Anda di halaman 1dari 11

Gadis Bernama Balqis

Sudah seminggu dia berada di rumah kakaknya Siti Mariam sejak kembali
dari menunaikan umrah, kebetulan kakaknya baru sahaja melahirkan anak
kedua, Luqman Hakim. Sudah semestinya ibunya turut berada di situ untuk
menjaga kakaknya yang sedang berpantang.

"Hmmm... bila Angah nak mula bertugas semula?" tanya Siti Mariam yang
baru sahaja menidurkan anaknya.

"Lagi dua hari Kak Long, rasanya Angah nak berehat puas-puas, sebab... bila
dah mula bekerja nanti... tak ada pula masa nak rileks! Banyak kerja. Ialah,
dah tiga
minggu saya bercuti' jawab Sulaiman sambil menyuapkan roti bakar bersapu
kaya ke
mulutnya.

"Hmmm kamu tu Sulaiman, dalam otak lain tak ada ke? Asyik ingat kerja...
je, sesekali tu fikir-fikirkanlah tentang hidup dan masa depan," sampuk Puan
Asiah yang dari tadi membisu.

"Maksud mak?" Tanya Sulaiman pura-pura tak faham.

"Cuba Angah tengok Kak Long, dah 2 orang anak, kamu tu bila lagi? Nak
tunggu puteri kayangan pinang kamu ye?" Leter ibunya lagi.

"Belum ada calon yang sesuai mak... lagipun perempuan-perempuan yang


saya jumpa tu, semuanya tak memenuhi citarasa saya mak!"

"Kamu nak yang macam mana lagi? Yang mak berkenan kamu pula tak
berkenan.."

"Alaa yang biasa - biasa cukuplah, sama seperti semua lelaki impikan... gadis
yang lemah lembut, berbudi bahasa, beragama dan sedap mata
memandang. Tapi, yang paling penting... namanya Balqis!"

"Susahlah kalau macam tu" ujar Puan Asiah. Dia menggelengkan kepalanya
memikirkan kerenah anak bujangnya yang sorang ni.

"Mak, saya harap-harap Luqman dan Aidil bila besar nanti tak la ikut
perangai buruk Pak Ciknya!"

"Isshh... itu tak apa juga Yam, dia nakkan orang yang bernama Balqis, kalau
dibuatnya nakkan omputih... err.. apa ke namanya? Alaa.. yang bebudak
muda suka sekarang ni...apa...orang panggil? Britney Spears ke Christina
Aguilera ke..kan ke naya kamu Yam!" Suasana hening pagi itu dipecahkan
dengan ketawa tiga beranak itu apabila berbelit lidah Puan Asiah yang ingin
menyebut nama penyanyi barat yang terkenal itu. Terpegun juga Sulaiman
apabila mendengarkan kedua-dua nama itu disebut oleh ibunya,
tapi...biasalah, ibu millenium!

"Emmm... mak nak tahu tak, Yam dengar di tadika Aidil ada guru baru.
Orang cakap cantik orangnya, berbudi bahasa... kalau nak dikira , sesuailah
untuk dijadikan calon..." Sengaja Siti Mariam menguatkan suaranya.

"Iya ke Yam? Anak siapa tu?"

"Anak ustaz Haji Syukri, yang selalu mengajar di surau tu. Baru je tamat
universiti, kursus psikologi. Saja dia mengajar di tadika tu, katanya nak cari
pengalaman," terang Siti Mariam panjang lebar.

"Amboi, elok benarlah tu Yam, kalau sesuai..bolehlah kita kenalkan pada


Sulaiman... tapi apa namanya?"

"Namanya? Nurain mak.." jawab Siti Mariam pendek.

"Nurain? Hmm tak payahlah kau nak kenalkan pada adik kau Yam, kalau
Balqis tu bolehlah dipertimbangkan...."

"Apa nak buat mak, melepaslah lagi nampaknya kita," ucap Siti Mariam
dengan nada yang agak kesal.

