Anda di halaman 1dari 10

PERPADUAN, KESEPADUAN DAN PENYATUPADUAN:

SATU NEGARA, SATU AKAR, TIGA KONSEP KERAMAT

Shamsul Amri Baharuddin

Ucaptama untuk Persidangan Pemantapan Citra Kenegaraan: Perkongsian


Pengalaman, anjuran bersama Institut Kajian Entik (KITA), UKM, JPT, Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM), dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional
(JPNIN), 19-21 Januari 2014.

Pembuka Kata

Negara bekas tanah jajahan, seperti Malaysia dan Indonesia, senantiasa berdepan
dengan cabaran unity in diversity yang terampil dalam fenomena sosial yang kita
kenal sebagai kepelbagaian. Fenomena ini menonjolkan perbedaan, kelainan, malah
sering diungkapkan sebagai keunikan. Sebenarnya, kedua negara ini tiada pilihan.
Keadaan kemajmukan ini bukan yang diinginkan tetapi dipaksakan dan adalah akibat
langsung daripada pembentukan plural society dalam era penjajahan. Maka Indonesia
terkenal dengan Bhinneka Tunggal Ika dan Malaysia dengan Malaysia Truly Asia.

Maka Unity in Diversity sekali gus kepelbagaian membawa penjelmaan tiga wajah: satu
wajah positif, satu konflik dan satu wajah idaman.

Wajah positif datangnya daripada kepelbagaian yang dimegahkan, dirayakan


(celebrating diversity) dan dikomersilkan. Berbillion ringgit, misalnya boleh diperoleh
dengan menjual kepelbagaian menjual kepelbagaian ini melalui program seperti
Tahun Melawat Malaysia 2014. Makanya pendapatan ini menyumbang terus kepada
ekonomi negara. Oleh itu, kita melabur berates juta ringgit untuk merayakan dan
menjayakan usaha menjalan kepelbagaian ini.

Wajah negatif yang menjelma bersama fenomena kepelbagaian adalah berpunca


daripada perbedaan yang ada dalam berbagai bentuk dalam masyarakat. Setiap bentuk
itu mempunyai potensi menimbulkan konflik, pertelingkahan, bertikam lidah, dan
fitnah memfitnah yang dibakar pula oleh khabar angina. Prejudis dan stereotaip pula
terus mengipas emosi ke suhu panas dan boleh mencairkan rasionaliti, meningkatkan
ketegangan, mencabar harmoni dan menggegar stabiliti.

Wajah idaman yang muncul dari kepelbagaian ini adalah rasa rindu dan kepingin akan
suatu bentuk perpaduan yang paling ideal iaitu unity in uniformity atau perpaduan
dalam kesatuan. Keinginan idealistik ini sering diungkapkan terus menerus dan
berulang kali dalam ucapan ahli politik dan pemimpin dan juga terdapat dalam lirik
pelbagai lagu bersifat patriotik iaitu kata-kata satu negara, satu bangsa, satu bahasa.
Sedangkan kita semua tahu dan sedar bahawa nyata wujud ialah unity in diversity.

Mengapakah penyuaraan psyhic yang bersifat merindui dan mengidamkan unity in


uniformity ini berterusan?

Kerana ianya adalah merupakan suatu pernyataan emosi dan psikologikal yang
mengartikulasikan suatu harapan yang sangat besar dan sangat diidamkan. Sesiapa
yang mengucapkannya tahu bahawa idealism unity in uniformity adalah satu angan-
angan tetapi mempunyai nilai politik yang tinggi dan berkesan untuk memobilisasi
sokongan padu daripada anggota masyarakat untuk sesuatu agenda atau kepentingan
sama ada bersifat suku kaum, negara, rantau mahu pun dalam hubungan Timur-Barat.

