Anda di halaman 1dari 4

Teknik Penyoalan dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran

Teknik soal jawab merupakan teknik yang paling lama dan paling popular digunakan dalam
bidang pendidikan. Pemilihan teknik ini dalam pengajaran dan pembelajaran dapat melahirkan
interaksi antara guru dan pelajar secara berkesan. Di samping itu, ia dapat dijadikan teras kepada
pembinaan konsep-konsep, kesanggupan memberi pernyataan dan melahirkan perasaan,
penglibatan dan percaya diri sendiri di kalangan pelajar. Teknik ini dilaksanakan dengan cara
guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran dan pelajar dikehendaki
memberi tindak balas yang sewajarnya. Kejayaan penggunaan teknik ini dalam pengajaran dan
pembelajaran bergantung kepada kebolehan guru untuk menguasai teknik menyoal.

Menyoal atau bersoal jawab sering menimbulkan masalah kepada pelajar-pelajar sama ada dalam
kelas KBSR ataupun KBSM. Apabila pelajar ditanya sama ada mereka mempunyai soalan atau
tidak, mereka akan berdiam diri atau memberitahu tidak mempunyai soalan. Adakah benar
pelajar-pelajar tidak mempunyai soalan untuk ditanya tidaklah dapat dipastikan. Namun satu
soalan yang boleh ditimbulkan di sini ialah adakah guru telah mengajar kemahiran menyoal
kepada pelajar-pelajar di dalam kelas? Salah satu perkara yang penting ketika berkomunikasi
ialah aktiviti bertanya dan menyoal. Kemahiran bertanya dan menyoal bukan sekadar untuk kita
mendapatkan sesuatu maklumat tetapi dapat membantu kita membina iklim komunikasi yang
positif dan memupuk sikap saling memahami dan bekerjasama.

Secara umumnya teknik menyoal merupakan teknik yang penting dalam aktiviti pengajaran guru
kerana hampir kesemua proses pengajaran dan pembelajaran melibatkan teknik penyoalan.

Tujuan penggunaan Teknik Penyoalan


Soalan-soalan boleh digunakan untuk melihat keupayaan pelajar memahami sesuatu blok
informasi, untuk mengalih perhatian pelajar daripada satu fakta kepada satu fakta yang lain,
untuk menegaskan kepentingan isi dengan memberikan penekanan kepadanya, untuk mengarah
pelajar ke hala yang betul dan sebagainya. Walau bagaimanapun, penggunaannya yang paling
bernilai adalah untuk mencerna pemikiran. Ini kerana soalan-soalan dikemukakan untuk
menganalisis, mensintesis dan menilai kemahiran dan menyediakan latihan untuk pelajar
berkomunikasi. Tujuan utama penggunaan teknik penyoalan dalam pengajaran dan pembelajaran
ialah:
i. Untuk mengesan pengetahuan berbahasa pelajar.
ii. Untuk menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan juga kritis.
iii. Untuk mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar.

Teknik soal jawab dianggap teknik terpenting dalam pengajaran dan pembelajaran kerana soalan
yang terancang dan bermutu dapat membantu menajamkan pemikiran pelajar di samping dapat
mewujudkan iklim pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan.

Prinsip-Prinsip Panduan Penyoalan


Bagi memastikan kelancaran pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, guru perlulah
menyediakan soalan-soalan yang dapat mengasah pemikiran kreatif di kalangan pelajar. Berikut
ini merupakan ciri-ciri teknik penyoalan yang sesuai digunakan bagi memungkinkan kejayaan
teknik ini dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
i. Soalan-soalan yang hendak dikemukakan hendaklah dirancang
ii. Soalan-soalan hendaklah bersesuaian dengan peringkat kebolehan pelajar
iii. Aras soalan hendaklah tidak terlalu senang dan tidak pula terlalu sukar
iv. Perkataan atau istilah yang hendak digunakan haruslah boleh difahami oleh pelajar
v. Beri peluang kepada pelajar untuk memikirkan jawapan
vi. Kemukakan soalan kepada seluruh kelas dan elakkan daripada mengemukakan soalan kepada
murid tertentu sahaja.
vii. Kemukakan soalan terlebih dahulu sebelum menentukan nama murid.
viii. Bentuk soalan hendaklah berubah-ubah untuk menarik perhatian murid.
ix. Tentukan bahawa soalan itu dapat didengar dengan jelas oleh pelajar seluruh kelas
x. Soalan yang dibentuk harus mampu mendorong pelajar untuk berfikir
xi. Elakkan soalan yang mengandungi jawapan di dalamnya
xii. Soalan hendaklah ringkas dan jelas.

