Anda di halaman 1dari 14

Budaya

Budaya amat penting kepada setiap individu dan masyarakat kerana cara
hidup mereka dilambangkan oleh budaya yang mereka amalkan. Kamus
Pelajar Terbitan Khas KBSM (2007) telah menyatakan budaya sebagai
kemajuan jasmani dan rohani manusia serta juga kemajuan fikirannya
menerusi latihan dan pengalaman serta peradaban. Kroeber dan
Kluckhohn (Alisjahbana, 1986: 207-208), telah mendefinisikan budaya
kepada 7 perkara iaitu :

Pertama, kebudayaan adalah keseluruhan hidup manusia yang


kompleks, meliputi hukum, seni, moral, adat-istiadat dan segala
percakapan lain, yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota
masyarakat. Kedua, penekanan terhadap kebudayaan yang memandang
kebudayaan bersifat warisan tradisi. Ketiga, budaya dianggap bersifat
normatif, iaitu sebagai cara dan aturan hidup manusia seperti cita-cita,
nilai, dan tingkah laku. Keempat, pendekatan kebudayaan dari aspek
psikologi iaitu menganggap budaya itu sebagai langkah penyesuaian diri
kepada persekitarannya. Kelima, kebudayaan dibincangkan sebagai suatu
struktur yang mencakupi pola-pola organisasi dan fungsinya. Keenam,
budaya juga membezakan manusia dengan haiwan iaitu melalui
komunikasi bahasa yang difahami oleh manusia. Ketujuh, budaya
diperkatakan sebagai suatu sistem yang tidak lengkap.

Definisi yang dinyatakan oleh Kroeber dan Kluckhohn ini sebenarnya


hanya ingin menyatakan bahawa kebudayaan itu sangat luas ruang
lingkupnya dan semestinya perlu dilihat dari aspek-aspek yang disebutkan
di atas.

Masyarakat Melayu sejak dahulu lagi amat menitikberatkan soal


kebudayaan, apatahlagi sejak kedatangan imigran, iaitu kaum Cina dan
India. Oleh kerana mengetahui peri pentingnya budaya terhadap
masyarakat bukan sahaja untuk kaum Melayu, bahkan Cina dan India juga
perlu mengekalkan kebudayaannya, maka persepakatan telah diambil
antara ketiga-tiga kaum utama dan dimaterikan di dalam perlembagaan
Malaysia walaupun tidak dinyatakan secara jelas. Misalnya :

a) Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua Negara adalah


contoh penerapan unsur kebudayaan Melayu sebagai kebudayaan
kebangsaan negara ini kerana institusi Yang di-Pertuan Agong
adalah unsur kebudayaan Melayu. Begitu juga dengan gelaran
sultan bagi negeri-negeri di Malaysia.
b) Peruntukan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam
perkara 152 (1) yang menyebutkan bahawa bahasa kebangsaan
adalah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa juga
tulisan yang diperuntukkan oleh undang-undang parlimen.
c) Kedudukan agama islam sebagai agama Persekutuan adalah
mencerminkan corak budaya Melayu tradisional kerana agama itu
menjadi asas masyarakat Melayu tradisi.

Perkara perkara di atas jelas menunjukkan bahawa betapa pentingnya


kebudayaan terhadap masyarakat itu sendiri sehinggakan pembentukan
perlembagaan yang mengandungi unsur budaya di dalamnya.

Kesimpulannya, budaya boleh ditakrifkan sebagai keseluruhan cara hidup


manusia yang merangkumi cara bertindak, kelakuan dan cara berfikir dan
termasuk juga hasi-hasil kehidupan berkelompok yang bercorak
kebendaan dan bukan kebendaan.
Pengaruh barat
Ekonomi :

Setelah menjajah Tanah Melayu, barat mula mengembangkan sistem


ekonominya. Ini telah menyebabkan sistem ekonomi Islam yang telah
diamalkan oleh masyarakat Tanah Melayu sejak Islam bertapak sekian
lama mula terhapus secara perlahan-lahan. Penggunaan sistem
matawang kertas yang diperkenalkan oleh orang barat telah
menyebabkan matawang Melayu yang berasaskan emas dan perak mula
dihapuskan. Perkara ini sebenarnya bermula setelah kejatuhan Daulah
Khilafah pada 1924. Semenjak itu, sistem ekonomi dunia telah dikuasai
oleh barat dan ini memberikan ruang kepada mereka untuk
memperkenalkan sistem matawang kertas kepada dunia tidak terkecuali
Tanah Melayu. Barat telah mengamalkan sistem ekonomi secara kapitalis
yang sebenarnya sistem ini adalah berasaskan riba. Dengan riba, para
kapitalis menggunakan sistem berhutang sebagai suatu perniagaan yang
sangat menguntungkan pihak mereka sambil memberikan tekanan
kewangan kepada orang lain.