Sulaiman dari tadi hanya mendengar perbualan ibu dan kakaknya. Sesekali
dia menghirup milo panas kegemarannya. Geli hati Sulaiman melihat gelagat
mereka berdua, pantang ada anak dara yang berkenan di hati mereka, pasti
kepada Sulaiman diberitahu. Cis, ada konspirasilah pula! Komplot mencari
jodoh! Memang Sulaiman sedar, kebimbangan kakak dan ibunya itu berasas,
kerana usianya bukan di tahap remaja yang baru akil baligh lagi, tapi dah
layak jadi bapak orang lagi! Ialah dalam usia 31 tahun dia belum menemui
jodoh yang sesuai lagi. Tetapi, bagi Sulaiman itu bukan menjadi masalah
kerana menurut pepatah Inggeris 'life begins at 40'! Dia tersenyum
sendirian. Ramai orang bertanya, mengapa gadis bernama Balqis jua pilihan
di hati? Kenapa ye?

Kerana Sulaiman hanya untuk Balqis! Itulah jawapannya. Memang ringkas,


namun tetap timbul kekeliruan. Sukar untuk Sulaiman terangkan dengan
lebih lanjut apa yang tersirat di hati, kerana dia tahu pasti tiada yang
memahami.

Dia masih ingat, ketika dia masih kanak-kanak lagi, arwah Tok Wan suka
bercerita kepadanya tiap kali ada waktu terluang. Suatu hari Sulaiman
pernah bertanya kepada Tok Wan satu soalan yang sehingga kini terpahat di
dalam dirinya.

"Tok Wan, kenapa saya dinamakan Sulaiman?"


"Sebab mengambil sempena nama nabi Sulaiman" jawab Tok Wan ringkas,
sambil menyedut asap rokok daunnya dalam-dalam.

"Siapa tu Tok?" tanya Sulaiman lagi.

"Baginda merupakan salah seorang nabi yang hebat. Banyak keistimewaan


yang tuhan kurniakan kepadanya. Contohnya, baginda boleh bercakap
dengan haiwan, memerintah jin dan manusia selain daripada menggunakan
angin sebagai kenderaannya."

"Wah, hebat betul nabi Sulaiman tu ye Tok?"

"Ya, tetapi kisahnya yang paling hebat ialah dakwahnya kepada ratu Balqis
seperti yang tercatat dalam kitab Al-Quran, mengikut pendapat para ulama,
akhirnya nabi Sulaiman berkahwin dengan ratu Balqis. Oleh itu, Tok harap
bila Sulaiman dah besar nanti Sulaiman akan contohi sifat terpuji nabi tu ya!
Jadilah seorang yang hebat dan bertakwa sama sepertinya."

"Ooo begitu kisahnya ye Tok? Nanti Sulaiman pun kena cari calon isteri yang
bernama Balqislah ye Tok?"

"Iya" jawab datuknya sambil ketawa kecil melihat telatah cucunya itu. Sejak
dari itulah telah tertanam dalam dirinya, Sulaiman hanya untuk Balqis!

Jam telah menunjukkan pukul 10.55 pagi. Sulaiman masih lagi tersengih
sendirian apabila mengingatkan memori-memori indahnya bersama Tok Wan.
Tiba-tiba dia tersentak apabila namanya dipanggil.

"Sulaiman.. ooo Sulaiman ... eh, tengok tu, kita panggil dia buat tak reti
je...hmmm, beranganlah tu!" panggil Siti Mariam. Dia terus
menggoncangkan bahu adiknya itu.

"Err..kak Long panggil saya ke?" tanya Sulaiman sambil tersengih.

"Iyalah, takkan Kak Long nak panggil Luqman pulak?!"

" Ada apa Kak Long?"

"Dah dekat pukul 11 ni. Boleh tolong jemput Aidil di tadika? Hari ni Cik Bakar
yang selalu jemput Aidil tu tak dapat jemput, katanya dia ke rumah
saudaranya yang sakit"

"Boleh, apa salahnya." jawabnya pendek.

