Anda di halaman 1dari 16

Aug 5, '05 3:44 PM

PSIKOLOGI PERSONALITI
for everyone

Pengenalan
Setiap individu yang wujud di permukaan bumi ini mempunyai sifat, sikap, gaya, dan

personaliti tersendiri. Dikalangan individu juga berbeza – beza, maksudnya tidak ada

individu yang benar – benar sama dari sifat – sifatnya dan setiap individu adalah unik, tetapi

berkongsi sama beberapa sifat tertentu dengan orang lain. Personaliti atau sahsiah

melambangkan ciri – ciri keperibadian seseorang individu itu, dan sememangnya mencirikan

perbezaan seorang manusia dengan manusia yang lain. Dua konsep yang perlu diberikan

penekanan iaitu tipikal dan berbeza. Personaliti seseorang adalah mengandungi kesemua ciri

psikologi yang secara relatifnya tidak berubah, yang tipikal (yang biasa terdapat) pada orang

tersebut. Contohnya mereka mempunyai tipikal yang pemurah, pemalu, impulif dan lain –

lain. Penekanan kedua terhadap istilah berbeza. Pola – pola unik tipikal cara bertindak,

berfikir, dan merasa setiap orang adalah yang menyebabkannya berbeza daripada orang lain.

Definisi Personaliti
Personaliti dan perkataan Inggeris person adalah dua perkataan yang berkait rapat.

Pada umumnya, personaliti akan memperihalkan seseorang individu tersebut tetapi secara

khusus, personaliti adalah sifat – sifat yang ada pada seseorang individu seperti cara ia

berfikir, beraksi, beremosi, berpersepsi dan lain – lain yang membolehkannya dibezakan

dengan orang lain. Oleh itu, personaliti akan memperihalkan sifat – sifat fizikal, emosi, dan

kognitif seseorang individu.


 

Faktor Yang Mempengaruhi Personaliti


Personaliti berkembang atau membentuk kerana ia dipengaruhi oleh tiga faktor, antaranya

ialah :

 Perwarisan.

 Pengalaman.

 Budaya.

Perwarisan

Kajian untuk membuktikan kesan perwarian ke atas personaliti ialah melalui kajian

kembar seiras, dimana kembar seiras dibesar di dalam persekitaran yang berbeza, tetapi

masih mempunyai banyak kesamaan yang nyata pada kembar seiras. Dengan kajian ini

menunjukkan bahawa sesetengah ciri pesonaliti adalah diwarisi melalui genetik atau

biologikal.

Pengalaman

Personaliti juga dipengaruhi oleh kesan daripada pandangan dengan ibu bapa, kawan

sepermainan, saudara mara dan orang lain. Namun demikian, pengalaman awal kanak –

kanak adalah penting dalam mempengaruhi personaliti mereka seterusnya, antaranya ialah :

 Perhubungan emosi awal : Kebanyakan ahli psikologi percaya dengan perhubungan

emosi awal kerana ibu – ibu menghabiskan banyak masa dengan anak – anak mereka,

maka mereka mempunyai peluang yang besar untuk mempengaruhi emosi anak –

anak dan tingkah laku seterusnya. Ibu juga merupakan model kepada anak – anak

mereka.

 Penyusuan botol dan penyusuan ibu : Masih terdapat debat tentang mana yang

lebih baik penyusuan botol atau penyusuan ibu. Kebanyakan ibu masih memilih
penyusuan ibu kerana mereka percaya ia boleh mewujudkan perhubungan yang lebih

hangat, mesra dan kasih sayang dengan anaknya. Namun ahli psikologi lebih

menekankan cara penyusuan anak, dimana tidak kira yang diberi itu susu botol atau

susu ibu, jika semasa penyusuan itu ibu tidak menunjukkan kemesraan, kasih sayang

kepada anak, maka ini akan menghasilkan anak – anak yang mempunyai personaliti

yang kurang sihat.

 Rutin amalan pemeliharaan anak : Cara ibu menceraikan susu anak, latihan

membuang air besar dan kecil dan amalan lain yang rutin adalah mempengaruhi

pembentukan personaliti bayi. Sekiranya ibu bapa adalah bertanggungjawab,

konsisten, dan memahami, anak – anak mereka akan mampu membentuk sikap dan

konfiden yang positif, yang membawa kepada pembentukan personaliti yang

seimbang dan mudah penyesuaian.