Walhal dalam Islam, berhutang bukanlah bertujuan untuk


mengambil keuntungan, tetapi untuk menghulurkan bantuan kepada yang
memerlukan semata-mata. Sebenarnya, sistem ekonomi yang
diperkenalkan oleh barat ini telah banyak menghapuskan norma-norma
Islamik dalam masyarakat melayu sehingga hari ini. Namun, sekarang kita
sudah mempunyai pilihan untuk berurusan secara Islamik ataupun bukan.
Hal ini kerana, kerajaan telah mula memperkenalkan sistem urusniaga
secara Islamik yang berlandaskan syariat-syariat Islam.

Selain itu, barat juga telah memperkenalkan sistem ekonomi


secara sosialis. Sistem ini menekankan pemilikan harta adalah hak
negara. Semua faktor produksi dan sumber pendapatan menjadi milik
negara dan individu tidak ada hak pemilikan dan kebebasan untuk
mengambil manfaat hasil produk mereka. Dasar kesamaan ekonomi
menentukan hak individu dalam suatu bidang ekonomi. Konsumsi
terhadap hasil produksi disediakan oleh negara menurut keperluan
individu. Untuk mencapai tujuan sistem kesamaan ekonomi sosialis,
undang-undang buruh menguasai segala peraturan aktiviti produksi
dengan mengamalkan kebebasan ekonomi dan hak pemilikan harta.

Terbaru, sistem ekonomi barat mula diubah suai agar menampakkan


lebih adil dan memberi kebaikan kepada rakyat jelata. Sistem Ekonomi
Campuran adalah merupakan satu sistem ekonomi hasil daripada
campuran diantara sistem kapitalis dan sistem sosialis. Melalui sistem ini,
kerajaan dan pihak persendirian atau swasta bekerjasama untuk
membentuk satu pasaran yang lebih adil. Dasar-dasar kerajaan digubal
secara menyeluruh dan merangkumi semua pihak termasuk pihak swasta
atau persendirian. Kerajaan hanya sebagai pentadbir tetapi kerajaan
boleh campur tangan dalam pasaran serta urusan ekonomi dan kewangan
apabila keadaan memerlukan. Hak milik kerajaan dan persendirian akan
digembleng untuk kebaikan rakyat jelata. Walaupun kerajaan menjadi
pemilik kepada badan-badan tertentu, namun pihak swasta juga
dibenarkan terlibat dalam kegiatan-kegiatan perniagaan yang besar serta
menjadi pemilik kepada industri-industri gergasi yang penting di negara,
bahkan pelbagai insentif akan diberikan untuk menggerakkan kegiatan
sektor swasta oleh kerajaan sendiri. Sistem ini juga telah diperkenalkan
oleh barat dalam sistem ekonomi kita di Malaysia pada masa ini.

Istilah pecah dan perintah sangat lazim dengan masyarakat di


Malaysia dan majoriti daripada kita tahu tentang istilah tersebut.
Kemasukan migran iaitu Cina dan India menyebabkan pendudukan di
Tanah Melayu telah diperintah berdasarkan istilah pecah dan perintah.
Kaum-kaum terbesar di Malaysia dipecah-pecahkan ke kawasan
perlombongan (kaum Cina), kawasan estet (kaum India) dan kawasan
pantai dan kampung-kampung (kaum Melayu). Perkara ini telah
menyebabkan jurang ekonomi bagi tiga kaum terbesar ini telah menjadi
sangat luas dan sangat ketara perbezaannya. Inilah antara cara barat
mentadbir ekonomi di Tanah Melayu suatu ketika dahulu.
Politik :

Demokrasi telah dibawa oleh barat suatu ketika dahulu dan sekaligus
telah membawa kesan yang besar dalam sistem pentadbiran di Tanah
Melayu yang sebelum ini mengamalkan sistem feudal iaitu Pemerintahan
Beraja yang menganggap raja sebagai pemimpin yang mutlak. Sistem
demokrasi ini sangat berbeza dengan sistem Pemerintahan Beraja yang
diamalkan oleh masyarakat Melayu masa dahulu. Dalam sistem
demokrasi ini, kedaulatan dan keputusan negara mesti dibuat oleh rakyat
dengan menggunakan suara majoriti yang memilih untuk melakukan
sesuatu keputusan. Pemilihan pemimpin cara demokrasi juga dilakukan
berdasarkan pandangan, sokongan dan aspirasi rakyat terhadap calon
yang difikirkan layak. Pemilihan pemimpin dilakukan dalam pilihan raya
yang diadakan.

