Anda di halaman 1dari 4

Pada 22 Mac 2012, setelah menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran kemahiran membaca bagi kelas 1 Ibnu Sina

bagi tajuk Sambutan Hari Raya dalam tema Kebudayaan, Kesenian dan Estetika kami dapati semua murid agak teruja dan bersemangat dalam mengikuti semua aktiviti yang disediakan. Sesi pengajaran ini dijalankan adalah bagi menjayakan kehendak soalan bagi tugasan kerja kursus berasaskan ilmu untuk mata pelajaran BMM3104 Pengajaran Kemahiran Bahasa Melayu, PPISMP semester 5. Syukur kepada Allah, Rancangan Pengajaran Harian yang disediakan berjaya dan berjalan lancar seperti yang diinginkan. Bagi set induksi selama lima minit, kami bersyukur kerana segalanya berlaku seperti yang dirancang. Kami memilih untuk menunjukkan video TMNET yang memaparkan suasana menjelang hari raya. Ini bertujuan bagi merangsang minda murid berkenaan topik yang akan diajarkan pada hari tersebut. Setelah itu, mereka perlu bersoal jawab berkenaan video yang telah dipaparkan tersebut. Antara kecerdasan pelbagai yang terlibat ialah verbal linguistik dan interpersonal. Jawapan-jawapan yang diberikan oleh murid akan dikaitan oleh guru dengan topik yang akan diajarkan. Melalui rangsangan video yang ditayangkan pada awal sesi pengajaran ini, kami telah memupuk sifat ingin tahu murid dengan topik pengajaran yang akan mereka kuasai pada hari tersebut sesuai dengan kaedah pengajaran inkuiri penemuan iaitu murid mencipta pengetahuan melalui proses mental mereka sendiri. Seterusnya, pada langkah satu selama lima belas minit, kami memilih untuk mengedarkan petikan teks berkaitan Hari Raya. Bagi memudahkan sesi pengajaran guru turut menayangkan petikan teks tersebut pada layar putih. Murid diminta

membaca secara senyap dan cuba memahami ayat tunggal dalam petikan tersebut. Setelah itu, murid dipilih secara rawak untuk membaca petikan tersebut diikuti dengan bacaan secara kumpulan. Pada langkah ini, objektif pembelajaran pertama iaitu 90% murid boleh membaca dengan sebutan dan intonasi yang betul serta memahami ayat tunggal telah dapat dicapai dengan jayanya.

Selain itu, guru juga telah menggunakan borang penilaian bacaan untuk menilai tahap kelancaran bacaan murid. Guru membetulkan kesalahan bacaan murid dan mencatat markah yang diperoleh bagi setiap murid. Guru dan murid berbincang isi petikan tersebut dan membuat rumusan keseluruhan isi petikan sesuai dengan kehendak objektif pertama iaitu murid memahami petikan yang dibaca. Guru meminta murid mengenal pasti kosa kata yang bertanda tebal di dalam petikan tersebut untuk menambah pengetahuan mereka. Secara individu, murid diminta menyesuaikan makna bagi kosa kata yang diberikan dalam buku latihan. Dalam langkah ini juga guru menghubungjalin Kewarganegaraan. pelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Sivik dan

Pada langkah dua selama lima belas minit, guru mengaplikasikan kaedah permainan dalam pengajaran bagi menambahkan keseronokan dan menarik minat pelajar untuk meneruskan sesi pembelajaran. Unsur kreativiti dan inovasi bagi elemen bernilai tambah yang diterapkan ialah melalui persembahan boneka. Murid dipilih secara rawak untuk membuat persembahan boneka Ketupat dan Lemang berpandukan teks dialog yang diberikan oleh guru. Melalui persembahan ini, murid perlu mengasah kemahiran membaca mereka kerana mereka perlu membaca teks yang disediakan bagi menjayakan persembahan boneka tersebut. Seterusnya, guru menerangkan persembahan boneka tersebut dengan mengaitkan kata kerja untuk mencapai objektif kedua pelajaran iaitu mengenal pasti dan menyenaraikan 4 daripada 7 kata kerja yang terdapat di dalam petikan. Selepas itu, bagi aktiviti pengukuhan pula, guru mengedarkan nota Kata Kerja dan secara berkumpulan, murid diminta membaca dengan kuat nota Kata Kerja yang diedarkan. Setiap kumpulan juga perlu menyelesaikan soalan tugasan masing-masing seperti yang telah ditetapkan iaitu murid diminta mengemukakan beberapa contoh kata kerja yang berkaitan dengan sambutan Hari Raya. Justeru itu, murid perlu bekerjasama antara ahli kumpulan masing-masing dan mereka perlu menyenaraikan hasil jawapan yang telah dibuat dalam bentuk peta minda. Inkuiri penemuan berlaku apabila seseorang itu menggunakan proses mentalnya dalam usaha mendapatkan sesuatu konsep atau prinsip.

