Anda di halaman 1dari 19

Pelajar secara individu melaksanakan tugasan berikut: Mendapatkan maklumat dan bahan daripada media cetak dan elektronik

berkaitan:

a) Konsep permainan traditional


Permainan tradisional berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Perkara utama yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat. Ada di antara permainan ini yang sekarang tidak dimainkan lagi tetapi hanya diketahui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita sahaja. Tetapi ada juga yang masih dimainkan lagi oleh kanak-kanak sehingga hari ini. Di antara permainan itu termasuklah , congkak, wau, batu seremban, sepak raga, gasing dan lain-lain. Tujuan: mengisi masa lapang, merayakan sesuatu pesta atau perayaan dan meningkatkan ukhuwah antara peserta.

Kepentingan Permainan Tradisional 1. Warisan Budaya Malaysia Hal ini adalah kerana permainan tradisional merupakan warisan nenek moyang kita yang melambangkan adat, budaya dan identiti sesuatu bangsa. Sekiranya permainan tradisional ini tidak dipertahankan sudah tentu generasi muda tidak mengenali budaya warisan mereka. Impaknya, generasi muda sudah tentu tidak akan mengenali permainan congkak, sepak raga, wau malah mereka begitu berbangga dengan permainan moden yang begitu pesat membanjiri pasaran kini. Jelaslah, permainan tradisional ini sangat penting kerana permainan ini merupakan warisan turun-temurun yang perlu dilestarikan untuk tatapan generasi akan datang.

2. Sebagai hiburan Permainan tradisional dapat dijadikan sebagai alat hiburan untuk mengisi masa lapang. Permainan tradisional dapat menghiburkan seseorang kerana

permainan ini menyeronokkan dan dimainkan secara berkumpulan. Sebagai contoh, permainan congkak yang memerlukan dua orang untuk memainkannya dan begitu juga permainan sepak raga yang perlu dimainkan secara berkumpulan. Secara tidak langsung, permainan tradisional ini dapat mengurangkan stress seseorang malahan dapat menyihatkan tubuh badan seseorang. Tegasnya, permainan tradisional bukan sahaja dapat

menghiburkan seseorang malah mengisi masa lapang dan menyihatkan tubuh badan. 3. Sebagai Produk Pelancongan Kepentingan seterusnya ialah permainan tradisional dapat dijadikan suatu produk pelancongan yang menguntungkan negara. Pada kebiasaannya, pelancong luar yang datang ke negara kita ingin melihat keunikan budaya warisan yang terdapat di Malaysia. Sebagai contoh, permainan wau ataupun layang-layang yang kini telah mendapat tempat di persada antarabangsa. Secara eksplisitnya, permainan tradisional ini dapat menarik pelancong asing dan berlakunya aliran masuk mata wang asing ke dalam negara.

b) Jenis-jenis permainan traditional


BATU SEREMBAN @ SELAMBUT @ SEREMBAT

Batu Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Kanak-kanak perempuan gemar memainkannya secara individu dan kebiasaannya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih. Guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil sederhana besar atau ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat biasanya digunakan oleh kanak-kanak dalam permainan ini sebanyak lima biji. Objek-objek ini dikenali sebagai buah. Permainan ini sering dimainkan diwaktu lapang, di serambi rumah, di dalam rumah atau dimana sahaja yang mereka gemari dengan memerlukan permukaan yang rata dan bersih. Para pemain hendaklah duduk di atas lantai, dengan cara begini memudahkan permainan tersebut dimainkan. Menentukan Giliran Sebelum permainan dimulakan, seorang demi seorang pemain dikehendaki menimbang buah, bagi mendapatkan mata sebagai penentuan siapa yang akan bermain dahulu sebagai pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Cara menimbang buah adalah dengan kesemua buah diletakkan di atas tapak tangan

