Anda di halaman 1dari 12

Soalan 1 (esei) Pada era globalisasi ini, masalah disiplin juga meningkat seiring dengan zaman yang semakin

berubah-ubah dan semakin maju. Antara salah satu masalah disiplin ialah masalah ponteng. Gejala ponteng ini juga semakin menular dalam kalangan remaja sekolah dan semakin menjadi-jadi. Hal ini telah mencetuskan kebimbangan yang berterusan dalam kalangan masyarakat terutamanya ibu bapa dan golongan pendidik. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan gejala ini tidak menular. Namun demikian sehingga kini belum ada penyelesaian yang konkrit untuk mengatasi gejala ponteng sekolah. Salah satu cara untuk membanteras gejala ponteng di sekolah ialah dengan adanya Program Bimbingan dan Kaunseling. Ponteng merupakan satu perbuatan salah laku dan melanggar peraturan sekolah. Ini bermaksud seseorang pelajar dianggap ponteng sekiranya tidak hadir ke sekolah tanpa sebab-sebab yang dibenarkan pada hari persekolahan. Oleh yang demikian, ponteng merupakan istilah yang digunakan bagi merujuk kepada apa jua kegagalan menghadiri kelas di sekolah secara sengaja tanpa alasan yang munasabah. Ponteng juga merujuk kepada pelajar yang menghadiri sekolah tetapi tidak menghadiri kelas, sama ada salah satu kelas, beberapa kelas ataupun kesemua kelas dalam satu-satu hari. Menurut Kamus Dewan, ponteng didefinisikan sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran. Selain dari itu, ponteng juga merujuk kepada pelajar yang menghadiri sekolah tetapi tidak menghadiri kelas, sama ada salah satu kelas, beberapa kelas ataupun kesemua kelas dalam satu-satu hari. Di sesetengah sekolah, pelajar yang ponteng akan hilang kelayakan untuk tamat sekolah ataupun menerima jam kredit bagi kelas yang tidak dihadiri, sehinggalah kekurangan tersebut diisi melalui tahanan kelas, denda ataupun kelas gantian. Ketidakhadiran pelajar ke sekolah dengan sengaja tanpa sebarang alasan yang munasabah.Masa yang sepatutnya diisikan dengan menimba ilmu pengetahuan di bangku sekolah sebaliknya dihabiskan dengan melakukan aktiviti yang tidak bermanfaat seperti melepak di kompleks membeli belah atau pusat rekreasi dan pusat hiburan. Walaupun adanya peraturan atau disiplin sekolah yang ketat tetapi seketat mana pun undang-undang dibuat gejala ponteng tetap berlaku. Kajian Kementerian Malaysia (1978) mengenai disiplin meletakkan gejala ponteng sebagai isu utama.