"Ha Man, sambil-sambil kau dah ke situ, jeling-jelinglah Cikgu Nurain tu.
Manalah tahu... kalau - kalau berkenan. Terlanjur mak ada di sini, bolehlah
berkira apa yang patut." pesan Puan Asiah.
"Eh, emak ni ke situ pulak! Kan saya dah cakap kalaulah bukan bernama
Balqis, biar secantik manapun, biar seribu yang datang, huh..sebelah
matapun takkan dipandang!"

"Amboi, tak sayang mulut.. jangan cakap besar Angah, kalau sekejap lagi
hati dah mula suka, baru kelu lidah nak berkata, maka berputiklah cinta...
baru kau tahu langit tinggi ke rendah! Ha masa tu baru tahu betapa azab
menanggung panahan asmara! Pesan orang tua, terlajak perahu boleh
diundur Angah.." sindir Siti Mariam sambil membetulkan duduknya.

"Panas.. panas... okeylah mak, saya pergi dulu ye? Karang kalau lama
lagi...hmmm mahunya rentung saya mak... kena fire!." Cepat - cepat
Sulaiman meninggalkan meja makan dan terus berlalu meninggalkan ibu dan
kakaknya.

Dengan berhati-hati Sulaiman meletakkan keretanya di hadapan tadika An-


Nur. Dia bergegas ke tadika tersebut agar tidak lambat menjemput Aidil.
Lega hatinya kerana kanak-kanak tadika itu belum keluar lagi. Sulaiman
menanti dengan sabar walaupun bahang mentari kian terasa. Sambil
membetulkan kaca mata hitamnya dia mendengar dan menghayati kanak-
kanak menasyidkan Asma-ul - Husna. Sayup-sayup kedengaran suara
seorang wanita yang begitu merdu sekali. Dia terpesona seketika apabila
terdengar suara itu mengalunkan nasyid tersebut. Terdetik di hatinya
mencari siapakah gerangan empunya suara yang begitu mempersonakan.
Melalui celahan cermin tingkap, samar-samar kelihatan seorang wanita yang
bertudung biru lembut. Setelah selesai bernasyid, seorang demi seorang
kanak-kanak bersalaman dengan guru itu. Tersentuh hati Sulaiman apabila
melihat guru tersebut mengucup dahi setiap muridnya.

"Ah, dia benar - benar seorang wanita yang penyayang" bisik hati kecil
Sulaiman dan dia benar-benar terpana.

"Cik Man, Cik Man.." Sayup-sayup suara itu mengejutkan lamunannya.

"Eh, Aidil, bila Aidil keluar? Puas Cik Man tunggu... tapi tak perasan pula Aidil
dah keluar" ujar Sulaiman sambil melemparkan senyuman kepada anak
saudaranya itu.

"Dah lama Aidil berdiri tepi Cik Man, tapi Cik Man buat tak tahu je... haa...Cik
Man tengok Cikgu Ain ye?"

"Eh, tak adalah... yang mana satu cikgu Ainpun Cik Man tak kenal. Betul, Cik
Man betul- betul tak perasan Aidil tadi sebab semuanya nampak sama je bila
pakai uniform. Hmm, pandai-pandai ajelah Aidil nak usik Cik Man ye?" ujar
Sulaiman tersipu malu. Dalam hatinya terdetik 'kantoilah pulak!'

"Aidil, itu ke cikgu Ain?" tanya Sulaiman sambil menunjuk ke arah seorang
wanita muda yang berpakaian serba biru yang sedang tersenyum sambil
melambaikan tangan ke arah murid-muridnya.

"Ye, itulah cikgu Ain. Cik Man nak tahu...cikgu Ain tu baik sangat. Bukan itu
je, Cikgu Ain tu cantikkk.... macam Aiswarya Rai, heroin yang Aidil suka!"

"Iya?"

"Ha aaa... cikgu Ain pandai bernasyid juga tau Cik Man? Suara dia
sedap..macam Siti Nurhaliza. Dia selalu ajar Aidil nasyid!.

