Anda di halaman 1dari 4

BUDI BAHASA BUDAYA KITA

Budi bahasa merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang agar
segala tindakan mereka terpimpin dan tidak menyeleweng dari norma-norma
sosial yang dikehendaki dalam masyarakat. Budi bahasa ini penting untuk
melahirkan insan yang mulia, unggul dan utopia demi merealisikan misi nasional
negara ke arah Wawasan 2020. Iman al-Ghazali mengatakan, Apabila kamu
hendak mengenali wajah lihatlah pada cermin, tetapi apabila kamu hendak
mengenali diri lihatlah pada wajah. Kata-kata tersebut mengambarkan betapa
keperibadian dan akhlak mulia menjadi tali pengukur kepada setiap individu.
Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya, peradaban dan
agama kita. (I) Namun begitu, dalam mengharungi era ledakan sains dan
teknologi, budaya berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat semakin lenyap
dalam sanubari golongan dewasa dan remaja. Berita tentang remaja bertindak
liar di luar batas-batas kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah
seperti gengsterisme, vandalisme dan pornografi sering terpampang di dada
akhbar dan kaca televisyen. Hal ini jelas menunjukkan betapa kroniknya masalah
kelunturan amalan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat. (A) Sebelum
keadaan menjadi lebih parah, budaya berbudi bahasa perlulah dijadikan sebagai
amalan dalam kehidupan seharian kita kerana seribu satu kemaslahatan boleh
diperoleh.
(K1): Salah satu kepentingan amalan ini ialah amalan ini dapat mewujudkan
perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara kita. (M) Masyarakat
yang berbudi bahasa akan saling menghormati tidak kira apa-apa jua warna kulit
ataupun status individu tersebut. Bukan itu sahaja, amalan murni ini akan
mendidik masyarakat yang berlainan bangsa dan agama supaya sentiasa
menjaga perasaan antara satu sama lain sama ada melalui tutur bicara atau
perlakuan. Kata orang, terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku atau kata
buruk padahnya. (B) Cetusan gagasan Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan
oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang
keenam merupakan langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa
rakyat yang semakin goyah akibat fahaman politik yang berbeza. Konsep ini
membawa aspirasi untuk membaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat
Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu
diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat-menghormati,
keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. (K) Apabila wujud sikap
saling menghormati, masyarakat akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni
dan gembira walaupun hidup dengan masyarakat yang berbeza budaya, adat
dan kepercayaan. Dalam pada itu, perselisihan faham antara kaum atau rusuhan
kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969 dapat dielakkan. Ulang tahun kemerdekaan
yang ke-51 iaitu pada tahun 2008 yang bertemakan Perpaduan Teras Kejayaan
jelas menunjukkan pentingnya perpaduan kaum dalam negara kita yang terdiri
daripada rencaman bangsa. Pepatah ada menyatakan bahawa bersatu teguh
bercerai roboh justeru apabila masyarakat bersatu, negara dapat berkembang
dengan maju dan anasir-anasir luar tidak dapat menggugat kestabilan negara
dengan mudah. (P) Tegasnya, konsep perpaduan dapat dicapai dengan mudah
sekiranya amalan budi bahasa dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.

(K2): Meninjau dari skop yang lebih luas, amalan berbudi bahasa dapat
melahirkan masyarakat yang lebih bertamadun. (M) Menurut konteks sejarah,
masyarakat yang bertamadun merupakan masyarakat yang memiliki tahap
tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur selain pencapaian lahiriah.
Oleh itu, masyarakat pada masa tersebut dapat membina tamadun dan empayar
yang kuat dan hebat seperti tamadun Mesopotamia, tamadun Mesir, tamadun
Hwang Ho dan tamadun Indus walaupun pada masa itu teknologi masih belum
berkembang dengan sepenuhnya. (B) Untuk membina tamadun yang unggul,
kita tidak seharusnya bersikap biadap dan kasar seperti mengeluarkan kata-kata
yang kesat sehingga memilukan hati pihak lain bagai ditusuk sembilu. Perlakuan
seumpama ini menggambarkan masyarakat tersebut masih berada dalam
Zaman Jahiliah di mana akhlak dan nilai hidup masyarakat pada masa tersebut
adalah sangat rendah. (K) Sekiranya masyarakat kita lebih bertamadun, sudah
pasti kita dapat mempertahankan kemerdekaan. Dalam konteks ini, negara amat
memerlukan masyarakat yang berfikiran matang dan bijak untuk mengelakkan
penjajahan semula oleh kuasa-kuasa asing seperti kuasa Barat. Secara tidak
langsung, industri pelancongan juga turut meningkat. (P) Secara ringkasnya,
masyarakat yang bertamadun dapat dilahirkan melalui amalan budi bahasa.

