Anda di halaman 1dari 10

MBMMBI perlu dipercepat untuk manfaat pelajar

PELAKSANAAN dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam sistem pendidikan mampu meletakkan status Bahasa Kebangsaan di tempat sewajarnya sejajar peruntukan perlembagaan. MBMMBI yang akan menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), adalah strategi serampang dua mata kerajaan bagi memartabatkan bahasa Melayu tanpa meminggirkan kepentingan bahasa Inggeris. Justeru, usaha kerajaan mempercepatkan MBMMBI yang sebelum ini disasarkan bermula pada 2012 kepada 2011, membabitkan murid Tahun Satu, mampu melerai kekusutan dalam usaha memperkukuh Bahasa Kebangsaan. Langkah memperluaskannya kepada murid Tahun Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat setahun kemudian pula membuka ruang untuk mengkaji kelemahan yang ada serta membuat penambahbaikan bagi memastikan matlamatnya dicapai. Sememangnya kaedah terbaik memperkukuh bahasa Melayu di kalangan masyarakat ialah menerusi penyediaan asas kukuh untuk generasi muda melalui asuhan bermula di bangku sekolah. Walaupun peringkat awal pelaksanaan MBMMBI mungkin memerlukan kos tinggi bagi penyediaan peralatan dan sebagainya, ia diyakini jauh lebih berkesan dalam melonjakkan penguasaan serta penggunaan bahasa Melayu. Pelaksanaannya juga dapat meredakan kebimbangan beberapa pihak terhadap kedudukan bahasa Melayu yang seolah-olah semakin terpinggir kesan himpitan ledakan teknologi. Ia turut menjadi bukti komitmen kerajaan memperkukuh kedudukan bahasa itu, sekali gus menghantar mesej yang jelas kepada masyarakat betapa ia harus didahulukan dalam segala hal. Pada masa sama, pelaksanaan MBMMBI diharap dapat menghapuskan sebarang tekanan yang selama ini menghalang usaha kerajaan menguatkuasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Apabila ia sudah dididik dan diasuh secara sistematik melalui sistem pendidikan sejak di peringkat awal, masyarakat tiada alasan untuk mendakwa mereka tidak dapat menguasainya dengan baik. Ini sudah tentunya membuka pintu lebih luas untuk pelbagai langkah susulan mendaulatkan Bahasa Melayu dilaksanakan. Dalam konteks lebih besar, usaha itu juga pasti diterima baik kerana dilakukan tanpa mengabaikan hakikat bahawa bahasa Inggeris akan terus diperkukuhkan sejajar statusnya sebagai medium komunikasi utama antarabangsa. Ini tentunya memberi kelegaan kepada seluruh masyarakat kerana mereka mampu meraih faedah daripada kedua-duanya. Kecintaan terhadap bahasa Kebangsaan akan menyumbang ke arah pembentukan perpaduan dan jati diri masyarakat manakala keupayaan menguasai bahasa Inggeris meningkatkan daya saing di arena global. Atas dasar itu, kita harap kerajaan sedia mengambil apa juga langkah perlu bagi memastikan MBMMBI dapat dimulakan seawal 2011 kerana ia memang sesuatu yang amat wajar dipercepatkan demi manfaat semua pihak.