Ponteng sekolah adalah salah satu isu gejala sosial terutamanya melibatkan para pelajar sama ada pelajar dekolah rendah ataupun sekolah menengah. Hal ini tidak dinafikan dengan gejala ponteng iaitu satu isu gejala sosial sekolah boleh menjadi landasan untuk pelajar terlibat dengan gejala sosial lebih serius yang berunsur jenayah. Ini dapat dilihat apabila senario remaja sekolah yang pada mulanya hanya terbabit dengan isu gejala ponteng sekolah dan kemudian didapati terlibat dengan kes-kes jenayah berat kerap berlaku seperti terlibat dengan kesalahan memiliki atau memakan atau mengedar dadah seperti syabu, kokain, ecstacy, atau bahan-bahan sejenis yang mengkhayalkan sama ada dalam bentuk cecair atau pil-pil kapsul dan sebagainya, merokok, minum minuman keras atau arak, mencuri, bergaduh, terjerat dengan masalah cinta remaja atau love affair , vandalism, terlibat dengan penubuhan kumpulan remaja nakal atau gangsterism dan banyak lagi. Ponteng juga dikategorikan sebagai masalah disiplin. Menurut Laporan Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran 1979 merumuskan pengertian disiplin ialah kesanggupan seseorang individu menghormati dan mematuhi undang-undang sama ada disiplin itu dikenakan dari luar atau dengan kerelaan sendiri. Disiplin juga bermakna kesanggupan seseorang itu bekerja atau membuat sesuatu dengan cukup tertib, kesanggupan menghormati hak individu lain, kesanggupan mengamalkan tingkah laku yang baik dan tidak mengganggu tingkah laku orang lain, kesanggupan hormat menghormati di antara satu dengan lain dan mempunyai semangat tolong menolong dan kesanggupan membina keadaan yang sedia ada menerusi usaha yang membina serta sanggup berkhidmat kepada masyarakat. Ini bermaksud masalah ponteng juga merupakan salah satu masalah disiplin kerana murid yang tidak mematuhi peraturan sekolah. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan masalah ponteng ini berlaku. Antara faktor yang menyebabkan masalah ponteng ialah faktor rakan sebaya merupakan faktor yang mempengaruhi gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar-pelajar. Pengaruh rakan sebaya ini turut memainkan peranan yang kuat dalam mempengaruhi pelajar lain untuk ponteng sekolah. Ajakan daripada rakan sebaya mereka untuk ponteng sekolah akan mempengaruhi minda pelajar-pelajar yang tidak berfikir secara rasional. Mereka akan menurut segala ajakan dan pelawaan rakan-rakan mereka tanpa berfikir panjang. Rakan-rakan yang bercadang untuk ponteng sekolah akan memberikan pelbagai alasan yang munasabah seperti pelajaran di sekolah sangat membosankan dan sebagainya. Mereka menberi tanggapan bahawa aktiviti ponteng sekolah dapat menenangkan fikiran dan ini menjadi alasan untuk mereka tidak hadir ke sekolah. Selain itu,sesuatu perbuatan yang baru bagi seseorang pelajar biasanya mempunyai kaitan dengan perbuatan kawan yang lain. Sekiranya seseorang pelajar tidak mengikut perlakuan kawan, pelajar tersebut

akan berasa bimbang dan kemungkinan tidak mendapat kawan yang ramai. Jadi menganggotai sesuatu kumpulan merupakan jalan untuk mencapai objektif pelajar tersebut. Pengaruh rakan sebaya pada peringkat remaja amat ketara kesannya kerana pada peringkat ini remaja cuba memilih rakan-rakan yang sehaluan dengan hobi dan minat mereka. Pergaulan pelajar dengan rakan sebaya tanpa kawalan amat berbahaya kerana boleh menyebabkan seseorang pelajar melakukan perkara-perkara yang tidak diingini seperti menghisap rokok,menghidu gam, mencuri dan lain-lain lagi. Keadaan akan bertambah teruk jika pelajar tersebut bergaul dengan rakan-rakan yang tidak bersekolah lagi. Kebiasaannya pelajar yang ponteng adalah mereka yang mempunyai pendirian yang lemah. Lemahnya pendirian seseorang akan menyebabkan seseorang itu mudah dipengaruhi oleh orang lain. Pada usia yang masih muda remaja, pelajar dalam proses ingin mencari identiti diri maka mereka senang mencuba sesuatu yang baru tanpa berfikir panjang. Positif dan negatif kelakuan seseorang pelajar banyak dipengaruhi oleh rakan sebaya dan ini dapat dikukuhkan juga kerana rakan sebaya menjadi pendorong kepada pelajar untuk ponteng. Berlakunya keadaan sedemikian kerana rakan sebaya merupakan individu yang mudah menerima cita rasa atau pembaharuan yang dibawa oleh rakan lain dan akan mengikut apa yang dilakukan oleh rakan sebaya. Ini juga dapat dikaitkan dengan masalah ponteng, apabila rakan sebaya murid ponteng maka mereka juga akan terikut-ikut dengan perbuatan tidak baik ini. Oleh itu pemilihan rakan sebaya yang sesuai akan dapat meningkatkan prestasi pelajar dalam pelajaran. Selain itu, ia juga penting bagi mempertingkatkan mutu pencapaian pelajaran. Jadi pelajar-pelajar seharusnya bijak untuk mencari siapakah rakan-rakan yang sepatutnya dijadikan kawan sewaktu berada di sekolah kerana kawan yang baik akan sentiasa berada di sisi kita walau dalam apa pun keadaan. Sehubungan dengan itu juga perbuatan ponteng sekolah akan dapat dikurangkan apabila pelajar dapat memilih rakan yang sesuai dengan mereka. Selain itu juga, faktor gejala ponteng yang lain ialah ibu bapa tidak mengambil berat terhadap anak-anak mereka yang masih bersekolah. Ibu bapa masa kini lebih mementingkan kerjaya kerana mahu meningkatkan taraf kehidupan. Mereka menghabiskan masa yang banyak untuk mencari kekayaan dan mengejar status. Mereka juga menyerahkan tanggungjawab menjaga anak-anak mereka kepada pihak sekolah. Anakanak mereka pula sering diabaikan seperti anak ayam kehilangan ibu. Ibu bapa tidak memberikan kasih sayang yang sewajarnya diterima oleh anak-anak yang sedang membesar. Oleh sebab ibu bapa tidak begitu mengambil berat akan hal anak-anak, muridmurid sekolah mengambil peluang untuk melakukan apa-apa sahaja. Mereka berpendapat perlakuan mereka di luar rumah tidak akan diketahui oleh ibu bapa mereka.

