Tujuan utamanya ialah untuk memberi peluang dan galakan kepada umat Islam supaya
suka mengisi waktu yang terluang di dalam bulan Ramadhan, dengan ibadat-ibadat sunat
seperti solat Tarawih, solat Witir dan membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain.
Aishah r.a. meriwayatkan: “Rasulullah s.a.w. solat (Tarawih) empat rakaat pada waktu
malam, setelah itu beristirehat. Baginda duduk lama sehingga saya kasihan melihatnya.
Saya berkata kepadanya: “Demi Allah wahai Rasulullah! Dosa-dosamu telah diampuni
Allah, sama ada dosa yang terdahulu dan yang terkemudian; maka untuk apakah tuan
bersusah payah solat seperti ini?”
Baginda menjawab: “Bukankah lebih baik kalau aku menjadi hamba yang bersyukur?”
Qiyamu Ramadhan
Solat Tarawih juga disebut dengan Qiyamu Ramadhan. Solat ini dikerjakan selepas umat
Islam mengerjakan solat fardhu Isya’ dan waktunya berkekalan sehingga akhir malam.
Sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud bahawa
sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadhan (solat Tarawih) dengan penuh keimanan
dan ikhlas mengharap ganjaran dari Allah, maka Allah mengampunkan segala dosanya
yang telah lalu.
Sejarah solat sunat Tarawih ini dimulai oleh Rasulullah s.a.w. di Masjid Nabawi.
Menurut baginda Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat Tarawih ini di masjid, lalu para
sahabat mengikutnya. Pada malam berikutnya baginda mengerjakan lagi solat Tarawih di
masjid, dan para sahabat semakin ramai datang dan mengikutnya.
Pada malam yang ketiganya lebih ramai lagi para sahabat telah sedia menunggu ketibaan
Rasulullah s.a.w. di masjid. Tetapi baginda tidak hadir. (Baginda mengerjakan solat
Tarawih itu di rumah). Esoknya Rasulullah s.a.w. bersabda kepada mereka:
“Sesungguhnya aku melihat sambutan daripada kamu. Aku tidak hadir pada malam itu
hanya kerana takut solat itu diwajibkan ke atas kamu.”
Jika solat Tarawih itu difardhukan, tentulah sangat memberati umat Islam.
"Rasulullah s.a.w. telah bersolat dengan kami di bulan Ramadhan lapan rakaat dan witir.
Maka pada malam berikutnya kami telah berkumpul di masjid, dan kami mengharapkan
baginda keluar tetapi baginda tidak turun di masjid sehinggalah waktu Subuh. Kemudian
kami masuk menemuinya dan kami berhimpun di masjid dan mengharapkan Rasulullah
s.a.w. bersolat dengan kami." Maka baginda bersabda: "Sesungguhnya aku takut ia (solat
Tarawih) diwajibkan ke atas kamu."
Pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab, semakin ramailah umat Islam mengamalkan
solat sunat Tarawih ini. Menurut Abdul Rahman bin Ubaid Al-Qari, pada suatu malam di
bulan Ramadhan, beliau pergi ke masjid bersama Khalifah Umar Al-Khattab.
Pada malam berikutnya mereka mengerjakan solat Tarawih dengan seorang imam.
Khalifah Umar berkata: “Ini termasuk bid’ah yang baik; tetapi orang yang tidur mendapat
pahala lebih besar daripada mereka yang beramai-ramai bersolat tarawih itu.” Maksud
Khalifah Umar, orang yang mengerjakan solat Tarawih pada akhir malam (setelah tidur
lebih dahulu) mendapat pahala yang lebih besar daripada yang solat Tarawih pada awal
malam.
Bid’ah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar ialah bahawa solat Tarawih itu hendaklah
dikerjakan secara berjamaah dengan pimpinan seorang imam yang baik bacaannya.
Sayidina Umar sebenarnya hanya mengulangi apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
pada ketika mula-mula solat Tarawih itu disyari’atkan. Baginda terpaksa
memberhentikan cara yang demikian pada malam yang ketiga, kerana takut ibadat solat
Tarawih itu diwajibkan kepada umatnya.