Demokrasi ini sebenarnya telah mengehadkan kuasa sultan atau


raja yang mana sebelum ini, mereka adalah pemerintah mutlak dalam
pentadbiran negeri masing-masing. Demokrasi mempunyai pelbagai jenis
antaranya yang kita sedia maklum adalah Demokrasi Berparlimen,
Demokrasi Terpimpin, Demokrasi Proletar, Demokrasi Liberal dan macam-
macam lagi. Di Malaysia, negara kita telah mengamalkan Demokrasi
Berparlimen.
Malaysia telah mengamalkan konsep demokrasi berparlimen bermula dari
awal kemerdekaan lagi sehinggalah sekarang. Seperti yang kita sedia maklum,
Demokrasi Berparlimen diamalkan di bawah pentadbiran Raja Perlembagaan.
Malaysia diketuai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang dipilih
berdasarkan sistem giliran daripada sembilan sultan negeri Melayu untuk berkhidmat
selama lima tahun sebagai Ketua Negara dan Pemerintah Tertinggi Angkatan
Tentera Malaysia. Selain itu Yang Dipertuan Agong turut memegang kuasa ke atas
sistem perundangan, ketenteraan, agama islam, pentadbiran, kehakiman dan
sebagainya. Peruntukan ini terkandung di dalam perlembagaan negara Malaysia
sejak mula-mula diperkenalkan setelah Malaysia mendapat kemerdekaan dari
kerajaan British.
Sosial :

Pengaruh sosial daripada barat seperti yang kita maklum antaranya


adalah cara berfikir masyarakat Melayu yang sudah mula lebih terbuka.
Pemikiran yang terbuka ini dapat kita lihat dalam kepercayaan
masyarakat kita terhadap perkara-perkara yang digelar pantang larang,
petua dan lain-lain. Kebiasaannya, pantang larang dianggap sebagai
sesuatu hukum dalam masyarakat Melayu yang wajib dipatuhi dan akan
mengakibatkan kesan yang tidak diingini oleh seseorang sekiranya
melanggar pantang larang itu. Cara berfikir seperti ini sudah mula
berubah sejak kedatangan barat dan menganggap perkara-perkara ini
lebih kepada karut.

Selain itu, dalam aspek sosial kekeluargaan perkembangan yang


berlaku di barat berhubung dengan idea yang keluarga bukan lagi menjadi
unit yang fungsional, lantas tidak perlu dipertahankan, adalah
membimbangkan. Barat cuba mencari alternatif lain menggantikan
institusi kekeluargaan dan antara alternatif yang dicadangkan ialah
bersekedudukan tanpa nikah, pasangan sejenis, keibubapaan tunggal,
kehidupan berkelompok, dan didikan anak secara professional (Eliot,
1986). Persidangan Kependudukan di Kaherah pada akhir tahun 1994
juga telah merumuskan beberapa perkara yang bersifat anti-keluarga
seperti mengesahkan (legalise) pengguguran, menerima hakikat
bersekedudukan (cohabitation), dan memberi hak sepenuh kepada anak
yang lahir di luar nikah.

Perkara yang berlaku di barat ini telah melanda masyarakat timur


seperti pengguguran dan lain-lain. Namun, kesannya terhadap
masyarakat di Malaysia khasnya masih kurang ketara kerana sebilangan
besar masyarakat kita khasnya Melayu masih mempunyai sistem
kekeluargaan yang utuh dan perkara ini hanya terjadi kepada sebilangan
kecil keluarga yang telah menerima kesan pengaruh sosial dari barat.
Namun, ada juga perkara yang membimbangkan kerana kesan pengaruh
barat terhadap masyarakat kita, antaranya kemerosotan nilai-nilai
kekeluargaan dalam kalangan generasi muda. Selain itu, penyalahgunaan
bahan terkawal seperti dadah, kenakalan juvana, kehamilan luar nikah,
pembuangan bayi dan lain-lain lagi.