Lihat sahaja bagaimana kaum Muslim di seluruh dunia bersatu padu suara dalam
reaksi mereka terhadap masa depan masyarakat Palestin. Kaum Muslim melihatnya
sebagai perjuangan Islam, yang jihad sifatnya. Jutaan orang Muslim di seluruh dunia
mendakap dan menghayati imagined communities masyarakat palestin dan terus
menerus mereka sokong dengan wang, semangat dan propaganda.

Tetapi kita tahu bukan semua manusia Palestin itu Muslim. Segolongan kecil beragama
Kristian (khususnya Coptic Christian seperti Edward Said sarjana Palestin yang terkenal
dengan bukunya Orientalism), Druze (cabang kecil Shia Ismailite) dan Samaritan
(cabang kecil Judaisme). Projek perjuangan masyarakat Palestin adalah projek sekular
nasionalisme mereka, bukan suatu projek jihad kaum Muslim. Mereka adalah tergolong
dalam golongan Arab yang bukan semuanya beragama Islam.

Tetapi idea uniformity is uniformity sangat mempengaruhi kaum Muslim sedunia yang
merasakan bahawa mereka adalah seagama, sehati, sejiwa dan seperjuangan dengan
manusia Palestin. Mungkin mereka seagama dengan majority manusia Palestin tetapi
mereka seagama dengan orang Palestin beragama Kristian, Druze dan Samarithan.
Maka Palestin yang Muslim dan bukan Muslim adalah semacam psychic unity bersifat
sekular.

Kedudukan konsep dan reality kepelbagaian sekarang di Malaysia dan Indonesia


adalah seperti yang dinyatakan sebelum ini bahawa unity in diversity sekali gus
kepelbagaian membawa penjelmaan tiga wajah: satu wajah positif, satu konflik dan satu
wajah idaman (yang dilandaskan kepada konsep unity in uniformity). Yang menjadi
kesukaran kepada para pengkaji yang meniliti akan fenomena kepelbagaian ini adalah
kerana ketiga-tiga wajah tersebut didakap serta dihayati serentak oleh berbagai
golongan dan lapisan masyarakat di Indonesia dan Malaysia.
Apatah lagi rakyat mereka turut terperangkap dalam arus retorika ketiga-tiga wajah
kepelbagaian tersebut iaitu yang positif, negatif dan idaman. Ianya berkisar dan dikitar
dalam lingkungan serta putaran Society-State-Market Nexus. Oleh yang demikian,
kepelbagaian wajah mengenai kepelbagaian ini tidak mudah diurus atau diperbetul
kerana ianya meresap serta dihayati kesemua lapisan masyarakat; daripada mereka
yang dalam kedudukan tertinggi sehingga ke akar umbi, daripada bandar dan desa, tua
dan muda, lelaki dan perempuan, dalam dan luar negeri.

Dari segi analitikal pasti boleh dipisah-pisahkan wajah ini tetapi agak sukar. Namun
dalam realitinya ia terus menerus bergaur, bercampur-aduk dan terintegrasi dalam
idiom dan tindakan seharian anggota semua sector masyarakat.

Ambil contoh di Malaysia sahaja.

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia


(KPKM) menganjurkan secara besar-besaran dengan berbelanja berbillion mendukung
wajah positif kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia. Tahun Melawat Malaysia 2014
adalah contoh konkrit akan pendekatan ini. Banyak lagi projek lain kerajaan Malaysia
yang mengangkat wajah positif kepelbagaian telah didukung oleh pihak kerajaan
sendiri dengan pihak swasta.

Melalui Pejabat Perdana Menteri (PMO) pula khususnya, Jabatan Perpaduan Negara
dan Integrasi Nasional (JPNIN) dibawah Menterinya sendiri, pada umumnya melihat
kepelbagaian dari sudut wajah negatif dan memfokus terhadap hal-hal berkait dengan
konflik, perpecahan dan ketegangan lalu berusaha keras untuk mencari jalan untuk
menyelesaikannya, seperti melalui projek Rukun Tetangga, mewujudkan Indeks
Ketegangan dan selainnya. Dana yang dilaburkan oleh kerajaan untuk menyelesaikan
konflik di Malaysia dari segi penyelidikan dan tindakan praktik, sangat kecil
berbanding dengan perbelanjaan projek Tahun Melawat Malaysia 2014 kerana usaha
ini tidak mendatangkan pulangan ekonomi. Ini sungguh mengecewakan, apatah lagi
kalua slogan PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL sering dilaung-laungkan!

