Anda di halaman 1dari 7

Ya Allah, ya Tuhanku, hambamu merindukan rahmat kasih sayangMu dan juga keredhaanMu dalam hidupku.

Meskipunku ulangi dosa noda yang menjanjikan azab sengsara, namun kusedari keampunanMu tidak bertepi. Ku akui diri ini hamba yang mungkir pada janji-janji, jadikanlah taubat aku yang sejati padamu ilahi. Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku. Ya Allah, redhakanlah kehidupanku. Moga terhapus penghijab kalbu antara kau dan aku. Tuhan, kuzalimi diri ini andai kau tak ampuni dan rahmati Alangkah ruginya diri. Tuhan, jangan kau palingkan hati ini setelah Kau beri hidayah. Sesungguhnya kau Maha Pengasih.

Perjalanan ini penghujungnya sudah pasti, yang masih belum pasti hanyalah, bentuk kesudahan yang akan aku lalui, hanya iman damba di hati. Dahulu, aku kurang dididik mengikut lunas-lunas Islam. Aku tidak mengenali Islam. Hanya mempelajarinya ketika subjek Pendidikan islam yang diajarkan di sekolah. Tujuannya pun hanya untuk lulus dalam peperiksaan. Bukannya kerana menginginkan ilmu agama. Aku sedih. Jauh di lubuk hatiku, memang aku ingin mempelajari agama yang syumul ini. Namun apakan daya, ibu bapaku lebih mementingkan pencapaianku dalam akademik. Soal agama diabaikan. Ibubapaku hanya ingin melihatku Berjaya dalam pelajaran dan syukur Alhamdulillah, saya seringkali mendapat tempat pertama dalam peperiksaan. Tempat itu hanya menjadi milikku. Mungkin atas sebab itu aku telah lalai. Aku bergelumang dalam dosa dan noda. Setiap kali aku melakukan perkara yang mungkar, aku tahu perbuatan tersebut dilarang Allah sama sekali. Namun, apalah daya insane yang kerdil ini. Tewas pada bisikan syaitan.

Dari Allah manusia datang dan kepadaNya jugalah kita kembali. Setiap percaturan di dunia adalah kuasa Ya Rabb. Jika kita leka dan berdosa, kita telah disediakan pintu taubat olehNya. Itulah kasih sayang Allah SWT pada umatNya.

Malam itu, aku menonton filem Aku Masih Dara yang telah diberi oleh rakan searas denganku. Hatiku tersentuh. Heroin dalam filem itu sama sepertiku. Tidak pandai membaca al Quran. Sayu hati melihat filem tersebut. Air jernih perlahan-lahan menuruni pipiku. Keesokan harinya, aku keluar makan dengan sahabat rapatku di pengajian ini, kugelarkan sahaja sebagai Cik N. sedang asyik menikmati makanan tengahari, tibatiba datang seorang menjual panduan solat beserta CD dalamnya. Entah angin dari mana, hatiku terdetik ingin membelinya. Apa salahnya mengeluarkan duit untuk ajaran Islam, lagipun aku boleh berikan ini kepada adikku nanti, bisik hati kecilku. Buku yang menrik perhatianku itu kubaca semalaman. CD panduan solat itu juga kutonton. Diri menjadi sayu. Seperti suasana kuburan pada waktu senja. Selama ini aku tidak menunaikan solat, tiang agamaku. Kumenangis teresak-esak.

Hari itu aku bersemangat. Merentas desa. Aktiviti yang aku suka dan rindui. Setelah selesai merentas desa dan semua orang berkumpul, seorang rakan telah menghampiriku. Rakan yang begitu kuhormati dirinya. Watak muslimah sejati ada pada dirinya. Tudungnya yang labuh serta senyumannya menyejukkan mata memandang. Dialah Cik P. Dia menyapaku. Aisyah, kamu mahu belajar bahasa Arab?, soalnya kepadaku. Tak mahulah. Sedangkan al-Quran pun saya tak pandai baca, ni kan lagi mahu belajar bahasa Arab, jawabku selamba. Ish, janganlah cakap begitu. Bila lagi kamu mahu sambung mengaji? Buat apa saya mengaji sekiranya hati saya tak baik? Sebab itulah kamu kena mengajar mengaji. Membaca atau mendengar al-Quran dapat melembutkan hati Panjang lebar hadis yang diberikan. Kurasa bersyukur kerana masih mempunyai teman sepertinya. Menasihati dan menegurku. Walaupun nasihatnya seperti kutidakpedulikan, namun jauh di lubuk hati, aku tersentuh. Itulah kuasa kata-kata yang berhikmah.