Pelajar juga ponteng sekolah adalah kerana mereka telah hilang perhatian, kasih sayang daripada ibu bapa mereka dan ibu bapa telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu bapa. Dengan membuktikan keadaan tersebut, ibu bapa kini sentiasa bekerja di luar dari awal pagi sampai tengah malam, masa mereka bersama dengan anak semakin berkurang sehingga anak-anak tidak dapat menyampaikan perasaan mereka kepada ibu bapa. Lama-lama kemudian, anak tersebut akan cuba menggunakan cara lain iaitu cara negatif seperti ponteng sekolah kerana mereka berjaya mendapat perhatian daripada ibu bapa mereka. Malangnya anak-anak ini akan berkawan dengan orang luar semasa mereka memonteng sekolah dan kesannya kawan baru ini akan mengajak mereka pergi ke tempat lain untuk berhibur sehingga anak-anak ini tidak lagi mementingkan pelajarannya. Biasanya pihak sekolah akan mengeluarkan surat amaran bagi pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan ponteng terlalu kerap iaitu tiga hari berturut-turut. Surat yang ditujukan kepada waris atau ibu bapa itu kadang-kadang tidak mendapat respon yang diharapharapkan. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan urusan harian mereka tidak dapat hadir untuk berbincang dengan pihak sekolah. Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu bapa atau penjaga pelajar yang berkenaan langsung tidak mengambil berat akan halehwal anak-anak mereka. Keadaan ini juga memberikan rangsangan kepada pelajar yang berkenaan untuk terus memonteng sehingga akhirnya terpaksa diberhentikan persekolahannya. Oleh itu bolehlah dikatakan bahawa ibu bapa yang tidak mengambil berat akan amaran pihak sekolah turut menyumbang ke arah masalah ini. Jadi, sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kebajikan anak-anak juga mencetuskan gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid-murid. Selain itu, murid juga ponteng adalah kerana kurang atau tidak berminat terhadap pengajaran dan pembelajaran di sekolah Keadaan ini mungkin berpunca daripada isi kandungan sukatan pelajaran yang banyak memberikan tumpuan kepada mata pelajaran yang memerlukan pelajar menghafal seperti mata pelajaran sejarah, matematik, sains, geografi dan sebagainya. Di samping itu, pelajar kurang berminat terhadap sekolah kerana mereka mungkin tidak mampu untuk mengikuti pelajaran dengan sempurna kerana ketinggalan akibat kelemahan diri mereka sendiri. Alasan ini juga yang menyebabkan berlakunya kes ponteng yang banyak di kalangan pelajar yang lemah jika dibandingkan dengan pelajar yang cerdas. Pelajar seperti ini biasanya mudah berputus asa. Mereka kebanyakannya datang ke sekolah semata-mata kerana menurut kehendak ibu bapa. Oleh itu mereka kerap ponteng kerana telah hilang minat untuk belajar akibat tidak dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan

