Anda di halaman 1dari 16

10 Pengenalan

Pembangunan di Malaysia telah berkembang dengan begitu pesat ke seluruh


negara. Aspek pembangunan ini meliputi semua bidang termasuklah juga bidang
pendidikan yang turut tidak terkecuali menerima arus perubahan semasa. Tidak
dapat dinafikan bahawa pembangunan yang berlaku pada masa ini bergerak
seiringan antara satu sama lain. Menjelang abad ke-21, Malaysia berharap ingin
dikenali sebagai sebuah negara membangun secara menyeluruh. Dalam era
globalisasi ini, kita semakin cenderung untuk berhadapan dengan pelbagai
bentuk halangan dan cabaran dalam usaha untuk mencapai kemajuan. Secara
tidak langsung kita perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk meneruskan
langkah pembangunan yang telah bertapak sejak awal kemerdekaan lagi.
Realitinya, proses pemodenan, urbanisasi dan perindustrian alaf baru menuntut
kita melakukan pembaharuan atau perubahan dalam setiap aspek yang penting
dalam kehidupan kita.

Dalam usaha menempuhi cabaran abad ke-21 ini, kita perlu berfikir secara
kreatif untuk memastikan kita berjaya mencapai tahap kemajuan yang diingini.
Lantaran itu, pemimpin terdahulu telah merencanakan pelbagai langkah dan
usaha untuk merealisasikan impian tersebut. Semakin hari semakin banyak
langkah pemodenan yang diperkenalkan oleh kerajaan agar rakyat dapat lebih
merasakan lebih banyak nikmat kemerdekaan. Adakalanya kita terlepas
pandang akan peri pentingnya pelaksanaan sesuatu usaha dari kerajaan itu
sehinggalah kita dapat merasakan perkara itu dalam diri kita sendiri. Bertitik
tolak dari perkara tersebut, kita perlu lebih peka dan sentiasa mengambil
perhatian dalam setiap projek pembangunan yang dicadangkan oleh kerajaan
agar kita tidak ketinggalan dalam memberi sumbangan yang bermakna kepada
masyarakat Malaysia umumnya.

Pendidikan dan pembangunan negara mempunyai perkaitan yang begitu


ketara kerana ia saling bergantung sesama sendiri. Peranan pendidikan dalam
menentukan hala tuju pembangunan negara kita sememangnya amat penting.
Tanpa pendidikan, pembangunan akan bergerak dengan kadar yang amat
perlahan sehingga adakalanya mencapai tahap yang membimbangkan.
Sementara itu, tanpa pembangunan yang terancang pula, pendidikan tidak akan
dapat terus berkembang bagi memenuhi keperluan semasa. Tetapi adakah kita
sudah cukup bersedia untuk berhadapan dengan semua cabaran dan halangan
yang bakal muncul?
Rajah 1.1 Peta Konsep Pembangunan dan Perpaduan Untuk
Kesejahteraan

20 Wawasan 2020

Pada 28 Februari 1991, Tun Dr Mahathir yang pada ketika itu merupakan
Perdana Menteri Malaysia telah mengemukakan Wawasan 2020 dalam Sidang
Majlis Perdagangan Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur (Soon Sang, M.,
2006, p.155). Melalui Wawasan 2020 ini, kerajaan telah meletakkan matlamat
untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dalam semua
aspek dan meliputi bidang ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi dan
juga kebudayaan. Secara jelasnya, kerajaan telah menetapkan satu titik
kemuncak atau tempoh masa untuk negara kita Malaysia akan mampu berdiri
sama gah dengan negara maju yang lain tetapi dengan acuan kita sendiri dan
masih lagi mengekalkan norma-norma ketimuran. Maksudnya di sini, kita
menginginkan sebuah negara yang bukan sahaja menitikberatkan kemajuan
fizikal semata-mata tetapi juga kemajuan bersepadu (Ramlah, Shakila, Abdul
Hakim & Muslimin, 2008, p.219).

Wawasan 2020 telah diwujudkan dengan sembilan cabaran yang meliputi


semua aspek secara menyeluruh bagi menghasilkan sebuah negara yang hampir
sempurna. Bagi memudahkan kita untuk melihat kerelevanan Wawasan 2020
dalam pembangunan pendidikan negara, kita akan cuba menyelusuri semua
cabaran tersebut secara ringkas.
Rajah 1.2 Sembilan Cabaran dalam Wawasan 2020

Dimulakan dengan cabaran yang pertama iaitu untuk membina sebuah negara
bangsa yang bersatu padu. Negara bangsa yang dimaksudkan adalah sebuah
negara yang mempunyai kelompok masyarakat dari pelbagai kaum atau etnik
yang bersatu dalam menjalani kehidupan dengan menikmati hak yang sama rata
bagi membentuk sebuah “Bangsa Malaysia”. Rakyat Malaysia pada tahun 2020
seharusnya menjadi sekumpulan masyarakat yang sedar akan tanggungjawab
mereka untuk menumpahkan taat setia mereka pada negara tercinta tanpa ada
rasa berbelah bahagi.

