Anda di halaman 1dari 9

LAPORAN HARIAN BIG HARI PERTAMA (ISNIN, 21/2/2011) Pada pukul 7.

00 pagi, kami mula berkumpul di hadapan gimnasium. Sebelum bertolak, Encik Nasir dan Encik Syukur memberikan beberapa kata-kata amanat sebagai persediaan dan panduan ketika program berjalan di sana nanti. Pada jam 8.30, kami mula bertolak ke destinasi menggunakan 2 buah bas. Dalam perjalanan ke Kem Alapong, kami sempat berhenti selama 30 minit di Pekan Lundu dan masing-masing membeli barang keperluan dan kehendak sendiri. Perjalanan kami memakan masa selama 2 jam 35 minit dan sampai pada pukul 11.15 pagi untuk bas yang pertama. Sesampainya kami ke Kem Alapong, kami mula mengangkat keluar barang-barang peribadi dari bas secara beramai-ramai. Kemudian kami dikehendaki berkumpul di dataran kem bagi menunggu kedatangan rakan-rakan kami yang berada dalam bas kedua. Apabila bas kedua sampai, kami bersama-sama mengeluarkan barang mereka. Setelah itu, kami berkumpul dataran tersebut mengikut kumpulan masing-masing. Kami menyanyikan lagu negaraku dan ibu pertiwiku sebelum diminta pergi ke dewan untuk mendengar taklimat daripada Tuan Haji Reduan iaitu pemilik Kem Alapong pada jam 11.45 pagi. Beliau menceritakan serba sedikit tentang sejarah Kem Alapong dan menerangkan pengagihan khemah dan bahan mentah untuk dimasak mengikut kumpulan. Setelah taklimat selesai, kami mengangkat keluar barang-barang seperti kayak, jaket keselamatan dan sebagainya dari lori, kemudian menyusunnya ditempat yang disediakan. Kemudiannya, pada pukul 12.00 tengah hari, kami diberi peluang untuk mendirikan khemah dan gadget bagi kumpulan masing-masing bagi memudahkan kerja masak memasak. Dalam masa yang sama, kami bekerjasama membahagikan tugas. Ahli kumpulan lelaki mendirikan khemah dan gadget, manakala ahli kumpulan perempuan memasak makanan mentah yang telah diberikan. Hasilnya, kami sempat menyelesaikan segala keperluan tersebut dalam masa yang ditetapkan serta selesai makan. Pada jam 2.30 petang, kami mula berkumpul di dewan bagi mendengar taklimat

bantu mula daripada En. Khambali. Taklimat ini tamat pada pukul 4.45 petang dan disambung oleh arahan daripada penghulu untuk pembahagian khemah. Setelah selesai, kami dibenarkan untuk kembali ke kkhemah untuk menyelesaikan mana-mana kerja yang tergendala, di samping memasak untuk makan malam dan pengurusan diri dan menunaikan solat jama dan qasar bagi zohor dan asar. Tepat jam 7.00 malam, kami ke surau bagi menunaikan solat jama dan qasar bagi solat maghrib dan isya bagi yang muslim, manakala sesi moral bagi bukan muslim dijalankan di dewan. Pada jam 7.30 malam, tazkirah mula disampaikan oleh saudara Hipni b Ahmad yang bertajuk rukhsah solat. Setelah itu, Ustaz Nik Zul Azhar pula menyampaikan tazkirahnya yang bertajuk kewajipan solat. Pada jam 8.30 malam, kami diarahkan ke dewan untuk aktiviti yang pertama iaitu ice breaking. Kami dikendalikan oleh Puan Roha iaitu kem komanden kami sepenjang program BIG. Kami membuat bermacam-macam aktiviti untuk mengenali rakan-rakan yang lain. Antaranya ialah, mencari tandatangan orang lain yang tertera pada sekeping kertas kecil, kemudian berkenal-kenalan dengannya. Aktiviti tamat pada pukul 10.45 malam dan kami menerima password kami sebelum bersurai dan melakukan pengurusan diri sebelum tidur.