pelajar yang lebih cerdas. Selain itu, murid ini juga lebih cenderung untuk ponteng kerana tidak dapat bersaing dengan rakan lain dan mendapat markah rendah menjadikan mereka malu untuk ke sekolah dan malas untuk menghadiri kelas kerana mereka rasa walaupun ke sekolah mereka tidak dapat berjaya dan merasa amat rendah diri dengan diri mereka menjadikan mereka malas untuk ke sekolah. Kebanyakan pelajar ini mempunyai pencapaian akademik yang rendah dan mereka juga malas untuk membuat latihan yang diberikan oleh guru dan mereka bukannya ulat buku. Mereka beranggapan bahawa hadir di sekolah merupakan satu bebanan kerana terpaksa belajar dari pagi hingga tengahari di samping terpaksa membuat pelbagai latihan dan kerja rumah yang diberikan oleh guru. Jalan penyelesaian yang dipilih oleh mereka adalah dengan ponteng sekolah. Pelajar dalam kategori ini lazimnya keluar rumah pada waktu pagi dengan memakai pakaian sekolah yang lengkap. Malangnya, destinasi pagi mereka bukan sekolah, sebaliknya mereka berkumpul di mana-mana tempat lain untuk berseronokseronok. Di kawasan pekan atau bandar, tempat yang menjadi tumpuan utama pelajar seperti ini adalah pusat snuker atau pusat permainan video. Pelajar ponteng sekolah berkemungkinan adalah kerana mereka lebih mementingkan keseronokan daripada pelajaran. Hal ini jelas kerana terdapat di kalangan pelajar yang ponteng dengan tujuan untuk melepak atau berkumpul di suatu tempat terutamanya pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video, dan taman-taman rekreasi. Malahan, terdapat juga pelajar yang ponteng untuk menonton wayang atau berkelah. Bagi mereka, belajar di sekolah adalah sesuatu yang membosankan kerana tidak ada unsur-unsur hiburan. Gejala ponteng sekolah ini juga disebabkan oleh cara pengajaran guru dan juga persekitaran sekolah. Memang tidak dinafikan bahawa terdapat sesetengah guru yang tidak pandai mengajar atau tidak menunjukkan kesungguhan di bilik darjah sehingga membuatkan pelajar bosan lalu ponteng sekolah. Namun bilangan guru yang bersikap seperti ini sangat kecil. Hal ini dibuktikan oleh Dt. Amirah Latif dan Dr. Adillah Syazwani Khairi, dua orang pensyarah pendidikan di Universiti Malaya dalam kajian mereka tentang punca pelajar ponteng di beberapa buah sekolah di sekitar Lembah Klang. Dalam kajian yang melibatkan 125 orang pelajar yang pernah ponteng sekolah, hanya 10 orang pelajar yang menyatakan bahawa mereka bosan dengan cara pengajaran guru. Ada juga guru yang bersifat suka menyindir, marah pelajar tanpa sebab juga menyebabkan pelajar malas untuk ke sekolah. Guru yang baik merupakan guru yang sentiasa memahami kehendak pelajar mereka dan cuba mencari cara yang menarik untuk menarik minat pelajar, bukan hanya dengan kaedah dan cara yang sama yang menyebabkan pelajar bosan dengan keadaan di dalam kelas menyebabkan pelajar untuk lebih cenderung kepada ponteng daripada hadir ke

sekolah. Suasana sekolah yang tidak memberangsangkan dan suram juga membuatkan pelajar malas untuk ke sekolah. Hasil kajian dari Abd. Karim (1994), menyatakan keceriaan sekolah merupakan salah satu elemen penting yang akan mempengaruhi pengurusan sekolah dan disiplin pelajar di sesebuah sekolah. Azizah (2002) pula menyatakan bahawa, pembinaan fizikal dan alam sekitar sekolah yang menarik boleh membantu kehadiran pelajar ke sekolah. Oleh itu, pembangunan terhadap kemudahankemudahan sekolah yang berkaitan perlu dilaksanakan dengan sedaya upaya bagi mengatasi masalah ponteng. Kajian oleh Foster dan Clark (1989) juga menyokong bahawa 49% daripada responden mengatakan suasana sekolah itu sendiri mempengaruhi pelajar ponteng sekolah. Persekitaran sekolah yang tidak ceria, peraturan yang ketat, ketidakmesraan guru-guru dengan pelajar, beban kerja yang banyak, dan rasa bosan terhadap pengajaran guru menjemukan dan menggalakkan tindakan ponteng. Masalah ponteng ini boleh diatasi dengan pelbagai cara oleh seorang guru, begitu juga pihak sekolah, pihak sekolah boleh membantu mengatasi masalah kaunseling ini juga dengan adanya bimbingan dan kaunseling di sekolah. Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling ini dapat membantu untuk mengatasi masalah ini. Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah memainkan peranan penting untuk menggerakkan agenda pendidikan negara terutamanya dalam usaha mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Negara di samping menyahut cabaran Wawasan 2020. Wawasan 2020 mengandungi sembilan cabaran yang perlu dijadikan pedoman oleh para pendidik. Cabaran ketujuh dalam wawasan 2020 adalah mencapai hasrat dan usaha melahirkan masyarakat penyayang, seperti berikut :

