagai satu tradisi. Oleh itu sebagai seorang guru
dan ibu bapa seharusnya mewujudkan suasana yang baik dalam mendidik supaya
anak-anak ini tidak mudah terjebak dalam kegiatan ini sehingga dianggap satu
kebiasaan.

Moderator juga mengajukan persoalan kepada ahli panel ketiga berhubung hak
yang diambil atau dizalimi, adakah dibolehkan untuknya melakukan rasuah dan juga
apakah ciri-ciri yang membezakan antara hadiah dan rasuah. Ahli panel ketiga
menjelaskan bahawa hadiah merupakan perkara yang diberikan kepada seseorang
tanpa mengandungi niat dan syarat yang tertentu. Walau bagaimanapun sogokan ini
dilihat dibolehkan sekiranya bertujuan untuk pendidikan. Berkaitan dengan hak pula,
diharuskan untuk seseorang itu memberi sogokan sekiranya hak dia dicabuli atau
dizalimi tetapi dianjurkan untuk bersabar.

Sebagai penutup, ketiga-tiga ahli panel berpendapat bahawa rasuah merupakan


satu penyakit dalam masyarakat dan hendaklah dijauhi. Malah di dalam Islam juga
sangat mengharamkan sebarang unsur rasuah baik memberi dan juga menerima.
Seseorang perlu mengamalkan etika yang tinggi bagi mengelakkan diri daripada
terjebak dalam penyakit masyarakat ini.

Manfaat Kepada Saya


Forum ini sangat berguna terutamanya sebagai seorang guru yang akan menjadi
penjawat awam kerana isu rasuah ini merupakan satu isu yang sering dibahaskan.
Sedikit sebanyak forum ini dapat memberi kesedaran tentang bahayanya rasuah
sekiranya terus dibiarkan. Malah forum yang dilaksanakan ini banyak melihat daripada
sudut pandangan Islam iaitu Islam sendiri amat menentang amalan rasuah dan sogokan
kerana perkara sebegini akan merosakkan institusi masyarakat terutamanya masyarakat
Islam. Oleh itu, setiap kupasan isu yang dihuraikan benar-benar memberi manfaat yang
besar kepada pendengar supaya isu rasuah ini tidak sekadar dilihat dari sudut
pemberian wang semata-mata tetapi juga dilakukan dengan pelbagai kaedah lain.

Anda mungkin juga menyukai