Anda di halaman 1dari 7

Pengenalan.

Bidang semantik atau makna,merupakan cabang daripada ilmu linguistik kerana ia meliputi bahasa dan sekiranya tidak ada unsur makna ianya tidak akan menjadi sempurna. Bloomfield (1992) dalam Nik Safiah, (2003) telah mentakrifkan makna sebagai situasi apabila penutur telah mengatakan sesuatu dengan gerak balas yang telah dijangkakan daripada pendengarnya. Menurut Nik Safiah (2003), sebagai satu bidang linguistik, semantik adalah bidang yang mengkaji makna atau maksud dalam bahasa. Semantik (kajian makna) adalah satu bidang yang sangat luas, mencakupi sebahagian besar daripada struktur dan fungsi bahasa. Selain daripada itu semantik juga boleh mengkaji masalah dalam kajian psikologi, falsafah dan antropologi. Untuk tujuan penulisan ini, penulis akan menggunakan beberapa jenis makna dalam bahasa Melayu seperti makna konseptual, makna konotatif, makna afektif, makna asosiatif, dan makna denotatif. Melalui penulisan ini, jenis-jenis makna ini dapat dihuraikan untuk memberikan gambaran dari segi maksud tersurat dan tersirat. Makna Konseptual. Makna konseptual merupakan konsep makna yang paling penting dalam bahasa. Tanpa mengaitkan makna konseptual tersebut, kita tidak mungkin dapat menentukan maksud, memahami ungkapan atau membuat tafsiran terhadap sesuatu perkataan. Pemahaman konsep adalah sangat penting. Menurut Abdul Chaer (1990), maksud konsep adalah meliputi komponen seperti benda, tindakan, proses, keadaan, atau konsep lainnya. Menurut Leech (1974) di dalam makna konseptual terdapat konsep asas yang menjadi pokok dalam komunikasi linguistik. Palmer (1992) menyatakan bahawa konsep adalah sesuatu yang menghubungkan kata dan benda melalui perantaraan konsep pemikiran. Interpretasi yang pelbagai boleh wujud kerana manusia sentiasa meluahkan akal fikiran yang berbeza. Ogden dan Richards (1923) dalam Nik Safiah Karim, (2003) telah membuat satu formulasi iaitu segi tiga semiotik. Mengikut formulasi ini manusia akan berfikir dahulu sebelum menuturkan sesuatu perkataan. Oleh itu dalam formulasi ini, segi tiga semiotik meletakkan pemikiran itu pada tahap yang tertinggi sekali.

Menurut Palmer (1982), organisasi makna konseptual adalah sesuatu yang rumit dan sofistikated. Sebagai contoh, mengikut Kamus Dewan (2001) perkataan wanita dan perempuan mempunyai makna yang sama iaitu manusia dewasa yang bukan laki-laki. Di sini Leech (1974), mengaitkan konsep dengan dua prinsip iaitu, prinsip konstrastif dan prinsip struktur konstituen. Sebagai contoh, maksud antara wanita dan perempuan adalah berbeza. Dimana wanita boleh dimaksudkan sebagai wanita beriman, wanita bekerja,

wanita dewasa dan wanita sopan. Manakala perkataan perempuan, ia menjadi kurang sesuai untuk diucapkan untuk maksud di atas.

Jelaslah di sini bahawa konsep telah memainkan peranan penting kepada manusia untuk mendefinasi, memahami, mentakrif dan memutuskan sesuatu buah fikiran. Tanpa konsep, kita sebenarnya tidak mungkin berupaya mewujudkan makna sebenar sesuatu perkataan. Makna sesebuah perkataan sering bergantung pada bentuk ayat atau situasi

penggunaannya. Oleh itu, menurut Palmer (1992), makna konseptual atau makna sesuatu keadaan sering juga disebut sebagai makna gramatikal. Makna gramatikal pula boleh dibezakan dengan makna leksikal. Apabila makna leksikal itu berkaitan dengan makna leksem yang sesuai dengan rujukannya, maka makna gramatikal ini adalah makna yang wujud sebagai akibat berlakunya proses gramatikal. Contohnya, perkataan yang ada unsurunsur pengimbuhan, penggandaan, dan pemajmukan seperti ber- dalam berlari, kedai-kedai yang membawa maksud banyak kedai dan penghasilan kata majmuk buku cerita daripada gabungan buku dan cerita. Makna Konotatif. Makna konotatif ialah makna yang ada hubungan dengan nilai positif, nilai negatif mahu pun nilai rasa. Jika nilai rasa tidak ada, maka sifat perkataan itu mungkin tidak akan memihak kepada mana-mana makna. Sebagai contoh, perkataan perempuan dan wanita mempunyai makna denotatif yang sama, namun kedua-dua perkataan ini mempunyai nilai rasa yang berlainan. Di mana perkataan perempuan mempunyai nilai rasa yang rendah berbanding dengan perkataan wanita mempunyai nilai rasa yang tinggi. Begitulah juga halnya dengan perkataan jantan dan lelaki. Perkataan babi dan khinzir juga boleh membawa maksud yang sama. Masyarakat yang beragama Islam mempunyai nilai rasa yang berlainan dengan tafsiran masyarakat bukan Islam. Menurut umat Islam, babi itu binatang yang haram, jijik, kotor, najis atau sesuatu yang membawa makna yang negatif, manakala bagi masyarakat bukan Islam, babi itu binatang yang boleh dipelihara dan boleh dimakan.

