Anda di halaman 1dari 7

MENURUT Kamus Oxford, kad kredit ialah satu kad yang dikeluarkan oleh bank atau

mana-mana pihak, yang mana ia memberi kemudahan kepada pemegangnya untuk


memperolehi barang-barang keperluannya secara tangguh bayaran (hutang).
Hutang pula dari sudut syarak menurut takrifan Al-Qadhi Ibn Arabi ialah urusan
pemindahan (pertukaran) hak milik (secara jual beli atau seumpama dengannya),
yang mana salah satu pihak secara tunai manakala pihak kedua secara tangguh di
atas tanggungannya (dengan masa yang ditetapkan atau tidak).

Manakala takrifan yang dikeluarkan oleh Ketetapan Majlis Kesatuan Fiqh Islam
Sedunia (Majma Fiqh Islami) bagi kad kredit ialah satu bentuk penyata sandaran
(penyata keterangan) yang diiktiraf, diberikan oleh pengeluar kepada mana-mana
individu atau pihak yang diiktiraf melalui kontrak di antara kedua-dua belah pihak,
ia membolehkan pemegangnya membuat pembelian barangan atau khidmat-
khidmat dari semua pihak yang mengiktiraf penyata sandaran (kad kredit) tadi,
tanpa perlu membuat pembayaran tunai, kerana ia mengandungi jaminan
pembayaran dari pihak pengeluar.

Secara amnya, jenis kontrak yang dibuat antara pemegang kad, pengeluar dan
pihak ketiga adalah diiktiraf dalam Islam. Pandangan yang terkuat dalam hal ini
adalah hubungan al-kafalah (jaminan) di mana kafil (adalah penjamin-pengeluar
kad), makful (yang dijamin - pemegang kad) dan makful lahu (penjual). Semua ini
adalah diiktiraf dan kontrak adalah sah di sisi Islam. Kesannya, semua pembelian
dibuat dengan kad ini, tiada lagi hak tuntutan pembayaran dari peniaga kepada
pemegang kad, kerana ia telah terpindah kepada pengeluar. Maka tidak harus
peniaga menuntutnya daripada pemegang kad. Demikian pandangan Hasan Al-
Basri, Ibn Sirin, Ibn Hazm dan Majoriti Fuqaha. Pandangan mereka adalah
berdasarkan kefahaman terhadap tiga buah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan
oleh Abu Daud, Tirmizi, Ahmad, Al-Baihaqi, Ad-Dar Qutni dan lain-lain.

Kini gerbang atau floodgate kad kredit telah dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa
sahaja untuk memilikinya. Kad kredit yang begitu eksklusif dan mewah suatu ketika
dahulu, kini seolah-olah tidak bernilai lagi. Apatah lagi modus
operandipermohonannya begitu mudah, hatta kita boleh memohonnya melalui
khidmat pesanan ringkas, telefon, internet dan transaksinya juga boleh dilakukan
secara faks sahaja. Keputusan dan status permohonan juga boleh diketahui dalam
masa tidak sampai 24 jam. Begitu mudah dan murah sekali! Akibatnya ramai di
kalangan kita yang terpaksa naik turun mahkamah, harta disita dan dilelong dan
lebih malang lagi dijatuhkan hukuman bankrap apabila gagal membayar hutang
tunggakan kad kredit.
Secara khusus, kad kredit sebenarnya banyak membantu kita dalam proses
pembelian atau pembayaran. Tetapi berapa ramai di antara kita yang benar-benar
mengetahui bagaimana cara sebenarnya menggunakan atau menguruskan
perbelanjaan melalui kad hutang ini. Atau memang ada yang sengaja menjeratkan
diri dengan menambahkan liabiliti atau tradisi hutang-piutang!

Tidak dapat dinafikan, sewaktu hujung bulan, kad ATM adalah teman setia untuk
mengeluarkan wang dari mesin ATM. Namun sewaktu pertengahan bulan, ada
segelintir individu lebih gemar menggunakan kad kredit sebagai medium untuk
mengeluarkan wang dari mesin ATM. Ramai yang tidak menyedari bahawa kadar
faedah yang dikenakan untuk pengeluaran wang dari kad kredit adalah 1.5%
sebulan atau 18% setahun. Ini bukannya satu nilai yang rendah, alangkah indahnya
jika memiliki pulangan dari pelaburan saham sebesar 18% ini.