Perdana Menteri Malaysia sendiri pula memperagakan wajah kepelbagaian sebagai satu
wajah idaman melalui konsep 1Malaysia beliau dengan slogan rakyat didahulukan
pencapaian diutamakan yang kini telah berubah menjadi endless possibilities.
Kedua-duanya adalah penyataan harapan serta idaman bahawa unity is uniformity dan
setiap konsep itu menyarankan suatu keadaan tanpa hujung atau akhir, seperti yang
diungkapkan dalam kata-kata endless possibilities.
Tidaklah memeranjatkan kalua wujudnya kerencaman pandangan, pendirian dan
tindakan berkait dengan tiga wajah kepelbagaian yang dinyatakan itu: positif, negatif
dan idaman. Kepelbagaian suara ini amat mencabar sehingga sebarang usaha kea rah
mewujudkan PERPADUAN di Malaysia adalah berbelah bagi reaksi dan tindakan; ada
yang disokong, ada yang pertikai, ada yang dibangkang dan ada yang diperlecehkan.

Adalah menjadi tujuan kertas ringkas ini untuk megupas dan menganalisis, dari EOM
(Epistemolog, Ontologi dan Metodologi), cara yang dianggap sesuai untuk
memecahkan kebuntuan analitikal di kalangan penyelidik dan pembentuk dasar
mengenai masyarakat yang dikenalpasti wujud dalam keadaan unity in diversity dengan
bentuk wajah diversity atau kepelbagaian, itu sendiri adalah pelbagai. Dalam kata lain
menghuraikan kepelbagaian dalam kepelbagaian. Ini bukannya suatu projek
linguistik/semantik tetapi adalah sebuah projek sociological imagination yang
berteraskan EOM.

Untuk itu ingin dikemukakan contoh daripada pengalaman dalam usaha mengupas
fenomena kepelbagaian di Malaysia.

Satu Negara, Satu Akar Kata

Malaysia memperakukan secara terbuka bahawa ianya adalah sebuah Negara (State)
yang masyarakatnya bersifat unity in diversity. Penerimaan ini dilandaskan kepada
andaian bahawa kepelbagaian berpotensi besar mencabar perpaduan (diversity is a
threat to unity), terutamanya selepas berlakunya trajedi berdarah 13 Mei 1969.
Kepelbagaian dalam bidang ekonomi iaitu terdapat identity etnik dalam kegiatan
ekonomi negara (Melayu petani, Cina pedagang, India pekerja lading), dan perbedaan
serta jurang ekonomi antara etnik melayu dan cina adalah begitu luas sehingga
menimbulkan ketegangan, peegeseran dan akhirnya terjadi konflik terbuka.

Semenjak itu hingga sekarang, PERPADUAN menjadi slogan, sebutan dan idaman, dan
termaktub sebagai matlamat akhir Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang digubal dan
dilancarkan pada 1971. Dalam kata lain, wujudnya diversity (kepelbagaian) dengan tiga
wajahnya itu tidak dinafikan, namun secara sedar penekanan Kerajaan Malaysia adalah
terhadap PERPADUAN. Rakyat mesti PADU menghadapi cabaran kepelbagaian, yang
diungkapkan dalam beberapa konsep lain seperti kerencaman sosial, heterogeneity,
multi-ethnic, multi-cultural, berbilang kaum dan selainnya.