Makna konotatif ini juga boleh berubah berdasarkan kepada

faktor-faktor tertentu.

Contohnya perkataan khalwat, mengikut Kamus Dewan (2004) perkataan ini pada asalnya membawa maksud suluk, iaitu duduk bersendirian perihal (perbuatan) mengasingkan diri ditempat yang sunyi untuk menenangkan fikiran, bertafakur dan beribadah kepada Allah. Kini, maksud perkataan ini telah berubah, daripada pengasingan diri telah menjadi duduk berdua-duaan di tempat yang terpencil atau tersembunyi, di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim dan bukan pula suami isteri sehingga perbuatan yang sumbang ( Kamus Dewan, 2004). dianggap sebagai suatu

Makna Konotatif ini boleh juga dilihat kepada beberapa aspek lain iaitu, pertama, makna konotatif tidak spesifik pada bahasa sahaja tetapi telah dikongsi bersama oleh sistem

komunikatif seperti seni muzik dan seni visual. Sebagai contoh, barangan yang diiklankan di televisyen tidak sama seperti barangan yang dijual dipasaran. Kedua, makna konotatif juga bersifat periferal. Makna konotatif sering kali menjadi tidak stabil dan bervariasi menurut budaya, bergantung kepada tempoh masa dan pengalaman individu. Bagi orang yang terpelajar, dan berpengalaman makna sesuatu perkataan tidak sama dengan orang biasa semasa mereka berhujah atau memberi pendapat. Ketiga, maksud konotatif susah dipastikan dan bersifat arbitrer dan keterbukaan. Pengucapan kata-kata halus, sedap didengar, tepat dan kena pada masanya telah digunakan secara meluas oleh masyarakat Melayu. Sebagai contoh, perkataan kudapan telah digunakan untuk menggantikan makan dan minum pagi dengan mengambil sedikit kuih-muih. Ia dimaksudkan sebagai minum dan makan sedikit minuman kopi dan kuih-muih sekadar mengalas perut dalam sesuatu majlis antara waktu sarapan pagi dan makan tengah hari atau pada waktu minum petang atau selepas makan malam (Kamus Dewan, 2004). Makna Denotatif. Nik Safiah (2003), makna denotatif dimaksudkan sebagai makna yang sesuai dengan pemerhatian, penglihatan, pendengaran, perasaan atau pengalaman lainnya oleh penutur dan pendengar. Oleh itu, makna denotatif berkait rapat dengan penerangan terhadap fakta yang bersifat objektif. Sewajarnya ia boleh disebut sebagai makna sebenar, makna asal, makna mutlak atau makna dasar. Sebagai contoh, perkataan perempuan dan wanita mempunyai makna denotatif yang sama, iaitu manusia dewasa bukan laki-laki, begitu juga dengan perkataan gadis dan perawan yang ditakrifkan sebagai wanita yang belum bersuami dan pasangan perkataan isteri dan bini yang bermaksud wanita yang mempunyai suami (Kamus Dewan, 2004). Perkataan melantak, makan, sarapan, atau soru, kesemuanya dikaitkan dengan makan. Walau bagaimana pun perkataan melantak itu lebih kasar, tidak sedap didengar dan tidak mengikut adab yang sering dikaitkan dengan orang Melayu. Sering kali masyarakat mempunyai sudut pandangan yang berbeza walaupun perkara yang dibicarakan itu sama. Contohnya, pada masa dahulu perkataan aku tidak selalu digunakan kerana rasanya keras dan tidak sedap didengar. Kini, kebanyakan anak muda mengunakan perkataan aku untuk diri mereka apabila berkomunikasi dengan orang lain. Ini adalah bukti bahawa nilai rasa sudah menurun dalam kalangan penutur bahasa Melayu.