Sementara itu, cabaran kedua pula mengkhusus kepada usaha untuk


membina masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan. Melalui
cabaran ini, rakyat Malaysia perlu menanamkan keyakinan yang tinggi serta rasa
bangga diri yang positif dalam diri mereka bagi mencapai kecemerlangan. Selain
itu, kita juga perlu bersedia menghadapi semua rintangan pada masa akan
datang. Tambahan pula dalam usaha mencapai kemajuan, bukan sedikit
halangan yang akan hadir. Justeru, sebagai rakyat Malaysia yang berwawasan,
kita mesti sentiasa berusaha untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah
dengan bangsa lain.

Cabaran ketiga dalam Wawasan 2020 ini adalah untuk memupuk dan
membina masyarakat demokratik yang matang. Malaysia merupakan sebuah
negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berperlembagaan sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 (Ramlah, et al,
2008, p. 161). Dengan pengaplikasian sistem pemerintahan demokrasi dalam
negara, rakyat atau masyarakat mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan
jatuh bangunnya sesebuah kerajaan itu. Atas kesedaran ini, kerajaan ingin
mewujudkan masyarakat yang matang dan mampu memahami sistem
demokrasi negara yang lebih menjurus kepada pemuafakatan dan musyawarah
serta menjadi contoh ikutan negara-negara yang lain. Rakyat Malaysia
diharapkan dapat menggunakan hak-hak demokrasi dengan sewajarnya tanpa
dipengaruhi oleh sebarang anasir-anasir buruk sama ada dari dalam ataupun
luar negara.

Seterusnya, cabaran keempat yang diutarakan adalah mewujudkan


masyarakat bermoral dan beretika. Kemajuan dari segi akhlak merupakan satu
aspek pembangunan yang selalu dilupakan sama ada secara sengaja ataupun
tidak. Negara maju pada masa ini sering mengalami masalah sosial yang teruk
lantaran pengabaian dalam pembangunan akhlak dalam kalangan rakyatnya.
Seperti yang dinyatakan tadi, matlamat Wawasan 2020 adalah mewujudkan
sebuah negara yang maju secara menyeluruh. Kenyataan ini membawa maksud,
sekiranya cabaran ini dapat dicapai, negara kita akan memiliki warga yang patuh
pada agama, mengamalkan cara hidup dan budaya yang sesuai dengan ciri-ciri
negara maju dalam acuan kita sendiri.

Cabaran yang kelima pula menetapkan matlamat untuk mewujudkan


masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi. Bagi negara kita Malaysia,
kepelbagaian kaum dan agama dalam sesuatu masyarakat sudah menjadi
perkara yang biasa. Kepelbagaian ini telah menjadikan Malaysia sebuah negara
yang unik kerana masyarakatnya mampu hidup bersama dengan harmoni dan
aman damai. Sebagai usaha untuk memastikan keberlangsungan keamanan
dalam negara kita ini, masyarakat perlu bersikap lebih matang, berfikiran
terbuka dan bertolak ansur dalam menjalani aktiviti seharian. Kerajaan juga
telah memulakan langkah untuk mengatasi cabaran ini dengan mewujudkan
beberapa dasar dan mengamalkan sistem demokrasi.

Jika kita teliti cabaran yang keenam, kita akan dapat melihat usaha
kerajaan untuk membina masyarakat yang maju dan saintifik. Di sini, kita akan
menyaksikan betapa pentingnya peranan pendidikan dalam pembangunan
negara dan juga peranan pendidikan dalam merealisasikan cabaran Wawasan
2020. Tetapi isu ini akan dibincangkan dalam subtopik yang berikutnya. Tidak
dapat dinafikan lagi bahawa sebuah negara yang maju atau masyarakat yang
maju perlu mencapai kemajuan dalam bidang sains. Penggunaan atau aplikasi
sains dan teknologi dalam kehidupan kita merupakan penentu kepada tahap
kemajuan sesuatu bangsa atau negara. Sekiranya kita ingin menjadi sebuah
negara maju pada tahun 2020, kita perlu mempelajari lebih banyak ilmu
berasaskan sains dan teknologi.

Cabaran yang ketujuh menekankan usaha untuk mewujudkan masyarakat


berbudaya penyayang. Masyarakat penyayang sering dicirikan dengan
kehidupan masyarakat yang bermuafakat, saling memahami dan menghormati,
bekerjasama dan saling membantu (Ramlah, et al, 2008, p. 222). Bagi mengatasi
cabaran ini, institusi kekeluargaan menjadi titik tolak kepada pembangunan
masyarakat. Sebuah institusi keluarga yang kukuh dan mantap akan melahirkan
masyarakat yang penyayang, tidak mementingkan diri sendiri serta sentiasa
berusaha untuk menerapkan nilai murni dalam setiap aspek kehidupan.

“Menjamin masyarakat yang adil dan saksama ekonominya” merupakan


cabaran kelapan yang perlu diatasi bagi mencapai kejayaan dalam Wawasan
2020. Sesebuah negara yang mampu membahagikan ekonominya dalam kadar
sama rata bagi semua rakyat akan dapat bangkit sebagai sebuah negara maju.
Pengagihan kekayaan yang tidak sama akan menghadirkan rasa tidak puas hati
dalam kalangan mereka sekaligus mencetuskan pelbagai masalah dalaman
dalam negara. Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk menghalang perkara ini
daripada berulang kembali dengan cara melaksanakan pelbagai dasar seperti
Dasar Ekonomi Baru supaya keadilan ekonomi terjamin dan dalam masa yang
sama boleh membantu rakyat untuk memperbaiki taraf hidup masing-masing.

Cabaran terakhir dalam Wawasan 2020 adalah untuk memupuk dan


membina masyarakat makmur. Kestabilan ekonomi dan kemewahan hidup boleh
dikatakan sebagai ciri masyarakat yang makmur. Hal ini kerana dengan taraf
hidup yang tinggi, sesebuah masyarakat itu tidak lagi mengalami kemiskinan
dan dalam masa yang sama menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia
menjelang tahun 2020 adalah sebuah masyarakat yang mampu bersaing,
dinamis dan mempunyai daya tahan yang tinggi.

Sekiranya kita meneliti semua cabaran tersebut dengan mendalam, kita


akan dapat melihat bahawa bidang pendidikan memainkan peranan penting
sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dalam usaha untuk
mengatasi cabaran Wawasan 2020. Realitinya, generasi masa ini yang akan
menggalas tanggungjawab pemimpin lepas untuk mempertingkat pembangunan
negara pada masa hadapan. Namun begitu, ia tidak semudah yang disangka.
Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita perlu mempersiapkan diri dengan
segala ilmu pengetahuan agar kejayaan dapat diperoleh.

2.1 Wawasan Pendidikan

Untuk mencapai matlamat Wawasan 2020, Datuk Dr. Wan Mohd Zahid bin Mohd.
Noordin, Ketua Pendidikan Malaysia, mengemukakan tujuh bidang jurusan
pendidikan dalam kertas kerjanya yang bertema Pengisian Wawasan Pendidikan
di Persidangan Pendidikan Nasional pada 8 hingga 11 April 1993 (Soon Sang, M.,
2005, p. 44). Antara intisari yang terkandung dalam Wawasan Pendidikan ini
ialah:
• Perpaduan di antara pelajar, guru, kakitangan dan ibu bapa.
• Pengurusan dan kepimpinan yang berkualiti dan memiliki sifat untuk
mencuba dan memikul risiko.
• Perkhidmatan penyayang yang mengutamakan penghargaan nilai-nilai
kemurnian.
• Empowerment, iaitu berkongsi kuasa dengan anggota-anggota sekolah
untuk melaksanakan program sekolah melalui kaedah reflektif, inovatif,
kreatif dan asertif.
• Budaya ilmu yang boleh melahirkan pelajar agar mencintai ilmu melalui
budaya membaca, belajar, berfikir, berwacana, menulis dan juga
berkarya.
• Sekolah Penyayang yang mengiktiraf harga diri manusia supaya pelajar
mencintai guru, sekolah dan pembelajaran mereka sehingga masalah
disiplin dikurangkan ke tahap zero defect dan sekolah pun menjadi tempat
sebagai ‘sekolahku, rumahku’.
• Budaya cemerlang dalam budaya kerja, budaya ilmu, akhlak dan sahsiah
peribadi.

(Sumber: Soon Sang, M., 2005, p. 44)

Berdasarkan Wawasan Pendidikan yang dikemukakan ini, kerajaan begitu


berharap agar sekolah dapat menyahut cabaran Wawasan 2020 untuk
melahirkan pelajar yang mempunyai kekuatan dalaman yang tinggi untuk
berhadapan dengan sebarang halangan dan dugaan. Tidak dinafikan bahawa
perancangan sesuatu program itu boleh dikatakan hampir sempurna dan boleh
mengatasi permasalahan yang dikemukakan. Tetapi, masalah sering timbul dari
segi pelaksanaan program tersebut. Sehubungan dengan itu, kerjasama
daripada semua pihak amat diperlukan agar wawasan ini berjaya mencapai
matlamatnya.