Kesenian :

Pengaruh kesenian barat juga boleh dilihat dari dua aspek iaitu aspek seni
bina dan persembahan muzik. Pengaruh barat sebenarnya secara jelas kita boleh
buktikan melalui aliran-aliran muzik yang mereka bawa ke alam kita. Melalui alitan-
aliran ini, maka terhasillah kumpulan-kumpulan artis yang beraliran rock, balada,
pop, jazz, dan lain-lain. Terlalu banyak aliran muzik yang dibawa masuk oleh barat
ke dunia kita. Kesan pengaruh muzik-muzik ini bukan sahaja ditonjolkan oleh negara
kita, malah seluruh dunia juga telah menerima kesan dan tempiasnya. Sedikit
sebanyak, aliran-aliran muzik ini sebenarnya mempelbagaikan lagi seni
persembahan yang ada di negara kita. Namun, disebabkan ini jugalah, seni
tradisional kita mula dipinggirkan.

Selain itu, sesetengah reka bentuk binaan bangunan-bangunan yang terdapat


di tempat kita ini juga adalah sebagai bukti pengaruh barat terhadap kita. Binaan
bersenikan kebaratan boleh dilihat pada bangunan-bangunan baharu yang dibina
dengan berkonsepkan kemodenan. Binaan bangunan ini mengaplikasikan ciri-ciri
barat yang dianggap moden oleh dunia. Menara Berkembar Petronas contohnya,
dibina dengan berkonsepkan silinder yang diideakan oleh barat.

Seni yang dibawa oleh orang-orang barat telah banyak mempengaruhi dunia
pada masa kini. Dalam bidang seni muzik contohnya, selain mempelbagaikan genre
muzik, terdapat beberapa identiti-identiti imej yang muncul berdasarkan aliran muzik
yang mereka ceburi kerana setiap genre muzik tersebut, mempunyai identiti dan
imej yang berbeza kepada si pemuziknya. Contohnya, imej penyanyi rock dan jazz
adalah berbeza sama sekali. Imej pemuzik aliran pop juga berbeza dengan aliran
rap. Melalui kepelbagaian imej yang dibawa oleh mereka, ini telah mendatangkan
kesan buruk kepada imej tradisi kita kerana perkara-perkara yang dibawa barat ini
sebenar sangat mudah mempengaruhi masyarakat dunia termasuk kita sendiri.
Pengaruh Islam dalam
masyarakat Melayu
KESAN PENGARUH ISLAM DALAM TAMADUN MELAYU

Kedatangan Islam telah memberi kesan yang besar terhadap masyarakat Melayu.
Kesan ini juga jelas dilihat di dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu yang
banyak didasari dengan adat dan ajaran agama Islam. Pengaruh Islam dan
kesannya boleh diperhatikan dalam pelbagai aspek antaranya :

Politik dan Pemerintahan

Pentadbiran dalam politik setelah kedatangan Islam lebih condong seperti


yang diamalkan oleh masyarakat Arab semasa pemerintahan berkhalifah dijalankan
di sana. Politik Melayu pada ketika itu mengamalkan seperti yang diamalkan oleh
kerajaan khilafah semasa zaman pemerintahan era Abbasiyah.

Kedatangan Islam telah memberi perubahan terhadap sistem politik.


Contohnya, agama Islam telah diisytiharkan sebagai agama rasmi di Melaka.
Sehubungan itu, beberapa institusi Islam didirikan bagi membantu mengukuhkan
sistem pentadbiran berasaskan Islam. Antara institusi yang didirikan adalah Jabatan
Agama Islam dan Syariah. Selain itu kitab Undang-undang Laut dan Hukum Kanun
Melaka dihasilkan untuk panduan masyarakat juga disebabkan pengaruh
kedatangan Islam. Kemudian, beberapa jawatan seperti kadi, imam dan sebagainya
diwujudkan bagi melaksanakan peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Setelah Islam datang dan tersebar di seluruh Nusantara, sistem politik dan
pentadbiran masyarakat Melayu telah berubah dan dipadankan dengan ajaran
Islam. Gelaran raja atau dewaraja bertukar kepada sultan dan disamakan dengan
khalifah seperti yang diperkenalkan dalam sistem pentadbiran Islam. Kepatuhan dan
ketaatan pada sultan adalah kepatuhan yang bersyarat, bukan kepatuhan mutlak
seperti konsep dewaraja.

