Anda di halaman 1dari 3

JALAN KE SYURGA Terima kasih puan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga

masa yang setia dengan masanya, guru-guru, rakan-rakan serta hadirin sekalian. Assalamualaikum, salam sejahtera, dan salam satu Malaysia. Apa khabar kawan-kawan? Harap-harap semuanya sihat. Pada hari ini, saya ada sebuah kisah yang hendak dikongsi dengan kawan-kawan. Tajuk cerita saya ialah Jalan ke Syurga. Ha ha begini kisahnya. Pada suatu masa dahulu, ada seorang raja yang bernama Raja Mahmud. Baginda seorang yang gemuk, lurus bendul dan tidak berakal. Baginda mempunyai seorang menteri yang kurus bernama Datuk Ahmad. Beliau seorang yang pintar tetapi tidak jujur dan suka menabur fitnah. Raja terlalu bergantung kepada datuk menterinya itu. Datuk menteri seringkali berjanji kepada raja bahawa beliau akan menemani raja ke mana sahaja baginda pergi, tidak kira di dalam dunia ini, di dalam syurga ataupun neraka. Ya hadirin sekalian, Pada suatu petang, baginda bersiar-siar di tepi tebing sungai diiringi oleh datuk menteri serta pengiringnya. Tiba-tiba mereka terdengar bunyi musang menyalak-nyalak di dalam hutan tidak jauh dari situ. Raja berasa hairan lalu bertanya kepada datuk menteri mengapa musang-musang itu menyalak-nyalak. Datuk menteri pun memberitahu raja bahawa musang-musang itu menyalak kesejukan kerana pada masa itu musim hujan. Musang-musang itu tidak ada selimut untuk memanaskan badan mereka. Ini disebabkan pegawai yang tugasnya memberikan selimut kepadamusang-musang itu tidak memberi mereka selimut. Sebaik sahaja mendengar kata-kata datuk menterinya itu, raja menjadi sangat marah lalu menitahkan datuk menteri untuk membungkus pegawai itu dengan selimut dan mencampakkannya ke dalam laut. Kemudian, baginda meminta datuk menteri membeli selimut dan membahagikannya kepada musang-musang itu. Tanpa membuang masa, datuk menteri terus menjalankan titah raja. Tetapi beliau hanya menjalankan perintah baginda yang mula-mula sahaja. Beliau mengambil wang dari perbendaharaan raja lalu disimpan untuk kegunaannya sendiri.

Pada suatu petang, baginda bersiar-siar lagi bersama-sama datuk menteri. Tiba-tiba seekor babi hutan berlari keluar dari dalam hutan. Baginda tidak pernah melihat babi hutan sebelumnya. Baginda terus bertanya kepada datuk menteri tentang binatang itu. Ya kawan-kawan, Tentu sekali datuk menteri tahu apa binatang itu. Tetapi dengan tenang beliau memberitahu bahawa binatang itu adalah gajah kepunyaan baginda. Gajah itu dikatakan begitu sengsara kerana pegawai yang menjaganya tidak memberinya makan dengan cukup. Raja amat murka dan segera memerintahkan pegawai berkenaan dihukum bunuh. Kemudian baginda memerintahkan datuk menteri mengambil seberapa banyak wang yang diperlukan untuk memberi makan binatang yang malang itu. Sudah tentu datuk menteri mengeluarkan wang yang banyak dari perbendaharaan raja. Tetapi wang itu diambil untuk kegunaannya sendiri. Hadirin dan hadirat, Sebulan berlalu. Pada suatu petang, ketika pulang dari berjalan-jalan dengan datuk menteri, baginda bertemu lagi dengan babi hutan yang telah baginda temui dulu. Baginda hairan melihat gajah yang kebuluran hari itu tidak bertambah gemuk. Datuk menteri pun memberi helah bahawa binatang itu bukanlah gajah yang telah baginda temui dulu. Tetapi seekor tikus yang telah menjadi gemuk kerana selalu mencuri makanan di dapur baginda. Beliau mengatakan ini disebabkan kecuaian tukang masak. Raja yang bodoh itu amat murka. Baginda membeliakkan mata lalu bertitah agar tukang masak yang cuai itu digantung hingga mati. Pada petang itu, tukang masak segera menemui datuk menteri lalu meminta tolong untuk menyelamatkan nyawanya. Tukang masak itu berjanji jika datuk menteri dapat menyelamatkan nyawanya, dia akan menghantar sebahagian daripada setiap hidangan istimewa raja kepadanya. Datuk menteri bersetuju untuk menolong tukang masak itu. Pada tengah malam, sebelum tukang masak itu digantung di hadapan raja, datuk menteri tampil ke hadapan sambil berteriak, Tunggu! Tunggu! Tunggu tuanku! Tuanku, patik baharu sahaja bertanyakan ahli nujum. Ahli nujum memberitahu bahawa tengah malam ini adalah masa yang amat bertuah. Sesiapa yang digantung pada tengah malam ini akan masuk syurga, tuanku.

Tiba-tiba, raja melompat dengan gembiranya lalu bertitah, Betul, betul, betul! Sekian lama beta teringin sangat melihat syurga. Jadi, sebagai gantinya, gantunglah beta. Tapi, tunggu!!!. Baginda berpaling kepada datuk menteri lalu memerintahkan pertanda untuk menggantung datuk menteri terlebih dahulu. Baginda juga ingin datuk menteri menemani baginda di syurga nanti. Setelah pertanda menggantung datuk menteri, dia berpaling kepada raja dan menggantung baginda pula. Memang itulah yang baginda impikan. Ya kawan-kawan, Terdapat empat pengajaran dalam cerita ini tadi. Pertama, kita janganlah menabur fitnah, Kedua, janganlah menerima rasuah. Ketiga, kita mesti berfikir dahulu sebelum bertindak. Akhir sekali, belajarlah ilmu dari orang yang berpengetahuan supaya tidak mudah ditipu. Kawan-kawan fikirlah sendiri. Semoga berjumpa lagi. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai