Anda di halaman 1dari 4

Hutang Wajib Dibayar

Mohd Shukri Hanapi


Felo Rancangan Latihan Kakitangan Akademik (RLKA)
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia
11800 Pulau Pinang.
Hutang merupakan satu amalan yang agak sukar dihindari oleh sesetengah individu.
Mereka beranggapan hanya dengan berhutang sahaja segala keperluan dan keinginan
hidup akan tercapai.
Jika dilihat senario kehidupan masyarakat hari ini, ada yang berhutang dengan tujuan
kebaikan seperti menampung kos pengajian, pembiayaan perumahan, kenderaan,
modal perniagaan dan sebagainya. Di samping itu ada pula sesetengah orang
berhutang semata-mata untuk menjaga kedudukan dan nama. Dalam perkataan lain,
berhutang untuk menyaingi kemewahan hidup orang lain.
Walau apa jua bentuk dan tujuan hutang itu, selagi dinamakan hutang maka ia wajib
dibayar. Tidak kira sama ada pemiutang itu dari kalangan individu atau institusiinstitusi kewangan.
Sebenarnya Islam tidaklah melarang umatnya berhutang. Walau bagaimanapun Islam
sesekali tidak menggalakkannya, lebih-lebih lagi apabila hutang tersebut menjadi satu
bebanan ketika hendak dilunaskan. Jika seseorang itu terpaksa berhutang, ia
hendaklah berazam dan berniat untuk membayar hutangnya.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang
bermaksud, Sesiapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan
membayarnya, maka Allah akan menunaikan niatnya itu. Tetapi sesiapa
mengambilnya dengan niat akan membinasakannya (dengan tidak membayar) maka
Allah akan membinasakannya' (Riwayat al-Bukhari).
Diriwayatkan pula daripada Aisyah r.a bahawa Nabi s.a.w sering berdoa yang
bermaksud, Ya Allah! Aku memohon perlindungan kepadaMu dari segala dosa dan
hutang. Aisyah berkata lagi: Seseorang telah berkata kepada Rasulullah s.a.w:
Alangkah banyaknya kamu memohon perlindungan dari beban hutang wahai
Rasulullah! Lalu Rasulullah bersabda: Sesungguhnya seseorang yang banyak
menanggung beban hutang, apabila dia berkata-kata dia akan berdusta dan apabila
berjanji dia akan mengingkari (Riwayat al-Bukhari).
Amat mendukacitakan apabila terdapat segelintir masyarakat hari ini mengabaikan
kewajipan membayar hutang. Banyak tindakan undang-undang dan mahkamah
dikenakan ke atas penghutang yang tidak membayar hutang dalam tempoh yang
ditetapkan. Paling tidak terdapat dua sebab kenapa hal ini berlaku, iaitu; pertama,
tidak berkemampuan membayar balik hutang (hutang melebihi pendapatan) dan
kedua, disebabkan kejahilan mereka mengenai konsep hutang menurut Islam.

Sebenarnya tanggungjawab membayar hutang terpikul di bahu orang yang berhutang.


Kewajipan membayar hutang tidak akan terlepas sekalipun seseorang yang berhutang
itu telah meninggal dunia.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya, Pernah ada jenazah seorang lelaki
yang mempunyai hutang dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w, maka baginda
bertanya: Apakah dia ada meninggalkan sesuatu untuk membayar hutangnya?
Sekiranya baginda diberitahu bahawa orang tersebut ada meninggalkan sesuatu untuk
membayar hutangnya, maka baginda akan mendirikan sembahyang ke atas
jenazahnya; sekiranya dia tidak meninggalkan sesuatu baginda bersabda:
Sembahyangkanlah ke atas temanmu itu. Setelah Allah memberikan kemudahan
kepada baginda dalam menaklukkan negeri, baginda bersabda: Aku lebih berhak
terhadap orang-orang Mukmin daripada diri mereka sendiri. Oleh itu, sesiapa yang
mati meninggalkan hutang maka akulah yang akan membayarnya dan sesiapa yang
mati meninggalkan harta, maka harta itu untuk ahli warisnya (Riwayat al-Bukhari).
Dalam hadis lain, yang diriwayatkan daripada Muhammad bin Jahsy bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, Demi Tuhan yang diriku di tangan-Nya,
jika seseorang lelaki itu terbunuh di jalan Allah, kemudian dia dihidupkan semula,
kemudian dia terbunuh lagi, kemudian dia dihidupkan lagi, kemudian dia terbunuh
lagi dalam keadaan dia menanggung hutang, ia tetap tidak akan dapat masuk Syurga
selagi hutangnya belum dibayar' (Riwayat al-Nasa'i).
Oleh sebab itu, Islam cukup menekankan soal hutang ini, malah awal-awal lagi
meletakkan beberapa syarat tertentu terhadap hutang-piutang sehingga penghutang
tidak boleh lari daripada tanggungjawab membayarnya.
Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t dengan panjang lebar di dalam firmanNya
yang bermaksud, Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang-piutang
yang diberi tempoh ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis
(jumlah hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara
kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan
menulis sebagaimana yang telah diajarkan oleh Allah. Oleh itu hendaklah ia menulis
dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan
jelas). Dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah dan janganlah ia mengurangkan
sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau
lemah atau ia sendiri tidak mampu merencanakan (isi itu), maka hendaklah
direncanakan oleh walinya dengan adil dan benar; dan hendaklah kamu mengadakan
dua orang saksi lelaki di kalangan kamu. Kemudian jika tiada dua orang saksi lelaki,
maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang perempuan daripada orang-orang yang
kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi
perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Saksi-saki
itu janganlah pula enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah
kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada yang
kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu lebih adil di sisi Allah dan lebih
membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak
menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang
kamu edarkan sesama sendiri, maka tidaklah salah jika kamu tidak menulisnya
(Surah al-Baqarah ayat 282).

