Anda di halaman 1dari 4

KHUTBAH JUMAAT 17 RAMADAN 1434H/26 JULAI 2013M

Al Quran Mengangkat Darjat Ummah


Oleh: JHEAINS
____________________________________________________________________________

MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH,


Hidup mulia, hidup beriman dan bertaqwa adalah puncak matlamat bagi umat Islam. Oleh itu,
marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan taqwa yang sebenar-benarnya. Taqwa dalam
ertikata melaksanakan segala perintah dan suruhan Allah SWT serta meninggalkan segala yang
dilarang-Nya.
Firman Allah SWT di dalam Al Quran:



Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia
mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan
menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah
(sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar. (Surah Al-Anfaal, ayat: 29)
JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Bersempena dengan peristiwa dan sejarah Nuzul Al Quran, khatib ingin menarik perhatian Jemaah
sekalian untuk bersama-sama memuliakan dan mendaulatkan Kitab Suci Al Quran, kerana Al
Quran itu adalah petunjuk bagi seluruh umat manusia. Firman Allah SWT:


Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya
diturunkan Al Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan1

keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan
yang salah. (Surah Al-Baqarah, ayat: 185)
Tanggal 17 Ramadan setiap tahun disambut oleh umat Islam,sebagai Hari Nuzul Al Quran, untuk
mengingatkan kebesaran dan kemuliaan Kitab Suci Al Quran sebagai mukjizat yang diturunkan
oleh Allah SWT pada malam tersebut kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan
Malaikat Jibril AS. Turunnya Al Quran menjadi panduan dan petunjuk hidayah untuk umat
manusia, khususnya kepada orang beriman yang bertaqwa kepada Allah SWT, firman-Nya:


Maksudnya: Alif Lam Miim. Kitab Al Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang
datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk hidayah bagi orang
yang (hendak) bertaqwa. (Surah Al-Baqarah, ayat: 1-2)
Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menghuraikan lebih jelas mafhum ayat ini: Taqwa ,
ertinya memelihara atau melindungkan diri dari sesuatu yang ditakuti dan dibimbangkan.
Bertaqwa kepada Allah Taala ialah memelihara diri dari sesuatu yang membawa kepada siksa dan
kemurkaan Allah Taala dengan menjalankan (melaksanakan) undang-undang dan peraturan-Nya
serta hukum-hukum perintah-Nya.
Al Quran ini menjadi petunjuk hidayah bagi orang yang bertaqwa atau yang berusaha membentuk
dirinya untuk mematuhi perintah-perintah Allah Taala dan menjauhi larangan-Nya, kerana
merekalah yang terutama sekali yang akan mendapat faedah dari petunjuk hidayah Al Quran,
disebabkan iman dan taqwa mereka. Sedang orang yang kufur dan ingkar adalah sebaliknya.
JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Al Quran mempunyai faedah dan manfaat yang sangat banyak kepada umat Islam. Firman Allah
SWT:


Maksudnya: (Al Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai
Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti
kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.
(Surah Saad, ayat: 29)
Berdasarkan maksud ayat ini, faedah dan manfaat Al Quran kepada manusia, khususnya kepada
umat Islam yang beriman dan bertaqwa, antaranya ialah:
1. Al Quran sebagai petunjuk yang betul dan lurus. Firman Allah SWT:



Maksudnya: Sesungguhnya Al Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama
Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang beriman yang mengerjakan amalamal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. (Surah Al-Israa, ayat: 9)
2