Di samping mengamalkan ibadat puasa yang diwajibkan, umat Islam digalakan dan
disuruh dengan mengerjakan berbagai ibadat sunat yang ditawarkan sepanjang bulan
Ramadan yang diberkati Allah itu. Di antaranya yang utama sekali ialah ibadat Solat
Sunat Tarawih; dan seterusnya solat-solat Qiamullail (Tahajjud, Hajat, Tasbih), membaca
Al-Quran, berzikir dan seumpamanya.
Allah SWT mengurniakan satu keistimewaan lagi iaitu malam “Lailatul-Qadr” pada salah
satu malam sepanjang bulan Ramadhan itu. Seperti yang tersebut di dalam Al-Quran,
surah Al-Qadr, mereka yang beribadat pada malam tersebut akan diberi pahala ganjaran
seperti beribadat 1,000 bulan (83 tahun).
Fadhilat, kelebihan dan pahala yang paling besar dikurniakan Allah S.W.T daripada
berbagai ibadat itu ialah solat sunat Tarawih. Sabda Rasulullah s.a.w. yang ertinya:
“Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam hari di bulan Ramadhan dengan
penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.”
Hukum solat Tarawih ialah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang
Islam lelaki dan perempuan. Oleh kerana itu keadaannya menjadi penyempurna bagi
ibadat puasa yang wajib dan memang banyak pahalanya. Mereka yang mengerjakan
ibadat puasa tetapi tidak mengerjakan solat sunat Tarawih pada malamnya, seolah-olah
menjadi tawar dan hambar; berjaya tetapi tidak cemerlang. Sesungguhnya sangatlah
ruginya mereka yang berpuasa Ramadhan tetapi tidak melengkapkannya dengan solat
sunat Tarawih
Sahaja aku Solat Sunat Tarawih dua rakaat kerana Allah Ta'ala
Sahaja aku solat sunat Tarawih dua rakaat(Imam atau makmum) kerana Allah Ta'ala
Sebagaimana yang diamalkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w., solat sunat Tarawih boleh
dikerjakan dengan bersendirian atupun secara berjemaah di masjid atau surau. Telah
sepakat pendapat ulama bahawa adalah lebih afdhal solat sunat Tarawih itu dikerjakan
dengan berjemaah.
Rasulullah s.a.w. pada mulanya mendirikan solat sunat Tarawih di Masjid Nabawi
dengan berjemaah. Pada malam yang keduanya, baginda dapati sambutan begitu ramai
dari para sahabat, sehingga baginda merasa bimbang kalau umat Islam kelak
menganggaap solat Tarawih itu sebagai wajib.
Ternyata benar pada malam ketiganya menjadi bertambah ramai para sahabat yang
berhimpun di Masjid Nabawi untuk mengerjakan solat sunat Tarawih berjamaah bersama
Rasulullah s.a.w. Tetapi baginda tidak mahu hadir, kerana bimbang umat Islam akan
menganggap ibadat solat itu sebagai wajib, bukan kerana tidak mahu berjemaah.
Pada zaman pemerintahan Khalifah Sayidina Umar Al-Khattab, beliau merasa tidak
senang hati melihat umat Islam berkelompok-kelompok di sana sini di dalam Masjid
Nabawi mendirikan solat sunat Tarawih. Beliau lalu berusaha menyatukan mereka
supaya mendirikan solat sunat Tarawih itu dalam satu sahaja jamaah yang lebih besar dan
bersatu, dengan diimamkan oleh seorang yang baik bacaannya.
Perubahan yang dibawa oleh Khalifah Sayidina Umar Al-Khattab itu tidak mendatangkan
anggapan bahawa solat Tarawih itu sebagai wajib. Demikian juga bilangan rakaat dari
lapan rakaat menjadi dua puluh rakaat tidak dianggap memberatkan mereka. Ini
disebabkan pada zaman pemerintahan Khalifah Sayidina Umar itu, keadaan keilmuan
agama telah semakin luas dan mendalam, dan suasana mayarakat umat Islam telah stabil.
Mereka telah cukup memahami bahawa solat Tarawih itu hukumnya sunat muakkad
(sunat yang dikuatkan), bukan fardhu atau wajib. Demikian juga mereka mengamalkan
solat sunat Tarawih dua puluh rakaat memandangkan faedah dan kelebihan pahalanya
yang amat besar