Mengikut statistik Bank Negara Malaysia (BNM), sebanyak 15,000 kes muflis telah
dicatatkan pada tahun 2005 dan jumlah tersebut telah menurun kepada 13,353
pada tahun 2006. Namun, setakat bulan Jun 2007, lebih 9,000 kes muflis telah
dicatatkan, ini satu perningkatan yang agak membimbangkan. Isu hutang melalui
kad kredit kalau tidak dibendung dari awal pasti akan menjadi barah. Lama-
kelamaan ia akan menjadi lebih kritikal. Pada tahun 2005 saja, sebanyak 8% kes
muflis yang telah dicatatkan terdiri dari golongan yang berumur kurang dari 30
tahun.

Sehingga April 2009, rakyat Malaysia mempunyai hutang tertunggak kad kredit
sebanyak RM24.4 billion. Ini adalah satu jumlah yang banyak. Data juga
menunjukkan lebih 10 juta kad kredit di Malaysia, hanya 30% daripada pemegang
membayar baki penuh setiap bulan. Kajian juga menunjukkan bahawa orang yang
menggunakan kad kredit akan berbelanja 17% lebih daripada orang yang
menggunakan tunai.

Baru-baru ini pengguna kad kredit merasa lega dengan tindakan bank menurunkan
kadar faedah hutang tertunggak. Namun tahukan kita bahawa kos untuk
menggunakan dan berhutang dengan kad kredit masih tinggi walaupun bank telah
menurunkan kadar faedah di antara 13.5% sehingga 17.5%? Ini kerana terdapat
terma-terma yang diletakkan oleh pihak bank adalah tidak boleh dinikmati serta
merta oleh pengguna kad kredit. Sebagai contoh, sebagai pengguna kad kredit
yang kurang dari setahun, anda masih belum layak untuk mendapat pengurangan
kadar keuntungan. Walaupun selepas setahun menggunakannya, anda tidak layak
secara automatik kerana kegagalan untuk membayar minimum secara konsisten
menyebabkan anda tidak layak untuk memasukkan tier kedua kadar keuntungan.

Sama ada kita sedar atau tidak, sekiranya kita mempunyai hutang kad kredit
sebanyak RM1000 dan hanya membayar jumlah minimum 5%, ianya akan
mengambil masa selama lima tahun dan lapan bulan untuk menyelesaikan jumlah
tersebut beserta dengan kadar faedah yang dikenakan. Sekiranya hutang kad kredit
tertunggak sebanyak RM10,000 dan pemegang kad hanya membayar jumlah
minimum 5% setiap bulan, hutang kad tersebut hanya akan selesai dalam masa
tujuh tahun dan lapan bulan. Inilah hakikatnya. Menurut Bank Negara Malaysia
(BNM), jumlah orang yang diisytiharkan bankrap pada tahun 2008 adalah 13,907
kes, dan 10% daripada kes tersebut adalah daripada yang berhutang dengan kad
kredit.

Sesungguhnya, penggunaan kad kredit merupakan pemangkin masalah inflasi yang


sangat ketara. Salah satu daripada faktor yang menggalakkan orang ramai
menggunakan kad kredit ialah mereka tidak perlu membawa wang tunai yang
banyak untuk membeli-belah. Bagi sesetengah pengguna, membawa wang tunai
yang banyak ketika membeli-belah merupakan suatu beban.

Pengguna kad kredit juga berasa lebih selamat menggunakan kad kredit berbanding
dengan penggunaan wang tunai. Hal ini kerana semua kad kredit yang digunakan
tidak boleh bertukar milik. Setiap kali mereka menggunakan kad kredit tersebut
mereka dikehendaki menandatangani borang khas yang akan dapat mengesan
pemilik sebenar kad kredit tersebut. Oleh yang demikian, pemilik kad kredit tidak
perlu bimbang sekiranya kad mereka hilang atau dicuri orang.

Seterusnya, kebanyakan ahli masyarakat lebih gemar menggunakan kad kredit


kerana mereka tidak perlu menukar mata wang ketika berada di luar negara.
Sekiranya kita melancong ke luar negara, kita mungkin perlu menukarkan mata
wang negara kita kepada mata wang negara yang kita lawati itu. Hal ini tidak
demikian bagi pemegang kad kredit kerana pertukaran nilai mata wang asing akan
dilakukan secara automatik setiap kali kad kredit tersebut digunakan.

Pengguna sekarang amat beruntung kerana terdapat plan penstrukturan kad kredit
agar mereka boleh mengurangkan kadar faedah yang dikenakan oleh bank. Namun
penyalahgunaan kad kredit masih juga berlaku. Justeru, kerajaan perlu memandang
serius bagi membendung gejala penggunaan kad kredit secara berterusan dan
melebihi pendapatan individu. Sebagai contoh, rasional mempunyai kad kredit
melebihi dari tiga buah bank, serta menaikkan tahap minimum pendapatan untuk
melayakkan pengguna diberikan kad kredit.

