Anda di halaman 1dari 5

e-Majalah Laman-MAP

MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.


 
Petua Memberi Tumpuan
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Kegagalan memberikan tumpuan dalam kelas menyebabkan ramai pelajar gagal meraih
keputusan yang baik dalam peperiksaan. Berikut adalah petua yang boleh digunakan
untuk meningkatkan tumpuan anda: 

 Semak seimbas nota yang telah diberikan oleh guru terdahulu sebelum memulakan
kelas.  Sekiranya ada bahagian yang anda tidak faham atau keliru maka tanyakan
pada guru sebelum bermulanya kelas tersebut.  Jangan biarkan ketidakfahaman
atau kekeliruan itu mengganggu anda. Guru mungkin akan mengajar lebih
mendalam hari ini dan sekiranya anda tidak merungkai kekeliruan itu anda akan
terus ketinggalan dalam mengikuti apa yang diajar.

 Baca juga bahan yang bakal diajarkan oleh guru nanti.  Walau pun anda tidak
memahami keseluruhan apa yang dibaca sekurang-kurangnya anda tahu apa yang
akan diajar oleh guru kelak.  Secara tidak langsung tumpuan dan minat anda
meningkat. 

 Cuba duduk di barisan depan dalam kelas.  Sekiranya anda duduk di tepi tingkap,
tutup tingkap ketika guru mengajar.

 Jangan alih mata anda dari melihat guru dan lihat apa yang ditulis di papan
hitam/putih.

 Tunjukkan minat yang mendalam.  Perbetulkan kedudukan anda dan ceriakan


wajah anda.  Ingat apa yang diajar itu jauh lebih penting daripada siapa yang
mengajar.  Yakinkan diri anda betapa pentingnya tumpuan dalam kelas.  Ingat!! Ia
menyumbang 50% dari keseluruhan markah peperiksaan kelak.

 Pasang telinga.  Dengar dan fahami setiap patah perkataan yang disampaikan. 
Terjemahkan apa yang disampaikan oleh guru ke dalam bentuk gambaran minda.

 Catat setiap fakta penting atau fakta yang anda sangka penting, sama ada fakta-
fakta yang ditulis atau yang diucapkan oleh guru.

 Catat setiap perkara yang anda tidak faham.  Catatkan juga setiap soalan yang
terbit dalam fikiran anda.  Gunakan tujuh perkataan berikut untuk membina soalan
Apa? Siapa? Bila? Berapa? Dimana? Kenapa? Bagaimana?

 Gunakan buku khas untuk tujuan catatan ini, atau gunakan kaedah mengambil
nota berkesan.  Sekiranya berpeluang segera angkat tangan dan tanya guru. 
Tanya untuk dapatkan lebih huraian; tanya untuk memastikan kefahaman anda
betul; atau tanya kerana ada soalan-soalan yang lebih spesifik.  Antara tanda-
tanda yang anda telah memberikan tumpuan ialah anda TAHU apa yang anda
TIDAK TAHU. 

 Jangan hiraukan sebarang gangguan dari rakan-rakan.  Jangan bertindak balas


terhadap usikan dan gurauan mereka ketika kelas berjalan.

 Kajian menunjukkan bahawa anda lupa 80% dari apa yang telah dipelajari dalam
masa 24 jam.  Oleh itu segera menyemak apa yang telah diajar serta merta apabila
guru keluar dari kelas

 
 

 
e-Majalah Laman-MAP
MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.
 
Mengapa Mengantuk Apabila Belajar?
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Ramai pelajar yang apabila mahu belajar terasa mengantuk.  Ada pula yang tak sampai 10
minit berada depan buku mata terasa berat.  Tidak tahu apa yang dibaca dan ini
merugikan diri pelajar itu sendiri.  Kali ini saya mahu membincangkan faktor-faktor
menyebabkan mengantuk ketika belajar dan bagaimana cara untuk mengatasinya.