Ternyata PERPADUAN dan dinyatakan dan diinginkan semenjak 1971 masih belum
tercapai setelah lebih 40 tahun. Sehingga kini slogan Perpaduan Nasional, Integrasi
Nasional, Bangsa Malaysia dan 1Malaysia terus menerus dilaungkan, dinyanyikan dan
disebut-sebut di media. Ratusan kajian dan tulisan telah dihasilkan untuk memecahkan
kebuntuan ini. Seolah-olah ianya tidak tercapai.

Namun dalam tempoh berkenaan, biarpun Malaysia tidak mencapai PERPADUAN,


negara Malaysia tetap menjadi pujaan dunia, malah dijadikan model untuk jadi ikutan
pada peringkat global, kerana kemakmuran ekonomi, kestabilan politik dan
keharmonian hubungan antara etnik. Dari Presedin Bush Senior ke Presiden Bush
Junior dan kini Presiden Obama, masing-masing menyebut Malaysia sebagai model
negara majority Muslim.

Oleh yang demikian, apakah sebenarnya yang telah dinikmati oleh setiap lapisan rakyat
Malaysia selama 40 tahun lepas? Kalau tidak ada PERPADUAN, apa yang wujud?

Ternyata pengalaman Malaysia ini tidak mudah untuk kita ungkapkan, tak ubah seperti
si bisu bermimpi terasa ada terkata tidak. Dalam kata lain, Malaysia belum ada label
atau kata-kata untuk mengungkapkan atau menyimpulkan pengalaman ini, suatu
pengalaman yang pernah disebut-sebut sebagai model atau contoh untuk dijadikan
ikutan oleh sebilangan negara lain didunia. Sebenarnya apa yang Malaysia sudah
nikmati sebelum ini belum lagi perpaduan tetapi KESEPADUAN SOSIAL.

Apakah maksud KESEPADUAN SOSIAL?

Kesepaduan sosial adalah suatu keadaan aman, stabil dan makmur sejahtera yang
wujud dalam sesebuah masyarakat, khususnya yang berbilang etnik kerana wujudnya
kesepakatan sosial (social bonding) yang kuat yang terbina untuk sekian lamanya
berasakan setidak-tidaknya lima pra-syarat :

1. Taraf kebendaan yang berkualiti, seperti mempunyai indeks kualiti hidup yang
sederhana ke tinggi.
2. Akses kepada kemudahan yang boleh menjamin dan mempertahan kualiti hidup
dan mobility sosial.
3. Aturan sosial yang stabil,aman dan selamat.
4. Interaktif aktif berlandaskan jaringan dan pertukaran hubungan yang positif.
5. Wujudnya usaha positif ke arah penglibatan semua pihak dalam kegiatan arus
perdana.

Senario yang menggalakan kesepaduan sosial bertahan boleh dibayangkan seperti


berikut biarpun wujud perbezaan, kontradiksi, contestation dan konflik dalam sesuatu
masyarakat itu, jika para anggotannya sanggup berunding dan bertolak ansur untuk
mewujudkan consensus, tolak ansur, toleransi dalam semangat akomodasi, malah
bersungguh membina harmoni dan pelbagai bentuk ikatan sosial (social alliance)
kesepaduan sosial akan mekar segar bugar terpamer dan sedia terperaga.
Dalam kata lain, kalua kita lihat kembali ke keadaan di Malaysia, biarpun ianya belum
mencapai perpaduan yang diimpi dan diidamkan namun Malaysia sebenarnya sudah
pun menjalin hubungan kerjasama antara etnik dan kelompok, berkongsi aktiviti
budaya dan pinjam-meminjam unsur budaya masing-masing untuk lebih daripada 60
tahun, menikmati pembangunan ekonomi dan kualiti hidup yang sederhana ke tinggi
yang terbina teguh semenjak 1970-an.