'Perrgghh.. baik dia punya promote Si Aidil ni! Ingatkan ummi dengan
neneknya saja yang promote cikgu tu lebih - lebih...Aidilpun sama? Ni mesti
ada pakatan anak beranak ni?' Fikir Sulaiman sendirian.

"Jom kita balik, dah panas terik ni. Karang kalau Aidil demam, tak boleh pula
nak ke sekolah," ajak Sulaiman. Berat juga dia ingin melangkah, kerana dia
belum puas menatap wajah ayu Cikgu Nurain itu. Dalam diam dia mengakui
bahawa Cikgu Nurain memang cantik. Kulitnya putih melepak, alis matanya
hitam dan lentik, bibirnya mungil kemerahan, bersopan, ayu, dan penyayang.
Tapi sayang, namanya Nurain, bukannya Balqis... ah, lupakan saja!

Kesejukan bilik yang berhawa dingin itu tetap tidak menyejukkan keadaan
pegawai muda itu. Suasana bilik itu tetap hangat dengan kesibukannya.
Banyak betul kerja yang perlu diselesaikannya. Masih bertimbun fail - fail
yang tidak diusiknya lagi. Maklumlah, hampir sebulan dia bercuti. Dia agak
tertekan. Keserabutan fikirannya ditambah pula dengan kehadiran Rina,
sekretari Tuan Ramli yang 'gelenyarnya' tidak terkawal. Apa tidaknya, dari
pagi dia mengganggu Sulaiman. Baru sahaja Sulaiman melabuhkan
punggungnya di kerusi, Rina sudah terpacul di muka pintu menanyakan
khabar. Katanya dah dekat seminggu dia demam sebab teringatkan
Sulaiman. Lepas itu dia datang lagi meminta ole-ole dari Mekah. Lepas itu
dia dating lagi..dan lagi dan lagi. Ada - ada sahaja perkara yang
membuatkan dia ke bilik Sulaiman.

"Man... nanti kita lunch sama?" ucap Rina sebaik sahaja sebaik sahaja dia
melabuhkan punggungnya di kerusi empuk bilik pegawai muda itu.

"Hmm, I sibuk la Rina. Banyak betul kerja yang perlu I siapkan. You cuba
tengok fail-fail ni, petang ni Tuan Ramli nak tengok laporannya. Sorry ye.."
elak Sulaiman.

"Kalau macam tu, I bungkuskan untuk you ok? You nak makan apa? I belikan
untuk you."

" No, thanks. I dah makan heavy breakfast tadi. Kenyang lagi.."

"Alaa you ni! Ada- ada je alasan kalau I ajak. Hmm jangan menyesal Man,
kalau silap-silap nanti you terlepas I... kalau masa tu you merayu, I dah tak
layan...mmm baru you tahu!." Rina terus berlalu pergi.

Lega hati Sulaiman bila dia tidak lagi diganggu. Harapannya selepas waktu
rehat nanti Rina takkan mengganggunya lagi. Memang Sulaiman tidak
nafikan, Rina cantik, gaya persis model. Make-upnya entah berapa kilo,
pakaiannya up to date habis. Tapi perangainya? Tuhan saja yang tahu. Satu
ofis tahu, dulu dia cuba memikat Tuan Ramli sewaktu pegawai itu mula-mula
bertukar ke pejabat itu. Tapi, Tuan Ramli tak layan... maka dia beralih pula
kepada bos kecik, siapa lagi kalau bukan Sulaiman Hadi!

Malam semakin larut, di luar rumah kedengaran cengkerik galak menyanyi.


Tetapi Sulaiman masih tidak dapat melelapkan matanya. Entah apa
masalahnya, matanya masih tidak mahu dilelapkan. Sudah puas dia berkalih
tempat tidur, sekejap miring ke kanan,sekejap ke kiri. Sejak pertama kali
terpandang wajah itu, di matanya sentiasa terbayang- baying keayuan Cikgu
Nurain. Sudah puas dia menidakkan perasaan hatinya bahawa Cikgu Nurain
memang hebat! 'Ah, mengapalah namanya Nurain? Mengapa tidak Balqis?"
Bentak hati kecilnya. Tanpa menunggu dengan lebih lama dia terus berwuduk
dan melakukan solat istikarah agar dia diberi petunjuk...

