Anda di halaman 1dari 7

Pembinaan, Perkembangan dan Kemerosotan Tamadun

Date: Saturday, August 06 @ 03:13:46 MYT


Topic: Pendidik

Lahir, berkembang dan merosot yang menjadi fitrah tamadun manusia tidak sukar
difahami kerana tamadun itu sendiri adalah rakaman perjalanan hidup manusia. Manusia
yang sentiasa memerhatikan perjalanan dirinya akan segera dapat memahami usia tidak
pernah bertahan pada suatu peringkat biologi.

Pembinaan, Perkembangan dan Kemorosotan Tamadun Munif Zariruddin Fikri Nordin


Apakah yang wujud di dalam sesebuah tamadun, dan apakah kandungan dan pengisian
tamadun itu? Inilah antara persoalan penting yang sering kali didebatkan dalam wacana
tamadun semenjak daripada zaman Ibn Khaldun menerusi karya agungnya Muqaddimah
sehingga hari ini. Sesungguhnya penelitian pada apa yang wujud dan apa yang terkandung
di dalam sesebuah tamadun adalah penelitian pada pembinaan, perkembangan dan
kemerosotan tamadun kerana bangun dan jatuhnya sesuatu tamadun itu sangat dipengaruhi
oleh asas dan sumber yang mendasari pembinaannya, hubungan-hubungan yang
menghasilkan pembangunan itu, serta aspek-aspek yang diberi penekanan dalam
perkembangan dan juga kemerosotannya. Lahir, berkembang dan merosot yang menjadi
fitrah tamadun manusia tidak sukar difahami kerana tamadun itu sendiri adalah rakaman
perjalanan hidup manusia. Manusia yang sentiasa memerhatikan perjalanan dirinya akan
segera dapat memahami usia tidak pernah bertahan pada suatu peringkat biologi. Manusia
bertukar daripada peringkat bayi kepada peringkat kanak-kanak, peringkat remaja,
peringkat dewasa sehinggalah ke peringkat tua. Apa yang berlaku kepada manusia
sebenarnya menggambarkan apa yang berlaku kepada tamadun. Tamadun mengalami saat
kelahiran, saat perkembangan, saat kecemerlangan dan diakhiri dengan saat kemerosotan
sama seperti apa yang dialami oleh manusia. Analogi ini menjadi lebih ironi lagi kerana
yang melahirkan tamadun itu ialah manusia, yang mengembangkan tamadun juga
manusia, malah yang membawa kepada kemerosotan tamadun juga manusia. Tepat sekali
pandangan Ibn Khaldun (2000) manusia adalah agen tamadun serta pandangan Malek
Bennabi (1992) yang menganggap manusialah yang menjadi unsur terpenting bagi
tamadun. Watak-watak yang ditonjolkan oleh manusia adalah watak-watak yang dengan
sendirinya menentukan pembinaan, perkembangan dan kemerosotan tamadun. Model-
Model Tamadun Perbincangan dan penilaian yang objektif tentang bangun dan jatuh
sesebuah tamadun manusia sangat bergantung kepada kerangka model atau teori
perkembangan tamadun. Oleh yang demikian, dalam bahagian ini, empat model
perkembangan tamadun akan dikemukakan. Model pertama ialah model tiga tahap
perkembangan kerajaan atau organisasi sosial yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun (1332-
1406) iaitu (Wan Hashim 1997: 75-76: a. Tahap awal atau kelahiran yang dicirikan oleh
perasaan kekitaan atau asabiyah bagi memenuhi keperluan asas, dan kemudiannya
diperkukuhkan oleh peranan agama. b. Tahap kehidupan menetap atau bertamadun yang
dicirikan oleh kelahiran sistem pemerintahan yang membawa kepada pertumbuhan bandar
dan memberi kesan kepada stratifikasi sosial. c. Tahap lemah atau kejatuhan yang
dicirikan oleh konflik politik dan krisis ekonomi sehingga membawa kesan kepada
stratifikasi sosial dengan peningkatan kemewahan dan kelunturan semangat kekitaan.