dan dilambung keudara, kemudiannya hendaklah disambut pula dengan belakang tapak tangan. Jumlah buah yang dapat disambut itu adalah dikira sebagai mata. Cara Bermain Dalam bermain Batu Seremban ini terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Bermula dengan peringkat pertama yang mudah dengan menggunakan sebiji buah yang dinamakan sebagai buah satu hinggalah kepada peringkat lebih tinggi atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh. Buah Satu Kesemua buah hendaklah diselerakkan dengan cara menabur di atas lantai, berkeadaan buah-buah itu tidak bersentuhan antara satu dengan yang lain. Sebiji buah diambil untuk dijadikan ibu, dan ibu hendaklah dilambungkan keudara, dalam masa yang sama sementara buah ibu masih berada diudara, sebiji lagi buah hendaklah dikutip. Dalam masa yang sama pemain hendaklah menyambut buah ibu, apabila telah disambut sebiji buah hendaklah digenggam di dalam tangan yang sebelah lagi. Perlakuan begini dibuat berterusan sehingga kesemua buah di atas lantai itu habis dilambung dan disambut. Buah Dua Cara buah dua dimainkan adalah serupa seperti buah satu, tetapi buah yang dikutip mestilah dengan dua biji serentak, ini bermakna hanya dua kali lambungan buah ibu dilakukan. Buah Tiga Buah tiga pula terdapat sedikit perbezaan. Langkah pertama adalah dengan mengutip sebiji buah dahulu, pada lambungan kali kedua pemain hendaklah mengutip tiga biji buah serentak.

Buah Empat Pemain mengutip kesemua empat biji buah di atas lantai dan dalam masa yang sama hendaklah menyambut buah ibu yang telah dilambungkan. Buah Lima Diperingkat ini urutan dari memainkan buah empat, sementara di dalam tangan tergenggam lima biji buah, sebiji dari buah hendaklah dilambungkan dan empat biji buah baki hendaklah diletakkan di atas lantai pula serta menyambut buah ibu sahaja. Buah Enam Ditahap buah enam terdapat perbezaan, ianya juga dinamakan buah tukar dimana dua biji buah dijadikan buah ibu. Apabila sebiji daripadanya dilambungkan ke udara maka sebiji lagi buah ibu itu hendaklah ditukarkan dengan buah lain yang terdapat di atas lantai, sehingga selesai. Buah Tujuh Buah tujuh adalah urutan dari peringkat permainan buah enam. Dua biji buah yang masih berada di dalam tangan hendaklah dilambungkan serantak. Sementera itu sebiji buah hendaklah dikutip. Buah ibu hendaklah disambut dengan kedua belah tangan, sebiji disebelah kanan dan sebiji lagi disebelah kiri. Pada buah ibu yang terakhir dilambungkah hendaklah juga disambut. Menimbang Setelah selesai kesemua peringkat dilalui, pemain hendaklah menimbang buah untuk mendapatkan mata. Menimbang buah diperingkat ini ada dua kaedah. Cara pertama sama seperti permulaan menentukan pemain, mata dikira hanya mengikut bilangan biji buah yang dapat ditimbang. Tetapi jika buah yang

ditimbang itu disambut dengan cara mencangkuk, maka mata dikira sekali ganda dari jumlah biji buah yang dapat disambutnya. Sekiranya pemain dapat bermain sehingga keperingkat menimbang dengan memperolehi mata, maka pemain tersebut boleh meneruskan permainan semula, buah satu dan seterusnya sehingga mati. Mati Permainan Sekiranya ibu tidak dapat disambut atau semasa mengutip buah di atas lantai tangan mengenai biji buah yang lain atau tidak dapat mengutip buah sehingga ibu jatuh atau semasa menimbang buah dan pemain tidak dapat walau sebiji buah ianya dikira mati (permainan ditamatkan) dan permainan akan diserahkan kepada pemain seterusnya. CARI CUCU Permainan Mencari Cucu merupakan permainan tradisional yang dimainkan oleh kanak-kanak diluar rumah. Ianya dimainkan oleh beberapa orang dengan jumlah yang ramai. Halaman rumah atau tempat lapang merupakan gelanggang yang sering digemari oleh mereka. Didalam permainan ini terdapat dua buah lagu khas yang didendangkan. Sehelai sapu tangan atau kain untuk menutup mata dan sebatang kayu tongkat diperlukan sebagai alat. Menentukan Nenek Sebelum permainan dimulakan seorang dari mereka haruslah menjadi nenek. Bagi menentukan nenek maka undian secara lai lai li tam plong perlu dijalankan. Siapa dikalangan mereka yang kalah dalam undian tersebut maka akan ditutup matanya dengan sapu tangan atau kain untuk dijadikan nenek. Sebatang tongkat diberikan untuk dipegang dan berperlakuan seperti nenek tua yang buta.