HARI KEDUA (SELASA, 22/2/2011) Pada hari kedua, kami bangun dari tidur pada pukul 4.15 untuk mandi dan mengurus diri sebelum memulakan qiamullail pada jam 5.00 pagi. Pada jam 5.30, Ustaz Nik memberikan selingan sebelum kami menunaikan solat subuh pada jam 5.45 pagi. Setelah selesai solat subuh, saudara Syawari b Saufi diminta untuk memberikan tazkirah subuh kepada kami yang bertajuk kepentingan ilmu. Tazkirah tamat pada jam 6.30 pagi dan kami diminta untuk bergerak ke dataran untuk, nyanyian lagu negaraku dan ibu pertiwiku serta memulakan aktiviti senaman yang dikendalikan oleh kumpulan serigala. Selepas tamat senaman pagi, kami diberikan masa untuk memasak sarapan kumpulan masing-masing sebelum bergerak ke dewan pada jam 8.30 pagi bagi sesi ujian-ujian psikologi yang dikendalikan oleh Puan Roha. Dalam aktiviti ini, kami diberikan beberapa keping kertas yang terdapat soalansoalan yang menunjukkan personaliti seseorang. Aktiviti ini sungguh menyeronokkan dan kami dapat mengetahui sifat-sifat terpendam dalam diri kami. Aktiviti ini tamat pada jam 10.00 pagi. Kami diberikan rehat selama 30 minit bagi mengurus diri sebelum memulakan aktiviti yang seterusnya iaitu aktiviti darat bagi kumpulan A, dan aktiviti air bagi kumpulan B. kumpulan kami iaitu kumpulan lebah termasuk dalam kumpulan B untuk aktiviti darat. Pada jam 10.30 pagi, kami berkumpul di dataran untuk pembahagian kumpulan A dan B sebelum menuju ke destinasi aktiviti masing-masing. Kami kumpulan B mula bergerak ke kawasan pantai dan memunggah barang-barang seperti kayak, pendayung dan jaket keselamatan. Setelah selesai memunggah, kami dikehendaki menuju berdkatan dengan persisiran pantai, dan di situ kami diberikan taklimat keselamatan dan kami dipecahkan kepada 3 bahagian kumpulan kecil. Kami memulakan aktiviti dengan water confident iaitu mengapungkan diri di dalam air beramai-ramai dalam keadaan memakai jaket keselamatan. Aktiviti ini sungguh menyeronokkan. Setelah itu, kami diminta untuk naik ke darat semula dan diberikan beberapa pengenalan tentang cara berkayak oleh En. Ahmadi. Setelah selesai, mengikut pasangan masing-masing, kami diminta untuk memilih sebuah kayak untuk menjalankan aktiviti.

Namun, cuaca pada ketika itu tidak mengizinkan kami untuk berkayak. Buat sementara waktu, kami diberikan masa untuk memasak di kawasan pantai menggunakan unggun api, dan makan sebelum aktiviti berkayak berjalan semula pada jam 2.30 petang. Kami meneruskan aktiviti berkayak setelah diarahkan untuk membawa kayak mengikut pasangan masing-masing ke gigi pantai. Masing-masing menunggu giliran satu persatu untuk dilepaskan ke tengah laut. Ombak yang besar membuatkan kami sukar mengawal kayak dan ramai yang kayaknya terbalik, antaranya saya dan Ahmad Zaid Zaki sebagai pasangan kayak saya. Namun, semua itu membuatkan saya teruja dan ingin berkayak semula. Tetapi kami tidak dibenarkan untuk berkayak lagi memandangkan ombak semakin besar. Setelah selesai, kami bersama-sama membersihkan kayak dan jaket

keselamatan sebelum berkumpul di persisiran pantai semula untuk memastikan jumlah ahli kumpulan. Kemudian, aktiviti berakhir kira-kira jam 5.00 petang. Setelah itu, kami dibenarkan kembali ke khemah masing-masing untuk solat, pengurusan diri dan memasak makanan malam. Seperti biasa kami berkumpul di surau pada jam 7.00 malam dan solat seperti hari pertama di Kem, kemudian mendengar tazkirah yang disampaikan oleh saudara Khalid Kamsaini yang bertajuk cinta hakiki. Tazkirah berakhir pada jam 8.30 malam dan kami mula berkumpul di dewan bagi meneruskan aktiviti iaitu LDK 1 dalam tajuk mengenali potensi diri. Puan Roha mengarahkan kami membuat kesimpulan bagi personaliti yang kami dapat serta nyatakan cara untuk mengaplikasikannya dalam kerjaya kami sebagai seorang guru. Kemudian, kami membentangkannya mengikut kumpulan masingmasing. Aktiviti berjalan dengan lancar sehingga tamat pada jam 10.50 malam. Kami dibenarkan untuk bersurai bagi pengurusan diri dan tidur, tetapi sebelum itu kami menerima password bagi malam itu untuk keselamatan bersama.

