Anda di halaman 1dari 11

Linangan Kerinduan

Seorang anak yatim merenung ke dalam dirinya. Dia melihat ada kekosongan yang menimbulkan persoalan untuk dijawab. Dari manakah asalnya? Siapakah asal dirinya? Dia tidak muncul tanpa asal kerana setiap yang wujud daripada tiada pasti ada asalnya. Dia mula melihat keriangan kanakkanak di sekelilingnya. Mereka bermain di taman permainan dengan penuh ria. Berlari di padang lapang berpimpinan tangan dengan dua insan mulia. Seorangnya lelaki dan seorang lagi wanita. Kuntuman senyuman budak yang dipimpin oleh dua orang dewasa tersebut menjawab kekosongan dalam diri si anak yatim tadi. Jawapan bagi "asalnya dari sudut biologi adalah kedua ibu bapa. Biarpun tidak pernah melihat atau tidak pernah mengenali kedua ibu bapanya, namun gelora kerinduan fitrah terhadap kedua ibubapanya makin membuak tatkala mula menghayati asal diri daripada mereka. Terasa tiada kasih sayang asal walaupun mendapat kasih sayang keluarga angkat atau penjaga. Namun, manakan sama kasih sayang asal dengan kasih sayang tumpangan. Seseorang yang mencapai minda yang lebih matang akan melihat asal diri dan alam ini lebih meluas. Dia melihat hatta ibubapanya juga berasal daripada tiada kepada ada. Bahkan, alam yang menjadi tempat bagi makhluk juga mempunyai asal hakiki kerena semuanya berasal daripada tiada. Maka, insan yang kerdil mula merenung ke dalam diri. Segala isi alam tenggelam dalam luahan mencari makna asal diri sendiri. Dari mana diri? Dari mana seluruh makhluk yang menghiasi di sekeliling diri? Hati yang mencari terus mencari sehingga benih ingin lebih mengetahui tentang asal diri terus bercambah. Dari kehendak yang tinggi untuk lebih mengetahui kepada kerinduan terhadap asal yang dicari. Dia mula mencari ruang barang sejenak dua, untuk memuhasabah diri dan memikirkan hakikat keagungan makna yang dicari. Ruang sunyi dihiasi dengan ingatan dan fikir yang tulus suci. Ketika fitrah mula berbicara, akal mula menjadi pemerhati yang setia. Intipati tauhid murni dalam fitrah mula menzahirkan maknanya. Hati mula

menerimanya dengan penuh rela. TAUHID MURNI seraya berkata: HUWA ALLAH (DIALAH ALLAH). Dialah yang kamu cari wahai insan. Dialah yang kamu rujuk sebagai asal hakiki seluruh makhluk ini. Dialah Maha Pencipta yang telah menciptakanmu. Jawapan halus dari lafaz ALLAH mula memendam makna di seluruh jiwa. Lafaz yang mengandungi seluruh makna ketuhanan yang membumikan makna kehambaan dalam diri sang hamba yang menghayatinya. Maka, tali hubungan kehambaan kepada ALLAH yang menyimpan rahsia ketuhanan mula membenihkan kelazatan dalam rasa kehadiran. ILAHI kata diri berbicara merintih diperhati. ABDI (HambaKu) Seru Maha Cinta Abadi nan Hakiki. Ketika dalam kesunyian itu, seruan semakin rancak. Yang berbicara terus berbicara. Yang menjadi pendengar terus setia. Hanya yang ada, cinta dengan cinta. Itulah ruang kesunyian yang bisa menjernihkan kekaratan nafsu duniawi. Aaahh.. Benarlah sabda Nabi -shollaLlahu alaihi wasallam- yang bermaksud: Tujuh golongan yang dinaungi di bawah naungan Allah pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya Antaranya: Seorang lelaki yang mengingati ALLAH dalam keadaan bersendirian lalu berlinangan air (dari) matanya