Selain daripada itu, pengetahuan tentang pengurusan kewangan perlu diterapkan di


dalam diri masyarakat semenjak dari zaman persekolahan sehingga ke universiti.
Jadikan ianya satu subjek yang wajib untuk setiap pelajar bagi melengkapkan
pengetahuan asas tentang kewangan.

Implikasi negatif daripada penyalahgunaan dan kurang disiplin aplikasi kad kredit
menyebabkan pengguna terpaksa berhutang dan terus berhutang; hati tidak
tenteram; hidup dalam keadaan keluh kesah, ketakutan dan bimbang; terpaksa
menanggung hutang di sana sini; amalan korek lubang, tutup lubang menjadi
kebiasaan; kehidupan dan keluarga tidak terurus; rasuah dan salah guna kuasa
berleluasa; prestasi kerja menurun, tidak bermotivasi serta kurang produktif dan
sebagainya.

Sebelum kita menerima kad kredit, kita harus betul-betul memahami bagaimana
kad plastik ajaib ini berfungsi. Kita diberi talian kredit, dengan had maksima yang
boleh dicaj kepada kad - had kredit. Setiap kali kad ini dicaj melalui sebarang
perbelanjaan (transaksi), kredit kita berkurangan. Penyata bulanan yang diterima
memberi kita pilihan, sama ada untuk bayar baki sepenuhnya, atau hanya bayaran
minima bulanan (tidak digalakkan). Apabila kita membayar bayaran bulanan kepada
bank yang mengeluarkan kad, had kredit maksima dikembalikan. Walau
bagaimanapun, pemegang-pemegang kad kredit seringkali hanya membayar
jumlah faedah dan bayaran minima baki pokok yang terhutang, dan tidak akan
bayar balik baki yang sepenuhnya.

Setelah menyelesaikan semua hutang kad kredit barulah anda boleh


mempertimbangkan cara penggunaan kad tersebut dengan betul. Kad kredit ini
sebenarnya adalah alat pengurusan wang yang sungguh berkesan, jika digunakan
dengan waras. Pendekatan terpenting dalam penggunaan kad kredit adalah
tanggungjawab untuk membayar jumlah baki dalam penyata setiap bulan.
Bayangkan kredit kad itu sebagai wang tunai yang disimpan setiap bulan bagi
barang-barang yang dicaj. Dengan perumpamaan ini, anda tidak akan dikenakan
kos; kad kredit anda pula akan menjadi kemudahan kewangan yang amat berguna
bagi anda. Kad kita menjadi seolah-olah pekerja kita dan kita pula bukan lagi
diperhambakannya.

Kad kredit juga adalah satu-satunya sekuriti atau perlindungan tambahan dan
kemudahan sewaktu membeli-belah dan berjalan, dengan syarat kita tidak
menyalahgunakannya. Sebagai contoh, anda mempraktikkan bayaran hanya 5%
atau RM50 minima setiap bulan, yang mana lebih tinggi. Bagi baki RM10,000 yang
mengenakan caj kewangan sebanyak 18% setahun, anda akan mengambil masa 7
tahun dan 3 bulan untuk menyelesaikan seluruh baki hutang anda. Dan ini juga
dengan anggapan bahawa anda tidak lagi menambahkan caj. Bayangkan betapa
lajunya hutang anda akan meningkat jika apa yang dipraktikkan ini melibatkan
banyak kad kredit lain pada masa yang sama.

Berikut ini adalah antara langkah-langkah yang wajar diikuti untuk mengelakkan diri
anda dari terjerat oleh masalah hutang kad kredit:

1. Sebelum memiliki kad kredit, lebih baik anda berfikir dahulu, adakah menjadi
satu kepentingan untuk anda memiliki kad kredit dan untuk apa anda memohon kad
kredit tersebut. Jika anda rasa tidak mampu mengawal diri daripada berbelanja
berlebihan menggunakan kad kredit, elok anda batalkan sahaja niat anda untuk
memohon kad kredit. Ianya lebih selamat daripada anda terpaksa menanggung
beban hutang yang tidak berkesudahan.

