Anda di halaman 1dari 6

Modal Insan Pemangkin Negara 

maju

Pembangunan infrastruktur moden dan canggih yang. dinikmati negara ini tidak membawa
makna sekiranya pembangunan modal insan diketepikan. “Dalam konteks dunia global, modal
insan bermutu tinggi satu keperluan, bukan lagi kemewahan”. Demikianlah di  antara ungkapan
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Rancangan
Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Selepas 49 tahun merdeka, kerajaan tetap memberi penekanan kepada pembangunan modal insan
bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing pada masa depan, khususnya ketika menjadi
negara maju menjelang 2020. Seperti beberapa dasar terdahulu yang dikemukakan Perdana
Menteri, iaitu Islam Hadhari dan pelan integriti nasional, pembangunan modal insan dalam
RMK-9 juga dirangka supaya bersifat holistik, menyeluruh dan bersepadu.

Dengan kata lain, pembangunan modal insan dalam RMK-9 turut memberi tumpuan kepada
aspek keinsanan yang terbina menerusi falsafah hidup, agama dan moral. Modal insan diperlukan
mempunyai ciri yang memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara
dan dunia. Ciri-ciri inilah yang terangkum dalam gagasan minda kelas pertama. 

Perdana Menteri  telah mengklafikasikan ciri-ciri minda kelas pertama yang meranngkumi  aspek


pendidikan, pengetahuan, dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Pembangunan minda kelas
pertama memerlukan persekitaran mesra ilmu, prointelektual dan berasaskan
pencapaian.  “Minda kelas pertama tidak terbentuk dalam persekitaran sinonim dengan budaya
hedonisme, ampuisme dan rasuah. Minda kelas pertama tidak bercambah jika ukuran ilmu hanya
diasaskan kepada jenis sijil dan tahap kelayakan akademik.

Dalam persekitaran merangsang pembangunan minda kelas pertama, ukuran ilmu dan
pencapaian ialah kegigihan, iltizam, sumbangan konkrit dan gaya hidup berasaskan kepentingan
nilai ilmu”. Antara definisi yang agak  komprehensif tentang modal insan ialah definisi yang
ditampilkan oleh Aini Jaafar, Pakar Perunding Kaunseling UIAM. Beliau mentakrifkan modal
insan sebagai :“Suatu istilah ekonomi yang baru. Dari istilah ini juga jelas ia menggambarkan
daripada fahaman kapitalisme. Dengan itu manusia hanya dilihat sebagai buruh dan pengusaha.
Perubahan dan kemajuan yang dicapai oleh dunia secara keseluruhannya, membuatkan pakar
ekonomis melihat manusia mempunyai kualiti yang lebih dari sekadar buruh atau pun
pengusaha. Kualiti ini pula dilihat dari sudut aset”. 

Beliau juga menyatakan manusia adalah suatu sumber yang sungguh besar dalam mengaktifkan
segala kegiatan ekonomi. Setakat ini, belum ada pihak yang dapat menentukan secara spesifik
´extent´ (tahap) kemampuan sumber itu. Maklumat terkini hanya menunjukkan betapa ´varified´
(pelbagainya) kemampuan manusia. Walau bagaimanapun, dalam konteks ekonomi, kepentingan
sumber manusia dilihat secara perbandingan, iaitu dengan sumber semula jadi lain seperti tanah,
hasil galian, dan pelbagai sumber kekayaan semula jadi lain lagi. Semua ini tidak akan berfungsi
dan bermakna, sekiranya usaha manusia tidak dilibatkan secara langsung, aktif dan inovatif.  

“Dengan itu, manusia dilihat sebagai suatu jenis modal yang dinamakan sebagai modal insan,
iaitu sebagai suatu aset tenaga yang sungguh penting dan bermakna kepada kegiatan ekonomi,
pembangunan negara, mahupun kemajuan bangsa dan ummah. Modal ini perlu digerudi,
dibangunkan dan diuji bagi menentukan kemampuannya sebelum memanfaatkannya,” ujar
beliau.          

 Justeru, kerajaan menerusi RMK-9 bakal melaksanakan program pembangunan modal insan itu
secara bestari, merangkumi pemerolehan ilmu pengetahuan serta kemahiran atau modal intelek
yang praktikal.