Model Ibn Khaldun ini yang dikenali juga sebagai ‘teori kitaran’ kemudiannya
dikembangkan pula oleh Arnold Toynbee (1889-1979) dalam bukunya A Study of
History. Toynbee sependapat dengan Ibn Khaldun bahawa agama dan stratifikasi sosial
memainkan peranan penting dalam melanjutkan hayat sesuatu tamadun. Toynbee juga
membuat penambahan apabila secara khusus memperincikan lagi tahap ketiga model ini
dengan membahagikannya kepada tiga subfasa iaitu (Wan Hashim 1997: 77: -Keretakan
-Perpecahan -Kejatuhan Model ketiga ialah model yang diketengahkan oleh Malik
Bennabi (1905-1973). Menurut Wan Hashim (1997: 78), Malik juga dapat dianggap
terpengaruh dengan teori kitaran Ibn Khaldun. Walau bagaimanapun, beliau berjaya
membentuk skemanya yang tersendiri yang berbeza dengan Ibn Khaldun hasil
penelitiannya terhadap tahap-tahap perkembangan sejarah tamadun Islam. Justeru, Malik
membahagikan teorinya juga kepada tiga tahap iaitu: a.Tahap masyarakat pra-tamadun
(Mujtama‘ qabl al-hadari) iaitu pandangan yang belum mantap terhadap aspek-aspek
kebendaan, idea dan kemanusiaan. Ciri-cirinya ialah seperti penyembahan berhala,
semangat kabilah yang kuat, diskriminasi gender dan keterbatasan interaksi sosial seperti
yang wujud dalam kehidupan jahiliah pra-Islam. b.Masyarakat bertamadun (Al-Mujtama‘
al-mutahaddir) iaitu kelahiran peringkat awal budaya baru berteraskan Islam. Ciri-cirinya
ialah seperti perluasan hubungan silaturahim, kerjasama dan interaksi sosial, cetusan idea-
idea intelek, sistem politik, ekonomi dan sosial seperti yang ditonjolkan dalam kehidupan
pasca-hijrah Muhajirin dan Ansar. c. Masyarakat pasca-tamadun (Mujtama‘ ba‘d al-
hadari) iaitu peringkat kejatuhan setelah meniti kejayaan cemerlang. Ciri-cirinya ialah
kebekuan idea, pemusatan kuasa dan kepentingan, penyelewengan agama serta kecintaan
terhadap kekayaan material dan kemewahan. Model keempat ialah model Ali Shariati
(1933-1977). Menurut Ali Shariati (1979), ada dua perkara yang penting dalam
perkembangan tamadun, dan kedua-dua perkara tersebut berada dalam diri manusia.
Pertama ialah penghijrahan manusia dari tempat asal ke tempat baru. Dalam sejarah dua
puluh tujuh tamadun manusia, tidak ada tamadun yang lahir dan berkembang di kalangan
masyarakat primitif yang tidak pernah berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
(Ali 1979: 44) Kedua, peranan manusia dalam menentukan nasib dan masa depan
hidupnya. Dengan akal fikiran dan tenaga, manusia bertanggungjawab menguruskan diri
dan masyarakat, mengubah keadaan yang tidak baik kepada baik berpandu bimbingan
daripada asas dan sumber Islam. (Ali 1979: 48-9) Keempat-empat model yang
dikemukakan ini masing-masing meneliti dengan mendalam ciri-ciri yang wujud dalam
setiap tahap tamadun. Ciri-ciri yang dimaksudkan itu mencakupi kandungan tamadun,
hubungan-hubungan dalam tamadun serta faktor-faktor yang mempengaruhi bangun dan
jatuhnya sesebuah tamadun manusia yang akan dibincangkan di dalam bahagian-bahagian
seterusnya. Kandungan Tamadun Menurut Ali Abdul Halim Mahmud (1994:19) seorang
ulama al-Azhar kontemporari, Ibn Khaldun menyediakan suatu mekanisme penting untuk
menilai kandungan apa yang dikatakan tamadun, iaitu sesuatu pencapaian hanya akan
dianggap sebagai tamadun apabila perkara-perkara yang berkaitan dengan asas
(daruriyyah) dan keperluan (hajiah) telah disempurnakan. Ini bermakna tamadun ialah
suatu peringkat penyempurnaan (tahsinat) yang melengkapkan segala perkara yang
diperlukan oleh manusia. Oleh yang demikian, isu utama yang dibincangkan dalam
wacana tamadun oleh para pemikir daripada pelbagai disiplin sains sosial sejak peringkat
awal manusia mengenali ‘pengajian tamadun’ ialah perkara-perkara yang diperlukan oleh