Sumber : http://www/bharian.com.my/

Pelaksanaan dasar MBMMBI adalah untuk meletakkan kembali kedaulatan bahasa ke landasan yang betul. Kekuatan sesuatu bahasa akan terjejas dan merosot sekiranya dihilangkan kandungan elemen keilmuan terutama yang merangkumi bidang sains, matematik dan teknologi. Dibimbangi akhirnya bahasa itu akan berada di tahap rendah dan hanya layak dipertuturkan di kedai-kedai kopi atau di tepi-tepi jalan sahaja. Ia tidak akan dapat digunakan secara rasmi dalam majlis-majlis keilmuan berskala tinggi dalam seminar, konvensyen atau perbincangan-perbincangan. Malah lebih menyedihkan usaha yang telah dirintis oleh pelbagai pihak untuk mengangkat martabat bahasa tersebut hingga ke peringkat antara bangsa akan menjadi sia-sia. Amat malang bagi perkembangan bahasa Malaysia yang ditutur hanya kira-kira 27 juta orang yang tinggal dari Arau, Perlis hingga ke Tawau, Sabah jika rohnya tidak diangkat dan didaulatkan. Ramai daripada pejuang bahasa yang banyak berjasa bagi mengangkat martabat bahasa telah meninggal dunia. Jika ada yang masih hidup mereka pasti akan menggelengkan kepala melihat bagaimana generasi kini telah luntur semangat cintakan bahasa. Tidak seperti di negara lain di mana rakyatnya sangat sayangkan bahasa dan bangga menggunakan bahasa mereka. Jelas sekali tidak ada perasaan rendah diri atau rasa bersalah jika bahasa mereka digunakan walaupun dalam persidangan bertaraf antarabangsa atau majlis-majlis rasmi yang dihadiri oleh warga luar negara. Dasar MBMMBI Kementerian Pelajaran telah mengambil langkah proaktif untuk mengembalikan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah dan dalam Bahasa Malaysia di peringkat menengah bermula tahun hadapan. Bagi memperkukuhkan bahasa Inggeris, kurikulum baru KSSR telah diperkenalkan di mana pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut ditambah nilai supaya menjadi lebih menarik dan menyeronokkan pelajar. Elemen gerak karja seperti nyanyian, lakonan, kuiz, perbincangan, pembacaan dan lain-lain akan diperbanyakkan. Bagi memantapkan lagi pengajaran bahasa itu tambahan masa dalam jadual pengajaran telah ditingkatkan hampir sekali ganda lagi. Seperti yang dimaklumi bagi memantapkan lagi pengajaran bahasa tersebut lebih 300 orang guru berpengalaman yang terdiri dari penutur jati daripada United Kingdom telah didatangkan. Difahamkan tidak lama lagi guru-guru daripada Amerika Syarikat akan dibawa masuk di mana perbincangan-perbincangan peringkat akhir telah pun dilaksanakan. Amat wajar sekali dasar PPSMI ditukar kepada MBMMBI kerana menurut laporan UNESCO yang membuat kajian terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran didapati ia lebih berkesan jika diajar melalui bahasa ibunda atau bahasa yang mereka

fahami. Itulah sebabnya kita masih lagi mengekalkan sekolah aliran Cina dan India kerana pembelajaran menjadi lebih mudah jika dilaksanakan dalam bahasa yang mereka telah biasa gunakan. Demikian juga bakal guru dan guru-guru digalakkan mempelajari bahasa atau dialek yang digunakan oleh Orang Asli atau dialek penduduk kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Ini bertujuan untuk memudahkan guru menjelaskan maksud sesuatu perkataan atau istilah yang sukar difahami dengan lancar kepada pelajar-pelajarnya. Dalam pelaksanaan dasar PPSMI, faktor guru juga memainkan peranan penting. Kebanyakan guru adalah mereka yang terdidik melalui sistem pendidikan kebangsaan, oleh itu untuk menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran mungkin memerlukan sedikit masa lagi. Ini diikuti pula faktor keyakinan diri terutama mereka yang mengajar di kawasan bandar yang kebanyakan pelajarnya mempunyai latar belakang bahasa Inggeris. Satu lagi isu yang dihadapi ialah berkaitan dengan kefahaman pelajar mengikuti pembelajaran mata pelajaran tersebut terutama dari segi konsep atau istilah-istilah baru. Dalam usaha untuk memberi kefahaman kepada pelajar ada kalanya guru terpaksa menggunakan bahasa Malaysia bagi menerang atau menjelaskan sesuatu yang tidak difahami oleh pelajar. Keadaan tersebut boleh menyebabkan pembaziran masa di mana guru terpaksa mengulang beberapa kali dengan mengalih bahasa dalam pengajarannya. Sebagai guru yang berkesan, apa yang penting ialah kefahaman pelajar tentang perkara yang diajarnya. Walaupun guru menggunakan pelbagai kaedah pengajaran yang canggih tetapi akhirnya yang diukur dan diambil kira ialah sejauh mana kefahaman pelajar terhadap apa yang diajar oleh guru. Kesan dasar PPSMI yang telah dilaksanakan mulai 2003 terbukti melalui penilian yang dibuat oleh badan antara bangsa pada tahun 2009. Didapati pencapaian pelajar menurun jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Akibatnya ranking negara dalam pengajaran kedua-dua mata pelajaran turut terjejas jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Penukaran dasar PPSMI kepada MBMMBI bukanlah bermakna kita anti bahasa Inggeris. Namun demikian sejak akhir-akhir ini terdapat beberapa kumpulan NGO yang menyuarakan pendapat supaya PPSMI dikaji semula. Ada di antara mereka yang mencadangkan dikembalikan semula pengantar bahasa Inggeris atau setidak-tidaknya memberi pilihan kepada ibu bapa dan sekolah untuk meneruskan dasar PPSMI. Difahamkan ada di antara NGO tersebut telah menghantar memorandum kepada pihak tertentu supaya cadangan mereka diberi perhatian. Sesungguhnya perubahan dasar PPSMI kepada MBMMBI akan meningkatkan lagi kualiti pendidikan dan memberi manfaat yang besar kepada semua pelajar