 Ibu bapa kucar – kacir dan anak – anak mereka : Sekiranya ibu bapa mewujudkan

rumahtangga yang tidak selamat, begitu juga sekiranya menunjukkan tingkah laku

yang tidak konsisten kepada anak- -anak, saling membenci, maka anak – anak akan

membentuk kebimbangan. Rumahtangga yang kucar – kacir lebih cenderung

menghasilkan anak – anak yang tidak gembira.

 Keluarga yang autokratik berbanding demokratik : Sesetengah ahli psikologi

percaya bahawa cara pemiliharan anak, sama ada secara autokratik (ibu bapa

menggunakan kuasa untuk memberi arahan dan anak – anak hanya menerima arahan)

atau demokratik (dimana anak – anak diberi kebebasan secara berpanduan) adalah

mempengaruhi perkembangan personaliti anak – anak.

Budaya
Tingkah laku boleh disalurkan daripada ibu bapa, komuniti, masyarakat

kepada ahli – ahlinya yang baru. Anak – anak adalah cenderung meniru tingkah laku

mereka yang terdekat dengan mereka. Faktor – faktor persekitaran baik fizikal,

budaya mahu pun sosial boleh membentuk personaliti ahli – ahlinya. Kelompok agama,

kelompok etnik, komuniti dan malahan kelompok sosial seperti kelab dan organisasi

adalah di antara contoh faktor persekitaran yang berperanan penting dalam

mempengaruhi pembentukan personaliti.

Teori Humanistik
Teori humanistik atau kemanusiaan dikenali sebagai kuasa ketiga di alam

psikologi. Teori ini menumpukan perhatian kepada manusia sebagai insan yang baik,

murni dan sentiasa berkembang ke arah kebaikan. Pakar – pakar psikologi

kemanusiaan seperti Carl Ransom Rogers dan Abraham H. Maslow selalu menekankan

yang perkembangan diri ke arah kesempurnaan kendiri individu sebagai pengacara

bagi pelbagai tenaga yang bertugas untuk membentuk personaliti seseorang.

TEORI KAMANUSIAAN CARL ROGERS

Latar Belakang Carl Rogers


Dilahirkan Januari 8 di Oak Park, lllinois, 1902 dan meninggal 1987. Dilahirkan

dalam keluarga yang kuat berdisplin, penuh keagamaan dan bermoral tinggi. Rogers
mula belajar di Universiti of Winconsin dalam bidang pertanian tetapi dua tahun

kemudian bertukar kepada bidang keagamaan di Union Theological seminary di New

York. Walau bagaimanapun Rogers keluar dari kumpulan keagamaan kerana

mempertikaikan beberapa doktrin agama serta mempersoalkan tentang makna

kehidupan. Beliau lebih memikirkan dirinya sebagai seorang ahli psikologi klinikal dan

berikutnya beliau terus melanjutkan pelajaran ke Teachers College, Columbia

Universiti dan mendapat Ph.D 1928. Semasa di Columbia, sudah nampak Rogers cuba

mengharmonikan idea – idea yang bertentangan seperti fahaman Freudian dengan

metod statistik saintifik. Kemudian fahaman keagamaan dengan fahaman saintifik,

gerakhati dengan objektif dan klinikal dengan statistik.

Rogers mula bekerja sebagai pakar psikologi bertaraf Pengarah di Child Study,

Department of the Society for the Prevention of Cruelty to Children, di Rochester, New

York ; Profesor Psikologi Klinikal di Ohio State Universiti (1940 – 1943) ; Profesor

Psikologi dan Pengarah Kaunseling di Universiti of Chicago (1945 – 1957) ; Profesor

Psikologi dan Psikiatri di Universiti of Wisconsin (1957 – 1963) ; pengarah di Western

Behavioral Sciences institute (1963 – 1968) ; Pengarah di Centre for the Studies of the

Person (1968 – 1987).

Teori Humanistik Mengikut Pandangan Carl Rogers

Carl Rogers adalah satu – satunya pakar yang amat mementingkan manusia

sebagai manusia, dan menyangkal keras pandangan yang melihat manusia sebagai

objek yang boleh dimanipulasi sama ada dari dalam atau luar. Beliau juga

mementingkan perkembangan manusia yang positif dan melihat semua manusia


sebagai entiti – entiti yang baik dan mulia. Semua tingkah laku mereka didorong oleh

pencapaian kesempurnaan kendiri.

