Anda di halaman 1dari 11

1.

0 PENGENALAN

Semasa pelancaran Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991, Y.A.B. Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir bin Mohammad telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk "Malaysia -Melangkah ke Hadapan" yang mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Ianya dikenali sebagai "Wawasan 2020".

Wawasan 2020 bukanlah merupakan satu dasar khas tetapi merupakan tindak balas kepada perkembangan ekonomi,sosial dan politik yang berlaku di peringkat nasional dan antarabangsa yang telah memberi cabaran hebat kepada negara. Wawasan ini telah diketengahkan sebagai satu garis panduan dan rangka kerja mengenai pendekatan yang harus diambil dalam memulakan langkah bagi perjalanan jauh yang akan ditempuh oleh negara.

Matlamat terakhir yang dicita-citakan ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020. Kemajuan yang dimaksudkan bukan terhad kepada bidang ekonomi sahaja malah ia akan merangkumi segala aspek kehidupan seperti ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.

Menjelang tahun 2020, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka akan menjadi negara yang benar-benar maju, bersatu, mampu berdikari,progresif dan makmur. Rakyat akan menikmati kehidupan yang sempurna dalam satu masyarakat yang demokratik,

bertoleransi, bermoral, adil, mampu bersaing, dinamik dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi. Ini bermakna Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan negara bermatlamat iaitu Malaysia akan menjadi negara maju dengan caranya tersendiri tanpa terikut kepada cara dan corak negara maju yang ada sekarang.

Kemajuan yang dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna yang tidak sematamata diukur dari segi pencapaian lahiriah atau fizikal semata-mata malah ia akan meliputi pewujudan satu masyarakat yang sempurna dengan nilai moral dan etika yang tinggi dan boleh dicontohi oleh negara-negara lain.

2.0 DEFINISI CABARAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, cabaran bermaksud sesuatu unsur atau faktor yang mencabar dalam menguji tahap kemampuan sesebuah organisasi.

3.0 DEFINISI WAWASAN

Manakala definisi wawasan menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula membawa maksud fahaman atau sesuatu tanggapan mengenai pandangan. Hal ini juga berkaitan dengan pandangan jauh, terutamanya mengenai perkara yang berkaitan dengan perkembangan masa depan bagi memcapai sesuatu matlamat atau misi penting dalam perkembangan sesebuah organisasi atau Negara.

4.0 MATLAMAT WAWASAN 2020

Matlamat Wawasan 2020 ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benarbenar maju dari segala segi iaitu ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Malaysia akan menjadi sebuah negara perindustrian yang maju tetapi mengekalkan nilai-nilai murni, menikmati taraf hidup yang tinggi, keamanan dan keadilan sosial serta bangga terhadap negara.

5.0 CABARAN WAWASAN 2020

Wawasan 2020 merupakan gagasan negara menjadi sebuah negara maju yang menggunakan acuan sendiri menjelang tahun 2020.Idea wawasan ini dicetuskan oleh Tun Dr Mahathir Mohammad, mantan Perdana Menteri Malaysia pada 28 Februari 1991.Wawasan ini bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri maju dengan menitikberatkan elemen kemajuan bersepadu. Dalam merealisasikan Wawasan 2020 sebagai satu kenyataan, terdapat sembilan cabaran yang perlu kita atasi. Berikut merupakan lima daripada sembilan cabaran tersebut yang diharap dapat memberikan motivasi kepada rakyat Malaysia. Antara cabaran tersebut ialah :-

5.1 Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu. Cabaran pertama ialah mewujudkan sebuah negara Malaysia bersatu padu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.

Selepas tragedi hitam 13 Mei 1969, pelbagai usaha telah diambil untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum. Tragedi ini cukup memberikan pengajaran bahawa perpaduan antara kaum yang pelbagai seperti kaum Melayu, Cina, India dan kaum- kaum lain amat perlu demi memastikan negara aman dan damai serta mengikis sama sekali kepentingan untuk memajukan kaum sendiri sahaja.

5.2 Membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan. Yang kedua ialah cabaran untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.

Contohnya, kejayaan Datuk Azhar Mansor yang telah belayar mengelilingi dunia dengan Jalur Gemilang jelas membuktikan bahawa rakyat Malaysia berani mengharungi

cabaran dan risiko. Begitu juga Datuk Malik Mydin yang berjaya berenang merentasi Selat Inggeris dalam keadaan cuaca sejuk. Kejayaan-kejayaan ini jelas menggambarkan rakyat Malaysia mempunyai jiwa yang kental dan berani menanggung segala risiko dan cabaran yang mendatang.