Lupakan PPSMI, gerakkan MBMMBI


Oleh Sidek Baba ISU Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sepatutnya sudah selesai. Persiapan melancarkan program pendidikan Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) sedang rancak berjalan. Sebelum pendekatan MBMMBI diambil, perbincangan dilakukan melibatkan banyak kelompok yang berkepentingan. Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencari kebijaksanaan atas aspirasi Perlembagaan, Perkara 152 dan Akta Pendidikan 1996 memperkenalkan jalan keluar menang-menang supaya bahasa Melayu diperteguhkan dan Bahasa Inggeris diperkukuhkan. Amat pelik terdapat sebahagian kecil orang Melayu yang mencadangkan supaya persekolahan dua aliran bahasa iaitu satu bahasa Inggeris dan satu lagi bahasa Melayu supaya memberi pilihan kepada ibu bapa untuk menghantar sekolah mana yang mereka suka. Cadangan ini tidak mendukung aspirasi nasional yang menjadikan faktor bahasa Melayu sebagai faktor pemersatu. Bakal berlaku jurang dan strata sosial yang amat ketara sekiranya perkara itu terjadi. Akan lebih terserlah golongan elitis seperti yang terjadi di awal 1970-an dahulu. Ada juga kelompok yang ingin membawa isu ini ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seolah-olah kepemimpinan negara ini dan pemimpin yang mempunyai kepentingan mengenai isu bahasa Melayu tidak memiliki kekuatan ilmiah yang tinggi dan tidak pandai membuat keputusan bijaksana sehingga perlu meminta bantuan pihak lain. Ada juga yang berpendapat bahawa bahan-bahan rujukan mengenai sains dan matematik banyak dalam bahasa Inggeris dan usaha menterjemahkannya memakan masa. Bagaimana Cina, Korea Selatan dan Jepun mengatasi perkara ini harus memberi contoh kepada kita di Malaysia, bukan bersifat mengalah. Lebih penting lagi seperti yang diungkapkan oleh Sapir 1949 dan Whorf 1956, dalam bahasa apakah kita hendak anak-anak melihat dan berfikir tentang dunia dan alamnya. Bahasa bukannya sekadar alat perantara ilmu dan kemahiran berfikir, ia membawa nilai dan budaya, mewarnai jati diri, memberi makna kepada hati budi dan turut mencorakkan pandangan kesemestaan yang akan memandunya dalam mengharungi kehidupan. Muhyiddin baru-baru ini membuat penegasan bahawa MBMMBI akan diteruskan dan ia suatu ketegasan yang amat ditunggu-tunggu. Tekanan yang dihadapi oleh beliau memang tidak pernah reda. Tapi tekadnya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasa bahasa Inggeris adalah suatu tindakan yang betul dan berhemah. Pelaksanaan PPSMI yang berlaku pada tahun-tahun terdahulu tidak dibuat dengan persiapan yang rapi. Terdapat guru Bahasa Inggeris yang mengajar bahasa Inggeris