Pada langkah tiga iaitu selama dua puluh minit pula, kami lebih menekankan kepada elemen bernilai tambah iaitu kerativiti dan inovasi semasa sesi pengayaan. Kami memilih mengadakan aktiviti membina kad Hari Raya. Mulanya, guru mempamerkan beberapa contoh kad hari raya bagi merangsang minda dan imaginasi pelajar untuk menghasilkan hasil kerja yang terbaik dan berinovatif. Murid juga diminta mengemukakan contoh kad Hari Raya yang pernah mereka lihat atau terima bagi menjana idea dan imaginasi yang lebih tinggi bagi penghasilan kad Hari Raya yang bakal murid cipta sendiri. Bagi menambahkan nilai kreatif dan penjanaan idea, guru membahagikan murid kepada 5 kumpulan kecil. Setiap kumpulan akan merima kad arahan dan secara berkumpulan mereka perlu mencipta kad Hari Raya berdasarkan kreativiti sendiri. Seterusnya, setiap kumpulan akan membentangkan ucapan pada kad hari raya yang telah dihasilkan di hadapan kelas. Sesi pembentangan ini dijalankan bagi memastikan semua murid menguasai pembelajaran yang dihasratkan dalam suatu unit pembelajaran iaitu kemahiran membaca sebelum berpindah ke unit pembelajaran seterusnya. Setiap kumpulan diminta membentangkan dan membaca ucapan pada kad Hari Raya mereka dengan bacaan kuat bagi berkongsi bersama rakan sekelas yang lain. Pendekatan ini memerlukan peruntukan masa yang mencukupi dan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti. Bagaimanapun, jika terdapat sebarang kesalahan atau masalah, guru akan membetulkan bacaan ucapan Hari Raya murid bagi memastikan pembelajaran yang berbermakna terhasil. Alhamdulillah, objektif ketiga iaitu murid dapat membuat kad Hari Raya menggunakan kreativiti sendiri berjalan lancar. Akhir sekali, pada penutup selama lima minit, Murid dipaparkan dengan lirik lagu Hari Raya. Murid diperdengarkan dengan lagu Hari Raya tersebut. Murid diminta berdiri dan sama-sama menyanyikan lagu Hari Raya. Selesai menyanyikan lagu tersebut, murid diminta bersalam-salaman sesama mereka. Setelah itu, guru membuat rumusan tentang hasil pembelajaran serta memberi dorongan kepada murid supaya mereka sentiasa peka terhadap keperluan sesama manusia. Seterusnya, murid pula diminta membuat rumusan tentang ayat tunggal dan kata kerja yang telah dipelajari.

Kami memilih mengadakan aktiviti membuat rumusan pada akhir pembelajaran adalah untuk menguji pemahaman murid dalam membuat generalisasi berdasarkan P&P pada hari tersebut. Jika segalanya lancar, pada sesi pengajaran seterusnya guru akan memperkenalkan topik baru yang lain pula kepada murid.

Disini kami ingin mengalungkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pensyarah pembimbing iaitu Encik Md Shamsuddin Bin Ngat Denin kerana telah banyak membantu kami dengan memberi penerangan yang teliti mengenai kerja kursus ini serta merangkap penasihat bagi tugasan ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan

kepada beberapa orang lagi pensyarah yang turut terlibat secara tidak langsung di atas kesudian memberi tunjuk ajar, bimbingan dan nasihat yang membina bagi kami menyiapkan tugasan ini, terutamanya dalam pembinaan rancangan pengajaran harian ini dengan sempurna. Di samping itu, ribuan terima kasih ditujukan kepada teman-teman sekumpulan iaitu Wan Noorhusna Binti Wan Zain, Nik Maryam Hanie Binti Nik Nasroom, Marhamah Binti Udin serta Nor Aida Binti Ujud kerana telah bersama-sama memerah idea bagi meyelesaikan tugasan ini. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada rakan seperjuangan dari unit Pengajian Sosial yang turut berkongsi idea serta pendapatpendapat yang bernas sepanjang proses menyiapkan tugasan yang diberikan ini. Ucapan terima kasih kami hulurkan kerana tanpa kalian, tidak mungkin tugasan ini dapat berjalan dengan lancar. Alhamdulillah, syukur kepada Allah, zat yang selayaknya mendapat segala pujian dan pujaan atas segala kebaikan dan kemudahan yang telah dianugerahkan kepada sekalian makhluknya.

Anda mungkin juga menyukai