Ia adalah tangisan rindu. Ia adalah tangisan dalam menzahirkan keinginan untuk kembali bersama asal hakiki yang Maha Menciptakan. Ia adalah linangan mencari pertemuan dalam keabadian cinta. Hidup ini terlalu lama untuk menterjemahkan pertemuan dua cinta. Bagaimana agar

bisa terus melihatMu setelah kembali melihat dunia? Bagaimana bisa ku berinteraksi denganMu ketika keluar dari kesunyian ini menuju kesesakan dunia? Hidup yang mempunyai seribu satu cerita punya misteri sendiri. Namun, usia dari awal kelahiran sehingga ajal yang entah bila seolah-olah menjarakkan lagi pertemuan yang agung. Namun duhai sang hamba, lihatlah segala di sekelilingmu sebagai interaksi Tuhanmu kepadamu, nescaya itu yang akan terus mengikat kerinduanmu kepadaNya. Ketika dikau melihat si ibu mendukung si anak dengan penuh kasih, lihatlah bahawasanya ia adalah limpahan dari kasih sayang Allah s.w.t.. Si ibu menyayangi si anak tersebut dengan kasih sayang Allah s.w.t. yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepadanya lalu dia (si ibu) memberi kasih itu kepada anaknya. Si anak kecil yang merasa selesa dalam dakapan ibunya sebenarnya selesa dalam dakapan penjagaan Allah s.w.t. yang dizahirkan dalam dakapan si ibu tersebut. Apabila dikau melihat kicauan burung menyanyikan lagu rindu, tiupan angin membawa nyaman, pepohonan melambai ria, haiwan ternakan meragut rumput di padang, sungai yang mengalir membicarakan kedamaian dan cahaya mentari menyinar riang di balik bukit nan tersergam, maka lihatlah keindahan Allah s.w.t. melalui keindahan makhlukmakhlukNya tersebut. Makhluk-makhluk adalah cerminan sifat Allah s.w.t. melalui perbuatanNya. Dengan demikian, kamu akan terus fokus terhadap DIA yang kamu cari. Bahkan, kamu akan terus mengerti yang hanya DIA yang kamu cari dalam hidup ini. Ramai manusia mencari apa yang belum pasti, sedangkan dia menuju apa yang pasti. Manusia yang bijak adalah, dia hanya mencari dan menuju apa yang pasti. ALLAH s.w.t.-lah yang pasti lagi hakiki. Tangisanmu biar terarah kepada mencariNya, agar jiwamu puas hanya dengan merinduiNya. Kehilangan segala-galanya selainNya adalah anugerah jika disertai dengan kehadiranNya. Mendapatkan apa sahaja selainNya adalah musibah jika disertai dengan kehilanganNya. Anda berduka bukan kerana tidak dapat apa yang anda ingini, tetapi anda berduka kerana tidak mahu apa yang sepatutnya anda ingini. Mata jika menangis kerana sunyi dari makhluk, maka matamu adalah sebesar-besar hijab yang menjauhkanmu dari hakikat diri. Tangisan biarlah antara takut kepadaNya atau rindu kepadaNya. Rasulullah -shollaLlahu alaihi wasallam- bersabda:

Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka (antaranya): Mata yang menangis kerana takut kepada Allah s.w.t (hadith riwayat Imam At-Tirmizi) Rindu kepadaNya bermula dengan hati yang hanya mencari redhaNya. Hidup ini sentiasa ada lebih dari satu pilihan. Tetapi, satu-satunya pilihan yang membawamu kepada kebahagiaan abadi adalah dengan hanya memilih ALLAH sebagai tujuan. Daripada tujuan membawa kepada pengenalan. Daripada pengenalan membawa kepada kecintaan. Daripada kecintaan membawa kepada kerinduan. Semuanya bermula dengan pencarian yang tulus dan penuh kejujuran.

Semoga Allah s.w.t. membantu kita untuk fokus hanya mencariNya agar diberi peluang terutamanya ketika dalam kesunyian, untuk merinduiNya lalu mengalir air mata mengharap cintaNya. ALLAH Ajarkanlah kami cinta agar dapat mencintaiMu dengan cinta yang Engkau redhai Engkaulah sumber cinta sedangkan kami rindu untuk mencintaiMu dengan cintaMu. Amiin Wallahu alam Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Jalil Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari Amalahullah bi LutfiHi Al-Khafiyy

Label: Motivasi, Muhasabah diri

KU INGIN JADI BIDADARI ITU...