Suasana itu memang indah dan mendamaikan. Pohon-pohon hijau


merendang dan dihiasi dengan bunga-bunga yang berwarna-warni serta
harum baunya. Dari jauh, Sulaiman terpandang seseorang yang berkerudung
hijau muda di pinggir tasik. Dengan perlahan dia menghampiri lembaga itu.
'Ah, wanita rupanya' bisik hati kecil Sulaiman. Dia memberanikan diri untuk
menyapa wanita itu.

" ."

" , Sulaiman," jawabnya.

"Eh, saudari tahu nama saya?"

"Ya," jawabnya pendek.

"Bagaimana pula saudari tahu nama saya? Siapa saudari ni?" tanya Sulaiman
keliru.

"Saya Balqis."

"Balqis?." Tersentak dengan itu, Sulaiman terjaga. Cepat-cepat dia


beristighfar. Sayup- sayup kedengaran suara azan berkumandang memecah
kesunyian pagi. Sulaiman kaget, sudah tiga malam berturut-turut dia
mengalami mimpi yang sama. Pagi itu dia segera mengisi borang cuti
kecemasan. Dia terus memandu ke rumah
Kak Longnya.
"Sebenarnya Angah, mak dan kak Long kau adalah merisik serba sikit
tentang cikgu Nurain tu, Daripada pandangan mata mak , dia baik, sesuai
kalau kau nak jadikan isteri. Tapi, sayangnya namanya Nurain, bukannya
Balqis seperti yang kau idamkan."

"Itulah sebabnya saya balik ke mari hari ni juga sebab nak bincangkan
perkara inilah mak," ucap Sulaiman sambil membetulkan silanya.

"Tapi masalahnya, bila saya buat istikarah, saya tetap dapat petanda yang
nama gadis tu Balqis... ini yang merunsingkan saya mak, sebab saya rasa
saya dah jatuh hati pada cikgu Nurain."

"Angah, petunjuk dari Allah tu macam-macam. Kata orang, tak semestinya


kita nampak wajah orang tu... kadang-kadang ia bergantung kepada
kekuatan perasaan kita juga," sampuk Siti Mariam yang baru saja
meletakkan Luqman ke dalam buaian.

"Betul tu Sulaiman, cuba kamu fikirkan mengapa selepas kamu terjumpa


Nurain, perasaan kamu dah lain? Sebelum ni kamu tak pernah berperasaan
beginikan? Walaupun dah ramai orang kamu jumpa ?" Tanya ibunya.
Sulaiman hanya mengangguk lemah.

"Macam nilah Angah, kak Long cadangkan supaya Angah berjumpa dengan
Cikgu Nurain tu. Terangkan hal yang sebenar."

"Biar betul Kak Long ni? Nak suruh saya pergi buta macam tu je... cakap
saya sukakan dia? Terkejut beruk cikgu tu karang! Mahunya dia pengsan
seminggu!"

"Ishh.... gentleman la sikit Angah, lagipun kita berhajat baik. Cikgu Nurain
tupun berpelajaran juga, takkanlah dia nak cepat melatah. Kalau dah suka
tu... cepat- cepatlah sikit, nanti terlepas susah pulak! Lagipun apa yang kak
Long tahu, dia belum berpunya tau."

"Eh, macam mana Kak Long tahu ni?"

"Alahh, kami ni kan perempuan?" Ujar Siti Mariam tersenyum lebar.

"Macam ni Sulaiman. Hari tu terlanjur Kak long kamu menghantar Aidil ke


tadika mak ikut sekali, dapatlah bersembang dengan cikgu tu" terang Puan
Asiah.

