Anda di halaman 1dari 3

Bila Tinta Nazeka Kanasidena Mengalir

BILA TINTA NAZEKA KANASIDENA MENGALIR (Edisi 83)


PERANAN RAUSHAN FIKR DI SEMPORNA - Satu usaha menelusuri kelompok mujaddid
yang bersembunyi - Bahagian II
Dengan merujuk kepada artikel saya berkenaan Peranan Raushan Fikr di Semporna
Bahagian I, saya ingin menjelaskan bentuk peranan kelompok ilmuan tercerahkan ini
dalam konteks realiti semasa di Semporna dan masalah-masalah yang sedang berlaku
di Semporna pada saat ini.
Sebenarnya Semporna tidak ketandusan golongan berilmu terutama pendidikan
menurut istilah Barat. Sejak lewat tahun 1960an dan terutama di tahun 1970an dan
1980an, sudah ramai orang Semporna yang berpendidikan sekurang-kurangnya
Darjah Enam. Pada tahun 1990an semakin ramai generasi muda mendapat pendidikan
di universiti baik di dalam mahu pun di luar negeri. Golongan ini apabila balik ke
Semporna telah menerajui pelbagai jabatan di peringkat negeri dan persekutuan.
Mereka menjadi kakitangan awam dan berkhidmat penuh dedikasi. Namun mereka itu
golongan berilmu yang mempraktikkan ilmu untuk menolong memajukan rakyat dan
membantu mereka menikmati hidup lebih selesa di dalam sebuah negara. Mereka
bukan Raushan Fikr.
Jika bersandar pada teori Raushan Fikr menurut Ali Syariati, golongan berpendidikan
yang balik dari pengajian mereka dan bekerja di sektor awam dan swasta belum layak
menjadi Raushan Fikr. Mereka hanyalah golongan berilmu yang telah mengabdikan diri
untuk pekerjaan mereka sama ada guru, doktor, peguam, jurutera, arkitek, pemaju
dan sebagainya. Mereka bukan pelopor dan bukan peneraju kepada usaha membawa
masyarakat keluar dari kepompong kehidupan terpuruk, kekampungan dan
dikongkong oleh mentaliti kelas ketiga.
Untuk keluar dari masalah yang menggerogoti tubuh bangsa ini, diperlukan ramai
Raushan Fikr yang menguasai pula pelbagai disiplin ilmu agar mampu memberi
kesedaran kepada bangsa secara telus, yakin dan bersepadu. Masih ramai golongan
berpendidikan yang berkaliber dan berkelayakan untuk menjadi Raushan Fikr. Jika Iran
boleh muncul dengan Revolusi Iran 1979 menumbangkan Dinasti Shah Pahlavi,
Semporna tidak perlu menumbangkan apa-apa dinasti. Semporna hanya perlu
rakyatnya secara secara massal berubah 360 darjah daripada bangsa kelas
kampungan kepada bangsa yang maju, berdaya saing, trampil dalam bidang masingmasing, berteknologi, berasimilasi dengan IT, menguasai pengetahuan Glokal dan
tetap menjadikan Islam dan Ketuhanan Maha Esa sebagai paksi kehidupan.
Raushan Fikr akan mengisi lompang yang wujud dalam masyarakat. Lompang wujud
dalam masyarakat kerana rakyat dan pemimpin tidak menjalankan tugas dan
tanggungjawab dengan betul. Pemimpin membiarkan rakyat hidup dalam kejahilan
dan penderitaan batin meskipun diberikan sejuta kemudahan pembangunan material.
Manakala rakyat pula membiarkan pemimpin bermaharajalela dengan cita-citanya
untuk terus berkuasa dan mengaut kekayaan sebanyak mungkin untuk diri, keluarga
dan kelompok penyokongnya bagi tujuan persediaan masa hadapan.
Dalam keadaan beginilah Raushan Fikr maju ke hadapan menjelaskan yang batil lalu
menolaknya dan menggantikannya dengan yang benar lagi adil. Raushan Fikr dalam
cita dan citranya menolak apa juga bentuk penindasan, penyelewengan, kebatilan,
kemunduran, kebobrokan, kebejatan da keterpurukan bangsa. Mereka berperanan
menyedarkan masyarakat adanya pembodohan terancang oleh golongan berkuasa
terhadap rakyat khususnya golongan kurang dan tidak berpendidikan. Raushan Fikr