manusia pada tahap-tahap tamadunnya yang tertentu. Trend ini dapat ditelusuri melalui
karya-karya yang ditulis baik oleh Ibn Khaldun sendiri sehinggalah ke hari ini. Malahan
pertembungan tamadun yang digembar-gemburkan sebagai kemuncak kepada sejarah
dunia pada penghujung abad kedua puluh jika benar-benar berlaku adalah merujuk kepada
perbezaan yang wujud antara sebuah tamadun dengan tamadun yang lain. Pada prinsipnya,
seperti yang telah dibincangkan di dalam Pelajaran 1 sebelum ini iaitu sekalipun terdapat
perbezaan takrif dan konsep tamadun di antara perspektif Islam dan perspektif Barat
dalam memberi penekanan terhadap aspek kebendaan dan kerohanian, namun secara
umum, terdapat persamaan antara kedua-dua perspektif ini. Yang dimaksudkan persamaan
di sini ialah pengiktirafan tamadun sebagai pencapaian yang tinggi bagi aspek tertentu
dalam kehidupan yang merangkumi aspek agama, moral, sastera, estetika dan juga
pencapaian sains dan teknologi. Dengan demikian, dapat dikatakan keseluruhan
pengkajian tamadun berkisar tentang rangkaian fenomena masyarakat manusia seumpama
negara, bandar, sistem sosial, huruf, seni, seni bina, bangunan, agama, undang-undang dan
rangka dasar politik. Fenomena-fenomena ini daripada sudut pembahagiannya terdiri
daripada dua bentuk iaitu fenomena material dan fenomena spirituil. Pada tahap paling
minimum, kandungan tamadun sekurang-kurangnya terdiri daripada enam ciri asas (Wan
Hashim 1997: 88-9) iaitu: a. Mempunyai kehidupan di bandar. b. Mempunyai sistem
pemerintahan dan kerajaan. c. Mempunyai bahasa dan tulisan. d. Mempunyai sistem
perundangan. e. Mempunyai agama dan sistem kepercayaan. f. Mempunyai pengkhususan
dalam pekerjaan. Hubungan-Hubungan dalam Tamadun Yang dimaksudkan dengan
hubungan-hubungan dalam tamadun ialah kekuatan-kekuatan yang terbentuk di sebalik
elemen-elemen penting dalam tamadun. Di antara banyak hubungan, hubungan yang
paling dominan ialah agama, ketenteraan dan pasaran. (Shaharom 2000) Ciri setiap
hubungan ini berbeza antara satu sama lain, dan masing-masing mempunyai kekuatan dan
keistimewaannya yang tersendiri. Daripada sudut pemerkasaan tamadun (empowerment of
civilizations), hubungan-hubungan ini sangat berpengaruh dan relatif sehingga dapat
dianggap sebagai ‘kuasa’ yang memberi kekuatan kepada tamadun. Hubungan-hubungan
tamadun ini juga dalam keadaan-keadaan tertentu dapat mencetuskan persaingan sengit
antara tamadun-tamadun manusia. Agama dan Tamadun Dalam pengertian yang lazim
difahami, agama ialah kepercayaan pada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan
penerimaan ajaran dan perintah-Nya (Kamus Dewan 1998). Secara fitrahnya, agama dan
kepercayaan bukan hanya merupakan perkara asas yang wujud dalam diri setiap manusia,
tetapi juga sudah menjadi keperluan kepada manusia. Faktor-faktor yang mendorong
manusia beragama adalah faktor-faktor semula jadi yang bersumberkan diri manusia
sendiri iaitu seperti rasa takut yang membawa kepada kecenderungan untuk mendapatkan
keselamatan dan perlindungan daripada Tuhan. Dalam hubungan agama dan tamadun,
jatuh bangunnya sesebuah tamadun atau kerajaan adalah selari dengan jatuh bangunnya
sesuatu agama. Menurut Ismail Yusoff (2001: 147) yang memetik pandangan Smith
(1927) dalam In the Beginning: The Origin of Civilization, kepelbagaian nasib politik
adalah dimanifestasikan oleh kepelbagaian perkembangan agama. Contohnya, tamadun
Barat dipengaruhi oleh agama Kristian, tamadun Timur Tengah, Rusia dan China
kebanyakannya dipengaruhi oleh agama Islam dan tamadun Asia Tengah oleh pengaruh
Hindu dan Budha. Agama juga mempunyai hubungan fungsi dengan unsur tamadun yang
lain seperti moral, etika, ekonomi, undang-undang estetika dan sains. Lazimnya, agama