"Hmm.. mak promote le serba sikit tentang Angah.. tapi tak la lebih-lebih"
sampuk Siti Mariam.

"Eh, iya ke mak? Terima kasihlah sebab bersusah payah pasal saya. Kalau
dah macam tu, rasanya eloklah saya bertemu dengan Nurain sendiri," ujar
Sulaiman bersemangat.
Dalam pejalan ke Tadika An-nur fikiran Sulaiman semakin berkecamuk.
Degupan jantungnya semakin kuat. Pelbagai persoalan bermain di fikirannya.
Adakah tindakan yang bakal diambilnya itu tepat? Mengapa egonya selama
ini musnah kerana seorang wanita bernama Nurain? Di manakah ikrarnya?
Sulaiman hanya untuk Balqis? Dia semakin keliru. Namun dia sudah nekad.
Setibanya dia di perkarangan tadika itu, jam telah menunjukkan pukul 11.40
pagi. Suasana sekeliling tadika lengang kerana kanak-kanak telahpun pulang
dari tadika. Dari jauh Sulaiman ternampak kelibat dua manusia, Cikgu Nurain
menemani Aidil di taman permainan kecil di sebelah tadika.

" ," sapa Sulaiman.

" ," jawab Cikgu Nurain lembut.

"Saya Sulaiman, pakcik kepada Aidil. Maaflah buat cikgu terpaksa menunggu
Aidil. Emaknya tak dapat jemputnya. Dia minta saya jemput," terang
Sulaiman membuka bicara. Hatinya semakin berdebar-debar. Aidil yang tadi
leka bermain terus berlari menghampirinya apabila ternampak kelibat
Sulaiman.

"Cik Man... nak jemput Aidil ke? Boleh tak Cik Man tunggu sekejap? Aidil tak
puaslah main buaian..." rengek anak kecil itu.

"Pergilah main, lagipun Cik Man ada hal sikit dengan cikgu Nurain. Nanti Cik
Man panggil Aidil ok?" Beritahu Sulaiman sambil melemparkan senyuman.

"Cikgu Nurain, boleh saya bercakap sekejap?" Tanya Sulaiman agak gugup.

"Boleh, apa salahnya, cakaplah saya sudi mendengarnya" jawabnya lembut.


Bibirnya terukir segaris senyuman manis, lantas dia menundukkan wajahnya.
Sulaiman terpesona melihat cahaya mata Nurain buat kali pertama. Hatinya
semakin berdebar. Lidahnya bagaikan kelu untuk berkata, namun digagahi
juga.

"Sebenarnya apa yang saya ingin katakana ini agak berat sedikit. Saya harap
Nurain tak tekejut mendengar apa yang ingin saya katakan nanti." Sulaiman
tarik nafas dalam-dalam, lalu dihembuskannya perlahan-lahan. Dia mencari
sedikit kekuatan dan ketenangan untuk meneruskan bicara. Nurain yang dari
tadi duduk, tenang menunggu bicara apa yang bakal diluahkan.

"Sebenarnya, sejak pertama kali saya bertemu Nurain, hati saya terpaut.
Namun, saya telah cuba menafikan perasaan itu tetapi saya telah gagal.
Masa tu saya agak gementar dan takut untuk menuruti kata hati saya
kerana.."

"Kerana nama saya Nurain dan bukannya Balqis?" pintas Nurain.


"Err... mana Nurain tahu?" Tanya Sulaiman kaget.

"Adalah, rahsia.." ujar Nurain sambil menekup mulutnya menahan tawa.

Dalam fikiran Sulaiman terbayang wajah Kak Long dan emaknya. Ini mesti
kerja pakatan komplot dua beranak tu, entah-entah Aidilpun terlibat tak?
Detik hati kecilnya. " Betul, tapi itu dulu. Saya terlalu mengikut perasaan,
tenggelam dalam ilusi saya sendiri. Mungkin saya tidak berpijak di dunia
yang nyata waktu tu. Tapi setelah
saya fikirkan masak-masak, apa ada pada nama?"