HARI KETIGA (RABU, 23/2/2011) Pada jam 4.40 pagi, kami bangun untuk mengurus diri. Namun hari ini agak sukar kerana ketiadaan air di tandas bahagian perempuan dan pensyarah lelaki. Akan tetapi, semua itu bukanlah penghalang bagi kami meneruskan aktiviti. Pada jam 5.45 pagi, kami dikerah ke surau untuk solat subuh. Kemudian, adanya tazkirah seperti sebelumnya yang disampaikan oleh saudara Muhd. Fazrul b Zulkifli yang bertajuk mencari hidayah. Pada jam 6.28 pagi, tazkirah tamat. Kami diarah ke dewan bagi meneruskan aktiviti senaman dan nyanyian lagu kebangsaan kerana hujan. Kumpulan kami, kumpulan lebah yang mengendalikan senaman pada pagi itu. Semua rakan-rakan kami amat seronok walaupun kami tidak mempunyai cukup ruang untuk senaman kerana kawasan dewan yang agak kecil. Tambahan lagi, masa senaman kami dipendekkan lagi dalam masa 10 minit. Namun itu semua tidak mempengaruhi emosi kami pada pagi itu. Kami dibenarkan bersurai pada jam 7.30 pagi untuk pengurusan diri dan bersarapan. Jam 8.30 pagi, kami meneruskan aktiviti dengan LDK 2 yang bertajuk motivasi kepuasan kerja. Dalam aktiviti ini, kami mengisi borang bagi menentukan kerjaya apa yang sesuai berdasarkan minat kami. Kemudian, minat-minat terhadap sesuatu perkara tersebut akan dikategorikan sebagai beberapa kerjaya yang padan dengan kehendak kami. Pada ketika itu, golongan sosial merupakan golongan yang paling ramai. Saya juga termasuk golongan tersebut. Kerjaya yang paling sesuai buat golongan sosial ialah guru. Ini membuatkan saya semakin yakin dengan pilihan saya memasuki IPG. Setelah itu, kami hendaklah membentangkan apa tugas kami sebagai golongan yang telah dipilih dan cara mengaplikasikannya dalam kerjaya guru. Kami diberi beberapa tajuk mengikut kumpulan untuk membuat definisi tentangnya seorang demi seorang dalam ahli kumpulan. Kumpulan kami, kumpulan lebah mendapat tajuk counselor. Setelah memberikan definisi menurut semua ahli kumpulan, kami dikehendaki membentang hasil definisi tersebut di hadapan semua rakan.

LDK 2 tamat pada jam 10.00 pagi dan kami dibenarkan rehat selama 30 minit. Pada jam 10.30, kami mula berkumpul di dataran bagi meneruskan aktiviti seterusnya. Kumpulan A akan menjalankan aktiviti air dan kumpulan B akan menjalankan aktiviti darat. Kami sebagai kumpulan B amat teruja untuk memasuki hutan. Sebelum itu, kami diberi taklimat oleh En. Sam. Kemudia, kami dikehendaki berjalan kaki melintasi sebuah perkampungan sebelum tiba ke tempat berkumpul sebelum masuk ke dalam hutan. Setibanya kami di tempat tersebut, kami diberikan seorang penunjuk arah bersama kami setiap kumpulan. Apabila kami memasuki hutan, kami diberi bearing yang berlainan mengikut kumpulan. Kumpulan kami mendapat bearing 235. Pada mulanya, agak kekok bagi kami menentukan arah. Tetapi setelah melalui beberapa perjalanan, kami dapat menggunakannya dengan mudah. Jalan yang kami lalui agak sukar dan banyak duriduri di sekitarnya dan juga sungai-sungai kecil. Namun semua itu tidak menjadi penghalang bagi kami meneruskan perjalanan. Kumpulan kami akhirnya menjadi kumpulan kedua terakhir sampai di tempat rehat. Sementara berehat kami sempat mengumpul kayu api dan kayu pengusung untuk mengusung pesakit apabila balik nanti. Kami meneruskan perjalanan setelah berehat beberapa minit. Destinasi kami ialah sebuah kawasan air terjun. Kami segera menyiapkan unggun api dan membina tempat teduh kerana hujan mulai turun. Setelah memasak, kami makan bersama dengan fasilitator kumpulan. Semua berjalan dengan lancar sehingga kami dikehendaki membawa pesakit pada usungan dalam perjalanan balik keluar dari hutan. Oleh kerana saya adalah yang paling ringan, ahli kumpulan saya bersepakat untuk mengusung saya. Sesampainya di tempat pertemuan sebelum memasuki hutan, kami diarah untuk membuat refleksi secara lisan kepada fasilitator masing-masing. Setelah itu kami dibenarkan untuk balik ke Kem Alapong.