dan terdapat sebahagian besar guru Sains dan Matematik yang tidak cekap berbahasa Inggeris yang disuruh mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Dari sudut pedagogi ia adalah sesuatu yang salah. Akhirnya penguasaan ilmu di kalangan murid ibarat pakai kain singkat, tarik ke atas nampak lutut dan tarik ke bawah nampak pusat. Dengan tekad Kementerian Pelajaran untuk mengambil guru-guru yang bahasa ibundanya bahasa Inggeris dari luar, melatih anak-anak yang berbakat dalam bahasa Inggeris menjadi guru bahasa Inggeris yang terlatih, menyusun semula kurikulum bahasa Inggeris supaya sesuai dengan etos Malaysia, menyediakan makmal bahasa yang mempercepatkan penguasaan bahasa Inggeris, menyemak kembali pendekatan pedagogi yang lebih dinamik adalah langkah-langkah berdaya maju yang boleh meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan berkesan. Mengapa tidak dibenarkan strategi ini mengambil tempat dan penilaian terhadapnya boleh dilakukan selepas ia dilaksanakan beberapa tahun akan datang. Ia adalah lebih adil dan demokratik. Mengadakan referendum juga adalah tidak perlu. Strategi MBMMBI adalah selari dengan semangat Perlembagaan negara dan ia tidak bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996. Melainkan dasar ini bercanggah dengan dengan Perkara 152 dalam Perlembagaan 152 dan Akta Pendidikan 1996 maka referendum boleh menjadi salah satu kayu ukuran terhadap isu ini. Mengikut sumber yang saya petik daripada Prof. Dr. Ahmad Termizi, seorang sarjana fizik dari Universiti Teknologi Malaysia menyatakan penukaran bahasa pengantar di sekolah daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu telah menghampirkan kepada matlamat mewujudkan peluang yang lebih saksama. Pencapaian pelajar bumiputera, secara keseluruhannya, lebih setara dengan pencapaian pelajar bukan bumiputera, jika dibandingkan dengan pencapaian sebelum 30 tahun yang lampau iaitu semasa pengajaran menggunakan bahasa Inggeris. Buat pertama kalinya dalam sejarah, jumlah pelajar bumiputera yang memperoleh gred cemerlang dan kepujian dalam mata pelajaran Fizik telah melebihi jumlah pelajar bukan bumiputera dalam peperiksaan SPM 2001 iaitu bumiputera 23,157 orang dan bukan bumiputera 22,929 orang. Kini jumlahnya setara dengan jumlah pelajar bukan bumiputera. Dari segi kuantiti, matlamat kesaksamaan ini hampir dicapai walaupun dari segi kualiti masih banyak usaha gigih perlu dilakukan. Kestabilan relatif yang telah memberi peluang yang saksama antara pelajar bumiputera ini tidak wajar diganggu-gugat dengan sesuatu yang masih tidak menentu kesannya dan mengandungi unsur risiko yang tinggi. Berdasarkan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris yang masih berlaku kini di kalangan pelajar bumiputera, kerisauan bahawa penggunaan bahasa Inggeris secara tunggal bagi mata pelajaran Sains dan Matematik berkemungkinan akan merencatkan

pencapaian pelajar bumiputera, mempunyai asas yang wajar diambil kira dan tidak boleh diketepikan begitu saja. Kita memerlukan tekad politik dan azam memartabatkan bahasa Melayu yang tinggi supaya akhirnya bahasa Melayu mampu menempatkan diri sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa. Kalaulah isu globalisasi dijadikan faktor utama bahasa Inggeris perlu didaulatkan betapa nanti Tanah Besar Cina bakal menjadi kuasa besar, apakah di waktu itu nanti kita bakal beralih kepada bahasa Cina pula dan meninggalkan bahasa Inggeris. Mempelajari bahasa Cina tidak salah tetapi menolak pemartabadan bahasa Melayu dalam konteks negara Malaysia adalah suatu langkah yang silap. Ilmuwan Islam terdahulu menguasai berbagai bahasa tamadun tetapi penggunaan bahasa Arab tetap menjadi keutamaan.

Khamis, 9 Jun 2011


ISU BAHASA : Pelajar harus ada kesedaran awal guna bahasa betul

PERKEMBANGAN pesat teknologi maklumat dan penggunaan gajet serba moden lagi canggih sejak akhir-akhir ini bukan saja merubah cara manusia berkomunikasi menjadikannya lebih pantas biar pun di mana berada, malah ia juga mampu merubah gaya hidup mereka. Satu daripada perubahan ketara yang berlaku sehingga menjadi satu fenomena terutama di kalangan generasi muda kini ialah penggunaan bahasa singkatan SMS dan sembang siber. Memandangkan ia sudah menjadi amalan kehidupan seharian golongan muda, penggunaan bahasa singkatan SMS dan sembang siber didapati semakin mempengaruhi kehidupan dan urusan harian mereka terutama pelajar termasuk dalam menyiapkan tugasan sekolah dan tesis pada peringkat pengajian tinggi. Bahasa yang digunakan dicampur aduk dan diringkaskan sehingga hilang ejaan, struktur ayat dan kosa kata asalnya menjadikan golongan bukan sebaya sukar memahaminya. Penggunaan singkatan SMS menerusi telefon bimbit atau laman sosial memang bukan satu kesalahan, namun kesannya terhadap pelajar jika sudah terbiasa sehingga terbawa-bawa dalam penulisan karangan atau menulis jawapan dalam peperiksaan yang mereka duduki boleh menjejaskan masa depan. Menyedari kesan negatif ini, mereka harus lebih berhati-hati dan tidak terbawa-bawa dengan gaya penulisan tidak beretika ini dalam setiap urusan rasmi. Tentunya tidak wajar bahasa singkatan ini digunakan bagi tujuan penulisan karangan di sekolah

