Anda di halaman 1dari 5

Trauma Embah

Haryati Abu Nasir


Ibu memujuk embah dengan penuh kelembutan, penuh rasa kasih.
Baktinya ikhlas. Memang ibu penat, tetapi ibu tetap akur kepada
tuntutan tanggungjawabnya.
Merentas laluan masa, ibu yang kian dihirup usia tampak
masih bertenaga. Wajah ibu tetap tenang. Sebiji tahi lalat besar
bersemayam di sebelah kiri pundak hidung ibu. Manis sekali.
Tambah-tambah apabila ibu tersenyum. Kata orang, ibu awet muda
mungkin sebab ibu pengamal vitamin.
Dua belas tahun dulu, aku kenalkan ibu dengan pelbagai
makanan tambahan. Aku jelaskan kepada ibu tentang fungsi dan
kebaikan mangamalkannya. Ibu positif. Melangkah ke ruang dapur
hari ini, mataku pasti tertumpu pada deretan botol vitamin yang
pelbagai. Aku merapati deretan botol vitamin itu. Kuamati satu per
satu vitamin C, B kompleks, kalsium, magnesium, lesitin E,
multifiber dan protein. Kagum aku. Seorang wanita yang tidak
berpeluang manjejakkan kaki ke sekolah menengah, begitu
prihatin terhadap peri pentingnya soal makanan dan pemakanan;
sedang aku sendiri sudah mula lali dan tidak ambil kisah tentang
itu.
Pulang ke kampung memang menggembirakan. Ibu pasti
akan kelam-kabut menyediakan itu dan ini untuk cucu- (Halaman
112) cucunya. Begitulah. Ibu tidak kisah dengan kenakalan anakanakku. Bermainlah apa-apa saja. Tetapi ibu cukup pantang jika
cucu-cucunya bermain berdekatan keretanya. Kata ibu, kereta itu
mahal. Ibu beli dengan hasil titik peluhnya menjalankan peniagaan
selama lebih lima belas tahun bersama-sama abah. (Halaman
113)
Perniagaan ibu unik. Tidak perlu buka kedai. Tetapi ibu tetap
berjaya. Pelanggan ibu boleh membayar secara beransur-ansur
sebanyak sepulah ansuran dalam masa sepuluh bulan. Ibu
menamakan perniagaannya parti serbaneka.
Perniagaan
ibu
tertumpu
di
kampung-kampung.
Pelanggannya terdiri daripada para suri rumah. Barangan yang ibu
jual berupa peralatan dapur teman rapat kaum wanita. Periuk,
kuali, dan set pinggan mangkuk yang pasti menarik minat mereka.
Permaidani dan kain cadar juga. Ibu bersama-sama abah ke mana
saja. Ibu membuat temu janji dengan kenalannya di satu-satu
tempat. Kenalan ibu akan menjemput jiran tetangganya ke parti
yang ibu anjurkan. Biasanya ibu menjalankan perniagaan sekitar
pukul 3.00 hingga 6.00 petang. Pelanggan ibu boleh terus