mengajar manusia melaksanakan perkara-perkara yang positif dalam kehidupan seperti
berusaha, amanah, sabar dan sebagainya yang dapat melahirkan tamadun manusia. (Ismail
2001: 147) Secara perbandingan antara perspektif tamadun Islam dan Barat, terdapat
persamaan dalam menilai hubungan agama dan tamadun. Bagi tamadun Islam, agama
menjadi asas yang melambangkan citra tamadun itu sendiri, atau dengan kata lain,
tamadun Islam ialah tamadun agama dan bukannya tamadun bangsa atau tamadun
wilayah. Tamadun Barat juga menganggap agama sebagai satu daripada unsur utama
tamadun manusia seperti yang ditegaskan oleh Samuel P. Huntington (1996) yang cukup
kontroversi dengan teori pertembungan tamadun Islam dan Barat. Ketenteraan dan
Tamadun Hubungan ketenteraan dan tamadun bukanlah suatu hubungan yang baru dalam
sejarah tamadun manusia. Menurut Wan Abdul Rahman Latif (1996: 22), keterbatasan
keupayaan dan ketiadaan kepakaran yang tinggi mendorong manusia menggunakan
kekerasan bagi mencapai kemahuannya. Kekuatan fizikal dan keberanian banyak
mempengaruhi seseorang itu menggunakan kekerasan terhadap orang lain. Dalam budaya
Melayu, kekuatan baik bersifat fizikal, emosi dan material memang pernah menjadi
mekanisme penguasaan antara sesama manusia. Ini terbukti dengan kewujudan ungkapan
seperti ‘siapa kuat dialah kudrat’. Penggunaan ketenteraan atau militer pada peringkat
yang lebih besar semakin ketara apabila berlakunya persaingan dan perebutan kuasa pada
peringkat intratamadun dan antara tamadun. Persaingan antara negara-negara Eropah yang
melibatkan Portugis, Sepanyol, Perancis, Itali, Belanda dan Inggeris dalam gerakan
imperialisme dan kolonialisme dapat disifatkan sebagai persaingan intratamadun.
Manakala persaingan antara tamadun Barat dan tamadun Islam dalam siri Perang Salib
pula dapat dianggap sebagai persaingan antara tamadun. Daripada sudut kesan hubungan
kuasa ketenteraan dan perkembangan tamadun, ketenteraan lebih banyak meninggalkan
nilai-nilai negatif berbanding nilai-nilai positif. Hakikat ini tidak dapat dinafikan lagi
apabila kuasa ketenteraan sering kali membawa kepada peperangan, dan balas dendam
akibat daripada penggunaan elemen-elemen pembunuhan, penyeksaan, penindasan,
penganiayaan, kekejaman dan paksaan dalam interaksi ketenteraan. Dalam sejarah dunia
moden, Perang Dingin antara Amerika dan Rusia sebagai contoh meninggalkan kesan
moral dan kemanusiaan yang kekotorannya terpalit bukan sahaja di bumi kedua-dua
negara tersebut, tetapi juga di negara-negara lain sehingga wujud blok demokrasi dan blok
komunis. Perang saudara yang sering kali meletus di negara-negara dunia ketiga seperti
Afghanistan dan Ethiopia juga tidak menjadi penyelesaian kepada masalah-masalah yang
dihadapi oleh negara-negara keadaan. Justeru, pada prinsipnya, sebagai tamadun yang
mengutamakan nilai-nilai kesejahteraan, tamadun Islam tidak menggunakan ketenteraan
sebagai kuasa utama dalam perluasan wilayahnya. Penggunaan ketenteraan dalam
tamadun Islam adalah untuk tujuan mempertahankan diri, dan peperangan seboleh-
bolehnya cuba dielakkan melalui rundingan dan perdamaian. Perluasan tamadun Islam
dari Tanah Arab ke Mesir pada zaman kerajaan Umayyah yang diketuai oleh Amru bin
al-‘As sebagai panglima bukan bererti perluasan menggunakan mata pedang tetapi
disifatkan sebagai ‘pembukaan’ yang berlaku dengan penuh keharmonian dan
penghormatan terhadap nilai-nilai kemanusiaan. Pasaran dan Tamadun Kegiatan ekonomi
menjadi sebahagian daripada kegiatan dalam interaksi manusia dengan alam. Kegiatan
ekonomi mengiringi pertumbuhan bandar, pertambahan penduduk, penempatan,
stratifikasi sosial, sistem politik, sistem sosial dan sebagainya dalam kerangka tamadun.