Ada seorang lagi teman yang sangat kuhormati dalam kelasku. Kuberikan gelaran Abdullah. Abdullah telah banyak member nasihat kepadaku. Kata-katanya berhikmah dan disampaikan dengan bersahaja. Memudahkanku untuk memahaminya. Sejak itu, sesuatu yang pelik telah terjadi dalam diriku. Aku tidak

mengetahui perasaan apa itu. Aku mudah tersentuh pada ajran-ajaran Islam. Dia juga ada menegurku bahawa meletakkan gambar di dalam facebook untuk tontonan umum adalah berdosa. Aku seringkali juga bertanya kepadanya tentang perkara yang tidak kuketahui. Syukur Alhamdulillah dia sering menjawab pertanyaanku. Kuakui dialah insan pertama yang dapat melembutkan hatiku yang sekeras batu ini. Seperti kata-kata Islam, hati yang keras akan dapat dilembutkan dengan kata-kata yang baik. Mungkin inilah hikmah aku berada di institute ini, agar aku dapat bertemu dengan hambanya yang soleh seterusnya membuka hatiku.

Entah apa mimpiku, hati tergerak ingin online facebook menggunakan akaun teman lelakiku. Tidak perlu kuceritakan panjang lebar. Cuma yang pasti, dia curang kepadaku. Seperti gelas jatuh ke lantai, begitulah hancurnya hati ini. Orang yang selama ini kupercayai, rupa-rupanya tidak setia padaku. Betullah kata-kata bahawa lidah lelaki hanya manis dalam berbicara namun semuanya adalah seperti kata-kata berbisa malah bias membunuh. Namun, aku tetap bersabar walaupun dalam hati ini tidak tertahan rasanya. Seperti biasa, aku akan terus tidur agar tekanan yang kuhadapi hilang. Aku pun memasangkan lagu dari telefon bimbitku. Mataku tetap degil tidak tertutup. Saat itu aku menyedari bahawa cinta kepada manusia hanyalah cinta palsu semata-mata dan hanya menyakitkan hati. Lagu KebesaranMu perlahan-lahan memasuki telinga. Lagu yang sangat kuminati. Tiba-tiba kelopak mataku bergenang air. Terasa titisan jernih menuruni pipiku. Air mataku tidak henti mengalir. Aku menangis bukan kerana sedih atas kelakukan teman lelakiku itu. Aku menangis kerana dosa-dosa yang telah kulakukan. Kemudian, pesan guruku terngiang-ngiang di telingaku. Sekiranya kamu berada di kejauhan dan tiada tempat untuk mengadu, maka mengadulah sepuas-puasnya kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar segala rintihan hamba-hambaNya. Tiba-tiba terasa aura menyelinap ke dalam diriku. Aku melangkahkan kaki ke tandas untuk mengambil air wudhu. Sepanjang menunaikan solat maghrib, aku tidak hentihenti menangis. Aku kesal dengan segala dosa-dosa yang kulakukan. Selama ini hidupku bergelumang dengan dosa. Bagaimana mungkin untuk kuhapuskan segala dosa-dosaku. Aku malu padaMu Ya Allah. Aku hambaMu yang tidak bersyukur padaMu. Ampuni aku ya Allah. Ampuni aku. keesokan harinya, kuputuskan hubungan dengan teman lelakiku itu. Walaupun dia tidak menyetujuinya, namun kuendahkannya. Aku berasa lega keran sudah tidak mempunyai hubungan dengannya. Kurasakan hanya Allah yang layak memiliki cinta ini. Ya, kuhanya ingin mencintai Allah dan RasulNya melebihi segala-galanya.

Hari maulidur Rasul. Sedang kumendengar ceramah di dewan yang bertajuk Siapa Rasulullah di hati kita?, aku juga sibuk membaca buku 70 kesalahan wanita. Buku itu kupinjam dari seorang guru yang sangat kusanjungi. Banyak ilmu yang kuperoleh daripada buku tersebut. Sedang ligat membaca, tiba-tiba telefonku bergetar. Mesej dari Cik P. Kubaca mesej tersebut. Salam kerinduan buata gadis yang jiwanya sentiasa ingin menggapai cinta Allah. Tarbiah Allah amat mahal. Tidak semua kasih sayangnya terzahir melalui belaian. Adakala ujian mampu mendidik kita lebih daripada nikmat. Allah lebih memahami kita daripada segala makhluk di dunia. Justeru mengadulah padaNya, setiap air mata yang mengalir amat bernilai dan berharga di sisi Allah. Ya Allah ya tuhanku, tuhan yang menbolak-balikkan hati-hati kami, tetapkan hati-hati kami di atas agamaMu dan ketaatan kepadaMu. Berkatilah dan rahmatilah hidup kami sebagai tenteraMu Ya Allah. Salam sayang. Moga terus istiqamah.