1 off 3

Bila Tinta Nazeka Kanasidena Mengalir


menolak golongan berpendidikan yang dibungkam dan disogok melalui apa yang
dikenali sebagai pembiusan terhormat sehingga mereka sendiri menjadi alat
menegakkan kekuasaan dan mengabsahkan tindakan golongan berkuasa untuk
memperbodoh rakyat secara sistimatik bagi mencapai tujuan-tujuan tertentu dalam
apa yang dikenali sebagai 'pembodohan terancang'.
Memang sukar mencari Raushan Fikr di Semporna. Apalagi dalam abad dunia kini
dikuasai budaya konsumerisme, individualistik, materialistik, hedonisme, chauvinisme,
prejudis dan mengenepikan teras ajaran Islam sejati. Di Semporna, neokolonialisme itu
sudah lama menular. Masyarakat meski pun bebas dari cengkaman penjajah Inggeris,
namun kehidupan mereka kini sedang menuju ke arah chaos.
Masyarakat di Semporna perlahan-lahan mulai memeluk budaya songsang sedemikian
dengan meninggalkan nilai-nilai murni warisan kearifan bahari bangsa AA SAMA.
Sudah ada di kalangan penduduk di Semporna membenci orang lain dan sanggup
putus saudara kerana pegangan politik yang berbeza. Sudah ada suami isteri bercerai
kerana parti politik yang berbeza. Sudah ada di kalangan masyarakat di Semporna
bersengketa kerana merebutkan harta warisan berbentuk pulau, tanah, rumah, harta
dalam dan luar negeri dan bersengketa kerana masalah perusahaan. Sudah ada
penduduk asal Semporna pandai menghantar orang tuanya ke rumah orang tua-tua
atas alasan pekerjaan dan sibuk dengan pelbagai aktiviti dan urusan. Sudah ada orang
Semporna terlibat dengan gejala sosial, penyeludupan, pemerdagangan komoditi yang
tidak sah dan lain-lain penyimpangan.
Di Semporna, golongan yang kaya raya semakin bertambah dan semakin kaya
manakala orang-orang miskin, melarat dan merempat pula dua kaliganda dari
bilangan itu. Agama kini hanya menjadi pakaian yang boleh ditukar ganti dan bukan
lagi makanan dan air untuk memberi kehidupan.
Sudah ada juga di kalangan masyarakat di Semporna memandang dan menilai orang
di sekitar mereka berdasarkan pemilikan harta. Semakin seseorang itu memiliki
banyak kenderaan mewah, rumah banglo, wang simpanan dan anak-anak yang ramai
berpendidikan tinggi maka itulah yang dipuja, dipuji dan disegani tanpa menyelidiki
dari mana sumber segala kekayaan itu diperolehi. Golongan sebegini malah dilihat
oleh masyarakat Semporna sebagai berjaya, trampil dan patut menjadi role model
kepada orang lain.
Mereka yang kaya raya dengan harta bertimbun, ladang-ladang kelapa sawit saujana
mata memandang, pabrik-pabrik pengeluaran, syarikat-syarikat sendirian berhad atau
multi-purpose holding, kontrak-kontrak besar, yang memiliki lesen F dan segala
jenisnya dan mempunyai link dengan ahli politik mulai dilihat sebagai nabi dan
wali dalam kata, tindakan dan nasihat mereka. Dalam keadaan lain, apabila ada
orang-orang miskin menyodorkan tangan meminta sedikit bantuan, mereka ditolak
dan diherdik hampir sama dengan anjing. Apabila orang kaya bercakap,
percakapannya lebih diendahkan dan didengar manakala orang miskin hanya dilihat
dengan sebelah mata.
Orang berilmu pula menggunakan ilmunya untuk kepentingan diri dan keluarganya
sahaja atau mengalokasi kemahirannya bagi maksud-maksud tertentu. Mereka
tenggelam dalam tuntutan kehidupan seharian dan tidak mahu memikirkan
kemaslahatan bangsa secara menyeluruh. Masyarakat kini sedang perlahan-lahan
menuju budaya Bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Tiada
inisiatif untuk memberi kesedaran dan merombak status quo.
Golongan agama pula sibuk dengan dunia mereka sendiri dalam pejabat berhawa
dingin menguruskan upacara dan ritual agama serta urusan muamalat, jinayat dan

2 off 3

Bila Tinta Nazeka Kanasidena Mengalir


munakahat. Pemimpin pula seakan membiarkan semua keadaan ini wujud sehingga
mencapai tahap tepu dan menunggu terurai sendiri oleh takdir dan waktu. Pada saat
inilah Raushan Fikr di Semporna dinantikan. Meskipun mereka sedang bersembunyi
dan menanti waktu untuk muncul, para Hawariyun sewajarnya kini sudah memainkan
peranan. Tapi kita masih juga menunggu dan terus menunggu.
Pendeknya masyarakat di Semporna sedang menuju ke arah chaos dan jumud. Baik
dari aspek material, rohani, jasmani, emosi, intelek mahu pun sahsiah; bukan lagi
rahsia umum keadaan ini merata dalam tubuh umat di Semporna. Politik, ekonomi,
sosial, budaya, pemikiran dan falsafah sedang menuju ke arah kemandekan dan
stagnasi. Apa yang pernah dialami oleh Barat pada awal abad modenisme, kini
sedang melanda penduduk di Semporna.
Istilah-istilah seperti alineasi, devian, bunuh diri, difusi, penyimpangan, kelainan
norma, hedonisme, individualistik dan sebagainya sudah mulai menumbuhkan bibit
dalam lahan tubuh masyarakat Semporna. Malah percubaan untuk meninggalkan
budaya dan adat tradisi dengan mengetepikan bahasa ibunda dan lahirnya generasi
yang tidak pandai MAGHILLING SAMA dan lupa asal usul nenek moyang sudah wujud
dan dikesan sejak awal tahun 1980an lagi.
Para Raushan Fikr di Semporna sewajarnya muncul lebih awal bagi membendung
gejala sosial yang tidak sihat ini. Di Iran, Raushan Fikr berperang dalam Ghazw Fikr
menggunakan pena. Mereka menulis dan menerbitkan tulisan dalam akhbar, majalah
dan buku-buku selain dalam kuliah di peringkat universiti. Di samping itu, mereka
sendiri terlibat secara agresif, masuk dalam gerakan bawah tanah, merangka
perlembagaan gerakan rahsia, berafiliasi dengan sesama mereka di seluruh dunia bagi
memberi kesedaran kepada masyarakat tentang adanya penindasan oleh golongan
penguasa yang dibantu pula oleh penjajah dan kuasa besar.
Di Semporna mungkin bentuknya belum sampai ke tahap itu. Namun bibit-bibit ke
arah itu sudah mulai tumbuh. Kita tunggu dan lihat perkembangan seterusnya.

3 off 3

Anda mungkin juga menyukai