"Boleh saya tahu..itupun kalau Sulaiman tak keberatanlah, boleh ceritakan


sikit tak... kenapa nak sangat dengan orang yang bernama Balqis ni?
Girlfriend lama ke?"

"Eh, tak adalah... saya ni belum pernah ada teman istimewa, sebab sebelum
ni saya terlalu komited terhadap studi dan kerjaya... sampaikan terlupa hal-
hal lain. Tapi kalau saya ceritakan kenapa saya sukakan orang yang bernama
Balqis, Nurain jangan ketawakan saya tau. Janji?" tanya Sulaiman
besungguh.

"Ok, saya janji."

"Ceritanya begini. Masa saya kecil-kecil dulu, arwah datuk saya suka
bercerita tentang nabi-nabi. Salah satu daripadanya, tentang nabi Sulaiman
dengan ratu Balqis. Sejak dari situlah saya terpengaruh untuk mencari
pasangan hidup bernama Balqis juga! Sebab kebetulan nama sayapun
Sulaiman." ujar Sulaiman jujur. Nurain tertawa kecil.

"Pelik betul awak ye? Kalaulah semua orang lelaki di dunia ni macam awak...
" Nurain tidak meneruskan kata. Geli hatinya mendengar cerita Sulaiman itu.

"Hmm kalau saya tanyakan sesuatu boleh?"Tanya Sulaiman. Nurain hanya


menganggukkan kepalanya.

"Nurain sudah berpunya?." Nurain menggelengkan kepala.

"Sudi tak Nurain terima saya?" tanya Sulaiman berani. Nurain terdiam
seketika. Pandangannya dilemparkan jauh-jauh. Beberapa ketika kemudian
dia bersuara.

"Saya ni belum berpunya. Tentang pilihan jodoh, saya serahkan kepada bapa
saya. Kalau dia setuju, setujulah saya. Bagi pihak diri saya tiada halangan."

Hati Sulaiman sedikit berbunga, halangan pertama rasanya sudah dilepasi.


Namun dia perlu berjumpa dengan keluarga Nurain sendiri.
"Kalau begitu, bila agaknya masa yang sesuai saya bertemu dengan keluarga
Nurain?"

"Hmm.. datanglah ke rumah Ahad ni. Ada sedikit kenduri kesyukuran. Majlis
doa selamat untuk adik saya yang nak ke oversea. Bolehlah Sulaiman
berjumpa dengan saudara-mara sekali."ujarnya sopan.

" Insya-Allah" jawab Sulaiman pendek.

"Hmm, saya rasa dah lewat ni. Lagipun tak manis dipandang orang. Kalau
tak ada hal lain lagi, saya minta diri dulu ye. ." Pinta Nurain dan
berlalu pergi.

" " balas Sulaiman pendek sambil matanya menghantar Nurain


jauh hingga keluar pintu pagar tadika. Malam itu selepas menikmati makan
malam, Sulaiman sekeluarga duduk di anjung depan rumah. Aidil dan
Luqman sudah lama dibuai mimpi. Dari tadi emak dan abang ipar Sulaiman
membisu seribu bahasa. Sulaiman pula entah melayang ke mana.

"Ha Angah, apa keputusannya? Jadi ke rumah Nurain?"

"Kalau diikutkan hati, memanglah jadi, tapi risau pula saya kalau-kalau
keluarga Haji Syukri tu tak dapat terima kehadiran saya nanti. Silap-silap
Haji Syukri tembak saya dengan senapang gajah, naya saya!"

"Janganlah risau dan fikirkan yang bukan-bukan. Haji Syukri tu baik


orangnya. Untuk pengetahuan kamu, mak ada berjumpa dengannya
merisikkan Nurain. Setakat ni mak belum dapat kata putus darinya. Rasanya
dia tiada halangan cuma dia ingin berjumpa dengan kamu" ujar Puan Asiah
bersahaja.

"Eh, mak risikkan Nurain tanpa pengetahuan saya?"