5.3 Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang. Cabaran ketiga yang sering kita hadapi ialah usaha mewujudkan dan

membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun. Dengan wujudnya kestabilan politik yang didasari dengan amalan demokrasi, seluruh rakyat diberi hak untuk bersuara dalam menyatakan sesuatu mengikut saluran yang betul.

Justeru, rakyat harus menolak budaya merusuh atau memberontak jika tidak berpuas hati dengan dasar-dasar kerajaan. Selain itu, setiap rakyat mempunyai hak yang sama di sisi undang-undang. Keamanan yang wujud akhirnya melahirkan sebuah negara yang harmoni, yang seterusnya dapat menarik perhatian para pelabur untuk menanam modal di negara ini. Keadaan ini sudah tentu memberikan petanda yang baik pada pertumbuhan ekonomi negara.

5.4 Mewujudkan sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika. Cabaran keempat ialah mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika sepenuhnya yang mempunyai warganegara yang kukuh dalam nilai agama dan kejiwaan serta didorong tahap etika paling tinggi. Dalam keadaan ini, berpegang kepada ajaran agama dalam setiap tindakan pasti dapat menghindarkan diri daripada melakukan perkaraperkara tidak bermoral dan menyalahi undang-undang.

Pendidikan agama amat diperlukan dan dijadikan panduan dalam kehidupan seharian supaya kita menjadi insan yang seimbang dari segi rohani, emosi, jasmani dan intelek. Justeru, dalam usaha mendidik seseorang itu bermoral dan berpendidikan agama, peranan ibu bapa dan masyarakat serta pihak kerajaan amatlah penting.

Contohnya, kerajaan boleh menyediakan pelbagai program yang sesuai untuk meningkatkan kualiti insan seseorang, namun ibu bapa yang sentiasa mendampingi anakanak juga wajar menerapkan nilai-nilai murni. Begitu juga dengan masyarakat sekeliling yang saling membantu menjaga anggota masyarakat yang lain.

5.5 Memupuk dan membina masyarakat makmur. Cabaran kelima ialah cabaran untuk mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi berdaya saing, dinamik, dan kental serta tidak mudah mengaku kalah walaupun mengalami kegagalan. Apa yang pasti, ekonomi yang berkembang serta berdaya saing dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang berfikiran luas untuk merangka segala

perancangan demi memantapkan lagi pembangunan negara yang hasilnya dapat mewujudkan masyarakat yang makmur.

Dalam dunia perniagaan yang tanpa sempadan, masyarakat seharusnya tidak gentar berhadapan dengan negara dan bangsa lain untuk menonjolkan diri di pentas antarabangsa. Rakyat Malaysia sememangnya berkebolehan dan mampu mencipta kejayaan dengan berbekalkan semangat juang yang kuat serta tidak mudah mengaku kalah sebelum berjuang.

6.0 PERANAN PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA DALAM MENCAPAI WAWASAN 2020 Antara peranan perkhidmatan awam Malaysia dalam mencapai Wawasan 2020 ialah: Pertama, dalam usaha untuk mencapai Wawasan 2020, kerajaan telah menggariskan beberapa ciri perkhidmatan awam di masa hadapan, antaranya penggunaan sains dan teknologi yang canggih dalam peralatan dan automasi pejabat serta peningkatan penggunaan teknologi maklumat. Oleh itu, anggota perkhidmatan awam perlulah melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu serta kepakaran yang diperlukan agar keupayaan menggunakan teknologi yang canggih dapat dipertingkatkan.

Kedua, anggota-anggotanya dapat mempersiapkan diri dengan kelengkapankelengkapan yang diperlukan, seperti ilmu pengetahuan, kemahiran-kemahiran

tertentu serta mempertingkatkan ketrampilan dan kualiti keperibadian anggotanya.

Ketiga, setiap individu perlu melintasi halangan mental yang mempunyai anggapan bahawa keupayaan dan kemampuan kita adalah terhad. Segala-galanya boleh dilakukan dengan syarat setiap individu perlu bekerja keras, mengkaji kelemahan-kelemahan yang ada serta kegagalan-kegagalan yang lalu untuk

mencari silapnya dan meninjau faktor yang membawa kejayaan. Apa yang diperlukan ialah keyakinan diri bahawa kita juga boleh melakukannya, malah dengan lebih baik lagi. Jika takut untuk mengambil risiko, maka kemajuan tidak akan tercapai.