Dicatat oleh Ummu Husna on 5 April 2010

Sumber

Kereta MPV Honda Shuttle berwarna biru meluncur laju menyusuri lebuhraya. Cuaca dingin sejak pagi mulai beransur hangat. Matahari bersinar terang memancarkan cahaya. Saya dan keluarga bermusafir ke Lancaster untuk menjayakan Kem Solat bersama warga Malaysia di sana. Sepanjang perjalanan, saya mengambil peluang menikmati keindahan alam. Padang rumput yang menghijau. Juga, bunga-bunga Daffodil kelihatan tumbuh melata dengan kembang kuning yang menambah ceria. Damai. Menghilangkan resah dan risau. Suami pula tenang memandu di sisi. Sesekali dia tersenyum sendiri. Mungkin tercuit hati dengan isi ceramah yang didengarnya melalui MP3. Ceramah tentang syurga dari Syeikh Anuar Awlaki. Hai..apalah yang disenyumkan tu? usik saya, sengaja mahu mengajak suami bercerita. Suami menoleh. Senyumnya belum lekang dari bibir. Bahkan makin melebar saat melihat saya menjeling sinis. Belum mahu menjawab, suami kembali memberi tumpuan kepada pemanduan dan isi ceramah. Anak-anak di bahagian belakang, telah lama lena dibuai mimpi. Jarak perjalanan

dari Leicester ke Lancaster, sememangnya agak jauh . Iaitu lebih kurang 2 jam 55 minit, mengikut anggaran navigator berjenama Tomtom kami. NIKMAT SYURGA Jangan lupa kongsi dengan As ya.. luah saya bila melihat suami ketawa kecil seakan geli hati. Sambil itu, saya menyua makanan dan minuman yang dibawa kepadanya. Itulah tugas saya setiap kali kami berkelana jauh begini. Maklum dengan keletihan perjalanan jauh sebegitu, sekurang-kurangnya saya dapat berperanan menghilangkan jemu dan rasa mengantuk suami ketika memandu. Ada pendengar wanita menyoal Syeikh Anuar.. suami mula mahu berkongsi. Saya sabar menanti sementara menunggu suami menghabiskan bicara. Dia bertanya: mengapa al Quran tidak menerangkan SECARA JELAS kenikmatan yang diperolehi wanita di syurga? tambah suami. Saya mengangguk. Kepala ligat mengingati ayat tentang kenikmatan syurga yang disediakan bagi lelaki beriman dan bertaqwa. Bidadari syurga yang digambarkan sebegitu indah menerusi kalam-kalamNya yang mulia. BIDADARI SYURGA Rasanya, kelebihan yang dimaksudkan tu ialah bidadari kan bang? saya bertanya suami untuk meminta kepastian darinya. Kerana setakat pengetahuan saya, tiada kelebihan lain yang berbeza antara lelaki dan wanita di dalam syurga melainkan hanya bidadari yang disebut oleh Allah SWT menerusi ayat-ayat-Nya. Di antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud : Dan ( di dalam syurga itu ) ada bidadari-bidadari bermata jeli, laksana mutiara yang tersimpan. ( Surah Al-Waqiah ayat 22 23 ) Sesungguhnya kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) secara khusus, dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya ( Surah Al-Waqiah ayat 35 37) Di dalam surga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni surga yang menjadi suami mereka) dan tidak pula oleh jin. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Mereka (bidadari) seumpama yaqut dan marjan. ( Surah Ar-Rahman ayat 56