Dari segi pentadbiran, kerajaan Melayu Melaka ditadbir oleh seorang sultan
yang mempunyai kuasa penuh dalam urusan pentadbiran negara. Sultan juga
berperanan sebagai ketua dalam agama Islam dan ketua negara. Sultan juga
bertanggungjawab mempastikan pentadbiran dapat dijalankan dengan baik dan
berkesan. Buktinya, di zaman pemerintahan Melayu Melaka, kerajaan amat maju
dan stabil.

Menurut sejarah, Kerajaan Melaka telah menyediakan tapak yang subur bagi
perkembangan Islam di Tanah Melayu. Bukti-bukti sejarah menjelaskan bahawa
Islam bertapak di Tanah Melayu seawal kurun ke-9M dan selewat-Iewatnya pada
kurun ke-15M. Islam telah bertapak di Kelantan, Terengganu dan Kedah sebelum
terbentuknya Kerajaan Melaka. Keagungan Melaka mula terserlah apabila ia
mengamalkan dasar luar yang pragmatik iaitu dasar berbaik-baik dengan kuasa
besar asing pada ketika itu seperti Siam, Majapahit dan China. Dasar ini mampu
menstabilkan politik Melaka serta memberi peluang kepada perkembangan ekonomi
dan pentadbirannya (Afifah Abu Yazid, 2003).

Adat dan Cara Hidup Sosial

Dalam konteks sosial, Islam mengajar tidak menerapkan atau mengaplikasikan


sistem kasta dalam masyarakat seperti yang terdapat dalam pengaruh Hindu-
Buddha. Sebaliknya pembentukan masyarakat mestilah diasaskan kepada agama
Islam. Raja, rakyat sama ada tua atau muda, kaya atau miskin semuanya
mempunyai peranan dalam masyarakat (Mifah Abu Yazid, 2003).

Tradisi animisme dan Hinduisme telah diganti dengan adat dan cara hidup Islam
yang dilakukan sejak individu itu lahir di dunia hinggalah hari kematiannya. Islam
telah mengubah corak hidup masyarakat Melayu di dalam segala aspek kehidupan
manusia. Adat resam masyarakat Melayu diperkemaskan lagi dengan ajaran Islam.
Walau bagaimanapun, adat Melayu yang tidak bertentangan dengan Islam masih
boleh terus diamalkan sehingga ke hari ini.

Adat adalah suatu perbuatan atau perlakuan menurut kebiasaan masyarakat atau
bangsa yang berkenaan. Masyarakat Melayu menganggap adat sebagai undang-
undang hidup. Mereka mematuhi adat serta menghormatinya dengan keyakinan
bahawa melanggar adat dianggap sebagai suatu sikap atau perbuatan buruk dan
akibatnya akan merosakkan diri dan sekaligus mencemarkan kesejahteraan hidup
masyarakat (Asmad, 1990: 4).

Kesenian :

Pengaruh islam dalam aspek kesenian sangat jelas yang kita boleh lihat sejak Islam
mula bertapak dari dahulu sehingga sekarang. Kesan-kesan ini jelas ditonjolkan
pada ciptaan bangunan-bangunan seperti reka bentuk masjid yang mempunyai
bentuk kubah dan kebiasaannya mempunyai lambing bulan dan bintang di atas
kubah tersebut. Selain itu, corak yang sering dipaparkan pada dinding masjid juga
lebih tertumpu kepada corak-corak dari Arab yang simbolik dengan Islam. Selain itu,
kesan pengaruh paling jelas yang kita boleh lihat adalah pada sistem tulisan
masyarakat Melayu itu sendiri. Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Melayu
menggunakan sistem tulisan nagiri, kawi dan lain-lain. Namun, setelah tersebarnya
Islam di Tanah Melayu, pengaruh Islam dan tulisan Arab telah menyebabkan tulisan
Melayu lama sudah tidak digunakan lagi. Penyerapan tulisan Arab telah
diasimilasikan ke dalam Melayu dan disesuaikan dengan cara penyebutan orang-
orang Melayu lalu menghasilkan tulisan yang dipanggil tulisan jawi.

Kemudian, tulisan jawi juga mempunyai kesenian tersendiri iaitu khat.