"Hmm.. mak kenal benar dengan citarasa anak mak ni. Tak payah nak
berselindung, sekilas ikan di air, mak dah tahu jantan betinanya! Lagipun
mak berkenan benar dengan Nurain. Sekarang ni cuma bergantung kepada
kamu, kamu yang nak berkahwin... terpulanglah. Emak tak mahu memaksa"
ujar Puan Asiah panjang lebar. Dengan perlahan Sulaiman menarik nafasnya
dalam-dalam, lalu dihembusnya lama-lama... dia benar-benar lega!

Suasana rumah Haji Syukri agak lengang. Kelihatan hanya saudara mara
rapatnya sahaja yang masih tinggal. Dari tadi Nurain tak menang tangan
melayani tetamu- tetamu wanita di bahagian dapur. Kini dia sibuk
menghidangkan sedikit jamuan untuk ibu dan kakak Sulaiman yang datang
agak lewat. Di anjung rumah, kelihatan Haji Syukri sedang rancak berbual
dengan Haris, abang ipar Sulaiman. Di sebelahnya kelihatan Sulaiman yang
sedang 'control macho' . Kalaulah ditoreh mukanya... entah-entah tak
berdarah kot?
Sesekali terdengar mereka tertawa kecil,entah apa yang melucukan.
Sulaiman dapat merasakan kemesraan antara dia dan Haji Syukri kian
terjalin. Tanggapannya tentang Haji Syukri sebelum ini ternyata meleset. Haji
Syukri peramah dan pandai menyusun kata. Maka tak hairanlah jika dia
mengajar di surau pasti penuh sesak dengan jemaah.

" Ha Syukri, mana bakal menantu kamu?" tanya seorang lelaki yang umurnya
hampir seabad. Namun lelaki itu kelihatan masih sihat dan wajahnya tenang
mendamaikan. Perbualan Haji Syukri, Haris dan Sulaiman terhenti seketika.

"Hmm, ini dia ayah" ucap Haji Syukri sopan sambil menunjukkan ke arah
Sulaiman yang berada di sebelah Haris. Dia tersenyum tenang. Sulaiman
tiba-tiba gugup! 'Eh, biar betul Haji Syukri ni.... kalau nak berguraupun
janganlah buat aku aku terkejut macam ni' detik hati Sulaiman.

"Sulaiman, inilah datuk Nurain, baru semalam sampai dari kampung"


perkenal Haji Syukri.

"Apa khabar Tok? Saya Sulaiman" ujar Sulaiman sambil bersalam.

" Oh, inilah bakal suami Balqis ye? Hmm secocok benarlah!" ucapnya sambil
tersengih menampakkan beberapa batang gigi yang masih tinggal.

"Balqis?" Sulaiman tersentak apabila nama itu disebut. Dia keliru.


Dikumpulnya keku-atan, lalu dia bertanya dengan sopan.

"Maafkan saya, tadi Tok menyebut nama Balqis, siapa tu Tok?" Tanya
Sulaiman dengan wajahnya penuh persoalan. Datuk hanya tersengih, lalu
memandang tepat ke muka Haji Syukri. Haji Syukri turut tersenyum.
Seketika kemudian Haji Syukri bersuara tenang

"Balqis tu, Nurainlah. Nama sebenarnya Nurain Balqis. Datuk yang


memberikan nama tu padanya. Hanya datuk yang memanggil namanya
Balqis, sedangkan ahli keluarga yang lain memanggilnya Nurain. Dah panggil
Nurain dari kecil, jadi melekatlah hingga ke besar", terang Haji Syukri
memecahkan kebuntuan. Penerangan Haji Syukri itu membuatkan semua
orang faham, lebih-lebih lagi Sulaiman. Dia tersenyum sendirian. Dalam
hatinya mengucap kesyukuran. Doanya di depan Kaabah telah
diperkenankan. Ikrarnya Sulaiman hanya untuk Balqis bakal terlaksana...
dan senyumannya semakin lebar.

Anda mungkin juga menyukai