Di samping itu, Wawasan Pendidikan juga telah disokong oleh Dasar


Pendidikan Kebangsaan dan juga Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam usaha
untuk mewujudkan dan melahirkan generasi berpendidikan yang memiliki
keperibadian yang lebih baik berbanding sekarang.

3.0 Dasar Pendidikan Negara


Dasar pendidikan di negara ini telah bermula seawal zaman pemerintahan
penjajah lagi. Semasa pemerintahan British, dasar pendidikan lebih menjurus
kepada pendidikan yang lebih menekankan kepentingan bangsa penjajah
semata-mata. Sebarang usaha untuk memajukan sistem pendidikan pada masa
itu hanyalah untuk menjaga kepentingan mereka (penjajah) sahaja. Sebagai
contoh, masyarakat Melayu diberi pendidikan setakat boleh membaca dan
menulis sahaja. Tujuannya adalah untuk menyediakan tenaga kerja seperti
kerani dan pemandu untuk pegawai-pegawai British.

Selain itu, pemerintah British juga tidak mahu kebangkitan yang berlaku di
India akibat perkembangan pendidikan berulang kembali di Tanah Melayu.
Dalam pada itu, pihak penjajah juga ingin mengekalkan status quo dalam
memberikan pendidikan. Menurut dasar ini, keutamaan diberikan kepada kepada
golongan yang mampu untuk mendapatkan pendidikan. Maksudnya, golongan
masyarakat bawahan akan terus menjadi golongan buruh kerana kerana tidak
mampu mendapatkan pendidikan sementara masyarakat golongan atasan akan
terus kekal dengan taraf elit mereka (Sufean Hussin, 2008, p.85).

Era kemerdekaan sehingga tahun 1990-an telah mula menunjukkan


perubahan yang ketara dalam dasar pendidikan negara. Jika sebelum
kemerdekaan pemikiran peribumi dikongkong oleh dasar diskriminasi dan
sekatan daripada pihak penjajah, selepas kemerdekaan mereka lebih sedar akan
kepentingan pendidikan. Bermula dari tahun 1957 sehingga kini, kita dapat
menyaksikan betapa pesatnya pembangunan di Malaysia terutamanya dalam
bidang pendidikan.

3.1 Dasar Pendidikan Kebangsaan

Seperti yang telah dinyatakan dalam topik Dasar Pendidikan Negara, kita telah
pun mengetahui bahawa Dasar Pendidikan di negara kita telah bermula sejak
pemerintahan British lagi. Akan tetapi, dasar pendidikan telah berubah sejak
negara mencapai kemerdekaan. Matlamat pendidikan turut mengalami
perubahan iaitu daripada lebih mementingkan keperluan bangsa penjajah
kepada penumpuan terhadap kepentingan kepada masyarakat pribumi Malaysia
khususnya.

Dari segi bahasa dasar boleh didefinisikan sebagai asas, iaitu ketetapan
yang menjadi pegangan atau tunggak tindakan dan urusan. Perkataan Inggeris
yang seerti dengan dasar ialah policy (Sufean, 2008, p. 74). Di sini kita merujuk
kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan yang digubal sebagai lanjutan daripada
Akta Pendidikan 1996. Kerajaan Malaysia telah menghasilkan dokumen yang
mengandungi dasar dan strategi pelaksanaan agar dapat dijadikan rujukan atau
panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan (Lean
Keow, C., 2008, p. 49).

3.2 Misi Kementerian Pendidikan Malaysia

Selaras dengan dasar pendidikan yang telah direncanakan, Kementerian


Pendidikan Malaysia yang memikul tanggungjawab sebagai tunggak kepada
pembangunan pendidikan di Malaysia mempunyai misi tersendiri yang perlu
dilaksanakan. Terdapat dua misi utama yang menjadi tumpuan pihak
kementerian. Dua misi tersebut ialah:

i) Membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia bagi


memperkembangkan potensi individu sepenuhnya.
ii) Memenuhi aspirasi negara kita.