Dalam tamadun klasik, pasaran dalam perdagangan lebih bersifat memenuhi keperluan-
keperluan tempatan. Tetapi perkembangan demi perkembangan yang dicapai oleh manusia
khususnya yang berasaskan teori-teori ekonomi Barat sama ada ekonomi konvensional
atau ekonomi moden, telah mengubah peranan pasaran sehingga menjadi kuasa dalam
tamadun. Dengan kata lain, transformasi telah berlaku dalam peranan pasaran sehingga
pasaran dapat menentukan jatuh bangunnya tamadun serta dapat menentukan pengaruh
dan sumbangan sesuatu tamadun terhadap tamadun yang lain. Namun begitu, kuasa
pasaran sendiri sekalipun berjaya menyatukan ideologi politik manusia yang berbeza
seperti yang cuba dicapai melalui globalisasi (Mittelman 1999), tetapi sebenarnya didasari
oleh kebebasan nilai yang relatif sifatnya. Sebagai contoh norma kedaulatan pengguna
Barat menafikan apa-apa campur tangan agama untuk mengenakan sekatan terhadap
penggunaan sesetengah barangan. Pasaran Barat juga menggunakan metode objektif
dengan tidak menerima mana-mana dalil metafizik dan menyingkirkan pertimbangan nilai
dengan menganggapnya sebagai tidak saintifik dan tidak dapat disahkan. (Abd. Mumin
1993: 138-9) Akibat daripada penekanan yang berlebihan terhadap ‘consumerism’ dan
langsung mengabaikan nilai-nilai moral, manusia yang dibentuk oleh pasaran Barat tidak
menerima hakikat manusia mempunyai keperluan material dan spirituil bagi mencapai
kepuasan pasaran sebenar. Pasaran Barat menganggap seseorang itu pada asasnya
memang individualistik secara semula jadi dan tidak perlu mempedulikan orang lain.
(Abd. Mumin 1993: 1-36) Penilaian terhadap hubungan-hubungan tadi dengan jelas
menunjukkan agama adalah elemen yang paling sejahtera kerana membawa kepada
kerahmatan kepada manusia berbanding hubungan-hubungan lain. Agama menjadi elemen
induk yang menaungi hubungan-hubungan lain termasuk budaya. Kuasa agama dalam
tamadun mampu menyatukan bangsa-bangsa di dunia dengan penuh kedamaian
berbanding kuasa ketenteraan yang lebih banyak menyaksikan peperangan, kematian dan
penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh manusia, serta kuasa pasaran yang lebih
menonjolkan ciri-ciri persaingan individualistik dan materialistik. Faktor Pembinaan,
Perkembangan dan Kemerosotan Tamadun Manusia Berdasarkan kajian mengenai model
dan teori kerangka tamadun yang diketengahkan oleh beberapa orang tokoh pemikir dalam
ilmu sejarah dan sosiologi abad ke-20 dan sebelumnya, beberapa rumusan tentang
perkembangan dan kemerosotan tamadun manusia dapat disenaraikan seperti yang
berikut: Pegangan kepada Agama Faktor ini amat signifikan dengan tamadun Islam yang
memang merupakan tamadun agama. Rasulullah SAW sendiri pernah menyebutkan hal ini
secara terang dan nyata di dalam hadis baginda: “Aku tinggalkan kepada kamu dua
perkara yang sekali-kali kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang kepada kedua-
duanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah nabi-Nya.” - riwayat Malik. Semangat Kerjasama
yang Tinggi dan Rasa Kekitaan (asabiyyah) Bagi tamadun Islam, faktor ini diasaskan
kepada akidah, syariah dan akhlak dengan bersumberkan al-Quran dan sunah. Bagi
tamadun Barat pula, ideologi dan doktrin menjadi asas kepada faktor ini dengan
bersumberkan nilai dan norma budaya tempatan. Keselesaan Hidup dan Kemewahan