Permainan Cari Cucu Kesemua pemain membuat satu bulatan mengelilingi nenek dengan berpegangan tangan diantara satu sama lain. Sebuah dendangan dinyanyikan oleh cucu secara beramai-ramai. Nyanyian Nenek, nenek, si bongkok tiga. Siang mengantuk, malam berjaga. Mencari cucu dimana berada. Nenek kahwin dengan anak raja. Ketika cucu bernyanyi berpusing-pusing mengelilingi nenek, maka perlakonan nenek seperti orang buta terbongkok-bongkok dengan menggunakan tongkat mencari jalan. Setelah cucu tamat mendendangkan nyanyian, maka nenek pula mengambil giliran mendendangkan nyanyiannya. Nyanyian Cucu, cucu tak dapat lari. Nenek tua banyak sakti. Sekarang nenek nak cari ganti.

Siapa yang kena, dia menjadi. Setelah selesai dendangan nenek masing-masing cucu duduk mencangkung mendiamkan diri dengan harapan nenek tidak mengetahui kedudukan mereka. Dengan menggunakan tongkat nenek mencari-cari cucu yang mendiamkan diri disekelilingnya. Setelah berjaya menangkap seorang cucu nenek perlu meneka nama pemain tersebut dengan betul. Sekiranya tekaan nenek itu betul maka pemain tersebut akan menjadi nenek menggantikan tempatnya. Seandainya tekaan itu tidak tepat maka watak nenek masih menjadi miliknya dan permainan diteruskan. CONGKAK

Bermain congkak. Congkak sejenis permainan tradisional Melayu yang menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan buahnya daripada biji congkak, biji getah, biji guli dan lain-lain. Di utara semenanjung ianya dipanggil juga Jongkok. Permainan ini telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, tetapi tidak pasti asalnya, samada pengaruh luar telah datang bersama pedagang atau sememangnya telah dicipta oleh orang Melayu ketika itu.

Papan Congkak Peralatan yang digunakan untuk bermain congkak biasanya diperbuat daripada batang pokok kayu besar yang diukir seperti perahu. Disebelah hujungnya diukir bentuk kepala pelbagai haiwan seperti burung manakala dibahagian badan papan diukir dengan pelbagai ukiran Melayu. Lubang sebesar 9sm. garis pusat dan 7sm. dalam ditebuk atas permukaan papan tersebut. Sekiranya permainan congkak di tanah, lubang digali dan kemudian diletak tempurung kelapa supaya tangan tidak kotor terkena tanah. Lubang-lubang congkak dibuat dalam dua barisan selari antara satu sama lain yang disebut kampung. Pada penghujung kampung terdapat sebuah lubang besar dan dalam dinamakan rumah. Jumlah kampung yang biasa terdapat pada papan congkak ialah lima, tujuh atau sembilan sebaris. Kampung-kampung ini diisikan dengan buah congkak sama banyak. Cara Bermain Dua orang pemain duduk berhadapan menghadap papan congkak, dimulakan dengan kedua-dua pemain serentak mencapai buah di kampung masing-masing dan memasukkan buah satu demi satu di dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan. Gerakan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti, sekiranya buah itu jatuh atau mati di kampung sendiri. Pemain itu boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut. Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati. Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil buah yang masih banyak di mana-mana kampung sendiri. Sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka

permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga mati. Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap terbakar. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah. GALAH PANJANG Permainan tradisional yang dimainkan diluar rumah. Permainan ini bukan sahaja dimainkan oleh kanak-kanak sahaja tetapi sebagai pertunjukan di pesta-pesta kebudayaan kadangkala dipertontonkan untuk pelancong oleh golongan dewasa. Permainan ini tidak dimainkan secara individu, tetapi dengan dua kumpulan. Terdiri dari kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Setiap kumpulan mempunyai pemain tidak kurang dari seramai empat orang dan kebiasaannya terdiri dari sepuluh pemain sahaja. Salah seorang dari ahli kumpulan itu akan dilantik sebagai ketua dan lainnya adalah sebagai awak-awak sahaja. Tugas ketua kumpulan adalah sebagai mengawasi setiap penyerang yang masuk dan keluar dari gelanggang, iaitu disepanjang garisan permulaan, garisan tengah dan garisan disekeliling gelanggang. Manakala awak-awak hanya menjaga garisan melintang di dalam gelanggang. Sebelum permainan dimulakan undian secara wan tu som dijalankan oleh kedua-dua ketua pasukan. Siapa yang menang akan menjadi pasukan penyerang. Penetapan pengiraan bertukar giliran akan ditentukan terlebih dahulu, samada hanya dengan cuitan ke badan pemain atau dengan menangkap pemain.

Gelanggang Kawasan permainan yang sederhana luas diperlukan, samada di atas tanah, kawasan bertar atau bersimin dan di atas padang. Tiada ukuran khas penetapan yang perlu dipatuhi, tetapi dianggarkan antara enam hingga lapan meter lebar dan jarak bagi setiap garisan lintang gelanggang antara tiga hingga empat meter. Jumlah garisan lintang bagi awak-awak tidak terhad, ia mengikut jumlah pemain bagi setiap pasukan. Sebagai penanda garisan, akan digunakan tepung atau tali jika dimainkan di atas padang. Cat juga boleh digunakan sekiranya gelanggang simin. Tetapi kebanyakan kanak-kanak akan melorekkan garisan tersebut di atas tanah sahaja. Cara Bermain Sejurus sebelum permainan dimulakan, ketua pasukan penyerang akan menepuk tangan ketua pasukan bertahan di petak kepala gelanggang. Ini menandakan permainan sudah dimulakan dan awak-awak boleh mula menyerang, samada secara individu atau beramai-ramai. Setiap pemain hendaklah melepasi semua garisan hingga ke garisan belakang sekali dan kembali semula hingga ke garisan hadapan tanpa dapat dicuit oleh

pasukan bertahan. Jika salah seorang dapat dicuit oleh pasukan bertahan maka pasukan itu dikira mati. Pertukaran kedudukan akan dilakukan iaitu pasukan yang bertahan akan jadi pasukan penyerang dan sebaliknya. GASING

Bermain gasing Gasing popular di Semenanjung terutama di Kelantan. Orang dewasa yang memajukan seni permainan ini, bagi kanak-kanak lebih gemar dengan gasing Melayu dan Cina, kerana saiz yang kecil dan mudah dipermainkan. Jenis-jenis Gasing Jenis gasing yang terdapat di Malaysia termasuk gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang. Membuat Gasing Kayu yang paling sesuai dari spesis merbau, seperti merbau tanduk, merbau darah, merbau johol dan merbau keradah, ianya mudah dilarik tetapi tidak mudah serpih. Selain itu kayu leban tanduk, limau, bakau, koran, sepan, penaga,

keranji juga menjadi pilihan. Jenis kayu yang mudah didapati seperti manggis, jambu batu, ciku atau asam jawa sering digunakan untuk membuat gasing. Kayu tersebut dilarik menggunakan alat pelarik, mengikut saiz dan bentuk gasing yang telah ditetapkan. Sebelum kerja melarik dimulakan besi paksi dibenamkan ke dalam kayu tersebut agar keseimbangan dari segi bulatnya dapat dilakukan ketika melarik. Setelah gasing disiapkan maka kerja-kerja terakhir dilakukan, seperti melilitkan timah pada kepak gasing tadi agar menambah berat lagi gasing itu hingga seberat lima kilogram dan juga tak mudah serpih. Untuk menambah indah rupa parasnya maka tanduk kerbau dipasangkan dibahagian kepala gasing serta dikilatkan dengan varnis. Ini terdapat pada gasing leper atau untuk gasing uri sahaja. Cara Bermain Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing. Gasing pinang dimainkan oleh kanak-kanak. Buah pinang muda dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya, kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta pemegang gasing itu. Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan. Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga 5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.