(Sumber: Lean Keow, C., 2008, p. 49)

Misi pendidikan yang diutarakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia


sebenarnya mempunyai perkaitan secara langsung dengan pembangunan negara
pada masa akan datang selaras dengan usaha untuk menyahut cabaran dalam
Wawasan 2020. Kerajaan telah merangka satu dasar yang melibatkan semua
pihak untuk berganding bahu bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, semua aspek yang berkaitan dengan usaha ini tidak terkecuali
mengalami perubahan termasuklah perguruan dan juga bidang penyelidikan
dalam pendidikan.

Dalam perjuangan untuk mencapai kemajuan, sudah pasti ada matlamat


yang perlu dicapai. Begitu juga halnya dengan Dasar Pendidikan Negara yang
telah menggariskan empat matlamat sebagai ukuran pencapaian dalam bidang
pendidikan. Matlamat yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

i) Melahirkan bangsa Malaysia yang bersifat taat setia dan bersatu padu.
ii) Melahirkan warga Malaysia yang berilmu, beriman, berakhlak mulia,
berketrampilan dan sejahtera.
iii) Menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan dan pembangunan
negara.
iv) Menyediakan peluang-peluang pendidikan yang sama bagi semua rakyat
Malaysia.
(Sumber: Lean Keow, C., 2008, p. 50)

3.3 Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih


memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani,
emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu
pengetahuan berketrampilan, berakhlak mulia bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

(Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia. 2000. Sukatan Pelajaran KBSM


Sekolah Menengah: Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka)

Idea untuk menggubal Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah wujud pada tahun
1979 ekoran daripada penerbitan Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji
Pelaksanaan Dasar Pelajaran dan diumumkan secara rasmi pada tahun 1988.
Falsafah ini digubal daripada usaha kita berfikir dengan akal logik iaitu berfikir
secara rasional dan kritis berlandaskan kepada fahaman negara sesuai dengan
prinsip Rukun Negara dan Dasar Pendidikan. Dengan berpegang kepada falsafah
ini, segala usaha yang dirancangkan berkaitan dengan pendidikan akan dapat
dijalankan dengan lancar dan berkesan.

Peranan Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah untuk memberi panduan


kepada sebarang rancangan untuk mempertingkat sistem pendidikan di negara
kita. Dalam masa yang sama, falsafah ini juga menjadi sumber rujukan dan
bimbingan kepada pihak-pihak yang memerlukan bantuan seperti para pendidik
untuk melaksanakan tugas-tugas mereka sebagai pencorak generasi masa
hadapan. Selain mengawal penyelewengan yang mungkin berlaku dalam bidang
pendidikan, falsafah ini juga memainkan peranan penting dengan menjadi batu
asas kepada pembentukan matlamat pendidikan dan juga bahan-bahan
pengajaran.

Kewujudan Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu sebagai pelengkap


kepada kepada Dasar Pendidikan kebangsaan. Berdasarkan Falsafah Pendidikan
di atas, dapat dilihat dengan jelas hala tuju sistem pendidikan di negara kita
(Ramlah, et al, 2008, p.215). Tanpa wujudnya aras penunjuk dalam pendidikan,
agak sukar bagi kita untuk membina kejayaan seperti yang dihasratkan oleh
kerajaan lebih-lebih lagi dalam bidang pendidikan.

Kita amat beruntung kerana pendidikan di negara ini mendapat perhatian


khusus daripada pihak kerajaan. Sebagai bukti, kita boleh menyaksikan kerajaan
telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar dalam belanjawan setiap
tahun. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya pendidikan dalam pembangunan
sesebuah negara. Justeru, kerajaan telah menetapkan matlamat dalam
menentukan hala tuju pendidikan negara ini. Matlamat Pendidikan Negara
memfokuskan kepada usaha untuk melahirkan insan yang baik dan sempurna
supaya menjadi warganegara Malaysia yang baik (Soon Sang, M., 1993, p.8).
Lazimnya, ideologi atau fahaman negara menjadi faktor penentu kepada
Matlamat Pendidikan Negara. Di sinilah kita boleh sejauh mana Falsafah
Pendidikan Negara menjadi haluan dan pedoman dalam mencapai matlamat
pendidikan negara kita.

3.4 Rukun Negara

Seterusnya, sebelum kita membincangkan peranan pendidikan dalam


pembangunan dengan lebih lanjut, kita akan memperincikan prinsip Rukun
Negara. Hal ini kerana Rukun Negara merupakan salah satu daripada dasar
sosial yang mempunyai perkaitan dengan pembangunan dalam pendidikan.
Rukun Negara juga dikenali sebagai de facto Malaysian pledge of allegiance
(Lean Keow, C,. 2008, p.117).

