Anda di halaman 1dari 2

Buku:

Sejak Bila Ia Dicipta?


Buku merupakan satu media yang penting dalam semua institusi pengajian dari peringkat awal hingga peringkat tinggi pada hari ini. Malah dalam kehidupan sehari-hari pun buku adalah berdamping rapat dengan kita. Atas kesedaran ini serta penghargaan terhadap peranan yang disumbangkan oleh buku, maka pihak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) buat pertama kalinya melancarkan Tahun Buku Antarabangsa dalam tahun 1972. Kelahiran buku seperti yang dikenali hari ini sebenarnya telah mengalami proses dan sejarah perkembangannya yang tersendiri bersama-sama perkembangan dan kemajuan kepandaian manusia melukis dan menulis. Setakat ini bentuk tulisan yang tertua di dunia ialah tulisan bentuk gambar (pictograph) yang dikatakan telah bermula di kawasan tamaddun Mesopotamia kira-kira 6,000 tahun yang lalu. Bahan yang digunakan sebagai buku ialah kepingan yang dibuat daripada tanah liat. Tulisan dibuat semasa tanah liat tersebut dikeraskan dengan menjemurnya di panas matahari atau membakarnya. Tulisan Mesir purba (atau dipanggil hireoglyphs) pula telah berkembang sekitar tahun-tahun 3,000 hingga tahun 2,500 Sebelum Masehi. Berbeda dengan orang-orang Mesopotamia, orang-orang Mesir Purba telah dapat menggunakan kepingan daun-daun pokok papyrus sebagai kertas yang dilekat-lekatkan dengan tali. Di Negeri China pula tulisan awal mereka telah pun berkembang kira-kira dalam Zaman Neolithik (3,000 - 1,500 SM). Tulisan-tulisan China ini juga termasuk dalam kategori tulisan bentuk gambar dibuktikan dengan penemuan-penemuan barang-barang purba seperti takar dan pasu-pasu. Tulisan-tulisan tersebut terdapat juga pada tulangtulang binatang dan cengkerang kura-kura seperti yang terdapat dalam sebuah buku klasik bernama Shu-Ching yang tertulis dalam zaman pemerintahan Dinasti Shang, kirakira 1,050 tahun yang lalu. Selain itu, penggunaan kepingan-kepingan kayu dan buluh juga ada digunakan oleh orang China. Kedatangan agama Hindu ke Kepulauan Melayu pada awal kurun Masehi telah memperkenalkan huruf Hindu atau huruf Pallawa. Bentuk tulisan Melayu yang berasal dari huruf Pallawa ini terdapat pada Batu Bersurat Minye Tujuh, Acheh bertarikh 781 Hijrah atau 1,380 Masehi. Tulisan Jawi (Melayu/Arab) diperkenalkan setelah agama Islam tersebar di Kepulauan Melayu. Hal ini adalah berikutan perkembangan agama Islam yang pesat di kalangan orang-orang Arab sendiri, Parsi dan Turki di Asia, India, dan Afrika dari abad ke-7 M - 17 M. Bukti penggunaan tulisan Arab dalam bahasa Melayu dijumpai pada Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1,302 M. Daun lontar telah digunakan sebagai kertas dengan disusun dan diikat menjadi seperti buku di Gususan Pulau-Pulau Melayu. Kulit-kulit binatang juga telah digunakan untuk membuat buku. Di Pergamum, sebuah negeri di Asia Kecil telah mula menggunakan kulit binatang untuk membuat buku setelah bekalan papyrus sukar didaparti. Beberapa lama kemudian kepingan-kepingan kulit itu dijilid yang merupakan 'format' buku yang ada pada hari ini. Ini telah berlaku di Rom kira-kira selepas tahun 1 Masehi. Seorang berbangsa China bernama Ts'ai Lun telah dapat mencipta kertas daripada bahan-bahan seperti kain buruk, jaring ikan yang usang dan seumpamanya kira-kira dalam tahun 105 M. Kepandaian membuat kertas telah menjadi satu rahsia besar bagi orang-orang China selama kira-kira enam abad. Kemudian pengetahuan tersebut terlepas ke tangan orang-orang Arab setelah peristiwa penawanan pasukan tentera China yang kalah dalam perebutan menguasai Jalan Sutera di Asia Tengah dalam kurun ke- 8 Masehi. Antara kurun ke -12 hingga kurun ke - 14 M, teknik membuat kertas itu telah merebak hingga ke Mesir, Afrika, India dan seterusnya negeri-negeri di Eropah. Adalah dipercayai bahawa buku telah mula dicetak di Negeri China dengan menggunakan papan. Setelah itu pengetahuan cetak itu merebak pula ke Jepun (770 M), ke Turkestan (abad 13-14 M), ke Mesir (1,307 M) dan seterusnya ke dunia Barat. Cetakan dengan menggunakan huruf berasing dianggap telah dipelopori pertama kali oleh seorang bangsa Jerman yang bernama Johann Gutenburg dalam tahun 1,439 M. Dari

tarikh itulah pengeluaran buku-buku yang dicetak telah merebak ke seluruh Eropah dan seterusnya ke seluruh dunia.

Anda mungkin juga menyukai