Ada beberapa suasana atau keadaan yang dapat membantu manusia untuk

berkembang secara positif. Amir Awang (1987) mencatatkan tiga suasana tersebut,

iaitu :

1.      Kejujuran, keikhlasan dan kebenaran.

2.      Penerimaan tanpa syarat dan perasaan ambil berat.

3.      Kefahaman yang mendalam.

Jikalau semua faktor ini ada pada setiap manusia, maka perkembangan diri yang

positif ke arah kesempurnaan kendiri akan berjalan dengan lebih lancar.

Dalam membentuk teori personaliti kemanusiaan, Rogers memberi tumpuan

kepada individu dan kendirinya. Mengikut pendapatnya lagi, seseorang itu

mempersepsikan objek serta pengalaman – pengalaman dan memberi makna

kepadanya. Sistem persepsi dan pemberian makna yang berkeseluruhan ini

membentuk “ruang fenomenal” individu berkenaan dan dalamnya, ada peristiwa yang

disedari serta ada yang tidak disedarinya.

Kendiri pula adalah satu organisasi atau aturan persepsi atau gestalt yang

konsisten, termasuklah sebahagian yang ada dalam ruang fenomenal serta hubungan

dengan entiti lain seseorang itu yang dilihatnya sebagai “aku”, “saya” atau “diri”. Pada

masa yang sama, Rogers menyatakan dalam setiap individu wujud satu konsep yang

digelar sebagai diri unggul, iaitu bentuk dan konsep – kendiri yang amat diingini oleh

individu berkenaan. Diri unggul mempunyai kompenan- kompenan seperti persepsi


dan makna yang releven pada individu tersebut serta sesuatu yang amat bernilai pada

dirinya.

Konsep – kendiri yang disarankan oleh Rogers adalah definisi diri yang individu

sendiri berikan kepada diri individu secara sedar apabila menggunakan perkataan

“saya” atau “aku”. Ada beberapa fakta yang menarik berkenaan dengan konsep -

kendiri Rogers, antaranya ialah :

1.      Pandangan Rogers terhadap kendiri sama seperti kefahaman umum psikologi

terhadap persepsi.

2.      Kendiri mengandungi sifat configurational, gabungan – mewakili satu yang

terurus dan konsisten secara keseluruhan.

3.      Kendiri tidak homunculus. Kendiri tidak berbuat apa – apa. Seseorang individu

tidak mempunyai satu kendiri yang mengawasi tingkah lakunya, sebaliknya dia

mempunyai satu gabungan pengalaman yang digambarkan sebagai kendiri.

4.      Gabungan pengalaman dan persepsi, dikenali sebagai kendiri, pola timbul

dalam kesedaran. Jika definisi kendiri terlibat dengan ukuran yang tidak sedar,

sukar dioperationaliskan untuk membut kajian.

Walau bagaimanapun, pergerakan individu ke arah kesempurnaan kendiri

tidaklah selalunya lancar seperti yang diharapkan oleh setiap individu. Dimana

manusia terpaksa melalui beberapa rintangan, terutama sekali yang berkaitan dengan

hal konsistensi – kendiri dan kongruens untuk mencapai matlamat. Maksud konsistensi

– kendiri adalah kecenderungan organisma mengekalkan struktur dirinya iaitu

kesamaan persepsi diri yang dilihat dari luar, tidak pula dari dalam seperti yang ada

pada konsep – kendiri.


Manakala kongruens pula bermaksud suasana yang nyaman dan konsisten yang

wujud diantara kendiri dengan pengalaman seseorang. Walau bagaimanapun,

seseorang sering mengalami keadaan tak kongruens, dimana kedaaan ini berlaku

apabila wujud ketidaksamaan di antara kendiri yang dipersepsikan dengan kendiri

yang sebenar. Keadaan ini akan menimbulkan kebingungan, ketidakselesaan dan

ketegangan dalam diri individu. Jikalau keadaan ini berpanjangan, individu akan

mengalami anxieti, iaitu hasil ketidaksamaan di antara pengalaman dan persepsi

kendiri. Terdapat dua cara untuk mengatasi keadaan tak kongruens :

1.      Dengan cara menafikan kewujudan pengalaman yang tidak konsisten dan cara

ini akan mengekalkan konsep dan struktur - kendiri yang sedia ada pada

individu berkenaan.