mahupun tesis atau tugasan di pusat pengajian tinggi. Pelajar harus bijak membezakan bila mereka patut menggunakan bahasa singkatan dan bila pula menggunakan bahasa rasmi standard. Guru juga tidak harus menggunakan bahasa singkatan ini ketika menulis nota, membuat catatan atau menjawab mesej daripada pelajar kerana ia boleh menjadi alasan bagi mereka terus mengguna pakai bahasa singkatan SMS dalam pelajaran. Anggaplah pendedahan yang dibuat menerusi laporan akhbar ini semalam dan kelmarin sebagai peringatan semua pihak termasuk pelajar supaya lebih berwaspada ketika membuat tugasan tertentu. Gejala bahasa singkatan SMS ini jika dibiarkan boleh menjejaskan kualiti bahasa Melayu dalam peperiksaan. Oleh itu ia harus dibendung segera dan disekat dengan berkesan sebelum menjadi semakin kronik. Pihak sekolah hendaklah mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah ini dan sentiasa mengingatkan pelajar agar tidak menggunakan bahasa tidak rasmi ketika menulis karangan, termasuk tesis di peringkat pengajian tinggi. Oleh kerana gejala ini berlaku secara berleluasa di kalangan pelajar Melayu khususnya, kita khuatir satu hari nanti pencapaian pelajar Melayu bagi subjek Bahasa Melayu akan lebih teruk berbanding bukan Melayu. Kegagalan pelajar menulis bahasa standard kerana sudah terbiasa menggunakan bahasa singkatan SMS atau chatting ini pada peringkat sekolah akan memberi kesan negatif terhadap keyakinan mereka menghasilkan penulisan bermutu apabila melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Justeru, adalah wajar pelajar sendiri mempunyai kesedaran untuk menggunakan bahasa betul dan tidak terpengaruh dengan bahasa singkatan SMS dan siber ketika membuat tugasan sekolah sejak peringkat awal lagi. Sumber : http : //www.bharian.com.my/

SU BAHASA : Galak rakyat guna bahasa kebangsaan

KEMPEN menggunakan bahasa kebangsaan bukan sahaja harus diteruskan, malah diperhebatkan melalui semua saluran yang ada di negara ini. Baik saluran media cetak mahupun media elektronik ataupun pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT), kesemuanya perlu duduk semeja bagi membincangkan kaedah pantas yang dapat menyedarkan orang ramai pentingnya penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan seharian. Melalui penguatkuasaan peraturan dan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sesuatu boleh dilakukan untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan rakyat negara ini. Jika perlu memaksa, maka lakukan dari sekarang kerana kita lihat bahasa kebangsaan hari ini bukan sahaja tidak digunakan

dengan meluas terutama dalam kalangan kaum bukan Melayu, malah tidak dihormati dan tidak dimartabatkan dengan sewajarnya. Penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan hendaklah diberi perhatian serius termasuk mewajibkan majlis-majlis di peringkat nasional menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan. Bak kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, terdapat penganjur yang sengaja menggunakan bahasa Inggeris walaupun tetamu yang hadir hanya dua atau tiga orang bangsa asing. Pihak penganjur yang 'berlagak' dan sombong seperti itu sewajarnya dikenakan tindakan tegas kerana memperlekehkan bahasa kebangsaan. Begitu juga sidang media yang diadakan oleh penganjur majlis diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya. Jika gagal berbuat demikian, maka denda boleh dikenakan. Kadangkala, tindakan 'keras' seperti denda dan tidak memperbaharui lesen perniagaan bagi pengusaha yang ingkar menggunakan bahasa kebangsaan pada papan iklan di premis masing-masing perlu dilakukan demi maruah bahasa kebangsaan. Alasan kurang fasih berbahasa kebangsaan tidak lagi boleh diterima memandangkan negara telah mencapai kemerdekaan selama 54 tahun pada 31 Ogos ini. Mustahil dalam tempoh itu, rakyat gagal belajar menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Sebagai warganegara Malaysia yang merdeka, setiap rakyat sepatutnya mampu bercakap dalam bahasa kebangsaan dengan baik tanpa pelat pembawaan bahasa ibunda. Namun, amat malang sekali kerana tidak hanya kaum bukan Melayu yang malu dan gagap bercakap dalam bahasa kebangsaan, malah ada orang Melayu sendiri bersikap sedemikian. Bagi Melayu lupa diri itu, tidak glamor jika bercakap Melayu (bahasa kebangsaan) dan kerana itu, mereka lebih selesa bercakap dalam bahasa penjajah. Tak payahlah kita mengambil contoh rakyat di negara Jepun dan Korea yang begitu menyanjung tinggi bahasa mereka. Lihat saja contoh terdekat di negara jiran, Indonesia yang berjaya mendidik setiap rakyatnya termasuk daripada bangsa Cina supaya menggunakan bahasa Indonesia sepenuhnya dalam semua urusan harian. Justeru, tidak hairanlah apabila penduduk Cina di Indonesia begitu fasih bertutur di dalam bahasa nasional mereka berbanding dengan bahasa ibunda mereka. Tindakan tegas pemerintah Indonesia mendisiplinkan rakyatnya agar menggunakan bahasa Indonesia dalam segala urusan wajar dicontohi kerajaan Malaysia. Sebagai langkah permulaan, pihak kerajaan melalui PBT perlu mengetatkan peraturan dan mengambil tindakan tegas terhadap semua pengusaha perniagaan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan di papan iklan ataupun premis mereka. Pastikan juga setiap majlis menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya. Mulakan dari sekarang! Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Hentikan tindak-tanduk ketepikan bahasa kebangsaan

