Anda di halaman 1dari 6

GEMBIRA MELAKUKAN MAKSIAT (HIBURAN MELAMPAU)

Maksiat ialah segala jenis perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT dan syariat
Islam yang mana pelakunya akan diberikan dosa oleh Allah SWT. Ia termasuk di dalam
perbuatan keji dan kotor yang menjadi amalan syaitan. Orang yang melakukannya dikira
sebagai orang yang berani menentang larangan dan melanggar perintah Allah. Antara
contoh perbuatan maksiat ialah zina, judi, minum arak, melawan kedua ibubapa,
melakukan kerja sia-sia seperti menggilai hiburan dan lain-lain lagi.

Trend terkini masyarakat Melayu/Islam ialah menggilai hiburan atau taksub


terhadap hiburan. Kecenderungan masyarakat Melayu/Islam memuliakan program
hiburan dari sehari ke sehari amat merimaskan dan membimbangakan orang yang sihat
iman dan waras fikirannya. Terlalu banyak hiburan melampau yang ditayangkan di dalam
rancangan televisyen yang boleh ditonton oleh masyarakat umum dan kanak-kanak.

Di sana sini, golongan remaja, kanak-kanak dan orang tua heboh menceritakan
kegilaan dan taksub terhadap Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Konsert Sureheboh
TV3, Audition dan Who Will Win. Mereka secara terang-terangan menangisi peserta
yang kalah di dalam pertandingan tersebut. Yang tua sama sahaja meratapi peserta yang
diumumkan kalah. Lebih malang lagi yang muda berpesta tangisan dan berpeluk-pelukan
dengan bukan mahram tanpa sedikitpun rasa segan silu dan bersalah. Yang berada di
pentas juga berpeluk-pelukan tanpa mengenal sempadan dan batasan sebagai seorang
Islam. Zaman para sahabat dahulu, mereka merintih dan menangis kerana tidak dapat
turut serta berjuang di medan perang bersama Rasulullah SAW. Para sahabat menangis
sedih jika tidak dipilih untuk berperang kerana terlepas satu peluang untuk mati syahid.
Remaja Melayu/Islam menangis sedih sambil berpelukan dengan bukan mahram kerana
tidak menang dan terpilih sebagai penyanyi dan penghibur. Orang yang ada sedikit
kewarasan dan saki baki iman di dada akan berdetik di hatinya untuk berkata: “apa
sudah jadi dengan anak bangsaku”

Baru-baru ini melalui sebuah akhbar daily dot com. seorang pekerja (pengutip
sampah) telah datang dan membuat laporan kepada akhbar tersebut, beliau dan rakan
setugasnya yang lain menjumpai sebanyak 540 kondom di tapak pertunjukan Konsert
Sureheboh TV3 di salah sebuah negeri di utara negara kita. Lebih memeranjatkan
kebanyakan kondom tersebut menunjukan kesan telah digunapakai dan 16 daripadanya
berisi air mani. Berdasarkan kejadian seumpama ini, iktibar yang boleh diambil ialah
sebarang bentuk hiburan yang melampau itu adalah melalaikan dan menjadi penggalak
kepada maksiat yang lain termasuk zina.

Melihat kepada kegilaan yang luar biasa dan taksub di kalangan penonton yang
menyaksikan persembahan peserta wujud satu fenomena baru dalam masyarakat
Melayu/Islam hari ini iaitu terlalu banyak berseronokan dan amat kuat berhibur.
Cuba kita renung hadis Rasulullah SAW yang berbentuk futuristik ini yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah R.A katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“umatku akan ditimpakan penyakit yang pernah menimpa umat yang terdahulu” Sahabat
bertanya kepada Rasulullah SAW, “apakah penyakit umat terdahulu itu”. Rasulullah
SAW menjawab: “terlalu banyak berseronok, terlalu bermewah, menghimpunkan har
ta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam mencari harta dunia, cepat marah dan hasud
menghasud sehingga berlaku kezliman”.
Hadis diriwayat oleh Hakim

Berdasarkan hadis ini, salah satu perkara yang menjadi penyebab kehancuran dan
kemusnahan umat yang terdahulu ialah kerana terlalu banyak berseronok dan kuat
berhibur. Yang peliknya 95 peratus peserta adalah masyarakat Melayu/Islam.
Penontonnya pula hampir semunya Melayu/Islam. Inilah satu penyakit baru yang sedang
melanda masyarakat Melayu/Islam. Apakah tidak terfikir bahawa satu hari nanti
masyarakat Melayu/Islam bakal dimusnahkan oleh Allah SWT seperti umat yang
terdahulu.