2.      Menggunakan kaedah pertahanan yang lebih kerap iaitu pengherotan.

Pengherotan bermaksud individu akan mengherot makna pengalaman yang

dirasai dan individu berkenaan akan hanya membenarkan sesuatu pengalaman

yang konsisten dan tidak bercanggah dengan konsep – kendiri, iaitu ke dalam

kesedaran.

Pada masa yang sama, manusia juga memerlukan perhatian yang positif, iaitu

keperluan disayangi, disukai, dihormati, disanjung, diterima dan dikasihi oleh orang

lain. Namun, manusia tidak sentiasa mendapat perhatian yang positif yang amat

diperlukan.

Oleh itu, Rogers menekankan kepentingan kongruens antara diri yang dipersepsi

dengan diri yang dialami supaya seseorang dapat berkembang ke arah kesempurnaan

kendiri. Ini bermakna individu harus menerima diri dan pengalamannya dan
menjadikan diri berfungsi sepenuhnya bagi mencapai kesempurnaan kendiri yang

didamkan

Rumusan Metodologi

        Kendiri pula adalah satu organisasi atau aturan persepsi atau gestalt yang

konsisten, termasuklah sebahagian yang ada dalam ruang fenomenal serta

hubungan dengan entiti lain seseorang itu yang dilihatnya sebagai “aku”, “saya”

atau “diri”. (Rogers, 1959).

        Pada masa yang sama, Rogers menyatakan dalam setiap individu wujud satu

konsep yang digelar sebagai diri unggul, iaitu bentuk dan konsep – kendiri yang

amat diingini oleh individu berkenaan. (Patterson, 1984).

        Konsep – kendiri yang disarankan oleh Rogers adalah definisi diri yang individu

sendiri berikan kepada diri individu secara sedar apabila menggunakan

perkataan “saya” atau “aku”. (Rychlak, 1973).

        Rogers mengatakan yang sesuatu organisma mempunyai satu kecenderungan

asas iaitu untuk menyempurnakan, mengekal dan menambah pengalamannya.

(1951).

        Sistem ini bukanlah bertujuan untuk mendapatkan nikmat atau untuk

mengelakkan kesakitan, tetapi hanya untuk mengekalkan struktur yang sedia

ada. (Pervin, 1984).

        Pengherotan bermaksud individu akan mengherot makna pengalaman yang

dirasai dan individu berkenaan akan hanya membenarkan sesuatu pengalaman

yang konsisten dan tidak bercanggah dengan konsep – kendiri, iaitu ke dalam

kesedaran. (Rogers, 1951).


        Pada masa yang sama, manusia juga memerlukan perhatian yang positif.

(Rogers, 1959).

Kritikan

Walaupun pengalaman subjektif merupakan sumbangan ia juga merupakan

limitasi kajian saintifik. Kelemahan yang dihadapi ialah :

        Tiada definisi jelas bagi personaliti.

        Sukar mengoperasikan konsep – konsep untuk diuji.

        Masalah menerima laporan kendiri sebagai bukti.

        Kekurangan arahan dalam kaunseling menyusahkan sesetengah individu.

TEORI KEPERLUAN ABRAHAM MASLOW

Latar Belakang Abraham Maslow

Abraham Maslow dilahirkan di Brooklyn, New York dalam tahun 1908.

Bapanya bernama Samuel Maslow dan ibunya bernama Rose. Abraham Harold

Maslow lebih menyayangi bapanya dari ibunya. Maslow menganggap ibunya seorang

yang amat kuat beragama dan kadangkalanya membuat dirinya serba salah. Ibunya

sering membandingkan Maslow dengan adik – adiknya yang lain, dan lebih

menyayangi mereka daripada Maslow. Maslow juga sering dihina oleh ibunya. Pada

zahirnya Maslow pernah menyatakan rasa marah dan benci ke atas ibunya. Semasa

ibunya meninggal dunia, Maslow enggan menghadiri upacara pengkebumian ibunya.