Bukan hanya dari segi politik,sosial dan budaya, jalinan hubungan yang cukup rapat
bahkan wujud dan terjelma dalam putaran ekonomi dan pasaran yang menyebabkan
kita saling bergantungan dengan kuat melalui kegiatan ekonomi seharian atau dalam
konteks putaran permintaan tawaran.

Sebagai contoh, si pembekal mungkin pedagang kaum Cina,India dan Melayu. Pekerja
pula mungkin kaum India, Iban, Kadazan dan Cina juga.

Justeru, kesepaduan sosial di kalangan pelbagai etnik, kepentingan ekonomi, politik,


sosial senantiasa terjalin dan disulam oleh keperluan kehidupan seharian. Rakyat
Malaysia tidak akan mengorbankan kesepaduan sosial ini demi memastikan semua
pihak menang-menang.

Konflik terbuka dan ganas tidak berlaku di Malaysia tetapi tidak dinafikan,
disebaliknya apa yang lebih kerap berlaku adalah konflik bersifat lisan atau bertikam
lidah sesame sendiri. Ada ketikanya secara terbuka dan kebanyakan pada peringkat
individu atau kelompok seperti sambal minum teh tarik di kedai mamak, pada majlis
kenduri kendara, malah dalam internet dan blog. Kandungan bertikam lidah ini
berasaskan isu tertentu (issue-based), seperti soal pendapatan yang tidak cukup, harga
barang mahal, peluang pendidikan serta pekerjaan terhad dan sebagainya.

Sering kali kejadian bertikam lidah adalah merupakan suatu bentuk penyuaraan rasa
tidak puas hati etnik (ethnic grievances). Namun apabila kita halusi kebanyakan isu itu
didapati bahawa apa yang disuarakan oleh setiap etnik tidak banyak perbezaan, Cuma
penyuaraannya kerap bersalut kata-kata yang menjelmakan kepentingan etnik. Maka
bunyinya etnik, sebenarnya isu berkenaan bersifat isu sosial dan ekonomi yang lebih
umum sifatnya.

Kebanyakkan isu ini berkait dengan peluang mobility sosial, menyentuh isu seperti
tidak puas hati mengenai system pendidikan, agihan peluang, ekonomi dan pekerjaan
bukan hanya mengesankan sesuatu etnik malah mempunyai kesan yang mendalam dan
luas terhadap semua lapisan masyarakat.

Yang boleh kerap ditimbulkan oleh sesetengah pihak bukan lagi soal mobility sosial,
terutamanya, rangkaian isu yang telah ditimbulkan oleh golonga professional kelas
menegah muda bandar yang hidup selesa dan mempunyai ruang sosial dan waktu.
Mereka sering memperjuangkan soal pemusnahan alam sekitar, hak asasi manusia,
masalah masyarakat sivil dan buku daftar pengundi yang banyak kesalahan.
Sebenarnya isu-isu ini mempunyai dimensi ekonominya, kerana ianya menjadi
komoditi politik yang didagangkan sebagai sebahagian daripada aktiviti
keusahawanan dalam bidang pengiklanan, khususnya yang bersifat branding.

Yang lebih menarik adalah fakta bahawa penyuaraan isu berkenaan berlaku dalam
keadaan aman dan tenteram lagi sejahtera di Malaysia. Bukan dengan keganasan-ala-
Arab Spring, atau Tom Yam Spring di Bangkok, yang mengorbankan banyak nyawa
kerana apa yang berlaku di Malaysia adalah matang dan cukup demokratis dari segi
bentuk dan suasana yang mengizinkan bertikam lidah mengenai isu ini berlaku.
Namun kadang-kadang ada yang menyuarakannya dengan nada yang agak keras dan
kadang-kadang sarat dengan stereotaip dan prejudis etnik.