GULI

Bermain guli

Permainan guli ialah melontarkan guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak lelaki berumur antara tujuh dan dua belas tahun. Jumlah pemain tidak melebihi lima orang.Kawasan tanah rata dan lapang adalah gelanggang yang sesuai untuk tempat bermain guli. Biji guli yang digunakan untuk permainan ini adalah jenis guli yang diperbuat daripada batu kapur, berwarna putih dan sebesar ibu jari kaki. Gelanggang Satu bulatan dilukiskan di atas tanah berukuran garispusat 1m. Ditengah-tengah bulatan tersebut dilekukkan sebuah lubang sebesar 10sm. lebar dan sedalam 7sm. dengan menggunakan tumit kaki yang dihentakkan ketanah. Lubang tersebut dinamakan lubang induk. Satu garisan lurus dibina dengan jarak 3m.

daripada garisan besar tersebut. Garisan ini adalah sebagai penanda mula tempat permainan. Cara Bermain

Untuk memulakan permainan setiap pemain hendaklah meleretkan biji guli masuk ke dalam lubang induk. Guli yang masuk ke dalam lubang induk atau yang terhampir adalah dikira sebagai pemain yang pertama memulakan permainan dan diikuti oleh guli-guli kedua hampir dan seterusnya.Pemain pertama akan menjentik gulinya kepada semua guli yang berada di dalam kawasan bulatan agar terkeluar. Sekiranya jentikan tidak mengena ia dikira mati dan pemain kedua akan membuat jentikan kepada guli-guli yang ada, begitulah seterusnya sehingga semua pemain selesai membuat jentikan ke atas guli pemain lainnya. Pemain boleh melepaskan gilirannya tetapi dengan syarat, ia mestilah memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu. Pemain akan memastikan guli miliknya sentiasa berada berhampiran dengan lubang induk setiap kali jentikan dilakukan. Ini memudahkan mereka mengawal permainan. Setiap pertukaran giliran kepada pemain berikutnya, pemain yang mengambil alih giliran dikehendaki memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu sebelum boleh menjetik guli lawan. Sekiranya guli tidak masuk ke dalam lubang induk, giliran untuk pemain lain diberikan.

Kiraan mata berdasarkan banyaknya jumlah jentikan dibuat terhadap guli lawan sehingga semua pemain selesai giliran. Dua cara dendaan akan dikenakan terhadap pemain yang memungut jumlah mata terendah. Pemain yang kalah akan memasukkan guli miliknya kedalam lubang induk dan semua pemain akan memangkah guli tersebut. Cara kedua adalah dengan setiap pemain menjentik sekali seorang ke atas guli yang kalah itu jauh dari kawasan bulatan. JALA ITIK Permainan ini bertujuan menentukan pasukan mana yang mempunyai bilangan ahli paling ramai. Tiada sebarang alatan diperlukan, cuma sebuah lagu yang menarik dinyanyikan untuk mengiringi setiap langkah permainan. Cara Bermain Dua orang dipilih menjadi ketua, kebiasaanya bertubuh besar dan menggunakan nama samaran yang hanya diketahui oleh mereka berdua sahaja. Kedua-dua ketua ini akan berhadapan antara satu sama lain dengan memegang tangan masing-masing yang diangkat keatas, bagi memudahkan para ahlinya melintasi dibawahnya. Semasa ini sebuah nyanyian dialunkan: Jan-jan jala Jala itik jala ayam. Berapa lubang kancil? Seratus lima puluh. Singgah Cik Dayang singgah. Makan sirih mulut merah. Sebaik sahaja lagu itu selesai dinyanyikan, ketua-ketua itu akan menangkap pemain terakhir yang sedang melintas. Menentukan Pemain