2. Al Quran meninggikan darjat umat Islam. Kemuliaan dan darjat umat Islam yang beriman dan
mengamalkan ajaran dan Syariat Islam dari Al Quran akan ditinggikan oleh Allah SWT. Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Allah, dengan Kitab ini (Al Quran) meninggikan
darjat kaum-kaum dan menjatuhkan darjat kaum yang lain. (HR Muslim)
Mafhum dari Hadith ini, bahawa umat yang hidupnya berpandu dan berpegang serta mengamalkan Al
Quran pasti akan diangkat dan ditinggikan darjat kemuliaan mereka di sisi Allah SWT. Sebaliknya
umat atau sesiapa juga yang tidak beriman dengan Kitab Suci Al Quran ini dan tidak berpegang serta
tidak mengamalkan pengajaran dari Al Quran, pasti Allah SWT akan menjatuhkan dan merendah
darjat mereka.
3. Dengan sebab Al Quran, yakni apabila umat Islam dalam hidup dan kehidupan ini berpegang
dan berpandukan Al Quran, kita tidak akan sesat selama-lamanya, malah tidak juga akan
menyesatkan orang lain, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Aku telah tinggalkan pada
kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan keduanya, iaitu
Kitabullah (Al Quran) dan Sunnah Rasulullah SAW. (HR Muslim)
JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
4. Umat Islam umat terbaik di dunia dan di akhirat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya. (HR
Imam Al-Bukhari)
Rasulullah SAW memberi jaminan bahawa umat Islam yang belajar dan mengajarkan Al
Quran dalam erti kata belajar, mengajar sekaligus memahami, menghayati dan mempraktikkan
seluruh ajaran dan Syariat Islam yang termaktub di dalam Al Quran akan dikurniakan oleh
Allah SWT menjadi umat terbaik, Berjaya dan cemerlang di dunia dan akhirat.
5. Al Quran sebagai sumber pengajaran, penawar dan rahmat untuk manusia. Firman Allah SWT:



Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al Quran yang
menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakitpenyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk
keselamatan serta membawa rahmat bagi orang yang beriman. (Surah Yunus, ayat: 57)
6. Al Quran sebagai cahaya petunjuk di dunia dan umpama tabung simpanan di langit. Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: Hendaklah kamu sentiasa membaca Al Quran, kerana ia
cahaya petunjuk bagi penduduk bumi dan simpanan untukmu di langit. (HR Ibnu Hibban)
JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
7. Al Quran menjadi syafaat orang yang beriman. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Bacalah Al Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat memberi syafaat kepada
golongannya (yakni orang yang membaca dan mengamalkannya). (HR Muslim)
8. Dosa ibubapa diampunkan kerana mengajar anak Al Quran, sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud: Sesiapa (ibubapa) mengajarkan anaknya membaca Al Quran, maka akan
3

diampunkan dosa-dosanya yang lalu dan akan datang. Sesiapa yang mengajarkan Al Quran
dengan hafalan, maka setiap anak yang membaca satu ayat, Allah akan mengangkat satu
darjat untuk ibubapanya hingga akhir ayat Al Quran yang dihafalnya. (HR At-Thabrani)
9. Pahala membaca Al Quran satu huruf sepuluh kebaikan. Sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud: Sesiapa yang membaca satu huruf dari Al Quran, maka baginya satu pahala dan
satu pahala digandakan sepuluh kali. (HR At-Tirmizi)
JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN,
Kesimpulan khutbah hari ini, bahawa berdasarkan beberapa ayat Al Quran dan Hadith Rasulullah
SAW di atas tadi, jelas dan nyata Al Quran itu Kitab Suci yang diturunkan khusus untuk menjadi
panduan, hidayah, rahmat, syifa dan menjadi sumber segala bidang dan disiplin ilmu kepada
manusia, terutama umat Islam yang beriman dan bertaqwa.
Al Quran adalah panduan hidup tertinggi bagi umat Islam, penunjuk jalan kebenaran dan betul,
yakni agama Islam. Al Quran tiada sedikitpun perkara yang meragukan, sesiapa yang meragui
kebenaran Al Quran, bermakna terjejaslah keimanannya. Oleh itu, yakini dan percayalah Kitab
Suci Al Quran ini dengan mempelajari, mengajarkannya dan seterusnya memahami, menghayati
serta mengamalkannya dalam semua bidang kehidupan. Insya Allah, umat Islam akan menjadi
umat yang Berjaya, terbaik, mulia dan cemerlang di dunia dan di akhirat.
Firman Allah SWT:



Maksudnya: Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al Quran yang
mulia (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan). Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup
terpelihara. Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. Al
Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. (Surah Al-Waaqiah, ayat: 77-80)

Disediakan oleh:
Bahagian Penyelidikan dan Informasi
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

Anda mungkin juga menyukai