Maslow amat menyayangi bapanya Samuel. Maslow sering dianggap sebagai

anak bapa dan bukannya anak emak. Beliau sering menganggap bapanya sebagai

kawan.

Abraham Maslow mendapat ijazah pertama dan PhD dari Universiti Wisconsin

dalam tahun 1934. Selepas mendapat ijazah doktor falsafah, beliau bekerja di Brooklyn

College (1937 - 1951). Dalam tahun 1951, beliau meneruskan kerjayanya di bidang

akademik di Universiti Brandeis, Massachusetts. Beliau pernah dilantik sebagi

Pengerusi Jabatan Psikologi selama 10 tahun di universiti yang sama. Sepanjang

kerjayanya, beliau banyak menghasilkan artikel – artikel berkaitan dengan perasaan

dirinya sendiri, pandangan terhadap insan juga perasaan ke atas kesihatan dirinya.

Maslow berkahwin pada tahun 1928 dengan Bertha, dan beliau telah meninggal

dunia di usia 62 tahun akibat penyakit serangan jantung.

Teori Humanistik Mengikut Pandangan Abraham Maslow

Maslow melihat individu sebagai sesuatu yang berintergrasi dan penyusuan

keseluruhan. Contohnya, seorang insan yang lapar, ianya bukan sebahagian daripada

diri individu tersebut, sebaliknya keseluruhan diri individu menunjukkan rasa lapar.

Teori Maslow ini ada berkaitan dengan personaliti, dan menitikberatkan beberapa

andaian yang berkaitan dengan motivasi. Beliau menekankan keseluruhan diri individu

bergerak, bukan hanya sebahagian daripada individu.


Maslow menganggap motivasi sebagai sesuatu yang kompleks, dimana tingkah

laku luaran yan diperlihatkan oleh manusia. Beliau juga menganggap, individu akan

terus bermotivasi oleh kerana sesuatu matlamat. Matlamat ini dianggap sebagai

keperluan yang perlu dipenuhi oleh semua manusia tanpa mengambil kira budaya,

persekitaran dan perbezaan generasi.

Personaliti yang dibincangkan oleh Maslow lebih kepada keperluan individu.

Maslow sering mengaitkan perkembangan personaliti dengan motivasi. Motivasi lahir

dari keperluan yang diperolehi oleh setiap individu. Maslow berpendapat sebilangan

keperluan dalaman yang menggerak serta mengarahkan perlakuan yang dipamerkan

oleh individu. Keperluan yang ditunjukkan oleh Maslow boleh dilihat dalam bentuk

hieraki.

Menurut beliau keperluan di tahap yang paling bawah/keperluan fisiologi harus

dipenuhi terlebih dahulu sebelum seseorang individu memikirkan tahap kedua. Dengan

kata lain keperluan di peringkat kedua tidak akan wujud jika keperluan diperingkat

pertama tidak mencapai tahap kesempurnaan.

Maslow juga menyebut terdapat perbezaan diantara keperluan peringkat bawah

dengan keperluan di peringkat tinggi. Antaranya :

        Keperluan di peringkat tinggi wujud lewat di dalam pertumbuhan diri

kita dan kewujudannya secara beransur – ansur. Oleh kerana lebih tinggi

keperluan itu ianya lebih istimewa kepada individu tersebut.

        Keperluan fisiologi wujud sebaik sahaja individu lahir di dunia.


        Keperluan penghargaan kendiri timbul di peringkat remaja dan dewasa.

Manakala keperluan kesempurnaan kendiri wujud selepas pertengahan

umur.

        Kepuasan memenuhi keperluan di peringkat tinggi akan membawa erti

yang mendalam kepada diri individu tersebut, seperti gembira.

Keperluan di peringkat tertinggi (keperluan kesempurnaan kendiri)

dianggap sebagai keperluan pertumbuhan.

        Keperluan – keperluan di peringkat rendah, adalah keperluan yang

semestinya dilalui oleh setiap individu bagi mengekalkan kestabilan.

1. Keperluan Fisiologi

Keperluan manusia yang paling asas adalah untuk hidup. Manusia perlukan

udara, air, makanan dan tempat tinggal bagi memenuhkan kehendak pertama dan

utama ini. Pada masa ini, keperluan lain tidak sama sekali menjadi tumpuan selagi

kehendak asas ini dipenuhi.