SETELAH Akta Dewan Bahasa dan Pustaka dipinda beberapa kali, kita terus-terusan diyakinkan bahawa bahasa Melayu tidak akan di kesampingkan. Tetapi hakikatnya, hari demi hari kita dapat melihat keresahan rakyat terhadap sikap tidak peduli banyak pihak terhadap penggunaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan. Bukan setahun dua atau sedekad lalu sahaja, tetapi sudah berpuluh tahun sejak negara ini merdeka - didapati banyak keadaan bahasa kebangsaan 'dilayan' dengan cara tidak sepatutnya. Sebagai langkah pertama membetulkan kesilapan itu, kita menyokong gesaan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan dalam membantu kerajaan memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam. Perkara ini sepatutnya telah dilakukan oleh penguat kuasa PBT sejak hari pertama Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan dikuatkuasakan.

Kita tak dapat nafikan sebagai mana kata Muhyiddin, jika PBT menguatkuasakan undang-undang yang mewajibkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam, dipercayai tiada lagi paparan iklan dan penamaan bangunan serta premis yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan. Kita ingin melihat perubahan ketara diambil oleh PBT setelah peringatan ini dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri. Atau selepas berakhir Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 ini, sikap dan pendekatan PBT masih cara lama. Elok berulang kali diingatkan kepada PBT, untuk mengajak masyarakat menghormati bahasa kebangsaan pada papan tanda dan iklan, maka kelemahan penguatkuasaan perlu diperbaiki segera. Tempoh sikap bertolak ansur dan sekadar beri nasihat elok dihentikan. Inilah antara faktor yang mungkin menyebabkan masyarakat memandang ringan dan mengabaikan bahasa kebangsaan sehinggakan kedudukannya masih tidak menentu walaupun lebih 53 tahun negara kita merdeka. Kerajaan juga patut bertegas melarang penggunaan bahasa lain untuk nama di bangunan pejabat, pusat beli-belah, kondominium, taman perumahan dan kelab rekreasi selain bahasa Melayu. Masih banyak perbendaharaan kata dalam bahasa kebangsaan yang belum digunakan dan 'manis' sebutannya. Kita cadangkan supaya dikawal dan bertindaklah lebih tegas dalam menangani isu papan tanda dan iklan yang berlesen dan tidak berlesen daripada terus mencemarkan bahasa kebangsaan di seluruh negara. Ambillah tindakan berani dan bersepadu dengan menurunkan semua papan tanda dan iklan tersebut. Sakit mata kita apabila membaca papan tanda iklan yang membelakangkan bahasa kebangsaan. Kita harus bersikap jujur dan sedar bahawa bahasa Melayu kini beransuransur hilang status dan wibawanya di negara ini. Oleh itu, tindak-tanduk mengetepikan bahasa kebangsaan sebagai mana dijamin dalam Perlembagaan wajar dihentikan. Hakikatnya kedudukan bahasa Melayu juga tidak boleh disamakan dengan bahasa lain. Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Anda mungkin juga menyukai