membentuk sebuah masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan pada negara mahupun individu, tetapi pada sistem kekeluargaan yang kukuh lagi mantap. Bagi mencapai cabaran membentuk masyarakat penyayang, pihak sekolah, terutamanya guru bimbingan dan kaunseling, pastinya perlu memainkan peranan yang penting dalam membentuk sekolah penyayang. Sekolah penyayang adalah sebuah sekolah yang penuh dengan perasaan kemanusiaan, kebajikan, kerjasama, hormat menghormati, ikram dan

berbudi bahasa. Masyarakat penyayang akan dapat dilahirkan sekiranya guru bijak mengatur langkah membentuk pekerti murid di sekolah. Justeru itu, bimbingan dan kaunseling adalah perlu untuk membantu pihak sekolah merancang program pendidikan ke arah mencapai matlamat zero defect dalam semua jurusan pendidikan, seperti tiada masalah pengajaran dan pembelajaran, tiada masalah disiplin, tiada masalah pengurusan dan kepimpinan, serta tiada masalah keceriaan. Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling diwujudkan sebagai usaha individu mencari jalan keluar agar setiap individu mencapai kesejahteraan dalam menangani pelbagai masalah yang dihadapi oleh para pelajar. Hal ini bersesuaian untuk membanteras gejala ponteng di sekolah selaras dengan matlamat bimbingan dan kaunseling di sekolah. Pelbagai istilah telah diberikan untuk menerangkan konsep bimbingan dan kaunseling. Bimbingan dapat didefinisikan sebagai memberi bimbingan atau nasihat kepada individu atau satu kelompok individu. Bimbingan juga merupakan proses membantu seseorang dalam membuat pilihan. Bagi konteks pendidikan, menurut Crow dan Crow (1983), bimbingan merujuk kepada bantuan atau pertolongan yang diberikan dengan betul kepada murid yang berkenaan. Murid yang memerlukan bimbingan merujuk kepada murid yang bermasalah dari aspek intelek, rohani, emosi ataupun sosial. Terdapat beberapa jenis perkhidmatan bimbingan kaunseling disekolah.Jenis-jenis perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di dalam buku panduan perlaksanaan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (1984), telah menyatakan terdapat sepuluh perkhidmatan di dalam kaunseling yang harus disediakan di sekolah-sekolah. Jenis-jenis perkhidmatan kaunseling ialah perkhidmatan inventori individu dan rekod, perkhidmatan memberi maklumat, perkhidmatan bimbingan kelompok, perkhidmatan kaunseling, perkhidmatan penempatan, perkhidmatan mencegah penyalahgunaan dadah, perkhidmatan perundingan dan rujukan, perkhidmatan penyelarasan sumber, perkhidmatan perbincangan dengan ibu bapa, dan perkhidmatan penilaian. Keutamaan tugas bergantung kepada keadaan dan keperluan murid. Terdapat enam perkhidmatan yang dilaksanakan di sekolah. Perkhidmatan yang pertama ialah perkhidmatan inventori individu dan rekod. Melalui perkhidmatan ini guru mengendalikan fail bimbingan bagi setiap murid. Guru bertanggungjawab mengumpul dan merekodkan butir-butir berkaitan dengan penilaian dan