Ringkasan, pengalaman KESEPADUAN sosial di Malaysia bukan PERPADUAN yang


diidamkan. Ianya lebih merupakan tahap atau pra- syarat sebelum PERPADUAN
tercapai. Ternyata terdapat serangkaian kontradiksi yang perlu diselesaikan. Dapat
dikategorikan kontradiksi ini kepada sembilan perkara utama :

1. Etnisiti

2. Agama

3. Kelas sosial

4. Pendidikan

5. Bahasa

6. Generasi, tua muda

7. Gender

8. Politik federalism

9. Ruang, bandar desa

Setiap kontradiksi tersebut sarat pula dengan cabaran-cabaran khusus yang perlu
ditangani, yang telah berlaku lama atau baru muncul dan juga kemungkinan akan
muncul. Ini memang tidak dapat dielakkan dalam sebuah masyarakat majmuk pelbagai
etnik.
Contohnya, isu kalimah Allah telah berleretan lebih daripada empat tahun dalam
khalayak terbuka, panas-sejuk, dengan mendapat perhatian daripada pemimpin
sampailah ke akar umbi. Begitu juga soal pendidikan. Adanya PElan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025 belum pasti tidak timbul kritikan dan keraguan tentang
perlaksanaan dan tercapaiannya. Isu penggunaan Bahasa Melayu dalam bidang
pendidikan dan ekonomi terus didebatkan. Hubungan kerajaan negeri dan kerajaan
pusat masih turun-naik terutama berkait dengan royalti minyak, misalnya.

Proses penyelesian setiap kontradiksi ini, sama ada yang besar dan yang khusus, telah
pun berlaku sekian lamanya di Malaysia, semenjak sebelum Merdeka lagi, melalui
Formula B&N (BN bukan Barisan Nasional), iaitu Formula of Bargaining &
Negotiation. Prinsip dan ikhtiar runding dan tolak ansur inilah yang mendasari proses
PENYATUPADUAN (reconciliation) di Malayisa hingga ke saat ini.

Dalam kata lain PENYATUPADUAN adalah suatu usaha berterusan di peringkat semua
lapisan masyarakat, bukan sahaja sebelum Merdeka tetapi hingga sekarang ianya terus
dilaksanakan. Usaha ini tidak boleh diberhentikan kerana sifat kepelbagian itu
mengundang potensi konflik dan potensi komersil sekali gus. Maka pemerintah mesti
fokus terhadap hal ini. Dalam kata lain, Malaysia adalah work-in-progress justeru oleh
kerana itu ianya perlu dijaga seperti menatang minyak yang penuh.

Sebilangan besar negara-negara didunia pun menginginkan PERPADUAN. Oleh kerana


untuk mencapiannya sukar dan mengambil waktu, maka segala usaha yang
dilaksanakan hanya boleh membawakan KESEPADUAN, yang dianggap sebagai tahap
sebelum atau prasyarat kepada PERPADUAN. Dalam tahap ini, banyak perkara yang
mesti diselesaikan kerana terdapat pelbagai kontradiksi yang terkandung dalam
KESEPADUAN itu. Usaha-usaha inilah yang bergerak sebagai proses
PENYATUPADUAN. Proses ini tidak akan berhenti, kerana selagi ada kepelbagaian
selagi itu usaha PENYATUPADUAN mesti diteruskan.

Tiga Konsep Keramat:

Perpaduan, Kesepaduan dan Penyatupaduan

Kalau kita imbas secara komparatif, terutamanya di kalangan negara- negara yang
pernah dijajah dan masyarakatnya bersifat plural/majmuk, dari sudut EOM, konsep
unity in university mendasari epistemologi masyarakat berkenaan. Cabaran terbesarnya
ialah dari sudut ontologi, iaitu bagaimana mentafsir dan menangani cabaran
kepelbagaian, sama ada dari segi abstrak dan nyata. Untuk mencari jalan penyelesaian
memerlukan metodologi yang jelas dan tuntas. Ianya mesti bermula dengan mengenal
pasti alat analisis yang relevan, konsep utama yang hendak dihurai dan perincian
langkah perlaksanaan, jangka pendek dan jangka panjang yang perlu diatur.