Air mata tidak tertahan lagi. Aku menangis semahu-mahunya. Perasaan malu kerana menangis dalam dewan tidak kuhiraukan. Entah mengapa hatiku terlalu sebak. Aku menangis teresak-esak sepanjang ceramah tersebut. Aku kuat kerana Allah SWT. Aku sudah tidak merasakan urusan dunia amat penting bagiku. Aku kini tenang. Aku berteleku mengingatkan dosa-dosa semalam. Rentetan terlalu obsess dalam mengejar dunia, aku terhanyut dalam arus kesesatan. Subhanallah, betapa hinanya aku waktu itu kerana tidak dapat membezakan yang mana hak dan yang batil. Aku sangat bersyukur pada Ilahi kerana masih memberi aku kesempatan untuk bertaubat daripada segala dosa dan noda yang pernah kulakukan. Ke arah mana halanya bagi insane yang terleka mengejar nikmat dunia bagaikan hidup selamanya, tak peduli dosa noda siksa azab neraka, hidup jauh dari rahmatNya. Mengikut nafsu semata dan membiar syaitan beraja di hati dan juga jiwa. Mengejar dunia penuh debu dosa Teguhkanlah iman dalam diri moga dikau akan merasai betapa indah nikmat Ilahi dan yakin kau akan dirahmati.

Wahai tubuh Berapa banyak maksiat yang telah engkau lakukan? Berapa banyak orang yang telah engkau khinati dan zalimi Berapa banyak hamba Allah yang lemah Yang telah engkau tindas dengan kekuatanmu Berapa banyak orang datang meminta pertolongan Tapi engkau buat acuh tak acuh tanpa peduli Padahal engkau mampu menolong Berapa banyak pula hak-hak orang lain yang engkau rampas?

Ketika kutatap mu wahai tubuh Seperti juga ku renung akan isi hatimu Apakah isi hatimu sebagus kata-katamu? Atau sebagus daki-daki yang melekat ditubuhmu?

Apakah hatimu segagah ototmu? Atau ia selemah daun-daun yang mudah layu berguguran

Apakah hatimu seindah penampilanmu? Ataukah sebusuk kotoran pada pakaianmu?

Apa yang terzahir nampak dicermin Dengan apa yang tersembunyi Betapa ianya berbeza

Apa yang terzahir nampak dicermin Dengan apa yang tersembunyi Betapa aku telah tertipu Aku tertipu oleh topeng itu

Betapa yang kulihat selama ini hanyalah topeng Hanyalah topeng yang menipu belaka Betapa pujian yang terhambur hanyalah memuji topeng yang ada Betapa semua yang indah itu Hanyalah topeng yang menipu

Sedangkan aku . . . Hanyalah selonggok sampah busuk yang terbungkus Aku tertipu Aku malu ya Allah . . .

Aku tertipu Tertipu kerana nafsu diriku

Wahai Allah . . . Selamatkanlah aku.

Hatiku tidak dapat menahan sebak di saat mengadu kepada Yang Maha, betapa kerdilnya diri ini di sisi-Nya. "Ya Allah Ya Tuhanku, kau ampunkanlah segala dosa yang telah aku lakukan, dosa kedua ibu bapaku, dosa guru-guruku, dosa sahabatku, dosa muslimin dan muslimat. Kau panjangkanlah usia kami, Kau rahmatilah kami Ya Allah, Lindungilah kami daripada gangguan jin dan syaitan Ya Allah, masukkanlah kami dalam syurgamu Ya Allah. Kau berilah petunjuk dan hidayat kepada kami Ya Allah, serta janganlah kau palingkan hati kami setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami.

Ya Allah, diri ini hanyalah hamba yang lemah lagi hina, Kau suburkan cinta kami buatMu serta rasulMu. Bimbinglah hati kami ke jalanMu Ya Allah. Berilah kemanisan iman kepada kami Ya Allah. Hanya padaMu kumohon pertolongan Ya Allah. Tingkatkanlah keimanan dan ketakwaan kepada kami Ya Allah. Lapangkanlah hati kami, sucikanlah hati kami serta bersihkanlah jiwa kami Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Zaljalali wal ikram. Kau kasihanilah hambaMu ini Ya Allah, Kau kasihanilah hambaMu ini Ya Allah, Kau kasihanilah hambaMu ini Ya Allah. Sejak kejadian itu, aku sudah banyak berubah dengan bantuan daripada keluargaku, terutamanya kedua ibu bapaku, sahabatku serta guru-guruku. Aku sudah memaafkan kesalahan Rizal sementelah dia tidak pernah memohon maaf daripadaku. Lebih elok aku berlapang dada berbanding aku menyimpan dendam. Aku sudah mula merasai kemanisan daripada taubatku. Betapa jalan hidup yang aku pilih selama ini adalah jalan yang terpesong daripada akidah yang dituntut dalam Islam. Aku sangat bersyukur kerana Allah masih memberi aku hidayah untuk kembali ke jalanNya. Terima kasih Ya Allah ke atas keagunagan cinta yang Kau curahkan pada hati ini. Terima kasih juga kerana telah memberi mimpi yang menginsafkan diriku.

Anda mungkin juga menyukai