Tidak cukup tidur.   Ini memanglah punca utama ramai pelajar mengantuk ketika guru
mengajar disekolah.  Ada sesetengah pelajar yang tidur lewat malam sehingga pukul 1.00
pagi.  Sedangkan esok hari persekolahan dan terpaksa bangun awal.  Ada yang tidur lewat
kerana menelaah pelajaran.  Ada pula pelajar yang tidur lewat kerana membuang masa
dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti mendengar radio dan ber-IRC (chit chat) di
internet sehingga pagi.

Kalaulah ini masalah anda maka nyatalah yang anda belum menetapkan matlamat dalam
hidup anda.  Pelajar yang bermatlamat tidak buang masa dengan urusan yang sia-sia. 
Kalau anda tidur lewat kerana mengulangkaji pelajaran maka anda juga perlu ubah tabiat
buruk ini.  Ingat pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang 'study smart' bukan semata-
mata 'study hard'.

Tidur yang berlebih-lebihan. Tidur yang terlalu lama dan kerap juga menjadikan anda
mengantuk.  Tidur yang mencukupi ialah sebanyak 6-8 jam sehari.  Pastikan anda tidak
tidur lebih dari tempoh waktu ini.

Makan terlalu banyak. Ini juga merupakan satu tabiat buruk.  Apabila anda kuat makan
maka perut anda terpaksa bekerja kuat memproses makanan tersebut.  Proses ini
memerlukan banyak oksigen dan mengerah banyak tenaga.  Ini membuatkan anda akan
mudah mengantuk waktu dalam kelas dan ketika mengulangkaji.

Badan terlalu letih.  Ada ketikanya anda mengantuk disebabkan badan anda terlalu letih
dengan aktiviti sepanjang hari.  Kalau anda ada masalah mengantuk cuba senaraikan
semua aktiviti luar anda.   Ada ketikanya andabersukan atau beriadah secara keterlaluan.
Bermain bola diwaktu petang secara berlebih-lebihan.  Berbasikal keliling kampung
berjam-jam.  Semua aktiviti ini memerah keringat dan membuatkan anda keletihan. 

Beriadah dan senaman memang baik untuk kesihatan tetapi tujuannya kena betul. 
Perbaiki matlamat anda beriadah.  Anda beriadah untuk membolehkan anda segar pada
waktu malamnya bagi menelaah pelajaran.  20 - 30 minit sehari adalah mencukupi.

Ada pula sesetengak pelajar keletihan disebabkan aktiviti ko-kurikulum yang berlebih-
lebihan.  Anda tidak perlu terlalu aktif dalam kegiatan ko-kurikulum hinggakan tiada masa
untuk mengulangkaji dan sehingga memenatkan badan.  Terlibat secara ala kadar.  Pilih
aktiviti yang paling anda minati.   Tidak ada gunanya kegiatan ko-kurikulum anda
cemerlang sedangkan SPM anda kecundang.  Tidak ada gunanya menjadi
olahragawan/olahragawati sekolah tapi akhirnya bekerja hanya sebagai budak kilang.

Oleh itu pastikan kegiatan harian anda seimbang antara pencapaian akademik dan
penglibatan ko-kurikulum.  Pastikan anda tidak kesuntukan masa.  Pastikan anda tetap
segar dan tidak mengantuk dimalamnya.

Tiada minat belajar. Masalah ini sering dijadikan alasan oleh ramai pelajar.   Sebelum saya
pergi lebih jauh cuba fikirkan sejenak antara MINAT dengan BELAJAR manakah yang
wujud terlebih dahulu?  Minat tidak tercetus dengan sendirinya dalam diri anda.  Ia
sesuatu yang wujud disebabkan pengaruh-pengaruh tertentu seperti guru yang baik,
penguasaan pelajaran yang sempurna, markah yang tinggi dan sebagainya.