membawa pulang barangan yang mereka beli dengan hanya


membayar sepuluh peratus daripada harga yang ditetapkan.
Sambutan memang sentiasa menggalakkan. Bulan berikutnya,
mereka hanya perlu menjelaskan ansuran kepada kenalan ibu.
Aktiviti ibu seterusnya ialah membuat kutipan daripada kenalannya
itu setiap bulan.
Ibu ceburi bidang ini tanpa asas ilmu perniagaan. Dengan
madal kecil, ibu berjimat cermat dan begitu tegas dalam
menguruskan wang pusingan. Ibu tidak cepat bermata hijau.
Kagum aku. Yalah, ibu bersekolah hanya setakat darjah enam.
Datuk tidak benarkan ibu sekolah lebih tinggi tidak perlu,
katanya. Sekolah tinggi pun sudahnya berkhawin; jaga suami dan
jaga anak. Ibu menurut saja. Kata ibu, datuk garang. Bila-bila masa
boleh naik angin.
Datuk rajin ke masjid di Kampung Jelutong, bersebelahan
dengan kampung kami. Datuk akan berbaju kurung teluk belanga
putih, berseluar labuh juga putih, bersamping pelekat ke paras
bawah lutut, dan berserban. Mendengar (Halaman 114) basikal
tua datuk berkeriut di halaman, embah cepat-cepat barlari ke
dapur dan membuka pintu. Tidak lama, datuk sampai di hadapan
tangga yang agak curam. Embah turun hingga ke pertengahan
tangga. Datuk menyorong basikal ke atas dan segera disambut
oleh embah. Datuk simpan basikal kesayangannya di dapur. Datuk
takut basikalnya dicuri orang. Begitulah saban hari.
Sebelah pagi, datuk ke darat untuk menoreh getah.
Sepeninggalan datuk, embah akan menguruskan ibu dan adikberadik yang lain ke sekolah. Agak siang, baru embah ke kebun
untuk mengutip susu getah. Untuk menolong datuk, embah perlu
berjalan kaki sejauh tiga kilometer. Datuk belikan embah kasut
getah untuk ke kebun, malangnya kasut itu terlalu sempit. Embah
tidak berani memberitahu datuk bahawa kasutnya kurang sesuai
dipakai. Embah takut. Embah bimbang datuk naik angin atau apaapa. Akibatnya, hingga kini jari telunjuk di kedua-dua kaki embah
terherot. Bengkok dan menenggek di atas ibu jari kaki embah.
Ibu punya seorang kakak. Rafiah namanya. Kakak ibu
berambut lurus. Suatu hari Mak Cik Rafiah ke pekan. Rambut yang
lurus dikeritingkan tanpa pengetahuan dan izin datuk. Pulang ke
rumah, dia tidak berani membuka tudung. Datuk harian. Apa
tidaknya, memasak bertudung, menyapu bertudung, siang
bertudung sampai ke malam. Akhirnya datuk pun bertanya. Malut
Mak Cik Rafiah terkunci.
Embah mencelah, Peah buat rambut.
Datuk mengamuk. Datuk suruh embah buka tudung Mak Cik
Rafiah. Datuk nampak rambutnya sudah keriting. Datuk ambil
parang pendek dan lontar ke arahnya. Parang tidak mengenai
sasaran, sebaiknya singgah ke hujung tumit kaki kiri ibu. Kaki ibu