Dalam banyak keadaan, faktor ini menanamkan di dalam jiwa manusia sifat-sifat negatif
seperti lalai, ego, materialistik dan individualistik tanpa mengambil kira kepentingan
manusia lain. Dalam mengawal keselesaan hidup dan kemewahan daripada menyeleweng,
tamadun Islam mewujudkan institusi zakat supaya wujud tanggungjawab keselesaan dan
kemewahan merupakan hak yang tidak kekal dan mesti dikongsi bersama dengan orang
lain. Kepimpinan dan Politik Faktor ini merujuk kepada personaliti dan ketokohan
pemimpin serta bentuk pemerintahan yang digunakan. Rasulullah SAW adalah contoh
terbaik dalam perkara ini sehingga membawa kepada kelahiran dan perkembangan
tamadun Islam. Bentuk pemerintahan yang berasaskan agama mampu bertahan lama
berbanding bentuk pemerintahan yang berasaskan pengalaman dan pengkajian manusia
seperti komunisme dan sosialisme. Ekonomi Faktor ini sangat mempengaruhi
perkembangan sosial dan politik. Ekonomi yang diasaskan di atas asas dan prinsip yang
baik mampu membangunkan tamadun serta memberi kesejahteraan kepada hidup manusia.
Sistem ekonomi yang dapat mengimbangi kemajuan dari sudut material dan spirituil
adalah sistem ekonomi yang wujud dalam kerangka tamadun Islam. Hijrah Dalam
pengertian objektif hijrah ialah perpindahan secara fizikal daripada suatu tempat ke suatu
tempat yang lain. Dari sudut subjektif, hijrah ialah transformasi sikap, cara hidup, budaya,
amalan, prinsip dan sebagainya yang tidak membawa kemajuan kepada yang membawa
kemajuan. Dalam hal ini, muhasabah menggunakan mekanisme agama sangat-sangat
penting. Penutup Model-model yang dikemukakan di dalam pelajaran ini bukanlah
bersifat teoretikal semata-mata. Berpandukan nas-nas al-Quran dan hadis, jelas sekali
faktor-faktor yang membawa kepada kelahiran, perkembangan dan kemerosotan tamadun
seperti yang dibincangkan di dalam pelajaran ini adalah faktor-faktor yang sama yang
dipaparkan oleh kedua-dua sumber tersebut melalui perjalanan sejarah tamadun umat
silam. Latar belakang dan perjalanan sejarah tamadun umat silam sebenarnya menjadi
sebahagian daripada inti sari penting kandungan al-Quran. Oleh itu, apa yang berlaku
dalam ruang lingkup kosmologi tamadun umat silam kesemuanya bersifat fungsional iaitu
menjadi rujukan dan pengajaran kepada umat Nabi Muhammad SAW dalam rangka
memperkukuhkan sifat ‘ubudiyyah atau perhambaan kepada Allah SWT. (Abdul Rahman
2000: 217) Dari perspektif ini, falsafah al-Quran ternyata mengajak manusia menjadikan
sejarah sebagai rujukan paling baik dalam menilai perjalanan tamadunnya. Pegangan
agama ternyata menjadi faktor paling penting yang menentukan pembinaan,
perkembangan dan kemerosotan tamadun manusia. Pada umumnya, agama bukan hanya
membekalkan kepada manusia nilai-nilai ketuhanan, tetapi turut membekalkan peraturan-
peraturan sebagai panduan kepada manusia dalam konteks hubungan kemanusiaan. Di
samping itu, agama juga menyediakan bimbingan kerohanian dan pengisian emosi supaya
manusia dapat menjalankan fungsinya sebagai khalifah dengan sebaik-baiknya, dan
seterusnya menepati ciri-ciri madani yang secara fitrah telah sedia wujud dalam dirinya.
This article comes from PTS Publications & Distributors Sdn Bhd
http://www.pts.com.my

The URL for this story is:


http://www.pts.com.my/modules.php?name=News&file=article&sid=376

Anda mungkin juga menyukai