Anda di halaman 1dari 2

BANYAK sudah saya dengar kisah mengenai apa yang bermula dengan hobi

bertukar menjadi kerjaya atau punca pendapatan. Apa yang bermula dengan saja
suka-suka berakhir dengan keazaman dan komitmen sepanjang hayat.
Jelaslah, apa yang kita usahakan, ke arah itulah kita akan didorongkan.
Wallahualam!
Saya menyebut ini untuk merujuk kepada usaha beberapa sahabat lama yang
menziarahi rakan-rakan, lebih-lebih lagi yang tidak sihat.

Pada ertengahan tahun lalu, selepas berbincang, sekumpulan tujuh orang daripada
kami putuskan untuk menziarahi saudara Md Zain, sahabat sepasukan di utara
Semenanjung, yang kematian isteri dan anak. Beliau sendiri alami masalah
penglihatan.

Namun, ziarah sulung itu berkembang ke kawasan lebih luas melalui apa yang kami
gelar Kembara Utara dan Kembara Selatan.

Bulan hadapan, kami akan sertai Kembara Selangor pula, insya-ALLAH.

Tak tahulah setakat mana kami mampu teruskan kerana dalam Pasukan
Keselamatan di Lembaga Pelabuhan Klang sahaja, kami ada hampir 400 rakan yang
sudah masuk usia persaraan dan tinggal merata-rata. Moga ALLAH perkenan dan
permudahkan.

Sejak menyertai kembara ini, banyak pula peringatan saya terima daripada rakan-
rakan.

Antaranya, ada yang menyebut: Apabila anda tua, isikan waktu bersama pasangan
anda kerana seorang daripada anda akan pergi dahulu dan yang masih hidup hanya
akan mampu menyimpan kenangan.

Apabila anda tua, akan tiba masanya hendak pergi ke pintu pun menjadi cabaran.
Maka, sementara masih berkemampuan, lawatilah seberapa banyak tempat yang
anda boleh.

Apabila anda tua, jangan susahkan diri memikirkan tentang anak-anak anda (secara
berlebihan). Insya-ALLAH, mereka akan mampu berusaha untuk diri mereka sendiri.

Cuma tentukan anda selesaikan hutang anda sebelum anda meninggal dunia
supaya mereka tidak perlu menanggung beban yang anda tinggal dan anda 'pergi'
tanpa penyesalan.

Apabila anda tua, rebut setiap peluang untuk bersama rakan-rakan lama, kawan
sekolah dan rakan sekerja kerana peluang itu akan berkurangan dari semasa ke
semasa. Air yang mengalir ke hilir tidak balik ke hulu. Begitulah dengan kehidupan.

Apabila anda tua, terimalah penyakit dengan cara optimis kerana sama ada kaya
atau miskin, setiap orang pasti melalui proses yang sama, iaitu lahir, jadi kanak-
kanak, dewasa, tua, sakit dan mati. Tiada pengecualian. Itulah kehidupan.
ALLAH berfirman: "Dan barang siapa yang Kami panjangkan umurnya, nescaya
Kami kembalikan dia kepada kejadian(nya). Apakah mereka tidak fikirkan? (Yasin:
68)

Maknanya, siapa yang dipanjangkan usianya akan dikembalikan menjadi lemah,


bahkan seperti keadaan masih bayi, tidak berdaya dan tidak mengetahui apa-apa
yang pernah diketahuinya.

Saya teringat kata-kata hikmat: Sahabat adalah umpama bintang. Walau berjuta
batu jauh dari bumi tetap bercahaya. Meskipun kadang-kadang menghilang, dia
tetap ada. Dia tidak mungkin dimiliki, tapi tidak dapat dilupakan kerana sahabat
yang baik sentiasa ada dalam hati dan dalam kenangan.

Ada sebuah kata-kata nasihat yang agak lucu tetapi benar. Bunyinya: Cari kawan
biar macam cermin. Kita gembira dia pun gembira, kita sedih dia turut sedih. Jangan
cari kawan macam duit syiling, depan lain belakang lain.

Akhir kalam, marilah hayati sebuah hadis: Ada tujuh golongan bakal dinaungi
ALLAH pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya, iaitu pemimpin yang
adil; orang muda yang selalu beribadah; seseorang yang hatinya bergantung
kepada masjid; dua orang yang saling mengasihi di jalan ALLAH, yang berkumpul
dan berpisah kerana ALLAH; seseorang yang, apabila diajak wanita berkedudukan
dan cantik (untuk berzina), mengatakan: Aku takut kepada ALLAH; seseorang
yang tangan kirinya tidak tahu sedekah yang diberi oleh tangan kanannya; dan
seseorang yang berzikir (mengingati) ALLAH bersendirian, hingga menitis air
matanya.

Anda mungkin juga menyukai