2. Keperluan Keselamatan

Setelah keperluan ini dicapai, manusia akan mencari keselamatan hidup,

kestabilan kerja, jagaan masyarakat, undang – undang serta membebaskan diri

daripada ancaman luaran mahupun dalaman. Tahap keselamatan ini amat diperlukan

bagi menjamin kesejahteraan hidup.

3. Keperluan Kasih Sayang dan Kepunyaan

Dalam memenuhkan keperluan kasih sayang pula, manusia perlukan hubungan

dengan insan lain. Kita semua pada asasnya ialah haiwan yang bersosial, iaitu kita
perlukan kasih sayang daripada orang lain. Oleh itu manusia ini sememangnya tidak

boleh wujud bersendirian.

4. Keperluan Penghargaan Kendiri

Tahap seterusnya adalah kehendak untuk penghargaan kendiri. Kita mahu

berkuasa, sekurang – kurangnya ke atas diri kita sendiri. Pada masa yang sama, kita

juga perlukan kekuatan, kebolehan, kepakaran serta kebebasan. Seterusnya manusia

ingin dihormati, disanjungi dan kehendak status dalam hidup.

5. Keperluan Kesempurnaan Kendiri

Akhir sekali usaha manusia yang teragung adalah untuk mencapai

kesempurnaan kendiri. Semua tahap kehendak sebelum ini perlu dipenuhi terlebih

dahulu sebelum seseorang itu inginkan kesempurnaan kendiri.

Ciri – Ciri Individu Yang Telah Mencapai Kesempurnaan Kendiri

Mengikut Maslow manusia yang mempunyai kesempurnaan kendiri merupakan

manusia yang telah mencapai perkembangan personaliti tertinggi dan telah dapat

menrealisasikan pontesinya. Ciri – ciri personaliti manusia yang telah mencapai tahap

kesempurnaan kendiri ialah, antaranya :


 Mencapai perkembangan moral yang tinggi iaitu lebih mengutamakan

kebajikan orang lain.

 Mempunyai komitmen yang tinggi terhadap tugas dan pekerjaan.

 Mempunyai pegangan hidup yang kukuh, jujur, bertindak berdasarkan

kepada apa yang dipercayainya walaupun tidak popular.

 Tidak berminat untuk menjadi pengikut kepada suasana semasa seperti

fesyen, adat resam, dan seumpamanya.

 Seronok bersama kawan – kawan tetapi tidak bergantung kepada

mereka.

 Seronok dengan kehidupan yang mencabar dan yang baru.

 Bersikap objektif.

Rumusan Metadologi

 Maslow (1968) melihat manusia sebagai insan yang baik serta mulia dan

mempunyai dorongan sejadi untuk berkembang ke arah kesempurnaan kendiri.

 Pencapaian keperluan penghargaan kendiri akan membolehkan manusia rasa

punyai harga diri, berkebolehan, berguna dan boleh berjasa kepada masyarakat

(Maslow, 1954).

 Maslow (1954) menyatakan bahawa jikalau seseorang berupaya mencapai tahap

kesempurnaan kendiri tetapi tidak berusaha ke arahnya, maka ia akan

mengalami kegelisahan dan keresahan dalam hidup.

Kritikan
Teori Maslow sungguh terkenal dalam bidang psikologi dan juga bidang –

bidang lain seperti bidang pengurusan, bidang kejururawatan dan bidang pendidikan.

Hierarki keperluan yang dikemukakan oleh Maslow dianggap sebagai sesuatu yang

logik dan mudah. Tetapi ianya dianggap kompleks apabila kemungkinan wujud

tingkah laku secara sedar.

Bibliografi

        Mahmood Nazar Mohamed, 1960. Pengantar Psikologi : Satu pengenalan Asas

Kepada Jiwa Dan Tingkah Laku Manusia : Dewan bahasa Dan Pustaka, Kuala

Lumpur (2001).

        Dr. Ma’rof Redzuan & Pn. Haslinda Abdullah. Psikologi : Fakulti Ekologi

Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor (2001).

Wan Abdul Kader & Fatimah Yusooff. Program Jarak Jauh – Jabatan Psikologi :

Pusat Pengajian Luar Kampus, Universiti Kebangsaan Malaysia

Anda mungkin juga menyukai