berdarah. Parutnya masih dapat kulihat hingga kini. (Halaman


115)
Sebelum datuk berkahwin dengan embah, datuk sudah
pernah bernikah dua kali. Nasib tidak menyebelahi datuk. Isteri
pertama datuk meninggal sewaktu belum sempat melahirkan
zuriat. Bersama-sama isteri berdua, datuk punya empat orang
anak, tetapi umur isteri datuk tidak panjang. Isteri kedua datuk
juga pergi menghadap Ilahi. Bersama-sama embah, datuk
dikurniakan lima orang cahaya mata. Ibu merupakan anak
keempat. Abang ibu yang sulung di Pahang, kedua ialah kakak ibu
yang curi-curi keriting rambut tadi, ketiga ialah abang ibu sudah
meninggal dunia kerana sakit jantung, dan yang bongsu, adik
perempuan ibu menetap di Kuala Lumpur. Waktu embah masih
muda, dia sentiasa sibuk melaksanakan tugasnya. Membesarkan
lima orang anak, juga empat orang anak tiri, sekali-kali tidak
membebankan embah. Kasih sayang terhadap anak tiri dan anak
kandung, embah bahagi sama rata.
Datuk tetap dengan bengisnya. Anginnya tetap tidak
menentu. Embah akur. Embah sabar. Atas alasan sakit tua, datuk
pergi menghadap Ilahi. Waktu itu aku berumur enam tahun. Aku
masih ingat detik sayu itu. Kulihat ibu menangis. Semua ibu
saudara dan bapa saudaraku juga menangisi pemergian ayahanda
mereka. Datuk dikebumikan di tanah perkuburan Kampung
Jelutong. Tidak jauh dari masjid yang selalu datuk kunjungi.
Selepas datuk meninggal, mak cik membawa embah tinggal
bersama-samanya di Kuala Lumpur. Tinggallah ibu di kampung,
jauh dari embah. Ibu rasa kehilangan. Selepas penghijrahan
embah, rumah embah dirobohkan.
Satu petang pada bulan Ramadan sekembalinya dari sekolah
agama, aku dapati embah di rumah bersama-sama ibu. Embah
kupeluk erat. Embah rindukan kampung, rindukan (Halaman
116) ibu dan aku. Sebab itu embah sanggup pulang dengan bas
ekspres yang memakan masa lebih empat jam untuk berhari raya
bersama-sama kami. Waktu itu Lebuh Raya Utara-Selatan belum
dibina. Wajah embah tampak ceria. Tidak seperti sewaktu hayat
datuk masih ada. Murung dan sering ketakutan. Kini tiada lagi
semua itu. Kesempatan bersama-sama embah tidak kupersia. Aku
minta embah masakkan sambal tumis ikan bilis kegemaranku.
Sambal tumis embah memang sedap. Daripada embahlah aku
belajar menyediakan sambal tumis Johor yang paling enak
kurasakan. Embah larang aku mengisar bahan-bahannya.
Sebaliknya embah tumbuk semua rencah dengan lesung batu.
Begitu tekun dan teliti sekali. Embah tumbuk hingga betul-betul
lumat. Embah juga pandai memilih cili kering yang baik supaya
sambal akan kelihatan cantik; merah, katanya.

Lebih lapan belas tahun embah menjadi warga kota.


Kebelakangan ini embah sering dimasukkan ke hospital. Menurut
mak cik, embah kena serangan jantung. Jantung embah lemah.
Mungkin sebab embah semakin dimakan usia. Tiap kali embah
sakit,ibu dan abah pasti ke Kuala Lumpur. Selepas dua tiga hari
menziarahi embah, mereka pulang. Abah tidak boleh lama. Dia
mengajar. Walaupun ibu boleh memandu, dia tidak akan pergi
tanpa abah. Ibu kurang faham jalan-jalan yang berselirat. Sibuk
dan tersekat di sana sini.
Keadaan embah tambah tenat. Sakitnya semakin kerap.
Keadaan semakin mendesak apabila suami mak cikku meninggal
dunia tiba-tiba. Pak cik meninggal ketika ditugaskan ke Kedah;
ketika menuruni anak tangga untuk ke dewan makan, tiba-tiba pak
cik rebah. Pak cik merupakan fasilitator di Institut Aminuddin Baki.
Sewaktu jenazah pak cik dibawa pulang, embah sudah hilang
ingatan. Namun (Halaman 117) embah masih boleh berjalan
dengan sokongan sebatang tongkat. Embah sibuk bertanya kenapa
dan mengapa orang ramai di rumah mak cik. Hati mak cik tambah
pilu. Apatah lagi ibu.
Abah dan ibu ke Kuala Lumpur untuk mengambil embah. Mak
cik serahkan embah kepada ibu selepas hampir dua puluh tahun
embah tinggal bersama-samanya. Embah semakin uzur. Siang
malamnya hanya di kasur. Melangkah ke rumah mak cik, bau air
kencing embah sudah dapat dihidu. Mak cik pakaikan embah
lampin pakai buang, tetapi embah buka dan campak ke lantai. Mak
cik tiada pilihan. Mak cik terpaksa serahkan embah kepada ibu
kerana mak cik bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi
terkemuka. Dia juga punya empat orang anak yang perlu disara.
Pemergian pak cik dalam usia muda menimbulkan sedikit tekanan
terhadap mak cik. Ibu memahami semua itu. Walaupun hakikatnya
ibu juga punya perniagaan yang harus dikendalikan, demi embah,
demi adiknya, ibu berkorban.
Bau hancing yang dulu memenuhi ruang rumah mak cik kini
beralih ke rumah ibu. Atas inisiatif ibu, haruman lavender dan ros
ibu titiskan di atas piring pembakar alat terapi aroma elektrik.
Satu, ibu letakkan di ruang tamu, dan satu lagi di bilik ibu. Ibu
harap haruman ini dapat mengatasi bau hancing itu. Hasilnya,
menghampakan. Ibu mula kecewa. Kepala ibu sakit menghidu bau
itu hampir tiap kali ibu menarik nafas. Nyata bau itu sudah
meresapi seluruh saraf di dalam kepala ibu.
Sekitar pukul 3.00 pagi, ibu terjaga. Abah juga. Ibu
menjenguk embah yang terbaling di katil bersebelahan bilik ibu.
Ibu lihat embah mengangkat kedua-dua tangannya sambil
menjerit-jerit dengan suara tersekat-sekat. Sebenarnya saat itu
lidah embah sudah kaku. Dalam menenteramkan embah,