Cuba kita tanya mereka, kenalkan mereka kepada pejuang Islam yang syahid di
medan perang. Kenalkakah mereka terhadap para sahabat Rasulullah SAW. Kenalkah
mereka terhadap Rasulullah SAW itu sendiri. Mungkin mereka tidak pernah mendengar
nama-nama besar di dalam sejarah Islam seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab,
Uthman al-Affan, Ali bin Abi Tholib, Amru al-Ash, Zubair al-Awwam, Zaid bin Thabit,
Zaid bin Haritsah, Khalid al-Walid, Hamzah bin Abdul Mutalib, Saad bin Abi Waqas dan
banyak lagi.

Tanyakan pula pada mereka apakah mereka kenal dengan peserta popular
Akademi Fantasia atau penyanyi popular Barat. Sudah pasti jawapanyanya kenal dan
teramat kenal. Mereka pasti kenal penyanyi berimej seks seperti Britney Spears, semua
penyanyi Linkin Park dan banyak lagi. Mereka bukan setakat kenal malah mengikuti dan
menghayati gaya hidup seharian artis popular ini. Para artis dimuliakan dan disanjung
tinggi dan mendapat tempat di hati mereka. Lebih parah lagi mereka jadikan artis sebagai
idola. Di dalam hal ini Rasulullah SAW ada memberi ingatan tentang perkara yang
menyebabkan bala segera diturunkan ke atas sesuatu umat: Sabda Rasulullah yang
bermaksud:

“Daripada Ali bin Abi Tholib R.A. Rasulaullah SAW bersabda: Apabila umatku telah
membuat lima belas perkara maka bala pasti akan turun ke atas mereka: apabila harta
negara beredar pada orang-orang tertentu sahaja, apabila amanah dijadikan sebagai satu
sumber keuntungan, apabila zakat dijadikan hutang, apabila suami memperturutkan
segala kehendak isteri, apabila anak derhaka kepada ibunya, apabila anak-anak hanya
mendengar cakap kawan-kawannya, apabila anak-anak menjauhkan diri daripada
bapanya, apabila suara ditinggikan di dalam masjid, apabila orang yang menjadi ketua
bagi sesuatu kaum adalah orang yang paling hina di kalangan mereka, apabila seseorang
dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya, apabila arak sudah diminum di serata tempat,
apabila kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki, apabila artis disanjung dan
dimuliakan, apabila muzik banyak dimainkan orang dan apabila generasi akhir umat
melaknat dan menyalahkan generasi para sahabat” .
Hadis diriwayatkan oleh Tarmizi.
Mudahnya orang Melayu Islam mengangkat hiburan dan artis ke tahap tertinggi
sukar difahami. Inilah natijahnya jika tiada lagi elemen Islam yang diketengahkan oleh
media kepada masyarakat. Kalau ada pun sekitar setengah jam sekadar melepas batuk di
tangga dan tidak mahu dikatakan tidak mempedulikan langsung hal-hal agama. Jika
hendak dibandingkan jumlah jam siaran program taksub hiburan dengan program agama
dan kerohanian terlalu jauh bezanya. Kita berasa hairan di negara maju seperti Jepun dan
Korea tidak langsung menayangkan program hiburan yang kertelaluan dan taksub ini.
Program televisyen mereka lebih kepada program membina jati diri dan pembangunan
minda serta rohani. Apakah pihak yang berwajib terutamanya yang ditugaskan menjaga
agama tidak sedar atau buat-buat tidak sedar demi menjaga kedudukan, pangkat dan
survival diri masing-masing.

Fenomena remaja Melayu/Islam kurang minat dan malas belajar tetapi hanya
minat berhibur terutamanya menyanyi untuk cepat kaya merupakan salah satu implikasi
besar daripada program hiburan yang melampau ini. Memetik kenyataan Pengerusi
Institut Pengemblingan dan Pembangunan Komuniti (Impak) Haji Mahfuz Omar berkata:
rancangan untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam dunia hiburan seperti Akademi
Fantasia, Malaysian Idol, Audition dan Who Will Win yang disiarkan di dalam televisyen
sebenarnya adalah untuk menghalang remaja Melayu/Islam daripada menuntut ilmu dan
belajar. Ini menggambarkan remaja tidak perlu lagi belajar tinggi, tetapi dengan hanya
menyanyi mereka sudah dapat glamour dan boleh kaya. Fenomena remaja Melayu/Islam
suka mencari glamour perlu juga difikirkan sebab musababnya.