Terdapat pelbagai jenis khat yang telah didatangkan bersama tulisan arab antaranya
khat nasakh, khat tsuluth, khat kufi dan lain-lain lagi. Kesannya, kesenian khat ini
seringkali boleh dilihat pada ukiran-ukiran di masjid-masjid ataupun dirumah-rumah
kita sendiri. Seni khat kebiasaannya bermotifkan tumbuh-tumbuhan dan bentuk-
bentuk geometrik. Selain itu, terdapat juga pengaruh Islam dari segi seni
persembahan. Pengaruh ini telah menciptakan identiti bangsa sesuatu masyarakat
itu sendiri. Contohnya, tarian zapin yang terkenal di negeri Johor. Seni persembahan
lain antaranya ghazal, qasidah, hadrah, gambus dan lain-lain lagi.

Ekonomi :
Kedatangan islam telah menghapuskan sistem riba yang sering diamalkan oleh
kebanyakan masyarakat di dunia. Hal ini kerana, dalam islam itu sendiri telah
mengharamkan amalan riba kerana dengan tegas menyatakan riba itu sebenarnya
menyusahkan dan menindas golongan-golongan yang susah sedangkan Islam
bukan agama yang menindas mana-mana golongan.

Kedatangan Islam telah membawa perubahan dalam sistem ekonomi kita


dalam urusan perniagaan dan jual beli. Islam adalah agama yang meletakkan
keyakinan penganutnya sebagai teras kepada keimanan kepada Allah S.W.T. Oleh
itu, dalam urusan jual beli, masyarakat islam bukan sahaja dikawal oleh undang-
undang yang dicipta sendiri (Risalah Hukum Kanun dan Undang-undang Luat
Melaka), malah segala urusan dikawal dengan keikhlasan hati umat Islam itu.

Dalam konteks yang lebih luas, kita boleh lihat Melaka yang telah
mengamalkan dasar luar pragmatik iaitu berbaik-baik dengan kuasa besar semasa
melalui zaman kegemilangannya telah menyebabkan sistem ekonomi Islam yang
bersih dari riba dan penindasan itu telah berkembang dengan pesat lalu menarik
ramai pedagang-pedagang luar untuk berdagang di negara kita. Dasar ini mampu
menstabilkan politik Melaka serta memberi peluang kepada perkembangan ekonomi
dan pentadbirannya (Afifah Abu Yazid, 2003: 3).

Selain itu, zakat juga salah satu antara sistem perekonomian Islam yang
wajib dilakukan atau dikeluarkan oleh golongan yang mampu dengan syarat-syarat
tertentu yang telah ditetapkan. Zakat ini dipungut oleh amil zakat pada masa-masa
tertentu bertujuan agar dapat diagihkan kepada saudara-saudara seagama yang
miskin, fakir, yatim, dan lain-lain. Untuk mengagihkan zakat-zakat ini, maka baitulmal
mula ditubuhkan bagi memudahkan urusan pengagihan. Sistem muamalat (jual beli)
secara Islam juga telah diperkenalkan dan diamalkan. Sistem jual beli ini
sebenarnya telah lama berlaku dalam masyarakat Melayu namun, dengan
kedatangan Islam, sistem jual beli masyarakat kita telah dimurnikan lagi dan segala
unsur-unsur syubhah atau meragukan telah dihapuskan agar kita mendapat hasil
dari urusan berjual beli yang bersih dan halal lagi baik.
Bibliografi :

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/110-
ekonomi/5698-sistem-sistem-ekonomi.html

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/maklumat-kenegaraan/1201-
demokrasi-berparlimen.html

http://redzuan-ridz.blogspot.com/2011/04/jenis-jenis-demokrasi.html

http://malaycivilization.ukm.my/idc/groups/portal_tenas/documents/ukmp
d/tenas_42879.pdf

http://076115tamadun.blogspot.com/2008/04/pengaruh-islam-dalam-
politik.html

Suwardi Endraswara, Metode, Teori, Teknik Penelitian Kebudayaan :


Ideologi, Epistemologi, dan Aplikasi, Jogjakarta: Pustaka Widyatama, 2006

Azmah Abdul Manaf, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, Selangor Darul


Ehsan : Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd : 2005

Ismail Hamid, Masyarakat dan Budaya Melayu, Selangor Darul Ehsan :


Dewan Bahasa dan Pustaka : 1998

Vijai Balasubramaniam, Politik Nasionalisme dan Federalisme di Malaysia,


Shah Alam, Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd: 1998

Kamus Pelajar, Terbitan Khas KBSM, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan
Pustaka : 2007

Anda mungkin juga menyukai