Pernahkah anda dengar adanya pelajar yang dapat markah 90% dalam sejarah berkata
yang dia tak minat sejarah?  Tidakkk!  Oleh itu minat timbulnya apabila anda lihat dalam
diri anda ada potensi untuk pergi lebih jauh.  Minat mula timbul apabila anda dapat
rasakan yang anda mula menguasai sesuatu mata pelajaran.

Oleh itu yang perlu anda perbaiki ialah cara belajar anda dan kegigihan anda sendiri. 
Anda pelu mempunyai kemahiran belajar yang tinggi agar mudah menguasai setiap
perkara baru yang dipelajari. 

Berikut adalah beberapa saranan apabila anda membaca buku-buku pelajaran:


 

 Lihat seimbas kesemua muka surat yang anda akan baca.   Dapatkan rangka kasar
tentang teks yang bakal anda baca.  Dapatkan satu gambaran yang menyeluruh
terlebih dahulu.

Perhatikan perkara-perkara yang berikut:


o Tajuk-tajuk kecil - dapatkan perkaitan antara satu tajuk dengan tajuk yang
lain.
o Rajah-rajah.
o Jadual.
o Carta.
o Peta.

 Baca perenggan bahagian pendahuluannya. 

 Baca perenggan bahagian penutup atau kesimpulannya.

 Yang terakhir barulah baca ayat demi ayat dan perenggan demi perenggan secara
terperinci.

Membaca hanya satu hala.  Ramai pelajar yang membaca dan mengharapkan 'input'
semata-mata.  Mereka mengharapkan melalui pembacaan setiap maklumat disuap dari
buku ke dalam minda.  Proses membaca begini ialah proses sehala dan ia cukup menjemu
dan membosankan.  Anda perlu berinteraksi secara interaktif antara anda dan buku yang
dibaca.  Untuk menjadikan proses membaca lebih bersifat dua hala anda perlu lakukan
perkara yang berikut:

 Dapatkan 10 - 20 soalan berkaitan tajuk yang mahu anda baca sebelum anda
membaca teksnya.  Fahami kehendak soalan ini.  Apabila anda membaca kelak
anda pasti menemui jawapan kepada soalan dan ini pasti meningkatkan tumpuan
dan minat anda.

 Sentiasa tanya diri anda sebarang soalan yang bermula dengan Apa? Siapa? Bila?
Dimana? Berapa? Kenapa? dan Bagaimana?  Ini membuatkan anda sentiasa
mencari maklumat bukan sekadar mengharapkan maklumat itu tersedia untuk
anda.

 Selepas satu perenggan atau satu muka surat.... berhenti sejenak.  Tanyakan diri
anda sekali lagi tentang apa yang telah anda ketahui sebentar tadi.  Cuba lakar-
lakarkan pada sehelai kertas rajah atau fakta-fakta penting yang anda ketahui. 
CUba ceritakan semula pada diri anda apa yang telah anda baca.  Ceritakan dalam
suara yang boleh didengar oleh telinga anda sendiri.   Dengan cara ini anda
menggunakan bahagian otak yang lain untuk memproses maklumat.

Buat nota ringkas.  Jangan sekadar membaca sahaja.  Cuba kenal pasti kata kunci (lihat
artikel terdahulu) dan ringkaskan setiap fakta penting ke dalam bentuk nota ringkas. 
Dengan melibatkan lebih banyak deria dalam satu-satu proses membaca membuatkan
anda rasa seronok.  Dengan membuat nota ringkas anda sebenarnya menggunakan
bahagian kinestatik diri anda.  Kalau sekadar membaca sahaja tanpa sebarang
penghasilan nota anda cuma gunakan bahagian visual dan auditori semata-mata.  
Penglibatan bahagian kinestatik penting kerana ia mengukuhkan lagi ingatan anda
terhadap apa yang anda pelajari.
 
 

Anda mungkin juga menyukai