Kalau diteliti sebahagian rancangan di televisyen kita merupakan rancangan


“tangkap muat” sahaja. Rancangan ini dicedok secara membuta tuli daripada rancangan
televisyen Barat (Amerika) yang rendah nilai moralnya. Contohnya rancangan hiburan
Malaysian Idol dicedok daripada rancangan American Idol. Rancangan ini diimport
kemudian ditiru oleh pengusaha rancangan hiburan tempatan tanpa memikirkan apakah
kesan negetif terhadap pembangunan agama, bangsa dan negara. Inilah bahananya
apabila orang yang menyediakan rancangan dengan yang menyiarkannya hanya
memikirkan soal keuntungan semata-mata. Jika melihat dan berfikir secara lebih halus
lagi maka akan didapati bahawa stesyen televisyen kita langsung tidak mempunyai
sebarang idea untuk membentuk akhlak murni dan pembangunan minda masyarakat
khususnya golongan remaja.

Jika dibandingkan dengan siaran televisyen di Jepun dan Korea, siaran televisyen
kita jauh ketinggalan daripada pelbagai sudut. Cuba kita lihat bagaimana anak-anak muda
Jepun meminati dan bertekad untuk menjadi seorang ahli gusti sumo professional. Di
Jepun gusti sumo adalah sukan professional dan boleh dijadikan sebagai satu sumber
pendapatan yang sangat lumayan. Untuk menjana minda masyarakat terutamanya remaja
supaya meminati sukan ini satu saluran khas televisyen disediakan tanpa henti setiap
hari.Begitu juga dengan sukan basebol ada siaranya dua puluh empat jam sehari
semalam. Saluran hiburan amat terbatas hanya disediakan rancangan hiburan ringan dan
tidak melampau. Dalam bahasa yang mudah di negara Jepun siaran hiburannya dikawal
rapi oleh pemerintah.
Senerio semasa yang berlaku ini menimbul beberapa persoalan yang perlu kita
fikirkan bersama. Apakah dengan begitu banyak rancangan hiburan melampau ini akan
dapat membina “nation building”atau pembinaan bangsa. Bagaimanakah rupa bentuk
bangsa yang hendak dibina melalaui hiburan yang melampau ini. Apakah ini merupakan
satu helah untuk melalaikan masyarakat Melayu/Islam khususnya remaja daripada
memikirkan perkara sebenar yang sedang berlaku di dalam negara, Apakah ini
merupakan trend terbaru masyarakat Melayu/Islam khususnya remaja amat suka berhibur
dan taksub hiburan. Apakah kelas dan tahap pemikiran cendikawan Melayu/Islam
khususnya pencinta budaya yang langsung sepi dan sunyi daripada memberi sebarang
komen terhadap hiburan melampau ini. Apa pula komen orang-orang yang diberi amanah
dan dipertanggungjawabkan menjaga agama Islam di negara ini. Apa sebenarnya peranan
media khususnya media elektronik. Akhir sekali satu soalan cepuemas yang perlu
dijawab oleh pengamal media di negara ini. Apakah tidak terfikir oleh kita semua yang
berbangsa Melayu/Islam bahawa terdapat satu usaha yang halus dan terancang untuk
memusnahkan kita melalui hiburan melampau ini.

Sekiranya kita masih mengingati kisah Perang Salib (The Crusades) mungkin
sedikit sebanyak dapat membantu kita mencari jawapannya. Perang Salib (The Crusades)
berlaku sekitar tahun 1096M hingga 1291M (489H-664H) iaitu selama 195 tahun. Inilah
peperangan yang paling lama tercatat di dalam sejarah peradaban manusia. Peperangan
ini berlaku di antara umat Islam dengan tentera Kristian. Peperangan ini dimenangai oleh
umat Islam dan tentera Kristian secara silih berganti dan akhirnya dimenangi oleh umat
Islam. Nama-nama besar pemimpin Islam seperti Sultan Syarafuddin Maulud, Sultan
Najamuddin Ilghari, Sultan Nuruddin Buluk, Sultan Imaduddin Zanki, Sultan Zahir
Baybars dan Sultan Sallehuddin al-Ayyubi tidak akan dilupai bagi mereka yang pernah
membaca sejarah ini. Begitu juga nama-nama raja Kristian seperti King Godfery, dan
saudaranya Baldwin, King Count Raymond, King Graaf Toulouse Bohemond, King
Frederick Barbarossa, King Richard The Lion Heart dan King Louis tidak akan dilupai
kerana kekejamannya membunuh umat Islam.

Ketika tentera Kristian dipimpin oleh King Louis dari Perancis yang telah
dikepung oleh umat Islam pada Ogos 1291M di Baitulmakdis beliau sempat menulis
tentang Perang Salib berbunyi: “Kita sebenarnya telah melakukan banyak kesilapan
menentang umat Islam secara terbuka. Mereka berperang kerana jihad dan inginkan
kematian di medan perang, sedangkan kita berperang kerana arahan raja-raja Kristian
semata-mata dan takutkan kematian. Walau bagaimanapun kita akan terus menentang
umat Islam hingga hari kiamat dengan peperangan halus dan lembut” Tulisan tangan
King Louis ini telah diperbuat dengan tinta emas dan disimpan di Leiden, Belanda hingga
ke hari ini. Peperangan Salib telahpun tamat tetapi peperangan untuk memusnahkan umat
Islam secara halus dan lembut ini sedang giat diusahakan.