Pendekatan strategik yang bakal digunakan termasuk keupayaan keusahawanan, pengetahuan


sains dan teknologi, memiliki sikap, nilai dan etika positif serta progresif menerusi pendidikan
dan latihan. Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merangkap
Ketua Pegawai eksekutif Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, Prof Dr.
Shamsuddin Abdul Rahim, menjelaskan bahawa pembangunan modal insan penting sebagai
pengisian utama di kalangan remaja dan belia khususnya pelajar masa kini. “Mencapai
kemerdekaan hanyalah permulaan.
Bagi memastikan negara terus maju, penekanan terhadap modal insan di kalangan remaja dan
belia perlu ditekankan dalam semua aspek kerana merekalah generasi pelapis”.  “Pendedahan
dan pendidikan mengenai kemanusiaan yang mengetepikan prejudis, ekstremis, individualistik
dan sebagainya, dan diganti dengan toleransi dan sebagainya, perlu diteruskan bersesuaian
dengan tahap ketinggian ilmu yang mereka sedang pelajari. Begitu juga dengan aspek patriotik,
kroni, ataupun amalan rasuah kolar putih, boleh didedahkan kepada mereka dengan menyelami
secara menuding ke arah diri sendiri”.  

Pembangunan modal insan di kalangan remaja dan belia juga perlu diseimbangkan supaya tidak
pihak terpinggir. “Kecenderungan kini adalah menumpukan kepada pemulihan golongan belia
bermasalah atau meraikan belia cemerlang dengan pelbagai insentif, berbanding usaha
memajukan golongan majoriti belia yang mungkin tidak menonjol kerana kurang bimbingan
untuk memaksimumkan keupayaan,” ujar Shamsuddin lagi.           

Shamsudin menjelaskan bahawa pendekatan paling wajar ke arah merealisasikan kelahiran insan
kelas pertama ini ialah pemerolehan ilmu pengetahuan sepanjang hayat. “Usaha murni ini
tentunya perlu bermula pada peringkat awal lagi iaitu seawal sekolah rendah. Pastinya nanti
pembaharuan dalam sistem pendidikan negara secara berperingkat-peringkat itu bakal
melahirkan insan yang serba boleh lagi berketerampilan. Hal demikian dapat dilakukan apabila
sistem pendidikan jangan terlalu menekankan keputusan cemerlang, gemilang dan terbilang
dalam peperiksaan”.

 “Kecemerlangan pelajar harus dilihat daripada semua aspek mencakupi sahsiah, rupa diri hingga
kepada pencapaian akademik dan aktiviti kokurikulum. Bagi maksud ini, memang wajar guru
diberi pendedahan dan kursus intensif untuk mendapatkan pendekatan baru bagi menggiatkan
bidang berkenaan”. Beliau turut menyentuh isu masalah remaja yang terbabit dengan
vandalisme, penagihan dadah, salah laku, dan samseng memerlukan penerapan nilai murni dalam
kegiatan di luar bilik darjah supaya nanti anak didik ini menjadi warga yang tahu menghormati
hak orang lain khususnya ketika di jalan raya. “Apa yang perlu  kita lihat ialah pendidikan secara
menyeluruh dan lengkap atau disebut sebagai holistik. Pendidikan tidak harus dilihat semata-
mata untuk kepentingan peperiksaan. Penimbaan ilmu secara berterusan pastinya dapat menjana
kelahiran modal insan bertaraf minda kelas pertama”. 

“Minda kelas pertama tidak terbentuk dalam persekitaran sinonim dengan budaya hedonisme,
ampuisme dan rasuah. Minda kelas pertama tidak bercambah jika ukuran ilmu hanya diasaskan
kepada jenis sijil dan tahap kelayakan akademik. Dalam persekitaran merangsang pembangunan
minda kelas pertama, ukuran ilmu dan pencapaian ialah kegigihan, iltizam, sumbangan konkrit
dan gaya hidup berasaskan kepentingan nilai ilmu,” tambah beliau lagi. 

Sehubungan itu, inisiatif RMK-9 untuk meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan
berkualiti pada semua peringkat perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Inisiatif ini diharap dapat
membuka mata dan minda agar lebih proaktif, dinamik dan berpengetahuan untuk melakukan
pembaikan dan inovasi, di samping pemantapan asas akhlak dan keinsanan yang kukuh. Inisiatif
lain seperti melahirkan institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa juga perlu dirangka dalam
perspektif minda kelas pertama. 

Samsuddin menambah, sesebuah universiti ternama bukan hanya pada nama, sejarah dan
bangunan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan dan peralatan canggih tetapi insan di
dalamnya perlu mempunyai kekuatan fizikal, mental dan rohani. Penguasaan ilmu pengetahuan
dalam pelbagai bidang sains dan teknologi serta kemanusiaan membolehkan Malaysia membina
satu tamadun yang disegani di dunia. Tamadun Malaysia perlu dibangunkan mengikut acuan
sendiri dan ia hanya dapat ditampilkan melalui penguasaan sains dan teknologi serta tidak lupa
kepada jati diri bangsa sendiri.”Memperkasa sumber modal insan bakal menyediakan Malaysia
dengan satu corak pembangunan berasaskan acuan sendiri yang tidak menolak faedah dari Barat
dan Timur. Bangsa Malaysia perlu berciri global dan glokal. Apabila kita tawan dunia ia turut
disertai jati diri bangsa Malaysia yang asli dan utuh, jangan sampai lupa bumi yang dipijak,”
ujarnya. 