Gagasan pembentukan Rukun Negara diasaskan daripada prinsip


Pancasila di Indonesia dan merupakan kesan daripada Peristiwa 13 Mei 1969.
Majlis Gerakan Rakyat (MAGERAN) telah diamanahkan untuk membentuk satu
ideologi negara yang mampu menyatupadukan rakyat Malaysia agar peristiwa
rusuhan kaum itu tidak berulang kembali. Atas perundingan yang terperinci,
Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 dengan bermatlamatkan kepada
usaha untuk mengukuhkan perpaduan, memelihara corak hidup yang
demokratik, mencipta sebuah masyarakat yang adil, menjamin sikap liberal
terhadap tradisi kebudayaan yang pelbagai dan membina masyarakat progresif
yang akan menggunakan sains dan teknologi (Ramlah, et al, 2008, p.211).
Prinsip-prinsip Rukun Negara adalah seperti berikut:

• Kepercayaan kepada Tuhan


• Kesetiaan kepada Raja dan Negara
• Keluhuran Perlembagaan
• Kedaulatan Undang-undang
• Kesopanan dan Kesusilaan

Dalam prinsip pertama Rukun Negara, agama menjadi fokus penting


kerana masyarakat yang mempunyai pegangan agama akan lebih mudah
ditadbir dan dalam masa yang sama lebih bertanggungjawab. Walaupun agama
Islam telah diisytiharkan sebagai agama rasmi negara kita dalam Perlembagaan
Malaysia tahun 1963, penganut agama lain bebas untuk mengamalkan ajaran
agama masing-masing. Dengan syarat, aktiviti yang mereka lakukan tidak akan
menyentuh sensitiviti agama lain.

Prinsip kedua pula lebih menekankan kepada aspek kesetiaan terhadap


pemerintah terutamanya taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan juga
pemimpin yang lain. Rakyat Malaysia bersatu di bawah payung kedaulatan Raja.
Lantaran itu, Raja menjadi simbol perpaduan rakyat dan pada masa yang sama
menjadi pelindung kepada hak-hak peribumi. Tidak cukup dengan berbakti
kepada Yang di-Pertuan Agong, kita juga perlu memelihara keharmonian dalam
negara yang kita diami ini.

Keluhuran perlembagaan yang dimaksudkan dalam prinsip Rukun Negara


yang ketiga adalah tuntutan dari kerajaan kepada rakyat agar mematuhi dan
mempertahankan Perlembagaan Malaysia. Hal ini kerana perlembagaan
merupakan undang-undang yang tertinggi dalam sesebuah negara. Dengan
mematuhi perlembagaan ini tanpa mempertikaikan isu-isu yang sensitif, kita
mampu hidup bersama dalam satu komuniti yang harmoni.

Seterusnya prinsip keempat menekankan kedaulatan undang-undang.


Sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan, kita perlu patuh pada setiap
undang-undang yang telah digariskan. Begitu juga halnya dengan undang-
undang yang telah digubal untuk negara ini. Keamanan dan kemakmuran negara
hanya akan tercapai jika kita bekerjasama dengan cara tidak melakukan
kesalahan yang akan memungkinkan kita untuk menerima hukuman yang
setimpal dengan kesalahan kita. Kerjasama antara semua rakyat amat penting
untuk memastikan undang-undang kita berada pada kedudukan yang tertinggi.

Prinsip kelima yang akan kita teliti adalah gambaran umum tentang
masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian
sesuai dengan prinsip untuk melahirkan individu yang bersopan dan
bertatasusila. Kesopanan dan kesusilaan merupakan jaminan kepada sebuah
kehidupan yang lebih harmoni dan aman damai sekiranya ia dipraktikkan
dengan sewajarnya.

Rukun Negara pernah menjadi dasar pendidikan selepas berlakunya


peristiwa rusuhan kaum. Hal ini kerana Rukun Negara merupakan ideologi
negara yang digubal khusus untuk mengatasi masalah yang berlaku ketika itu.
Sesuai dengan kedudukannya sebagai fahaman negara kita, Rukun Negara
menjadi sumber rujukan dan panduan dalam penggubalan kurikulum. Lantaran
itu, kurikulum di negara kita menekankan perpaduan serta mata pelajaran Sains
dan Matematik (Ah Meng, E., 1997, p.24). Dan sehingga kini ia lagi relevan
dalam konteks kehidupan masyarakat termasuklah dalam bidang pendidikan.

40 Peranan Pendidikan dalam Pembangunan Negara

Setiap individu mempunyai tafsiran yang berbeza mengenai pendidikan.