Imam Besar Masjidi Aqsa, As-Syeikh As’ad Bayudh At-Tamimi pernah menulis
tentang impian Yahudi dan Kristian untuk memusnahkan umat Islam dengan peperangan
halus dan lembut ini. Antara strategi tersebut ialah melalaikan umat Islam dengan
segala bentuk hiburan, memperbanyakan pelbagai jenis pertandingan ke atas umat
Islam, merekacipta pelbagai jenis “games” (komputer game) dan dilambakkan ke atas
umat Islam, melabelkan umat Islam yang kuat beribadat dengan gelaran ekstrimis,
mempopularkan istilah fundamentalis, ekstrimis, puak pelampau, pengganas kepada
mereka yang berjihad di medan perang menentang musuh Islam, mengangkat para
pemimpin di kalangan umat Islam yang tidak cintakan Islam dan banyak lagi.

Segala macam peperangan halus dan lembut ini telah berjaya mengubah corak
hidup umat Islam. Di antara perubahannya ialah menjadikan mereka begitu taksub
dengan hiburan termasuk orang Melayu/Islam. Ada juga di kalangan umat Islam begitu
membenci sebarang gerakan Islam dan amat mudah melabelkan gerakan Islam ini dengan
label yang buruk seperti ekstrimis, puak pelampau, puak pengganas, puak fundamentalis
dan banyak lagi. Inilah strategi halus dan lembut yang telah berjaya meresap masuk ke
dalam jiwa kebanyakan umat Islam tanpa disedari.

Apakah tidak terlintas sedikitpun di dalam fikiran kita bahawa segala bentuk
hiburan melampau di televisyen kita hari ini adalah satu bentuk peperangan halus dan
lembut untuk memusnahkan umat Melayu/Islam. Cubalah kita fikirkan mengapa sejak
kebelakang ini rancangan seumpama ini semakin menjadi-jadi dan mendapat tempat arus
perdana di televisyen kita. Ianya seolah-olah dirancang sebegitu rupa sehingga tiada
sesiapa yang menegur kesan negetifnya terhadap “nation building” termasuk pihak yang
berwajib. Secara jujur dan berterus terang kita harus menerima hakikat bahawa umat
Melayu/Islam khususnya golongan remaja sebenarnya telah masuk ke dalam perangkap
Yahudi dan Kristian ini.

Kita renung bersama kata-kata Prof Dr Yusuf Qardahwi: “kalau ingin melihat
rupa bentuk sesuatu bangsa pada masa akan datang lihatlah remajanya hari ini”.
Beliau juga berkata: “petanda sesuatu bangsa akan musnah, terlebih dahulu musnah
akhlaknya”. Bangsa Melayu/Islam khususnya golongan remaja menepati ciri-ciri
bangsa yang bakal dihancurkan kerana akhlaknya telahpun musnah, Tidak mustahil
bangsa Melayu/Islam akan menjadi satu bangsa yang bakal terhapus sebagaimana umat
terdahulu yang telah dimusnahkan oleh Allah SWT kerana terlalu banyak berseronok
dan berhibur. Amat malang bagi masyarakat Melayu/Islam sekiranya program
seumpama ini tidak dapat dihentikan dalam masa yang terdekat. Tidak ada gunanya kita
bercakap soal “nation building” jika di sana sini kita biarkan perkara yang meruntuhkan
“nation building” berlaku secara berleluasa. Program hiburan melampau ini sebenarnya
bukan setakat mengagalkan “nation building” tetapi akan menghancurkannya. Percaya
dan yakinlah orang yang semasa mudanya banyak berhibur dan bergembira di waktu
tuanya akan banyak berduka. Masyarakat yang kuat berhibur dan lalai dengan perkara
yang mengasyikkan akan berduka akhirnya.

Sebagai kesimpulannya berhibur tidaklah dilarang terus oleh Islam tetapi biarlah
kena dengan bentuk dan jenisnya. Hiburan jenis melampau dan taksub ini tentu sahaja
dilarang keras oleh Islam. Hiburan yang melampau dan taksub ini menjadi penggalak
kepada kegiatan maksiat dan dosa yang lain seperti zina, minum arak, hisap dadah,
bergaduh dan sebagainya. Marilah kita sama-sama fikirkan tentang “nation building”
pembinaan bangsa bukan dalam bentuk slogan semata-mata tetapi dalam bentuk
implimentasinya.
DARUS BIN AWANG
GURU PI DAN DISIPLIN

Anda mungkin juga menyukai