Anda di halaman 1dari 2

Menunaikan Azam Tahun Baru Anda

Motivasi Diri

Hari ini dah masuk hari keenam tahun 2015. Dah buat azam tahun baru? Lazimnya bila menjelang tahun baru
ramai daripada kita membuat azam tahun baru. Bagaimana dengan azam tahun 2014? Dah ditunaikan?
Kalau belum ditunaikan, tidak mengapa. Tak usah salahkan diri. Sangat mudah untuk membuat azam tahun baru
seperti nak berdiet, bersenam dengan kerap, hidup dengan lebih tenang dan santai dll. Namun kajian
menunjukkan tidak ramai yang dapat menunaikannya. Justeru adakah ini bermakna kita tidak perlu membuat
azam tahun baru?
Pakar berpendapat kita perlu membuat azam tahun baru, dengan pendekatan yang betul kita akan dapat
mencapainya. Kemungkinan kita melaksana azam tahun baru bergantung kepada beberapa faktor dan ia
bermula dengan niat. Mengapa anda membuat azam tersebut? Semakin besar sebabnya, semakin tinggi
kebarangkalian ianya dapat dicapai.
Suasana di perayaan tahun baru merupakan racun yang menghalang azam menjadi realiti. Niat baik yang
tercetus semasa sedang seronok merayakan tahun baru berkemungkinan merupakan keinginan sebenar anda
tetapi selalunya azam yang baik tidak terlahir semasa perayaan menyambut tahun baru.
Azam yang dibuat berdasarkan kehendak atau harapan orang lain juga adalah tidak baik. Kebarangkalian azam
tersebut bertukar menjadi realiti adalah lebih besar jika ianya dibuat berdasarkan motivasi diri berbanding
dengan tekanan luar.
Kawan saya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 35kg. Saya tanya beliau apa rahsia kejayaan beliau.
Dah banyak kali saya dengar beliau nak turunkan berat badan tetapi tak nampak apa-apa perubahan pun.
Pejabat beliau pernah mengadakan pertandingan menurunkan berat badan, beliau turut serta tetapi tak menang
pun. Jadi apa rahsianya? Kata beliau, beliau tak sanggup untuk menderita akibat penyakit yang berpunca
daripada obesiti seperti yang dialami oleh ibu beliau dan beberapa orang saudara terdekat beliau. Beliau dapat
merasa seksa yang ditanggung oleh mereka dan beliau tidak mahu mengalami perkara yang sama.
Adalah paling baik kita mengambil pendekatan sistematik dalam membuat azam tahun baru. Bermula dengan
menilai keadaan semasa, sebagai contoh keinginan untuk mengurangkan berat badan berlebihan. Ianya sangat
berguna jika anda menyenaraikan tabiat makan anda. Ianya akan membantu anda mengenalpasti dari mana
datangnya berat berlebihan tersebut.
Pendekatan yang sama boleh digunakan untuk membantu anda selalu bersenam. Sediakan jadual mingguan
yang menunjukkan bila dan berapa lama anda bersenam, kemudian tengok sama ada anda boleh luangkan lebih
banyak masa untuk bersenam.
Membuat azam dengan perkataan seperti kurangkan berat atau lebih bersenam adalah tidak berkesan dalam
menentukan matlamat. Apa yang anda perlukan adalah rancangan konkrit yang memberitahu anda berapa
banyak kilogram yang anda harus usaha untuk hilangkan dalam satu tempoh masa. Begitu juga ia harus
memberitahu anda berapa banyak senaman yang perlu anda lakukan, sebagai contoh sekurang-kurangnya 30
minit setiap hari.
Satu peraturan asas adalah untuk menetapkan sasaran yang realistik, jika tidak, kekecewaan dan kegagalan
akan menyusuli.
Apa yang mampu dicapai bukan hanya bergantung kepada kemampuan anda sendiri tetapi ia juga bergantung
kepada bagaimana bagusnya anda menilai kemampuan diri.

Adalah munasabah untuk membuat perancangan bagi tempoh kira-kira enam bulan. Anda perlu menetapkan
matlamat yang besar di akhir tempoh tersebut tetapi perlu ada beberapa peringkat dengan matlamat kecil
sebelum anda mencapai yang besar. Ianya juga sangat penting untuk mengambil pendekatan positif dalam
merangka azam anda. Daripada mengatakan Saya ingin menghilangkan X Kilo adalah lebih baik untuk berkata
Saya tidak mahu mendapat serangan jantung. Untuk mengurangkan risiko serangan jantung, anda harus
mensasarkan berat ideal dengan berpandukan BMI ataupun ukuran lain.
Cabaran terbesar adalah untuk kekal hingga ke akhir. Anda harus merancang untuk memberi ganjaran kepada
diri sendiri bagi setiap matlamat kecil yang anda capai. Setiap matlamat kecil yang dicapai adalah bukti yang
anda boleh berjaya. Anda seharusnya merekodkan kejayaan kecil tersebut dengan menandakan pencapaian di
dalam senarai atau jadual yang telah disediakan.
Bagaimana pun kegagalan juga adalah sebahagian daripada proses. Menurut kajian pakar, hanya sebanyak
20% daripada azam tahun baru dilaksana. Ia adalah berbaloi untuk memberi perhatian yang seimbang kepada
kegagalan. Mungkin matlamat yang telah ditetapkan adalah terlalu tinggi, tahun depan anda boleh
menukarkannya dan mendapat pencapaian yang lebih baik.
Semoga tahun 2015 lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Anda mungkin juga menyukai