Mengikut pandangan umum, pendidikan ialah aktiviti-aktiviti yang berkaitan
dengan pembentukan dan perkembangan ilmu. Sekiranya kita merumuskan
pandangan setiap individu berkenaan definisi pendidikan,kita akan mendapati
bahawa :

“Pendidikan ialah suatu proses atau aktiviti yang berusaha untuk


mengembangkan fizikal, intelek, sosial dan emosi seseorang individu serta
menambahkan kemahiran, kebolehan, pengetahuan dan pengalaman mereka
supaya dapat memberi kegembiraan, faedah dan kemajuan dalam
kehidupannya, membantu dan mendorongnya bertindak dengan cara yang
rasional bagi faedah diri serta masyarakat, bangsa dan negaranya.”

(Sumber: Soon Sang, M., 2006, p.1-


5)

Dalam bidang pendidikan, guru merupakan pemudah cara kepada murid-


murid atau para pelajar untuk mendalami dan memahami sesuatu ilmu
pengetahuan. Secara umumnya, guru merupakan agen perubahan yang
mendidik dan melahirkan generasi yang akan datang, bertanggungjawab
merealisasikan cita-cita dan hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dan Wawasan 2020 dengan berlandaskan kepada Matlamat
Pendidikan Kebangsaan (Soon Sang, M., 2006, p.157).
Cabaran keenam Wawasan 2020

“ ….. the challenge of establishing a scientific and progressive society, a society


that is innovative and forward-looking, one that is not only a consumer of
technology but also a contributor to the scientific and technological civilization of
the future.”

Berdasarkan kepada pernyataan di atas, ternyata sudah jelas bahawa


pendidikan dalam era globalisasi ini menuntut perubahan dan pembaharuan
yang berkaitan dengan perkembangan teknologi. Pendidikan menjadi alat
pembangunan bagi merealisasikan impian cita-cita menjadikan Malaysia negara
membangun sepenuhnya menjelang abad ke-21 (Abd. Rahim, 1999, p.5).
Pembentukan negara bangsa memerlukan penekanan kepada aspek sains,
teknologi dan era informasi maklumat.

Dalam Rancangan Malaysia kelapan, kerajaan berharap agar semua


maktab dilengkapi dengan sistem ICT agar semua bakal guru dapat bersedia
menghadapi cabaran apabila mula bertugas kelak. Bagi mencapai cita-cita untuk
membangunkan negara menjelang abad ke-21, kerajaan telah memberi
tumpuan khusus terhadap bidang pendidikan ini. Kenapa? Persoalan ini akan
terjawab sebelum kita merumuskan topik ini.
(www.ctl.utm.my/publications/manuals/mm/MIEducation.pdf)

Ledakan ilmu pengetahuan yang berlaku dalam era globalisasi kini banyak
mempengaruhi penggubalan dasar kerajaan terutama sekali yang berkaitan
dengan pendidikan. Kerajaan semakin giat melaksanakan dasar dan program
inovasi dalam pendidikan bagi memastikan matlamat yang dirancang akan
tercapai. Inovasi atau reformasi dalam pendidikan ini adalah bertujuan untuk
menjadikan setiap projek yang direncanakan oleh kerajaan akan membuahkan
hasil.

Terdapat pelbagai projek yang telah dilaksanakan sejak awal tahun 1990-
an lagi. Dimulakan dengan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR)
dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Melalui kurikulum ini,
kerajaan berusaha mengatasi cabaran Wawasan 2020 yang keenam iaitu
mewujudkan masyarakat sains yang berdaya cipta dengan menyerapkan unsur-
unsur sains dan teknologi dalam pendidikan. Dalam masa yang sama, subjek-
subjek tertentu menjadi tumpuan utama terutamanya, Sains dan Matematik.
Tumpuan khusus ini membawa kepada percubaan melaksanakan program
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI). Namun begitu, isu masih menjadi isu yang hangat diperdebatkan
lantaran hasil yang diperolehi daripada program ini menimbulkan rasa kurang
senang bagi pihak tertentu.

Terdapat banyak program pendidikan lain yang dilaksanakan dengan


tujuan untuk membawa pembangunan kepada negara pada masa hadapan.
Antaranya ialah:

1. Sekolah Bestari
• Merupakan sekolah yang telah ditubuhkan dengan teknologi
canggih dengan pengubahsuaian kurikulum agar sesuai dengan
perkembangan pesat dalam era sains dan teknologi.
1. Sekolah Wawasan
• Ditubuhkan dengan tujuan untuk melahirkan bangsa Malaysia yang
menghapuskan jurang perkauman dan lebih bersifat cintakan
negara. Pengelompokan tiga buah sekolah berlainan aliran dalam
kawasan yang sama. Aliran tersebut ialah Sekolah Kebangsaan,
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.
1. Sekolah Kluster
• Sekolah kluster ialah satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti cemerlang dalam klusternya daripada aspek
pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Pewujudan sekolah kluster bertujuan melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem
pendidikan Malaysia dan membangun sekolah yang boleh dicontohi oleh sekolah dalam kluster yang sama.