Menurut Nik Safiah (2003), makna denotatif juga boleh merujuk perbezaan antara makna referensial dengan makna nonreferensial bergantung pada ada atau tidak ada rujukan bagi perkataan-perkataan berkenaan. Seterusnya beliau menyatakan, apabila perkataan mempunyai rujukan, maka perkataan tersebut mempunyai makna referensial, contohnya perkataan seperti bola, selipar dan pakaian. Perkataan seperti kerana, namun, walaupun yang tidak mempunyai referen dikenali sebagai makna nonreferensial. Manakala perkataan yang termasuk dalam kategori kata penuh seperti minum, baring, cerdik, jelita tergolong sebagai perkataan yang mempunyai makna referensial. Perkataan-perkataan yang tergolong dalam kata tugas seperti kata hubung, kata sendi nama dan kata bantu termasuk dalam perkataan nonreferensial. Makna Afektif. Makna afektif mempunyai persamaan dengan perasaan dan emosi, tidak pada fikiran atau daya berfikir (Kamus Linguistik, 1997). Kita boleh memberi makna sesuatu ungkapan itu berdasarkan ucapan yang disampaikan menerusi nada, intonasi, dan tekanan yang memungkinkan kita membuat penafsiran tentang apa yang diucapkan dan kepada siapa ianya diucapkan. Makna afektif dapat merasakan perasaan dan sikap yang ingin dizahirkan oleh seseorang penutur terhadap pendengar atau terhadap sesuatu yang ingin disampaikan supaya dapat diperjelaskan dengan baik. Perasaan yang wujud itu mungkin positif dan mungkin juga negatif. Di dalam hal ini Abdullah & Ainon (1994) telah memberi contoh seperti berikut; kata rajin, ikhlas, baik hati, jujur akan menimbulkan kata afektif yang positif, sedangkan korupsi, kolusi dan jenayah menimbulkan makna afektif yang negatif.

Makna afektif selalunya disampaikan melalui saluran konotatif atau konseptual sesuatu perkataan yang diujarkan. Contohnya, Hoi, badak air!, nyah kau dari sini, Dah tak sanggup aku melihat muka kau!. Apabila ungkapan ini diujarkan dengan nada yang tinggi, kita boleh mengenalpasti dengan tepat perasaan penutur ketika itu. Jelaslah, intonasi seperti tinggi rendahnya suara juga merupakan elemen yang amat penting bagi menyampaikan buah fikiran yang boleh mengambarkan samada kita suka atau tidak suka kepada seseorang. Nada sesuatu ungkapan boleh mengubah perasaan atau penerimaan sesuatu ujaran terhadap orang yang menerima ujaran tersebut. Makna afektif sangat berperanan penting dalam menyusun teks iklan (Abdullah & Ainon, 1994). Contohnya, Teh nikmat berkhasiat. Nikmat dan khasiat mempunyai nilai rasa yang positif, kerana kata nikmat dan khasiat menimbukan asosiasi dan perasaan positif orang yang mendengarnya.

Makna Afektif adalah istilah yang dipakai untuk menyatakan makna yang mencerminkan perasaan peribadi seorang penutur. Perkara ini termasuklah sikapnya terhadap pendengar,

atau sikapnya mengenai sesuatu yang dikatakannya. Secara eksplisit makna ini diwujudkan dengan kandungan konseptual atau konotatif dari kata-kata yang diujarkan atau dipergunakan. Intonasi, gema suara, stress adalah faktor-faktor yang sangat mempengaruhi penggunaan bahasa dengan tujuan makna afektif. Sebagai contoh untuk kata pergi jika diucapkan dengan intonasi datar menurun, boleh bermakna ajakan. Namun jika diucapkan dengan intonasi sarkastis dan dengan sedikit tambahan kata lain seperti pada kata pergi kau sial, ia akan membawa makna yang lain. Makna yang ditimbulkan dalam kata tersebut boleh berupa rasa kesal yang sangat dalam sehingga terkeluarnya kata-kata nista tersebut. Makna Asosiatif. Menurut Leech (1976), makna asosiatif ditakrifkan sebagai makna yang dimiliki oleh sebuah kata dengan kata yang lain dan ia termasuk di dalamnya makna konotatif, makna stilistik, makna afektif, makna refleksi dan makna kolokatif. Manakala menurut Kamus Linguistik, (1997), makna asosiatif adalah perkaitan (antara satu dengan yang lain), perhubungan dan pertalian. Menurut Palmer, (1992), makna asosiatif merupakan asosiasi yang muncul dalam pemikiran seseorang apabila mendengar perkataan tertentu. Oleh itu asosiasi akan dipengaruhi oleh unsur-unsur psikologi, pengetahuan dan pengalaman seseorang.