58 ) Ya..hanya itu sahaja yang berbeza. Selain itu, baik lelaki mahu pun perempuan, kedua-duanya menerima ganjaran yang sama, jawab suami bersahaja. Orang perempuan ini abangbila sebut bidadari, pasti ada rasa cemburu terhadap mereka, balas saya mencebik. Sekadar bergurau untuk bermanja dan bermesra. Dalam syurga nanti, tak akan ada rasa cemburu tu. Kalau kerana cantik, mereka akan jadi lebih cantik dari bidadari, malah di syurga tiada semua perasaan negatif seperti sedih, terkilan dan seumpamanya. Semua yang dihajati akan diperolehi, spontan suami membalas semula sambil ketawa kecil melihat saya. CEMBURU Saya merenung kehijauan rumput dan pohon-pohon kayu di tepi jalan. Di dalam hati saya membenarkan kata-kata suami. Walau di akhirat sana tiada lagi cemburu, namun ketika masih di dunia ini, perasaan itu sukar dipinggir dari sanubari. Cemburu yang terbit dari rasa cinta kepada lelaki bergelar suami. Cemburu yang lahir dari kegelisahan mengenang diri yang banyak dosa dan khilaf ini. Layakkah untuk bersamanya di syurga nanti? Cemburu yang menghantui kala mengenang sabda junjungan mulia yang bermaksud : Janganlah seorang perempuan menyakiti suaminya di dunia, jika tidak, maka bidadari-bidadari yang menjadi isterinya di syurga akan berkata kepadanya : Janganlah kamu menyakitinya, sesungguhnya ia adalah tamu bagimu yang sebentar lagi akan meninggalkanmu untuk berkumpul bersama kami. ( Riwayat Ahmad dan Tirmidzi dari Muadz bin Jabal ra ) ISTERI PENDAMPING SUAMI Namun, bila merenung ingatan dari Rasulullah SAW mengenai peranan seorang isteri di sisi suami, hati saya kembali tenang. Yakin dengan janji-Nya bahawa, seorang isteri yang solehah kepada seorang suami, akan kekal menjadi ratunya di syurga di samping bidadari. Peranan seorang isteri beriman amat penting dalam memantap dan membantu suami untuk taat kepada Allah, sebagaimana motivasi yang terkandung dari kabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

Harta yang utama adalah lisan yang senantiasa berzikir, hati yang senantiasa bersyukur dan isteri beriman yang membantu suami dalam menegakkan bangunan imannya. ( Riwayat Ibnu Majah ) Seorang isteri yang solehah, di samping bersikap menghargai suami, lemah lembut di hadapan suami, sama ada dari tindakan yang sopan, tutur kata yang manis dan manja, serta menampakkan pandangan yang tenang, bening dan jernih, dia juga akan selalu berusaha membantu suaminya untuk menguatkan keimanan kepada Allah dengan amalan-amalan soleh. Dia menyedari cabaran besar lelaki dengan dunia luar hari ini, lantas berusaha menjaga daya tarik dirinya bagi suami yang dikasihi. Isyarat dari para bidadari yang menggambarkan keindahan dan keadaan penuh cinta mereka terhadap bakal suami yang ditunggu penuh setia. Tidakkah keadaan ini sewajarnya menjadi cabaran kepada para isteri untuk memperbaiki layanan, penampilan dan segalanya ? SUAMI SOLEH, ISTERI SOLEHAH Tapi perlu diingat satu fakta yang sering terpinggir dari perhatian ramai bagi seorang isteri untuk jadi solehah, tiba-tiba suami kembali bersuara. Apa dia, bang?saya menyoal penuh tanda tanya. Formula terbaik untuk menjadi isteri solehah adalah mempunyai suami yang soleh, kerana jika seorang isteri ingin menjadi solehah, ia amat sukar tanpa suami yang soleh, tegas suami. Malah segala kebaikan isteri dan ciri-ciri solehahnya boleh sahaja disalah gunakan oleh si suami yang tidak soleh hingga akhirnya dia dizalimi, tambah suami lagi sambil membetulkan cermin matanya. Saya membenarkan kata-kata suami. Berapa ramai wanita hari ini yang kelihatan jauh dari ciri wanita solehah, tetapi dengan kehadiran seorang suami yang soleh, wanita itu berjaya dibentuk dan berubah kepada yang lebih baik. Nasihat kepada suri hatinya tentang penampilan seorang wanita Muslimah sentiasa dititikberatkan. Pergaulan isteri bersama lelaki yang bukan mahram, diselia sebaiknya agar tidak timbul fitnah yang merosakkan. Dan tidak kurang juga, ramai wanita yang sebelum berkahwin merupakan wanita yang baik beragama, tetapi sejurus melangkah ke alam rumahtangga, semakin terhakis nilai keagamaannya kerana sikap suami yang tidak mementingkan