7.0 CADANGAN-CADANGAN UNTUK MENANGANI CABARAN WAWASAN 2020 Antara cadangan-cadangan untuk menangani cabaran Wawasan 2020 ialah:

Pertama penjawat awam perlu faham peranan dalam menentukan pencapaian mereka sendiri, selain daripada pencapaian negara.

Kedua,mengenalpasti bidang-bidang yang diperluaskan, paradigma lama dan sedia menerima paradigma yang baru.

Ketiga,

penjawat

awam

perlu

melengkapkan

diri

mereka

dengan

pengetahuan dan kecekapan sesuai dengan paradigma baru ini serta penuh yakin bahawa mereka mempunyai kebolehan.

Keempat, di mana sahaja pertukaran pendekatan diperlukan, penjawat awam harus membuat pertukaran ini, termasuklah penghapusan sikap terasing dari

masyarakat dan swasta yang menjadi pelanggan mereka. Oleh itu, piagam pelanggan mesti diterima sepenuhnya.

Kelima, penjawat awam perlu sentiasa memikirkan hasil dan sumbangan mereka kepada masa depan dan tidak hanya memikirkan sumbangan hari ini untuk hari ini sahaja.

Keenam, penjawat awam sebagai individu boleh menyumbang kepada kejayaan segala usaha, mereka haruslah sedar bahawa sumbangan sebagai anggota pasukan adalah lebih berkesan dalam apa jua usaha. Oleh itu mereka harus mengutamakan yang berkoordinasi dalam pasukan bagi menembusi paradigma lama dan memasuki paradigma baru.

8.0 RUMUSAN

Kesimpulannya, secara sekali imbas dapat dilihat bahawa Wawasan 2020 seolah-olah merupakan wawasan ekonomi semata-mata kerana ia mementingkan persoalan pembangunan ekonomi untuk Malaysia menjadi negara perindustrian,tetapi jika dihalusi ia sebenarnya lebih daripada itu. Kerana ia juga menyentuh perkara- perkara berkaitan dengan aspek sosial dan cara hidup seperti pembentukan dan keperibadian bangsa, moral dan etika, kebudayaan kebangsaan, pembangunan sumber manusia dan lain-lain.Wawasan 2020 bukanlah slogan untuk dilaung-laungkan, tetapi ia lebih merupakan rangka kerja tindakan( framework of action) bagi setiap rakyat untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang benar-benar maju dan makmur.

Dalam konteks ini wawasan tersebut memerlukan beberapa perisian penting, di antaranya ialah kualiti tenaga kerja yang dihasilkan oleh sistem pendidikan, perubahan sikap dan nilai, penekanan keadaan sains dan teknologi, perancangan, dan peranan sektor swasta yang lebih dinamik. Peranan setiap rakyat Malaysia dalam mencapai negara maju tidak boleh dilakukan seorang diri atau hanya dengan bergantung kepada usaha segelintir pihak sahaja. Tetapi setiap rakyat perlu memahami peranan masingmasing supaya Wawasan 2020 dapat direalisasikan dengan jayanya.

9.0 RUJUKAN

10

Aiken, S.R., et al. 1994. Pembangunan dan Persekitaran di Semenanjung Malaysia. Terj. Oleh Sulong Mohamed. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Mohd Sufian bin Hashim.1987. Mengenal Perlembagaan Malaysia.Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur Mohd Syahrul bin Hanafi. 2005. Pembinaan Wawasan 2020. Penerbit Pinang Sdn. Bhd., Selangor. Hajah Noresah Baharom, 2005. Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat. Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur. Haji Tajuddin Haji Hussein, (2009) Buku Panduan Untuk Peperiksaan AM Kerajaan, MDC Publishers Sdn Bhd, Kuala Lumpur. http://www.jpn.gov.my http://jpnin.gov.my http://www.utusan.my Dr Tajul Ariffin bin Noordin & Dr Nor Aini bt Dan. 1992. Pendidikan dan Wawasan 2020: Falsafah, Perguruan dan Persekolahan. Arena IlmuSdn. Bhd., Kuala Lumpur. Zurinah Hassan .1994. Wawasan 2020 : Huraian 9 Cabaran. Penerbitan Perwarna,Shah Alam. Zulhilmi Paidi & Rohani Ab. Ghani.2003. Masyarakat di Malaysia. Pahang : PTS Punlications & Distributors Sdn. Bhd.Sumber : Pejabat Perdana Menteri.

11

Anda mungkin juga menyukai