pentafsiran minat murid. Melalui rekod yang telah dikumpul, guru dapat mengawasi corak kehadiran murid yang dirujuk untuk tujuan bimbingan atau kaunseling. Jadi dengan adanya fail-fail dan inventori ini, guru akan dapat menyelidik latar belakang murid yang ponteng, dan ini juga sebagai pemudah cara kepada guru bimbingan untuk lebih mengenali tentang pelajar yang ponteng ini. Jenis perkhidmatan yang kedua ialah perkhidmatan memberi maklumat. Perkhidmatan ini memerlukan guru membantu murid mengumpul dan menyebarkan maklumat.Antara maklumat yang boleh diberikan kepada murid ialah maklumat yang berkaitan dengan pelajaran, vokasional, latihan, dan juga kerjaya. Maklumat ini dapat diberikan kepada murid melalui penerbitan risalah-risalah, buku-buku kecil, poster, buletin, dan pengendalian Hari Kerjaya dan Pameran Kerjaya. Perkhidmatan yang ketiga ialah perkhidmatan bimbingan kelompok. Perkhidmatan ini ialah guru merancang dan menyelaras aktiviti-aktiviti bimbingan kelompok dan tunjuk ajar yang boleh menggalakkan perkembangan konsep kendiri yang positif, aspek kognitif, afektif, psikososial, jasmani, kejantinaan, vokasional, moral atau agama. Perkhidmatan ini diadakan tentang masalah disiplin, pelajaran, sosial dan lain-lain topik seperti yang dicadangkan oleh murid dari semasa ke semasa. Bimbingan ini lebih bersifat penyesuaian. Perkhidmatan keempat ialah perkhidmatan kaunseling. Perkhidmatan kaunseling boleh dilakukan secara individu atau kelompok. Antara perkara yang boleh dibincangkan ialah pencapaian akademik yang kurang memuaskan, rujukan yang dibuat oleh guru-guru dan ibu bapa, aspek peribadi dan kerjaya, ketidak hadiran untuk kegiatan kokurikulum dan masalahmasalah disiplin. Contoh masalah disiplin ialah lewat ke sekolah, ponteng sekolah, merokok, bergaduh, buli dan menyalahgunakan dadah. Perkhidmatan kelima ialah perkhidmatan penempatan. Guru membantu murid memilih kegiatan biadang kokurikulum yang sejajar dengan kebolehan,minat dan kemampuan mereka. Selain itu, perkhidmatan ini memerlukan guru membantu murid dalam penempatan ke sekolah menengah. Contohnya, guru menjadi penyelaras menempatkan murid ke sekolah menengah yang berdekatan atau sekolah menengah pilihan murid. Perkhidmatan keenam ialah perkhidmatan mencegah penyalahgunaan dadah. Bagi perkhidmatan ini guru mengadakan bimbingan secara individu atau kelompok untuk menanam dan memupuk sikap benci dadah. Antara bimbingan yang boleh digunakan ialah mengadakan kempen, pertandingan melukis dan juga sebagainya supaya dapat mencegah penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid. Guru juga akan memberikan pertolongan kepada murid untuk mendapatkan bantuan pemulihandan rawatan kepada murid.

Berdasarkan pemerhatian, jenis-jenis perkhidmatan yang perlu dilaksanakan dan diutamakan disekolah perlu diteruskan. Bimbingan dan kaunseling dapat menolong dan menasihat murid supaya murid tidak terus membuat kesilapan sebagai contoh guru boleh menasihat murid supaya tidak ponteng sekolah dan juga menjelaskan tentang akibat ponteng. Maklumat-maklumat yang diperolehi akan ditafsir supaya guru dapat berbincang dengan ibu bapa jika masalah murid melibatkan keluarga. Guru akan membina satu hubungan yang profesional dengan murid dan membimbingnya supaya menjadi lebih faham tentang dirinya. Murid akan menjadi lebih sedar tentang kelebihan dan kekurangan dirinya. Dengan kesedaran yang diberikan oleh guru dapat memahamkan murid supaya memahami realiti hidup. Dengan adanya bimbingan kaunseling ini, pihak sekolah dapat membantu pelajar yang mempunyai masalah sosial begitu juga dengan masalah ponteng ini. Masalah ponteng ini dapat diatasi dengan adanya perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah. Guru kaunselor di sekolah boleh mengaplikasikan teori-teori kaunseling kepada murid yang melakukan kesalahan ponteng bagi membantu mereka mengatasi masalah tersebut. Antara teori-teori kaunseling yang boleh digunakan antaranya ialah Teori Psikoanalitik, Teori Gestalt, Terapi Rasional Emotif (RET), Terapi Tingkah Laku, dan juga Teori Berpusat Klien. Antara teori yang boleh digunakan ialah Teori Terapi Rasional Emotif (RET) bagi pelajar yang mempunyai masalah ponteng ini. Albert Ellis telah mengembangkan teori ini dalam tahun 1950-an. Manusia perlu mengubah cara berfikir supaya membetulkan fikiran yang tidak rasional merupakan kepercayaan Teori Rasional Emotif. RET kini lebih dikenali sebagai REBT ( Rational Emotive Behaviour Therapy). Ellis berpendapat bahawa manusia rasional dilahirkan ke dalam dunia yang tidak rasional. Semakin manusia menjadi tidak rasional, semakin mereka menerapkan idea idea yang tidak rasional ke dalam sistem kepercayaan mereka. Ellis telah menggunakan teori A B C ,iaitu : A = Activating Experience (peristiwa yang menggerakkan) B = Belief System (sistem kepercayaan) C = Consequence (akibat)