Ciri-ciri Soalan yang Sesuai Digunakan


Soalan-soalan yang diolah perlulah bersifat pelbagai. Sifat semula jadi soalan yang boleh
dipelbagaikan bertujuan untuk memastikan tindak balas yang berbeza di kalangan pelajar. Satu
cara yang konvenien untuk mengkategorikan soalan ialah dengan melihat frekuensi
penggunaannya mengikut tahap domain kognitif. Ini bermakna soalan-soalan harus dapat
dikategorikan dengan baik. Umpamanya:
i. Pengetahuan
Soalan-soalan berbentuk pengetahuan merupakan soalan yang dapat mencerna ingatan mudah.
Kategori soalan jenis ini perlulah dipilih oleh guru terutamanya ketika menyampaikan tajuk,
topik atau idea baru kepada pelajar.

ii. Pemahaman
Setelah didedahkan dengan sesuatu konsep dan pengetahuan, guru seharusnya menyoal soalan-
soalan yang berbentuk pemahaman. Ini bermakna aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan
berlangsung dalam dimensi memahami atau kegiatan memaham.

iii. Aplikasi
Seterusnya ciri-ciri soalan yang berikut ini melibatkan penggunaan informasi yang diberikan
kepada pelajar. Soalan-soalan aplikasi bertujuan untuk membantu pelajar menggunakan
pengetahuan menerusi informasi-informasi yang disalurkan semasa aktiviti pengajaran dan
pembelajaran.

iv. Analisis
Ciri-ciri soalan analisis ialah soalan bentuk ini berfungsi untuk memisahkan idea. Pada peringkat
yang lebih tinggi, pelajar akan dikemukakan dengan soalan-soalan menganalisis dan guru
perlulah berhati-hati agar pelajar dapat mengikuti isi pembelajaran dan menggunakan semua
kemahiran yang diterapkan kepada mereka.

v. Sintesis
Soalan sintesis merupakan soalan-soalan yang boleh membantu pelajar mencantum dan
mewujudkan suatu idea baru menerusi maklumat awal yang didedahkan kepada mereka.
Kemahiran ini juga menghendaki kemahiran yang tinggi di mana guru dapat membimbing
pelajar sehingga mereka mampu mensintesis maklumat.

vi. Menilai
Pada peringkat yang paling tinggi, soalan berbentuk menilai akan diberikan kepada pelajar.
Menilai bermakna pelajar harus dapat membuat dan juga mempertahankan justifikasi mereka.

Kategori-kategori Soalan lain


Terdapat juga cara lain untuk mengkategorikan soalan. Ia boleh dilakukan menurut fungsinya
yang utama, umpamanya:
i. Soalan-soalan mengikut urutan (First-Order Question)
Soalan bentuk ini adalah soalan mudah yang biasa digunakan. Soalan ini dikatakan mengikut
urutan kerana ia mengikut urutan pendedahan maklumat yang diberikan dalam aktiviti
pengajaran dan pembelajaran.

ii. Soalan-soalan mencungkil


Soalan-soalan mencungkil merupakan jenis soalan yang dapat mencungkil pengetahuan pelajar
secara beransur-ansur. Teknik ini juga menghendaki guru untuk menghasilkan soalan-soalan
yang kreatif serta jelas dan mudah agar pelajar tidak berasa bosan.

iii. Soalan-soalan terbuka


Soalan-soalan terbuka merupakan bentuk soalan bebas yang berupaya menilai keupayaan dan
pengetahuan pelajar. Di samping itu pelajar juga boleh menyoal guru sebaliknya bagi tujuan
mendapatkan kepastian dan penjelasan lebih lanjut. Tindak balas seperti ini adalah sesuatu yang
diharapkan agar guru dapat mengenal pasti kedudukan pemahaman pelajar.

iv. soalan-soalan bercapah


Soalan-soalan bercapah merupakan soalan yang mampu menjana pemikiran secara meluas.
Soalan-soalan yang subjektif akan membantu pelajar meluaskan skop pemikiran dan ini sangat
penting bagi mereka.