Setelah itu, pemain yang ditangkap tadi dibawa ke tempat lain oleh ketua-ketua itu untuk disoal. Kemudian mereka menyebut nama samaran yang telah ditetapkan sebelum permainan. Pemain yang ditangkap itu dikehendaki memilih salah satu nama tersebut. Pemain-pemain tadi dikehendaki berdiri di belakang ketua yang mana namanya dipilih oleh ahli tadi dengan merahsiakan nama pilihannya kepada ahli yang lain. Kemudian permainan dimulakan semula seperti awal tadi, sehinggalah semua pemain selesai memilih ketua masing-masing. Pertukaran Pemain Jika ada kumpulan mempunyai jumlah ahli yang lebih ramai daripada kumpulan yang satu lagi, rayuan boleh dibuat untuk pertukaran ahli bagi mengimbangkan jumlah ahli setiap pasukan. Bagaimanapun, pertukaran hanya boleh dibuat setelah persetujuan di antara kedua-dua belah pihak dicapai. Jika tidak mahu membuat pertukaran, permainan akan tamat di situ dan ketua itu dikira menang, kerana mempunyai ahli yang paling ramai. Menentukan Pemenang Sebaliknya jika ini terjadi, satu perlumbaan dilakukan. Untuk itu, satu garisan dibuat bagi membolehkan kedua-dua pasukan beradu kekuatan. Kedua-dua ketua pasukan berdiri sama jauh dari garisan dan tangan mereka berpaut antara satu sama lain. Pemain-pemain lain beratur di belakang ketua masing-masing sambil memegang pinggang. Kedua-dua ketua pasukan berusaha menarik antara satu sama lain supaya melangkah garisan itu, dengan ahli lain membantu, seperti tarik tali. Jika pasukan yang kurang ahlinya itu berjaya menarik pasukan lawan melintasi garisan itu, pasukannya dianggap menang. Maka dia boleh meminta sejumlah pemain yang dikehendakinya untuk mengimbangi pasukannya dengan pasukan yang satu lagi itu. Sebaliknya, jika pasukannya gagal berbuat demikian, maka dia dianggap kalah.

KONDA KONDI @ PERIK MATA Konda-kondi juga dikenali sebagai Perik Mata memerlukan fikiran yang tajam dan kekuatan pemain, iaitu ketika memikir arah yang selamat untuk menguis kayu dan mengejar kayu yang dikuis untuk mematikan pihak lawan. Permainan ini memerlukan kawasan lapang. Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu kecil berukuran, l5cm dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini berbentuk bulat dan berukuran 2cm garis pusat. Kayu yang pendek dipanggil anak dan yang panjang dipanggil ibu. Lubang sedalam 15cm juga dikorek bagi meletakkan kayu panjang. Undian secara wan to som dijalankan bagi membentuk pasukan dan menetapkan pasukan mana yang harus memainkan terlebih dahulu. Permainan Pertama Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang, kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara, setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang sementara itu, ahli pasukan lawan hendaklah cuba menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambil alih pula oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang ataupun mengena kayu panjang. Jika kayu itu masuk ke dalam lubang atau pun terkena kayu panjang yang diletakkan melintang tadi, cuma pemain itu sahaja yang dikira mati. Sebaliknya, jika kayu yang dibaling oleh pemain lawan itu tidak mengenai lubang atau kayu

panjang itu, pemain tersebut boleh mendapatkan mata dengan mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu panjang dikira satu mata. Permainan Kedua Pemain tadi akan mengambil kayu pendek dan melambungkan ke udara, kemudian memukulnya kuat dengan kayu panjang. Dia diberi peluang sebanyak tiga kali jika pukulan pertama atau keduanya tidak kuat. Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut jika tidak berjaya. Pemain tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi. Permainan Ketiga Seterusnya, pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk ular. Pemain menyandarkan kayu pendek di tepi lubang, kemudian mengetuk hujung kayu pendek itu dengan kayu panjang. Jika pukulan dibuat dengan baik, kayu pendek akan melentik ke udara. Pemain itu hendaklah bersedia untuk memukul kayu pendek itu sebelum jatuh ke tanah, dengan menggunakan kayu panjang. Tempat kayu pendek itu jatuh dikira mata, iaitu mengiranya dengan menggunakan kayu panjang, kiraan mata tetap sama seperti sebelumnya. Pasukan yang mempunyai mata tertinggi memenangi perlawanan ini.

Rujukan
http://permainantradisionalmalaysia.blogspot.com/ dimuat turun pada 30/1/2012 http://www.kpkk.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=516&It emid=160&lang=bm dimuat turun pada 30/1/2012 http://puadede.com/v1/permainan-tradisional/ dimuat turun pada 30/1/2012

Anda mungkin juga menyukai