Sebagai contoh, dalam masalah ponteng ini, murid ini mungkin kecewa dan ponteng kerana dia tidak mempunyai kawan (C = akibat) jadi dia ponteng dan mengikut kawannya supaya mereka mempunyai kawan disekolah (B=kepercayaan). Bagi menangani masalah ini, sistem kepercayaan (B) yang tidak rasional perlu dibetulkan terlebih dahulu iaitu dengan guru boleh memupuk kepercayaan baru dalam diri pelajar iaitu jika pelajar berjaya menyesuaikan diri disekolah dan pandai memilih kawan, murid lain juga akan berkawan dengannya. Kepercayaan baharu ini adalah lebih rasional dan situasi ini dinamakan sebagai D (dispute, iaitu mencabar kepercayaan yang tidak rasional). Individu akan mengalami E (Effect) iaitu perasaan tenang dan lega setelah mencapai D (kepercayaan rasional). Idea rasional yang sering menggangu murid ini ialah adalah perlu bagi murid ini untuk mempunyai kawan dan digemari oleh rakan-rakan yang lain. Dengan teori ini, kita boleh membetulkan fikiran tak rasional murid iaitu perlu mengikut rakan sebaya yang ponteng supaya dapat berkawan dengan mereka menjadi kepada fikiran rasional iaitu perlu pandai memilih kawan dan pandai menyesuaikan diri di sekolah dan berkawan dengan orang yang tidak ponteng juga boleh membuatkan murid yang ponteng ini mempunyai kawan yang lain. Idea yang tidak rasional ini perlu digantikan dengan idea rasional seperti kita tidak perlu mengikut benda yang tidak baik untuk berkawan dengan sesorang, apa yang baik dijadikan teladan, yang buruk pula dijadikan sempadan. Malah, kita boleh menumpukan pada amalan penyesuain diri. Untuk mendapat kawan, kita seharusnya bijak untuk memilih kawan, kita tidak seharusnya mengikut sahaja perangai buruk kawan-kawan, kita sepatutnya memilih apa yang boleh diikuti dan yang tidak boleh diikuti. Sekiranya murid-murid ponteng ini berfikir secara rasional, pastinya kes ponteng ini tidak wujud sama sekali. Terdapat dua jenis kaunseling yang guru bimbingan dapat gunakan sewaktu menyelesaikan masalah ponteng ini. Dua jenis kaunseling ini ialah kaunseling individu dan juga kaunseling kelompok. Kaunseling individu ialah proses kaunseling dimana ia dikenali sebagai proses interaksi yang memudahkan kefahaman bermakna mengenai diri dan alam sekitarnya lalu menyebabkan penentuan matlamat-matlamat dan nilai-nilai untuk tingkah laku. Ini bermaksud kaunseling individu ini merupakan interaksi antara dua pihak untuk ,meluahkan perasaan berkenaan emosi dan apa yang berlaku dan seorang daripada dua pihak tersebut adalah pendengar yang empati dan cuba menolong sebelah pihak lagi. McLeod, J. (2007) menjelaskan kauseling individu sebagai seseorang individu yang membina hubungan istimewa dengan seseorang yang terlatih yang boleh membantunya menyelesaikan suatu masalah yang sukar diselesaikan oleh dirinya sendiri. Dengan kaunseling individu ini juga kauselor boleh membantu pelajar yang mempunyai masalah