(Sumber: http://www.moe.gov.my/webdwibahasa/kluster)
1. Pendidikan PraSekolah
• Merupakan satu program bertujuan menyediakan pengalaman
pembelajaan kanak-kanak berumur 4-6 tahun dalam masa 1-2
tahun sebelum masuk Tahun 1 di sekolah rendah.

Bukan itu sahaja, dalam tahun 1990-an juga, pendidikan tinggi di Malaysia
berkembang pesat dengan pertambahan institut pengajian tinggi yang baru.
Sebagai contoh, jumlah politeknik di negara ini telah meningkat dari tujuh buah
dalam tahun 1990 kepada 11 buah pada tahun 2004, dan dalam jangka masa
yang sama jumlah universiti telah bertambah dari tujuh kepada 18 buah (Hock
Guan, L., dalam Swee Hock, S. & Kesavapany, K., 2006, p.232).

Pertambahan bilangan institusi ini selaras dengan dasar kerajaan dalam


Rancangan Malaysia keenam (1991-1995) iaitu pembangunan sumber tenaga
manusia merupakan teras utama matlamat pendidikan dan latihan. Dalam dasar
ini, kerajaan menggalakkan perkembangan bidang teknik dan vokasional
sekaligus turut membawa kepada pembangunan pusat pengajian tinggi seperti
politeknik dan universiti. Langkah ini adalah untuk melahirkan sumber tenaga
manusia yang berguna pada masa hadapan bagi memastikan matlamat
pembangunan akan tercapai.

Setiap projek yang dirancang oleh kerajaan ini sebenarnya mempunyai


tujuan untuk jangka masa panjang. Kita boleh mengambil program Sekolah
Bestari sebagai contoh. Sekolah ini ditubuhkan dengan tujuan untuk
mengaplikasikan sains dan teknologi dalam pendidikan. Dalam masa yang sama,
untuk jangka masa panjang kerajaan sebenarnya sedang cuba untuk melahirkan
tenaga kerja yang mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi. Perkara ini
selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadi negara maju pada masa akan
datang.

40 Rumusan

Seharusnya kita tidak perlu lagi mempertikaikan usaha yang telah direncanakan
oleh pihak kerajaan untuk pembangunan pendidikan dan negara. Sepatutnya
kita lebih menumpukan kepada pelaksanaan projek yang telah dirancang itu. Hal
ini kerana setiap perkara yang dirancangkan telah pun melalui proses
perbincangan yang teliti dan telah disusun dengan rapi. Tetapi masalah akan
tetap timbul dan menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat yang bijak untuk
meminimumkan masalah tersebut.

Wawasan 2020 merupakan antara rancangan kerajaan yang paling


mendapat perhatian. Secara kasarnya dasar ini kelihatan seperti satu dasar yang
khusus kepada pembangunan ekonomi, tetapi jika kita meneliti isi
kandungannya yang tersirat, kita akan mendapati bahawa ia merupakan satu
dasar yang menyeluruh meliputi pembangunan pendidikan. Bertitik tolak dari
dasar ini, perkembangan pendidikan di negara kita semakin berkembang pesat
seiringan dengan pembangunan lain dalam negara.

Perkaitan dan hubungan antara satu dasar dengan dasar yang lain tidak
dapat dielakkan. Bagi mencapai kejayaan, satu usaha dari satu pihak semata-
mata tidak akan mencukupi dan berkemungkinan besar akan menyebabkan
kegagalan. Atas sebab itu, dalam perbincangan yang telah dilakukan, kita
menyedari bahawa dasar-dasar kerajaan saling bergantung dan juga merupakan
pelengkap antara satu sama lain. Begitu juga dalam bidang pendidikan. Kita
telah melihat bahawa dasar yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Negara
dan Rukun Negara boleh membantu kerajaan mencapai hasat dan cita-cita
mereka dalam Wawasan 2020.

Justeru, sebagai salah seorang rakyat Malaysia yang hidup dalam era
perkembangan sains dan teknologi ini, kita perlu memperlengkapkan diri dengan
ilmu yang secukupnya agar dapat mengatasi sebarang halangan dalam
mencapai kejayaan yang diimpikan. Tanpa kita sedari, perubahan akan berlaku
pada setiap detik. Dengan itu, perancangan dan pelaksanaan yang berkesan
dalam pembangunan negara amat perlu bagi mengelakkan perubahan tersebut
membawa kesan buruk terhadap kita.

Anda mungkin juga menyukai