penjagaan syariat. Kecantikan dan aurat isteri dijaja dengan penuh bangga. Pemergian isteri bersama lelaki lain tidak pernah dipandang curiga dan lain-lain lagi. Kerana itu, untuk melahirkan lebih ramai wanita solehah ialah dengan melahirkan lebih ramai lelaki soleh. Jika tidak, peluang ini akan semakin menipis dan mengecil. Fikirkanlah.. KU INGIN JADI BIDADARIMU Akhirnya, tiada wanita beriman yang melupakan cita-cita yang satu ini. Untuk menjadi bidadari bagi seorang suami di dunia dan akhirat adalah kemuncak impian seorang isteri. Mengharapkan destinasi cintanya akan sampai ke pengakhiran di dalam syurga yang abadi di sana. Kembali bersatu atas nama kasih, kekal selamanya dengan rahmat Allah Yang Maha Kaya. Buat suamiku, terima kasih atas kiriman emel beserta alunan dari Munif yang amat membakar semangat diri ini untuk menjadi bidadari. Bantu isterimu untuk mencapainya.. Moga cinta kita membawa ke syurga, ameen Ya Rabb.

Bidadari, bidadaritemanilah resahku Bidadari, bidadaritenangkanlah jiwaku Sumpah setia hidup mati Selamanyakerana kau isteriku Isteriku tercinta pelengkap rusuk kiriku Bidadari, bidadari..jadilah pedampingku Bidadari, bidadarijadilah sang setia Kerna cinta cinta suci, buktinya tidak pernah sepi Sepi daripada cubaan yang tak terduga Kau umpama bintang utara, penunjuk jalan yang terang Kau beri harapansaat ku jatuhbangun semula Dan berikan sakti cintamu, penawar racun berbisa Dan ikatan kita.. cinta abadi hanya di syurga.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi. Jumpa lagi, InsyaAllah.

****************************************************************** ************* Ya Allah, tolonglah daku agar dapat berzikir mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperelokkan ibadah kepada-Mu Ya Allah, sepertimana Engkau mencantikkan kejadianku, maka perbaiki pula akhlakku Ya Allah, jadikanlah hamba-Mu ini dicintai pada hati orang yang beriman, dan jadikanlah mereka menyintai orang yang beriman. Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

KERANA ALAM TIDAK PERNAH BERDUSTA


Dicatat oleh Ummu Husna on 28 March 2010

Yakinlah .alam tidak pernah berdusta Bunga-bunga kuning itu muncul kembali tanpa terlewat, tanpa bertangguh. .. Tika musim bunga datang bertamu, dia pasti ada di situ Pada dua mata indahnya bertemu Yakinlah..alam tidak pernah berdusta Kuning kelopaknya menceriakan suasana . Hijau dedaunnya menyegarkan rasa Sebelum musim luruh menjengah pula

Sebelum kelopak dan daunannya gugur semula Aku terpaku pada keindahan alam saat ini Sepertimana keghairahanku saat tiba musim dingin bersalji Putih salju memikat kalbu . Kedinginannya air mengalir membeku kaku Namun pasti saat sinar mentari mencelah di siang hari Salju putih, cair dek panas cahayanya Air mataku menitis melihat keajaiban alam semesta .. Betapa ia patuh pada Yang Maha Mencipta . Bergilir tiba atas ketentuan-Nya Tidak pernah sekalipun ia berdusta Subhanallah, walhamdulillah, Allahuakbar MasyaAllah Pujian kupanjatlkan ke hadrat-Mu Rabbi... Benarlah jika sampai masanya Dari barat sang mentari terbit menyinari dunia.. Petanda berakhir hayat makhluk semesta Yakinlah Kerana alam tidak pernah berdusta.

Anda mungkin juga menyukai