(K3): Selain itu, masyarakat yang berbudi bahasa akan mempamerkan nilai-nilai
yang positif seperti memberikan layanan yang sopan dan bersikap lemah lembut
terhadap pelancong asing. (M) Hal ini penting agar dapat meninggalkan imej
yang positif tentang negara kita dalam diri pelancong. Pelancong juga akan
mempunyai percutian yang menyeronokkan kerana beranggapan bahawa
kedatangan mereka ke sini dialu-alukan dan dihargai oleh masyarakat tempatan.
(B) Dalam pada itu, pekerja-pekerja dalam Jabatan Kastam dan Imigresen,
pemandu pelancong serta pemandu pengangkutan awam perlulah memainkan
peranan yang lebih penting dengan senantiasa melemparkan senyuman dan
bertutur dengan nada yang lembut ketika berurusan dengan pelancong asing.
Negara Jepun sayugia dijadikan teladan kerana masyarakatnya sememang kaya
dengan budi bahasa. Contohnya, ucapan irasshaimase yang bermaksud
selamat datang dalam bahasa Jepun pasti akan menusuk ke gegendang telinga
tidak kira apa-apa kedai yang dikunjungi. Amalan berterima kasih juga
merupakan sesuatu yang biasa dalam masyarakat Jepun. (K) Sekiranya amalan
ini diikuti, sudah pasti keramahan dan kesantunan rakyat Malaysia akan sentiasa
meniti dari bibir ke bibir para pelancong dan sentiasa memilih Malaysia sebagai
destinasi pelancongan utama mereka. Senario ini secara tidak langsung akan
menjana ekonomi negara melalui industri pelancongan negara yang kian
mendapat sambutan hangat. (P) Jadi, budaya yang murni ini amat penting ketika
berurusan dengan pelancong asing agar mereka dapat menikmati percutian di
negara kita.

(K4): Di samping itu, pemimpin yang berdedikasi juga dapat dizahirkan. (M)
Pemimpin yang baik akan dapat mentadbir negara dengan lancar kerana
mendapat sokongan yang padu daripada rakyat. Pemimpin yang berbudi bahasa
sentiasa menitikberatkan kepentingan orang lain daripada kepentingan peribadi.
Mereka akan bertindak dengan bijaksana untuk menjaga perasaan pelbagai
pihak ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak
berselerak. (B) Sehubungan dengan itu, golongan remaja merupakan aset yang
sangat bernilai kepada negara kerana mereka adalah generasi pelapis yang
bakal menerajui tampuk kepimpinan negara. Oleh itu, budi bahasa seperti
menghormati orang tua, bertutur dengan sopan, bertolak ansur dan amalan
tolong-menolong perlulah dijadikan panduan dalam kehidupan mereka supaya
mereka dapat menjadi seorang pemimpin yang berdedikasi dan berkarisma
dapat dilahirkan. (K) Pemimpin yang berbudi bahasa dapat meningkatkan imej
negara kerana pemimpin pemimpin dari negara lain akan kagum dan
menghormati negara kita. Ironinya, hubungan diplomatik bagi menjamin
kemajuan dan keselamatan negara dapat dijalinkan dengan mudah. Dengan itu,
negara kita akan dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara
lain. (P) Pendek kata, negara kita akan terkenal di persada dunia kerana memiliki
seorang pemimpin yang berwibawa melalui amalan budi bahasa yang
dipamerkan.

(L1): Menyedari akan pelbagai kemaslahatan di atas, kita haruslah mengambil


langkah-langkah yang pragmatik dan efektif untuk memastikan amalan ini dapat
dipupuk dalam setiap sanubari rakyat kita. Oleh itu,kita perlu bertindak mulai
dari sekarang kerana perjalanan yang beribu-ribu batu mestilah bermula dengan
langkah yang pertama. Salah satu langkah yang dominan adalah melalui
rombakan sistem pendidikan. Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan
tanggungjawab penting ini kepada pihak pendidikan. (M) Pendidikan merupakan
wahana yang berkesan untuk mentarbiah masyarakat. Melalui pendidikan, kita
diajar, dibimbing dan diasuh untuk menjadi insan yang kamil dan holistik sama
ada dari aspek jasmani, rohani dan intelek. Bukan itu sahaja, pendidikan juga
mampu melahirkan insan yang berhemah tinggi dan berbudi bahasa. (B) Hal ini
juga turut disedari oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu, beliau telah
mengarahkan agar kurikulum semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak
semula. Rombakan ini dapat dilihat melalui penerapan nilai-nilai murni yang
berkaitan dengan amalan budi bahasa dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
iaitu melalui cerpen, novel, drama dan puisi yang diajarkan dari peringkat
Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir
Mohamed pernah menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap masyarakat
Jepun. Walaupun negara mereka semakin maju, namun, masyarakatnya masih
mengekalkan nilai-nilai murni di samping mengamalkan budaya dan adat resam
bangsa mereka. (K) Mereka percaya bahawa dengan mengenali asal usul bangsa
serta keindahan bahasa dan budaya mereka, mereka dapat melahirkan rakyat
yang tinggi semangat cinta akan negaranya. Semangat inilah yang membawa

negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya sanggup berkorban jiwa dan
raga demi negara yang tercinta. (P) Jelaslah bahawa dalam usaha untuk
memupuk amalan budi bahasa, maka tidak boleh tidak, perubahan dalam sistem
pendidikan perlu dilaksanakan.

Anda mungkin juga menyukai