Kami sampai ke Kem Alapong kira-kira pada jam 5.00 petang. Kami mula memasak dan mengurus diri serta makan berkumpulan. Seperti biasa, pada jam 7.00 malam, bermula solat dan tazkirah yang disampaikan oleh saudara Afiq Naqiuddin yang bertajuk isu-isu remaja. Setelah tamat pada jam 8.15 malam, kami terus menyediakan makanan dan hiasan untuk pertandingan memasak antara kumpulan. Setelah mempersembahkan masakan masing-masing, pada jam 9.45 malam, kami memulakan malam persembahan. Kesemua persembahan tamat kira-kira jam 1.00 pagi. Setelah itu, kami bersurai dan bersedia untuk tidur.

HARI KEEMPAT (KHAMIS, 24/2/2011) Pada hari keempat, kami bangun seperti biasa, pada jam 4.30 pagi. Pada jam 5.45 pagi pula, kami berkumpul di surau seperti biasa untuk menunaikan solat subuh dan mendengar tazkirah yang dikendalikan oleh saudara Mohd Abidin yang bertajuk metodologi dakwah. Pada jam 6.30 pagi, kami diarahkan ke dataran untuk melaporkan bilangan ahli, menyanyikan lagu negaraku dan melakukan aktiviti bersenam yang dikendalikan oleh kumpulan 10 iaitu kesa. Aktiviti ini tamat pada jam 7.30 pagi untuk mengurus diri dan bersarapan. Seterusnya, pada jam 8.30 pagi, kami dikehendaki berkumpul di dewan untuk menjalni LDK 3 yang bertajuk penghargaan kendiri dan perubahan sikap. Dalam aktiviti ini, kami diberi sehelai kertas yang mempunyai beberapa bentuk geometri antaranya bulat, segi tiga, segi empat, hexagon dan bujur. Kemudian, kami diminta untuk memilih satu geometri yang kami suka, kemudian nyatakan alasan atas pemilihan tersebut. Setelah itu, Puan Roha meminta wakil setiap kumpulan untuk membentangkan hasil pilihan masing-masing. Setelah setiap wakil membentangkan hasil pilihan mereka, Puan Roha menunjukkan maksud disebalik pilihan bentuk geometri tersebut mengikut sifat-sifatnya. Selesai aktiviti LDK tersebut, kami diarahkan untuk membuat bulatan besar. Masing-masing membawa hadiah yang telah siap berbalut untuk diberikan kepada sahabat yang telah khas ditentukan berdasarkan cabutan. Aktiviti berterusan dan tamat pada jam 10.00 pagi untuk memberikan waktu rehat kepada kami. Pada masa ini, kami mula membersihkan kawasan perkhemahan, mengemas bagasi, dan sebagainya kerana hari ini merupakan hari terakhir untuk kami berada di Kem Alapong ini. pada jam 11.30 pagi, kami mula berkumpul di dewan untuk menyambut ketibaan pengarah IPG, En.Rijeng ak Jahet, dan En. Shukor b Abas selaku ketua jabatan HEP. Setelah ketibaan mereka, kami memulakan majlis dengan bacaan doa, ucapan penghulu iaitu Muhd. Fazrul Zulkifli, dan kemudiannya ucapan ketua komandan kami, Puan Roha bt Tamit, seterusnya ucapan penutupan oleh Tuan pengarah En. Rijeng.

Setelah itu, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada kesemua kumpulan sama ada hadiah sagu hati atau yang mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga. Hadiah bagi pertandingan memasak juga diberikan kepada pemenangnya, dan hadiah tersebut ditaja oleh pemilik Kem Alapong, Tuan Hj Reduan. Setelah penyampaian hadiah berakhir, maka, selesailah segala aktiviti dan program BIG fasa pertama sesi 2011. Setelah tamat majlis penutupan pada jam 1.25 petang, kami dijamu oleh pihak Kem Alapong dengan makanan tengah hari. Kemudian kami mula mengemas barang kepunyaan IPG untuk dibawa balik semula, seterusnya menyusun barang ke dalam bas. Pada jam 4.30 petang, kami mula bertolak dari Kem Alapong untuk balik semula ke IPG KTAR. Perjalanan kami mengambil masa 2 jam. Kira-kira jam 6.30, kami sampai ke destinasi dengan selamat. Sesampainya kami di hadapan gimnasium, kami mula mengeluarkan barang-barang dari bas dan menyusunnya dengan teratur sebelum balik ke asrama masing-masing.

Anda mungkin juga menyukai