Tiga konsep keramat perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan adalah permulaan


melihat dan menyusun segala yang rumit dan pelbagai dalam sosiological imagination
kita berkait dengan masyarakat plural/majmuk. Bertolak daripada tiga konsep keramat
ini sebagai suatu kerangka besar lagi luas akan dapat pula nanti kita mengupas satu
persatu apakah isu sosial, ekonomi, politik dan lain-lain lagi isu yang sering menduga
kehidupan manusia bermasyarakat.

Kepada masyarakat yang dibebankan oleh cabaran alamiah, seperti tsunami, gunung
berapi, angin puting beliung, kebakaran hutan dan banjir besar-besaran, perlunya
konsep keramat dijadikan konsep landasan untuk tindakan pemulihan sangat adalah
sangat penting, kerana pemuliahan itu bukan hanya bersifat fizikal tetapi juga bersifat
individual (mental dan emosi) dan juga bersifat sosiologikal kerana ia melibatkan
semua anggota masyarakat secara kolektif.

Apatah lagi untuk negara yang mengalami krisis politik berdarah yang mengorbankan
ribuan nyawa, atau negara yang dilanda revolusi besar dan kecil-kecilan oleh rakyat
yang marah dan tidak berpuas hati. Tentunya dalam keadaan sedemikan sebagai
tindakan pertama ke arah mengembalikan kedamaian adalah untuk membina
engagement, khususnya dalam bentuk reconciliation yang ternyata perlunya berlandaskan
kerangka seperti Formula B&N.

Dari sudut metodologi, rangkaian tiga konsep keramat ini adalah suatu bentuk heuristic
device bukannya suatu undang-undang fizikal alamiah, seperti Laws of Gravity dalam
ilmu fiziks. Sifat heuristic device adalah konseptual, abstrak dan seperti suatu model
ilmiah yang berguna untuk membantuk memikirkan sesuatu fenomena sosial dan
fizikal yang rumit dan mungkin perlukan jalan untuk merongkai masalah pusat dan
sampingan.

Dalam bidang sains sosial, konsep struktur sosial adalah satu heuristic device yang
dicipta dan digunakan untuk mentakrifkan dan menganalisis beberapa aspek dalam
mesyarakat yang mencipta patterns and regularity khususnya dalam peranan dan
tindakan seharian setiap individu sebagai anggota masyarakat. Bagaimana pula dengan
himpunan prilaku ini membentuk masyarakat sebagai satu kolektif sosial yang dinamik
sifatnya. Oleh itu struktur sosial bukan kaku dan tidak boleh diubah-uba, malah mudah
berubah dan luwes sifatnya, sesuai dengan perwatakan dan prilaku manusia itu sendiri.

Maka begitu jugalah sifat rangkaian keramat tiga konsep yang diketengahkan ini, iaitu
perpaduan, kesepaduan dan penyatupadua, yang tetap merupakan satu heuristic device
yang bole diaplikasikan ke arah memahami sebarang masyarakat plural/majmuk atau
yang sekelompok dengannya.

Sebagai kesimpulan, ingin ditekankan dalam usaha mengupas dan merongkai pelbagai
masalah global dan lokal apa yang kita perlukan adalah beberapa heuristic device yang
boleh membantu. Misalnya dalam mengkaji sistem dan hairaki politik kekuasaan di
Malaysia heuristic device yang dikenali sebagai model dwi-realiti sosial-- authority-
defined and everyday-defined telah kerap kali diaplikasikan. Terbaru ialah heuristic device
untuk memahami dan menghayati sejarag Malaysia yang diberi nama Sejarah Untuk
Semua. Akhir kata sebagai penyelidik pembentuk dasar awam, tugas utama kita
semua apabila berdepan dengan cabaran sosial ialah untuk mengenalpasti metodologi
yang paling sesuai untuk memulakan usaha diagnostik ke arah penyelesaian.

Anda mungkin juga menyukai