ponteng iaitu pelajar tersebut boleh meluahkan perasaan kenapa dia berbuat begitu, kaunselor juga boleh membantu pelajar berkenaan untuk menyelesaikan masalah beliau dengan mendengar dengan empati setiap masalah yang murid itu hadapi. Berkemungkinan murid tersebut ponteng kerana ingin mendapat perhatian daripada ibu bapa atau ingin mendapat kawan. Seterusnya ialah kaunseling kelompok. Kaunseling kelompok ini berbeza dengan kaunseling individu kerana kaunselor bukan sahaja berinteraksi dengan seorang klien, tetapi dengan beberapa orang klien. Kelompok merupakan pengumpulan beberapa orang individu yang berinteraksi serta mempunyai perhubungan psikologi antara satu sama lain. Ohlsen, M.M (1977) menyatakan kaunseling ialah satu perhubungan yang unik, klien berasa selamat membincangkan perkara yang membimbangkan mereka serta mengenalpasti tingkah laku baharu yang diingini, mengamalkan kemahiran-kemahiran antara individu yang asas dan melakukan tingkah laku baharu. Kaunseling kelompok ini juga boleh digunakan untuk membanteras masalah ponteng di sekolah. Kaunselor sebagai ketua kelompok perlu memainkan peranan penting sewaktu aktiviti perbincangan ini berlaku supaya ianya berkesan dan perbincangan tersebut tidak berlaku dengan sia-sia. Sesi kaunseling kelompok ini dimulakan dengan pengenalan diri masing-masing dan seterusnya berbincang tentang masalah yang dihadapi dan cara menyelesaikan. Sebagai contoh, jika dalam kaunseling kelompok tersebut, murid pertama menceritakan tentang masalah ponteng dan perbincangan ini akan menjadi lebih terbuka dan kesemua ahli kelompok akan lebih merasa selesa apabila berbincang tentang satu masalah dan gejala ponteng ini juga dapat dibanteras dengan kaedah ini. Dalam bimbingan dan kaunseling, terdapat juga beberapa terapi yang boleh digunakan dalam membanteras apa-apa sahaja masalah disiplin. Antara terapi yang ada ialah terapi bermain, terapi muzik dan juga terapi bercerita, terapi seni dan juga terapi muzik. Antara terapi yang boleh digunakan untuk masalah ponteng ini ialah terapi bercerita, dengan menggunakan terapi bercerita ini, murid akan mendengar cerita dan apabila cerita ini lebihg kurang sama dengan kisah hidupnya, murid ini akan cenderung akan berubah tetapi kaunselor perlu berhati-hati dalam kisah penceritaan yang ingin disampaikan supaya ianya tidak lari dari kisah hidup pelajar tersebut. Sebagai contoh, kaunselor telah mereka cerita tentang masalah ponteng dan perlu berkaitan dengan diri mereka dan setiap cerita perlulah mempunyai pengajaran seperti seseorang itu selalu ponteng menjadikan pelajar itu tidak berjaya. Melalui cerita ini, murid tersebut akan berfikir dan cuba reflek balik apa yang telah mereka lakukan. Dengan terapi cerita ini kanak-kanak boleh mereka cerita dan cuba untuk mengekspres apa yang ada dalam diri mereka melalui cerita yang direka dan ini akan membentuk komunikasi antara kaunselor dan pelajar.

Terapi lain yang boleh digunakan juga ialah terapi muzik, American Music Therapy Association (2009) mentakrifkan Terapi Muzik sebagai penggunaan intervensi muzik berasaskan klinikal dan bukti untuk mencapai matlamat individu dalam perhubungan terapeutik oleh professional yang mempunyai kredential yang telah menamatkan program terapi muzik yang diiktiraf. Ini bermaksud, terapi muzik boleh digunakan untuk membanteras apa-apa masalah, begitu juga dengan masalah ponteng. Dalam kaunseling, kita perlu berfokus kepada minat klien dan personaliti klien terhadap muzik samaada muzik rancak ataupun muzik yang agak lembut. Melalui terapi muzik ini juga, muzik berupaya mengubah dan mewujudkan perasaan yang berlainan. Muzik juga boleh mempercepat ekspresi emosi disamping mengurangkan stress dan juga keresahan. Terapi muzik ini juga boleh membantu dalam isu-isu yang berkaitan kesedihan dan juga penderaan. Sebagai contoh untuk terapi muzik ini ialah seorang pelajar ponteng kerana kurang mendapat perhatian ibu bapanya dan selalu didera oleh kedua ibu bapa menjadikannya memberontak dan suka untuk ponteng kelas. Jadi guru perlu mencari muzik yang diminati seperti muzik lembut dan ini akan membantu pelajar tersebut untuk berada dalam keadaan tenteram dan lebih gembira. Kesimpulannya, dengan adanya bimbingan kaunseling di sekolah, masalah-masalah disiplin disekolah dapat dibanteras dan dikurangkan jika guru bimbingan disekolah dapat menggunakan kaedah yang betul, pihak sekolah juga perlulah membantu kaunselor untuk membanteras gejala disiplin ini.

Anda mungkin juga menyukai