Makna asosiasi adalah simbol yang digunakan oleh sesuatu masyarakat yang mempunyai persamaan dengan sifat, keadaan, atau ciri yang terdapat dalam konsep asal kata atau perkataan tersebut. Contohnya, perkataan buaya dikaitkan dengan jahat atau ganas

atau membawa makna seorang lelaki yang suka memujuk dan menipu wanita. Begitu juga halnya dengan perkataan mawar yang bermakna konseptual iaitu sejenis bunga yang berwarna putih yang cantik dan berbau harum. Ianya boleh dinyatakan sebagai perlambangan bersih dan suci. Justeru, sesuatu yang berasosiasi berkait rapat dengan makna konotatif, stilistik, afektif, reflektif dan kolokatif. Contohnya makna konotatif termasuk dalam makna asosiatif kerana kata-kata tersebut adalah berasosiasi dengan nilai rasa terhadap perkataan itu. Makna afektif banyak digunakan dalam komunikasi lisan kerana ia berkait rapat dengan emosi yang dinyatakan oleh penutur terhadap pendengar atau

terhadap objek yang dibicarakan dan dipersembahkan dengan penuh semangat, nada dan intonansi.

Sebenarnya terdapat banyak perkaitan makna asosiatif di dalam sesebuah masyarakat dari segi bahasa akibat daripada pengalaman, lingkungan dan latar belakang budaya yang hampir serupa. Tidak dapat dinafikan bahawa makna asosiatif sememang mempunyai

peranan yang utama dalam menyusun teks sesuatu iklan dan bukan sahaja makna rujukan sahaja yang mesti ditonjolkan. Makna asosiatif mempunyai peranan yang penting untuk

penutur dan pendengar memahamkan sesuatu wacana kerana makna asosiatif dapat menjadi pengikat makna-makna kata sehingga terbentuk pemahaman suatu wacana. Seterusnya Palmer, (1992), menerangkan bahawa tafsiran bagi sebuah puisi tidak dapat diasingkan daripada makna asosiatif kerana tafsiran sesebuah puisi menjadi lebih senang apabila seseorang itu memahami makna asosiatif. Penutup. Banyak sekali ahli yang memberikan pengertian tentang makna kata, ada ahli yang memberikan 16 definisi tentang makna (Odgen dan Richard, 1923 dalam Abdullah & Ainon (1994)), sementara itu Carles Morris (1994) dalam Nik Safiah, (2003) berpendapat bahawa pernyataan-pernyataan akan makna biasanya membuang sejemput unsur yang ada pada sasaran gejala makna. Alesandro Duranti (2000) mengertikan makna sebagai hubungan antara tanda. Richard E Palmer (2005) mendefinisikan makna lebih kepada isi teks yang akan dibahas dalam sebuah karya sastera. Makna dipandang Odgen dan Ricard (1923) dalam Abdullah & Ainon, (1994) sebagai hasil dari interpretasi dan tafsiran terhadap sebuah teks. Manakala Cruse (2000) telah mengemukakan bahawa makna terdiri dari makna yang mencakupi makna kata secara umum, makna leksikal dan makna gramatikal, makna kata dan makna kalimat, serta kemungkinan-kemungkinan makna yang muncul dari masingmasing kata.

Kesimpulannya bidang semantik mempunyai banyak cabang dalam bidangnya. Semantik juga boleh dipecahkan kepada beberapa jenis. Jenis makna dapat dibahagikan berdasarkan beberapa kriteria dan sudut pandangan. Antara jenis-jenis itu telah dibincangkan di atas berserta dengan contoh untuk menambah kefahaman kita. Perbincangan ilmu semantik akan melibatkan semua konsep yang terkandung dalam makna. Konsep yang terlibat meliputi semua bidang termasuk keadaan, tindakan, proses atau benda. Dalam aspek penggunaan bahasa, tujuan utamanya ialah untuk menjelaskan maksud atau makna. Jadi dengan mempelajari semantik ianya telah dapat memberi kefahaman yang jelas secara sedar atau pun tidak sedar, kita sebenarnya telah menuturkan atau mempamerkan tingkah laku yang mempunyai makna atau maksud yang tertentu tanpa kita sedari.

Bibliografi. Abdul Chaer (1994), Linguistik Am,Jakarta, Penerbit Rineka Cipta Abdullah Hassan & Ainon Mohd. (1994). Tatabahasa Dinamika. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Alesandro Dranti. Cambridge Textbook in Linguistics Linguistic Anthropology. Cambridge University Press. United Kingdom. 2003. D. Alan Cruse. Meaning in Language an Introduction to Semantics and Pragmatics. Oxfor University Press. New York.2000. Kamus Dewan (2004). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Leech, G. (1974). Semantics. Penguin Books. London. Nik Safiah Karim, (2003). Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan pustaka. Palmer, F.R. (1992). Semantik. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Anda mungkin juga menyukai