Adapun bagi orang-orang yang berhutang tetapi enggan membayar hutangnya


sedangkan mereka mampu untuk membayarnya, adalah mereka termasuk dalam
golongan yang memakan harta milik orang lain secara batil.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda
yang bermaksud, Orang Muslim yang mati dan meninggalkan hutang akan
dikenakan hukum qisas pada Hari Kiamat kelak, kecuali pada tiga perkara iaitu;
Pertama, orang tidak mempunyai kekuatan kerana hendak memperjuangkan agama
Allah kemudian ia berhutang untuk menghimpunkan kekuatan bagi menghadapi
musuh Allah dan musuhnya sendiri; Kedua, orang yang mengunjungi jenazah seorang
Muslim dan ia mendapati mereka tidak mempunyai wang untuk menguruskan jenazah
tersebut kecuali dengan berhutang dan Ketiga, lelaki yang sudah lama membujang
yang ditakuti dirinya tidak terpelihara daripada perbuatan maksiat, maka ia berhutang
untuk berkahwin demi memelihara agama (Riwayat Ibn Majah).
Hutang perlu dijelaskan dengan segera. Sesiapa yang tidak menghiraukan hutangnya
sehingga menyebabkan hutang tersebut tertangguh terlalu lama dengan memberikan
berbagai-bagai alasan akan menyebabkan kesusahan kepada pemiutang. Hal ini juga
merenggangkan hubungan kedua-dua belah pihak.
Perbuatan sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang sedangkan
berkemampuan untuk membayarnya, adalah satu kezaliman. Diriwayatkan daripada
Abu Hurairah r.a katanya, Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
Penangguhan membayar hutang oleh orang kaya adalah perbuatan zalim (Riwayat
al-Bukhari).
Meskipun pada hari ini peluang untuk berhutang itu mudah, seperti melalui
penggunaan kad kredit, namun seboleh-bolehnya hindarilah amalan berhutang kerana
ia boleh menjejaskan kebahagiaan dan keharmonian hidup, malah boleh membawa
keburukan kepada diri sendiri.
Seseorang yang menanggung beban hutang yang banyak akan menyebabkan jiwa dan
fikirannya tidak tenteram. Dia bukan sahaja memikirkan bagaimana untuk membayar
hutangnya, tetapi merasa risau dan takut dengan tindakan undang-undang dan
mahkamah jika hutang-hutangnya itu tidak dapat diselesaikan. Situasi ini menghantui
fikirannya. Keadaan demikian itulah yang dikatakan oleh syarak sebagai 'alhamm'
iaitu keadaan runsing dan risau yang ada dalam diri dan fikiran seseorang sehingga
menyebabkan hidupnya tidak tenteram dan tenang.
Seandainya seseorang itu terpaksa juga berhutang, maka ikutilah cara-cara yang
dianjurkan oleh Islam. Pastikan jumlah hutang tidak melebihi jumlah pendapatan dan
segera jelaskan semua hutang dalam tempoh masa yang dijanjikan. Dalam pada itu,
segala perbelanjaan hendaklah diuruskan dengan baik.
Sebenarnya Islam telah mengajar umatnya tentang soal berbelanja dan cara mengurus
pendapatan ini. Seandainya ajaran-ajaran Islam ini dapat dihayati dan difahami, sudah
pasti kita tidak terjebak dalam timbunan hutang yang banyak. Jika berhutang, maka
segala hutang tersebut dapat dijelaskan dengan mudah.

Sikap pandai berhutang dan tidak tahu menguruskan pendapatan yang diperoleh,
terutama sikap berbelanja yang berlebih-lebihan dan ingin hidup mewah dengan 'duit
hutang' menyebabkan seseorang itu terpaksa menanggung hutang yang banyak dan
akhirnya menjadi liat untuk membayar hutang-hutang itu.

Anda mungkin juga menyukai