Kesan Kemahiran Penyoalan dan Pengajaran dan Pembelajaran


Terdapat banyak kesan teknik penyoalan dalam pengajaran dan pembelajaran. Di antaranya ialah
seperti yang berikut:
i. Murid bertambah aktif
Menambahkan minat pelajar dan mengelakkan mereka daripada berasa jemu. Ia juga akan dapat
menguji pengetahuan sedia ada pelajar.

ii. Dapat mengenalpasti masalah pelajar


Sekiranya pelajar tidak dapat menguasai sesuatu topik pelajaran, dia akan sukar atau tidak dapat
menjawab soalan yang dikemukakan. Oleh itu, guru akan dapat mengenalpasti masalah pelajar.

iii. Mengeratkan hubungan antara guru dan pelajar.


Menerusi teknik ini, hubungan guru dan murid akan lebih erat dan pelajar lebih bersedia dan
berkeyakinan menghadapi sesuatu ujian.
iv. Membantu pelajar
Teknik penyoalan juga akan dapat membantu pelajar menjangkakan soalan-soalan yang mungkin
atau menjangkakan tajuk-tajuk penting dalam peperiksaan. Ini membolehkan mereka untuk
mengulangkaji topik-topik berkenaan.

Peranan Guru
Apabila kita bercakap tentang teknik mengajar, kita sebenarnya menumpukan perhatian kepada
pencapaian guru yang mengajar, iaitu cara tertentu yang dilakukannya dengan menggunakan
kemudahan bahan pengajaran serta langkah yang diamalkannya. Seorang guru menjadi tumpuan
pelajar kerana dia sendiri akan bertanggungjawab bagi menentukan kejayaan atau kegagalan
sesuatu pengajaran dan pembelajaran yang dirancangkannya.

Dalam teknik penyoalan, pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan kemahiran ini sangat
mementingkan peranan guru. Peranan guru amat penting untuk menentukan proses teknik ini
dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Kemahiran guru untuk mempelbagaikan teknik
soalan akan dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran terlaksana dengan baik dan
berkesan.

Teknik soal jawab yang baik merupakan aspek penting dalam pengajaran dan pembelajaran
kerana soalan yang terancang dan bermutu dapat membantu menajamkan pemikiran pelajar di
samping dapat mewujudkan iklim pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan.

Kesimpulan
Kemahiran menyoal dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran merupakan antara suatu perkara
yang penting dalam menguasai ilmu pengetahuan. Dalam bilik darjah, setiap pelajar akan
mengemukan soalan kepada guru bertujuan untuk memahami setiap konsep yang disampaikan
oleh guru semasa didalam kelas. Melalui teknik penyoalan ini, guru akan menerangkan isi-isi
penting agar pelajar dapat memahami serta membolehkan pelajar meningkatkan pemikiran
mereka ke tahap yang lebih tinggi. Melalui teknik penyoalan ini pelbagai ilmu dapat dikuasai
oleh setiap pelajar sama ada di peringkat pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menegah
mahupun di IPT-IPT. Melalui teknik seperti ini juga dapat membantu pelajar supaya bergiat
secara aktif dalam menguasai bidang ilmu dengan lebih giat lagi. Guru juga perlulah
mengemukakan soalan kepada pelajar agar pelajar dapat berfikir mengenai topik yang dipelajari
supaya mereka dapat memahami dengan mudah dan berkesan. Oleh itu kemahiran menyoal
dalam pengajaran dan pembelajaran amat penting dapat bidang pendidikan.

Read more: http://kulanzsalleh.net/pengajaran-dan-pembelajaran/teknik-penyoalan-dalam-


pengajaran-dan-pembelajaran#ixzz1Kz42aTPt

Anda mungkin juga menyukai