2. Jika sudah memiliki kad kredit, ingat dan sentiasa tanam dalam diri anda sifat
tidak boros ketika berbelanja menggunakan kad kredit. Kalau boleh, beli secara
tunai sahaja dan elakkan berhutang. Apa yang paling penting ketika menggunakan
kad kredit ialah disiplin. Jika tiada disiplin yang kuat dalam diri, maka berlakulah
penyalahgunaan kad kredit.

3. Jika anda terdesak untuk menggunakan kad kredit terutama dalam perkara-
perkara yang tidak dijangka dan kebetulan ketika waktu tersebut anda tidak
mempunyai wang yang cukup, maka gunakanlah kad kredit anda. Dan jika anda
berhajat untuk membeli sesuatu misalnya televisyen baru, gunakanlah pelan
bayaran tanpa faedah. Buat masa ini banyak kedai yang menawarkan skim bayaran
tanpa faedah untuk kemudahan pembelinya. Carilah kedai-kedai yang menawarkan
skim bayaran mudah yang menawarkan bayaran tanpa faedah untuk tempoh
selama 6 bulan, 12 bulan, 24 bulan atau 36 bulan.
4. Jika anda memiliki baki tertunggak dalam sesebuah kad kredit, cubalah usahakan
untuk memindahkan baki bayaran tertunggak anda kepada kad kredit yang
menawarkan kadar faedah yang lebih rendah daripada kad kredit yang anda pakai
sekarang. Tetapi yang pasti, jangan tambah kad kredit. Bila sudah memohon kad
kredit yang baru, pastikan anda membatalkan kad kredit yang sebelumnya untuk
mengelakkan bertambahnya beban hutang anda.

5. Cuba disiplinkan diri anda untuk membayar jumlah penuh setiap perbelanjaan
yang anda buat setiap bulan menggunakan kad kredit. Ini ialah untuk mengelakkan
anda dikenakan bayaran faedah oleh pihak pengurusan kad kredit anda. Biasanya
setiap kad kredit menawarkan 20 hari tanpa bayaran faedah. Namun apa yang
paling utama sekali ialah disiplin ketika menggunakan kad kredit. Jika tidak, sampai
bila-bila pun anda akan gagal menguruskan kewangan anda dengan baik.

6. Cajkan hanya untuk barang yang anda mampu bayar elakkan berbelanja
melebihi pendapatan anda.

7. Gunakanlah kad kredit sebagai alat pembayaran dan bukan untuk kredit
percuma. Jika anda tidak dapat menggunakannya dengan waras atau
bertanggungjawab, mungkin lebih baik bagi anda untuk hentikan penggunaannya
sama sekali.

8. Rancang perbelanjaan penggunaan kad kredit - mungkin digunakan untuk


membayar bil, minyak kereta atau deposit untuk hotel. Seboleh-bolehnya, tetapkan
kadar seminimum yang boleh, dan apabila bil kad kredit sampai kita dapat
menjelaskan bayaran tersebut secara penuh.

9. Elakkan menggunakan cash advance atau pengeluaran wang tunai melalui kad
kredit ini. Kerana kadar faedah yang dikenakan bukannya sedikit iaitu 1.5% sebulan
atau 18% setahun.

10. Seboleh-boleh jangan menggunakan lebih dari satu kad kredit. Tiada istilah
gaya, kaya, hebat dan sebagainya jika anda menggunakan banyak jenis kad kredit.

11. Apabila bil kad kredit sampai, bayarlah semaksimum yang boleh serta bayar
sebelum tarikh akhir. Jangan ikut kadar minimum yang diberikan.
12. Pastikan penggunaan kad kredit diawasi, jangan sesekali memberikan nombor
kad serta pin kepada pihak yang tidak dikenali dengan sewenang-wenangnya. Atau
membuat transaksi online di laman web yang tidak dikenalpasti kesahihannya.

13. Semak semula bil-bil kad kredit. Lihat semua penggunaan atau perbelanjaan
keluar kad kredit. Pastikan ianya merupakan transaksi yang sah dilakukan oleh
anda.

Kesimpulannya, kad kredit mempunyai kebaikannya yang tersendiri. Namun begitu,


sekiranya pemilik kad kredit menggunakan kad tersebut dengan bijak, mereka akan
mendapat faedah yang banyak. Sebaliknya, jika kad kredit tidak digunakan secara
berhati-hati, pemiliknya akan menderita akibat beban hutang yang terpaksa
ditanggung sehingga bertahun-tahun. Walaupun penggunaan kad kredit didapati
semakin popular dari setahun ke setahun, namun wang plastik tersebut pasti tidak
mungkin dapat menggantikan wang tunai yang sebenar.

Anda mungkin juga menyukai