(Halaman 118) ibu dapat menangkap butiran perkataan embah


yang sudah tidak jelas, pelat dalam bahasa Jawa yang bermaksud:
Budak itu. Budak itu. Kolam. Ya Allah, anakku.
Budak itu, budak itu. Ya Allah ... ya Rabbi ...
Ibu faham kini. Pada usia menjangkau lapan puluh tahun,
embah dibayangi kisah silamnya yang begitu menekan. Ibu sedar
kini embah sedang berdepan dengan trauma. Ibu ceritakan apa
yang dialami kepada kakak tirinya yang datang malawat embah.
Rupanya, embah pernah kehilangan dua orang anak lelaki yang
masih kecil dalam masa satu minggu. Seorang berusia tiga bulan,
diserang demam panas. Dan seorang lagi berumur dua tahun,
terjatuh ke dalam kolam di belakang rumah. Kepiluan dan
keharuan yang mencengkam jiwa embah terpaksa dipendam
hingga kini kerana datuk melarang embah meratapi pemergian
mereka. Datuk benci kakak tirinya jatuh berjuraian. Begitu berat
penderitaan embah. Jiwanya tertekan. Perasaan hiba terpaksa
disimpan jauh dalam hati.
Kelmarin aku ke rumah ibu lagi. Kulihat embah semakin
cengkung. Kukucup dahi embah. Kulihat tulang di dada embah
membukit. Tubah embah tinggal tulang dan kulit. Kulihat ibu masih
seperti dulu. Tampak muda dan bertenaga walaupun terpaksa
meninggalkan dunia niaga kerana menjaga embah. Mengangkat
embah ke kerusi roda, memandikan, memakaikan lampin walaupun
embah buka dan lemparkan akhirnya, menyuapkan bubur nasi,
dan memberi air susu yang dicampur pelbagai vitamin. Ibu lakukan
semua itu setiap hari tanpa merungut.
Abah sentiasa di sisi ibu, memberi sokongan moral setinggitingginya. Abah telah bersara kini. Abah alihkan perhatian kepada
jemaah surau dan masyarakat kampung. (Halaman 119) Abah
mengimami solat, bertazkirah dan mengendalikan kelas agama di
masjid.
Trauma
embah
menginsafkan
aku.
Kecekalan
ibu
mematangkan aku. Aku bertekad untuk menjadi ibu; sebaik ibu.
Wajar, syurga itu di bawah tapak kaki ibu.
Segala yang Tercinta Ada di Sana, 2005.
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
(Halaman 120)

Anda mungkin juga menyukai