Dalam perutusan sempena Hari Pekerja 2006 Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi telah menyatakan bahawa pembangunan modal insan bermindakan kelas pertama perlu
diberi keutamaan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju beridentiti
sendiri. “Sekiranya kita ingin melangkah ke era ekonomi berpaksikan pengetahuan serta ingin
menjadi bukan sahaja sekadar mana-mana negara maju tetapi negara maju yang mempunyai
identitinya sendiri serta mampu terus kekal pada tahap itu, pembangunan modal insan berminda
kelas pertama harus diutamakan” .            
            
Selain itu, Perdana Menteri memfokuskan golongan pekerja yang merupakan aset terpenting
sesebuah negara hingga mampu menentukan turun naik dan jatuh bangunnya sesebuah negara.
“Sememangnya modal insan negara perlu terus digilap kerana ianya merupakan elemen
terpenting dalam memastikan negara terus berdaya saing dan berdaya tahan, lebih-lebih lagi
dalam zaman ekonomi sejagat yang amat mencabar ekonomi yang berlandaskan ilmu
pengetahuan yang mantap bersifat holistik dan menyeluruh serta bertunjangkan sains dan
teknologi”.
                        
Perdana Menteri yang mengharapkan rakyat sebagai modal insan pula perlu terus
memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membudayakan semangat
pendidikan sepajang hayat. “Ini penting agar modal insan negara sentiasa menguasai ilmu
pengetahuan dan kemahiran yang terkini dan ditunjang pula dengan nilai-nilai murni agar
menjadi tenaga kerja yang dinamik dan menghayati budaya kerja berprestasi tinggi”.                   
   
“Pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti yang berterusan juga akan memastikan modal
insan negara kekal relevan dengan kehendak industri dan pasaran semasa serta mampu berdepan
dengan cabaran dan suasana persaingan antarabangsa yang kian meningkat,” ujar beliau
lagi .                       
 Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa Teknologi Twintech, Prof Datuk Dr Ismail Mohd
Salleh, berkata pembangunan modal insan bukan saja penting kepada pertumbuhan masyarakat,
malah memberi kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi.     
                 
 “Modal insan mempunyai dimensi yang luas iaitu daripada aspek individu, masyarakat dan
ekonomi. Dengan memperkukuhkan modal insan itu sendiri, ia akan menggalakkan peningkatan
produktiviti negara, sekali gus akan menjana pendapatan lebih baik di samping mewujudkan
peluang pekerjaan”.                       
 Melihat kepada contoh negara yang mana aset materialnya rendah seperti Korea Selatan dan
Jepun, mereka berjaya membuktikan bahawa pembangunan modal insan dapat membantu
memajukan diri dan negara setanding negara maju lain. Kejayaan yang dicapai kedua-dua negara
itu sering dijadikan model oleh negara lain, termasuk pesaing dalam menangani aspek nilai dan
jati diri sebagai pemacu kepada pertumbuhan negara.             
           
“Dengan nilai modal insan yang tinggi, rakyat Jepun dan Korea Selatan berjaya membuka mata
dunia terhadap kemajuan yang dicapai. Rakyatnya mempunyai kesetiaan tinggi bukan saja
terhadap negara, malah pekerjaan,” ujar Ismail.                  
     
 Menurut beliau lagi, peranan pembangunan sosial perlu diseimbangkan dengan pembangunan
fizikal kerana modal insan juga mampu meningkatkan mobiliti masyarakat dalam membentuk
anjakan paradigma ke arah mencapai masyarakat yang cemerlang.                   
     
Kesimpulannya pemahaman mengenai kepentingan modal insan perlu diberi penekanan di
kalangan rakyat supaya mereka memahaminya dan memastikan apa yang dirancang dapat
dilaksanakan serta mencapai matlamat . Bagi memastikan Malaysia maju mengikut acuan yang
tersendiri, pembangunan modal insan secara menyeluruh dan bersepadu perlu dijalankan supaya
dapat membentuk individu  berketerampilan dan berkualiti dalam melahirkan modal insan yang
cemerlang, gemilang dan terbilang.  

Anda mungkin juga menyukai